Pembangunan Tamadun Insan, Bukan Tamadun Bangunan
Sejarah sendiri sudah menunjukkan kepada kita tentang keagungan tamadun-tamadun terdahulu sebelum kemunculan tamadun Islam. Namun, tamadun-tamadun tersebut musnah kerana dibina secara tidak sempurna kerana kebanyakkannya mengabaikan sudut pembangunan kerohanian manusia lalu sibuk membangunkan sudut kebendaan.
Malah, ketamadunan yang dibina sebelum kedatangan Islam kebanyakkannya leka dengan kebendaan sehingga mengabaikan seruan para Rasul a.s. ke arah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t..
Hal ini sebagaimana telah dijelaskan dalam Al-Qur’an yang berbunyi (maksudnya):
“Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan lakukan terhadap kaum Ad? (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah diciptakan bangunan-bangunan seumpama itu di negeri-negeri lain. Dan kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi Al-Qura tempat tinggalnya). Dan Fir’aun yang mempunyai bangunan-bangunan yang kukuh dan tinggi. Yang bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan kerosakan di negeri itu. Maka (dengan sebab itu), Tuhan menimpakan mereka (pelbagai) paluan azab (yang tidak putus-putus). Sesungguhnya Tuhanmu tetap menguasai (setiap amalan)” (Surah Al-Fajr: 6-14)
Lihatlah isyarat jelas daripada Allah s.w.t. bahawasanya, sehebatmana pun sesebuah tamadun itu dibangunkan dari sudut kebendaan, namun jika ianya tidak dilengkapi dengan konsep kehambaan kepada Tuhan yang merupakan pembangunan dari sudut kerohanian, maka tamadun tersebut akan menuju kebinasaan, samada dengan tangan-tangan mereka sendiri atau dengan siksaan daripada Allah s.w.t..
Apabila kita membicarakan soal pembangunan sesebuah tamadun kemanusiaan, maka sudut kesempurnaan manusia itu sendiri sangat perlu diambil perhatian. Sudah semestinya, manusia berbeza dengan patung-patung atau robot-robot, kerana manusia mempunyai sudut kerohanian di samping sudut kebendaan (jasadiyyah).
Maka, sebarang pembangunan tamadun yang tidak lengkap akan membawa musibah kepada masyarakat yang menghuni di dalam tamadun tersebut. Oleh sebab itulah, manusia perlu membina sebuah tamadun yang sempurna bagi kemaslahatan mereka di dunia, dan kebaikan mereka di akhirat.
Dengan hanya membangunkan sudut kebendaan dalam membina sesebuah tamadun bagi manusia, ia ibarat membina sebuah hutan batu bagi haiwan-haiwan yang menghuni di dalamnya. Ia hanya menjanjikan kemusnahan di masa hadapan, biarpun indah buat seketika tatkala dipandang mata. Ini kerana, kesempurnaan sudut kerohanian dengan menanamkan aspek kehambaan diri kepada Allah s.w.t. telah diabaikan dalam pembinaan tamadun sedemikian rupa.
Sekali lagi kita renungkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Alangkah banyaknya taman-taman dan mata air-mata air yang mereka tinggalkan. Dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah. Dan nikmat kesenangan yang mereka nikmatinya. Demikianlah, dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain. Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka serta mereka tidak diberi tangguh” (Surah Al-Dukhan 25-29)
Keagungan kebendaan tamadun-tamadun terdahulu hanya menjadi bukti mereka pernah wujud suatu ketika dahulu. Malah, ianya juga menjadi bukti bahawasanya, tamadun yang dibina hanya untuk kenikmatan dunia, tanpa konsep kehambaan di jiwa masyarakatnya, hanya mengundang malapetaka. Ianya terus menjadi bukti kekerdilan manusia di sebalik ketamadunan yang agung, ketika berhadapan dengan ketentuan Allah s.w.t..
Pembangunan Tamadun Menerusi Kaca Mata Kehambaan Diri
Adalah menjadi rahsia terbesar di mana, umat Islam pada peringkat awal mampu membina sebuah masyarakat yang digeruni oleh empayar-empayar besar di sekelilingnya. Ini kerana, Islam itu sendiri, di samping menjadi pedoman dalam kehidupan seseorang secara individu, ia malah menjadi pedoman bagi manusia secara bermasyarakat (sosial).
Jarang para pengkaji tamadun sedar bahawasanya, nilai rasa “kehambaan diri” dalam diri individu muslim pada ketika itu menjadi asas kesempurnaan tamadun yang mereka bina. Ketika seluruh masyarakat Islam menghayati makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t., maka dalam masa yang sama juga mereka melihat, sudut pandang cabang bagi kehambaan diri itu adalah sudut khilafah dalam diri mereka di mana mereka bertanggungjawab memakmurkan bumi ini.
Bertolak dari rasa kehambaan diri kepada Allah s.w.t., maka mereka berusaha menyebarkan risalah Islam kerana ianya adalah tanggungjawab masyarakat Islam itu sendiri. Maka, dengan usaha dakwah yang murni tersebut, akhirnya meluaskan lagi ketamadunan Islam. Hasil gabungan setiap individu yang melihat sudut diri dengan sudut kehambaan yang sempurna, menyebabkan munculnya sebuah masyarakat yang sempurna lalu membentuk sesebuah tamadun yang sempurna.
Rasa kehambaan diri kepada Allah s.w.t. ini lahir daripada pandangan hati terhadap konsep tauhid yang murni di mana, tatkala cahaya tauhid mula menyinari sanubari insan, maka muncul rasa penghayatan bahawasanya dirinya hidup di dunia ini sebagai hamba Allah s.w.t. yang bertanggungjawab melaksanakan tugas kehambaannya di dunia ini.
Inilah asas utama dalam diri seseorang muslim yang akhirnya menumbuhkan sebuah pokok ketamadunan yang agung dan sempurna. Asas ini digambarkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Qur’an yang bermaksud: Maha benarlah firman Allah s.w.t. di dalam Surah Ibrahim yang bermaksud:
“Tidakkah mereka perhatikan, bagaimana Allah membuat perumpamaan mengenai kalimah tayyibah (kalimah tauhid kepada Allah s.w.t.) seperti pokok yang baik, akarnya kukuh (pasak ke dalam bumi) dan cabang-cabangnya merendang ke langit. Pohonnya mengeluarkan buah-buahan pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan tersebut agar mereka selalu ingat.” (Surah Ibrahim: 24)
Sudah tentulah, cahaya tauhid ini seterusnya menumbuhkan buah keimanan, ketaqwaan, akhlak mulia, kesolehan dan sebagainya. Sudut keimanan, ketaqwaan, akhlak mulia, amal soleh yang dilakukan dan sebagainya inilah yang menjadikan mereka mampu akhirnya, membina tamadun yang agung dan sempurna. Hal ini juga telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan demi sesungguhnya, Kami telah menulis di dalam kitab-kitab (Zabur dan sebagainya) yang Kami turunkan sesudah tulisannya (pada Luh Mahfuz) bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh” (Surah Al-Anbiya’: 105)
Maksud mewarisi bumi ini adalah, mereka membina sebuah tamadun yang agung lalu menguasai dunia sebagaimana yang pernah dibina oleh masyarakat terdahulu. Tamadun Islam suatu ketika dahulu benar-benar telah mencapai tahap kemakmuran yang sangat memberangsangkan. Ianya natijah daripada keimanan dan amal soleh yang dikerjakan oleh masyarakat Islam dalam rangka menunaikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t..
Natijah daripada rasa kehambaan diri dalam masyarakat Islam akhirnya membawa kepada usaha membangunkan bi’ah (persekitaran) yang baik secara berhikmah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Iaitu meraka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, memberikan zakat, menyuruh membuat kebaikan dan menegah daripda melakukan kejahatan dan kemungkaran” (Surah Al-Hajj: 41)
Sememangnya, usaha menyuruh ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran yang lahir daripada jiwa rasa kehambaan adalah jalan ke arah pembentukan sesebuah tamadun yang sempurna. Hal ini dikuatkan lagi dengan firmannya yang bermaksud:
“kamulah (wahai umat Islam), sebaik-baik umat, yang dikeluarkan bagi seluruh umat manusia, (yang mana, diantara ciri-cirinya sebagai sebaik-baik umat), yang menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan (dan kejahatan) serta beriman kepada Allah…’’ (Ali Imran :110)
No comments:
Post a Comment