Sememangnya, jika kita menggunakan hati yang peka terhadap hubungan kita terhadap yang Maha Pencipta, sudah tentu kita akan dapat mengambil manfaat daripada setiap pemerhatian kita, dalam rangka membentuk kesempurnaan kehambaan diri kita kepadaNya. Adapun dalam lirik nasyid DESTINASI CINTA, maka ianya mengandungi makna yang sangat agung dalam memahami erti hubungan cinta seseorang hamba dengan Tuhannya. Di sini, ada disertakan sebuah huraian ringkas terhadap lirik nasyid tersebut, sesuai dengan apa yang telah diilhamkan oleh Allah s.w.t. kepada alfaqir yang penuh kehinaan ini, untuk dikongsi bersama, agar ianya memberi manfaat kepada semua.
DESTINASI CINTA (Mestica)
Menyingkap tirai hati
Mengintai keampunan
Di halaman subur rahmat-Mu, Tuhan
Tiap jejak nan bertapak
Debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu keimanan
Tak ternilai airmata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Tak kan berpaling pada palsu duniawi
Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Tiada tenang ku temui
Hanya kecewa menyelubungi
C/O
Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu
Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati
(Destinasi cinta Ilahi)
Lestarikan wadi kalbuku, oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu
Namun masihku mengharap ampunan-Mu
Wahai Tuhanku? Ya Allah?
Huraian yang Terukir Dari Insan Faqir-Dengan izin Allah Al-Aziz Al-Qodir:
Menyingkap tirai hati
Mengintai keampunan
Di halaman subur rahmat-Mu, Tuhan
Al-Faqir yang serba jahil ini mengulas sedikit dengan izin Allah:
Seseorang hamba yang terperangkap dalam belengu hijab duniawi, pasti terkadang-kala merasa letih dek terlalu mengejar keduniaan. Biarpun dari sudut mata pandangan, dunia kelihatan indah mempesona, tetapi jauh di sudut hati, terasa letih dalam misi mengejar duniawi.
Selalunya, ramai manusia yang lemas dalam lautan kebendaan duniawi, pasti alpa dalam menyahut seruan Ilahi s.w.t., untuk berbakti sebagai hambaNya di muka bumi ini. Serakah dek mengejar kelazatan dalam memenuhi kerakusan syahwat yang singkat, ramai yang mengabaikan tugas utama dia diciptakan di dunia ini, iaitu sebagai hamba Ilahi, lantaran meninggalkan segala suruhan dan melakukan sekian larangan, demi syahwat nafsu, dan hawa yang menipu.
Sesekali, dalam menempuh kerakusan kebendaan ini, setiap manusia pasti dilintasi oleh panggilan Ilahi s.w.t., yang menyerunya agar kembali ke pangkuan Rabbul Izzati s.w.t..
Samada dengan ditimpa musibah dan ujian, ataupun diberi seribu satu kesenangan, manusia pasti pernah terfikir, walaupun sekali Cuma, untuk kembali kepada Ilahi s.w.t., Tuhan yang menciptakannya dari tiada. Kadang-kala, dengan musibah yang menimpa, seseorang hamba terdetik di hatinya, bertanya-tanya, akan siapakah lagi yang mampu membantunya dalam menempuh hari-hari mendatang yang menjanjikan seribu satu ujian. Akhirnya, terlihat satu cahaya, berserta suara nurani menjawab:
“Dialah ALLAH! Hanya Dialah yang Maha Membantu, dan hanya Dialah yang mampu membantu setiap para hambaNya, kerana ujian daripadaNya dan hanya Dia yang mampu menolong para hambaNya yang diuji.”
Sejenak, seorang insan yang mempunyai fitrah yang jernih, biarpun dikelabui syahwat yang semakin membuak-buak, pasti terdetik untuk kembali kepada DIA, yang hanya DIA, tiada DIA melainkan DIA. Ini kerana, dia hanya memerlukan DIA dalam kehidupan ini, dan dalam kehidupan setelah mati nanti. Keletihan duniawi terkadang mampu menewaskan egois syaitani dalam diri manusia, sehingga akhirnya terhadapkan wajahnya kepada DIA yang MAHA BERKUASA.
Lalu, dilema melanda. Antara nafsu dan YANG MAHA SATU. Setelah diri menghitung dosa dan noda sewaktu lemas dalam arus duniawi, setelah diri mengingkari janji sebagai hamba Ilahi, adakah masih ada lagi ruang untuk kembali menagih belas ihsan dari DIA YANG MAHA AGUNG? Layakkah untuk kembali dalam kebersamaan denganNya setelah mengkhianatiNya buat sekian lama, takkala leka dengan kelazatan duniawi yang fana?
Lalu, nafsu katakan: “Tidak! Jangan! Engkau sudah banyak dosa. Engkau tidak layak untuk menagih belas Allah s.w.t. lagi! Teruskanlah mengejar cinta duniawi yang selama ini Engkau cari. Itulah kebahagiaan hakiki!”
Hati yang rimas dalam lemas mula melontarkan suara halus bernada suci: “ Dialah yang Maha Penyayang. Dia Maha Penerima Taubat. Dia menyayangimu sebelum kamu diciptakan. Takkanlah setelah kamu diciptakan, Dia akan mensia-siakanmu? Dialah yang bersifat dengan sifat Maha Pengampun sebelum kewujudan sifat lemahmu, takkanlah Dia tidak bersifat dengan Maha Pengampun setelah kewujudan sifat lemahmu? Mustahil sama sekali. Kembalilah kepadaNya”.
Si hamba mula menoleh ke arah RUBUBIYYAH (KeTuhanan) Allah s.w.t. yang Maha Pengampun. Hati yang selama ini diselaputi titik hitam noda dan dosa, mula disirami cahaya, dek rasa kekesalan dan taubat dalam jiwa. Terdetik di hatinya, dengan izinNya, untuk kembali kepadaNya, dan menyesali segala salah dan silapnya dalam pengkhianatannya selaku hamba.
Sedikit demi sedikit, tirai hati mula tersingkap, dengan rasa penyesalan dan taubat. Tercari-cari ia akan KEAMPUNAN TUHANnya yang MAHA PENYAYANG. Ya, tiada lagi tempat untuk mengemis keampunan, melainkan di HALAMAN SUBUR RAHMATMU TUHAN.
Suburnya halaman (hadrah Qudsiyyah) rahmatMu kerana Engkaulah Yang Maha Memberi Rahmat. Subur halaman rahmatMu dengan sifat Maha Pemurahmu. Jika atas dasar keadilan, nescaya tidak layak seorang hamba yang sudahpun mengkhianati tuannya, mampu kembali ke halaman tuannya memikul segunung pengkhianatan terhadap tuannya. Tetapi, ALLAH, bukan calang-calang tuan, bahkan DIALAH TUAN segala tuan. Hanya dengan rahmatNyalah, seseorang mampu bersimpuh di halaman rahmatNya, kerana tanpa rahmat dan belas kasihNya, siapalah sang hamba yang hina dengan lautan pengkhianatan ini, mampu mengadapNya yang Maha Agung.
Tiap jejak nan bertapak
Debu kejahilan
Akan ku jirus dengan madu keimanan
Setelah memikul dosa pengkhianatan yang menggunung, si hamba tersebut berusaha untuk menagih simpati dariNya yang Maha Mulia, agar diberi sekali lagi kesempatan untuk membuktikan kehambaannya kepadaNya, dengan bantuanNya.
Janji dilafazkan, untuk menghilangkan setiap debu kejahilan yang menjadi punca pengkhianatan, dengan madu keimanan. Biarlah kemanisan iman itu menjadi kekuatan baru untuk bertapak dengan jejak yang baru, jauh dari debu kejahilan, sekaligus ditemani oleh siraman hujan madu keimanan dari Tuhannya, dengan izinNya.
Kejahilan menjadi punca sebenar seseorang itu melakukan maksiat kepada Tuhannya. Ini kerana, dia jahil tentang hakikat dirinya dan dia jahil tentang hakikat Tuhannya. Kalaulah dia kenal, siapa ALLAH yang dikhianatinya, nescaya tiada lagi penyesalan lebih besar dalam dirinya, selain daripada menyesal bahawa dia pernah hidup di dunia. Namun, Allah s.w.t. Maha Pemurah, dengan menganugerahkan taubat kepada para hambaNya untuk menjadi pintu utama buat para hambaNya yang ingin kembali kepadaNya setelah sekian lama mengkhianatiNya.
Tak ternilai airmata dengan permata
Yang bisa memadamkan api neraka.
Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala malu bercampur gembira, ketika diberi peluang mengadapNya semula. Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala takut bercampur harap, ketika diberi anugerah untuk bertaubat kepadaNya. Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala menyaksikan, akan PENYAYANGnya ALLAH yang Maha Penyayang.
Jesteru, berlinanganlah air mata, takkala mensyukuri, anugerah linangan air mata tersebut yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadanya. Inilah hakikat. Dia menangis bukan atas kekuatan dirinya. Ini kerana, kalau manusia mampu menangisi dosa mereka di hadapan Tuhannya, nescaya semua manusia boleh menangis kerana dosa. Berapa ramai manusia yang ingin menangis dalam taubatnya namun tidak mampu. Jelaslah bahawa, tangisan itu anugerah. Hanya yang terpilih sahaja, akan menangis dalam taubatnya. Siapa yang memilih kalau bukan Allah yang Maha Memilih?
Jadi, dia faham, tangisan itu juga suatu anugerah. Jadi, bertambahlah tangisannya dalam tangisan, kerana mensyukuri nikmat menangis kerana dosa tersebut, yang merupakan anugerah dari Allah s.w.t. kepadanya.
Bahkan, bertambahlah tangisan dalam tangisan dalam tangisan, kerana memahami bahawa, tangisan kerana dosa tersebut merupakan satu anugerah baginya untuk melepaskan dirinya daripada neraka Allah s.w.t., dengan izinNya. Teringat Dia akan janji Tuhannya bahawa, dua mata yang tidak akan disiksa dalam api neraka, antaranya ialah: “mata yang menangis kerana bertaubat dari dosanya…”
“Ahh…Ya Allah, sudahlah aku mampu menangis bertaubat dari dosa keranaMu, lalu Engkau pula menjanjikannya sebagai pelepasan dari api neraka. Maha Pemurah lah Engkau takkala memberi peluang untuk aku melepaskan diriku dari siksa neraka”, rintih hati, malu di hadapan yang Maha Mencintai. Bertambah malu dengan layanan mulia dari Allah s.w.t. setelah mengenang pengkhianatannya terhadapNya yang menggunung.
Lalu, dari rasa malu terhadap Tuhannya, kerana layanan dariNya yang mulia, kepada dirinya yang serba hina, dari rasa takut kepada keagunganNya, maka, si hamba itu berjanjilah untuk menunaikan segala perintah Tuhannya untuk membuktikan kehambaannya kepadaNya dengan bantuan dan izinNya. Berjanji, untuk menagih simpati…
Lalu, pintu pertama yang harus ditempuh untuk membuktikan kehambaannya kepadaNya ialah, dengan merealisasikan taubat nasuha itu sendiri. Namun, apa bukti taubat nasuha
Andai benar mengalir dari nasuha nurani
Tak kan berpaling pada palsu duniawi
Tanda kejujuran taubat seseorang hamba dan tanda taubat nasuha seseorang hamba ialah, tidak lagi ada keinginan di hatinya untuk kembali berpaling kepada palsu duniawi.
Setelah dia tahu, dunia itu palsu dan Allah itu hakiki, setelah dia tahu, dunia ini fana, dan hanya Allah s.w.t. itu Maha Kekal, setelah dia tahu hanya Allahlah yang dia perlukan, bahkan dunia sering menyusahkan, maka, setelah sesalan yang disulami kejujuran, daripada kealpaan dan pengkhianatan, sudah pasti tersemat erat di dalam hatinya, janji untuk terus bertawajjuh mengadap Tuhannya semata-mata, dan tidak mahu lagi berpaling kepada musuh yang berjaya menawannya suatu ketika dahulu.
Seseorang hamba yang jujur dalam taubatnya, pasti tidak lagi teringin untuk kembali kepada hasutan palsu duniawi yang memukau. Dia akan sentiasa meminta bantuan daripada Allah s.w.t., untuk membantunya melawan tipu daya duniawi.
Jika sesekali, dia terjerumus dek arus deras palsu duniawi, lantas dia bersegera dalam mengulangi taubatnya dan berazam dengan sebenar-benar azam, untuk tidak kembali lagi kepada kealpaan. Itulah tanda kejujuran dalam taubatnya.
Taubatnya Saidina Umar Al-Khattab r.a., daripada seorang yang tiada belas kasihan, kepada seorang yang penyayang, bahkan menyayangi Rasulullah s.a.w. melebihi dirinya sendiri. Taubatnya Malik bin Dinar, melakar sejarah baru dalam dunia kesufian, takkala si dia yang mabuk dengan kepalsuan “wanita”wi dan “khamar”wi, berubah menjadi seorang yang mabuk dalam lautan cinta Ilahi. Taubatnya Rabiatul Adawiyah, merubah hidupnya dari seorang hamba kepada seorang hamba, kepada seorang yang merdeka di persada kehambaan sejati.
Taubat bisa mengubah seseorang daripada yang dahulunya, seluruh alam malu menyaksikannya, kepada seorang yang mana, seluruh alam berbangga dan bergembira dengan kewujudannya. Yang penting ialah kejujuran dalam taubat itu sendiri, takkala seseorang tidak berpaling semula kepada apa yang ditinggalkannya daripada maksiat yang telah dilakukannya, hatta tidak pula mengingati maksiat yang telah dilakukannya tanpa sebarang tujuan.
Sheikhuna Sidi Yusuf Al-Hasani pernah berkata: “Mengingati maksiat itu maksiat”.
Maknanya, seseorang yang mengingati maksiat tanpa tujuan, setelah mana dia bertaubat nasuha, maka ia suatu perkara yang tercela kerana bisa menjadi sebab yang menariknya semula kepada melakukan maksiat tersebut kembali.
Suatu ketika, Sheikh Sirri As-Saqoti bertanya kepada seorang pemuda: “Apakah yang dimaksudkan dengan taubat?”
Tanya pemuda itu pula: “Di sisi kamu, apa pula yang dimaksudkan dengan taubat itu?”
Sheikh As-Sirri As-Saqoti berkata: “Bertaubat ialah, seseorang mengenang dn mengingati dosa-dosanya yang lalu.”
Pemuda itu lantas berkata: “Bertaubat menurut saya ialah, melupakan dosa yang pernah dilakukan dan terus beradab di hadrah Kebersamaan dengan Allah yang suci. Tidak boleh membawa kotoran (mengingati dosa) dalam hadrah yang suci (dalam kebersamaan dengan Allah s.w.t.).”
Sheikh Sirri As-Saqoti kagum dengan pemuda tersebut, lalu menceritakannya perihal tersebut kepada anak muridnya, Sheikh Junaid Al-Baghdadi. Sheikh Junaid lalu berkata: “Benar pemuda itu. Dia telah mengajar kita hakikat taubat”.
Jadi, seseorang yang telahpun bertaubat, jika taubatnya jujur, pasti hatinya cuba melarikan diri daripada kepalsuan duniawi sedaya mungkin. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Tiga perkara, yang mana, jika seseorang tersebut ada perkara-perkara tersebut dalam dirinya, maka dia akan merasai kelazatan iman…Antaranya…Seseorang itu benci untuk kembali kepada kekufuran sepertimana dia benci untuk dicampakkan semula ke neraka”.
Destinasi cinta yang ku cari
Sebenarnya terlalu hampir
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Setelah bermujahadah melawan nafsu yang sentiasa mengajak untuk mencintai kepalsuan duniawi, dengan bantuan Allah s.w.t., Allah s.w.t. akan menyingkap kepadanya sedikit demi sedikit, akan hijab hatinya daripada hakikat dirinya.
Makin dia melawan hawa nafsu untuk meraih keredhaan Allah s.w.t., dengan izin Allah s.w.t., makin Allah s.w.t. menyingkapkan kepadanya tentang hakikat dirinya. Semakin dia mengenal dirinya, semakin dia mengenal Allah s.w.t., kerana jalan untuk mengenal Allah s.w.t. ialah melalui kenal diri terlebih dahulu.
Selama ini, dek terkaburnya pandangan mata hati, terhadap hakikat yang dicari, dengan kabur-kabur noda duniawi dan syahwat nafsi, pandangan terus menujukan cinta kepada yang fana. Cinta yang mulia, dicurahkan kepada sampah yang tiada berharga. Yang dikejar selama ini, dari kenikmatan duniawi, dek kejahilan dan terhijabnya hati, dari Keagungan Ilahi, membuatkan seseorang itu menjadikan dunia dan segala isi kelazatannya sebagai destinasi cintanya yang dicari.
Setelah sekian lama mabuk dalam hiruk pikuk kepenatan duniawi, dan setelah menemui hakikat diri dan hakikat Ilahi, barulah terbit hikmah di hati, dari lintasan nurani Ilahi, bahawa: “DESTINASI CINTA YANG KU CARI, SEBENARNYA TERLALU HAMPIR”.
Sebenarnya, selama ini, yang perlu dicintai bukanlah suatu yang menyakitkan seperti duniawi. Selama ini, yang perlu dicintai, bukanlah suatu yang tidak menjanjikan sebarang kepastian bahkan menjanjikan perpisahan abadi. Selama ini, yang perlu dicintai bukanlah suatu yang bisa mengecewakan dan tidak pernah menghargai.
Kini, baru ku tahu, siapa yang ku cari untuk dicintai. Kini, baru ku mengerti, tiada destinasi cinta abadi selain daripada Dia Rabbul Izzati. Dialah yang mencintai tanpa meminta ganti. Dialah yang mencintai tanpa mengenal erti kehinaan diri hamba ini. Dialah yang mencintai, tanpa merungut takkala sering dikhianati. Dialah yang mencintai…ah…sebelum dicintai. Dialah CINTA HAKIKI. Dialah DESTINASI CINTA ABADI. Tiada cinta melainkan daripadaNya kepadaNya, untukNya dan keranaNya, denganNya.
Baru ku mengerti kini, kata hamba abdi tadi, bahawa DIALAH yang ku cari selama ini untuk dicintai, kerana DIALAH yang selama ini mencintaiku tanpa disedari. Ketika aku di dalam kandungan ibu, DIALAH yang membelaku. Ketika aku lahir ke dunia, DIALAH yang tidak pernah sudah dalam memberi kasih sayang sejati, walaupun selama ini aku tidak pernah mengendahkannya dek tertipu dengan duniawi, kata si hamba sambil menghitung diri.
HUWA…DIALAH segalanya. Jika DIALAH destinasi cinta, bererti destinasi cintaku selama ini terlalu hampir bahkan semakin menghampiri, bisik hati.
FirmanNya yang Maha Suci: “DIALAH yang sentiasa bersama kamu walau di mana kamu berada”.
FirmanNya dalam Hadis Qudsi: “Jika seseorang hamba menghampiriKu dengan satu jengkal, maka Aku akan menghampirinya satu hasta. Jika seseorang hamba menghampiriKu dengan berjalan, maka Aku akan menghampirinya secara berlari”.
Ya Arhamar Rohimin…
Betapa mulianya hadrah Jamaliyah (sifat-sifat kecantikan)Mu. Aku malu denganMu yang tidak segan silu untuk menceritakan akan keghairahanMu dalam menghampiriku takkala ku ghairah menghampiriMu. Demikianlah luahan rasa hati hambaNya takkala disapa dengan kalam Qudsi tersebut.
Selama ini, rupanya, yang dicari oleh seorang hamba, ialah yang telahpun dijumpai olehnya, kerana Dia terlalu hampir dengannya. Cuma, sedekat-dekat manapun sesuatu itu, kalau cari di tempat yang salah, atau tidak tahu apa yang dicari, maka selagi itulah akan kehilangan. Kehilangan dalam kebersamaan. Yang kehilangan bukanlah kerana kejauhan, tetapi kerana tidak tahu akan kebersamaan itu sendiri.
Persoalannya, apakah yang mampu melenyapkan makna kebersamaan dengan Allah s.w.t. selama hidup seseorang hamba, yang sanggup berlaku dusta dan khianat kepada Tuhannya.
Ya, jawapannya ada pada ungkapan:
Hanya kabur kerana dosa di dalam hati
Dosalah yang semakin menutupi hati dari melihat kebersamaan Allah s.w.t. dalam dirinya. Dosa kerana kejahilan terhadap hakikat diri dan hakikat Ilahilah, yang menyebabkan dia terus dibuai angan kepalsuan sehingga terlupa bahawa, mimpi tetap mimpi, walaup seindah mana ia dapat dinikmati, dan hakiki tetap hakiki, biar sejauh mana ia menghilangkan diri.
Telah ku redah daerah cinta
Yang lahir dari wadah yang alpa
Benarlah, selama ini yang tertipu bukanlah tipah, melainkan diriku sendiri, bisik hati hamba dalam muhasabah diri. Selama ini, daerah cinta palsu iaitu duniawi, telahpun diredahi untuk mencari cinta abadi, namun ianya hanya kerana kealpaan diri terhadap hakikat kewujudan ini.
Benarlah, kerana wadah yang alpa dalam diri, menyebabkan seseorang itu keliru, dalam pencariannya di daerah cinta itu sendiri. Ini kerana, di dalam daerah cinta, bukan daerah itu yang perlu dicintai, tetapi DIALAH, yang menciptakan daerah itulah yang perlu dicintai, kerana kita memerlukan cintaNya, bukan cinta daerahNya yang tiada erti.
Benarlah, kekeliruan itu berpunca dari wadah yang alpa dalam diri, yang menyebabkan seseorang itu mencari apa yang bakal pergi, dan melupai Dia yang bakal kepadaNya, dia kembali.
Setelah sekian lama bernafas dalam selut duniawi, tercungap-cungap diri memanggil nama: “DIA…DIA”, bantulah dia. Siapa DIA? ADAKAH DIA yang dimaksudkan ialah destinasi cinta yang dicari? Kalau DIA ialah desitnasi cinta yang dicari, siapakah yang dimaksudkan dengan DESTINASI CINTA dalam dirinya?
Perempuan, teman dan taulan, harta kekayaan, lelaki-lelaki tampan, dunia dan kebendaaan dan segala isi keduniaan? Adakah itu destinasi cintamu wahai insan? Kalau itulah destinasi cintamu, pohonlah bantuan dari mereka takkala dihimpit seribu keresahan dari mereka jua. Merekalah yang menjadi DESTINASI CINTAMU, mereka jugalah yang memenatkanmu. Jadi, siapa lagi yang dikau cari wahai insani?
AKU? Firman Allah s.w.t. dalam kebersamaan qudsi. “YA. AKU DESTINASI CINTA segala makhluk. Namun, kenapa engkau mencari dan mencurahkan cinta kepada makhluk, bukan kepada DESTINASI CINTA?”
Kala itu, hati berubah malu. Terkenangkan siri-siri keinsafan yang lalu. Benarlah, akhirnya ku temui, dunia yang selama ini tempat aku mencurah kasih dan cinta setulus hati, sebenarnya tidak pernah membahagiakan diri ini, sebaliknya bisa menghancurkan hala tuju hidupku sendiri.
Tiada tenang ku temui
Hanya kecewa menyelubungi
Benarlah kata si bijak bistari: Kalau cintakan bunga, bunga kan layu. Kalau cintakan wanita, wanita kan mati. Kalau cintakan dunia, kita yang akan pergi…Ya, cinta duniawi itu mengundang kecewa. Kecewa yang perlu dibayar dengan harga yang tinggi. Cinta.
Sememangnya, dunia tiada menjanjikan ketenangan yang dicari. Cinta kebendaan tidak pernah menjanjikan kebahagiaan, kerana di sebaliknya ada perpisahan yang bakal menundang kekecewaan. Dunia dan isinya tidak pernah mencintai kita, walaupun selautan kasih telah kita curahkan kepadanya. Itulah kecewa hakiki. Bahkan lebih kecewa lagi, apabila kita sibuk mencintai yang tidak mencintai kita, di samping melupai dan mengabaikan DIA yang mencintai kita selamanya sejak sebelum kita wujud lagi.
Takut dirasakan oleh sang hamba, takkala teringat akan pengkhianatannya terhadap cinta Tuhannya kepadanya. Maka, bermohonlah oleh hamba itu akan setinggi-tinggi keampunan dari Tuhan, agar dia dapat bersimpuh dalam kebersamaan denganNya, dan menyaksikan kebersamaan tersebut dengan Musyahadah hati yang tidak pernah palsu.
Lantas, berdoalah si hamba itu kepada Tuhan yang Maha Satu:
Ku gelintar segenap maya
Dambakan sebutir hakikat
Gelintar dalam jiwa, takkala ketakutan bersulam rindu untuk bertemu Dia yang lama merindu. Bergetak sudut hati, mendambarkan makrifat diri, untuk terus mengenali, DIA yang lama mencintai.
Hamba terus pasrah, dalam memelihara adab UBUDIYYAH (kehambaan), dalam melaksanakan apa yang diperintah, serta meninggalkan apa yang membawa kepada marah. Wara’ di hadrahNya terus dipelihara, dalam menempuh hari-hari dengan ketaatan kepadaNya, dalam meneruskan kehidupan selaku hamba, demi meraih redhaNya.
Dalam mujahadah, muroqobah, sair ila Allah (perjalanan menuju Allah) dan Sair Fil Lah (perjalanan pada kebersamaan dengan Allah s.w.t.), si hamba mendambakan sebutir hakikat, dalam memelihara adab Allah yang Maha Kuat, untuk memastikan kehambaannya terus tersemat erat.
Untuk ku semai menjadi sepohon makrifat
Moga dapat ku berteduh di rendang kasih-Mu
Hakikat itu didambakan untuk menjadi benih, bagi menanam akan pohon makrifat. Hakikat ialah, takkala seseorang mula mengenal dirinya dan kewujudan makhluk sekelilingnya. Benih hakikat yang sempurna ialah, apabila ia membawa seseorang itu kepada fana’ dari kewujudan diri dan alam ini, dengan fana’ dalam kebersamaan dengan Allah s.w.t..
Fana’ ialah benih yang subur dari hakikat itu. Darinya, dapat disemai ke dalam bumi tawajjuh (mengadap Allah s.w.t.), agar bisa menumbuhkan sepohon makrifatuLlah (mengenal Allah s.w.t.), dengan siraman inayah (bantuan) Allah s.w.t. dan madadNya.
Yang mana, supaya dari pohon makrifat tersebut, dapatlah seseorang hamba berteduh di rendang kasih Ilahi s.w.t.. Seseorang yang mengenal Allah s.w.t., pasti akan mengenal bahawa Allah s.w.t. telah lama mengasihinya. Jadi, rendangnya sesebuah pohon makrifat itu, apabila seseorang hamba telahpun mengenal Allah s.w.t. dengan musyahadah, dan melihat dengan mata hati, akan kasihNya kepadanya. Inilah keredupan abadi yang membahagiakan seseorang insan, dari kepanasan palsu duniawi yang menipu sakan.
Jadi, hamba tersebut berdoa agar Allah s.w.t. memberi peluang kepadanya untuk berteduh di bawah kasihNya, dengan memberi mudah jalan untuk menyampaikannya kepada teduhan tersebut, dengan bantuan dan izinNya. Dia tahu, tiada daya dan upaya melainkan milik Allah s.w.t. dan dariNya. Seseorang tidak akan sampai kepadaNya melainkan dengan kehendak, izin dan bantuanNya.
Namun ranjaunya tidak akan sunyi
Selagi denyut nadi belum berhenti
Durjana syaitan kan cuba menodai
Segumpal darah bernama hati
Sememangnya, ranjau duniawi tidak pernah sudah dalam menggoda hati manusia, bahkan lebih kuat tarikannya bagi mereka yang sudahpun berazam untuk kembali kepada Allah s.w.t.. Syaitanlah yang berperanan untuk terus menyerang dan menghasut hati, agar mengikut hasutan dan godaan duniawi, di samping nafsu tidak pernah jemu dalam menipu hati agar mencintai kelazatan duniawi.
Selagi denyut nadi belum berhenti, selagi nafas masih di rongga ini, selagi itu syaitan, nafsu, duniawi dan makhluk menjadi musuh sejati, dalam menjauhkan sang hamba dari Tuhannya yang mencintainya setulusnya.
Hati yang menjadi raja diri, menjadi sasaran utama musuh-musuh yang ingin menodai kehambaan sejati. Syaitan menyerang dengan bisikan dan janji palsu. Nafsu menyerang dengan bayangan kelazatan syahwat yang indah. Makhluk menyerang dengan memberi tawaran ta’alluq (ketergantungan hati kepada selain dari Allah s.w.t.) dalam diri. Dunia pula menyerang hati dengan pelbagai perhiasan kecantikan yang palsu lagi beracun.
Ke mana mahu lari?
Larilah kepada Allah s.w.t.! Tiada daya melainkan dayaNya. Tiada kekuatan melainkan kekuatanNya. Mintalah bantuan daripadaNya dalam usaha untuk kembali kepadaNya dan meraih makrifatuLlah.
Berdoalah:
Lestarikan wadi kalbuku, oh Tuhanku
Leraikan aku dari pautan nafsu
Hati berada dalam kekuasaan Ar-Rahman, yang membolak-balikkannya mengikut kehendakNya. Berdoalah, agar Dia mampu meneguhkan hati kita dalam keimanan dan ketaqwaan kepadaNya, bukan kerana kelayakan kita untuk keimanan, tetapi kerana keperluan kita untuk memiliki iman, bahkan juga kerana, DIALAH yang MAHA MENEGUHKAN IMAN.
Hanya, dengan bantuanNyalah, hati seseorang akan dapat terlepas dari pautan nafsu ammarah bis suk (nafsu yang sentiasa mengajak manusia kepada kejahatan). Pohonlah pada Allah s.w.t., agar Allah s.w.t. memberi kenikmatan Iman kepada kita dan membersihkan nafsu kita agar bisa menjadi nafsu mut’aminnah (jiwa yang tenang dalam kebersamaan denganNya, dengan musyahadah kepadaNya).
Biarpun sukar bagiku melamar redha-Mu
Namun masihku mengharap ampunan-Mu
Wahai Tuhanku? Ya Allah?
Sememangnya, jika melihat hakikat diri, memanglah sukar untuk melamar redha Allah s.w.t. yang Maha Agung nilainya. Tidak layak rasanya diri yang selama ini mengkhianati cintaNya, untuk melamar redha dan cintaNya. Siapalah diri untuk melamar redha dan cinta suci, sedangkan diri masih penuh dengan keladak kotoran dusta dan pengkhianatan cinta sebelum ini?
Namun, bila melihat hakikat diri dari sudut yang lain, tiada yang paling diperlukan oleh diri melainkan ALLAH. Hanya Allah s.w.t.lah yang menjadi tempat kembali. Kalau tidak menagih redha dan cintaMu ya Allah, luah hamba tersebut, maka kepada siapa lagi aku ingin menagih cinta, padahal selain dariMu, semuanya palsu?
Biarpun sukar bagiku melamar redhaMu, kerana rasa diri tidak layak untuk itu, tetapi, disebabkan aku masih memerlukan cinta dan redhaMu, kalau tidak layak menerima cintaMu sekalipun, sekurang-kurangnya tidak mengapakan, untuk aku mengharap ampunan-Mu?
Kalaupun aku yang telah mengkhianati cintaMu selama ini tidak layak untuk menerima keampunanMu, rasanya tidak salah untuk aku meminta keampunan dariMu, kerana Engkau selalu menyuruhku meminta keampunan daripadaMu. Ya, aku memerlukan keampunanMu ya Allah, dalam ketidaklayakan ku untuk itu, tetapi sekurang-kurangnya, janganlah Engkau marah kepadaku, takkala aku meminta ampun dariMu, sekurang-kurangnya kerana Engkau menyuruhku meminta ampun kepadaMu.
Inilah satu adab kehambaan yang tinggi, yang mana setelah itu, terdengarlah akan khitab qudsi:
Nabi s.a.w. bersabda lagi yang bermaksud: “Orang yang bertaubat merupakan kekasih Allah” (Hadis riyawat Al-Munawi dalam Faidh AL-Qadir 3/276).
Begitu juga dengan sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Allah s.w.t. terlebih bergembira dengan taubat seorang hamba, takkala dia bertaubat kepadaNya…” hadis riwayat Imam Muslim 4/2103, Al-Bazzar dan Al-Munziri)
Ya Allah, walaupun setelah sekian lama si hamba ini mengkhianati cintaMu, namun masih Kau bergembira dengan taubat hambaMu yang Maha tidak layak ini? Siapa lagi nak ku ganti, agar menjadi destinasi cintaku yang hakiki, setelah mengenaliMU YA ILIAHI, rintih hati suci si hamba tadi. Katanya
"Barulah kini ku kenali, Siapa itu DESTINASI CINTA yang hakiki….
Oleh Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qowiy Al-Latif
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin
No comments:
Post a Comment