Peranan Para Ulama’ Al-Azhar dalam
Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah:
Sumbangan Ke Arah Membina Pertahanan Pemikiran Umat Islam
Daripada Serangan Pemikiran (1)
Pendahuluan
Seorang tokoh sejarah bernama Sheikh Abu Muhammad al-Hasan al-Laithi
pernah menyebut dalam kitab beliau “Fadha’il Misr wa Akhbaruha wa
Khawwashuha”: Mesir merupakan sebuah negara hikmah dan ilmu. Daripadanyalah, keluarnya para bijaksana
lalu mereka memakmurkan dunia dengan perkataan, kebijaksanaan dan pentadbiran
mereka.” [m/s: 15]
Ini menunjukkan, sejak Mesir dibuka oleh
para sahabat r.a. yang dipimpin oleh Saidina ‘Amr bin al-Ash r.a., ianya
menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Bermula dengan perkembangan hadis
dan fiqh terutamanya pada zaman Imam al-Syafi’e r.a., sehinggalah akhirnya
perkembangan ilmu-ilmu aqliyyah dan naqliyyah yang lain.
Tokoh ilmuwan Islam terkenal iaitu
Sheikh Ibn Khaldun juga menggambarkan Mesir, terutamanya Kaherah, sebagai
sebuah bandar yang dibangunkan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Ia
disebut di dalam karya beliau yang masyhur iaitu Muqoddimah Ibn Khaldun.
Ketika kejatuhan tradisi keilmuan di Baghdad dengan serangan tentera Tatar pada
tahun 656 Hijriyyah, kota Kaherah menjadi pusat keilmuan yang paling terkenal
dalam dunia Islam. Ia terus berkembang di tangan al-Jami’e al-Azhar.
Al-Azhar sebagai sebuah institusi
pendidikan dan pengajian ilmu-ilmu agama mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Namanya
sahaja disebut-sebut oleh para ilmuwan dan ulama’ Islam sejak zaman berzaman.
Ia bukan sekadar institusi yang melahirkan ulama’-ulama’ yang agung, bahkan
juga mengembangkan ilmu-ilmu baharu di samping mempertahankan warisan kerangka
kefahaman ilmu-ilmu agama yang sahih sejak ianya dipegang oleh para ulama’ ahli
sunnah wal jamaah.
Sebagaimana para ulama’ adalah golongan
yang bertanggungjawab dalam menjaga bidang agama umat Islam samada dari sudut
pembelajaran (ta’lim), penerapan dan pembangunan kemasyarakatan dengan
nilai ajaran agama tersebut, maka, institusi seperti al-Azhar juga memainkan
peranan yang sangat penting dalam menempatkan perkembangan kesarjaan umat Islam
dan keilmuan mereka di samping membangungkan potensi para ulama’ dan ilmuwannya.
Ia terus menempuh cabaran masa dan
kesemasaan sehingga terus subur membawa fikrah kefahaman Islam yang
sahihnya sepanjang zaman. Tidak dapat dinafikan bahawasanya, sebagaimana
institusi-institusi pengajian dan pendidikan yang lain, ianya mempunyai
pelbagai bentuk perkembangan samada positifnya mahupun negatif. Namun,
perkembangan positif yang berlaku di al-Azhar bahkan yang dilakukan oleh
al-Azhar menyebabkan para pengkaji sejarah lebih fokus terhadap sudut
positifnya berbanding negatifnya. Ini kerana, al-Azhar itu sendiri adalah
sebuah institusi yang telah banyak menyumbang dalam perkembangan tamadun Islam
secara umum, dalam bidang ilmu pengetahuan masyarakat Islam secara khusus.
Bersambung...
sambungan nya bila ustaz ? x sabar nak baca lagi ni :)
ReplyDelete