7.08.2009

Risalah Mahabbah: Linangan Kerinduan



Linangan Kerinduan…

Seorang anak yatim merenung ke dalam dirinya. Dia melihat ada kekosongan yang menimbulkan persoalan untuk dijawab. Dari manakah asalnya? Siapakah “asal” dirinya? Dia tidak muncul tanpa asal kerana setiap yang wujud daripada “tiada” pasti ada “asal”nya.

Dia mula melihat keriangan kanak-kanak di sekelilingnya. Mereka bermain di taman permainan dengan penuh ria. Berlari di padang lapang berpimpinan tangan dengan dua insan mulia. Seorangnya lelaki dan seorang lagi wanita. Kuntuman senyuman budak yang dipimpin oleh dua orang dewasa tersebut menjawab kekosongan dalam diri si anak yatim tadi. Jawapan bagi “asal”nya dari sudut biologi adalah “kedua ibu bapa”.

Biarpun tidak pernah melihat atau tidak pernah mengenali kedua ibu bapanya, namun gelora kerinduan fitrah terhadap kedua ibubapanya makin membuak tatkala mula menghayati “asal” diri daripada mereka. Terasa “tiada” kasih sayang “asal” walaupun mendapat kasih sayang keluarga angkat atau penjaga. Namun, manakan sama kasih sayang “asal” dengan kasih sayang tumpangan.



Seseorang yang mencapai minda yang lebih matang akan melihat “asal” diri dan alam ini lebih meluas. Dia melihat hatta ibubapanya juga berasal daripada tiada kepada ada. Bahkan, alam yang menjadi tempat bagi makhluk juga mempunyai asal hakiki kerena semuanya berasal daripada “tiada”.

Maka, insan yang kerdil mula merenung ke dalam diri. Segala isi alam tenggelam dalam luahan mencari makna “asal” diri sendiri. Dari mana diri? Dari mana seluruh makhluk yang menghiasi di sekeliling diri? Hati yang mencari terus mencari sehingga benih ingin lebih mengetahui tentang “asal” diri terus bercambah. Dari kehendak yang tinggi untuk lebih mengetahui kepada kerinduan terhadap “asal” yang dicari.

Dia mula mencari ruang barang sejenak dua, untuk memuhasabah diri dan memikirkan hakikat keagungan makna yang dicari. Ruang sunyi dihiasi dengan ingatan dan fikir yang tulus suci.

Ketika fitrah mula berbicara, akal mula menjadi pemerhati yang setia. Intipati “tauhid murni” dalam fitrah mula menzahirkan maknanya. Hati mula menerimanya dengan penuh rela. TAUHID MURNI seraya berkata: “HUWA ALLAH” (DIALAH ALLAH). Dialah yang kamu cari wahai insan. Dialah yang kamu rujuk sebagai “asal” hakiki seluruh makhluk ini. Dialah Maha Pencipta yang telah menciptakanmu.

Jawapan halus dari lafaz “ALLAH” mula memendam makna di seluruh jiwa. Lafaz yang mengandungi seluruh makna ketuhanan yang membumikan makna kehambaan dalam diri sang hamba yang menghayatinya. Maka, tali hubungan kehambaan kepada ALLAH yang menyimpan rahsia ketuhanan mula membenihkan “kelazatan” dalam rasa kehadiran. ILAHI… kata diri berbicara merintih diperhati. ‘ABDI… (HambaKu)… Seru Maha Cinta Abadi nan Hakiki.

Ketika dalam kesunyian itu, seruan semakin rancak. Yang berbicara terus berbicara. Yang menjadi pendengar terus setia. Hanya yang ada, cinta dengan cinta. Itulah ruang kesunyian yang bisa menjernihkan kekaratan nafsu duniawi. Aaahh..

Benarlah sabda Nabi -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- yang bermaksud:

“Tujuh golongan yang dinaungi di bawah naungan Allah pada hari yang tiada naungan melainkan naunganNya… Antaranya: Seorang lelaki yang mengingati ALLAH dalam keadaan bersendirian lalu berlinangan air (dari) matanya…”

Ia adalah tangisan rindu. Ia adalah tangisan dalam menzahirkan keinginan untuk kembali bersama “asal” hakiki yang Maha Menciptakan. Ia adalah linangan mencari pertemuan dalam keabadian cinta.

Hidup ini terlalu lama untuk menterjemahkan pertemuan dua cinta. Bagaimana agar bisa terus melihatMu setelah kembali melihat dunia? Bagaimana bisa ku berinteraksi denganMu ketika keluar dari kesunyian ini menuju kesesakan dunia?

Hidup yang mempunyai seribu satu cerita punya misteri sendiri. Namun, usia dari awal kelahiran sehingga ajal yang entah bila seolah-olah menjarakkan lagi pertemuan yang agung. Namun duhai sang hamba, lihatlah segala di sekelilingmu sebagai interaksi Tuhanmu kepadamu, nescaya itu yang akan terus mengikat kerinduanmu kepadaNya.

Ketika dikau melihat si ibu mendukung si anak dengan penuh kasih, lihatlah bahawasanya ia adalah limpahan dari kasih sayang Allah s.w.t.. Si ibu menyayangi si anak tersebut dengan kasih sayang Allah s.w.t. yang diberikan oleh Allah s.w.t. kepadanya lalu dia (si ibu) memberi kasih itu kepada anaknya. Si anak kecil yang merasa selesa dalam dakapan ibunya sebenarnya selesa dalam “dakapan penjagaan” Allah s.w.t. yang dizahirkan dalam dakapan si ibu tersebut.

Apabila dikau melihat kicauan burung menyanyikan lagu rindu, tiupan angin membawa nyaman, pepohonan melambai ria, haiwan ternakan meragut rumput di padang, sungai yang mengalir membicarakan kedamaian dan cahaya mentari menyinar riang di balik bukit nan tersergam, maka lihatlah keindahan Allah s.w.t. melalui keindahan makhluk-makhlukNya tersebut. Makhluk-makhluk adalah cerminan sifat Allah s.w.t. melalui perbuatanNya.

Dengan demikian, kamu akan terus fokus terhadap DIA yang kamu cari. Bahkan, kamu akan terus mengerti yang hanya DIA yang kamu cari dalam hidup ini.

Ramai manusia mencari apa yang belum pasti, sedangkan dia menuju apa yang pasti. Manusia yang bijak adalah, dia hanya mencari dan menuju apa yang pasti. ALLAH s.w.t.-lah yang pasti lagi hakiki. Tangisanmu biar terarah kepada mencariNya, agar jiwamu puas hanya dengan merinduiNya.

Kehilangan segala-galanya selainNya adalah anugerah jika disertai dengan kehadiranNya. Mendapatkan apa sahaja selainNya adalah musibah jika disertai dengan kehilanganNya. Anda berduka bukan kerana tidak dapat apa yang anda ingini, tetapi anda berduka kerana tidak mahu apa yang sepatutnya anda ingini.

Mata jika menangis kerana sunyi dari makhluk, maka matamu adalah sebesar-besar hijab yang menjauhkanmu dari hakikat diri. Tangisan biarlah antara takut kepadaNya atau rindu kepadaNya.

Rasulullah -shollaLlahu ‘alaihi wasallam- bersabda:

“Dua mata yang tidak akan disentuh oleh api neraka (antaranya): Mata yang menangis kerana takut kepada Allah s.w.t…” (hadith riwayat Imam At-Tirmizi)

Rindu kepadaNya bermula dengan hati yang hanya mencari redhaNya. Hidup ini sentiasa ada lebih dari satu pilihan. Tetapi, satu-satunya pilihan yang membawamu kepada kebahagiaan abadi adalah dengan hanya memilih ALLAH sebagai tujuan. Daripada tujuan membawa kepada pengenalan. Daripada pengenalan membawa kepada kecintaan. Daripada kecintaan membawa kepada kerinduan. Semuanya bermula dengan “pencarian” yang tulus dan penuh kejujuran.

Semoga Allah s.w.t. membantu kita untuk fokus hanya mencariNya agar diberi peluang terutamanya ketika dalam kesunyian, untuk merinduiNya lalu mengalir air mata “mengharap” cintaNya. ALLAH… Ajarkanlah kami cinta agar dapat mencintaiMu dengan cinta yang Engkau redhai… Engkaulah sumber cinta sedangkan kami “rindu” untuk mencintaiMu dengan cintaMu.

Amiin…

Wallahu a’lam…

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

‘Amalahullah bi LutfiHi Al-Khafiyy

1 comment:

Nur Khadijah said...

ALLAH… Ajarkanlah kami cinta agar dapat mencintaiMu dengan cinta yang Engkau redhai...