6.16.2013

Adakah Doa Boleh Mengubah Takdir?



Adakah Doa Boleh Mengubah Takdir?

Soalan:

Kita mengetahui bahawa Qadha Allah s.w.t. akan berlaku dan tiada yang dapat menghalangnya. Namun, dalam beberapa hadis, ada menyebut tentang amal yang seolah-olah boleh mengubah qadha dan ketentuan Allah s.w.t.. Ada hadis yang menyebut tentang doa boleh menolak qadha dan ada juga hadis yang menyatakan bahawa, mentaati ibu bapa boleh menambah rezeki dan umur. Bagaimana untuk memahami hadis-hadis sebegini dengan aqidah Islam?

Jawapan:

Dalam aqidah Islam, ada perkara-perkara yang menjadi usul aqidah, yang berkaitan dengan sifat-sifat ketuhanan Allah s.w.t. yang Maha Sempurna, yang ditetapkan dengan dalil yang kuat dan muktamad, samada dari sudut ketulenan teksnya dan dari sudut kejelasan maknanya. Antara asas aqidah umat Islam yang muktamad dalam bab ketuhanan ialah sifat qudrah (kekuasaan) dan iradah (kehendak) adalah sebahagian dariapda sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t..

Ia berdasarkan dalil-dalil qat’ie (muktamad) iaitu dari sudut akal yang sejahtera dan dari sudut wahyu yang jelas dan thabit. Jika Allah s.w.t. tidak bersifat dengan kehendak yang menyeluruh dan ada yang boleh mengubah kehendak Allah s.w.t., itu menunjukkan sifat kekurangan, sedangkan mustahil Allah s.w.t. bersifat kekurangan.

Dalil al-Qur’an juga secara jelas menyebut:   (Surah al-Qamar: 49) Dalam hadis sahih juga menyebut tentang keimanan kepada Qadha’ dan Qadar sebagai salah satu daripada rukun iman yang enam. Memang dalam isu qadha’ dan qadar, banyak perkara yang kesamaran. Namun, pendirian para ulama’ salaf adalah untuk meninggalkan perbahasan-perbahasan yang mendalam tentang takdir dan sebagainya. Bahkan, tidak akan berlaku pertentangan antara hadis-hadis yang sahih dengan aqidah Islam dan akal yang sejahtera. Cuma, jika ada kesamaran, ianya perlu kepada pe jelasan dan pentakwilan.

Nas Hadis

Adapun hadis yang menyebutkan tentang doa menolak Qadha’ tersebut adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’e, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak menolak qadha’ melainkan doa dan tidak menambah pada umur melainkan kebaikan.”

Imam al-Mubarakfuri dalam syarahnya terhadap Jami’e Al-Tirmizi ketika membicarakan tentang hadis ini, beliau mengatakan bahawa qadha’ dalam hadis ini adalah majazi (kiasan) kerana di sisi seseorang hamba, apa yang dikhuatiri akan berlaku ke atasnya, dianggap sebagai qadha’ Allah di sisinya. Ini kerana, ketentuan sebenar tersembunyi daripada dirinya. Maka, ketika dia menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku ke atasnya, maka dia berdoa kepada Allah s.w.t. agar perkara buruk itu terlepas daripadanya, maka Allah s.w.t. melepaskannya daripada perkara buruk tersebut, maka seolah-olah dia merasa terlepas qadha’ (perkara yang sepatutnya berlaku) daripada dirinya, sedangkan qadha’ yang sebenar di sisi Allah s.w.t. adalah sememangnya tidak akan berlaku perkara tersebut.

Oleh sebab itu, ketika Saidina Umar mengetahui berlakunya penyakit taun di Syam, lalu beliau memilih untuk pulang dan tidak menuju ke sana. Maka Abu ‘Ubaidah bertanya kepada beliau: “Adakah kamu ingin lari daripada Qadha wahai Amirul Mu’minin?”

Lalu, Saidina Umar r.a. menjawab: “Adakah orang sepertimu bertanya soalan sebegini wahai Abu ‘Ubaidah. Memang benar, kita lari daripada Qadha’ Allah menuju Qadha Allah juga.”

Ini menunjukkan kefahaman manusia terbatas tentang ketentuan Allah s.w.t.. Apa yang kita lakukan, kita masih tidak terlepas daripada ketentuan dan qadha’ Allah s.w.t.. Cuma, kita sahaja yang tidak dapat mengetahui hakikat ketentuan Allah s.w.t. ke atas kita, maka selalu kita menyangka perkara yang tidak ditentukan sebagai qadha’ berdasarkan hukum kebiasaan dan ukuran pra sangka kita yang terbatas.

Tujuan Doa

Doa itu adalah suatu ibadah yang mana kita lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan ibadah tersebut. Bahkan, dari sudut yang lain, ianya juga sebagai sebab untuk kita mendapatkan sesuatu, berdasarkan sunatullah. Sebagaimana seseorang itu lapar dan inginkan makanan, maka,pekerjaan harian ialah sebab untuk dia mendapatkan makanan dan makanan adalah sebab untuk dia mendapat kekenyangan. Maka, doa juga adalah sebahagian daripada melakukan sebab untuk mendapatkan sesuatu di samping ibadah kepada Allah s.w.t..

Qadha’ Mubram dan Qadha’ Mu’allaq

Sebahagian para ulama’ membahagikan qadha’ kepada dua bentuk iaitu, Qadha’ Mubram dan Qadha’ Mu’allaq. Adapun Qadha’ Mubram itu ialah ketentuan yang azali yang tidak akan bertukar. Sedangkan, Qadha’ Mu’allaq ialah tulisan yang tertulis dalam catatan para malaikan. Ianya boleh diubah dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui samada ianya perkara-perkara tersebut yang tertulis dalam catatan para malaikat, yang mana akan berubah dan yang mana tidak. Itu juga sudah ditentukan sejak azali.

Imam al-Razi juga menjelaskan semacam itu dalam tafsir Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan tentang tulisan-tulisan yang boleh berubah dalam kitab, maka kitab atau catatan tersebut ada dua jenis. Pertama, kitab atau tulisan yang tidak boleh berubah iaitu di Luh Mahfuz dan kedua kitab yang boleh diubah iaitu yang di tangan para malaikat.

Wallahu a'lam...

No comments:

Post a Comment