5.06.2013

Jiwa Rabbani dalam Perjuangan dan Dakwah Islam




Jiwa Rabbani dalam Perjuangan Islami

Pengenalan

Lau kana Bainanal Habib (Andai Al-Habib Rasulullah SAW masih bersama-sama kita)… Itu adalah suatu ungkapan sering disebut-sebut pada masa kini. Baginda al-Habib SAW sentiasa ada bersama-sama kita, hadir menyaksikan kita dalam kehidupan kita, melalui selawat dan salam kita kepada Baginda SAW. Bahkan, ianya jelas disebutkan dalam hadis ‘Ardh al-‘Amal (pembentangan amal) yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang kuat.

Persoalan yang lebih besar, adakah Baginda SAW dalam kehidupan kita, dalam bentuk kita mencontohi Baginda SAW? Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita bahawasanya, ditinggalkan kepada kita dua perkara, jika digabungkan pelbagai riwayatnya, maka menjadi tiga perkara, iaitu:

  • ·         Kitab Allah
  • ·         Sunnah Rasulullah SAW
  • ·         Ahli Bait Rasulullah SAW, iaitu para ulama’ mereka.


Para ulama’ terutamanya ahlul-bait yang mulia, yang bukan sekadar mewarisi darah mulia Baginda SAW, tetapi juga mewarisi ilmu Baginda SAW, yang tersimpan dalam kitab al-Qur’an dan sunnah nabawiyyah yang mulia. Ramai para ulama’ ahlul-bait ini mewarisi bidang tarbiah umat Islam terutamanya tarbiah tarikat sufiyyah sejak zaman al-Imam Abdul Qadir al-Jailani r.a. sehinggalah pada masa kini.

Jiwa Rabbani

Bahkan, dalam tradisi ilmu dan tarbiah Islam, ada tiga bahagian utama iaitu:

  • ·         Dirayah: Ilmu-ilmu kefahaman agama seperti aqidah, fiqh dan sebagainya.
  • ·         Riwayah: Ilmu-ilmu yang menjaga periwayatan al-Qur’an dan hadis seperti ilmu Qiraat, ilmu Rijal dan sebagainya.
  • ·         Tazkiyyah: Kaedah-kaedah pentarbiahan samada secara teori mahupun secara praktikal (dengan bersuhbah kepada murobbi).


Penguasaan terhadap ketiga-tiganya membawa kepada kesempurnaan sudut akal dan rohani seseorang insan, atau penguasaan antara ilmu, amal dan keadaan hubungan dengan Allah s.w.t.. Seseorang yang menguasainya secara holistik dikenali sebagai seorang ulama’ rabbani, iaitu seseorang yang menguasai ilmu agama dengan kefahaman yang sahih dan mengamalkannya.

Mereka inilah yang menyebarkan risalah Islam dalam masyarakat pada zaman salaf, di samping sebahagian daripada mereka terlibat dalam tarbiah dan islah dalam masyarakat. Para ulama’ rabbani ini mewakili manhaj Rasulullah SAW dan menjadi contoh kepada masyarakat tentang keadaan dan sifat-sifat mulia Rasulullah SAW dalam segenap bidang kehidupan.

Risalah Islam tidak terbatas pada penyampaian dalam bentuk majlis-majlis ilmu sahaja, bahkan ianya juga melibatkan usaha dakwah bahkan pentarbiahan masyarakat yang mengalami pelbagai kepincangan samada luaran mahupun dalaman. Justeru, mereka yang terlibat dalam dakwah dan islah dalam masyarakat sudah pasti mereka yang mampu menjadi penawar kepada penyakit masyarakat, bukan menjadi penyakit tambahan kepada masyarakat. Mereka adalah para pemilik jiwa rabbani, yang diumapamakan dalam al-Qur’an sebagai cahaya yang keluar dalam kegelapan masyarakat lalu menyinari mereka dengan cahaya hidayah Islam.

Antara intipati jiwa rabbani adalah, lebih mengutamakan kasih sayang (rahmat) berbanding kebencian, lebih mengutamakan memberi khabar gembira berbanding membuat manusia putus asa dari rahmat Allah s.w.t., sentiasa berbaik sangka kepada manusia dan meninggalkan buruk sangka, mengutamakan penyambungan silatul rahim berbanding memutuskannya dan sebagainya.

Dalam sejarah Islam, kita boleh dapati pelbagai contoh kemuliaan para ulama’ dan pendakwah rabbani dalam menghadapi kepincangan dalam masyarakat, di samping mendepani cabaran dalam menyampaikan dakwah dan melakukan usaha tarbiah.

Penghulu Para Pendakwah Rabbani Sebagai Qudwah Hasanah

Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad Mursal, daripada Abdullah bin ‘Ubaid bahawa beliau berkata:

 لَمَّا كُسِرَتْ رُبَاعِيَّةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَشُجَّ فِي جَبْهَتِهِ ، فَجَعَلَتِ الدِّمَاءُ تَسِيلُ عَلَى وَجْهِهِ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، ادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " لَمْ يَبْعَثْنِي طَعَّانًا وَلا لَعَّانًا ، وَلَكِنْ بَعَثَنِي دَاعِيَةَ وَرَحْمَةً ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ 

Maksudnya: “(Dalam satu peperangan dengan orang-orang kafir), ketika patah gigi Saidina Rasulullah SAW, dipukul di bahagian dahi Baginda SAW, sehingga darah mengalir di wajah Baginda SAW, lalu dikatakan kepada Baginda SAW: “Wahai Rasulullah. Doalah keburukan ke atas mereka.” Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya Allah s.w.t. tidak mengutuskanku sebagai pentohmah dan penglaknat. Tetapi, Dia mengutuskanku sebagai pendakwah dan rahmat. Wahai Tuhan, ampunkanlah kaumku kerana mereka tidak mengetahui.

Kita lihat contoh agung pada jiwa rabbani Saidina Rasulullah, SAW yang menjadi sumber bekalan kepada mereka yang mengaku terlibat dalam dakwah Islamiyyah, bagaimana Rasulullah SAW di saat yang penuh keperitan, di hadapan musuh Allah yang paling dimusuhi, iaitu para kafir harbi, namun Rasulullah SAW masih memilih untuk membalas keburukan dengan kebaikan. Bahkan, itu adalah risalah Rasulullah SAW sebagaimana disebutkan oleh Baginda SAW sendiri.

Sesiapa yang ingin melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, dan meneruskan perjuangan Baginda SAW, perlulah melakukannya sebagaimana yang pernah dilakukan oleh Baginda SAW. Jika tidak, risalah yang cuba disampaikan akan disalah ertikan oleh mereka yang jahil lalu boleh membawa kepada tohmahan terhadap risalah dakwah tersebut, atas kekurangan para amilin sendiri (aktivis Islam).

Ketika perang Hunain selesai, Rasulullah SAW menyebut suatu cerita sebagai tauladan untuk para pejuang Islam dan mereka yang berusaha di jalan Allah s.w.t., sepanjang zaman. Saidina Ibn Mas’ud r.a. berbicara dengan menyebutkan:

قالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ عَبْدًا مِنْ عِبَادِ اللَّهِ بَعَثَهُ اللَّهُ إِلَى قَوْمٍ ، فَكَذَّبُوهُ وَشَجُّوهُ ، فَكَانَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ جَبْهَتِهِ ، وَيَقُولُ : اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي ، فَإِنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ.

Maksudnya: Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba daripada hamba-hamba Allah s.w.t., telah Allah s.w.t. utuskan kepada suatu kaum, lalu kaum tersebut mendustakannya dan memukul kepalanya. Lalu, hamba tersebut sekadar menyapu darah di dahinya sambil mengucapan sepotong doa: “Wahai Tuhan ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. [Hadis riwayat Imam Muslim dalam Sahihnya, Imam Ibn Abi Syaibah, Imam Ahmad dalam Musnadnya dan sebagainya]

Dalam riwayat Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq, doa nabi tersebut adalah:

اللَّهُمَّ اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan, berilah hidayah kepada kaumku, kerana mereka tidak mengetahui.”

Syukur Sebagai Penyubur Jiwa Rabbani

Jika kita hayati, bagaimana begitu lembut Rasulullah SAW dalam menghadapi para musuh Baginda SAW? Adakah Baginda SAW tidak merasai kesakitan ketika disakiti? Sudah tentu tidak, kerana Baginda SAW adalah seorang manusia yang turut merasai kesakitan ketika disakiti. Apakah kekuatan sebenar yang membentuk jiwa rabbani ini lalu menjadi tempat lahirnya sifat rahmatan lil alamin?

Antara kekuatannya adalah rasa syukur Rasulullah SAW terhadap pilihan Allah s.w.t. kepada diri Baginda SAW, yang mana dengan pilihan Allah s.w.t.-lah, Baginda menjadi insan terpilih yang paling mulia. Baginda SAW menghayati makna pilihan yang azali, yang menterjemahkan kesempurnaan pilihan Allah s.w.t. dalam kesempurnaan diri Baginda SAW yang mulia.

Allah SWT sendiri yang mendidik Saidina Rasulullah SAW penghayatan terhadap nikmat ini sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud:

Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau masih tidak mengetahui (perincian ajaran syariat), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya. (Surah al-Dhuha: 6-11)

Seseorang yang menghayati pilihan Allah s.w.t. dalam dirinya, dan tidak melihat dirinya dengan kaca mata ujub, pasti semakin merendahkan diri di hadapan Allah s.w.t.. Seseorang yang semakin dipilih oleh Allah s.w.t. untuk mendapat hidayah kebaikan, pasti semakin menghargainya lalu melihat orang lain yang belum mendapatkannya dengan pandangan rahmat, seraya mengharapkan agar Allah s.w.t. mengurniakan hidayah kepada orang lain juga. Inilah yang dihayati oleh jiwa Rabbani yang mulia, yang menjadi khazanah berharga bagi para pejuang Islam yang mulia.

Lihatlah ungkapan kemuncak ahli syurga ketika memasuki syurga Allah s.w.t., setelah selesai dinilai amal soleh mereka. Allah s.w.t. merakamkannya dalam al-Qur’an:

Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (dengan tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, merekalah ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya. Dan Kami cabutkan segala dendam dan hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata: Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru: Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah kerjakan. (Surah al-A’raaf: 42-43)

Ucapan ahli syurga yang bersyukur: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya);”

Penghayatan bahawa Allah s.w.t.-lah sumber kebaikan diri mereka, lalu sangat bersyukur di hadapan Allah s.w.t.. Ayat ini menjelaskan juga sebelum itu bahawasanya, hanya perasaan dendam dan hasad kepada sesama makhluk sahaja, yang menutupi rasa kesyukuran ini. Jika seseorang melakukan mujahadah jiwa, dengan berbaik sangka kepada sesama manusia, meninggalkan rasa dendam dan api permusuhan, maka hatinya akan mudah menghayati betapa kebaikan adalah milik mutlak Allah s.w.t., yang disalurkan kepada kita melalui hidayah-Nya.

Hidayah Allah s.w.t. yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya, adalah daripada mutlak pilihan-Nya. Jika kita berada di pihak yang mendapat hidayah, doakanlah agar Allah s.w.t. memberi hidayah kepada pihak yang belum mendapatkannya. Dan ingatlah, jika bukan kerana hidayah Allah s.w.t. kepada kita, sudah tentu kita seperti mereka yang masih belum mendapatinya.

Contoh Jiwa Rabbani dan Muhasabah Diri

Guru kami, Sayyidi al-Sheikh al-Syarif Yusuf bin Muhyiddin al-Bakhour al-Hasani pernah menceritakan kepada kami:

“Suatu ketika, saya bersama dengan sepupuku (ungkapan kekeluargaan tanda hormat sesama ahlul-bait) Al-Habib Ali al-Jufri hafizahullah, di Makkah. Beliau mengajakku pergi bertemu seorang teman lama beliau yang berjawatan tinggi dalam kerajaan, untuk meminta bantuan pembiayaan bagi para penuntut ilmu terutamanya di Hadramaut. Saya juga kebetulan mengenali orang yang dimaksudkan dan saya merasai bahawa Al-Habib Ali tidak akan mendapatkannya dengan mudah, kerana orang itu terkenal dengan sifat tertentu. Namun, kerana al-Habib Ali mengatakan bahawa orang itu adalah teman lama beliau, mungkin ada harapan untuk mendapat bantuan kepada penuntut ilmu yang dimaksudkan.

Kemudian kami bertemu dengan orang tadi di pejabatnya yang agak mewah, lalu berlakulah perbualan panjang antara kedua-duanya. Setelah lama berbual, al-Habib Ali mula membuka topik mengenai bantuan untuk para pelajar dan penuntut ilmu di Madrasah beliau. Saat itu, riak wajah orang itu sudah mula berubah dan nampak seolah-olah tidak berminat. Saya pasti, al-Habib Ali boleh melihat tanda-tanda perbincangan ini menuju sudut negatif, namun dengan wajah ceria, beliau terus menceritakan keperluan para penuntut ilmu yang miskin dan perlukan bantuan agar meraih belas kasihannya terhadap kesusahan para penuntut ilmu tersebut.

Namun, orang tersebut hanya mengatakan bahawa dia belum bersedia untuk membantu kerana masih banyak pihak meminta bantuan daripadanya. Banyak alasan yang diberikan kepada al-Habib Ali sehingga tidak sesen pun diberikan. Maka, kami keluar dan saya dapati beliau (Habib Ali) mula mengeluarkan air mata. Ketika di kerusi, saya cuba memujukkan dengan mengatakan: “Kamu sudah buat yang terbaik. Lagipun, memang susah dia nak bagi dan itu adalah ma’ruf  (orang itu terkenal bersikap begitu).” Namun, sebuah ungkapan keluar daripada mulut beliau yang justeru terus menyentuh hatiku dan mendidik jiwaku serta-merta. Beliau berkata:

“Tidak wahai habib. Bukan begitu. Saya tahu, saya yang salah. Mungkin saya yang tidak ikhlas dalam membantu para penuntut ilmu tersebut. Jika saya ikhlas, pasti Allah s.w.t. akan menggerakkan hatinya untuk memberi bantuan tersebut, kerana hati sesiapa sahaja, berada dalam kekuasaan Allah s.w.t.. Justeru, ini menunjukkan saya yang masih bermasalah dengan Allah s.w.t., lalu Allah s.w.t. tidak mengerakkan hatinya untuk memberi bantuan tersebut.” Bicara al-Habib Ali sambil matanya berlingan air dan mulutnya mengucapkan Istighfar.

Ini adalah secebis contoh jelmaan sifat rahmat daripada hati-hati rabbani, yang disemai tauhid yang murni, dan kehambaan yang tinggi. Kita boleh lakukan usaha pemurnian dari mana-mana sudut dalam masyarakat, namun diri kita adalah yang paling dekat dengan kita, mengapa tidak memulakannya daripada diri kita sendiri? Wallahu a’lam

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari

Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafi

No comments:

Post a Comment