Allah s.w.t. menurunkan Al-Qur’an
ke atas Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam untuk menjadi
petunjuk dan panduan kepada seluruh umat manusia yang ingin mencari kebahagiaan
di dunia dan di akhirat.
Dalam Al-Qur’an, banyak ayat-ayat
yang membahaskan tentang kunci kebahagiaan abadi. Antaranya adalah, ayat-ayat
yang membahaskan tentang sifat takwa, iaitu salah satu kunci ketenangan jiwa
yang seterusnya membawa kepada kebahagiaan abadi di dunia dan di akhirat.
Takwa dari Sudut Bahasa
Takwa
berasal daripada kalimah Arab. Kata dasar bagi takwa dalam bahasa Arab ialah waqwa.
Namun, huruf waw di permulaan perkataan waqwa tersebut ditukar
kepada huruf ta' menjadi takwa. Takwa dari sudut bahasa Arab:
pemeliharaan, perlindungan, penjagaan dan sebagainya. Perlindungan pula
bererti: menjaga sesuatu daripada kerosakan ataupun memelihara daripada apa-apa
yang menakutkan.
Allah
s.w.t. berfirman berkenaan dengan maksud perkataan takwa dari sudut bahasa ini
dengan firmanNya yang bermaksud: “Maka Allah memelihara mereka (orang
yang beriman) daripada kesusahan hari itu (Akhirat), dan memberikan kepada
mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati”. (Surah Al-Insan:
11) Dalam ayat ini menunjukkan bahawasanya,
perkataan takwa ini pada asalnya bermaksud, memelihara sesuatu.
Takwa
dari Sudut Syarak
Takwa
dari sudut syarak pula bermaksud: pemeliharaan diri daripada perkara-perkara
yang merosakkan Akhirat seseorang. [Ruh Al-Ma'ani karangan Imam Al-Alusi
1/108] Maksudnya, takwa bererti, seseorang memelihara dirinya daripada
perkara-perkara yang boleh membawa kepada siksaan di akhirat kelak, seperti
tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan tidak meninggalkan kewajipan
yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atasnya.
Oleh
yang demikian, Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan pemeliharaan diri
ini: “Hai orang-orang yang beriman,
peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka (Surah At-Tahrim: 6)
Saidina
Ali r.a. berkata: “(Taqwa ialah)
takut kepada Allah yang Maha Agung, beramal dengan Al-Qur’an yang diturunkan,
berasa cukup dengan sedikit yang dimiliki dan bersedia untuk kematian”.
Dr. Ahmad As-Sayyid Ali berkata: "Memelihara diri itu dengan
melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t. dan meninggalkan apa yang
dilarang olehNya. Adapun memelihara ahli keluarga (daripada neraka) itu, dengan
menyuruh mereka melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t…" [At-Taqwa
fi Dhou'i Al-Qur'an wa As-Sunnah: 10]
Peringkat-peringkat
Taqwa
Peringkat
Pertama: Menjauhi Syirik
Syirik
bererti: menyekutukan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan pengabdian. Iaitu, seseorang itu menyembah tuhan selain Allah s.w.t..
Syirik itu terbahagi kepada dua:
Pertama: Syirik Besar: Iaitu, menyembah tuhan selain daripada Allah s.w.t.. Syirik
ini membawa seseorang kepada kekufuran atau, keluar daripada Islam.
Kedua: Syirik Kecil (Tersembunyi): Iaitu, seseorang beribadah kepada Allah
s.w.t. dengan sifat ujub, riya' dan takabbur. Syirik kecil ini tidak membawa
seseorang kepada keluar daripada Islam, tetapi ianya termasuk dalam dosa-dosa
yang paling berat di sisi Allah s.w.t., yang perlu dijauhi.
Peringkat
Kedua: Menjauhi Dosa-dosa Besar
Dosa
itu sendiri bererti, suatu perkara yang dikeji oleh syarak, yang mana, sesiapa
yang melakukannya, maka dijanjikan dengan balasan ke atasnya. Dosa-dosa besar
ada dua jenis iaitu, dosa-dosa besar yang zahir dan dosa-dosa besar yang batin.
Adapun
dosa-dosa besar yang zahir adalah seperti: membunuh, minum arak, berzina,
berjudi, menderhakai ibu bapa, melarikan diri daripada peperangan dan
sebagainya. Adapun dosa-dosa besar yang batin adalah dosa-dosa yang tersembunyi
dalam hati seperti sifat ujub (bangga diri), hasad dengki, tamak, bakhil dan
sebagainya.
Dosa-dosa
besar ini, samada zahir mahupun batin, perlu dijauhi sedaya-upaya, kerana
sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar ini, maka Allah s.w.t. menjanjikan
siksaan yang berat ke atasnya. Cara untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa
besar adalah dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. terhadap dosa-dosa tersebut
dan tidak mengulanginya sedaya-upaya.
Peringkat
Ketiga: Menjauhi Dosa-dosa Kecil
Dosa-dosa
kecil pula adalah, perbuatan-pebuatan yang dikeji juga oleh syarak, tetapi
tidak seberat kejian terhadap dosa-dosa besar, dan dijanjikan ancaman siksaan ke
atas orang-orang yang melakukannya, tetapi tidak seberat ancaman dosa-dosa
besar.
Seorang
penyair berkata tentang taqwa:
Tinggalkanlah
dosa samada yang kecil,
mahupun
yang besar, maka itulah taqwa.
Jadikanlah seumapa kamu berjalan di atas tanah,
yang berduri dan awasilah bahaya yang
didapati.
Janganlah
memandang kecil dosa yang kecil,
kerana
bukit yang besar itu berasal dari batu-batu kecil.
Al-Qur’an
banyak membincangkan tentang kepentingan takwa ini kerana ianya adalah
sebahagian kemuncak kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t.. Takwa adalah pintu
masuk kepada rasa diawasi oleh Allah s.w.t. (muroqobah) seterusnya
mengecapi nikmat penyaksian Allah s.w.t. dengan mata hati (Musyahadah).
Pedoman
Al-Qur’an terhadap takwa, cara-cara membawa kepada takwa dan natijah takwa
telah penulis bahaskan secara terperinci dalam buku penulis berjudul “Al-Qur’an
Berbicara Tentang Takwa” yang diterbitkan oleh Pelima Media Sdn Bhd. Sesiapa
yang ingin mendapat perbahasan yang terperinci mengenai pedoman Al-Qur’an
tentang sifat takwa ini boleh mendapatkan buku ini di pasaran.
Kesimpulannya,
manusia hanya mengetahui erti bahagia jika dia mengetahui ianya hanya terletak
pada hubungan dengan Allah s.w.t.. Dengan demikian, baharulah manusia mampu
mencarinya dalam lapangan ibadah dan ketaatan kepada Allah s.w.t. dengan penuh
kehambaan kepada-Nya.