8.27.2012

Perbahasan Takwa



Allah s.w.t. menurunkan Al-Qur’an ke atas Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam untuk menjadi petunjuk dan panduan kepada seluruh umat manusia yang ingin mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Dalam Al-Qur’an, banyak ayat-ayat yang membahaskan tentang kunci kebahagiaan abadi. Antaranya adalah, ayat-ayat yang membahaskan tentang sifat takwa, iaitu salah satu kunci ketenangan jiwa yang seterusnya membawa kepada kebahagiaan abadi di dunia dan di akhirat.

Takwa dari Sudut Bahasa

Takwa berasal daripada kalimah Arab. Kata dasar bagi takwa dalam bahasa Arab ialah waqwa. Namun, huruf waw di permulaan perkataan waqwa tersebut ditukar kepada huruf ta' menjadi takwa. Takwa dari sudut bahasa Arab: pemeliharaan, perlindungan, penjagaan dan sebagainya. Perlindungan pula bererti: menjaga sesuatu daripada kerosakan ataupun memelihara daripada apa-apa yang menakutkan.

Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan maksud perkataan takwa dari sudut bahasa ini dengan firmanNya yang bermaksud: “Maka Allah memelihara mereka (orang yang beriman) daripada kesusahan hari itu (Akhirat), dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati. (Surah Al-Insan: 11)  Dalam ayat ini menunjukkan bahawasanya, perkataan takwa ini pada asalnya bermaksud, memelihara sesuatu.

Takwa dari Sudut Syarak

Takwa dari sudut syarak pula bermaksud: pemeliharaan diri daripada perkara-perkara yang merosakkan Akhirat seseorang. [Ruh Al-Ma'ani karangan Imam Al-Alusi 1/108] Maksudnya, takwa bererti, seseorang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada siksaan di akhirat kelak, seperti tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan tidak meninggalkan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atasnya.

Oleh yang demikian, Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan pemeliharaan diri ini:  Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka (Surah At-Tahrim: 6)

Saidina Ali r.a. berkata:  (Taqwa ialah) takut kepada Allah yang Maha Agung, beramal dengan Al-Qur’an yang diturunkan, berasa cukup dengan sedikit yang dimiliki dan bersedia untuk kematian”.

Dr. Ahmad As-Sayyid Ali berkata: "Memelihara diri itu dengan melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t. dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Adapun memelihara ahli keluarga (daripada neraka) itu, dengan menyuruh mereka melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t…" [At-Taqwa fi Dhou'i Al-Qur'an wa As-Sunnah: 10]


Peringkat-peringkat Taqwa

Peringkat Pertama: Menjauhi Syirik

Syirik bererti: menyekutukan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan pengabdian. Iaitu, seseorang itu menyembah tuhan selain Allah s.w.t..

Syirik itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Syirik Besar: Iaitu, menyembah tuhan selain daripada Allah s.w.t.. Syirik ini membawa seseorang kepada kekufuran atau, keluar daripada Islam.

Kedua: Syirik Kecil (Tersembunyi): Iaitu, seseorang beribadah kepada Allah s.w.t. dengan sifat ujub, riya' dan takabbur. Syirik kecil ini tidak membawa seseorang kepada keluar daripada Islam, tetapi ianya termasuk dalam dosa-dosa yang paling berat di sisi Allah s.w.t., yang perlu dijauhi.

Peringkat Kedua: Menjauhi Dosa-dosa Besar

Dosa itu sendiri bererti, suatu perkara yang dikeji oleh syarak, yang mana, sesiapa yang melakukannya, maka dijanjikan dengan balasan ke atasnya. Dosa-dosa besar ada dua jenis iaitu, dosa-dosa besar yang zahir dan dosa-dosa besar yang batin.

Adapun dosa-dosa besar yang zahir adalah seperti: membunuh, minum arak, berzina, berjudi, menderhakai ibu bapa, melarikan diri daripada peperangan dan sebagainya. Adapun dosa-dosa besar yang batin adalah dosa-dosa yang tersembunyi dalam hati seperti sifat ujub (bangga diri), hasad dengki, tamak, bakhil dan sebagainya.

Dosa-dosa besar ini, samada zahir mahupun batin, perlu dijauhi sedaya-upaya, kerana sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar ini, maka Allah s.w.t. menjanjikan siksaan yang berat ke atasnya. Cara untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa besar adalah dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. terhadap dosa-dosa tersebut dan tidak mengulanginya sedaya-upaya.

Peringkat Ketiga: Menjauhi Dosa-dosa Kecil

Dosa-dosa kecil pula adalah, perbuatan-pebuatan yang dikeji juga oleh syarak, tetapi tidak seberat kejian terhadap dosa-dosa besar, dan dijanjikan ancaman siksaan ke atas orang-orang yang melakukannya, tetapi tidak seberat ancaman dosa-dosa besar.

Seorang penyair berkata tentang taqwa:

Tinggalkanlah dosa samada yang kecil,
mahupun yang besar, maka itulah taqwa.
Jadikanlah seumapa kamu berjalan  di atas tanah,
 yang berduri dan awasilah bahaya yang didapati.
Janganlah memandang kecil dosa yang kecil,
kerana bukit yang besar itu berasal dari batu-batu kecil.

Al-Qur’an banyak membincangkan tentang kepentingan takwa ini kerana ianya adalah sebahagian kemuncak kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t.. Takwa adalah pintu masuk kepada rasa diawasi oleh Allah s.w.t. (muroqobah) seterusnya mengecapi nikmat penyaksian Allah s.w.t. dengan mata hati (Musyahadah).

Pedoman Al-Qur’an terhadap takwa, cara-cara membawa kepada takwa dan natijah takwa telah penulis bahaskan secara terperinci dalam buku penulis berjudul “Al-Qur’an Berbicara Tentang Takwa” yang diterbitkan oleh Pelima Media Sdn Bhd. Sesiapa yang ingin mendapat perbahasan yang terperinci mengenai pedoman Al-Qur’an tentang sifat takwa ini boleh mendapatkan buku ini di pasaran.

Kesimpulannya, manusia hanya mengetahui erti bahagia jika dia mengetahui ianya hanya terletak pada hubungan dengan Allah s.w.t.. Dengan demikian, baharulah manusia mampu mencarinya dalam lapangan ibadah dan ketaatan kepada Allah s.w.t. dengan penuh kehambaan kepada-Nya.

8.26.2012

Rukun-rukun Tarbiah Tarikat Sufiyyah


Rukun-rukun Tarbiah Tarikat Sufiyyah

Manhaj tarbiah rohani para ulama’ sufi yang lebih dikenali sebagai Tarikat Sufiyyah mengandungi rukun-rukun yang utama iaitu:

Pertama: Murobbi yang Kamil

Adapun istilah kamil dalam tarbiah sufi bukanlah bermaksud seseorang murobbi itu terpelihara daripada dosa seperti seorang nabi kerana yang demikian itu dinamakan sebagai ma’shum. Sedangkan, kamil bererti seseorang murobbi itu sudah mengetahui kepincangan-kepincangan nafsu dan rohani, mengetahui cara untuk menyelesaikan kepincangan-kepincangan tersebut dan mampu melakukannya kerana mempunyai pengalaman ditarbiah oleh seseorang murobbi sebelumnya.

Imam Al-Junaidi telah menjelaskan dengan ringkas tentang syarat dan ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seorang Sheikh, beliau berkata: “Seseorang tidak berhak menjadi Sheikh sampai ia menguasai semua ilmu syariah, menahan diri dari semua yang haram, berzuhud dari dunia dan tidak lekas mengubati orang lain sebelum ia mengubati dirinya sendiri sampai ia memiliki pengetahuan untuk membimbing orang lain.”

Ada lima ciri-ciri murobbi yang kamil (sempurna) iaitu:-

  1. Beliau mempunyai pengetahuan terhadap agama yang merupakan fardhu ‘ain.
  2. Beliau mengenal Allah s.w.t. dengan kefahaman yang mengikut kerangka kefahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah (tidak berfahaman Tajsim, tidak seorang Syiah, tidak seorang Mu’tazilah dan sebarang fahaman sesat yang lain).
  3. Beliau mengamalkan ajaran syariat Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak yang diajarkan dalam Islam.
  4. Beliau pernah mengambil tarbiah daripada seorang murobbi yang kamil sebelumnya dan mengetahui kaedah penyucian jiwa dan pentarbiahan murid-murid.
  5. Beliau mendapat izin untuk mentarbiah murid-murid daripada guru murobbinya yang juga telah mendapat izin irsyad (memberi bimbingan khusus) yang mana izin irsyad itu bersambung silsilahnya kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Wahai Ibnu Umar agamamu adalah duniamu. Agamamu adalah darah dagingmu. Maka lihatlah terlebih dahulu dari mana engkau mengambilnya. Ambilah agama dari orang-orang yang istiqamah jangan dari orang yang menyeleweng. [Ia diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Adi dalam Al-Kanz 3/153]

Kedua: Murid yang jujur

Murid yang jujur (sidq) adalah seseorang yang jujur dan benar dalam keinginan untuk sampai kepada keredhaan Allah s.w.t. dan berusaha untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. hanya kerana ingin mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t..

Ketiga: Manhaj Tarbiah yang Sahih

Manhaj tarbawi yang sahih adalah manhaj tarbiah yang bersesuaian dengan kerangka umum ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah dan tidak bertentangan dengan ketetapan dan panduan syarak. Para ulama’ sufi justeru adalah antara mereka yang sangat menguasai ilmu-ilmu agama secara meluas dan kefahaman-kefahaman yang sahih terhadap nas-nas agama serta antara yang paling kuat menjalani kehidupan dengan berteraskan panduan syarak.

Adapun kaedah mengambil tarbiah kerohanian sufi ini pula adalah dengan cara bai’ah dan labs khirqah iaitu suatu tradisi di mana seseorang murobbi itu masuk ke tarbiah sufi. Guru kami, Sheikh Rahimuddin menyebutkan dalam kitab At-Tasawwuf Al-‘Amali: Al-'ahd adalah pengikat yang paling kuat antara dua orang yang saling mencintai kerana Allah dan saling berjanji untuk mentaati Allah. Itulah bai'at yang bertujuan untuk Allah di jalan Allah dan dengan Alllah.

Sandarannya adalah pada Allah S.w.t. berfirman:

"Sesungguhnya Allah telah meredhai orang mukmin ketika mereka berbai'at di bawah pohon. maka Allah mengetahui apa yang ada di hati mereka,  lalu menurunkan ketenangan di hati mereka dan memberi mereka ganjaran dengan kemenangan yang dekat.". (Surah Al-Fath: 18)

Baiah Tarbiah ini juga berpandukan sunnah Rasululah S.a.w. di mana Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika berkumpul dengan para sahabat: "Terimalah bai’ah ku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak dan tidak mendatangkan tuduhan yang keji di antara kalian, serta tidak menentang kebaikan. Maka barang siapa yang memenuhi bai'ah ini di antara kalian akan memperoleh pahala dari Allah dan barang siapa yang melanggar akan di sangsi di dunia sebagai kafarat dan apabila ia melanggar tanpa balasan dunia (tidak dibukakan Allah aibnya) maka semua berpulang kepada Allah, jika Ia ingin maka akan diampuni. Begitu juga jika Ia ingin menyangsi. Maka kamipun menerima baiat tersebut". [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]

Isi perjanjian dan bai’ah tersebut adalah seseorang murid berjanji di hadapan sheikhnya untuk berusaha mentaati Allah s.w.t. dan berusaha untuk meninggalkan maksiat sebagaimana isi bai’ah tarbiah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

Tarbiah sufi berkembang pesat dalam masyarakat Islam hasil usaha gigih para murobbi sufi yang mendapat bantuan dan petunjuk daripada Allah s.w.t. melalui manhaj tarbiah yang disebutkan tadi. Ia mendapat penerimaan yang meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat Islam yang khususnya bagi mereka yang mencari jalan hidayah. Bahkan, ramai juga orang-orang kafir yang memeluk Islam daripada usaha dakwah sufi sejak zaman berzaman. Ini menunjukkan peranan kaum sufi dalam masyarakat samada secara langsung mahupun tidak. Demikian adalah keaslian bentuk dakwah dan tarbiah dalam umat Islam suatu ketika dahulu secara umum.