1.14.2009

Risalah: Kewajipan Umat Islam oleh Al-Habib Husein bin Abdul Qadir As-Saggaf



Risalah: Kewajipan Umat Islam oleh Al-Habib Husein bin Abdul Qadir As-Saggaf

Telah berkata Al-Habib Husein bin Abdul Qadir As-Saggaf hafizahullah sebagaimana dinashkan:-

“Bismillah…Selawat dan Salam buat Saidina Rasulullah, serta buat ahli keluarga dan para sahabat Baginda r.a…

Amma ba’du…

Telah sampai kepadaku beberapa risalah daripada saudara dan saudari tentang ahli Ghaza dan mereka juga bertanyakan tentang kewajipan kita (umat Islam) terhadap peristiwa tersebut?

Maka, saya katakan:

Tidak syak lagi bahawa apa yang dapat kita saksikan daripada apa yang berlaku di Ghaza sangat menyayat hati kita, sangat menggerunkan dan menyebabkan air mata berlinangan daripada apa yang dilakukan oleh golongan pelampau lagi pembunuh para nabi iaitulah dari kalangan Zionis.




Tidak menghairankan lagi bahawasanya sememangnya mereka dilaknat atas lisan para nabi mereka sendiri. Oleh yang demikian, tidak perlulah saya memanjangkan kata tentang mereka kerana yang saya sangat ambil berat bukan mengenai mereka, tetapi yang sangat saya pentingkan dalam risalah ini adalah tentang hal umat Islam dan pendirian mereka.

Suatu Penilaian: Sesungguhnya tiada sesiapa yang dapat melemahkan Allah s.w.t. daripada menghilangkan kezaliman golongan Zionis sebagaimana Allah s.w.t. pernah menjatuhkan nenek-moyang mereka suatu ketika dahulu serta merta. Tanyalah kepada umat-umat terdahulu tentang bagaimana kemusnahan bangsa Zionis tersebut suatu ketika dahulu?

Akan tetapi, apakah alternatif yang wujud setelah kemusnahan Bani Zionis?

Adakah umat Islam hari ini sememangnya bersedia untuk diberi kekuasaan di muka bumi ini? Adakah kita sedang bersatu hati dan tenaga sesama muslim?

Apa yang lebih saya takutkan adalah, jika musuh berlalu pergi daripada negara Islam, umat Islam pula sendiri yang menghuni di negara orang Islam tersebut sendiri yang saling berbunuhan sesama sendiri (saling berbunuhan sesama muslim) yang mana menyebabkan mereka yang membunuh dan yang dibunuh masuk neraka (berdasarkan hadith Sahih). Sedangkan, jika seorang muslim dibunuh oleh Yahudi, maka dia akan mati syahid lalu mendapat syurga.

Bagi Allah, dalam setiap perbuatanNya, ada urusan dan kebijaksanaanNya. Allah s.w.t.tidak memberi kemenangan kepada Rasulullah s.a.w. melainkan setelah sepuluh tahun, iaitu pada peperangan Badar, sedangkan sebelum itu, ramai para sahabat dibunuh (dalam tempoh sebelum kemenangan tersebut) secara ditindas, dizalimi, dihukum dan dibiarkan mati dalam keadaan lapar.

Mengapa Allah melewatkan kemenangan kepada NabiNya s.a.w. sehingga pada perang Badar?

Dikatakan, Allah s.w.t. ingin menguji keimanan para sahabat r.a. dalam ketabahan mereka menghadapi sebarang cabaran kerana Allah, untuk menilai adakah mereka mampu bersabar ataupun mereka tidak berpuas hati dengan Allah?

Kemudian, kemenangan tersebut tidak datang melainkan setelah Rasulullah s.a.w. berjaya mencabut perasaan hasad, bermegah-megah dengan nasab, harta dan cintakan dunia daripada hati umat Islam pada ketika itu. Perkara pertama yang dilakukan oleh Rasululllah s.a.w. adalah mengikat tali persaudaraan sesama Muhajirin dan Ansar. Jika telah bersatunya hat-hati dan apa yang menjadi cita-cita dan kecintaan mereka adalah apa yang lebih agung daripada keduniaan (iaitulah redha Allah), maka, datanglah kemenangan serta-merta tanpa ada yang dapat menghalang kemenangan tersebut.

Adapun hari ini!!

Adakah hati-hati umat Islam sudahpun bersatu? Boleh jadi, dalam ramai-ramai orang yang berdiri dalam saf-saf ketika mendirikan solat di masjid itu sendiri, tidak ada satu saf pun yang mana semuanya bersatu hati sesama mereka, kecuali sedikit.

Sampai peringkat manakah tahap rasa keagungan Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. dalam diri umat Islam hari ini?

Sejauh mana rasa kecintaan umat Islam kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w.?

Adakah kita ingin membantu Allah dan RasulNya (dengan membela agamaNya) kerana sememangnya merindukan dan mencintai Allah dan RasulNya, ataupun berperang kerana inginkan kedudukan, kekuasaan di muka bumi, harta dan sebagainya?

Hendaklah kita kembali memuhasabah diri kita sendiri dan jujur terhadap diri kita sendiri lalu kita meneliti niat-niat kita dan tujuan-tujuan kita?

Umat Islam hari ini yang tidak mampu untukmembantu masyarakat di Ghaza dengan tenaga dan kekuasaan, maka saya seru kepada mereka sebagaimana berikut:

Kembalilah kepada Allah s.w.t. dan banyakkanlah berdoa serta mengadu kepada Allah s.wt.. Banyakkanlah bertaubat kepada Allah s.w.t., banyakkanlah bersedekah dan banyakkan berhimpun dalam majlis-majlis zikir, majlis ilmu dan majlis dakwah, berbanding sekadar berhimpun dalam perhimpunan demonstrasi dan sekadar melaungkan slogan-slogan semata-mata.

Suatu hal yang lain adalah, hendaklah kita berusaha menambahkan kecintaan kita kepada Saidina Rasulullah s.a.w. dalam hati kita, mempelajari sunnah-sunnah Baginda s.a.w. dan akhlak Baginda s.a.w., menyebarkan akhlak dan sunnah Baginda dalam sudut praktikal samada dalam rumah kita, pada sesama anak-anak dan keluarga kita dan sebarkan ia ke serata dunia.

Hendaklah kita menghidupkan Sunnah-Sunnah, Akhlak dan sifat-sifat Baginda s.a.w.dalam kehidupan kita seluruhnya dan menyebarkan kasih sayang dan persaudaraan kerana Allah kepada seluruh muslimin. Hendaklah kita meninggalkan ideologi-ideologi dan budaya orang-orang kafir dan fasiq yang merupakan musuh-musuh agama Islam ini, samada meninggalkannya daripada diri sendiri mahupun daripada masyarakat Islam umumnya.

Seterusnya, setelah kita menunaikan kewajipan dan menjauhi larangan, hendaklah kita memperbaiki niat dan tujuan kita dalam mempertahankan agama (bukan kerana ingin mendapat kedudukan dan pujian tetapi kerana Allah).

Hendaklah kita menyebarkan kasih sayang dan persaudaraan sesama kita, sekalian umat Islam dan mengukuhkan kesetiaan kita kepada Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w..

Kalau sempurna apa yang disarankan tersebut, insya Allah, kemenangan Allah pasti hampir.

Kalau tidak, keadaan kita (umat Islam) akan terus sebagaimana hal kita sekarang, sehinggalah kita sendiri yang mengubah keadaan kita.

“Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum melainkan setelah mereka sendiri mengubah apa yang ada dengan diri mereka sendiri…” (Al-Ayaah)

Ditulis oleh Al-Faqir ila Allah

(Al-Habib) Husein As-Saggaf

28 Disember 2008

* * *

Dinukil dan diterjemah oleh Khadim Ilm Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Kabir

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi

‘AmalahuLlahu bi Lutfihi Al-Khafiyy

No comments: