9.29.2011

Jenis-jenis Perjalanan Menuju Allah s.w.t.

Perjalan Menuju Allah

Imam Al-Hakim At-Tirmizi berkata dalam kitabnya Adab Al-Muridin[1]:

Maka ahli Iradah itu ada dua jenis:

Ada sebahagian mereka yang melalui perjalan menuju pahala Allah s.w.t. maka dengan tujuan tersebut dia beribadah kepada Allah s.w.t.. Lalu, dia mengerjakan kefardhuan-kefardhuan, menjauhi perkara-perkara haram kemudian melakukan ketaatan yang sunat setakat yang mampu, dengan harapan dia selamat daripada api neraka dan sampai kepada pahala sebagaimana Allah s.w.t. janjikan kepadanya daripada amalan-amalannya.

Sebahagian daripada mereka melalui suatu jalan menuju Allah s.w.t. untuk menyembah-Nya, maka dia melakukan kefardhuan, menjauhi haram, dan sebagainya. Kemudian, dia kembali melihat batinnya lalu mendapati dalam dadanya ada pelbagai penyakit hati seperti cinta dunia, cinta ketinggian kedudukan, takabbur, tamak tenggelam dalam syahwat, tewas dengan nafsu, hasad, cintakan pujian dan sebagainya yang mana ianya membutakan hati.

Maka, hati sebegini tidak ada jalan bagi menuju Allah s.w.t. dengan kekotoran sebegini kerana pada cinta dunia itu sendiri sudah menyalahi Allah s.w.t. kerana mencintai apa yang Allah s.w.t. rendahkan. Begitu juga dalam mencintai ketinggian kedudukan bererti telah melawan Allah s.w.t.. Dalam tenggalam dalam nafsu juga ada fitnah yang besar. Pada cengkaman hawa nafsu juga ada kepincangan dan membelakangkan hak-hak Allah s.w.t.. Orang yang ditawan nafsunya bererti sedang melakukan ketaatan dengan kepincangan dan meninggalkan maksiat juga dengan hambatan. Begitulah ramai manusia menyembah Allah s.w.t. dengan hawa.

Maka, hamba ini perlu kepada kejujuran dalam setiap urusan, amalan dan waktunya lalu sibuk dia dengan memperbaiki dirinya.

Sesiapa yang mahukan pahala, memadailah dia sekadar melakukan mujahadah dalam amalan dan ikhlas dalam amalannya.

Sesiapa yang inginkan Allah s.w.t., maka dia akan melalui perjalanan dengan penuh kesungguhan di mana dia sentiasa berusaha untuk mencari kejujuran dalam batinnya sehinggalah terbuka pintu Allah s.w.t. untuknya, Jika pintu sudah terbuka, lalu Allah s.w.t. memberi kurnia-Nya kepadanya, maka itulah bekalan perjalanannya untuk menguatkan perjalanan lalu dia terus berjalan dengannya. Setiap kali dia terus berjalan, maka ditambahkan lagi segala pemberian sehinggalah dia terus mara ke hadapan. Dia sentiasa dalam keadaan begitu sehinggalah dia sampai kepada Allah s.w.t. dengan hatinya lalu disusun baginya kehampiran tersebut mengikut kadar upayanya. Maka, dialah wali Allah s.w.t. yang berdiri dengan hatinya di hadapan Tuhannya sebagaimana yang telah disusunkan baginya (peringkat tersebut). Sebahagian peringkat hati tersebut adalah, dengan amalan tersebut yang disertai hati yang kuat membawa kepada rasa cukup hanya dengan Allah s.w.t., jiwa yang sudah bersih daripada kepincangan dan kekotoran, dirinya yang sudah berpisah daripada hasutan hawa nafsu yang buruk dan tidak lagi mencintai ketinggian kedudukan dan kekotoran hati.”


[1]Adab Al-Muridin oleh Al-Hakim At-Tirmizi m/s: 33-34, Maktabah Al-Hakim At-Tirmizi, Mesir

Buku: 40 Hadis tentang Ihsan “Menyemai Kemanisan Iman dalam Jiwa Insan”


Buku: 40 Hadis tentang Ihsan “Menyemai Kemanisan Iman dalam Jiwa Insan”

Dalam Islam, ada sudut kepercayaan dan sudut amalan. Bahkan, dalam Islam itu sendiri, sudut kepercayaan adalah sebuah hubungan yang praktikal dan sudut amalan adalah sebuah cerminan daripada penyaksian yang benar.Syahadah bukan semata-mata kalimah yang diungkapkan, kepercayaan yang difikirkan malah ianya menyimpan makna yang lebih mendalam iaitulah penghayatan yang dirasai dan kemanisan yang dikecapi.

Buku ini menghamparkan 40 hadis sahih Rasullullah SAW menceritakan kisah Ihsan dalam segenap aspek kehidupan hamba.

Kata-kata Aluan:

Kata-kata Aluan

Oleh

Sheikh As-Syarif Rahimuddin bin Nawawi Al-Azmatkhan Al-Bantani

بسم الله الرحمٰن الرحيم

أحمده الله أولاً حمداً كثيراً متوالياً، وإن كان يتضاءل دون حق جلاله حمد الحامدين. وأصلى وأسلم على رسله ثانياً صلاة تسغرق مع سيد البشر سائر المرسلين.

Amma Ba’du

Sunnah adalah sebuah petunjuk dan pedoman hidup yang utama setelah Al-Qur’an Al-Karim. Ia juga adalah bentuk kefahaman Rasulullah s.a.w. terhadap Al-Qur’an. Maka, As-Sunnah tidak memiliki tujuan melainkan untuk menterjemahkan dan menjelaskan lagi tujuan Al-Qur’an itu sendiri.

Jika diumpamakan As-Sunnah sebagai sebuah pasaraya, maka ianya adalah pasaraya yang paling lengkap di alam ini. Ia menyediakan segenap keperluan manusia samada di dunia mahupun untuk kebaikan di akhirat. Semua manusia dapat mengambil keperluannya di dalam As-Sunnah.

Sungguh malang bagi seseorang yang masuk ke dalam sebuah pasaraya besar lagi lengkap, namun mengambil topi untuk diletakkan di kaki atau mengambil selipar untuk menutup kepalanya. Bahkan, sangat malang bagi seseorang yang masuk ke dalam pasaraya tersebut namun membeli pakaian yang tidak sesuai ukuran saiznya dengan dirinya sedangkan masih banyak lagi pilihan untuk kesesuaiannya. Begitulah halnya bagi orang yang tidak mahu menjadikan As-Sunnah sebagai pedoman kehidupan lalu hanya mengambil apa yang dikehendaki lalu meninggalkan apa yang tidak dikehendaki, sedangkan panduan As-Sunnah merupakan keperluan segenap kehidupannya.

Maka, seseorang yang ingin mencapai sebuah kesempurnaan perlulah merujuk kepada As-Sunnah yang menjadi penjelas kepada Al-Qur’an Al-Karim. Sudut terpenting dalam sesebuah kesempurnaan adalah sudut ihsan yang menjadi intipati penting dalam agama Islam. Justeru, As-Sunnah memberi panduan dalam mencapainya demi mencapai kesempurnaan insani.

Untuk yang ke sekian kali, penulis muda dan cerdik ini menarikan dan menorehkan tintanya, mengungkap kandungan Sunnah dari sudut yang paling penting iaitulah sudut ihsan tersebut, untuk menyuburkan jiwa insan melalui 40 hadis yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.. Semoga tulisan ini bermanfaat bagi semua jiwa insan yang ingin menaiki tangga ihsan. Amiin…

Sheikh Rahimuddin bin Nawawi Al-Azmatkhan Al-Bantani

Penyelia Markas Tarbiah Darul Hasani, Mesir

______________________________________________________________

Kata-kata Aluan

Oleh

Al-Fadhil Al-Musnid Sheikh Muhammad Fuad bin Kamaluddin Al-Maliki

بسم الله الرحمٰن الرحيم. الحمد لله رب العالمين

والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين

Sesudah menilik-nilik himpunan hadis bersama syarahannya yang berada di tangan para pembaca ini, saya mendapati bahawa ia merupakan karya yang sangat baik dan sesuai untuk diketengahkan kepada masyarakat. Apatah lagi jika diingatkan bahawa sudut Ihsan atau dimensi Tasauf masih sering di abaikan dalam kesungguhan sesetengah di kalangan umat dalam menghayati dan memperjuangkan risalah Islam. Sedangkan sudut Ihsan ini menjadi kunci asasi yang menentukan keberhasilan dan kejayaan mana-mana kebangkitan Islam sepanjang sejarahnya.

Sering pula sisi Ihsan atau Tasauf ini tertohmah dan terpalit dengan pelbagai kekeliruan dan salah tanggapan yang berpunca daripada kejahilan dan hasad mereka yang memusuhinya mahupun kejahilan dan kelalaian sebahagian para pendokongnya sendiri. Di antara punca situasi ini ialah kegagalan untuk melandaskan penggarapan sisi Ihsan ini dengan panduan hadis-hadis berbekalkan seluk-beluk ilmu hadis yang tersendiri. Sedangkan panduan Nabawi daripada hadis-hadis yang khusus dalam bidang ini merupakan bekal utama dalam menggapai maqam Ihsan.

Tulisan ini merupakan sumbangan yang bernilai dalam menangani situasi tersebut dan mengisi kekosongan yang ada. Adalah diharapkan agar tulisan ini menemukan penerimaan yang baik di khalayak umat dan menggalakkan masyarakat untuk terus menekuni penguasaan sisi Ihsan dengan panduan guru-guru yang benar-benar berkeahlian dalam bidang ini. Amin Ya Rabbal `Alamin.

Al Faqir Ila Allah al Qawiyy

Muhammad Fuad bin Kamaludin al Maliki

Pengerusi Aqidah , Ahli Majlis Agama Islam dan Ahli Majlis Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan

Pengasas dan Penasihat, Yayasan Sofa.

___________________________________________________________________

Kata-kata Aluan

Oleh

Al-Fadhil Al-Ustaz Radihan bin Saari

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الانبياء والمرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين . قال الله تعالى : فاسئلوا اهل الذكر ان كنتم لاتعلمون . قال رسول الله صلى الله عليه وسلم : العلماء ورثة ألانبياء .

Amma ba’du

Syabas diucapkan kepada penulis yang merupakan suatu usaha murni bagi mengembalikan peradaban insani. Semoga ianya diberkati dan mendapat ganjaran sewajarnya.

Karya '40 Hadis Penyubur Ihsan Dalam Jiwa Insan' ini suatu gagasan memartabatkan ilmu warisan Nabawi. Iaitu kefahaman agama yang betul mengikut manhaj yang betul daripada sumber yang sahih. Kerangka dan mesej penulis jelas bagi menyubur jiwa insan dan taraqqi bagi mencapai martabat Ihsan.

Tradisi Sunni Ahli Sunnah Waljamaah dan khazanah Warisan Nabawi harus dikembangkan, disebarkan, diperkasakan dan diberi penghayatan yang sewajarnya bagi agenda mengembalikan peradaban Islam dan insani.

Karya ini dipersembahkan dengan bahasa mudah difahami dan persembahan yang menarik bagi tatapan pembaca. Buku ini diharap dapat diambil panduan dan penghayatan bagi melahirkan akal intelektual dan insan rabbani mengikut acuan yang sebenar, dimana umat Islam harus kembali kepada hakikat leluhur dan kefahaman al-Quran dan as-Sunnah melalui Ulama' Pewaris Sayyidina Nabi SAW.

Sekian, wassalam.

Radihan bin Saari

Penolong Pengarah Penyelidikan

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Jabatan Perdana Menteri

Putrajaya


9.28.2011

Ungkapan Adab: Saya Tidak Layak Masuk Syurga




Ada satu qasidah yang sangat masyhur dalam kalangan masyarakat awam yang berbunyi:
إلهي لست للفردوس أهلاً *** ولا أقوى على نار الجحيم
فهب لي توبةً واغفر ذنوبي *** فإنك غافر الذنب العظيم
Maksudnya:
Wahai Tuhanku, aku tidak layak untuk syurga Firdaus
Bahkan, aku juga tidak sanggup untuk ke neraka Jahim.
Maka kurniakanlah taubat (keampunan) kepadaku dan ampunilah segala dosaku,
Sesungguhnya Engkau Maha Mengampuni segala dosa yang besar.

Ada juga sebahagian pihak yang menjadikan qasidah ini suatu isu lalu menyalahkan ungkapan ini dengan memahami bahagian atas sahaja daripada lafaz tersebut. Lalu, menurut mereka, orang yang mengucapkan lafaz ini bererti tidak mahu masuk syurga. Orang ini sudahlah tidak memahami bahasa yang asas sehingga tidak dapat membezakan antara “layak” dengan “mahu”, apatah lagi tidak memahami unsur kesenian dalam berbahasa.

Bagi setiap insan yang mempunyai jiwa yang lembut dan hati yang tawadhuk kepada Allah s.w.t., pastilah dapat memahami dengan mudah apakah maksud di sebalik ungkapan di atas dan betapa tingginya adab orang yang mengungkapkan ungkapan tersebut kepada Allah s.w.t..

Budaya rendah diri dan tawadhuk memang merupakan adab yang tinggi dalam hati para nabi dan wali. Bahkan, kita lihat contoh terdekat, bagaimana sebahagian para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga sendiri, diriwayatkan mempunyai kemuncak tawadhuk dalam bab syurga dan neraka, walaupun sudah diberi jaminan bahawa mereka adalah ahli syurga.

Imam Abu Nu’aim meriwayatkan:

لما قدم أهل اليمن زمان أبي بكر وسمعوا القرآن جعلوا يبكون ، قال : فقال أبو بكر : هكذا كنا ، ثم قست القلوب

Maksudnya: Ketika Ahli Yaman sampai ke Madinah pada zaman Abu Bakar r.a., maka mereka mendengar bacaan Al-Qur’an sehinggalah mereka menangis. Lalu Saidina Abu Bakar r.a. berkata: “Beginilah kami dahulu. Sehinggalah kesat hati kami.” Rujuk kitab Hilyah Al-Auliya’.

Tidak mungkin Saidina Abu Bakar r.a. mempunyai hati yang kesat dan keras sedangkan jika iman beliau ditimbang dengan iman ahli Madinah, nescaya imannya akan mengalahkan iman ahli Madinah. Ini adalah ungkapan tawadhuk.

Lihatlah perkataan insan paling mulia dalam umat Muhammad shollallahu ‘alaihi wasallam selepas Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan Saidina Abu Bakar r.a.. Beliau ialah Saidina Umar r.a.. Beliau adalah seorang insan telah diberi jaminan oleh Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai ahli syurga. Bahkan, Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam pernah menyebut bahawa, jika ada nabi selepas Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, sudah tentu nabi tersebut ialah Saidina Umar r.a..

Pun begitu, apa kata Saidina Umar r.a. tentang syurga dan neraka, dengan segala kelayakan yang dimiliki dan jaminan daripada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam? Beliau berkata:

لو نادى مناد من السماء : أيها الناس إنكم داخلون الجنة كلكم أجمعون إلا رجلا واحدا ، لخفت أن أكون هو ، ولو نادى مناد أيها الناس إنكم داخلون النار إلا رجلا واحدا لرجوت أن أكون هو .

Maksudnya: “Kalaulah ada suatu panggilan yang memanggil dari langit: “Wahai manusia. Sesungguhnya kamu akan masuk syurga melainkan seorang sahaja (yang tidak akan masuk syurga). Maka, nescaya aku takut aku adalah dia (seorang yang tidak masuk syurga tersebut). Jika ada panggilan memanggil: “Wahai manusia, semua kamu akan masuk neraka kecuali seorang sahaja (yang tidak masuk neraka). Maka sudah pasti aku harap aku adalah dia (seorang sahaja yang tidak masuk neraka tersebut).” [Ibid]

Lihat betapa tingginya adab Saidina Umar r.a.. Dengan banyak kemungkinan lain, di mana ramai lagi orang-orang kafir dan mati kafir pada zaman beliau seperti Abu Jahal, Abu Lahab dan sebagainya, namun di sisi beliau, jika ada seorang sahaja yang tidak masuk syurga, dia takut seorang itu adalah beliau, sedangkan Abu Jahal dan Abu Lahab lebih layak untuk tidak masuk syurga berbanding beliau kerana kekufuran mereka. Begitu jugalah dalam masalah masuk neraka. Betapa tinggi adab para sahabat r.a. terutamanya mereka yang telah dijamin sebagai ahli syurga, namun masih menyatakan ketakutan terhadap neraka dan ketidak-layakan mereka untuk memasuki syurga.

Tidak cukup lagi. Kita boleh lihat pula bagaimana adab Saidina Uthman r.a. di hadapan Allah s.w.t. terutamanya dalam masalah syurga dan neraka. Beliau juga merupakan salah seorang daripada para sahabat r.a. yang dijamin sebagai ahli syurga. Bahkan, beliau termasuk dalam empat khulafa’ rasyidin yang agung.

Saidina Uthman r.a. pernah berkata:

لو أني بين الجنة والنار ولا أدري إلى أيتهما يؤمر بي لاخترت أن أكون رمادا قبل أن أعلم إلى أيتهما أصير

Maksudnya: “Kalaulah aku berada di antara syurga dengan neraka, sedang aku masih tidak tahu aku akan disuruh untuk memasuki yang mana satu, nescaya aku akan memilih untuk menjadi tanah sebelum mengetahui ke mana satu hala tuju aku. [Hilyah Al-Auliya’ dalam manaqib Saidina Uthman r.a.]

Ini adalah Saidina Uthman r.a., sebagaimana kedua-dua sahabat agung yang telah disebutkan sebelum ini. Adakah mereka tidak yakin dengan janji Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam kepada mereka sehingga tidak merasa layak untuk masuk syurga? Demi Allah, ia adalah keadaan adab mereka yang tinggi di hadapan Allah s.w.t., yang gagal difahami oleh mereka yang tidak dikurniakan kemanisan hubungan dengan Allah s.w.t..

Para sahabat r.a. yang agung semuanya fokus kepada hubungan mereka kepada Allah s.w.t., bukan kepada syurga mahupun neraka tersebut. Oleh sebab itulah, walaupun mereka diberi jaminan sebagai ahli syurga dan telah terjamin selamat daripada neraka, namun mereka tetap melahirkan adab yang sangat tinggi di hadapan Allah s.w.t. dengan tidak melihat kelebihan itu sebagai kelayakan untuk diri mereka. Ini kerana, mereka mengutamakan hubungan mereka dengan Allah s.w.t. berbanding syurga dan neraka itu sendiri.

Kita lihat, bagaimana Saidina Ali r.a. sendiri menyebut tentang keutamaan di sisi beliau (sebagaimana para sahabat r.a. yang lain) adalah dalam hubungan mengenal dan berinteraksi dengan Allah s.w.t. berbanding syurga itu sendiri. Beliau menyebut:

ما يسرني لو مت طفلا وأدخلت الجنة ولم أكبر فأعرف ربي عز وجل

Maksudnya: “Tiadalah menggembirakan aku jika mati sebagai anak kecil lalu masuk syurga sedang aku tidak dewasa lalu mengenal Allah s.w.t..” [Hilyah Al-Auliya’]

Ini menunjukkan betapa jiwa para sahabat r.a. tidak tertakluk baik kepada syurga mahupun kepada neraka. Maka, mereka akan beradab di hadapan Allah s.w.t. lalu menafikan kelayakan diri mereka untuk mendapatkan syurga kerana mereka tahu, kemuliaan hamba adalah pada kehinaan diri dalam kehambaan di hadapan-Nya.

Jadi, dua asas dalam pendirian para ulama’ sufi secara umum dan dalam qasidah ini secara khusus iaitu tidak melihat kelayakan diri terhadap syurga dan mengutamakan Allah s.w.t. berbanding selain Allah s.w.t., kedua-duanya adalah daripada asas ajaran murni kerohanian Islam sebagaimana yang diamalkan oleh para sahabat r.a.. Sangat malang bagi mereka yang tidak membaca sirah dan riwayat hidup para as-salaf as-sholeh dengan baik lalu membuat tohmahan sewenang-wenangnya terhadap ajaran tasawwuf Islam yang murni. Qasidah ini, walaupun tidak jelas dinisbahkan kepada siapa, namun mempunyai makna yang sangat baik dan tidak wajar dianggap sesat sebagaimana dilakukan oleh segelintir manusia.

Kita lihat pula doa seorang sahabat agung yang diredhai oleh Allah s.w.t. dan Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam, iaitulah Saidina Muaz bin Jabal r.a. yang hampir sama makna rohaninya seperti qasidah ini. Antara doa Saidina Muaz r.a. ketika tahajjud adalah:

اللهم طلبي للجنة بطيء وهربي من النار ضعيف

Maksudnya: “Wahai Tuhanku. Usahaku untuk mendapatkan syurga sangat perlahan sedangkan lariku dari neraka juga sangat lemah.” [Hilyah Al-Auliya pada Mu’az bin Jabal r.a.]

Saidina Abu Musa Al-Asy’ari r.a. menyebut tentang pentingnya menzahirkan rasa takut dan gerun di hadapan Allah s.w.t. terutamanya terhadap neraka yang dijanjikan oleh-Nya bagi para penderhaka. Beliau menyebut

يا أيها الناس ابكوا فإن لم تبكوا فتباكوا ، فإن أهل النار يبكون الدموع حتى تنقطع ، ثم يبكون الدماء حتى لو أرسلت فيها السفن لجرت

Maksudnya: “Wahai manusia. Menangislah kamu. Jika kamu tidak dapat menangis, maka berusahalah untuk menangis. Sesungguhnya, ahli neraka itu akan menangis dengan air mata sehinggalah terputus air mata (kering air mata). Kemudian mereka akan menangis dengan mengalir darah sehinggalah jika dilepaskan kapal pada himpunan tangisan mereka, nescaya kapal pun boleh berlayar padanya.” [Hilyah Al-Auliya’]

Seseorang minta syurga dan minta berlindung daripada neraka adalah ibadah, tetapi niat seseorang beribadah adalah kerana Allah s.w.t.. Minta syurga adalah ibadah, yang mana juga dilakukan kerana ingin berinteraksi dan berhubungan dengan Allah s.w.t. dalam hubungan kehambaan. Takut kepada neraka juga adalah sebahagian daripada takut kepada Allah s.w.t. tetapi jika tujuan ibadah lebih daripada sekadar takut neraka, iaitulah takut kepada tidak diterima oleh Allah s.w.t., atau melakukan sesuatu kerana mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t., maka sudah tentulah niat itu lebih tinggi berbanding sekadar melakukan sesuatu kerana takutkan neraka atau inginkan syurga.

Wallahu a’lam..