Metodologi Tafsir Isyari (Tafsir Sufistik)
Pengenalan dan Takrif Tafsir
Isyari (Tafsir Sufistik)
Sheikh Nur al-Din
‘Itr berkata mengenai Tafsir Isyari ini:
Ia juga dinamakan
sebagai al-Tafsir al-Sufi (Tafsir Sufistik), namun kami lebih menggunakan
terminologi yang pertama (Tafsir Isyari) kerana padanya ada petunjuk
menunjukkan kepada penstrukturannya dengan kaedah-kaedah yang jelas,
sebagaimana apa yang dinamakan sebagai juga sebagai isyarah al-Nash
(petunjuk teks) di sisi para ulama’ usul.
Definisinya:
Tafsir Isyari
ialah: suatu takwilan terhadap ayat-ayat al-Qur’an dengan makna selain makna
yang zahir baginya, berasaskan isyarat-isyarat (petunjuk atau pedoman) yang
halus yang terzahir bagi para salik (orang yang mentarbiah dirinya dan membersihkan
hati untuk mengenal Allah SWT), yang mana boleh diselaraskan antaranya dengan
maknanya yang zahir yang diinginkan. [al-Tafsir wa al-Mufassirun 3/18]
Dalam kitab Manahil
al-‘Irfan, Imam al-Zurqani menyebut:
التفسير
الإشاري : هو تأويل القرآن بغير ظاهره لإشارة خفية تظهر لأرباب السلوك
والتصوف ويمكن الجمع بينها وبين الظاهر المراد أيضا
Maksudnya: Tafsir
Isyari: Ia merupakan takwil al-Qur’an dengan selain makna zahirnya, dengan
berlandaskan isyarat yang halus, yang terzahir pada para penghulu tarbiah
akhlak dan tasawuf, yang mana makna tersebut boleh dihimpunkan dengan makna
yang zahir juga.
Pernyataan “boleh diselaraskan antaranya dengan makna zahir”
merupakan suatu syarat tafsir isyari yang penting, kerana ia menujukkan bahawa,
asas tafsir ini bersesuaian dengan kalam (bahasa) Arab yang asal, yang mana
diturunkan al-Qur’an dengannya, lalu pastilah ia dapat difahami dengan bahasa
Arab. Justeru, tafsir isyari ini
mempunyai kelazimannya dengan makna asal yang zahir bagi ayat tersebut.
Maksudnya, sesuatu
penafsiran mengikut metodologi tafsir isyari ini tidak lari jauh daripada makna
asalnya dan boleh diharmonikan antara tafsiran isyari ini dengan tafsiran asalnya.
Ia disebut sebagai takwilan yang hampir (ta’wil qarib) yang tidak
bertentangan daripada kaedah bahasa Arab, tidak jauh menyimpang daripada makna
asal ayat dan tidak bertentangan dengan ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah.
Asas Kepada Tafsir Isyari
Al-Qur’an ialah sumber ilmu dan makrifat. Al-Qur’an ialah
kunci kepada hikmah dan pintu kepada kesempurnaan. Isi kandungannya tidak
terbatas dan mutiara ilmunya tiada berkesudahan.
Al-Imam Sahl bin ‘Abdillah al-Tustari RA berkata:
Jika diberi seseorang hamba itu setia huruf
daripada al-Qur’an dengan seratus kefahaman, nescaya masih tidak sampai kepada
kesudahan apa yang Allah SWT letakkan (makna-makna) dalam ayat daripada
kitab-Nya tersebut, kerana al-Qur’an ialah kalam Allah, sedang kalam Allah SWT
ialah sifat-Nya. Sebagaimana tiada bagi Allah SWT itu sebarang kesudahan, maka
begitu juga tiada kesudahan bagi kefahaman terhadap kalam-Nya. Maka, seseorang
itu memahami sekadar apa yang Allah SWT bukakan kepadanya sahaja, sedang kalam
Allah SWT bukan makhluk, yang mana tidak akan sampai keapda kesudahan
kefahamannya dengan kefahaman-kefahaman makhluk yang terbatas. [al-Burhan fi
‘Ulum al-Qur’an, Muqoddimah]
Oleh sebab itu, para ulama’ membahagikan penafsiran al-Qur’an
kepada dua bentuk iaitu, al-Tafsir bi al-Ma’thur (tafsir daripada
riwayat al-salaf) dan al-Tafsir bi al-Ra’yi (tafsir
daripada pendapat sendiri). Adapun al-Tafsir bi al-Ra’yi merupakan
sebahagian tafsir yang diterima di sisi para ulama’ dengan kaedah-kaedah
penafsiran yang muktabar. Antara bentuk metodologi penafsiran yang berkembang
di bawah al-Tafsir bi al-Ra’yi ini ialah Tafsir Isyari atau
Tafsir Sufistik. Ia kembali kepada asas pemahaman terhadap al-Qur’an itu
sendiri, iaitu, terdedah kepada penafsiran-penafsiran baharu dan pelbagai,
dalam kerangka kaedah-kaedah penafsiran yang muktabar.
Allah SWT berfirman:
أَنْزَلَ مِنَ
السَّمَاءِ مَاءً فَسَالَتْ أَوْدِيَةٌ بِقَدَرِهَا
Maksudnya: Dia menurunkan air (hujan) dari
langit, lalu mengalirkan tanah-tanah lembah (dengan airnya) menurut kadarnya
yang ditetapkan Tuhan untuk faedah makhlukNya, (Surah al-Ra’d: 17)
Saidina Ibn ‘Abbas RA menafsirkan ayat ini dengan berkata: “Dia
menurunkan daripada langit iaitu air…” iaitu al-Qur’an, “kemudian mengalir
saliran pada lembah-lembah dengan kadarnya” beliau berkata: lembah-lembah
bererti hati-hati para hamba.” [Tafsir al-Qurtubi 9/259]
Dalam penafsiran Saidina Ibn ‘Abbas RA ini menunjukkan bahawa
beliau melakukan suatu penafsiran berbentuk tafsir isyari, iaitu dengan
menafsirkan makna ayat tersebut bukan dengan maknanya yang zahir atau makna
asal, tetapi tidak bertentangan dengan makna asalnya. Bahkan, daripada
penafsiran Saidian Ibn ‘Abbas RA terhadap ayat ini menunjukkan bahawa,
al-Qur’an boleh difahami dengan kefahaman yang luas, sesuai dengan apa yang
dikurniakan oleh Allah SWT kepada hati-hati para hamba-Nya.
Ia dikuatkan lagi dengan penafsiran yang dibuat oleh Imam Ibn
Kathir dalam tafsirnya. Pada ayat yang sama, beliau berkata: ““Dia
menurunkan daripada langit iaitu airkemudian mengalir saliran pada
lembah-lembah dengan kadarnya”: Ia merupakan isyarat (makna) kepada hati-hati dan
peringkat-peringkatnya yang berbeza. Antaranya, apa yang boleh mengandungi ilmu
yang banyak, dan antaranya ialah apa yang tidak mampu mendapati ilmu yang
banyak bahkan menjadi sempit terhadapnya."
Kefahaman terhadap al-Qur’an diberi oleh Allah SWT kepada
setiap manusia dengan beberapa tahap yang berbeza dan kefahaman yang pelbagai,
dan ianya merupakan kefahaman yang diterima selagimana tidak bertentangan
dengan makna zahir ayat tersebut. Sesungguhnya, para wali dan orang-orang soleh
mempuyai kefahaman yang lebih mendalam dan tinggi terhadap sesuatu ayat
al-Qur’an berbanding selain mereka, sesuai dengan kejernihan hati mereka dan
kesempurnaan kehambaan mereka.
Sheikh Ibn Taimiyyah berkata dalam Fatwanya:
لا
ريب أن الله يفتح على قلوب أوليائه المتقين وعباده
الصالحين - بسبب طهارة قلوبهم مما يكرهه , واتّباعهم ما
يحبه - ما لا يفتح به على غيرهم وهذا كما قال عليٌّ : إلا فهما
يؤتيه الله عبدا في كتابه , وفى الأثر : من عمل بما علم ورّثه الله علم ما لم يعلم
Maksudnya: Tidak diragukan bahawa Allah SWT membuka ke atas hati-hati
para wali-Nya yang bertakwa dan para hamba-Nya yang soleh dengan sebab
kebersihan hati-hati mereka daripada apa yang dimurka dan pengikutan mereka
terhadap apa yang disukai Allah, dengan apa yang tidak dibuka dengannya kepada
selain mereka. Ia sebagaimana disebutkan oleh Ali RA: “…melainkan kefahaman
yang Allah SWT berikan kepada seorang hamba tentang kitab-Nya.” Begitu juga ada
sebuah athar berkata: “Sesiapa yang beramal dengan apa yang dia
ketahui, maka Alah akan mewariskan kepadanya suatu ilmu yang dia sebelum ini
tidak mengetahuinya.” [Majmu’ al-Fatawa 13/245]
Perkembangan Tafsir Isyari
Menurut Sheikh Nur al-Din ‘Itr dalam kitab ‘Ulum al-Qur’an:
Sesungguhnya tafsir Isyari ini bukanlah suatu perkara yang baharu, kerana
mengeluarkan makna-makna daripada al-Qur’an merupakan sesuatu perkara yang
sangat diketahui, yang mana para sahabat RA sendiri terlibat dalam usaha
tersebut tanpa perlu diingkari.
Dalam Sahih
al-Bukhari ada meriwayatkan bahawasanya, Saidina Ibn ‘Abbas menceritakan
bahawasanya, Saidina Umar RA memasukkan beliau dalam kalangan para pimpinan
yang pernah terlibat dalam peperangan Badar. Beliau ditanya tentang sebab
demikian, lalu beliau menceritakannya. Suatu hari, SAidina Umar RA memanggilnya
lalu memasukkannya ke dalam persidangan bersama-sama golongan ahli perang
Badar, lalu beliau bertanya kepada mereka yang hadir tentang tafsiran surah
al-Fath “Ketika datangnya kemenangan Allah dan pembukaan”?. Maka,
sebahagian daripada mereka menjawab: “Kita diperintahkan untuk memuji Allah
dan meminta ampun kepada-Nya tatkala kita diberi kemenangan dan dibukakan
kepada kami.” Sebahagian yang lain hanya berdiam diri.
Lalu, Saidina Umar
RA bertanya kepadaku: “Apakah demikian yang kamu katakan juga wahai Ibn
‘Abbas?” Saya jawab: “Tidak.” Maka beliau berkata: “ Maka, apa yang kamu mahu
katakan?”. Maka saya menjawab: “Ia mengenai ajal Rasulullah SAW, yang
diberitahu kepada Baginda SAW. Maka, Allah SWT berfirman: “Tika datang
kemenangan Allah dan pembukaan, maka ianya merupakan tanda ajal bagimu. Maka, pujilah dengan
kepujian Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya, kerana Dia Maha Penerima Taubat.” Maka Saidina Umar RA
berkata: “Aku tidak mengetahui daripadanya melainkan apa yang kamu katakan.”
Daripada kisah ini kita fahami bahawa, Saidina Ibn ‘Abbas RA
memahami ayat ini dengan kefahaman yang berbeza dengan zahirnya, namun tidak
pula menyalahi maknanya yang zahir. Ia suatu kefahaman yang mendalam terhadap
ayat tersebut. Tafsiran sebeginilah yang disebut sebagai tafsi isyari lalu
dikembangkan oleh golongan sufi sehingga akhirnya dikenali juga sebagai tafsir
sufi (tafsir sufistik).
Antara Tafsir-tafsir Isyari yang Muktabar
Tafsir al-Qur’an oleh Imam Sahl bin ‘Abdillah
al-Tustari (m: 283 H). Ia merupakan antara Tafsir Isyari (Sufistik) yang
terawal ditemui secara hampir menyeluruh penafsirannya terhadap ayat-ayat
al-Qur’an. Ia dihimpunkan oleh Abu Bakr Muhammad bin Ahmad al-Baladi
sebagaimana disebutkan di awal tafsir tersebut yang dicetak di Mesir seawal
tahun 1908 Masihi. Tafsirannya mempunyai unsur penafsiran sufi yang jelas namun
ringkas.
Haqa’iq al-Tafsir oleh Imam Abu ‘Abd al-Rahman al-Sulami (m: 412 H). Ia
juga merupakan antara bentuk tafsir Isyari yang menghimpunkan pelbagai
penafsiran para ulama’ sufi dengan penafsiran yang halus dan mendalam.
Latho’if al-Isyarat oleh Imam ‘Abd al-Karim al-Qusyairi (m 456 H). Ia
merupakan kitab Tafsir Isyari yang masyhur oleh seorang sufi yang
terkenal, iaitu al-Imam Abu al-Qashim ‘Abd al-Karim bin Hawazin al-Qusyairi,
penulis kitab Risalah al-Qusyairiyyah yang terkenal. Bahkan, al-Imam
al-Qusyairi menggunakan istilah Isyarat dalam judul kitab tafsir beliau
menunjukkan ianya merupakan istilah yang berkait rapat dengan Tafsir Isyari
ini.
Tafsir al-Jailani oleh al-Imam ‘Abd al-Qadir al-Jailani (m: 713 H), seorang penghulu
sufi yang terkenal, di samping pelopor tarikat sufi terkemuka iaitu Tarikat
Qadiriyyah. Tafsir beliau diterbitkan oleh guru kami Sheikh Dr. Fadhil
al-Jailani, setelah mencari manuskripnya di serata dunia. Tafsir ini sedang
dalam proses penterjemahan ke dalam bahasa Melayu-Indonesia di bawah pimpinan
guru kami Sheikh Rahimuddin bin Nawawi, sebagaimana diamanahkan oleh Sheikh Dr.
Fadhil. Setakat ini, sudah siap dicetak dua jilid daripadanya, setelah selesai
penterjemahannya.
Ruh al-Ma’ani fi Tafsir al-Qur’an al-‘Azhim wa al-Sab’
al-Mathani oleh al-Imam al-Allamah Abu al-Ma’ali Mahmud Syukri bin ‘Abdillah bin
Syihab al-Din Mahmud al-Alusi al-Husaini. Beliau lahir di Baghdad dan meninggal
dunia juga di sana, pada tahun 1342 H. Tafsir Ruh al-Ma’ani merupakan
antara Tafsir Isyari yang sangat luas perbahasannya dengan pelbagai
bentuk penafsiran yang lain termasuklah tafsir Bi al-Ma’thur (tafsir
dengan riwayat daripada salaf).
Zaman sekarang lebih mudah jika hendak menghilangkan tulisan berbanding zaman dahulu yang tiada kemudahan seperti sekarang.
ReplyDeleteBenarlah al Quran itu sungguh agung tiada tolok bandingnya. Jika seseorang itu boleh faham setiap ayat, setiap perkataan, setiap suku kata, setiap huruf, setiap baris sebutan, setiap panjang sebutan dengan 7 lapis kefahaman sahaja, pastilah dia tidak memerlukan (baca: tidak minat) lagi makanan makanan ahli kitab.
Sheikh al Jailani telah ditarik segala ilmunya ketika Allah berkehendak menaikkan darjat, makam dan tarafnya. Maka jadilah dia seperti tidak siuman dan gila sehingga bertahun lamanya sebelum Allah penuhkan ilmu dari sisi Nya kepadanya. Maka lenyaplah segala kitab tulisannya yang banyak kecuali sedikit yang tinggal