9.27.2011

Darwinisme dalam Penyusunan Sejarah Moden


Kita perlu dengar dan pelajari sesuatu daripada sejarah. Namun, dalam perkembangan pengetahuan semasa, kita berhadapan dengan banyak perkara-perkara yang sama dan bersifat spekulatif (zhanni). Kita dapati, pengaruh khurafat fahaman Darwinisme sangat mengakar dalam pelbagai bidang ilmu semasa, terutamanya yang dikembangkan oleh Barat, lalu diterima secara mudah oleh masyarakat Islam.

Kita dapati secara umum, sebahagian saintis Barat dan Timur sangat berusaha untuk mengetengahkan idea evolusi yang mengaitkan manusia berasal daripada beruk. Fahaman ini akhirnya turut mempengaruhi pensejarahan sesetengah ahli sejarah moden lalu mempengaruhi kebanyakan masyarakat awam.

Charles Robert Darwin atau lebih dikenali sebagai Charles Darwin adalah seorang pengkaji alam yang berasal dari England. Antara buku beliau yang sangat terkenal adalah buku The Origin of Species yang membahaskan bahawasanya semua binatang berasal daripada amoeba, iaitu sejenis haiwan yang mempunyai satu sel. Kemudian, dalam buku beliau, The Descent of Man, beliau mengetengahkan idea bahawa manusia berasal daripada binatang.

Dari sudut aqidah Islam, fahaman Darwinisme dan teori evolusinya menyalahi aqidah Islam yang murni kerana aqidah Islam (bahkan kepercayaan seluruh agama samawi) menegaskan bahawasanya manusia berasal dari Nabi Adam a.s. dan Hawa.

Dalam buku Darwinism and History, J.B. Bury menjelaskan pengaruh besar fahaman Darwinisme dalam pembentukan konsep periodisasi (peringkat-peringkat masa) dalam sejarah dan evolusi budaya manusia secara umum. Pembahagian peringkat manusia kepada zaman Paleolitik, Zaman Neolitik, Zaman Logam dan Zaman Besi juga mempunyai hubung kait yang sangat rapat dengan teori Darwinisme.

Kefahaman tentang zaman Paleolitik dan zaman Neolitik sebagai zaman terawal bagi sejarah manusia adalah berteraskan teori evolusi yang memahami pada ketika itu manusia baru sahaja berubah daripada manusia beruk kepada manusia dan masih tidak bertamadun. Padahal, dalam aqidah Islam, kita fahami bahawasanya, Nabi Adam a.s. yang merupakan bapa kepada seluruh manusia diturunkan dari syurga dengan penguasaan ilmu pengetahuan sebagaimana ditegaskan dalam Al-Qur’an.

Bahkan, kita dapati Nabi Nuh a.s. juga sudah mampu membina sebuah bahtera besar yang memuatkan pelbagai jenis haiwan. Begitu juga zaman Nabi Musa a.s., sudah ada tamadun Mesir Purba. Jadi, sejarah awal manusia bermula daripada kepimpinan para nabi yang sudah bertamadun. Maka, kita perlu menapis semula info sejarah yang menyalahi aqidah Islam ini, agar masyarakat tidak terus terkeliru sehingga menyangka manusia bermula dengan suatu tahap tidak bertamadun. Kita dapati, kelompok kecil manusia yang tidak bertamadun adalah kesan daripada menjauhi masyarakat yang bertamadun.


No comments:

Post a Comment