5.16.2013

Ilmu Muqoddimah dan Manahij: Suatu Pengenalan



Ilmu Muqoddimah dan Manahij: Suatu Pengenalan

Ketika awal masuk ke masjid al-Azhar dan menghadiri majlis talaqqi, antara majlis terawal yang dihadiri adalah majlis Sheikh Dr. Usamah al-Azhari. Antara perkara yang dibahaskan oleh beliau yang sentiasa di fikiran adalah tentang "manhajiyyah al-fikr li al-'alim al-azhari" (sistematiknya fikir seorang alim azhari). Beliau menjelaskan bahawa seorang alim itu mempunyai kerangka dan kaedah berfikir yang tersusun. Penguasaan sebenar seseorang 'alim (terutamanya azhari) itu adalah pada bagaimana dia dapat menguasai kerangka dan kaedah berfikir tersebut dengan baik.

Al-Azhar adalah satu simbol kepada jambatan ilmu dan peradaban. Padanya berkembang ilmu-ilmu naqliyyah (bersumberkan wahyu) sebagaimana berkembang juga ilmu-ilmu aqliyyah (bersumberkan akal). Padanya berlaku proses Ihya' al-Turath al-Islami iaitu menghidupkan ilmu warisan ulama' silam dalam lapangan praktikal masyarakat semasa. Ia adalah suatu institusi yang memperjuangkan wasatiyyah yang sempurna dan tajdid yang murni. Bahkan, para ulama’ muktabar seluruh dunia akan merujuk kepada pendirian majoriti para ulama’ al-Azhar dalam sesuatu isu keagamaan yang sejagat dan di peringkat global.

Maka, ia suatu pendedahan yang baru pada ketika itu, tentang. Bahkan, ada satu subjek yang diajarkan di masjid al-Azhar yang disebut sebagai "Al-Manahij" pada ketika itu. Al_Faqir tidak mengikutinya sebab tidak tahu mengenainya di samping banyak lagi pengajian yang lain untuk sertai. Pernah satu ketika berada dalam kelas Jauharah al-Tauhid, perbincangan antara pensyarah (Dr. Rabi'e) dengan para murid terlalu "ke'akal'an" sehingga al-faqir gagal mengikut rentak perbincangan tersebut.

Bahkan, dalam kelas-kelas talaqqi fiqh dan usul fiqh juga, ada unsur perbahasan "ke'akal'an" di samping nas-nas yang dibahaskan. Kemuncaknya apabila menghadiri pengajian Sheikh Dr. Ali Jum'ah, pada ketika itu kalau tidak salah, membaca Sunan al-Nasa'ie. Sungguh luar biasa unsur "aqliyyah" (ke-akal-an) dan manhajiyyah (bersistematik) perbahasannya.

Bahkan, ketika itu juga, berlaku perselisihan antara Muqri’ (seorang ulama’ al-Azhar yang juga mengajar di masjid al-Azhar ketika ketiadaan Sheikh Dr. Ali Jum’ah) dengan seorang peneliti bacaan juga seorang ulama’, mengenai nama perawi yang dibaca berbeza dengan apa yang tertulis di naskah cetakan beliau, maka Sheikh Dr. Ali Jum’ah membahaskan pengenai perbezaan nama seseorang perawi kembali kepada kaedah bahasa Arab yang fasih dengan loghat kampung asal perawi tersebut, yang mana pada asalnya, kedua-dua sebutan nama perawi tersebut betul. Penguasaan ilmu tersebut adalah pada bab Mu’talif dan Mukhtalif yang menjadi antara perbahasan terakhir dalam kitab-kitab Mustalah Hadis.

Penguasaan Ilmu Secara Holistik

Maka, saya mula mendapati suatu perkara yang istimewa, antara banyak lagi keistimewaan al-Azhar, terutamanya yang meneruskan tradisi, manhaj dan kerangka warisannya. Mereka menguasai ilmu secara sistematik, mengakar, bersepadu dan terperinci. Di samping penekanan terhadap penghafalan matan-matan ilmiah seperti madrasah-madrasah tradisioanal yang lain, perbahasan secara ‘merungkai’, mendalam dan memperincikan teks-teks ilmiah juga sangat baik.

Jika tradisi pembelajaran di madrasah-madrasah pondok menekankan penjelasan kedudukan I’rab bagi teks-teks yang dibaca, para ulama’ al-Azhar pula, di samping mensyarahkan ilmu dengan tradisi madrasah pondok tersebut, namun ditambah pula dengan perkaitan ilmu-ilmu yang lain dan berkaitan,  membahaskan perbahasan istilah-istilah yang boleh membantu maksud perbahasan utama dan sebagainya, sehingga membentuk suatu muqoddimah yang tersusun terhadap teks yang cuba dibahaskan dan diajarkan.

Bahkan, sebagai persediaan kepada para penuntut ilmu, para ulama’ yang mengajar juga akan membahaskan istilah-istilah yang berkaitan dalam perbincangan dan menjelaskan perbezaan maksud-maksud daripada istilah-istilah tertentu yang digunakan dan perbezaan fungsinya dalam pelbagai disiplin ilmu yang berbeza, agar murid tidak keliru. Ini menunjukkan tahap pembelajaran itu sudah tahap yang tinggi kerana bukan sahaja guru yang mengajar menguasai pelbagai disiplin dan bidang ilmu, para murid juga pada ketika itu sepatutnya sudah mempunyai asas bagi setiap bidang ilmu, untuk memahami perbezaan penggunaan istilah dalam sesuatu bidang ilmu.

Sebagai contoh, istilah wajib, dalam ilmu aqidah (kalam) berbeza penggunaannya dan maknanya daripada ilmu fiqh kerana wajib dalam ilmu aqidah merujuk kepada hukum akal sedangkan dalam ilmu fiqh, ianya merujuk kepada hukum syarak. Maka, ilmu muqoddimah atau manahij, walaupun dari sudut namanya tidak rasmi, namun kandungannya sangat penting di mana para murid didedahkan dengan pembahagian hukum terlebih dahulu.

Begitu juga masalah yang nampak terpisah tetapi sebenarnya bersepadu seperti perbahasan hadis ahaad dan mutawatir sebagai sumber ilmu dan amal. Walaupun ahaad dan mutawatir dibahaskan secara popular dalam ilmu mustolah hadis, namun dalam ilmu usul-fiqh dan ilmu aqidah juga turut membahaskan mengenainya. Maka, kesepakatan para ulama’ terhadap penggunaan atau hukum hadis atau khabar ahaad (perawinya tidak sampai tahap mutawatir pada setiap peringkat) adalah melibatkan pelbagai disiplin ilmu. Secara umumnya, para ulama’ (walaupun dibahaskan dalam ilmu aqidah) secara jelas mengatakan bahawa: khabar ahaad boleh digunakan sebagai sumber amalan atau sandaran amalan tetapi tetap tidak membawa kepada tahap ilmu yang meyakinkan. Maka, ramai para ulama’ tidak menjadikan hadis ahaad sebagai sumber kepercayaan atau aqidah kerana ahaad tidak sampai kepada tahap ilmu yang meyakinkan, walaupun sampai ke tahap zhon yang kuat.

Oleh sebab itulah, dalam masalah sifat-sifat ketuhanan, mazhab al-Asy’ari dan al-Maturidi hanya menerima dalil-dalil yang bersifat qat’ie al-thubut tahap mutawatir (dari sudut periwayatan) dan qati’e al-dalalah (jelas maknanya tanpa ada ruang untuk takwilan). Maka, hadis-hadis bersifat ahaad iaitu tidak sampai tahap mutawatir, walaupun dalam Sahih al-Bukhari dan Muslim, yang dinilai sahih, namun di sisi ramai para ulama’ sunnah, ianya tidak dijadikan sebagai asas bagi aqidah walaupun wajib diamalkan dari sudut praktikal kerana amal memadai dengan dalil zhonni. Ini kerana, penilaian para ulama’ terhadap keadilan (‘adalah) perawi itu masih lagi di tahap zhonni (pra sangka). Namun, jika sesuatu khabar itu diriwayatkan oleh ramai perawi pada setiap peringkat yang mana menyebabkan mustahil dari sudut adat bahawa mereka akan bersepakat untuk melakukan kesalahan dan penyelewengan terhadap khabar tersebut, maka ianya diyakini sebagai sumber ilmu yang qat’ie (muktamad).

Sebahagian orang yang hanya menguasai ilmu-ilmu agama secara terpisah-pisah, maka ketika menguasai bidang hadis dan sanad-sanadnya, maka terlalu mudah menjadikan hadis-hadis tertentu sebagai asas bagi aqidah lalu terperangkap dalam fahaman-fahaman sesat sehingga menyalahkan pula majoriti ulama’ Islam dalam bidang aqidah.

Mabadi’ Asyarah (Prinsip-prinsip yang Sepuluh) dalam Bidang Ilmu

Penguasaan ilmu-ilmu agama secara holistik kembali kepada penguasaan asas terhadap tasawwur ‘am (konsep umum) para pelajar terhadap sesuatu ilmu.

Dalam Hasyiyah al-Bajuri ‘ala Jauharah al-Tauhid ada disebutkan nazam mengenai Mabadi’ Asyarah ini iaitu:

إن مبادئ كل فن عشرة ** الحد والموضوع ثم الثمرة
وفضله ونسبة والواضع ** الاسم الاستمداد  حكم الشارع
مسائل والبعض بالبعض اكتفى ** ومن درى الجميع نال الشرفا

Maksudnya:

Sesungguhnya asas-asas bagi setiap disiplin ilmu itu ada sepuluh,
Had (definisi), tema, kemudian kesan (hasil),
Dan kelebihannya, nisbah dan pelopor,
Nama (ilmu tersebut), sumber pengeluarannya dan hukum syarak padanya,
Permasalahan yang dibincangkan, dan sebahagiannya dengan sebahagian lain memadai,
Sesiapa yang mengetahui kesemuanya, dia perolehi kemuliaan.

Pendedahan awal mengenai asas-asas ilmu ini sangat membantu para penuntut ilmu untuk mendapat kerangka yang jelas terhadap letak duduknya sesuatu ilmu dan hubungannya dengan ilmu-ilmu yang lain, dari sudut perbahasan-perbahasannya. Ia suatu pengantar yang sangat baik terhadap penguasaan ilmu secara holistik.

Tradisi para ulama’ Al-Azhar sentiasa memulakan pengajian mereka pada sesuatu ilmu dengan al-Mabadi’ al-Asyarah ini. Ia adalah suatu tradisi warisan ulama’ yang sebenarnya masih dipraktikkan di dalam sistem pengajian tradisional namun tidak nampak kepentingannya melainkan setelah berinteraksi dengan tahap pembelajaran yang lebih tinggi. Begitu juga tradisi penghafalan matan, yang pada mulanya nampak menyukarkan para pelajar, tetapi akhirnya mula diketahui kepentingannya ketika berinteraksi dengan tahap ilmu yang lebih tinggi.

Jambatan Antara Ilmu Agama dan Ilmu-ilmu Keduniaan

Antara suatu perkara yang sangat jelas juga adalah, ilmu berbentuk muqoddimah atau manahij ini mempunyai kepentingan dalam menghubungkan seluruh bidang ilmu pengetahuan. Dalam bidang falsafah ilmu, perbahasan mengenai epistemologi ilmu (nazhoriyyat al-Ma’rifah) mungkin memberi suatu kerangka yang jelas tentang hubungan antara setiap disiplin ilmu, namun ianya hanya menyebutnya secara dasar. Sedangkan, ilmu muqoddimah ini, walaupun ianya merangkumi perbahasan yang dibincangkan dalam epistemologi ilmu seperti sumber ilmu dan sebagainya, ia juga malah membahaskan dari makna-makna yang lebih umum dan bersifat sejagat (kulli).

Ilmu manahij atau berbentuk muqoddimah ini memang dilihat dibahaskan secara terpisah-pisah, namun para ulama’ yang mempelajari ilmu-ilmu agama dengan tradisi pembelajaran al-azhar pasti akan menguasainya secara menyeluruh. Ilmu yang asas yang mengandungi perbahasan sebegini adalah seperti ilmu mantik, ilmu usul fiqh, ilmu kalam, ilmu bahasa dan sebagainya. Bahkan, berkembang juga ilmu nazhoriyyat al-Ma’rifah yang cuba memperkemaskan ilmu manahij ini, di samping ilmu-ilmu tradisional lain seperti ilmu Maqulat, ilmu al-Hikmah al-‘Aliyyah dan sebagainya. Penguasaan terhadap ilmu-ilmu ini membentuk jambatn ilmiah yang boleh menghubungkan penguasaan terhadap ilmu-ilmu keduniaan.

Kita lihat sebagai contoh,dalam ilmu kalam, pasti ada membincangkan tentang pembahagian hukum. Kita sering didedahkan kepada pembahagian hukum kepada tiga iaitu, hukum akal, hukum adat dan hukum syarak. Daripada pembahagian ini, kita tahu letak duduknya bidang-bidang ilmu keduniaan, iaitu kebanyakannya membahaskan tentang hukum adat dengan prinsip saintifik. Bahkan, ditambah dengan penguasaan ilmu mantik, ianya menyebabkan kita menguasai perbahasan melibatkan hukum akal pula, yang akhirnya mencakupi bidang ilmu keduniaan yang lain.

Penguasaan ilmu muqoddimah ini sedikit-sebanyak membentuk sebuah gaya befikir yang tersusun. Bermula dengan ilmu mantik sebagai kerangka, kemudian al-Mabadi’ Al-Asyar bagi setiap ilmu, kemudian penguasaan istilah-istilah dalam bidang-bidang ilmu juga akhirnya menjadikan disiplin ilmu tersusun dalam kerangka minda kita. Barulah saya faham mengapa dalam kitab al-Hukm al-Syar’ie ‘Ind al-Usuliyyin, Dr. Ali Jum’ah memuatkan perbahasan aqliyyah dan asas-asas ilmu mantik, agar ilmu-ilmu agama yang mempunyai penggunaan akal padanya disusun secara sistematik. Maka, saya makin yakin betapa ilmu Muqoddimah atau Manahij ini suatu perkara yang sangat asas dalam tradisi pembelajaran terutmanya di al-Azhar, samada diajarkan secara langsung ataupun tidak.

Kemudian, seorang mahasiswa al-Azhar (junior) memperkenalkan saya kitab Fath al-Rahman Syarh Luqtah al-‘Ajlan, karangan al-Imam Zakaria al-Anshari r.a.. Beliau menjelaskan bahawa Sheikh Dr. Usamah al-Azhari sedang mengajar kitab tersebut di masjid al-Azhar. Ketika membelek buku tersebut, saya dapati ianya adalah sebuah buku yang merujuk kepada ilmu muqoddimah yang saya maksudkan, yang sedang berkembang dalam tradisi pembelajaran di al-Azhar dan membentuk gaya berfikir seorang ‘alim azhari.

Sebuah buku lagi yang mempunyai fungsi yang hampir sama dengan kitab tersebut ialah kitab Syarh al-Muqoddimat karangan Imam al-Sanusi r.a.. Kitab ini juga mempunyai sumbangan yang sama dalam menjadi pengantar kepada ilmu-ilmu yang lain dan membentuk kerangka keilmuan yang jelas dan sistematik. Ini menunjukkan, tradisi para ulama’ dalam pembelajaran dan pendidikan, bukan sekadar mewariskan ilmu kepada para murid, tetapi juga mewariskan cara berfikir sebagai ulama’-ulama’ dalam memikul amanah ilmu. Justeru, saya faham apa yang cuba diketengahkan oleh guru kami Sheikh Dr. Usamah, tentang keistimewaan seorang al-Azhari dari sudut cara berfikirnya yang sistematik dan penguasaan ilmu secara asas dengan kefahaman yang muktabar.

Akal Seorang al-Azhari

Teringat ketika pertemuan saya dengan Sheikh Dr. Usamah buat pertama kali di Malaysia, selepas saya pulang dari Mesir, yang mana pada ketika saya berpeluang untuk mendekati beliau dalam tempoh masa sejam atau lebih secara peribadi. Ketika itu, di Universiti Malaya, ramai orang tertumpu kepada Sheikh Muhammad Ibrahim al-Kattani sehingga beliau (Sheikh Dr. Usamah) bersendirian. Akhirnya, saya menemani beliau sehingga kami menunaikan solat Zohor di surau bersama-sama. Sebelum itu, saya menunjukkan kitab al-Fanid fi Halawah al-Asanid susunan Imam al-Suyuti dan meminta ijazah ‘ammah (istijazah) daripada beliau sebagaimana adat para penuntut ilmu bersama para syuyukh. Ketika beliau betanya tentang Laqob (gelaran) saya untuk dituliskan di teks ijazah tersebut, saya menegaskan bahawa saya tidak menggunakan apa-apa Laqob (gelaran).

Kemudian, beliau bertanya pengalaman saya di Mesir, kitab-kitab yang pernah saya talaqqi, guru-guru saya di sana, kemudian beberapa soalan-soalan ilmiah yang asas. Saya cuba menjawab satu persatu persoalan-persoalan beliau lalu beliau mengatakan: “Kalau demikian, saya tulis Laqob kamu al-Azhari…”. Saya jawab: “Itu satu gelaran keilmuan yang besar, memandangkan saya tahu nilai al-Azhar. Saya rasa tidak layak pun.” Beliau menjawab: “Al-Azhari adalah simbol penguasaan manhaj yang mempunyai izzahnya. Ketika kita menggunakan Laqob ini, kita sentiasa ingat bahawa kita mewakili al-Aql al-Azhari dan kefahaman-kefahaman agamanya yang muktabar. Jangan risau dengan besarnya nama itu. Ia adalah nisbah kita kepada al-Azhar, bukan nisbah al-Azhar kepada kita.” Saya pun menganggukkan tanda setuju dengan penerangan itu lalu beliau menulis al-Azhari setelah nama saya di ijazah tersebut, dan segala puji hanya bagi Allah s.w.t. yang mana dengannya sempurna segala nikmat.

Namun, antara perkara yang saya paling ingat ketika itu adalah tentang al-‘Aql al-Azhari yang terus saya cuba kaji dan terokai keistimewaannya. Semakin mengkaji, semakin faham betapa penguasaan ilmu-ilmu itu tidak mudah. Ianya perlukan kepada bimbingan para ulama’ dan kesabaran dalam mempelajari ilmu-ilmu secara mendalam. Tidak sama antara pengajian yang diajarkan untuk orang awam dengan pengajian yang diajarkan untuk para penuntut ilmu yang merupakan pewaris para ulama’ di masa hadapan. Sudah tentulah, para penuntut ilmu belajar untuk menguasai ilmu dan menyampaikannya, bukan sekadar mengamalkannya untuk peribadi semata-mata. Sudah pasti, persediaan keilmuan perlu lebih mantap sebelum turun ke lapangan. Inilah ilmu antara ilmu-ilmu yang perlu dikuasai oleh para penuntut ilmu, dengan baik. Wallahu a’lam…


   

No comments:

Post a Comment