1.15.2009

Perkembangan Ilmu Pengetahuan: Ke Arah Menolak Cengkaman Sekularisme


Perkembangan Ilmu Sains: Dari Timur Ke Barat

Tamadun Islam awal melahirkan ramai ulama' dan ilmuan dalam segenap bidang ilmu pengetahuan. Ini kerana, agama Islam menyeru ke arah kesepaduan ilmu dengan tidak membezakan antara ilmu keagamaan dan keduniaan melainkan dalam bentuk peringkat-peringkat keutamaan semata-mata. Oleh kerana itu, cabang ilmu duniawi seperti ilmu Matematik, ilmu Sains, ilmu Astronomi, dan sebagainya merupakan ilmu yang wajib dipelajari oleh sesetengah individu dalam kalangan umat Islam.

Ilmu tersebut dikenali sebagai ilmu fardhu kifayah di mana jika tiada dalam kalangan umat Islam yang mempelajarinya, maka seluruh umat Islam akan dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t. kerana tidak mempelajarinya. Oleh yang demikian, atas semangat menyahut seruan agama Islam ke arah kepentingan mempelajari ilmu fardhu kifayah, maka para ulama' Islam yang mempunyai asas dalam ilmu agama turut mendalami cabang ilmu yang lain seperti ilmu Sains, Astronomi, Matematik dan sebagainya.

Tradisi Ilmu dalam Islam secara bersepadu turut digambarkan dalam sunnah Rasulullah s.a.w. di mana ianya mengandungi unsur-unsur saintifik yang dapat disingkap pada zaman ini. Begitu juga dengan kitab suci Al-Qur'an yang mengandungi pelbagai saranan ke arah mengkaji alam ini dalam rangka untuk mengembangkan ilmu-ilmu keduniaan.


Ia juga kembali kepada fungsi utama manusia di dalam muka bumi ini iaitu untuk menjadi khalifah Allah dalam memakmurkan bumi ini sebaiknya, dalam konteks merealisasikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t..

Antara nilai terpenting dalam tradisi ilmu umat Islam bersifat holistik di mana ilmu pengetahuan berkembang sejajar dengan perkembangan bidang keagamaan. Tokoh-tokoh ilmuan dan akedemik juga dalam masa yang sama merupakan tokoh agama yang mempunyai ilmu agama yang mendalam.

Antara ulama' terawal yang terkenal dalam mengembangkan ilmu pengetahuan adalah Ibn Sina (370 H). Beliau adalah seorang tokoh yang mahir dalam ilmu agama dalam masa yang sama juga sangat mahir dalam bidang kedoktoran dan falsafah sehingga menjadi rujukan ilmuan Barat sehingga hari ini.

Kemudian, seorang tokoh yang agung bergelar Hujjatul Islam, iaitulah Abu Hamid Muhamad bin Muhammad Al-Ghazali r.a. (45-505 H), turut berperanan besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dalam banyak bidang. Beliau seorang ulama' Islam yang agung, terkenal keilmuannya dalam bidang aqidah Islam, fiqh Islam dan tasawwuf Islam, dalam masa yang sama juga terkenal keilmuannya dalam bidang falsafah, Sains dan Matematik.

Di samping kedua ilmuan tersebut, rama lagi para ilmuan Islam yang terlibat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan seperti Al-Biruni (973-1408M) yang mengembangkan ilmu Astronomi, Al-Farabi (870-950M) yang mengembangkan ilmu Falsafah dan Sains, , Ibn Hayyan (721-815M) yang berperanan dalam mengkaji ilmu Kimia dan sebagainya serta Al-Khawarizmi (770-840M) yang sangat berperanan dalam mengembangkan ilmu Matematik.

Sifat ilmu pengetahuan dalam tradisi Islam bersifat bersepadu, antara wahyu dan akal. Sehinggakan, hujah kebenaran aqidah Islam dapat disusun secara logik berdasarkan sumber Al-Qur'an dan As-Sunnah, yang dikembangkan oleh para ulama' Islam dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah. Para ilmuan bukan Islam turut tidak mampu mematahkan hujah logik dalam bab ketuhanan agama Islam yang disusun oleh para ulama' Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah yang merupakan golongan ahlus-sunnah wal jamaah.

Adapun masyarakat Barat, mereka bermula dengan mengembangkan ilmu pengetahuan secara terpisah daripada aspek aqidah dan ketuhanan. Bagi para ahli falsafah Greek pada ketika itu, ilmu falsafah adalah alternatif bagi menyaingi pengaruh golongan agamawan yang menjaja fahaman karut atas nama keagamaan. Akhirnya, para ahli falsafah Greek seolah-olah memulakan agenda Sekularisme itu sendiri.

Bermula dari Socrates, kemudian diteruskan oleh Plato dengan falsafah Idealismenya (falsafah ini cuba diketengahkan oleh Saudara Harun Yahya yang pada hakikatnya bercanggah dengan aqidah Islam yang murni), seterusnya dimajukan oleh muridnya iaitulah Aristotle, tradisi ilmu bagi ahli falsafah Greek hanyalah semata-mata bergantung kepada akal tanpa suluhan daripada wahyu dari Tuhan.

Ini menyebabkan timbulnya falsafah-falsafah yang saling bercanggahan khususnya dalam membicarakan tentang bab hakikat ketuhanan dan hakikat kehidupan.

Namun dari suatu sudut yang berbeza, Aristotle mempunyai sumbangan dalam perkembangan ilmu pengetahuan kerana berjaya menyusun ilmu Mantik (Logik) secara asasnya.

Sejak Rom mengambil alih pemerintahan dunia Barat khususnya, ilmu pengetahuan berkembang secara perlahan. Berlaku pertembungan antara golongan ilmuan yang tidak mengamalkan amalan keagamaan dengan golongan Yahudi yang bernaung di bawah pemerintahan Rom, yang mengamalkan amalan keagamaan namun tidak terlibat dalam urusan mengembangkan ilmu pengetahuan.

Pada tahun 313 M, perkembangan ilmu pengetahuan di Barat semakin terbantut kerana berlakunya konflik mengenai ketuhanan Nabi Isa oleh pihak gereja.

Sepanjang zaman Pertengahan di Eropah, yang dikatakan bermula sejak kejatuhan Rom Barat pada tahun 476 M hingga kejatuhan Constantinople pada tahun 1453 di tangan Turki Uthmaniyah, dunia Barat terus mengalami zaman kegelapan (Dark Ages) dalam segenap segi. Ketika itulah bangsa Yahudi memperluaskan kekuasaan ekonomi mereka di tengah-tengah masyarakat Barat yang serba jahil.

Namun, pada permulaan era “Kecerahan” (Enligtenment), masyarakat Barat mula mempelajari ilmu-ilmu keduniaan. Walaupun pada mulanya mendapat tentangan yang hebat dari golongan agama (gereja), namun, akhirnya, ilmu pengetahuan meresap ke dalam masyarakat Barat. Ilmu pengetahuan tersebut diambil dari dunia Islam.

Oleh kerana ilmu pengetahuan tersebut diambil dari dunia Islam, maka, ilmu pengetahuan tersebut bersifat bersepadu dengan agama. Ini kerana, matlamat akhir dari ilmu pengetahuan dalam konsep Islam ialah, mengenal dan mengakui kewujudan Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang Maha Pencipta.

Dalam tradisi Islam, setiap ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh manusia akhirnya membawa mereka kepada ma’rifatullah (mengenal Allah s.w.t.). Contohnya, kecekapan dan kesempurnaan sistem cakerawala menunjukkan ada suatu kuasa yang mentadbir alam ini dengan sempurna. Ini kerana, alam yang sistemetik ini mustahil terjadi dengan sendirinya. Ini kerana, kebetulan tidak dapat mencipta sesuatu yang sistemetik. Ini akhirnya membawa kepada merasai kewujudan Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang mentadbir akan seluruh alam yang serba teratur ini.

Namun, setelah berlaku pelbagai reformasi dan revolusi di negara-negara Barat, seperti di Jerman, Spanyol, Itali dan England, para intelektual Barat mula melancarkan gerakan Sekulrisasi Ilmu Pengetahuan (Secularization of Knowladge). Hakikatnya, di sebalik setiap reformasi dan revolusi di Barat, di dalangi oleh tokoh-tokoh Yahudi. Mereka mula menyusun agenda untuk memisahkan ilmu pengetahuan dari agama dan ketuhanan.

Tujuan para ilmuan Barat cuba memisahkan ilmu pengetahuan daripada bidang agama dan ketuhanan kerana mereka tersiksa dengan pengaruh golongan gereja yang mengongkong golongan ilmuan daripada melakukan penyelidikan ilmiah, kerana dengan berkembangnya ilmu pengetahuan, segala ajaran dongengan pihak gereja akan terdedah. Dalam erti kata yang lain, secara falsafahnya, pergolakkan yang berlaku diantara ilmu pengetahuan dan agama Barat (agama Kristian) adalah kerana ilmu pengetahuan yang dipegang oleh umat Kristian yang didominasi oleh para paderi diambil dari pengetahuan Yunani.

Contoh yang paling ketara ialah dalam bidang astronomi. Di mana, tokoh-tokoh agama Kristian berpegang kepada pandangan Aristotle dan Ptolemy di mana bumi merupakan pusat cakerawala (geosentrik). (Dr. Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, hlmn 30)

Dalam masa itu, muncul di Poland, seorang ahli astronomi yang masyhur iaitu Copernicus (1473-1543 M), yang menggugat teori geosentrik yang di pegang oleh masyarakat Kristian dan doktrin agama Kristian itu sendiri. Copernicus memperkenalkan teori heliosentrik yang menegaskan bahawa matahari merupakan pusat cakerawala. Pada hakikatnya, fakta tersebut telahpun dikemukakan oleh Al-Biruni sebelum Copernicus memperkenalkannya. (ibid)

Dalam rasionalisme dan sekularisme alam misalnya, revolusi Copernicus dalam bidang fizik menjadi kemuncaknya, di mana desentralisasi bumi di cakerawala menibulkan anjakan paradigma masyarakat Barat. (Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas, Islam dan Sekularisme, Penerbit Pustaka, Bandung 1981, hlmn 47)

Fakta ini semakin menggugat institusi gereja Kristian apabila muncul setelah itu, seorang ahli astronomi dan metametik iaitu Galio Galilie (1564-1642 M), yang membuktikan bahawa mataharilah yang menjadi pusat cakerawala, sesuai dengan pandagan Al-Biruni dan Copernicus. (ibid)

Selain itu, muncul juga ahli-ahli falsafah yang mencabar doktrin-doktrin agama Kristian. Di antaranya adalah Francis Becon (1561-1626) dan Renes Descartes (1596-1650). Becon menekankan pembangunan tamadun sesuatu bangsa dengan berteraskan kemajuan sains semata-mata, yang cuba dihalang oleh ahli agama Kristian pada masa itu. (ibid/31)

Descartes pula, yang digelar sebagai bapa falsafah moden dunia Barat, terkenal dengan falsafah keraguannya yang akhirnya melahirkan anjakan paradigma di kalangan masyarakat Kristian Barat. Descartes dikatakan mengambil falsafah keraguan tersebut dari Imam Al-Ghazali r.h.l.. (ibid)

Isaac Newton juga, disebalik kemasyhurannya dalam bidang optik dan matematik, telah membuka pintu keluar dari konsep keagamaan dengan falsafah naturalismenya yang mendakwa bahawa, Tuhan hanyalah pencipta pertama alam semesta dan membiarkan alam semesta bergerak sendiri tanpa campur tangan Tuhan lagi.

Bertolak daripada itulah, para ilmuan Barat berusaha memisahkan bidang ilmu pengetahuan daripada cengkaman pihak gereja lalu berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan mereka terasing daripada pengaruh pihak gereja Kristian pada ketika itu. Maka timbullah pelbagai pergerakan yang berusaha untuk melenyapkan pengaruh dan peranan agama dalam kehidupan.

Ideologi asas yang menjadi nadi pergerakan mereka adalah fahaman Sekularisme. Dari ideologi Sekularisme inilah, akhirnya, melahirkan ideologi-ideologi yang bersifat anti-agama seperti Materialisme, Rasionalisme, Pragmatisme, Marxisme, Komunisme, Humanisme, dan sebagainya.

Hal tersebut berlaku sejajar dengan gerakan Renaissance (dilahirkan) pada abad ke-15 di Itali. Ia didalangi oleh tokoh-tokoh Yahudi seperti Leonardo da Vinci. Kemudian berlaku Gerakan Reformasi dapa abad ke 16 yang melahirkan mazhab Protestant di dalam agama Kristian yang juga di dalangi oleh orang-orang Yahudi seperti Martin Luther (1483-1546) dan John Calvin (1509-1564) (Dr Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, hlmn 29)

Setelah itu, dari abad ke-17 sehingga abad ke-19, berlakunya zaman kecerahan (Enlightenment) dunia Barat. (Syed Muhammad Al-Naquib, op cit, 48)

Perkembangan Ilmu Pengetahuan di Zaman Moden

Apa yang jelas, orang-orang Yahudilah yang menjadi dalang bagi merosakkan sesebuah tamadun manusia. Mereka telahpun berjaya menjatuhkan peranan dan pengaruh gereja Kristian dalam tamadun Barat. Kini, setelah kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki, tamadun Barat menjadi sumber rujukan utama bagi ilmu pengetahuan. Padahal, ilmu pengetahuan yang mereka kembangkan adalah milik umat Islam suatu ketika dahulu.

Kerajaan Islam Uthmaniyyah yang merupakan benteng terakhir bagi tradisi pengembangan ilmu pengetahuan bagi umat Islam iaitu secara bersepadu sudahpun musnah. Akhirnya, tamadun Barat menjaja ilmu pengetahuan versi mereka dalam pelbagai bidang keduniaan.

Nilai ilmu pengetahuan yang mereka jaja adalah bersifat Sekular, iaitu menjauhkan seseorang daripada keimanan kepada Tuhan, sedangkan nilai ilmu agama yang menjadi tradisi Islam adalah mendekatkan seseorang kepada keimanan kepada Allah s.w.t..

Disebalik berlakunya pertembungan ilmu pengetahuan dengan agama, di dunia Barat, berlakunya proses sekularisasi secara tidak langsung. Ianya bukanlah suatu yang kebetulan, tetapi sebaliknya telahpun dirancang oleh golongan Yahudi. (Dr. Abdul Rahman: 34)

Diantara organisasi-organisasi Yahudi yang terlibat dalam agenda Sekularisasi Ilmu adalah, The Rosicrucian, The Royal Society of London, Freemason dan Illmuminati. Organisasi-organisasi tersebut memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan agenda Sekularisasi Ilmu Pengetahuan.

Diantara yang terkemuka ialah Kumpulan Rosy Cross yang bergerak secara rahsia sebagai “Invisible College” (Kolej Lutsinar). Diantara anggotanya yang terkemuka adalah Francis Becon dan Isaac Newton, yang telah banyak menyumbang dalam proses Sekularisasi Ilmu Pengetahuan. (ibid).

Sehingga hari ini, ilmu-ilmu keduniaan penuh dengan keraguan walaupun mereka menamakanya sebagai fakta. Falsafah Darwinisme, teori Evolusi dan sebagainya sangat kuat menunjang dalam ilmu Sains di Barat, bahkan turut disebarkan secara meluas samada dalam bentuk filem-filem mahupun dalam sistem pembelajaran.

Mungkin ramai orang tidak memahami falsafah-falsafah di sebalik sebahagian filem-filem dari Barat. Ada sebahagiannya cuba mempromosikan fahaman Darwinisme dan teori Evolusi seperti dalam filem x-men, spider-man dan sebagainya yang menerapkan nilai-nilai evolusi yang membawa kepada kesempurnaan dari kecacatan DNA yang berlaku. Ini bagi membela teori evolusi yang kononnya manusia suatu ketika dahulu berasal dari beruk, namun setelah berlakunya kecacatan DNA, ia mengalami evolusi ke arah makhluk yang lebih sempurna iaitulah manusia.

Malangnya, atas nama hiburan, muncul juga filem versi menyokong evolusi Darwin seperti filem Cicak-Man samada ianya kerana kejahilan terhadap nilai filem-filem tersebut ataupun sebaliknya.

Begitu juga dengan filem-filem yang lain yang membawa kepada nilai anti-agama yang cukup banyak dalam pasaran dunia hiburan yang dibawa daripada dunia Barat.

Lebih malang lagi, saluran-saluran television dari Barat yang sepatutnya mengajarkan ilmu Sains secara fakta turut mempromosikan idea Darwinisme dan teori evolusi ini. Ini sungguh merosakkan nilai-nilai keagamaan terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Kebangkitan Umat Islam dalam Menghadapi Ancaman Sekularisme

Tidak dinafikan, ramai dari kalangan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang bangkit untuk melawan arus Sekularisme ini. Ada dalam kalangan ulama' Islam yang menyeru ke arah tradisi ilmu yang bersepadu kerana ianya merupakan nadi kebangkitan semula umat Islam melalui kemajuan ilmu pengetahuan.

Ada juga dari kalangan ilmuan Islam menyeru ke arah agenda Islamisasi Ilmu Pengetahuan, samada ianya versi Dr. Syed Muhammad An-Naquib Al-Attas (dan ISTAC) mahupun versi Dr. Ismail Raji Al-Faruqi.

Dalam lapangan yang lain, ilmu tafsir ilmi (tafsir secara saintifik) muncul secara pesat yang dipopularkan oleh Dr. Zaghlul (dari Mesir), Dr. Zakir Naik dalam dakwah-dakwahnya, serta ahli falsafah Islam terkini, Adnan Octar atau Harun Yahya.

Namun, sejauh mana keberkesanan kebangkitan umat Islam dalam menghadapi ancaman Sekularisme ini, sedangkan fahaman Sekularisme itu sendiri sudah mendasari metodologi pembelajaran dalam universiti-universiti? Bermula dengan agenda pemansuhan sistem talaqqi bersanad, sehinggalah kelemahan bidang tarbiah ruhiyyah (penyucian jiwa) dalam kampus-kampus moden ini, maka usaha untuk melawan arus Sekularisme memang suatu yang sukar dilaksanakan kerana tradisi pembelajaran Islam sudah semakin dipinggirkan.

Sistem talaqqi secara bersanad hanya dapat dikesan kewujudannya dalam sistem pengajian pondok (di Nusantara), ribat-ribat (di dunia Arab) dan di masjid-masjid semata-mata. Ianya suatu yang amat mengancam keutuhan jati diri umat Islam itu sendiri, sehingga bukan sahaja dari sudut politik, Barat menjadi kiblat mereka, tetapi dari sudut pembelajaran dan pendidikan juga, Barat menjadi guru mereka.

Para ilmuan Islam dalam pelbagai lapangan dan bidang ilmu pengetahuan duniawi perlulah menanamkan semangat Islami yang asal dalam diri mereka, iaitu dia mempelajari ilmu pengetahuan kerana ianya merupakan tanggungjawab yang Allah s.w.t. berikan ke atasnya, bukan semata-mata kerana ingin mendapatkan segulung sijil.

Bahkan, mereka juga perlu berani mencabar kajian-kajian Barat kerana para ilmuan Barat melakukan kajian mereka secara cacat iaitu semata-mata bergantung kepada akal, tanpa berdasarkan suluhan wahyu daripada Allah s.w.t., sedangkan kita selaku umat Islam mempunyai aspek wahyu sebagai sumber ilmu dan perkembangan akal kita. Ilmu yang diambil daripada Barat sebenarnya bukanlah suatu yang boleh diterima secara mentah-mentah tetapi perlulah dinilai semula dengan kajian berdasarkan tradisi Islam zaman lampau.

Kata guru saya, agenda Islamisasi Ilmu Pengetahuan atau apapun namanya, bukan sekadar menempelkan ilmu pengetahuan yang diambil daripada Barat secara mentah-mentah kepada nas-nas Al-Qur'an, As-Sunnah dan nas keagamaan, tetapi melakukan kajian semula bagi menilai kebenaran maklumat-maklumat yang disampaikan oleh Barat kepada kita dengan berpandukan intipati ajaran Al-Qur'an dan As-Sunnah. Ini kerana, dalam ilmu Sains di Barat sendiri, perkembangan ilmu tersebut berkembang secara waham, yang mana kadang-kala yang dikatakan fakta itu pada hakikatnya bukanlah suatu fakta.

Kita yakin bahawasanya musuh-musuh Islam sentiasa memusuhi umat Islam dan tidak pernah redha dengan umat Islam, lalu mengapakah tidak timbul keraguan di hati kita tentang maklumat-maklumat yang disampaikan oleh barat kepada dunia Islam? Dalam agenda musuh-musuh Islam daripada Barat dalam memusuhi Islam secara menyebarkan falsafah-falsafah yang menyesatkan, tidak mustahil juga mereka memusuhi Islam secara menyebarkan maklumat-maklumat yang bercanggah dengan realiti.

Bahkan, antara agenda buruk Barat adalah dengan menggalakkan mereka yang tidak mempunyai keahlian dan ilmu yang mendalam dalam bidang agama untuk bercakap tentang agama. Ini suatu gejala yang sangat merosakkan umat Islam itu sendiri. Ini natijah daripada terpinggirnya tradisi proses pembelajaran secara bertalaqqi dan bersanad. Akhirnya, semua orang berkata apa sahaja yang ingin dikatakannya.

Umat Islam perlulah peka dalam memartabatkan semula tamadun Islam dengan memastikan kepompong Sekularisme dipecahkan daripada terus mencengkam tradisi ilmu dalam umat Islam.

Semoga Allah s.w.t. menjaga umat Islam dan terus membela umat Islam daripada ancaman para musuh Islam. Amin…

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

'AmalahuLlahu bi AltofiHi Al-Khofiyyah



No comments:

Post a Comment