12.15.2009
Buku Menyingkap Tabir Bahagia
“ Mencari Bahagia… Ungkapan ini sering berlegar-legar di benak fikiran setiap manusia. Mengapa bahagia? Kebahagiaan adalah antara nikmat Allah s.w.t. yang terbesar, yang dikurniakan kepada para hambaNya. Ia adalah antara tanda sifat pemurah Allah s.w.t. kepada manusia.
Namun, ramai manusia gagal mencarinya. Mengapa? Ini kerana, manusia cuba mencari makna kebahagiaan selain daripada makna kebahagiaan sebenar. Oleh itu, semakin manusia mendekati makna kebahagiaan ciptaannya, semakin dia menjauhi makna kebahagiaan hakiki dan abadi. Oleh kerana itu, semakin dia mencari “bahagia”, semakin dia temui duka dan sengsara.
Maka, hadirnya buku yang serba ringkas ini, untuk mengajak manusia agar mereka melalui jalan kebahagiaan hakiki, dengan meninggalkan kebahagiaan palsu yang lahir daripada angan-angan dan persepsi. Bahagia itu mulanya pada perjalanan kita menuju bahagia. Kalau seseorang menuju kebahagiaan hakiki dan abadi, maka setiap langkah dalam menuju kebahagiaan hakiki tersebut adalah kebahagiaan, begitulah sebaliknya. Oleh kerana itu, buku ini menyeru ke arah: “Marilah Menuju Kebahagiaan…”.
Ia bermula daripada kita memperbaiki makna kebahagiaan dalam diri kita dengan makna kebahagiaan hakiki, lalu kita terus melangkah menujunya dengan langkah yang teliti berdasarkan petunjuk Ilahi. Pada ketika itulah, kita akan menjalani sebuah kehidupan Rabbani yang membawa kebahagiaan abadi, di dunia ini dan di akhirat nanti. ”
Kata-kata Aluan
“Meyingkap Tabir Bahagia”
Oleh Sheikh Rahimuddin bin Nawawi Al-Bantani
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah, Tuhan yang menjadikan kehidupan ini sebagai jalan untuk para hambaNya mencapai kebahagiaan. Selawat dan Salam buat Rasulullah s.a.w., ahli keluarga, para sahabat dan seluruh umat yang mengikut jalan Baginda s.a.w. menuju kebahagiaan.
Amma ba’du…
Banyak buku yang berbicara tentang kerohanian, akan tetapi penyampaiannya lebih bersifat materialistik atau cenderung kepada dominasi rasional, sehingga kebahagiaan hanya menjadi sebuah sasaran logika semata-mata.
Sebenarnya, kebahagiaan, cinta dan kasih sayang hanya terdapat di hati rohani yang bersih dan merdeka dari belenggu selain Allah s.w.t. serta murni dari pelbagai tujuan selain Allah s.w.t.. Ini kerana, kebahagiaan, cinta dan kasih sayang hanyalah sebuah identifikasi dari cinta dan kasih sayang Allah s.w.t. kepada hambaNya. Maka, kebahagiaan yang hakiki adalah kebahagiaan yang terbit dari roh yang murni ini.
Sidi Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin adalah salah seorang yang telah merasai realiti ini dalam hidupnya kemudian dengan pengalaman spiritual (kerohanian) ini, dituangkan ke dalam tarian pena yang sederhana, mudah dan senang dibaca bagi mengenal makna kebahagiaan hakiki ini.
Semoga ketulusan yang dilahirkan ini maqbul (diterima) di sisi Allah s.w.t. dan manusia, sehingga dapat mengantar pembaca dan umat ini secara umum kepada kebahagiaan hakiki.
Sheikh Rohimuddin bin Nawawi Al-Bantani
Pembimbing Markaz Darul Hasani
Kaherah, Mesir
No comments:
Post a Comment