1.22.2014

Metodologi Tafsir Isyari (Tafsir Sufistik)


Metodologi Tafsir Isyari (Tafsir Sufistik)

Pengenalan dan Takrif Tafsir Isyari (Tafsir Sufistik)

Sheikh Nur al-Din ‘Itr berkata mengenai Tafsir Isyari ini:

Ia juga dinamakan sebagai al-Tafsir al-Sufi (Tafsir Sufistik), namun kami lebih menggunakan terminologi yang pertama (Tafsir Isyari) kerana padanya ada petunjuk menunjukkan kepada penstrukturannya dengan kaedah-kaedah yang jelas, sebagaimana apa yang dinamakan sebagai juga sebagai isyarah al-Nash (petunjuk teks) di sisi para ulama’ usul.

Definisinya:

Tafsir Isyari ialah: suatu takwilan terhadap ayat-ayat al-Qur’an dengan makna selain makna yang zahir baginya, berasaskan isyarat-isyarat (petunjuk atau pedoman) yang halus yang terzahir bagi para salik (orang yang mentarbiah dirinya dan membersihkan hati untuk mengenal Allah SWT), yang mana boleh diselaraskan antaranya dengan maknanya yang zahir yang diinginkan. [al-Tafsir wa al-Mufassirun 3/18]

Dalam kitab Manahil al-‘Irfan, Imam al-Zurqani menyebut:

التفسير الإشاري : هو تأويل القرآن بغير ظاهره لإشارة خفية تظهر لأرباب السلوك والتصوف ويمكن الجمع بينها وبين الظاهر المراد أيضا

Maksudnya: Tafsir Isyari: Ia merupakan takwil al-Qur’an dengan selain makna zahirnya, dengan berlandaskan isyarat yang halus, yang terzahir pada para penghulu tarbiah akhlak dan tasawuf, yang mana makna tersebut boleh dihimpunkan dengan makna yang zahir juga.

Pernyataan “boleh diselaraskan antaranya dengan makna zahir” merupakan suatu syarat tafsir isyari yang penting, kerana ia menujukkan bahawa, asas tafsir ini bersesuaian dengan kalam (bahasa) Arab yang asal, yang mana diturunkan al-Qur’an dengannya, lalu pastilah ia dapat difahami dengan bahasa Arab. Justeru, tafsir isyari ini mempunyai kelazimannya dengan makna asal yang zahir bagi ayat tersebut.

Maksudnya, sesuatu penafsiran mengikut metodologi tafsir isyari ini tidak lari jauh daripada makna asalnya dan boleh diharmonikan antara tafsiran isyari ini dengan tafsiran asalnya. Ia disebut sebagai takwilan yang hampir (ta’wil qarib) yang tidak bertentangan daripada kaedah bahasa Arab, tidak jauh menyimpang daripada makna asal ayat dan tidak bertentangan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.
  
Asas Kepada Tafsir Isyari

Al-Qur’an ialah sumber ilmu dan makrifat. Al-Qur’an ialah kunci kepada hikmah dan pintu kepada kesempurnaan. Isi kandungannya tidak terbatas dan mutiara ilmunya tiada berkesudahan.

Al-Imam Sahl bin ‘Abdillah al-Tustari RA berkata:

 Jika diberi seseorang hamba itu setia huruf daripada al-Qur’an dengan seratus kefahaman, nescaya masih tidak sampai kepada kesudahan apa yang Allah SWT letakkan (makna-makna) dalam ayat daripada kitab-Nya tersebut, kerana al-Qur’an ialah kalam Allah, sedang kalam Allah SWT ialah sifat-Nya. Sebagaimana tiada bagi Allah SWT itu sebarang kesudahan, maka begitu juga tiada kesudahan bagi kefahaman terhadap kalam-Nya. Maka, seseorang itu memahami sekadar apa yang Allah SWT bukakan kepadanya sahaja, sedang kalam Allah SWT bukan makhluk, yang mana tidak akan sampai keapda kesudahan kefahamannya dengan kefahaman-kefahaman makhluk yang terbatas. [al-Burhan fi ‘Ulum al-Qur’an, Muqoddimah]

Oleh sebab itu, para ulama’ membahagikan penafsiran al-Qur’an kepada dua bentuk iaitu, al-Tafsir bi al-Ma’thur (tafsir daripada riwayat al-salaf) dan al-Tafsir bi al-Ra’yi (tafsir daripada pendapat sendiri). Adapun al-Tafsir bi al-Ra’yi merupakan sebahagian tafsir yang diterima di sisi para ulama’ dengan kaedah-kaedah penafsiran yang muktabar. Antara bentuk metodologi penafsiran yang berkembang di bawah al-Tafsir bi al-Ra’yi ini ialah Tafsir Isyari atau Tafsir Sufistik. Ia kembali kepada asas pemahaman terhadap al-Qur’an itu sendiri, iaitu, terdedah kepada penafsiran-penafsiran baharu dan pelbagai, dalam kerangka kaedah-kaedah penafsiran yang muktabar.

Allah SWT berfirman:

أَنْزَلَ مِنَ السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا

Maksudnya: Dia menurunkan air (hujan) dari langit, lalu mengalirkan tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, (Surah al-Ra’d: 17)

Saidina Ibn ‘Abbas RA menafsirkan ayat ini dengan berkata: “Dia menurunkan daripada langit iaitu air…” iaitu al-Qur’an, “kemudian mengalir saliran pada lembah-lembah dengan kadarnya” beliau berkata: lembah-lembah bererti hati-hati para hamba.” [Tafsir al-Qurtubi 9/259]

Dalam penafsiran Saidina Ibn ‘Abbas RA ini menunjukkan bahawa beliau melakukan suatu penafsiran berbentuk tafsir isyari, iaitu dengan menafsirkan makna ayat tersebut bukan dengan maknanya yang zahir atau makna asal, tetapi tidak bertentangan dengan makna asalnya. Bahkan, daripada penafsiran Saidian Ibn ‘Abbas RA terhadap ayat ini menunjukkan bahawa, al-Qur’an boleh difahami dengan kefahaman yang luas, sesuai dengan apa yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada hati-hati para hamba-Nya.

Ia dikuatkan lagi dengan penafsiran yang dibuat oleh Imam Ibn Kathir dalam tafsirnya. Pada ayat yang sama, beliau berkata: ““Dia menurunkan daripada langit iaitu airkemudian mengalir saliran pada lembah-lembah dengan kadarnya”: Ia merupakan isyarat (makna) kepada hati-hati dan peringkat-peringkatnya yang berbeza. Antaranya, apa yang boleh mengandungi ilmu yang banyak, dan antaranya ialah apa yang tidak mampu mendapati ilmu yang banyak bahkan menjadi sempit terhadapnya."

Kefahaman terhadap al-Qur’an diberi oleh Allah SWT kepada setiap manusia dengan beberapa tahap yang berbeza dan kefahaman yang pelbagai, dan ianya merupakan kefahaman yang diterima selagimana tidak bertentangan dengan makna zahir ayat tersebut. Sesungguhnya, para wali dan orang-orang soleh mempuyai kefahaman yang lebih mendalam dan tinggi terhadap sesuatu ayat al-Qur’an berbanding selain mereka, sesuai dengan kejernihan hati mereka dan kesempurnaan kehambaan mereka.

Sheikh Ibn Taimiyyah berkata dalam Fatwanya:

لا ريب أن الله يفتح على قلوب أوليائه المتقين وعباده الصالحين - بسبب طهارة قلوبهم مما يكرهه , واتّباعهم ما يحبه - ما لا يفتح به على غيرهم وهذا كما قال عليٌّ : إلا فهما يؤتيه الله عبدا في كتابه , وفى الأثر : من عمل بما علم ورّثه الله علم ما لم يعلم

Maksudnya: Tidak diragukan bahawa Allah SWT membuka ke atas hati-hati para wali-Nya yang bertakwa dan para hamba-Nya yang soleh dengan sebab kebersihan hati-hati mereka daripada apa yang dimurka dan pengikutan mereka terhadap apa yang disukai Allah, dengan apa yang tidak dibuka dengannya kepada selain mereka. Ia sebagaimana disebutkan oleh Ali RA: “…melainkan kefahaman yang Allah SWT berikan kepada seorang hamba tentang kitab-Nya.” Begitu juga ada sebuah athar berkata: “Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia ketahui, maka Alah akan mewariskan kepadanya suatu ilmu yang dia sebelum ini tidak mengetahuinya.” [Majmu’ al-Fatawa 13/245]

Perkembangan Tafsir Isyari

Menurut Sheikh Nur al-Din ‘Itr dalam kitab ‘Ulum al-Qur’an: Sesungguhnya tafsir Isyari ini bukanlah suatu perkara yang baharu, kerana mengeluarkan makna-makna daripada al-Qur’an merupakan sesuatu perkara yang sangat diketahui, yang mana para sahabat RA sendiri terlibat dalam usaha tersebut tanpa perlu diingkari.

Dalam Sahih al-Bukhari ada meriwayatkan bahawasanya, Saidina Ibn ‘Abbas menceritakan bahawasanya, Saidina Umar RA memasukkan beliau dalam kalangan para pimpinan yang pernah terlibat dalam peperangan Badar. Beliau ditanya tentang sebab demikian, lalu beliau menceritakannya. Suatu hari, SAidina Umar RA memanggilnya lalu memasukkannya ke dalam persidangan bersama-sama golongan ahli perang Badar, lalu beliau bertanya kepada mereka yang hadir tentang tafsiran surah al-Fath “Ketika datangnya kemenangan Allah dan pembukaan”?. Maka, sebahagian daripada mereka menjawab: “Kita diperintahkan untuk memuji Allah dan meminta ampun kepada-Nya tatkala kita diberi kemenangan dan dibukakan kepada kami.” Sebahagian yang lain hanya berdiam diri.

Lalu, Saidina Umar RA bertanya kepadaku: “Apakah demikian yang kamu katakan juga wahai Ibn ‘Abbas?” Saya jawab: “Tidak.” Maka beliau berkata: “ Maka, apa yang kamu mahu katakan?”. Maka saya menjawab: “Ia mengenai ajal Rasulullah SAW, yang diberitahu kepada Baginda SAW. Maka, Allah SWT berfirman: “Tika datang kemenangan Allah dan pembukaan, maka ianya merupakan tanda ajal bagimu. Maka, pujilah dengan kepujian Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, kerana Dia Maha Penerima Taubat.” Maka Saidina Umar RA berkata: “Aku tidak mengetahui daripadanya melainkan apa yang kamu katakan.”

Daripada kisah ini kita fahami bahawa, Saidina Ibn ‘Abbas RA memahami ayat ini dengan kefahaman yang berbeza dengan zahirnya, namun tidak pula menyalahi maknanya yang zahir. Ia suatu kefahaman yang mendalam terhadap ayat tersebut. Tafsiran sebeginilah yang disebut sebagai tafsi isyari lalu dikembangkan oleh golongan sufi sehingga akhirnya dikenali juga sebagai tafsir sufi (tafsir sufistik).

Antara Tafsir-tafsir Isyari yang Muktabar

Tafsir al-Qur’an oleh Imam Sahl bin ‘Abdillah al-Tustari (m: 283 H). Ia merupakan antara Tafsir Isyari (Sufistik) yang terawal ditemui secara hampir menyeluruh penafsirannya terhadap ayat-ayat al-Qur’an. Ia dihimpunkan oleh Abu Bakr Muhammad bin Ahmad al-Baladi sebagaimana disebutkan di awal tafsir tersebut yang dicetak di Mesir seawal tahun 1908 Masihi. Tafsirannya mempunyai unsur penafsiran sufi yang jelas namun ringkas.

Haqa’iq al-Tafsir oleh Imam Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (m: 412 H). Ia juga merupakan antara bentuk tafsir Isyari yang menghimpunkan pelbagai penafsiran para ulama’ sufi dengan penafsiran yang halus dan mendalam.

Latho’if al-Isyarat oleh Imam ‘Abd al-Karim al-Qusyairi (m 456 H). Ia merupakan kitab Tafsir Isyari yang masyhur oleh seorang sufi yang terkenal, iaitu al-Imam Abu al-Qashim ‘Abd al-Karim bin Hawazin al-Qusyairi, penulis kitab Risalah al-Qusyairiyyah yang terkenal. Bahkan, al-Imam al-Qusyairi menggunakan istilah Isyarat dalam judul kitab tafsir beliau menunjukkan ianya merupakan istilah yang berkait rapat dengan Tafsir Isyari ini.

Tafsir al-Jailani oleh al-Imam ‘Abd al-Qadir al-Jailani (m: 713 H), seorang penghulu sufi yang terkenal, di samping pelopor tarikat sufi terkemuka iaitu Tarikat Qadiriyyah. Tafsir beliau diterbitkan oleh guru kami Sheikh Dr. Fadhil al-Jailani, setelah mencari manuskripnya di serata dunia. Tafsir ini sedang dalam proses penterjemahan ke dalam bahasa Melayu-Indonesia di bawah pimpinan guru kami Sheikh Rahimuddin bin Nawawi, sebagaimana diamanahkan oleh Sheikh Dr. Fadhil. Setakat ini, sudah siap dicetak dua jilid daripadanya, setelah selesai penterjemahannya.

Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim wa al-Sab’ al-Mathani oleh al-Imam al-Allamah Abu al-Ma’ali Mahmud Syukri bin ‘Abdillah bin Syihab al-Din Mahmud al-Alusi al-Husaini. Beliau lahir di Baghdad dan meninggal dunia juga di sana, pada tahun 1342 H. Tafsir Ruh al-Ma’ani merupakan antara Tafsir Isyari yang sangat luas perbahasannya dengan pelbagai bentuk penafsiran yang lain termasuklah tafsir Bi al-Ma’thur (tafsir dengan riwayat daripada salaf).
 




1.02.2014

Bahagia...




Bagaikan semalam baru berlalu,
Kisah pilu dalam hidupku,
Hari ini ku lihat cahaya,
Terang dan sempurna.

Kehadiranmu bawa cinta,
Suburi fitrah manusia,
Beri makna kepada mereka,
Agar mencari bahgia.

Dikau insan mulia,
Kekasih yang setia,
Damai di jiwa,
Tika mencinta…

Ya hanana.. ya hanana…
Ya hanana ya hanana

Ya hanana… ya hanana
Ya hanana ya hanana

Busyra Lana Nilnal Muna
Zalal ‘Ana wa Falhana
Wa Dahru Anjaza Wa’dahu
Wal Bisyru adha Mu’lana…

Seluruh alam tersenyum ria,
Zahir syukur atas kurnia,
Saat kehadiran yang tercinta,
Insan pilihan Maha Pencipta.

Bertemu denganmu duhai cahaya,
Idaman segala para pencinta,
Andai masanya belum tiba,
Izinkan kami memendam rasa.