12.26.2012

Masyarakat Islam dan Penguasaan Bahasa Asing: Antara Sarana Penguasaan Ilmu dan Medium Pengaruh Budaya (2)


Turun Naik Perkembangan Ilmu Pengetahuan

Jika kita perhatikan tadi, jelas menunjukkan bahawasanya, tamadun Islam pernah meneroka bidang ilmu dan memimpin penguasaan ilmu termasuklah ilmu-ilmu yang diambil daripada sumber dan bangsa asing. Bahkan, para ilmuwan Islam yang lebih mnunjukkan minat kepada ilmu berbanding para ilmuwan dari bangsa-bangsa lain. Mereka didorong oleh minat dan semangat cinta ilmu dengan penghayatan terhadap jati diri keislaman mereka, sebelum mempunyai minat mnguasai bahasa-bahasa asing. Oleh itu, mereka fokus kepada tujuan ketika menguasai bahasa asing iaitu penguasaan trhadap ilmu atas semangat panduan hadis “hikmah adalah ciciran orang beriman tersebut.

Dalam dunia Islam hari ini, sejak kemunduran mereka setelah kejatuhan sistem khilafah, bahkan sebelum itu lagi, sudah mula menjauhi semangat cintakan ilmu pengetahuan. Berbeza dengan dunia Barat yang cuba bangkit daripada zaman kegelapan (Dark Ages) terutamanya setelah kemunculan gerakan Renaisans di Itali, gerakan Reformation yang dipimpin oleh Martin Luther seterusnya proses Sekularisasi secara besar-besaran dalam masyarakat Barat.

Dunia Barat memang mempunyai sejarah hitamnya dalam bidang ilmu pengetahuan ketika pihak gereja menjadi halangan terbesar terhadap tokoh-tokoh ilmuwan dalam mengembangkan bidang ilmu pengetahuan di Barat. Ia berbeza dengan tradisi Islam di mana para ulama’ sebagai agamawanlah dalam masa yang sama memimpin perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang rasional (aqliyyah). Maka, bagi dunia Barat, proses Sekularisasi adalah penyelasaian terhadap kemelut keilmuan mereka kerana hanya dengan mengurangkan pengaruh pihak agamawan sahaja, para ilmuwan Barat dapat menguasai bidang pengetahuan.

Mungkin, antara faktor kemerosotan bidang pengetahuan dalam masyarakat Islam adalah apabila institusi pengajian terbesar umat Islam pada ketika itu, iaitu Al-Azhar, pernah memutuskan hubungannya dengan ilmu-ilmu Aqliyyah, disebabkan ada suara yang mengharamkan ilmu-ilmu tersebut terutamanya ilmu mantik dan falsafah. Kemunduran dalam bidang ilmu-ilmu Aqliyyah di Al-Azhar ketara pada ketika itu sehingga dikatakan ilmu Matematik sendiri tidak diajarkan di sana pada hujung kurun ke-12 Hijrah. Pada ketika itu, al-Azhar hanya merupakan institusi pengajian yang mengajar ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab sahaja. Walaupun perkara tersebut tidak lama, ia tetap mempengaruhi perkembangan bidang pengetahuan dalam masyarakat Islam, ketika mana dalam masa yang sama, masyarakat Barat sedang pesat membangunkan bidang pengetahuan.

Ketika ajaran agama cuba diketepikan di dunia Barat, ramai para ilmuwan Barat berpegang kepada Empirisisme yang lebih mementingkan perkembangan ilmu yang berkaitan dengan alam fizikal semata-mata dan meminggirkan perbahasan tentang alam metafizikal atau perkara-perkara ghaib. Di samping semangat dualisme ini, kecenderungan anti-tuhan atau athiesme turut berkembang dalam kalangan ilmuwan mereka. Ia berlaku secara beransur-ansur antara abad ke-18 sehingga abad ke-20 Masihi yang mana ketika itu dikenali sebagai Abad Ideologi (Age  of Ideologies).

Perkembangan ini akhirnya mencorakkan budaya hidup masyarakat yang baharu di dunia Barat, di mana pada asalnya mereka berpegang teguh kepada ajaran Kristianiti dan patuh kepada didikan gereja, mula menjauhkan diri daripada ajaran keagamaan atas nama kemajuan dan ilmu pengetahuan. Bagi mereka, ajaran keagamaan adalah suatu yang kolot jika dibandingkan dengan ilmu pengetahuan yang sedang berkembang kerana banyak mistik dan mitos dalam ajaran keagamaan yang tidak dapat dibuktikan melalui penyelidikan saintifik.

Lalu, pengkhianatan terbesar dalam sejarah keilmuan berlaku dalam bidang pengetahuan, atas nama ilmu, berteraskan semangat anti-tuhan dan anti-keagamaan. Ketika Charles Darwin (1808-1882) mengetengahkan idea evolusinya dalam dua buku terkenalnya iaitu The Origin of Spices dan The Descent of Man (1871), para ilmuwan Atheis mula melihat idea evolusi ini sebagai suatu senjata terbaik dalam melawan ajaran agama terutamanya pada menjawab persoalan asasi dalam kehidupan manusia iaitu “manusia berasal dari mana?”.

Walaupun idea evolusi Darwin tidak dapat dibuktikan benar, tetapi dengan alasan bahawa ianya masih tidak dapat dibuktikan salah, Darwinisme ini terus diterima sebagai unsur terpenting dalam bidang sains terutamanya berkaitan biologi. Idea-idea perubahan spesis daripada spesis purba yang ringkas menuju spesis lain yang lebih kompleks melalui proses evolusi yang berlaku secara rawak dan dipengaruhi oleh panduan tabi’e (natural selection) atau pertarungan tabi’e (war of nature) terus diterapkan dalam bidang sains secara khusus bahkan turut mempengaruhi bidang sejarah kemanusiaan.

Lebih malang lagi, idea ‘hanya yang terkuat sahaja yang layak untuk terus hidup’ (servival for the fittest) yang diketengahkan oleh Darwin dalam bidang biologi turut mempengaruhi bidang politik. Falsafah-falsafah radikal seperti Marxisme dan Komunisme muncul atas semangat ‘kehidupan hanya untuk yang terkuat’ sehingga mencetuskan kisah-kisah merah berdarah dalam lembaran sejarah kemanusiaan.

Budaya keilmuan yang nampak dipimpin oleh dunia Barat kini dipenuhi kepalsuan yang nyata atas nama ilmu. Bahkan, ketika para ulama’ Islam menetapkan sifat ilmu perlulah bertaraf yakin, para ilmuwan Barat masa kini sekadar mengembangkan waham dan prasangka lalu dinamakan sebagai ilmu. Bahkan, mereka juga bersikap tidak mementingkan persoalan-persoalan asasi dalam kehidupan seperti kita berasal dari mana, kenapa kita wujud di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas kematian. Mereka lebih bersikap pragmatisme dan mementingkan nilai-guna sebagai ukuran bagi sesuatu ilmu.

Nilai dan Pengaruh Sekularisasi Ilmu Pengetahuan dalam Budaya Hidup Masyarakat   

Dalam bidang sains tabi’e atau fizikal, pengaruh aliran empirisisme dan evolusionisme sangat kuat. Ia sedikit sebanyak menggugat keimanan dan aqidah Islam, bahkan menggugat ajaran keagamaan secara lebih umum. Aliran empirisisme yang berkembang dalam bidang sains tabi’e misalnya, meletakkan ukuran kebenaran pada pengalaman pancaindera dan ujikaji saintifik semata-mata. Maka, perkara-perkara yang diajarkan oleh agama berkenaan dengan ketuhanan dan alam ghaib tidak mempunyai nilai ilmu atau kebenaran dalam neraca aliran ini. Lebih malang lagi, aliran evolusionisme yang mendominasi dalam bidang sains tabi’e ini, sedikit sebanyak mencabar ajaran agama yang mengatakan bahawasanya bapa pertama bagi manusia ialah Nabi Adam a.s., sedangkan Darwin menerusi teori evolusinya mendakwa, manusia adalah sejenis makhluk yang berevolusi daripada beruk.

Dalam bidang sains sosial pula, falsafah-falsafah yang negatif menjadi sandaran utama yang dilihat turut bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain pengaruh aliran evolusionisme, aliran Freudian turut ketara dalam bidang sosiologi. Freud mendakwa bahawasanya konsep ketuhanan dan agama adalah suatu ilusi bagi manusia hasil daripada penyakit jiwa mereka akibat tekanan hidup sejak zaman kanak-kanak. Bahkan, dia juga mendakwa bahawasanya, manusia hidup berteraskan dorongan seksual sehingga menganggap kebahagiaan dapat dicapai dengan kepuasan seksual. Perkara ini mendorong kepada sikap menjauhi amalan-amalan keagamaan yang mulia sehingga mencetuskan kerosakan akhlak yang sangat buruk atas nama kebebasan hak asasi manusia. Atas semangat ini jugalah, timbulnya seruan ke arah amalan seks yang songsang seperti yang diperjuangkan oleh komuniti LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgenderdan sebagainya.

Dalam bidang ekonomi pula, tidak banyak berbeza dengan bidang-bidang ilmu yang lain di mana ianya turut dipengaruhi oleh aliran yang rosak seperti Kapitalisme dan Sosialisme. Walaupun kedua-dua aliran ini kelihatan bertentangan antara satu sama lain, tetapi kedua-duanya menggalakkan amalan riba dan penindasan terhadap yang lemah. Begitu juga dalam bidang sejarah, pengaruh evolusionisme sangat kuat sehingga mengetengahkan peringkat-peringkat manusia yang bermula sebagai manusia primitif dan tidak bertamadun menuju perubahan ke arah lebih maju, sedangkan dalam konsep Islam, Nabi Adam a.s. sebagai bapa manusia adalah seorang manusia yang berilmu dan bertamadun.

Cabaran Umat Islam dalam Bidang Ilmu dan Budaya

Sikap anti-tuhan berkembang secara tidak langsung dalam masyarakat awam, terutamanya melalui saluran institusi-institusi pengajian. Para ilmuwan Barat dilihat berjaya mengemudi agenda Sekularisasi mereka dengan baik dalam perjalanan memasyarakatkan nilai-nilai Sekularisme tersebut melalui bidang pengetahuan. Budaya hidup mengamalkan ajaran keagamaan semakin terpinggir walaupun masih ramai yang mengaku beragama, tetapi agama sekadar suatu status sosial dalam masyarakat, tanpa berperanan sebagaimana sepatutnya.

Sehinggakan, masyarakat Barat kini sudah lebih terkenal sebagai sebuah masyarakat yang tidak beragama dalam konteks yang sebenar, walaupun mengaku masih beragama. Apa yang dimaksudkan sebagai tidak beragama adalah, mereka tidak mengamalkan ajaran agama tetapi sekadar menjadikan agama sebagai sebuah aktiviti sosial yang terhad. Insititusi keluarga juga dibina atas binaan yang rapuh disebabkan budaya hidup yang tidak lagi dipandu oleh nilai-nilai yang positif. Maka, keluarga-keluarga yang dibina adalah keluarga nuklear yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lalu memberi kesan kepada persekitaran.

Budaya hidup masyarakat Barat ini tidak jauh daripada masyarakat Islam bahkan dalam rumah-rumah mereka sahaja, bukan di luar jendela. Budaya Barat diketengahkan dalam masyarakat dunia melalui media massa dan elektronik, bahkan melalui pengajian, sukan, hiburan dan sebagainya. Salah satu daripada bukti-bukti masyarakat Islam mula terpengaruh bahkan semakin ketara pengaruhnya terhadap budaya hidup masyarakat asing adalah pada penguasaan bahasa mereka terhadap bahasa asing, bukan sebagai sebuah sarana untuk menguasai ilmu pengetahuan, tetapi sekadar untuk berbudaya dengan budaya asing.


Kita dapati, ramai ibu bapa seronok jika anak-anak mereka boleh cakap bahasa Inggeris misalnya, sejak kecil, walaupun kadang-kala lebih baik berbanding bahasa ibunda sendiri. Alasan mereka, penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris adalah sangat penting kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu pengetahuan pada zaman ini. Memang benar, jika itu alasan dan tujuan mereka, ia adalah suatu perkara yang wajar dan baik sebagaimana disebutkan dalam perjalanan sejarah tamadun Islam.

Tetapi, selain kepincangan dalam bidang pengetahuan masa kini, bahasa asing juga menjadi medium yang boleh memberi pengaruh budaya asing dalam sesebuah masyarakat. Jika sesebuah masyarakat itu lemah dalam mempertahankan jati diri sendiri seperti cara hidup dan bahasa sendiri, sudah pastilah ia boleh dipengaruhi oleh cara hidup asing melalui penguasaan bahasa asing.

Pepatah ada menyebut bahawa, bahasa jiwa bangsa. Ia adalah jati diri sesuatu bangsa yang perlu dipertahankan sebagaimana bangsa Arab mempertahankan dan mengembangkan bahasa Arab mereka. Tidak salah menguasai bahasa asing bahkan ianya sangat baik jika dua perkara diambil kira:

Pertama: Perlu terlebih dahulu menguasai bahasa ibunda sebelum menguasai bahasa asing. Perkara ini sangat wajar dipentingkan kerana kita dapati ramai anak muda yang bertutur dalam bahasa Melayu tidak dapat mengucapkannya sebaik pertuturan mereka dalam bahasa Inggeris. Bahkan, kadang-kala, mereka bercakap dengan menggunakan bahasa ‘rojak’, iaitu gabungan antara bahasa ibunda dengan bahasa asing, samada sengaja ataupun tidak, ataupun bertutur dalam bahasa ibunda dengan loghat dan sebutan bahasa asing.

Kedua: Perlu fokus kepada tujuan penguasaan bahasa asing iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan, bukan untuk mengikut nilai-nilai bangsa asing yang negatif, apatah lagi dalam konteks yang kita bincangkan tentang penguasaan bahasa Inggeris mempunyai kaitan dengan perkembangan budaya masyarakat Inggeris-Barat yang sangat negatif pada masa kini. Ia berbeza dengan menguasai bahasa asing yang mempunyai nilai-nilai positif bagi bangsa tersebut seperti kecenderungan untuk menguasai bahasa Arab kerana keinginan untuk mengikut budaya Arab yang banyak dipengaruhi oleh ajaran Islam yang mulia dan dekat dengan corak kehidupan Rasulullah SAW, terutamanya Arab-Quraisy.

Sudahlah bidang ilmu memberi ancamannya yang sendiri terhadap jati diri dan keperibadian umat Islam yang perlu dipertahankan dengan ajaran murni Islam, budaya Barat yang terus berkembang juga sangat memberi tekanan dan ancaman bagi umat Islam juga. Oleh sebab itulah, umat Islam secara umum perlu lebih kuat mempertahankan jati diri keislamannya dalam menghadapi pengaruh bidang keilmuan dan budaya yang negatif daripada Barat.

Kita dapati bangsa Melayu secara khusus, telah lama membina jati diri bangsa berasaskan ajaran Islam. Maka, pengaruh agama Islam dalam budaya Melayu juga sangat kuat termasuklah dalam bahasanya. Kita boleh dapati banyak perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang mempunyai hubung kait dengan perkataan-perkataan Islam. Sebagai contoh, perkataan solat (as-solah) dalam bahasa Arab mempunyai dua makna berlainan iaitu makna dari sudut bahasanya dan makna dari sudut penggunaan Islam (syarak). Al-Solah dalam pengertian dari sudut bahasa Arab bermaksud doa secara mutlak sedangkan al-solah dalam pengertian syarak (penggunaan Islam) adalah, himpunan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang tertentu, yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Maka, solat dalam bahasa Melayu hanya mempunyai satu makna sahaja iaitu sembahyang bagi agama Islam. Maksudnya, solat dalam penggunaan bahasa Melayu dengan makna dari sudut penggunaan syarak juga. Ia berbeza dengan bahasa Inggeris yang menggunakan terjemahan bagi as-solah sebagai pray yang mempunyai dua maksud, samada berdoa secara umum ataupun solat secara khusus. Ini menunjukkan bahasa Melayu mempunyai pengaruh ajaran Islam yang kuat. Begitu juga kalimah Allah s.w.t., dalam penggunaan bahasa Melayu, hanya layak digunakan bagi merujuk kepada Tuhan bagi orang-orang Islam sahaja.

Maka, jika terhakisnya penguasaan bahasa Melayu daripada bangsa Melayu-Islam, mereka akan terdedah kepada pengaruh asing termasuklah dari sudut budaya. Cabaran masyarakat Melayu-Islam secara khusus bukan setakat memelihara budaya asal mereka, tetapi pada mempertahankan corak hidup beragama yang menjadi amalan mereka sejak sekian lama. Kekeliruan semasa berkembang menuju ke arah yang berbeza daripada tujuan murninya. Ketika penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris ditekankan dalam dasar pendidikan negara, ramai anak muda dalam masyarakat Islam keliru tentang kepentingan penguasaan bahasa Inggeris sehingga akhirnya bahasa Inggeris menjadi sarana pengaruh budaya asing yang negatif dalam kehidupan mereka seharian.

Kita dapati terdapat segolongan Melayu-Muslim di Malaysia secara khusus yang bertutur di bumi Malaysia kepada sesama mereka dalam bahasa Inggeris atau bahasa campuran (Manglish), tetapi bahan bacaan mereka tidak lebih daripada sekadar novel-novel cinta dan romantik ala-Barat, majalah-majalah hiburan antarabangsa, komik-komik dan sebagainya. Mereka keliru dalam fungsi sebenar dirinya sebagai seorang Melayu-Muslim dalam menguasai bahasa asing.

Samalah seperti fenomena ketika kita mengunjungi Mesir, kita melihat sekumpulan bangsa Arab Mesir sedang berbual sesama mereka dalam bahasa Mandrin di tengah-tengah kota Kaherah. Hal sebegini tidak ganjil jika ianya berlaku di dalam sebuah institusi pengajian bahasa Mandrin walaupun di Kaherah dan melibatkan bangsa Arab Mesir, ataupun ianya berlaku di salah sebuah bandar di China walaupun melibatkan warga Arab Mesir, ataupun ianya berlaku melibatkan sesama bangsa Cina walaupun di bandar Kaherah.

Solusi Kepada Kekeliruan

Dua perkara yang perlu dipupuk bagi menyelesaikan kekeliruan ini. Pertama, memupuk semangat cinta ilmu dalam masyarakat. Kedua, menanam semangat cinta kepada tanah air dan jati diri bangsa yang bersesuaian dengan ajaran Islam.

Islam sebagai agama yang mengajak manusia kepada kebenaran dan membuktikan kebenaran sebagai kebenaran dengan bukti-bukti yang meyakinkan. Ini menunjukkan bahawasanya, Islam adalah agama yang menggalakkan budaya ilmu. Usaha memupuk semangat cintakan ilmu perlu berteraskan semangat ‘mengamalkan ajaran Islam’, dalam masyarakat Islam. Suasana Sekularisme dan Hedonisme dalam masyarakat Islam terutamanya setelah dipengaruhi budaya Barat sedikit sebanyak mengurangkan rasa cinta kepada ilmu pengetahuan tetapi sebaliknya masyarakat lebih cenderung kepada mengejar kepuasan diri sendiri.

Islam juga mengajar sesuatu bangsa itu agar menghargai keistimewaan yang ia miliki. Oleh sebab itulah, dalam Al-Qur’an ada menjelaskan bahawasanya, kepelbagaian bangsa dan kaum itu adalah antara hikmah Allah s.w.t. dalam kejadian manusia, dalam rangka untuk mewujudkan interaksi ‘saling kenal-mengenali’ antara sesama bangsa. Jika sesuatu bangsa itu tidak ada identiti tersendiri yang membuatkan ia istimewa dari sesuatu sudut dan berbeza berbanding bangsa-bangsa lain, maka tidak timbullah agenda ‘saling mengenali antara sesama bangsa yang berbeza. Ini kerana, dengan identiti yang berbezalah, sesuatu bangsa itu mengenali bangsa lain dan dikenali juga oleh bangsa lain, sebagaimana berbezanya antara lelaki dan wanita.

Nilai-nilai positif dari bangsa lain memang boleh diambil dan dimanfaatkan selagimana tidak melibatkan perkara-perkara negatif terutamanya berdasarkan ukuran agama. Rasulullah SAW sendiri mengambil idea menggali parit ketika perang Khandaq daripada strategi perang bangsa asing begitu juga menjadikan cincin Baginda SAW sebagai cop rasmi, juga daripada budaya bangsa asing. Tetapi, tetap sahaja Baginda SAW mempertahankan budaya Arab-Quraisy yang merupakan bangsa asal Baginda SAW seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Bahkan, Rasulullah SAW juga ketika mengelak daripada memakan dhob, Baginda SAW menyebut bahawasanya, kaumnya tidak biasa makan makanan itu, maka Baginda SAW tidak mahu memakannya.

Cuma, dalam perkembangan semasa, budaya Barat mempunyai unsur-unsur negatif yang lebih dominan berbanding nilai positif. Daripada corak pemikiran yang berteraskan anti-agama dan anti-tuhan, sehinggalah corak hidup dan budaya yang turut bersifat anti-agama, justeru menyebabkan masyarakat Islam harus mengetahui sempadan dalam mengikut budaya sesuatu bangsa.

Kita tidak nafikan bahawasanya, bangsa asing seperti bangsa Inggeris mengembangkan bidang pengetahuan walaupun secara korup dan sarat penyelewengan ilmiah, namun tetap banyak yang boleh diambil manfaat. Maka, masyarakat Islam wajar memupuk semangat cinta kepada ilmu agar usaha penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris tidak membawa ke haluan yang tidak sepatutnya, iaitu berkembangnya pengaruh budaya asing yang negatif dalam masyarakat.

Ibu bapa dan kerajaan perlu peka terhadap tujuan penguasaan bahasa asing agar generasi muda tidak hilang arah dalam seruan ke arah menguasai bahasa-bahasa asing. Sebagaimana bahasa adalah jalan menuju ilmu, ianya juga dalam masa yang sama adalah jalan menuju budaya. Dalam suasana dunia Barat yang sedang pesat membangunkan nilai-nilai negatif samada dalam bidang pengetahuan mahupun dalam bidang budaya, masyarakat Islam perlu menjadikan panduan agama sebagai sebaik-baik panduan dalam menilai apa sahaja yang didapati daripada bangsa-bangsa asing tersebut. Sudah tentulah, penguasaan terhadap ilmu pengetahuan lebih utama berbanding sekadar berbudaya dengan budaya bangsa-bangsa lain. Justeru, fokus perlu dibentuk secara jelas dalam semangat penguasaan bahasa asing ini, agar masyarakat Islam tahu tujuan asal mereka tersebut.

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
25 Disember 2012, Putrajaya



No comments:

Post a Comment