9.30.2012

Konsep Ilmu yang Bermanfaat dalam Islam




Konsep Ilmu yang Bermanfaat dalam Islam

Dalam bidang ilmu pengetahuan, krisis yang berlaku dalam masyarakat ilmuwan kembali kepada suatu perkara yang sangat ditakuti oleh Baginda Rasulullah SAW. Diriwayatkan dalam sebuah hadis:-

‏عَنْ ‏ ‏أَبِي هُرَيْرَةَ ‏ ‏قَالَ: كانَ مِنْ دُعَاءِ النَّبِيِّ ‏ ‏صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ‏ ‏اللَّهُمَّ إِنِّي أَعُوذُ بِكَ مِنْ عِلْمٍ لَا يَنْفَعُ وَمِنْ دُعَاءٍ لَا يُسْمَعُ وَمِنْ قَلْبٍ لَا يَخْشَعُ وَمِنْ نَفْسٍ لَا تَشْبَعُ ‏

Maksudnya: “Daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau berkata: “Antara doa Nabi s.a.w. adalah “Wahai Tuhanku, aku berlindung denganMu daripada ilmu yang tidak bermanfaat, doa yang tidak didengari, hati yang tidak khusyuk dan nafsu yang tidak pernah puas”.[1]

Ilmu yang tidak bermanfaat merupakan krisis yang sangat besar dalam masyarakat ilmuwan sehingga menyebabkan ilmu yang sepatutnya menjadi sumber kebahagiaan kepada mereka, sebaliknya menjadi sumber kebinasaan mereka.

Imam As-Sindi berkata dalam ‘Syarah Sunan Ibn Majah’ pada mensyarahkan hadis tersebut: “Sesungguhnya, ilmu jika tidak memberi manfaat kepada tuannya, maka ia akan menjadi hujah ke atasnya”.

Ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang menjadi pendorong kepada tuannya untuk mengamalkannya. Dalam erti kata yang lain, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang diamalkan oleh tuannya dalam rangka untuk mendekatkan diri kepada Tuhannya melalui amal ibadah dan penunaian aspek kehambaan.

Justeru, Islam sangat mementingkan ilmu yang dipelajari oleh seseorang dalam rangka membentuk hala tuju berfikir yang sahih dalam mindanya agar menatijahkan amalan yang sahih. Maka, kita dapati Islam menekankan hiraki ilmu (maratib al-ilm) secara jelas sesuai dengan kepentingannya dalam maksud menyempurnakan kehambaan seseorang kepada Tuhannya.

Peringkat-peringkat Ilmu (Maratib al-Ilm)

Oleh yang demikian, kita dapati, dalam pembahagian ilmu menurut Islam, ilmu-ilmu yang dinilai sebagai fardhu ‘ain (wajib bagi setiap muslim untuk mempelajarinya) adalah ilmu-ilmu yang menjadi asas penyempurnaan kehambaan seseorang kepada Tuhannya seperti ilmu aqidah, ilmu fiqh/syariah dan ilmu akhlak.


Guru kepada guru kami, Sheikh Abdul Qadir Isa Al-Halabi berkata dalam Haqa’iq Ani At-Tasawwuf:-

“Ilmu ada tiga jenis:

Pertama: Ilmu yang dituntut.
Kedua: Ilmu yang dilarang.
Ketiga: Ilmu yang digalakkan

Pertama: Ilmu yang dituntut

Ilmu yang dituntut ada dua jenis:

Fardhu ‘Ain: Setiap Mukallaf difardhukan untuk mempelajarinya secara individu dan Fardhu Kifayah: iaitu setiap orang difardhukan untuk mempelajarinya tetapi gugur kefardhuan tersebut jika ada sebahagian daripada muslimin yang mempelajarinya.

Adapun ilmu yang menjadi fardhu ’ain tersebut adalah:

Pertama: Mempelajari aqidah ahlus-sunnah wal jamaah dengan istidlal ijmali (pendalilan yang asas/ringkas) dalam setiap masalah keimanan agar seseorang keluar daripada belenggu taqlid dan dapat memelihari imannya ketika berhadapan dengan ancaman golongan atheis dan golongan sesat.

Kedua: Mempelajari ilmu yang membolehkan seseorang Mukallaf untuk melakukan apa yang difardhukan ke atasnya seperti solat, zakat, haji, puasa dan sebagainya.

Ketiga: Mempelajari sebahagian daripada hukum-hakam Mu’amalat yang diperlukan dalam aktiviti harian yang dilakukannya seperti jual-beli, sewa, nikah dan sebagainya agar dia dapat melakukan mengikut apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t. dan dapat menjauhi larangan-Nya.

Keempat: Mempelajari hal-hal hati seperti tawakkal, takut kepada Allah, redha dan sebagainya yang dapat membentuk kemurnian hati seseorang muslim.

Kelima: Mempelajari tentang akhlak-akhlak baik dan buruk samada khlak tersebut zahir mahupun batin.

Adapun ilmu-ilmu fardhu kifayah yang mana ianya diperlukan dalam pembangunan masyarakat (seperti ilmu perubatan dan sebagainya) dan secara kelompok seperti mendalami ilmu fiqh, ilmu tafsir dan sebagainya.

Adapun ilmu-ilmu yang dicegah untuk mempelajarinya adalah:

Pertama: Mendalami mazhab-mazhab sesat dan fikiran-fikran sesat tanpa bertujuan untuk menolaknya, iaitu sekadar ingin memahaminya.

Kedua: Mendalami ilmu Tajnim (astrologi) atau perdukunan.

Ketiga: Ilmu Sihir, jika tujuan mempelajarinya untuk mengamalkannya.

Adapun ilmu-ilmu yang digalakkan mempelajarinya adalah seperti ilmu-ilmu tentang kelebihan-kelebihan sesuatu amalan, mengetahui amalan-amalan sunat dan makruh, mempelajari ilmu fardhu kifayah setelahmana ada golongan yang telah mempelajarinya, mendalami ilmu fiqh dan cabangnya, dan sebagainya.”[2]

Ilmu yang Menjadi Hidayah

Imam al-Ghazali r.a. menjelaskan maksud “manfaat” bagi sesebuah ilmu berdasarkan syarak sebagaimana dalam kitab ‘Al-Mustosfa[3]:-

وليست المنفعة في الشهوات الحاضرة والنعم الفاخرة فإنها فانية دائرة ، بل النفع ثواب دار الآخرة

Maksudnya: “Bukanlah manfaat itu pada syahwat semasa dan nikmat yang dimegahkan di dunia kerana ianya adalah sebuah perkara yang fana’. Bahkan, manfaat tersebut adalah pahala pada hari akhirat nanti.”

Maksudnya, manfaat daripada ilmu adalah manfaat yang kekal sehingga ke akhirat. Adapun manfaat duniawi yang sementara, maka, ia tidak dinilai sebagai manfaat yang hakiki dalam neraca syarak.

Maka, ilmu yang bermanfaat dalam neraca nabawi adalah ilmu yang menjadi hidayah dalam rangka penyempurnaan kehambaan seseorang kepada Tuhannya. Rasulullah s.a.w. bersabda dalam sebuah hadis yang lebih jelas:

من ازداد علما ولم يزدد هدى لم يزدد من الله إلا بعدا .

Maksudnya: “Sesiapa yang bertambah ilmunya, namun tidak bertambah petunjuk, maka tiada bertambah daripada Allah melainkan kejauhan (bertambah jauh daripada Allah s.w.t.)[4]

Ilmu sebagai hidayah juga bererti ianya menjadi jalan untuk mengenal Allah s.w.t.. Oleh sebab itulah, pengetahuan seseorang kejadian alam ini (kosmologi) dan diri sendiri sepatutnya mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. kerana alam ini dan diri sendiri adalah antara tanda-tanda kewujudan, keesaan, kekuasaan dan ketuhanan Allah s.w.t..

Oleh sebab itulah dalam surah al-`Alaq[5] ketika Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…” menunjukkan betapa ilmu adalah jalan mengenal Allah s.w.t. sebagai Maha Pencipta.

Berdasarkan ayat tersebut kita fahami bahawasanya, Islam menggalakkan kita menuntut ilmu yang bersifat bersepadu (intergrated knowladge) yang mana setiap ilmu tersebut mendekatkan diri kita kepada kewujudan dan keagungan Allah s.w.t., bukan menjauhkan kita daripada konsep ketuhanan sebagaimana sifat ilmu yang cuba dikembangkan oleh masyarakat Barat moden iaitulah ilmu yang terpisah (departmentalised knowladge).

Isyarat kesepaduan ilmu ini didapati pada firman Allah s.w.t. yang berbunyi: “bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan…”, yang menunjukkan bahawasanya, ilmu itu semestinya sesuatu yang mendekatkan dirimu kepada Maha Pencipta itu sendiri (taqarrub). Justeru, kembali kepada konsep asal ilmu dalam Islam dapat menyelesaikan krisis disebabkan Sekularisasi Ilmu.

Ilmu yang Membuahkan Amal

Antara konsep dan maksud ilmu yang bermanfaat dalam Islam juga adalah ilmu yang bersifat praktikal bahkan membuahkan kesedaran dalam diri seseorang yang berilmu untuk mengamalkan ilmunya, terutamanya ilmu-ilmu agama yang praktikal, yang telah dipelajarinya. Krisis ilmu tanpa amal ini banyak berlaku dalam komuniti mereka yang mendalami ilmu-ilmu agama, sebagaimana dijelaskan oleh para ulama’.

Imam al-Ghazali r.a. antara tokoh ilmuwan Islam yang sangat ketara dalam membahaskan krisis ilmu tanpa amal ini, dalam kebanyakan karya dan tulisan beliau. Bahkan, beliau pernah mengingatkan bahawasanya ilmu tanpa amal umpama seorang pahlawan yang lengkap bersenjata, namun ketika berhadapan dengan binatang buas, dia tidak menggunakan senjata tersebut untuk mempertahankan dirinya. Maka, senjata-senjata yang dimilikinya tidak bermanfaat buat dirinya kerana dia tidak menggunakannya untuk mempertahankan dirinya daripada serangan binatang buas.

Saidina Abu al-Darda’ r.a. berkata:

إنما أخشى على نفسي أن يقال لي على رؤوس الخلائق : يا عويمر هل علمت ؟ فأقول : نعم ، فيقال : ماذا عملت فيما علمت ؟ .

Maksudnya: “Sesungguhnya saya takut ke atas diriku akan dikatakan kepadaku (di akhirat) ketika di hadapan sekalian makhluk: “Wahai ‘Uwaimir. Adakah kamu ketahui (berilmu)?” Maka, saya katakan: “Ya.” Maka dikatakan (kepadaku): “Apa yang engkau amalkan daripada apa yang engkau ketahui.”[6]

Sebahagian guru kami mengingatkan para penuntut ilmu untuk meninggalkan jidal (perdebatan) dalam bidang keilmuan pada peringkat menuntut ilmu kerana banyaknya berdebat itu akan mengurangkan upaya untuk beramal. Orang yang sibuk mengisi waktunya dengan debat dan berbicara semata-mata, akan mengabaikan amal yang perlu dilakukan daripada ilmu yang telah dipelajari.

Hubungan Ilmu dengan Hikmah
Allah s.w.t. berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah menganugerahkan al hikmah kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Surah al-Baqarah: 269)

Sebahagian ulama’ tafsir menafsirkan al-Hikmah sebagai pengetahuan terhadap hakikat sesuatu sebagaimana ia. Sebahagian ulama’ tafsir yang lain pula menafsirkan al-hikmah sebagai perealisasian ilmu (dalam bentuk penghayatan dan amalan) dan ketetapan ilmu (sampai tahap yakin). [7] Di sinilah hubung kait antara al-hikmah dengan al-Ilm al-Nafi’e atau ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang bermanfaat ada pada dua bentuk iaitu: pada ilmu berbentuk kefahaman dan pada ilmu berbentuk praktikal. Maka, ilmu yang bermanfaat berbentuk kefahaman adalah, penghayatan yang jelas dan benar dalam hati seseorang samada dengan perasaan (zauq) atau penyaksian mata hati (syuhud) atau keyakinan. Adapun bagi ilmu berbentuk praktikal, maka ilmu yang bermanfaat baginya adalah jika ilmu itu membawa kepada kekuatan untuk mengamalkannya atau adanya bantuan Allah s.w.t. dalam diri seseorang untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan.

Imam Fakhruddin al-Razi[8] menjelaskan hal ini dengan berkata: hikmah adalah ilmu dan kefahaman. Ilmu adalah pengetahuan terhadap sesuatu samada secara ringkas mahupun terperinci. Kefahaman pula adalah suatu pengetahuan dan dapatan akal yang bersifat terperinci dan tidak mudah didapati. Bahkan, kesempurnaan kehambaan seseorang manusia kembali kepada dua perkara:

Pertama: Mengetahui kebenaran sebagaimana ianya. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-Nazhoriyyah.

Kedua: Melakukan sesuatu dengan betul. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-‘Amaliyyah.

Maka, kedua-dua ini boleh dianggap sebagai hikmah bagi manusia, iaitu kemuncak kepada penguasaan ilmu dengan kecerdasan akal.[9]

Penyembuh Krisis dalam Lapangan Ilmu

Konsep al-Hikmah atau al-Ilm al-Nafi’e adalah solusi kepada krisis Sekularisme dalam bidang ilmu pengetahuan. Jika konsep ilmu secara islamik diterapkan dalam sistem pembelajaran, sebagaimana ianya menjadi teras kepada sistem pembelajaran dalam masyarakat Islam suatu ketika dahulu, nescaya umat Islam akan dapat menghindari penyakit Sekularisme dalam bidang ilmu pengetahuan.

Di samping tradisi pembelajaran dan konsep ilmu secara Islamik, penekanan terhadap tujuan menuntut ilmu juga perlu diambil kira kerana niat dalam menuntut ilmu menurut Islam adalah bertunjangkan konsep kehambaan. Ini bererti, seseorang perlu mempunyai niat beribadah dalam menuntut ilmu iaitu dia menuntut ilmu kerana ingin menunaikan perintah Allah s.w.t. dan ingin mendapat redha daripada Allah s.w.t..

Manfaat daripada ilmu bukan terbatas kepada kebendaan semata-mata sebagaimana ianya difahami oleh golongan Pragmatis dan Materialis Barat, tetapi lebih besar daripada itu. Manfaat utama daripada ilmu adalah untuk membawa seseorang kepada mengenal hakikat diri dan makhluk lalu membawa kepada mengenal hakikat ketuhanan Allah s.w.t.. Ilmu yang tidak membawa seseorang kepada Allah s.w.t. dikenali sebagai hijab dan tidak ada nilai cahaya padanya. Nauzubillah min zalik

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin

`Amalahullah bi Lutfihi al-Khafiy







[1] Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya dan sebagainya.
[2] Tamat rujukan daripada kitab Haqa’iq Ani At-Tasawwuf dalam bab Ilmu m/s: 55-58
[3] m/s: 4
[4] Hadith diriwayatkan daripada Saidina Ali r.a. dengan sanad dha’if menurut Imam Al-‘Iraqi dalam Takhrij beliau terhadap kitab Al-Ihya’ (1/86).
[5]  ayat pertama
[6] Hilyah al-Auliya’
[7] Al-Bahr al-Madid pada ayat tersebut.
[8] Beliau ialah al-Mujadddin al-Imam Fakhruddin Abu Abdillah Muhammad bin Imam Umar bin Al-Hasan bin Al-Husein At-Taimi Al-Bakri. Nasab beliau bersambung juga kepada Saidina Abu Bakr As-Siddiq r.a.. Beliau dilahirkan di Bandar Ri pada tahun 543 Hijrah. Ayahnda beliau adalah Imam Dhiya’uddin Umar bin Al-Husein bin Al-Hasan yang merupakan seorang ulama’ fiqh yang besar yang juga merupakan murid kepada Imam Al-Baghawi. Antara kitab-kitab beliau: Ikhtashar Dala’il Al-I’jaz, Asas At-Taqdis, Al-Masa’il Al-Khamshun fi Usul Al-Kalam, Tafsir Mafatih al-Ghaib dan sebagainya. Beliau meninggal dunia pada satu syawal tahun 606 Hijrah.
[9] Boleh rujuk kitab tafsir Mafatih al-Ghaib karangan al-Imam al-Razi

9.03.2012

Peranan Para Ulama’ Sufi dalam Perkembangan Ilmu Pengetahuan




Para ulama’ sufi tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Antara perkembangan utama dalam bidang ilmu pengetahuan adalah perkembangan bidang falsafah termasuklah falsafah ilmu itu sendiri.

Sebagaimana diketahui, di awal perkembangan bidang falsafah Islam, ianya banyak dicemari oleh pengaruh pemikiran Yunani dan sebagainya yang tidak bersesuaian dengan Islam. Ini kerana, bidang falsafah dikembangkan oleh beberapa tokoh Islam yang sangat berpegang dengan penggunaan akal secara berlebihan tanpa suluhan kerohanian yang murni.

Maka, muncul seorang tokoh besar sufi yang terkenal iaitulah Hujatul Islam Imam Al-Ghazali r.a., yang bukan setakat mencetuskan perubahan dalam bidang ilmu tasawwuf, tetapi beliau juga mencetuskan sebuah pemurnian bidang falsafah Islam terutamanya menerusi dua karya beliau yang berjudul Maqasid Al-Falasifah dan Tahafut Al-Falasifah.

Begitu juga, setelah itu, ilmu falsafah Islam dikembangkan oleh ramai tokoh sufi besar trutamanya setelah perkembangan ilmu hikmah yang merupakan suatu bentuk ilmu falsafah Islam yang murni berteraskan perpaduan antara kebersihan hati yang mendapat ilham daripada Allah s.w.t. atau ilmu ladunni (self-knowledge) dan kecerdasan akal dengan penguasaan ilmu mantik.

Ilmu Hikmah (perkembangan bagi ilmu mantik dan falsafah Islam) berkembang terutamanya melalui kitab Hikmah Al-Isyraq karangan Imam Suhrawardi r.a. (549-587 H). Kitab ini membahaskan tentang proses mencapai hikmah di sisi para Hukama’. Sebahagian pengkaji mengandaikan bahawasanya, hikmah Al-Isyraq merupakan pengaruh kepada pemikiran yang terkandung dalam kitab Misykat Al-Anwar karangan Imam Al-Ghazali r.a..

Bahkan, perbahasan hikmah dalam bab ketuhanan dan kewujudan turut mempengaruhi sesetengah tokoh sufi terkemudian seperti Sheikhul Akbar Ibn Arabi r.a. (560-638 H) lalu dikembangkan oleh Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari (658-709 H) melalui kitab Hatk Al-Astar, Imam Abdul Karim Al-Jili r.a. (767-832 H), Imam Abdul Wahab As-Sya’rani As-Syafi’e Al-Misri r.a. (898-973 H) menerusi kitab beliau Al-Kibrit Al-Ahmar dan Imam Abdul Ghani An-Nabulsi r.a. (1050-1143 H). Mereka inilah yang memurnikan falsafah Islam dengan panduan ilmu tasawwuf murni. Ilmu mereka berbeza dengan tasawwuf falsafi yang dikenali oleh sesetengah ahli ilmu kerana ahli ilmu yang menganggap atau menilai tasawwuf falsafi adalah golongan yang tidak memahami ilmu yang para ulama’ sufi tersebut kembangkan kerana sekadar berinteraksi dengan zahir perkataan-perkataan mereka, tanpa berkongsi rasa yang menyebabkan mereka berkata dengan perkataan-perkataan sedemikian. Bukan semua perkataan itu terbatas kefahamannya dari sudut zahir.

Bidang hikmah juga dikembangkan oleh beberapa tokoh sufi lain seperti Imam Najmuddin Al-Qazwini (w: 675 H) melalui kitab beliau berjudul ‘Ain Al-Qawa’id fi Al-Mantiq wa Al-Hikmah, Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya. Lalu, ianya diteruskan oleh Imam As-Syarif Al-Jurjani menerusi kitab beliau Syuruh ‘ala Syarh Al-Bukhari ‘ala Hikmah Al-‘Ain, Hasyiyyah ‘ala Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya.
Dalam bidang astronomi pula, antara tokoh-tokoh sufi yang mengembangkan ilmu tersebut adalah seperti Imam Al-Ghazali r.a., Sheikh Abdul Rahman As-Sufi (w: 376 H) dan Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a.

Dalam bidang ilmu agama juga, para ulama’ sufi banyak memainkan peranan yang penting. Institusi pendidikan utama dalam negara-negara Islam banyak melibatkan para ulama’ sufi seperti Al-Azhar As-Syarif di Mesir, pengajian di Haramain sebelum zaman pengaruh wahabi, Maghribi, pengajian di pondok-pondok dan madrasah di Nusantara dan sebagainya.

Kesimpulannya, bidang ilmu yang menjadi kunci kepada penguasaan terhadap ilmu pengetahuan dikembangkan oleh sebahagian ulama’ sufi iaitulah bidang hikmah (kebijaksanaan). Bahkan, sebahagian para ulama’ sufi menggabungkan penggunaan akal dengan penghayatan perasaan rohani lalu mengetengahkan perbahasan-perbahasan berbentuk kebijaksanaan.

Maka, tradisi berfikir dalam amalan sufi juga banyak dikaitkan dengan hikmah kerana mempunyai gabungan antara kecerdasan akal dan kejernihan hati yang disuluhi ilham dari Ilahi. Maka, kita banyak mendengar dalam kitab-kitab golongan sufi, ada yang dikenali sebagai pelajaran Hikam sebagaimana Hikam Abu Madyan, Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari, Hikam Al-Kurdi dan sebagainya.

Para ulama’ sufi generasi setelah itu berperanan besar dalam mengembangkan bidang hikmah dan mempimpin bidang falsafah dan pemikiran Islam terutamanya dalam menghadapi pelbagai serangan pemikiran masa kini seperti fahaman Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme dan sebagainya.

9.01.2012

Hikmah dan Fiqh al-Hayah




Kebijaksanaan… Kalau itulah istilah, untuk menterjemahkan erti hikmah, iaitu melihat apa yang hakiki sebagai hakiki, dan tidak tertipu dengan apa yang fantasi.

Allah s.w.t. berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Surah al-Baqarah: 269)

Sebahagian ulama’ tafsir menafsirkan al-Hikmah sebagai pengetahuan terhadap hakikat sesuatu sebagaimana ia. Sebahagian ulama’ tafsir yang lain pula menafsirkan al-hikmah sebagai perealisasian ilmu (dalam bentuk penghayatan dan amalan) dan ketetapan ilmu (sampai tahap yakin). [1] Jika demikian maksud hikmah, maka ianya bersesuaian dengan kalimah al-Ilm al-Nafi’e atau ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang bermanfaat adalah apa yang sering diminta oleh Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Ilmu itu ada dua bentuk iaitu: ilmu berbentuk kefahaman dan ilmu berbentuk praktikal. Maka, ilmu yang bermanfaat bagi ilmu berbentuk kefahaman adalah, penghayatan yang jelas dan benar dalam hati seseorang samada dengan perasaan (zauq) atau penyaksian mata hati (syuhud). Adapun bagi ilmu berbentuk praktikal, maka ilmu yang bermanfaat baginya adalah jika ilmu itu membawa kepada kekuatan untuk mengamalkannya atau adanya bantuan Allah s.w.t. dalam diri seseorang untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan.

Akhirnya, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang disertai amalan, samada ianya adalah amalan zahir mahupun amalan batin/perasaan (zauq dan syuhud).

Kita boleh dapati salah seorang manusia yang bersifat berhikmah dalam al-Qur’an. Allah s.w.t. berfirman lagi tentang Luqman r.a.:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)

Jumhur ulama’ salaf menegaskan bahawasanya Saidina Luqman adalah seorang al-Hakim, iaitu orang yang bijaksana, yang diberi hikmah oleh Allah s.w.t. dan bukan seorang nabi. Dikatakan bahawasanya, Luqman al-Hakim mempunyai lebih seratus kata-kata hikmah dalam kitab-kitab bani Israel.

Hikmah juga boleh difahami sebagai suatu kebijaksanaan iaitu pandangan akal yang cerdas dalam melihat banyak sudut dan persepsi yang berbeza daripada sesuatu perkara. Bahkan, kebijaksanaan juga adalah suatu kefahaman tentang hakikat yang luas di sebalik sesuatu yang dapat didapati dengan pancaindera yang terbatas.

Sebahagian ahli ilmu menjelaskan bahawasanya, hikmah adalah suatu jangkauan akal daripada maklumat-maklumat cabang menuju kefahaman-kefahaman menyeluruh. Maksudnya, sesorang yang berhikmah itu boleh menyimpulkan banyak bentuk atau perkara yang bersifat cabang kepada suatu kaedah kefahaman bersifat menyeluruh.

Kebijaksanaan atau hikmah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Sebagaimana ianya diberi kepada orang-orang yang beriman, kadang-kala, ianya diberi juga kepada orang-orang kafir. Cuma, hikmah tersebut terbatas kepada ilmu dan penguasaan kecerdikan akal, bukan ilmu yang bermanfaat sebagaimana disebutkan sebelum ini. Oleh sebab itulah, ahli falsafah menamakan diri mereka sebagai al-Hukama’ bahkan philoshopos itu sendiri dari perkataan Yunani yang bererti pencinta kebijaksanaan.

Sebagai orang-orang yang beriman yang melihat segala yang berlaku di sekelilingnya sebagai interaksi Allah s.w.t. kepada diri mereka, maka, mereka wajar mengambil kebaikan dan manfaat dari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Di mana sahaja mereka menemukan kebijaksanaan ataupun kebaikan, sudah pastilah mereka lebih berhak untuk memilikinya, kerana mereka adalah golongan manusia yang sudah mempunyai hubungan yang murni dengan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Benar.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda dengan maksud demikian:

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ أَيْنَ وَجَدَهَا أَخَذَهَا

Maksudnya: “Hikmah itu ciciran orang beriman. Di mana sahaja dia dapatinya, maka dia perlu mengambilnya.”[2]

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi[3], hikmah adalah ilmu dan kefahaman. Ilmu adalah pengetahuan terhadap sesuatu samada secara ringkas mahupun terperinci. Kefahaman pula adalah suatu pengetahuan dan dapatan akal yang bersifat terperinci dan tidak mudah didapati. Bahkan, kesempurnaan kehambaan seseorang manusia kembali kepada dua perkara:

Pertama: Mengetahui kebenaran sebagaimana ianya. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-Nazhoriyyah.

Kedua: Melakukan sesuatu dengan betul. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-‘Amaliyyah.

Maka, kedua-dua ini boleh dianggap sebagai hikmah bagi manusia, iaitu kemuncak kepada penguasaan ilmu dengan kecerdasan akal.[4]

Seseorang insan yang ingin mendapat kebahagiaan di dunia, maka, hendaklah meniti hari-harinya dengan penuh penghayatan terhadap makna diri sendiri, tujuan sebuah kehidupan dan erti perhubungan antara dirinya dengan Tuhan. Maka, daripada hikmah-hikmah para bijaksana terdahulu, samada daripada sumber wahyu yang utama, mahupun hikmah yang menjadi barang ciciran orang-orang beriman yang lain, kita cuba menyusun sebuah risalah dalam rangka mengajak para pembaca yang budiman, agar melihat sisi kehidupan dari sudut kehambaan. Ianya agar seseorang melihat kehidupan bukan sekadar suatu himpunan bagi hari-hari yang telah lalu, hari yang sedang dilalui dan hari-hari yang bakal datang, tetapi memahami kehidupan secara menyeluruh, lalu menghadapi perinciannya secara bijaksana.

Ini sangat penting kerana, kefahaman tentang kehidupan (fiqh al-hayah) menentukan watak seseorang dalam kehidupannya, sehingga akhirnya membentuk perjalanannya samada menuju kebahagiaan sejati atau kemurungan yang abadi. Seorang insan boleh hidup dengan mengabaikan prinsip-prinsip kehidupan, tujuan-tujuannya serta tugas diri dalam dunia, namun dia tidak akan mati sebagaimana yang dia ingini. Lalai bukan pintu merdeka, tetapi ianya pintu kecewa.


[1] Al-Bahr al-Madid pada ayat tersebut.
[2] Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Thahir al-Silafi dalam Kitab al-Ilm dan sebagainya dengan sanad lemah kerana mengandungi Muhammad bin Humaid. Begitu juga ianya diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunan beliau, Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’e beliau, Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra,  dan sebagainya juga = dengan lafaz yang berbeza-beza dan sanad yang lemah kerana mengandungi perawi bernama Ibrahim bin al-Fadhl al-Makhzumi yang dinilai sebagai lemah sebagaimana disebut dalam Tazkirah al-Huffaz dan kitab al-Dhu’afa al-Kabir oleh al-Uqaili. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq dengan sanad yang lain namun lebih lemah. Walau bagaimanapun, makna hadis ini sahih bersesuaian dengan keterangan ayat al-Qur’an sebelum ini dan banyak perintah daripada al-Qur’an agar seseorang menuntut ilmu dan mencari kebenaran dari mana sahaja dia boleh cari.
[3] Beliau ialah al-Mujadddin al-Imam Fakhruddin Abu Abdillah Muhammad bin Imam Umar bin Al-Hasan bin Al-Husein At-Taimi Al-Bakri. Nasab beliau bersambung juga kepada Saidina Abu Bakr As-Siddiq r.a.. Beliau dilahirkan di Bandar Ri pada tahun 543 Hijrah. Ayahnda beliau adalah Imam Dhiya’uddin Umar bin Al-Husein bin Al-Hasan yang merupakan seorang ulama’ fiqh yang besar yang juga merupakan murid kepada Imam Al-Baghawi. Antara kitab-kitab beliau: Ikhtashar Dala’il Al-I’jaz, Asas At-Taqdis, Al-Masa’il Al-Khamshun fi Usul Al-Kalam, Tafsir Mafatih al-Ghaib dan sebagainya. Beliau meninggal dunia pada satu syawal tahun 606 Hijrah.
[4] Boleh rujuk kitab tafsir Mafatih al-Ghaib karangan al-Imam al-Razi