4.17.2011

Kebersamaan Fikrah: Asas Amal Jama'ie

Dakwah Islamiyyah Antara Konsep dan Perlaksanaan

Masih ramai orang yang terlibat dalam bidang dakwah terutamanya dengan gaya baru (selepas dakwah sufiyyah) keliru dengan permasalahan dakwah islamiyyah dan amal jama'ie. Mereka menilai dakwah dengan neraca ukuran jemaah islam tertentu sehingga membataskan mafhumnya dan wasa'ilnya (wasilah-wasilahnya) yang lebih luas.

Dakwah pada asalnya adalah mengajak manusia kepada Allah s.w.t., bukan kepada wasilah-wasilahnya. Sedangkan, wasilah adalah jalan daripada jalan-jalan untuk melaksanakan urusan dakwah tersebut. Sudah tentulah dakwah itu ada yang bersifat fardhi (individual) dan ada yang bersifat jama'ie (berkelompok) tetapi konsep dakwah bersifat berkelompok (jama'ie) tidak boleh dijadikan suatu faktor yang membawa kepada ihtikar (monopoli) terhadap istilah tersebut terutamanya di lapangan dakwah yang dihuni oleh jamaah-jamaah dakwah yang pelbagai.

Oleh yang demikian, sejak seribu tahun, walaupun pada hakikatnya golongan sufi yang melakukan usaha dakwah berteraskan konsep amal jama'ie ini, namun tidak pernah mendakwa hanya diri mereka sahaja yang melakukan usaha dakwah walaupun dakwah mereka yang paling lama dalam sejarah Islam dan paling meluas.

Oleh sebab itulah juga, ketika pembentukan sesuatu jamaah, ianya seharusnya adalah suatu wasilah daripada wasilah-wasilah yang lain dan bukan membawa kepada ianya sebagai satu-satunya wasilah yang ada.

Imam Hasan Al-Banna: Tokoh Sufi Perintis Dakwah Haraki

Apabila kita melihat bentuk pemikiran Imam Hasan Al-Banna sendiri dalam memahami dakwah dan perlaksanaannya, beliau tidak terburu-buru menghukum orang yang tidak menyertai pergerakan yang ditubuhkan oleh beliau sebagai keluar daripada Al-Jamaah atau tidak terlibat dalam 'Amal Jama'ie.

Beliau mempunyai suatu ungkapan yang sangat masyhur iaitu:

"كم منا وليس فينا وكم فينا وليس منا،"

Maksudnya: "Berapa orang yang daripada kami (mempunyai kebersamaan fikrah) tetapi tidak dalam kelompok kami dan berapa ramai orang yang dalam kelompok kami (tanzhim) tidak tidak daripada kami (mempunyai kebersamaan fikrah)."

Oleh sebab itulah, ketika beliau menggariskan tentang kekuatan umat Islam, beliau menyebut tentang tiga golongan utama yang terpisah dari sudut tanzhim (organisasi) tetapi wajar mempunyai kerjasama berteraskan kebersamaan fikrah iaitulah kefahaman sahih terhadap agama Islam berlandaskan ahlus-sunnah wal jamaah.

Beliau menyebut dalam kitab beliau Muzakkirat Fi Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah:-

“Jika Allah s.w.t. kehendaki kebaikan (bagi umat Islam), maka andai Al-Azhar (merujuk kepada institusi ulama’-ulama’ muktabar di Mesir) mengabungkan kekuatan ilmiah yang ia miliki dengan kekuatan kerohanian tarikat-tarikat sufi, serta digabungkan pula dengan kekuatan jamaah-jamaah Islam yang melaksanakan praktikalnya, maka umat Islam ini sudah tidah ada tolok bandingannya lagi.”

Jika seseorang penda'ie yang menjalani usaha dakwah mengikut kerangka dan manhaj haraki yang dicetuskan oleh Imam Hasan Al-Banna, maka bentuk pemikiran sebegini wajar ada dalam pemikiran mereka agar tidak timbul unsur-unsur ihtikar (monopoli) dalam usaha dakwah dan amal jama'ie.

Imam Hasan Al-Banna menyebut tiga golongan utama yang terpisah dari sudut tanzhim (organinasi) tetapi mempunyai persamaan fikrah (iaitu kefahaman sahih terhadap Islam dengan berteraskan kefahaman ahlus sunnah wal jamaah) agar mampu bekerjasama sehingga membentuk kekuatan umat Islam.

Beliau (Imam Hasan Al-Banna) menyebut Al-Azhar terlebih dahulu kerana institusi ilmu sangat penting dalam mencorak kesahihan pendirian dan pegangan seseorang dalam masalah agama yang usul kerana ilmu adalah neraca utama sesuatu kebenaran. Oleh sebab itulah, beliau menyentuh kepentingan marhalah Ta'rif dan rukun bai'ah yang pertama sebagai rukun faham yang mana kedua-duanya melibatkan persoalan ilmu. Penguasaan ilmu bukan berteraskan kefahaman sebenar ahlus-sunnah wal jamaah akan merosakkan sesebuah organisasi dakwah walaupun dihiasi dengan slogan-slogan indah.

Kemudian, Imam Hasan Al-Banna menyebut golongan sufi yang muhaqqiq kerana merekalah para pemimpin dalam bidang tarbiah dan amal. Setelah penguasaan ilmu, maka seseorang perlu mengamalkan ilmunya dan menghiasi diri dengan akhlak-akhlak terpuji di samping melawan hawa nafsu yang buruk. Maka, golongan sufi adalah golongan yang mempunyai keahlian yang khusus dalam bidang ini sebagaimana sering disebut oleh beliau.

Oleh sebab itu jugalah, dekatnya kebersamaan fikrah antara Al-Ikhwan yang asal dengan golongan sufi dapat digambarkan oleh Al-Ustaz Umar Al-Tilmisani (Mursyidul Am Al-Ikhwan ynag ketiga) sehingga beliau berkata:

“Masih kekal di sisi kami (Ikhwan Muslimin menurut beliau) suatu kelompok dalam kalangan umat Islam, yang mana mereka adalah manusia yang paling saya cintai dihatiku dan yang paling dekat kepada diriku. Mereka adalah ahli-ahli tariqat sufiyyah. Saya tidak bermaksud keseluruhan mereka, tetapi yang saya maksudkan adalah golongan yang bersih sirr mereka, disulami taqwa dalamannya dan baik keimanannya dalam niatnya dalam kalangan mereka.” [Al-Ikhwan Al-Muslimun: Mabda’ wa Fikrah wa Aqidah tahun 1936] Rujuk juga buku beliau Syahid Al-Mihrab Umar bin Al-Khattab.

Kemudian, barulah Imam Hasan Al-Banna menyebut tentang golongan pendakwah dan jamaah-jamaah Islam yang perlu merujuk bidang ilmu mereka kepada institusi muktabar (seperti Al-Azhar di Mesir dan aliran-aliran Pondok dan seumpamanya di Nusantara yang dihuni oleh para ulama' muktabar) dan merujuk dalam bidang kerohanian mereka kepada institusi muktabar seperti golongan sufi yang muhaqqiq. Dengan demikian, sudah pasti kerjasama akan terbentuk jika masing-masing tahu di mana letaknya peranan pengukur dan diukur. Kepincangan yang berlaku adalah apabila yang diukur ingin menjadikan pengukur sebagai yang diukur, maka berleluasalah kepincangan dalam bidang dakwah dan sebagainya.

Kerjasama Antara Organisasi Dakwah

Sudah pastilah, semangat kerjasama dalam urusan kebaikan adalah suatu yang sangat dituntut. Bahkan, dalam Surah Al-Asr telah mengajar kita kepentingan kerjasama ke arah kebaikan iaitulah dengan saling nasihat menasihati ke arah kebenaran dan kesabaran. Ia bagi merangka suatu kekuatan yang cuba digambarkan oleh Imam HAsan Al-Banna sendiri dalam usaha dakwah yang besar.

Golongan sufi sejak dari dahulu mengalami proses tajdid dan islah melalui tokoh-tokoh mereka yang muktabar turut berperanan besar dalam bidang dakwah dan usaha yang disebut sebagai 'amal jama'ie pada masa kini. Maka, kecenderungan sesuatu pihak untuk merasakan hanya mereka sahaja yang melakukan usaha dakwah atau amar ma'ruf dan nahi munkar dan menafikan peranan pihak-pihak lain adalah tidak tepat.

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah menyebut:

جماعات من المسلمين لا جماعة المسلمين

هناك على النقيض من هذه الفكرة فكرة أخرى: ترى العمل الجماعي فريضة، وتحصر هذه الفريضة في جماعة معينة ترى أنها وحدها تمثل الحق الخالص، وما سواها هو الباطل : (فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلاَّ الضَّلاَلُ فَأَنَّى تُصْرَفُونَ ) . (يونس : 32).

وبعبارة أخرى تصف هذه الفـئة نفسـها بأنـها "جماعة المسـلمين"، وليـست مجـرد "جماعة من المسلمين" وما دامت هي جماعة المسلمين فكل من فارقها فقد فارق الجماعة، وكل من لم يدخل فيها، فليس في جماعة المسلمين!

وكل ما جاء من أحاديث عن ( الجماعة ) ولزوم "الجماعة"، ومفارقة "الجماعة" تنزل على جماعتها.

وهذا النوع من الاستدلال، وتنزيل النصوص على غير ما جاءت له، باب شر على الأمة؛ لأنه يضع الأدلة في غير مواضعها

ومن هؤلاء من يجعل الحق مع جماعته أو حزبه دون غيره، لمبررات موضوعية يسبغها على حزبه أو جماعته وحدها، وينفيها عمن سواها.

وكثيرًا ما يضع بعضهم أوصافًا فكرية وعملية، عقدية وخلقية، يحدد بها "جماعة الحق" أو "حزب الحق" لتنطبق على جماعته دون غيرها، وهذا نوع من التكلف والتعسف لا يقبله منطق العلم.

وثمة آخرون يجعلون التقدم الزمني هو المعيار الأوحد، فمن سبق غيره فهو الجدير بأن يكون هو صاحب الحق، أو محتكر الحق والحقيقة.

حتى زعم بعض الأحزاب في بعض البلاد الإسلامية أنه وحده يمثل الحق؛ لأنه الحزب الأول الذي أخذ زمام المبادرة، وكل حزب يشكل بعد ذلك يجب أن يلغي نفسه، ولا حق له في البقاء؛ لأن قبول الجماهير له بمثابة المبايعة له، وفي الحديث: "إذا بويع لخليفتين، فاقتلوا الآخر منهما". (رواه أحمد ومسلم عن أبي سعيد كما في صحيح الجامع الصغير 421).

إن هذه الفتاوى الجاهلة الجريئة من أناس لم ترسخ أقدامهم في علوم الشريعة. هي التي تورد الأمة شر الموارد، وتوقعها في شر المهالك. ولقد قال بعض الفقهاء في العصور الماضية حين رأى فتاوى بعض من ينتسبون إلى العلم : لبعض من يفتي الناس اليوم أحق بالسجن من السرّاق! وذلك لأن السراق يفسدون دنيا الناس، وهؤلاء يفسدون عليهم دينهم.

فكيف لو رأى أولئك الفقهاء ما نقرؤه أو نسمع من فتاوى زماننا؟ ولا حول ولا قوة إلا بالله.

Terjemahan

Jemaah-jemaah dari kalangan Muslimin, bukan Jemaah Muslimin

“Di sana ada pertentangan dengan fikrah ini (mengharamkan ‘Amal Jama’ie secara haraki) iaitu fikrah yang menyatakan: “Amal Jamai’e itu suatu kefardhuan dan kefardhuan (Amal Jama’i) tersebut hanya terbatas kepada sesuatu jemaah tertentu sahaja. Jemaah itu melihat hanya ia satu-satunya merupakan kebenaran yang mutlak sedangkan jemaah-jemaah (Islam) yang lain adalah batil. Bagai firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka apakah lagi setelah kebenaran melainkan kesesatan…” [Surah Yunus: 32]

Dalam ungkapan lain, golongan ini menyifatkan diri mereka sahaja sebagai Jemaah Muslimin (Jama’atul Muslimin) bukan sekadar salah satu jemaah daripada umat Islam (jama’ah min al-muslimin). Selagimana golongan tersebutlah satu-satunya jemaah muslimin (yang perlu disertai oleh seluruh umat Islam), maka sesiapa sahaja yang tidak menyertainya bererti telah berpisah daripada Al-Jamaah (kelompok umat Islam yang dimaksudkan dalam hadith-hadith Nabi s.a.w.). Maksudnya, sesiapa yang tidak menyertai jemaah tersebut, maka tidak menyertai Jemaah Muslimin keseluruhannya.

(Bagi mereka) semua hadith-hadith yan menceritakan tentang Al-Jamaah atau kepentingan menyertai Al-Jamaah dan (kecelaan) berpisah dari al-Jamaah, berkaitan dengan Jemaah golongan tersebut. Jenis Istidlal (pendalilan) sebegini dan meletakkan nas-nas bukan pada konteks asalnya merupakan pintu keburukan dalam Umat Islam kerana meletakkan dalil-dalil bukan pada tempatnya.

Ada dari kalangan mereka yang menjadikan kebenaran hanya bersama jemaahnya sahaja atau dalam kumpulan mereka sahaja, tidak pada jemaah-jemaah yang lain, dalam bertujuan untuk pembenaran apa yang mereka kembangkan (disempurnakan) kepada kelompok atau jemaahnya sendiri sahaja, lalu menafikannya (kebenaran dan usaha dakwah) daripada jemaah atau kumpulan yang lain daripada kumpulannya.

Sebahagian mereka banyak mengambarkan tentang ciri-ciri samada dalam bentuk fikrah, praktikal, pegangan mahupun tingkah-laku, yang terbatas kepada (konsep) Jamaah Al-Haq (satu-satunya jemaah yang benar dalam memahami amal jama’ie yang dimaksudkan oleh Islam) atau Hizb Al-Haq (kumpulan yang benar) agar ianya (konsep jamaah Al-Haq) hanya terlaksana pada jemaahnya sahaja, bukan pada jemaah yang lain. Ia merupakan suatu takalluf (pembebanan) dan penyalahgunaan yang tidak dapat diterima oleh logika ilmu (Islam) itu sendiri. Sebahagian pihak yang lain pula bersifat menjadikan Taqoddum Zamani (dahulunya tempoh masa) sebagai suatu ukuran yang tunggal iaitu, siapa sahaja yang mendahului yang lain (atau jemaah mana yang dibentuk lebih awal) maka dialah pemilik kebenaran atau pihak yang sepatutnya memonopoli kebenaran dan hakikat.

Sehingga sebahagian kumpulan di sesetengah negara Islam menyangka bahawasanya kumpulan mereka sahaja mewakili kebenaran kerana ianya merupakan kumpulan pertama yang memulakan inisiatif (dalam amal jama’ie) sedangkan setiap kumpulan yang dibentuk setelah itu perlu membuangkan diri mereka (perlu dibubarkan) dan tidak ada hak untuk kekal kerana majoriti manusia sudah memilihnya (jemaah yang awal), maka seumpama suatu bai’ah (khilafah) bagi jemaah (baru) tersebut sebagaimana yang dimaksudkan dalam hadith: “Jika diberi bai’ah kepada dua khalifah, maka perangilah yang terakhir daripada kedua-duanya” [hadith riwayat Imam Ahmad dan Imam Muslim].

Inilah fatwa-fatwa jahil lagi bersifat cabang yang lahir dariapda manusia yang tidak menguasai ilmu syariah secukupnya. Fatwa sebeginilah yang membawa umat Islam kepada jalan kebinasaan dan meletakkannya dalam kecelakaan. Oleh kerana itu, telah berkata sebahagian Fuqaha’ pada masa-masa terdahulu ketika melihat fatwa-fatwa sesetengah orang yang mengaku-ngaku sebagai ahli ilmu: “Sebahagian daripada mereka yang memberi fatwa kepada manusia awam itu, lebih berhak dimasukkan ke dalam penjara berbanding pencuri-pencuri kerana para pencuri merosakkan dunia manusia sedangkan mereka (orang jahil yang berfatwa) merosakkan agama manusia.

Bagiamana kalau para fuqaha’ tersebut melihat apa yang kita baca atau kita dengar tentang fatwa-fatwa (pelik) pada zaman kita pula? La Haula wa La Quwwata illa biLlah…

[Sumber: http://www.islamonline.net/servlet/Satellite?cid=1122528622912&pagename=IslamOnline-Arabic-Ask_Scholar%2FFatwaA%2FFatwaAAskTheScholar ]

No comments:

Post a Comment