9.27.2011

Kufur dan Syirik adalah Kezaliman yang Besar


Dalam Islam, keadilan bererti meletakkan sesuatu pada tempatnya. Islam sebagai agama yang memfokuskan konsep keimanan dan aqidah sudah pasti menjelaskan pendiriannya yang sangat jelas iaitu tentang masalah aqidah yang menjadi faktor sesuatu amalan itu diterima di sisi Allah s.w.t.. Ini kerana, aqidah adalah asas kepada nilai sesuatu amalan.

Bahkan, ukuran keadilan dan kezaliman perlulah diukur dalam neraca Islam, bukan dengan pandangan individu atau mana-mana kelompok manusia. Bahkan, peringkat-peringkat kezaliman juga adalah menurut ukuran Islam, bukan ukuran akal manusia yang serba terbatas.

Aqidah Islam dalam bab ketuhanan, sebagaimana diketahui, berdiri atas dua asas yang utama:

Pertama: Tauhid. Iaitu, kepercayaan (keimanan) kepada keesaan Allah s.w.t. dari sudut zat, sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya dan seterusnya mengesakan Allah s.w.t. dalam pengabdian dan penyembahan. Kepincangan dalam masalah ini membawa kepada kekufuran dan syirik kerana setiap yang menyalahi tauhid adalah syirik.

Kedua: Tanzih. Iaitu, menyucikan Allah s.w.t. daripada sebarang sifat-sifat kekurangan dan sebarang persamaan dengan makhluk. Kepincangan dalam masalah ini membawa kepada bid’ah dalam masalah aqidah yang mana menurut sebahagian ulama’, ianya membatalkan aqidah dan menurut sebahagian yang lain, ianya membawa kepada bid’ah yang sesat (dholalah).

Dakwah Islam mengutamakan usaha menyampaikan bahawasanya hanya Islam sebagai agama yang benar dan adil serta hanya aqidah tauhid yang boleh menyelamatkan seseorang daripada kekal dalam neraka. Begitu juga, keutamaan kedua setelah itu adalah membenteras kepincangan-kepincangan dalam masalah aqidah dalam kalangan umat Islam seperti kepincangan fahaman Mu’tazilah, Mujassimah, Qadariyyah dan sebagainya.

Dalam panduan Nabawi, kezaliman yang besar adalah melibatkan kepincangan dalam aqidah berbanding kezaliman dalam bentuk tindakan. Antara peringkat kezaliman yang tinggi adalah kekufuran dan kesyirikan. Ini secara tidak langsung menunjukkan, hatta kepincangan dalam masalah aqidah sehingga membawa kepada fahaman-fahaman yang sesat seperti fahaman tajsim, tasybih, qadr dan sebagainya adalah antara kezaliman yang besar juga walaupun berada di bawah kesyirikan tetapi ianya berada di atas peringkat kezaliman dalam perbuatan.

Ini kerana, sebahagian ulama’ mengganggap dan menilai fahaman tajsim ini membawa kepada penafian terhadap konsep kesempurnaan Allah s.w.t. hatta menafikan ketauhidan mutlak Allah s.w.t.. Oleh yang demikian, keutamaan dakwah Islam adalah pada mengajak manusia kepada aqidah tauhid Islam dan membenteras kepincangan-kepincangan dalam masalah aqidah yang menafikan konsep tanzih (menyucikan sebarang kekurangan daripada sifat-sifat dan zat Allah s.w.t.).

Sebagai contoh, Imam Ibn Hajar Al-Haitami berkata:

واعلم أن القَرَافي وغيره حكوا عن الشافعي ومالك وأحمد وأبي حنيفة رضي الله عنهم القول بكفر القائلين بالجهة والتجسيم، وهم حقيقون بذلك

Maksudnya:

Ketahuilah bahawasanya Imam Al-Qarafi dan sebagainya meriwayatkan daripada Imam As-Syafi'e, Imam Malik, Imam Ahmad dan Imam Abu Hanifah r.a. bahawasanya mereka berpegang dengan pendapat tentang mengkafirkan orang-orang yang menetapkan tempat dan kejisiman bagi Allah s.w.t.. Mereka benar dalam pegangan tersebut. [Al-Minhaj Al-Qowim m/s: 224]

Maka, membenteras fahaman-fahaman sesat sebegini adalah termasuk dalam keutamaan dakwah Islam setelah dakwah kepada orang-orang kafir kerana kepincangan dalam masalah aqidah sebegini yang membawa kepada kakufuran adalah suatu kezaliman yang lebih besar berbanding kezaliman dalam bentuk maksiat perbuatan.

Imam Al-Bukhari r.a. meriwayatkan dalam kitab Sahih Al-Bukhari, sebuah hadis yang jelas:-

حَدَّثَنَا عُمَرُ بْنُ حَفْصِ بْنِ غِيَاثٍ ، حَدَّثَنَا أَبِي ، حَدَّثَنَا الْأَعْمَشُ ، قَالَ : حَدَّثَنِي إِبْرَاهِيمُ ، عَنْ عَلْقَمَةَ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : " لَمَّا نَزَلَتْ الَّذِينَ آمَنُوا وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ سورة الأنعام آية 82 قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيُّنَا لَا يَظْلِمُ نَفْسَهُ ، قَالَ : لَيْسَ كَمَا تَقُولُونَ وَلَمْ يَلْبِسُوا إِيمَانَهُمْ بِظُلْمٍ سورة الأنعام آية 82 بِشِرْكٍ أَوَ لَمْ تَسْمَعُوا إِلَى قَوْلِ لُقْمَانَ لِابْنِهِ يَا بُنَيَّ لا تُشْرِكْ بِاللَّهِ إِنَّ الشِّرْكَ لَظُلْمٌ عَظِيمٌ سورة لقمان آية 13 "

Maksudnya:

Umar bin Hafs bin Ghiyas telah menceritakan kepada kami bahawasanya bapaku telah menceritakan kepada kami bahawasanya Al-A’masyh telah menceritakan kepada kami bahawa beliau berkata: Ibrahim telah menceritakan kepadaku daripada ‘Alqamah daripada Abdullah (Ibn Mas’ud) r.a. bahawasanya beliau berkata:

“Ketika turunnya firman Allah s.w.t.: “Sesungguhnya orang yang beriman dan tidak mencampuri iman mereka dengan kezaliman… [Surah Al-An’am: 82] maka kami (para sahabat r.a.) bertanya: “Wahai Rasulullah. Siapa dari kalangan kami yang tidak menzalimi dirinya?” Maka, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menjawab: “Bukan sebagaimana yang kamu katakan. Sesungguhnya orang yang tidak mencampuri iman mereka dengan kezaliman [Surah Al-An’am: 82] iaitu dengan kesyirikan. Tidakkah kamu mendengar kepada perkataan Luqman kepada anaknya: “Wahai Anakku, janganlah kamu menyekutukan Allah. Sesungguhnya syirik adalah kezaliman yang besar [Surah Luqman: 13] [Sahih Al-Bukhari: 3360]

Imam Ibn Hajar ketika mensyarahkan hadis ini pada kitab Al-Iman (hadis no: 32), beliau mensyarahkan tentang kezaliman yang berperingkat-peringkat

بَعْضُهَا أَخَفُّ مِنْ بَعْضٍ

Maksudnya: “…Sebahagiannya lebih ringan berbanding sebahagian yang lain…” Ini menunjukkan bahawasanya, kezaliman dalam bidang aqidah lebih berat dalam neraca Islam.

Kemudian Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut lagi:

وَإِنَّمَا بَيَّنَ لَهُمْ أَنَّ الْمُرَادَ أَعْظَمُ أَنْوَاعِ الظُّلْمِ وَهُوَ الشِّرْكُ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kepada mereka (para sahabat) bahawa maksud ayat tersebut adalah, sebesar-besar jenis kezaliman adalah syirik…” [Fath Al-Bari]

Beliau menjelaskan lagi:

فَالْمُرَادُ بِالظُّلْمِ أَعْلَى أَنْوَاعِهِ وَهُوَ الشِّرْكُ

Maksudnya: “Maka, yang dimaksudkan dengan kezaliman dalam ayat ni adlaah suatu kezaliman yang paling tinggi iaitulah syirik…” [ibid]

Kepincangan dalam Aqidah Adalah Suatu Kekotoran

Allah s.w.t. berfirman:

يٰأَيُّهَا ٱلَّذِينَ آمَنُوۤاْ إِنَّمَا ٱلْمُشْرِكُونَ نَجَسٌ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Sesungguhnya (kepercayaan) orang-orang kafir musyrik itu najis…” [Surah At-Taubah: 28]

Menurut kebanyakan ulama’ najis yang dimaksudkan adalah dalam keadaan Junub. Namun, sebahagian ulama’ menjelaskan, najis atau kekotoran musyrikin adalah pada aqidah dan agama mereka yang bercanggah dengan kemurnian ajaran tauhid Islam.

Imam Ibn Kathir r.a. ketika menafsirkan ayat tersebut, beliau berkata:

أمر تعالى عباده المؤمنين الطاهرين دينا وذاتا بنفي المشركين الذين هم نجس دينا ، عن المسجد الحرام

Maksudnya: “Allah s.w.t. memerintahkan para hambaNya iaitu orang-orang beriman yang suci dari sudut agama dan zat mereka dengan menafikan Al-Musyrikin (Orang-orang kafir lagi musyrik) yang mana mereka najis dari sudut agama, daripada Masjidil Haram” [Tafsir Ibn Kathir pada ayat tersebut]

Imam Al-Qurtubi meriwayatkan:

وقال ابن عباس وغيره: بل معنى الشرك هو الذي نجسه

Maksudnya: “Ibn Abbas r.a. dan sebagainya berkata: Bahkan makna syiriklah yang merupakan najisnya (orang musyrik)… [Al-Jami’e li Ahkam Al-Qur’an]

Ini menunjukkan bahawasanya neraca Islam menunjukkan keburukan dan kepincangan aqidah apatah lagi penyelewengannya daripada aqidah Islam merupakan suatu perkara yang buruk dan kotor. Maka, jelaslah bahawasanya, keutamaan dakwah Islam adalah kepada menyelasaikan kepincangan dari sudut aqidah samada mengajak orang-orang kafir kepada Islam mahupun membenteras kepincangan aqidah dalam masyarakat Islam dengan membenteras fahaman-fahaman syaz seperti fahaman tajsim, tasybih, I’tizal dan sebagainya.

Risalah Islam mengajak kepada kebersihan dari sudut aqidah. Itu adalah keutamaan risalah Islam kepada seluruh umat manusia. Islam menjelaskan secara jelas di hadapan mereka yang kufur kepada Allah s.w.t., betapa kekufuran dan kesyirikan mereka yang membawa mereka menuju neraka dan kekal selama-lamanya di dalamnya, setelah orang-orang kafir tidak mahu menerima khabar gembira daripada Islam, iaitu aqidah tauhid dan Islam membawa seseorang kepada syurga Allah s.w.t. dengan kehendak dan izinNya, sebagaimana yang dijelaskan dalam kitab suci Al-Qur’an.

Risalah Islam juga menekankan konsep aqidah murni Islam yang tidak disaluti oleh fahaman-fahaman yang merosakkan asas-asas aqidah murni Islam dalam bab ketuhanan khususnya, iaitulah konsep tanzih dan tauhid. Islam juga menolak fahaman Pluralisme yang menyamakan semua agama dan meletakkan agama-agama lain setaraf dengan agama Islam. Di sisi Islam, semua agama selain Islam merupakan agama yang tertolak bahkan pegangan dan kepercayaan yang bertentangan dengan ajaran tauhid Islam adalah suatu kekotoran dan najis yang perlu dibersihkan daripada diri setiap manusia. Adalah suatu kezaliman yang melibatkan aqidah apabila seseorang menganggap ajaran-ajaran agama lain sama tarafnya seperti ajaran agama Islam.

Usaha-usaha dakwah dalam menjelaskan aqidah murni Islam adalah suatu usaha dakwah yang paling utama dalam ukuran Islam, begitulah juga usaha untuk mengajak orang-orang kafir kepada aqidah Islam serta membenteras fahaman-fahaman sesat adalah suatu usaha yang wajar dibantu dan disokong oleh mereka yang memahami peringkat-peringkat keutamaan dalam Islam. Hatta wasathiyyah sendiri bukanlah bererti sikap toleransi kepada fahaman-fahaman sesat, tetapi wasathiyyah adalah suatu neraca keadilan termasuklah pada usaha membenteras kepincangan dalam masalah aqidah dengan cara yang paling baik dan berkesan. Wallahu a’lam…

No comments: