12.16.2008

Sifat Jujur dengan Allah s.w.t.

Pengertian Jujur dengan Allah s.w.t.:

Jujur dari sudut bahasa bererti: kebenaran dan ketulusan.

Jujur dari pandangan syarak pula membawa erti, kejujuran niat seseorang dengan Allah s.w.t. dalam kehidupannya.

Telah berkata Sheikhu Sheikhna Sidi Abdul Qadir Isa r.a.:

"Hendaklah bagi setiap yang ingin menuju Allah s.w.t., dengan berjalan di atas jalan Najah (yang menyelamatkan dirinya) dan seterusnya sampai kepada Allah s.w.t., agar merealisasikan tiga sifat yang utama iaitu: jujur, ikhlas dan sabar, kerana semua sifat-sifat kesempurnaan yang lain tidak akan dapat dicapai oleh seseorang melainkan dengan tiga sifat tersebut. Begitu juga, tidak sempurna sesuatu amalan melainkan dengan tiga sifat tersebut. Jika sesuatu amalan tidak disertakan dengan sifat-sifat tersebut, maka amalan tersebut akan rosak dan tidak akan diterima.

"Sesungguhnya, faktor pendorong yang paling kuat dalam merangsang seseorang untuk melakukan amal soleh dan seterusnya meningkatkan kerohanian kepada peringkat kesempurnaan, ialah sifat jujur…"


Sheikhuna (guru kami) Al-Syarif Yusuf Al-Hasani berkata:

"Sesungguhnya, kejujuran itu merupakan pintu utama untuk menuju Allah s.w.t.. Bahkan, kejujuran itu sendiri merupakan jalan paling pintas untuk sampai kepada Allah s.w.t.. Kejujuran itu juga merupakan pintu bagi amalan."

Imam Al-Ghazali r.a. berkata:

"Kejujuran itu ada enam jenis:

Pertama: Jujur Lisan yang mana ianya berkaitan dengan apa yang dikhabarkan oleh lidah itu sendiri. Antaranya adalah: menepati janji dan sumpah, menjauhi sifat dusta dan sebagainya.

Kedua: Jujur dari sudut Niat dan Kehendak: Ini kembali kepada perbahasan Ikhlas, iaitu, tiada yang menjadi faktor yang membangkitkan keinginannya untuk beramal, melainkan Allah s.w.t. (iaitu, hanya melakukan sesuatu keranaNya).

Ketiga: Jujur pada keazaman dalam melakukan sesuatu kerana Allah s.w.t. (yang mana, lahirnya semangat untuk melakukan amalan tersebut dan semangat itu juga lahir kerana Allah s.w.t.).

Keempat: Jujur dalam melaksanakan apa yan diazam (melakukan amalan keranaNya, dengan istiqomah dan tidak takut celaan makhluk dalam melakukannya, kerana dia melakukannya kerana Allah s.w.t..)

Kelima: Jujur dalam Beramal itu sendiri, di mana tidak melakukan amalan zahir yang mana, ianya bercanggah dengan apa yang di batin (tidak hipokrit dan bersifat kepura-puraan dalam beramal, dengan melakukan sesuatu yang pada hakikatnya tidak lahir dari niat yang ikhlas, tetapi cuba menunjukkan zahir yang bercanggah dengan batin).

Keenam: Jujur dalam setiap maqam, seperti takut, harap, mengagungkan nikmat Allah s.w.t., zuhud, redha, tawakkal dan kecintaan."

Sheikhu Sheikhna Sidi Abdul Qadir r.a. berkata:

"Mafhum kejujuran di sisi orang awam terbatas kepada kejujuran dari sudut lisan semata-mata, sedangkan kejujuran di sisi ahli sufi mempunyai mafhum yang lebih luas, mencakupi kejujuran dari sudut lisan, kejujuran dari sudut hati, kejujuran dari sudut perbuatan dan kejujuran dari sudut hal."

Oleh yang demikian, sifat jujur itu merupakan satu sifat yang membangkitkan keazaman, kesungguhan dan semangat untuk terus mempertingkatkan kerohanian seseorang sehingga mencapai tahap kesempurnaan dan menyucikan diri daripada sifat-sifat kekurangan dan yang tercela.

Sheikhu Sheikhna Sidi Abdul Qadir Isa r.a. berkata lagi:

"Jika seseorang yang menuju Allah s.w.t., bersifat dengan dengan kejujuran, nescaya dia akan mampu berjalan dan melangkah di atas jalan menuju Allah s.w.t. dengan pantas, sehingga dapat mencapai iman yang tertinggi, kerana ia merupakan kekuatan yang menggerakkan hamba tersebut. Ia merupakan atu sifat yang amat penting dalam setiap peringkat perjalanan kerohanian dalam menuju Allah s.w.t..


Dalil-Dalil Al-Qur'an tentang Kepentingan Jujur kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. berfirman:

"Barangsiapa yang mentaati Allah dan RasulNya, maka dia akan bersama dengan orang-orang yang Allah beri nikmat dari kalangan para Nabi, para siddiqin (orang-orang yang jujur dan benar), para syuhada' (mati syahid) dan orang-orang soleh…" Al-Ayat (Surah An-Nisa: 69)

Imam Al-Qusyairi dalam mentafsirkan ayat ini berkata: "sesungguhnya kejujuran itu tiang bagi urusan (perjalanan menuju Allah s.w.t.) dan penyempurnanya. Ia merupakan sistemnya. Ia merupakan darjat kedua (tinggi) setelah darjat kenabian seperti dalam ayat tersebut…"

Allah s.w.t. juga memerintahkan orang-orang beriman untuk beserta dengan orang-orang yang jujur seperti dalam firmanNya:

"Wahai orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan bersertalah kamu dengan orang-orang yang jujur" (Surah At-Taubah: 119)

Allah s.w.t. juga mengambarkan bahawasnya, golongan yang jujur ini terlalu sedikit dari kalangan umat Islam kerana ia merupakan satu golongan yang terpilih seperti dalam firmanNya:

"Dari kalangan orang-orang beriman itu, ada sekelompok manusia yang jujur lagi menepati perjanjian mereka kepada Allah" (Surah Al-Ahzab: 23)

Bahkan, pada hari Akhirat kelak, Allah s.w.t. menjamin bahawasanya, kejujuran orang yang jujur akan mmberi manfaat kepada mereka sendiri seperti dalam surah Al-Ma'idah ayat 119 yang berbunyi:

Allah berfirman: "Ini adalah suatu hari yang bermanfaat bagi orang-orang yang benar kebenaran mereka. (Surah Al-Ma'idah: 119)

Rasulullah s.a.w. juga sering menggalakkan umatnya untuk bersikap jujur dan menjelaskan bahawasanya kejujuran itu pintu kepada kebaikan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: "Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…" (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Sheikhu Sheikhna Sidi Abdul Qadir Isa r.a. berkata: "Sesungguhnya, tidak ada yang lebih tinggi dari maqam kejujuran melainkan maqam kenabian. Adapun maqam kejujuran itu, merupakan maqam kewalian yang agung dan khilafah yang besar. Sesungguhnya, dalam maqam inilah, seseorang akan mencapai pembukaan hati dalam mengenal Tuhannya, mendapat penjelmaan Allah s.w.t. dalam perasaannya, kerana kesempurnaan nafsunya dan kebaikan sifatnya."


Dalil-dalil daripada As-Sunnah Mengenai Kejujuran


Nabi s.a.w. juga sering menggalakkan umatnya untuk bersikap jujur dan menjelaskan bahawasanya kejujuran itu pintu kepada kebaikan. Sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud:

"Sesungguhnya, kejujuran itu membawa kepada kebaikan. Sesungguhnya, kebaikan itu membawa kepada syurga. Seseorang tidaklah sentiasa jujur melainkan akhirnya Allah s.w.t. menulisnya (menggelarnya) sebagai orang yang siddiq…" (Hadith riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Rasulullah s.w.t. juga pernah bersabda yang bermaksud:

"Kejujuran itu ialah ketenangan…" (Hadith riwayat At-Tirmizi)

Rasulullah s.a.w. juga mencela sifat yang berlawanan dengan kejujuran iaitu sifat dusta, seperti sabda Baginda s.a.w. ketika seorang sahabat r.a. bertanya: "Adakah seseorang mu'min itu pendusta?"

Lalu, Nabi s.a.w. menjawab: "Tidak" (Hadith riwayat Imam Malik)


Peringkat-peringkat Kejujuran


Pertama: Peringkat kejujuran yang pertama bagi seseorang hamba ialah, jujur dalam bertaubat dan kembali kepada Allah s.w.t., kerana ia merupakan asas bagi amal soleh, dan awal peringkat kesempurnaan.

Seseorang hamba perlulah merealisasikan kejujuran dalam bertaubat, dengan penuh keikhlasan, agar taubat tersebut merupakan taubat nasuha, yang merupakan pintu utama untuk memasuki perjalanan menuju Allah s.w.t..

Dia tidak bertaubat melainkan kerana merasakan bahawa, Dia ingin kembali kepada Allah s.w.t., takkala sedar akan ketelanjurannya selama ini dalam bermu'amalah dengan Tuhannya yang Maha Menyayanginya dengan sepenuh makna cinta, bukan bertaubat kerana dipaksa, atau bertaubat kerana inginkan kesenangan duniawi semata-mata, atau bertaubat kerana ingin mendapat karamah dan sebagainya.

Kejujuran pada peringkat ini amatlah penting kerana seseorang tidak akan mencapai kejujuran di peringkat-peringkat yang seterusnya melainkan setelah merealisasikan makna kejujuran pada peringkat ini terlebih dahulu.

Kedua: Jujur dalam mentarbiah nafsu Ammarah (sentiasa mengajak kepada kejahatan).

Sesungguhnya, seseorang hamba perlulah jujur dalam ingin mentarbiah nafsu, untuk memastikan dirinya layak untuk disayangi oleh Allah s.w.t.. Tiada yang membangkitkan keinginannya untuk mentarbiah nafsu melainkan Allah s.w.t. semata-mata.

Ketiga: Jujur dalam melawan syaitan dan menghindarkan diri daripada was-was syaitan.

Dia tidak melawan hasutan syaitan melainkan kerana syaitan itu menghalangnya daripada kebersamaan dengan Allah s.w.t.. Jadi, sesiapa yang memusuhinya kerana dia menuju Allah s.w.t. keranaNya, maka pasti akan diperangi sehabis-habisnya, kerana memnghalangnya daripada menuju kekasihNya iaitu Allah s.w.t..

Keempat: Jujur dalam mengeluarkan dunia dari hatinya. Seseorang yang mampu jujur dalam membuang dunia dari hatinya, maka mudahlah dia untuk berterusan dalam mujahadah dalam menuju Allah s.w..

Kelima: Jujur dalam mencari ilmu, untuk menghilangkan kejahilan dan untuk memperbaiki amalan. Hal ini membawa kepada istiqomah dalam beramal dan melahirkan kekuatan dalam beramal.

Iaitu, kejujuran dalam mencari ilmu ialah, apabila seseorang mencari ilmu untuk menghilangkan kejahilan dan untuk memperbaiki amalannya keranaNya, bukan kerana selain daripada Allah s.w.t..

Ini kerana, ilmu itu boleh jadi hijab jika ia dituntut bukan kerana Allah s.w.t., dan jika ia mengatasi apa yang difahami oleh kita, sehingga membawa kepada terfitnah dengan apa yang didengar, kerana ianya tidak difahami dengan kefahaman yang sebenar. Sebaik-baiknya, belajarlah dengan kadar apa yang diajarkan oleh mursyid kepada kita, dan jujurlah dalam belajar, bukan kerana kepentingan diri, tetapi demi menunaikan kehambaan kita kepadaNya.

Keenam: Jujur dalam beramal. Ini merupakan natijah dari ilmu yang bermanfat itu sendiri. Ia membawa seseorang hamba untuk terus meningkat dengan berterusan, dan menjadikan ilmu sebab untuk penyempurnaannya. Oleh yang demikian, hendaklah dia ikhlas dalam beramal, jika tidak akan masuk dalam dirinya, cintakan kemasyhuran, suka dipuji dan suka manusia memerhatikannya dengan pandangan penuh kemuliaan.

Jujur dalam beramal juga bererti, kita tidak melakukan amalan kerana ingin dikatakan kita sebagai orang yang banyak amalan, atau tidak melakukannya kerana inginkan kedudukan pada pandangan makhluk, tidak melakukannya kerana inginkan kelebihan-kelebihan dari Allah s.w.t. seperti keramat dan sebagainya.

Ketujuh: Ikhlas dalam kejujuran tersebut. Seseorang yang ikhlas kerana Allah s.w.t. dalam kejujurannya, maka dengannya, akan hilang rintangan-rintangan dalam perjalanannya menujuNya, menuju redhaNya, makrifatNya dan cintaNya. Secara ringkasnya, ikhlas dalam kejujuran ialah, seseorang itu tidak merealisasikan kejujuran tersebut melainkan kerana Allah s.w.t..

Ringkasnya, kejujuran kepada Allah s.w.t. dalam erti kata yang sebenar ialah, seseorang itu menginginkan Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t., bukan kerana selain daripadaNya, hatta bukan kepentingan dirinya sendiri.

Untuk mencapainya amat sukar, namun mudah jika Allah s.w.t. yang membantu kita untuk mencapainya. Jadi, pohonlah agar Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita kejujuran dalam menujuNya kerana kejujuran dalam menujuNya merupakan pintu utama untuk masuk ke hadrahNya.


Faktor-faktor Perangsang Kejujuran Terhadap Allah s.w.t. dalam Diri


Adapun dua faktor utama dalam diri manusia, yang menjadi unsur kekuatan utama dalam merangsang kejujuran dalam diri untuk menuju Allah s.w.t. adalah:

Pertama: Rasa Diri Lemah dan Memerlukan (Ihtiaj)

Kedua: Rasa Ingin Mencintai dan Dicintai

Seseorang yang merasa dirinya lemah dan memerlukan Allah s.w.t. dalam kehidupannya, maka pasti dia akan jujur dalam beribadah dan mencari hanya redha dan bantuan Allah s.w.t. dalam kehidupannya.

Seseorang yang merasakan dirinya ingin dicintai Allah s.w.t., maka pasti akan jujur dalam ketaatannya kepada Allah s.w.t..

Kesimpulan:

Sesiapa yang jujur dalam hatinya, maka seluruh perbuatannya akan mencerminkan kejujuran dalam hatinya. Hendaklah seseorang itu jujur dalam melaksanakan ketaatan kepada Allah s.w.t..


Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

('AmalahuLlahu bi althofihi al-khafiyyah)