12.29.2009
Melangkah ke Arah yang Benar kerana Tujuan yang Benar
Alam yang Liar…
Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari berkata dalam Hikamnya:
“Bilamana Allah s.w.t. membuat makhluk liar terhadapmu (menyusahkan atau menyakitimu), maka ketahuilah Dia ingin membuka buatmu pintu berjinak-jinak hanya denganNya”.
Siapa yang mendakwa hidup ini sentiasa menggembirakannya setiap detik bererti telah dusta dalam dakwaannya. Tiada siapa yang tidak pernah merasa susah, sedih, kecewa dan derita khususnya dalam menghadapi makhluk di sekelilingnya.
Boleh jadi orang yang paling diharapkan di sisi kita itulah orang yang telah mengkhianati kita selama ini. Boleh jadi orang yang paling dikasihi itulah sebenarnya paling membenci. Boleh jadi orang yang paling dekat jasadnya dengan kita itulah orang yang paling jauh hatinya dari kita. Teman yang selama ini paling dipercaya, mungkin esok menjadi musuh yang paling merbahaya.
Rumah yang baru dibeli dengan jaminan keselamatan dan kekukuhan untuk tempoh yang lama boleh jadi retak atau roboh sejurus kita mendudukinya. Kereta yang baru dibeli dengan harga yang tinggi itu mungkin juga kereta yang dinaiki menuju musibah. Kawasan yang dijamin selamat dari gempa bumi namun mungkin dibinasakan oleh banjir yang besar. Beginilah makhluk.
Makhluk tidak menentu. Apa yang dari mereka tiada yang pasti. Apa yang dicari dari mereka akan pergi. Apa yang diingini dari mereka tidak pernah kekal abadi.
Ketika menyedari kenyataan “tidak menentu”nya makhluk. Kita hayati hakikat ini setiap kali berinteraksi dengan sekeliling, samada dari kalangan manusia atau alam. Sama sahaja. Semuanya digerakkan oleh Tuhan yang menentukan segalanya dengan kebijaksanaan. Namun, kita yang lalai. Kita rela dibelenggu “rutin” harian daripada melihat interaksi Allah s.w.t. di sebalik setiap pergerakan makhluk.
Oleh sebab itulah, Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari menyebutkan bahawa, bilamana Allah s.w.t. membuatkan alam dan makhluk ini serba merungsingkanmu, ianya sebenarnya adalah suatu panggilan agar kamu mencari ketenangan hanya pada kebersamaan denganNya. Bilamana Allah s.w.t. memberi musibah, Dia ingin kamu kembali kepadaNya dengan penuh pasrah dan berserah. Bilamana Allah s.w.t. memberimu ujian, Dia ingin kamu mencariNya untuk meminta bantuan. Bilamana Dia memberimu kesempitan, Dia ingin kamu kembali kepadaNya untuk mencari kelapangan.
Hanya kepada Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali. Hanya kerana Dia, kamu perlu kembali kepadaNya. Bukan kerana selainNya. Ini kerana, seluruh selainNya adalah khayalan yang sentiasa menghimpit. Makin kamu renggangkan antara keduanya untuk mencari kelapangan dalam makhluk, makin kuat kamu akan dihimpit.
Kalau Allah s.w.t. menyayangi seseorang, Dia akan memahamkan hakikat “seruan kepulangan” ini dalam dirinya di sebalik setiap musibah melanda. Alam adalah interaksi Allah s.w.t. dengan para hambaNya. Namun, kebanyakan mereka lalai dari memahaminya kerana tidak pernah menghadirkan Allah s.w.t. dalam hati mereka.
Kamu perlu sedar hakikat ini. Allah s.w.t. tidak pernah menyusahkanmu, kerana bukan itu tujuan kamu diciptakan. Allah s.w.t. sengaja menyempitkan makhluk agar kita mencari kelapangan pada kebersamaan denganNya. Hanya denganNya. Fahamilah isyarat ini duhai teman, lalu anda akan dapat melihat kebersamaan Tuhan.
Ramai Kembali KepadaNya Dengan Dusta
Memang benar. Setelah kesempitan kian menghimpit, setelah kesusahan makin menyusahkan dan setelah hidup semakin redup, ramai yang mengangkat tangan dan berdoa. Ramai yang memohon kepada Allah s.w.t..
Tetapi, kerana apa mereka kembali kepada Allah s.w.t.? Ramai yang kembali dalam keadaan dusta. Mereka kembali mencari Allah s.w.t. agar Allah memberi semua keinginan mereka terhadap makhluk-makhluk.
Tatkala mereka miskin, maka Allah s.w.t. kayakan mereka. Tatkala kaya, mereka lupakan Allah s.w.t.. Tatkala mereka ditimpa kemiskinan, maka mereka mengangkat tangan dan berdoa kepada Allah s.w.t., untuk mendapat kekayaan semula. Setelah mendapat kekayaan semula, Allah s.w.t. ditinggalkan semula. Biadapnya manusia. Allah s.w.t. memanggilnya untuk kembali kepadaNya semata-mata keranaNya, namun dia kembali kepada Allah s.w.t. kerana inginkan makhluk lalu setelah dapat makhluk yang diingini, Allah s.w.t. terus dilupai. Beginikan sifat hamba, wahai penderhaka?
Allah s.w.t. terus memberi kasih sayangNya kepada mereka yang terus lupa. Demi cintaNya pada para hambaNya, Allah s.w.t. terus memberi peluang kepada hamba-hambaNya. Namun, sampai bila wahai manusia? Allah s.w.t. sentiasa memanggilmu agar kembali mencintaiNya berbanding selainNya, dan kembali menujuNya berbanding tamakkan dunia yang sementara. Namun, hidup ini seolah-olah tidak mengajar sebarang erti, melainkan segumpal khayalan yang menipu diri.
Wahai hamba, jujurlah denganNya. Segala yang ditentukan kepada kita adalah kerana kita, namun segala yang kita lakukan dalam dunia adalah kerana kita. Dimanakah cinta? Atau sedang memperhambakan Tuhan? Sebaik-baik kebaikan dalam jalan cinta adalah menghargai cinta yang telah diberikan. Jujurlah dengan Tuhan, kelak akan temui jawapan bagi segala persoalan.
Janganlah terus lalai mencari makhluk yang sengaja dibuat sering menyusahkan agar kita mencari Allah s.w.t. yang Maha Menyenangkan. Kilauan cinta dunia dan makhluk adalah dari tipu daya nafsu dan hasutan syaitan. Andai anda melihat dengan kaca mata iman, melalui hati yang jernih, anda akan dapati hanya Allah s.w.t. sebaik-baik Pencinta yang mendamaikan.
Renungkanlah…
Dengan kelalaian inikah kita ingin pulang bertemu Ilahi setelah mati? Dengan kebiadaban inikah kita ingin berdiri di hadapanNya sewaktu hari Perhitungan? Alangkah tertipunya andai masih terus tertawa, sedang amalan masih belum terkumpul utuk dibawa. Alangkah malangnya andai masih terus terlena, sedang usia semakin sirna.
Kembalilah kepadaNya dengan ketaatan, sebelum kembali kepadaNya tanpa amalan. Kembalilah kepadaNya dengan kejujuran, sebelum kembali kepadaNya dengan penuh sesalan.
Al-Faqir Al-Haqir ila Lutf Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘AmalahuLlahu bi LutfiHi Al-Khafiy
ALLAH..sgt menusuk hati...bagai menjawab setiap persoalan...
ReplyDeletejazakallah..