9.03.2012

Peranan Para Ulama’ Sufi dalam Perkembangan Ilmu Pengetahuan




Para ulama’ sufi tidak ketinggalan dalam memberi sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Antara perkembangan utama dalam bidang ilmu pengetahuan adalah perkembangan bidang falsafah termasuklah falsafah ilmu itu sendiri.

Sebagaimana diketahui, di awal perkembangan bidang falsafah Islam, ianya banyak dicemari oleh pengaruh pemikiran Yunani dan sebagainya yang tidak bersesuaian dengan Islam. Ini kerana, bidang falsafah dikembangkan oleh beberapa tokoh Islam yang sangat berpegang dengan penggunaan akal secara berlebihan tanpa suluhan kerohanian yang murni.

Maka, muncul seorang tokoh besar sufi yang terkenal iaitulah Hujatul Islam Imam Al-Ghazali r.a., yang bukan setakat mencetuskan perubahan dalam bidang ilmu tasawwuf, tetapi beliau juga mencetuskan sebuah pemurnian bidang falsafah Islam terutamanya menerusi dua karya beliau yang berjudul Maqasid Al-Falasifah dan Tahafut Al-Falasifah.

Begitu juga, setelah itu, ilmu falsafah Islam dikembangkan oleh ramai tokoh sufi besar trutamanya setelah perkembangan ilmu hikmah yang merupakan suatu bentuk ilmu falsafah Islam yang murni berteraskan perpaduan antara kebersihan hati yang mendapat ilham daripada Allah s.w.t. atau ilmu ladunni (self-knowledge) dan kecerdasan akal dengan penguasaan ilmu mantik.

Ilmu Hikmah (perkembangan bagi ilmu mantik dan falsafah Islam) berkembang terutamanya melalui kitab Hikmah Al-Isyraq karangan Imam Suhrawardi r.a. (549-587 H). Kitab ini membahaskan tentang proses mencapai hikmah di sisi para Hukama’. Sebahagian pengkaji mengandaikan bahawasanya, hikmah Al-Isyraq merupakan pengaruh kepada pemikiran yang terkandung dalam kitab Misykat Al-Anwar karangan Imam Al-Ghazali r.a..

Bahkan, perbahasan hikmah dalam bab ketuhanan dan kewujudan turut mempengaruhi sesetengah tokoh sufi terkemudian seperti Sheikhul Akbar Ibn Arabi r.a. (560-638 H) lalu dikembangkan oleh Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari (658-709 H) melalui kitab Hatk Al-Astar, Imam Abdul Karim Al-Jili r.a. (767-832 H), Imam Abdul Wahab As-Sya’rani As-Syafi’e Al-Misri r.a. (898-973 H) menerusi kitab beliau Al-Kibrit Al-Ahmar dan Imam Abdul Ghani An-Nabulsi r.a. (1050-1143 H). Mereka inilah yang memurnikan falsafah Islam dengan panduan ilmu tasawwuf murni. Ilmu mereka berbeza dengan tasawwuf falsafi yang dikenali oleh sesetengah ahli ilmu kerana ahli ilmu yang menganggap atau menilai tasawwuf falsafi adalah golongan yang tidak memahami ilmu yang para ulama’ sufi tersebut kembangkan kerana sekadar berinteraksi dengan zahir perkataan-perkataan mereka, tanpa berkongsi rasa yang menyebabkan mereka berkata dengan perkataan-perkataan sedemikian. Bukan semua perkataan itu terbatas kefahamannya dari sudut zahir.

Bidang hikmah juga dikembangkan oleh beberapa tokoh sufi lain seperti Imam Najmuddin Al-Qazwini (w: 675 H) melalui kitab beliau berjudul ‘Ain Al-Qawa’id fi Al-Mantiq wa Al-Hikmah, Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya. Lalu, ianya diteruskan oleh Imam As-Syarif Al-Jurjani menerusi kitab beliau Syuruh ‘ala Syarh Al-Bukhari ‘ala Hikmah Al-‘Ain, Hasyiyyah ‘ala Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya.
Dalam bidang astronomi pula, antara tokoh-tokoh sufi yang mengembangkan ilmu tersebut adalah seperti Imam Al-Ghazali r.a., Sheikh Abdul Rahman As-Sufi (w: 376 H) dan Imam Abdul Qadir Al-Jailani r.a.

Dalam bidang ilmu agama juga, para ulama’ sufi banyak memainkan peranan yang penting. Institusi pendidikan utama dalam negara-negara Islam banyak melibatkan para ulama’ sufi seperti Al-Azhar As-Syarif di Mesir, pengajian di Haramain sebelum zaman pengaruh wahabi, Maghribi, pengajian di pondok-pondok dan madrasah di Nusantara dan sebagainya.

Kesimpulannya, bidang ilmu yang menjadi kunci kepada penguasaan terhadap ilmu pengetahuan dikembangkan oleh sebahagian ulama’ sufi iaitulah bidang hikmah (kebijaksanaan). Bahkan, sebahagian para ulama’ sufi menggabungkan penggunaan akal dengan penghayatan perasaan rohani lalu mengetengahkan perbahasan-perbahasan berbentuk kebijaksanaan.

Maka, tradisi berfikir dalam amalan sufi juga banyak dikaitkan dengan hikmah kerana mempunyai gabungan antara kecerdasan akal dan kejernihan hati yang disuluhi ilham dari Ilahi. Maka, kita banyak mendengar dalam kitab-kitab golongan sufi, ada yang dikenali sebagai pelajaran Hikam sebagaimana Hikam Abu Madyan, Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari, Hikam Al-Kurdi dan sebagainya.

Para ulama’ sufi generasi setelah itu berperanan besar dalam mengembangkan bidang hikmah dan mempimpin bidang falsafah dan pemikiran Islam terutamanya dalam menghadapi pelbagai serangan pemikiran masa kini seperti fahaman Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment