Pengaruh Ilmu Aqliyyah dalam
Bidang Aqidah Islam dan Kemunculan Ilmu Kalam Sunni
Dalam bidang aqidah pula, kepincangan golongan
Mu’tazilah, Mujassimah, Jabbariyyah dan sebagainya sedikit
sebanyak mencetuskan semangat keintelektualan baru dalam institusi ulama’ Islam
khususnya dalam merangka suatu wacana keilmuan dalam membendung fahaman-fahaman
tersebut. Suatu disiplin ilmu dilihat perlu disusun khususnya dalam
mengetengahkan perpaduan manhaj antara naqli dengan aqli.
Pada awalnya, perpaduan manhaj dalam
bidang aqidah hanya dilihat dalam risalah-risalah berbentuk perdebatan antara
para ulama’ Sunnah dengan golongan-golongan pinggiran. Maka, ia berkembang
dalam bentuk Ilmu Jidal (ilmu perdebatan) sehinggalah sebahagian ilmu
tersebut difokuskan kepada perbahasan aqidah, maka ianya kemudian dikenali
sebagai Ilmu Kalam.
Sheikh Ibn Khaldun terlebih dahulu telah
memberi takrifan terhadap ilmu kalam versi sunni ini dengan berkata:
“(Ilmu Kalam) ialah ilmu yang
mengandungi hujah-hujah terhadap aqidah-aqidah yang dipercayai dengan
bukti-bukti secara Aqliyyah (pembuktian secara logikal) dan menolak golongan bid’ah yang terpesong
daripada aqidah salaf dan ahlus-sunnah”. [Muqoddimah Ibn Khaldun,
Al-Fashl Al-Asyir: fi Ilm Al-Kalam: 225]
Dalam risalah ringkas berjudul Risalah
fi Istihsan Al-Khaudh fi Ilm Al-Kalam oleh Imam Abu Al-Hasan
Al-Asy’ari r.a. sendiri menjelaskan sandaran-sandaran ilmu kalam daripada
Al-Qur’an dan As-Sunnah. Bahkan, beliau turut mengkritik golongan yang terlalu
keras dalam menolak ilmu kalam khususnya setelah ianya dimurnikan oleh manhaj
sunni yang dikembangkan oleh beliau sendiri terutamanya dalam kitab Al-Luma’.
Dalam muqoddimah kitab Al-Iqtisad
fi Al-I’tiqad, Imam Al-Ghazali r.a. juga ada mengkritik keterlaluan dua
golongan iaitu golongan yang menolak sama sekali penggunaan akal dalam bab
aqidah seperti golongan Hasyawiyyah dan golongan yang berlebih-lebihan dalam
menggunakan akal dalam bab tersebut seperti golongan Mu’tazilah. Menurut
Imam Al-Ghazali r.a., manhaj yang tepat dengan suluhan ajaran murni Islam
adalah manhaj yang adil dalam penggunaan akal dan naql.
Sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam
Ibn Khaldun tentang ilmu Kalam ini, kita dapat fahami bahawasanya ia suatu
disiplin ilmu yang menggabungkan penghujahan akal dan naql (nas) dalam
bidang aqidah secara terperinci.
Imam Az-Zarkasyi juga menjelaskan
bahawasanya:
“Tidaklah suatu penghujahan, petunjuk,
pembahagian dan pembatasan bagi kulliyyat (kaedah umum) ilmu-ilmu akal dan
sam’iyyat (pengetahuan tentang perkara-perkara yang tidak diketahui melainkan
dengan ajaran wahyu) melainkan kitab Allah telah menyebutkannya. Namun,
kaedah-kaedah tersebut disebut secara ringkas sebagaimana adat masyarakat Arab,
tidak berbentuk terperinci dan mendalam sebagaimana cara golongan mutakallimin”.
[Al-Burhan fi Ulum Al-Qur’an 2/24-25]
Segala celaan sebahagian para ulama’
Salaf terhadap ilmu kalam berkisarkan kepada dua perkara utama:
Pertama: Celaan tersebut ditujukan
kepada ilmu Kalam yang digunakan oleh golongan-golongan sesat seperti
Mu’tazilah, Qadariyyah dan sebagainya.
Kedua: Para ulama’ salaf menzahirkan
sikap wara’ dengan melarang golongan awam terlibat dengan perbahasan-perbahasan
yang dibahaskan oleh golongan-golongan tersebut.
Namun, adakah golongan-golongan sesat
tersebut perlu dibiarkan tanpa dibantah dan dibendung? Adakah kepincangan dan
kesesatan perlu dibiarkan berleluasa dalam masyarakat hanya dengan alasan ianya
dilarang oleh para ulama’ pada sesuatu zaman? Kepincangan dalam setiap zaman
tidak sama. Ianya mempunyai peringkat-peringkatnya. Pada zaman salaf,
fahaman-fahaman pinggiran dan sesat tidak dapat berkembang meluas kerana tidak
mempunyai jaringan perhubungan yang meluas. Jadi, cukup dengan tidak terlibat
membahaskan sesuatu perkara, ianya boleh menjaga masyarakat awam daripada
fahaman-fahaman tersebut.
Ketika fahaman-fahaman tersebut semakin
meluas dan ramai masyarakat awam sudah tidak lagi belajar ilmu agama daripada
para ulama’, maka mereka lebih terdedah kepada fahaman-fahaman sesat tersebut,
apatah lagi tatkala berkembangnya jaringan perhubungan dalam masyarakat. Jadi,
dengan perkembangan sebegini menyebabkan para ulama’ tidak boleh berdiam diri
daripada kepincangan yang berlaku. Oleh sebab itulah, ilmu kalam akhirnya
mendapat sentuhan dan pemurnian daripada ramai para ulama’ yang memahami
kepentingan usaha tersebut.
Setelah Ilmu Kalam versi Sunni ini
dikembangkan oleh para ulama’ Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah,
hampir tidak ada lagi ulama’ yang menolak ilmu kalam secara mutlak melainkan
sebahagian Hanabilah yang masih tidak melihat kepentingan ilmu Kalam dan
mereka yang terpengaruh dengan fahaman Tajsim namun bersembunyi di
sebalik kelompok Hanabilah. [rujuk Daf Syubah At-Tasybih oleh
Imam Ibn Al-Jauzi r.a.]
Imam Al-Baihaqi r.a. berkata:
“Bagaimana (ilmu) Kalam versi Ahlus-Sunnah wal Jamaah suatu
yag tercela di sisi Imam As-Syafi’e sedangkan beliau sendiri berdebat dengan
orang yang berdebat dengannya (dengan kaedah tersebut)…” [Manaqib
As-Syafi’e: 1/454-455, Maktabah Dar At-Turath, Kaherah]
Adapun Ilmu kalam ini, sejak ianya diperkenalkan dalam
versi Sunni oleh dua tokoh ulama’ besar iaitulah Imam Al-Asy’ari dan
Imam Al-Maturidi, maka, ianya terus dikembangkan oleh para murid mereka dan
para murid kepada murid-murid mereka. Ada orang cuba menukilkan kritikan para
ulama’ Salaf (seperti Imam As-Syafi’e, Imam Ahmad, Imam Abu Hatim Ar-Razi dan
sebagainya) terhadap ilmu kalam sebelum kemunculan ilmu kalam versi sunni (Al-Asya’irah
dan Al-Maturidiyyah) ini dalam menolak ilmu kalam versi sunni
ini, maka ianya adalah istidlal yang rosak dan usaha meletakkan sesuatu
bukan pada tempatnya. Ini jelas sebagaimana yang cuba dimaksudkan oleh Imam
Al-Baihaqi ketika mengulas isu ini dalam kitab Manaqib As-Syafi’e tersebut.
Secara ringkasnya, kita dapat lihat, antara perkembangan awal
ilmu kalam versi sunni ini adalah, ketika Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari
r.a. mengarang kitab berjudul Al-Luma’ fi Ar-Radd ‘Ala Ahl Az-Zaigh wa
Al-Bida’ yang mengandungi hujah-hujah mempertahankan aqidah
murni Islam dalam bentuk aqliyyah (hujah menggunakan kaedah akal) dan naqliyyah
(hujah menggunakan sumber dan nas). Bahkan, beliau juga mengarang sebuah
risalah ringkas berjudul Risalah fi Istihsan Al-Khaud fi Ilm Al-Kalam
yang menjelaskan kepentingan ilmu kalam versi Sunni ini. Orang-orang
yang menilai sesuatu disiplin ilmu berdasarkan penilaian para ulama’ sebelum
kemunculan disiplin ilmu tersebut adalah orang yang jahil tentang sejarah
perkembangan sesuatu disiplin ilmu itu sendiri.
Di samping Imam Al-Asy’ari, Imam Abu Mansur Al-Maturidi juga
ada mengarang sebuah kitab berjudul At-Tauhid yang merupakan
perpaduan antara hujah-hujah akal dan nas dalam bidang aqidah. Beliau bermazhab
Al-Hanafi dan mendalami fiqh Hanafi daripada Imam Abu Bakr Ahmad Al-Juzjani
yang berguru dengan Imam Abu Yusuf (w: 182 H) dan Imam Muhammad As-Syaibani (w:
189 H) yang mana kedua-duanya berguru kepada Imam Abu Hanifah r.a. (w: 150 H).
Kitab At-Tauhid mendapat penerimaan meluas dalam bidang ilmu kalam
khususnya di sisi para ulama’ Ahnaf (Hanafiyyah).
Ilmu Kalam manhaj Imam Al-Maturidi dikembangkan oleh Imam
Muhammad Al-Bazdawi (w: 493 H) yang mana beliau mengambil ilmu kalam tersebut
daripada ayahandanya Imam Abdul Karim Al-Bazdawi (w: 390 H) daripada
ayahandanya Imam Abdul Karim yang berguru kepada Imam Al-Maturidi r.a. (w: 333
H). Kitab karangan beliau berjudul Usuluddin fi Tabsith Al-Mazhab.
Ilmu Kalam berteraskan manhaj Imam Al-Asy’ari pula bahkan
mempunyai kronologi perkembangan yang lebih pesat. Bermula dengan usaha giat
para murid Imam Al-Asy’ari, sehinggalah generasi-generasi setelah itu, ilmu
Kalam versi Asya’irah sangat berperanan dalam mengembangkan aqidah Ahlus-Sunnah
wal Jamaah secara meluas di samping ilmu Kalam golongan Maturidiyyah.
Kemuncak perkembangan terawal ilmu kalam adalah pada zaman
Imam Al-Baqillani (w: 402 H) melalui kitab beliau Al-Inshaf dan
Tamhid Al-Awa’il, Imam Ibn Furak (w: 406 H) melalui kitab beliau Mujarrad
Maqalat Al-Asy’ari dan Imam Al-Baihaqi (w: 458 H) melalui kitab-kitab
beliau seperti Al-I’tiqad ‘ala Mazhab As-Salaf Ahl Sunnah wal Jamaah
dan Al-Asma’ wa As-Sifat. Kemudian, ianya dikembangkan oleh Imamul
Haramain Al-Juwaini melalui kitab Aqidah Nizhamiyyah, As-Syamil
dan sebagainya, dan murid beliau Imam Al-Ghazali r.a. (w: 505 H) melalui
karya-karyanya yang berjudul: Iljam Al-‘Awam dan Al-Iqtishad
fi Al-I’tiqad.
Mengenai kitab Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad
sendiri, ianya adalah merupakan kesimpulan awal bagi manhaj Al-Asy’ari
dalam bidang aqidah dengan pendekatan yang ringkas dan padat. Pun begitu,
bentuk-bentuk hujah dan perbahasan di dalamnya masih dinilai sebagai tinggi
bagi melihat situasi sebenar masyarakat Islam kini termasuklah dari kalangan
penuntut ilmu. Begitu juga berkembangnya kitab-kitab yang mempunyai perbahasan
yang mendalam yang dipengaruhi perbahasan-perbahasan falsafah dan hujah akal
yang tinggi seperti kitab Nihayah Al-Iqdam fi Ilm Al-Kalam oleh
Imam As-Syahrastani (w: 548 H), Thowali’
Al-Anwar oleh Imam Al-Baihdhawi (w: 685 H), Al-Mawaqif fi Ilm
Al-Kalam oleh Imam Al-Iji (w: 765 H), Al-Maqasid dan Syarh
Al-Maqasid oleh Imam At-Taftazani (w: 792/3 H).
Maka, ilmu kalam versi sunni ini terus berkembang dan
dilengkapkan pada zaman Imam As-Sanusi (w: 895) khususnya melalui kitab-kitab
beliau: Al-Aqidah Al-Kubra (Aqidah Ahl At-Tauhid)
dan syarahnya, Al-Aqidah Al-Wusta dan syarahnya, Al-Aqidah
As-Shughra (Umm Al-Barahin) dan syarahnya, Syarh
Jawahir Al-Ulum Li Idhh fi Ilm Al-Kalam dan sebagainya. Pada peringkat ini, ilmu kalam as’yari
sudah tersusun dengan perbahasan sifat 20.
Adapun kitab Umm Al-Barahin
sendiri merupakan suatu kitab yang mendapat penerimaan ramai para ulama’ Al-Asya’irah
lalu ianya dikhidmati oleh ulama’-ulama’ terkemuka setelah Imam As-Sanusi
terutamanya dalam mensyarahkan kitab tersebut.
Pada zaman pemerintahan khalifah
Uthmaniyyah pula, banyak dari kalangan khalifah membina pusat-pusat pengajian
untuk mengembangkan lagi bidang ilmu dalam masyarakat Islam. Antaranya adalah
seperti Sultan Urkhan (680-761 H) yang sangat mencintai bidang keilmuan. Beliau
dan adiknya membuka sebuah Madrasah Aliyyah di Niqiyyah untuk dijadikan
tempat pendidikan bagi golongan yang tidak berkemampuan. Begitu juga dibuka Madrasah
di Iznik. Bahkan, di zaman beliau juga, seorang ulama’ bernama Al-Maula/Al-Mula
Khalil Al-Jandrli diangkat menjadi menteri.
Ketika zaman Sultan Muhammad Al-Fateh,
beliau yang berjaya membuka kota Konstantinopel (Constantinople) lalu
menamakan kota tersebut sebagai Islambol (kini dikenali sebagai Istanbul).
Beliau juga banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dengan mengembangkan
madrasah-madrasah dan sebagainya, khususnya dengan membina lapan Madrasah
besar di Konstantinopel setelah pembukaannya. Antara ulama’ yang mengajar di
madrasah-madrasah tersebut adalah: Imam Sinan Al-‘Ajami, Imam Muslihuddin
Al-Qasthollani, Imam Hasan As-Shomsuni, Imam As-Syarif Hamiduddin Al-Husaini,
Imam Ahmad Basya bin Maula Khudari Bek (w: 927 H), Imam Husein At-Tabrizi dan
sebagainya.
Bahkan, sebuah gereja menjadi masjid
yang mana ia dikenali sebagai Aya Sofya. Pada zaman beliau, antara
ulama’ terkemuka adalah Imam Syamsuddin Al-Khayali yang merupakan seorang
ulama’ yang kuat mengembangkan pegangan ahlus-sunnah wal jamaah. Di samping itu
juga, Sultan Al-Fateh juga mampunyai ulama’ yang khusus untuk mengajar beliau
dalam ilmu agama iaitulah Imam Maula Khairuddin.
Dua tokoh besar iaitu Imam Sa’ad
At-Taftazani (w: 791 H) menerusi kitab Al-Maqasid fi Ilm Al-Kalam, Syarh
Al-Maqasid dan Tahzib Al-Kalam wa Al-Mantiq dan
Imam As-Syarif Al-Jurjani (w: 816 H) menerusi kitab Syarh Al-Mawaqif
adalah antara rujukan kepada para ulama’ Turki Uthmaniyyah di samping para
ulama’ lain dalam mengembangkan ilmu kalam.
Maka, antara para ulama’ Turki
Uthmaniyyah yang mengembangkan ilmu Kalam adalah seperti Sheikh Kamaluddin
Ismail Al-Qarmani melalui kitab Hasyiyyah ‘ala Syarh Al-Mawaqif li
Al-Jurjani, Sheikh Sinan Ad-Din Al-Yakani melalui Hasyiyah ‘ala Syarh
Al-Mawaqif dan sebagainya.
Di belahan Mesir pula, dua tokoh
terkemuka dalam mengembangkan bidang ilmu kalam adalah Imam Ahmad Ad-Dardir
Al-Khalwati (w: 1209) dan murid beliau Imam Ahmad As-Showi Al-Khalwati (w: 1241
H). Ilmu kalam versi Asy’ari juga terus berkembang pasat sehingga ke Nusantara.
Ilmu Kalam ini mendapat penerimaan
meluas dalam institusi ulama’ Islam kerana kepentingannya untuk berhadapan dan
berdebat dengan musuh-musuh Islam dalam membuktikan kebenaran aqidah murni
Islam secara aqli yang menjadi suatu lapangan yang disepakati oleh
kedua-dua pihak. Orang-orang kafir sukar untuk sekadar menerima aqidah
Islamhanya kerana ianya disebut dalam sumber agama, tetapi akallah alat paling
utama yang menyebabkan seseorang menerima sesuatu kebenaran termasuklah
menerima dan mempercayai sumber agama itu sendiri. Oleh kerana itulah, ilmu
kalam yang meletakkan akal sebagai tempat perbahasan merupakan sautu ilmu yang
paling banyak menjelaskan kebenaran aqidah Islam kepada orang-orang kafir
khususnya dalam kalangan ahli akedemik.
Maka, demi kepentingan ini jugalah, ilmu
kalam dalam bidang aqidah terus dipertahankan terutamanya di pusat pengajian
ilmu agama yang mewarisi ilmu-ilmu agama secara sahih dengan sanad ilmu yang
jelas. Ilmu kalam itu sendiri mempunyai beberapa tingkatan dan peringkat
perbahasannya yang mengikut kesesuaian tahap-tahap setiap golongan, samada
awam, penuntut ilmu, para ulama’ dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment