8.27.2012

Perbahasan Takwa



Allah s.w.t. menurunkan Al-Qur’an ke atas Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam untuk menjadi petunjuk dan panduan kepada seluruh umat manusia yang ingin mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Dalam Al-Qur’an, banyak ayat-ayat yang membahaskan tentang kunci kebahagiaan abadi. Antaranya adalah, ayat-ayat yang membahaskan tentang sifat takwa, iaitu salah satu kunci ketenangan jiwa yang seterusnya membawa kepada kebahagiaan abadi di dunia dan di akhirat.

Takwa dari Sudut Bahasa

Takwa berasal daripada kalimah Arab. Kata dasar bagi takwa dalam bahasa Arab ialah waqwa. Namun, huruf waw di permulaan perkataan waqwa tersebut ditukar kepada huruf ta' menjadi takwa. Takwa dari sudut bahasa Arab: pemeliharaan, perlindungan, penjagaan dan sebagainya. Perlindungan pula bererti: menjaga sesuatu daripada kerosakan ataupun memelihara daripada apa-apa yang menakutkan.

Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan maksud perkataan takwa dari sudut bahasa ini dengan firmanNya yang bermaksud: “Maka Allah memelihara mereka (orang yang beriman) daripada kesusahan hari itu (Akhirat), dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. (Surah Al-Insan: 11)  Dalam ayat ini menunjukkan bahawasanya, perkataan takwa ini pada asalnya bermaksud, memelihara sesuatu.

Takwa dari Sudut Syarak

Takwa dari sudut syarak pula bermaksud: pemeliharaan diri daripada perkara-perkara yang merosakkan Akhirat seseorang. [Ruh Al-Ma'ani karangan Imam Al-Alusi 1/108] Maksudnya, takwa bererti, seseorang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada siksaan di akhirat kelak, seperti tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan tidak meninggalkan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atasnya.

Oleh yang demikian, Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan pemeliharaan diri ini:  Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka (Surah At-Tahrim: 6)

Saidina Ali r.a. berkata:  (Taqwa ialah) takut kepada Allah yang Maha Agung, beramal dengan Al-Qur’an yang diturunkan, berasa cukup dengan sedikit yang dimiliki dan bersedia untuk kematian”.

Dr. Ahmad As-Sayyid Ali berkata: "Memelihara diri itu dengan melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t. dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Adapun memelihara ahli keluarga (daripada neraka) itu, dengan menyuruh mereka melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t…" [At-Taqwa fi Dhou'i Al-Qur'an wa As-Sunnah: 10]


Peringkat-peringkat Taqwa

Peringkat Pertama: Menjauhi Syirik

Syirik bererti: menyekutukan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan pengabdian. Iaitu, seseorang itu menyembah tuhan selain Allah s.w.t..

Syirik itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Syirik Besar: Iaitu, menyembah tuhan selain daripada Allah s.w.t.. Syirik ini membawa seseorang kepada kekufuran atau, keluar daripada Islam.

Kedua: Syirik Kecil (Tersembunyi): Iaitu, seseorang beribadah kepada Allah s.w.t. dengan sifat ujub, riya' dan takabbur. Syirik kecil ini tidak membawa seseorang kepada keluar daripada Islam, tetapi ianya termasuk dalam dosa-dosa yang paling berat di sisi Allah s.w.t., yang perlu dijauhi.

Peringkat Kedua: Menjauhi Dosa-dosa Besar

Dosa itu sendiri bererti, suatu perkara yang dikeji oleh syarak, yang mana, sesiapa yang melakukannya, maka dijanjikan dengan balasan ke atasnya. Dosa-dosa besar ada dua jenis iaitu, dosa-dosa besar yang zahir dan dosa-dosa besar yang batin.

Adapun dosa-dosa besar yang zahir adalah seperti: membunuh, minum arak, berzina, berjudi, menderhakai ibu bapa, melarikan diri daripada peperangan dan sebagainya. Adapun dosa-dosa besar yang batin adalah dosa-dosa yang tersembunyi dalam hati seperti sifat ujub (bangga diri), hasad dengki, tamak, bakhil dan sebagainya.

Dosa-dosa besar ini, samada zahir mahupun batin, perlu dijauhi sedaya-upaya, kerana sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar ini, maka Allah s.w.t. menjanjikan siksaan yang berat ke atasnya. Cara untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa besar adalah dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. terhadap dosa-dosa tersebut dan tidak mengulanginya sedaya-upaya.

Peringkat Ketiga: Menjauhi Dosa-dosa Kecil

Dosa-dosa kecil pula adalah, perbuatan-pebuatan yang dikeji juga oleh syarak, tetapi tidak seberat kejian terhadap dosa-dosa besar, dan dijanjikan ancaman siksaan ke atas orang-orang yang melakukannya, tetapi tidak seberat ancaman dosa-dosa besar.

Seorang penyair berkata tentang taqwa:

Tinggalkanlah dosa samada yang kecil,
mahupun yang besar, maka itulah taqwa.
Jadikanlah seumapa kamu berjalan  di atas tanah,
 yang berduri dan awasilah bahaya yang didapati.
Janganlah memandang kecil dosa yang kecil,
kerana bukit yang besar itu berasal dari batu-batu kecil.

Al-Qur’an banyak membincangkan tentang kepentingan takwa ini kerana ianya adalah sebahagian kemuncak kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t.. Takwa adalah pintu masuk kepada rasa diawasi oleh Allah s.w.t. (muroqobah) seterusnya mengecapi nikmat penyaksian Allah s.w.t. dengan mata hati (Musyahadah).

Pedoman Al-Qur’an terhadap takwa, cara-cara membawa kepada takwa dan natijah takwa telah penulis bahaskan secara terperinci dalam buku penulis berjudul “Al-Qur’an Berbicara Tentang Takwa” yang diterbitkan oleh Pelima Media Sdn Bhd. Sesiapa yang ingin mendapat perbahasan yang terperinci mengenai pedoman Al-Qur’an tentang sifat takwa ini boleh mendapatkan buku ini di pasaran.

Kesimpulannya, manusia hanya mengetahui erti bahagia jika dia mengetahui ianya hanya terletak pada hubungan dengan Allah s.w.t.. Dengan demikian, baharulah manusia mampu mencarinya dalam lapangan ibadah dan ketaatan kepada Allah s.w.t. dengan penuh kehambaan kepada-Nya.

No comments:

Post a Comment