6.27.2013

Pelajaran-pelajaran Tentang Belajar



Peringkat-peringkat Belajar

Imam al-Safarini menyebut dalam Ghiza’ al-Albab bahawa ada enam peringkat belajar:

  1. Soalan yang baik.

  1. Tumpuan yang baik.

  1. Kefahaman yang baik dan benar

  1. Menghafal ilmu tersebut.

  1. Mengajar ilmu tersebut.

  1. Mengamalkan ilmu tersebut dan memelihara batasan-batasannya.

Maka, perlu diketahui juga tentang halangan-halangan untuk mendapatkan ilmu. Ia juga ada enam perkara:

  1. Tidak bertanya jika tidak faham atau kurang faham.

  1. Tidak memberi tumpuan.

  1. Salah faham.

  1. Tidak menghafal atau tidak mengingati ilmu tersebut.

  1. Tidak menyebarkan ilmu itu setelah menguasainya.

  1. Tidak mengamalkannya.

Kaedah Belajar

Imam al-Syafi’e r.a. menyenaraikan enam kaedah menuntut ilmu iaitu:

1)      Cerdik

2)      Keinginan yang tinggi terhadap ilmu.

3)      Bersungguh-sungguh dalam menuntut ilmu.

4)      Cukup perbelanjaan dan kos untuk menuntut ilmu.

5)      Berguru dengan guru yang berkelayakan.

6)      Lama masa pembelajaran tersebut.

Antara Ciri-ciri Ahli Ilmu

Hendaklah seorang ‘Alim (berilmu) itu mempunyai sepuluh sifat yang utama:

1)      Takut kepada Allah s.w.t..

2)      Menasihati.

3)      Kasih sayang

4)      Kuat dalam menghadapi cabaran.

5)      Sabar.

6)      Penyayang dan pemaaf.

7)      Tawadhuk (rendah diri)

8)      Menjaga kemurnian harta manusia.

9)      Sentiasa merujuk kitab-kitab.

10)  Meninggalkan protokol dan birokrasi, dan sentiasa terbuka menerima tetamu.

Zakat Ilmu

Imam al-Safarini menyebut tentang zakat ilmu, iaitu ada dua:

  1. Mengajarkan ilmu tersebut kerana Allah s.w.t..

  1. Mengamalkan ilmu tersebut

6.24.2013

Sebahagian Definisi Tasawuf dan Sufi

Sebahagian Definisi Tasawuf dan Sufi

Imam Abu al-Husain al-Nuri (w: 295 H) berkata:

التصوُّف: ترك كل حظ للنفس

Maksudnya: “Tasawuf adalah meninggalkan kepentingan dan bahagian bagi nafsu”.[1]

Imam Abu Nu`aim (336-430 H) berkata tentang definisi tasawuf antaranya:

إِنَّ التَّصَوُّفَ : الاعْتِصَامُ بِالْحَقَائِقِ ، عِنْدَ اخْتِلافِ الطَّرَائِقِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tasawuf adalah, berpegang dengan kebenaran ketika perselisihnya jalan-jalan (golongan).[2]

Imam Abu Nu`aim berkata lagi:

إِنَّ التَّصَوُّفَ تَفَرُّدُ الْعَبْدِ بِالصَّمَدِ الْفَرْدِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tasawuf itu bersendiriannya seseorang dengan al-Shomad yang Maha Tunggal”.[3]

Beliau berkata lagi:

إِنَّ التَّصَوُّفَ الْجِدُّ فِي السُّلُوكِ إِلَى مَالِكِ الْمُلُوكِ

Maksudnya: “Sesungguhnya Taswwuf adalah bersungguh dalam perjalanan tarbiah menuju kepada Raja Segala Raja”.[4]

Beliau berkata lagi:

إنَّ التَّصَوُّفَ وَقْفُ الْهِمَمِ عَلَى مَوْلَى النِّعَمِ .

Maksudnya: “Sesungguhnya tasawuf adalah menepati semangatmu terhadap Allah SWT[5]


Beliau berkata lagi:

إِنَّ التَّصَوُّفَ اسْتِنْفَادُ الطَّوْقِ فِي مُعَانَاةِ الشَّوْقِ ، وَتَزْجِيَةُ الأُمُورِ عَلَى تَصْفِيَةِ الصُّدُورِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tasawuf adalah lenyapnya kalungan hambatan pada pengaruh dan dominasi kerinduan dan kestabilan urusan berteraskan kesucian jiwa.

Beliau berkata lagi:


إِنَّ التَّصَوُّفَ حَمْلُ النَّفْسِ عَلَى الشَّدَائِدِ ، الَّذِي هُوَ مِنْ أَشْرَفِ الْمَوَارِدِ

Maksudnya: “Sesungguhnya tasawwuf adalah membawa nafsu kepada perkara yang membebankan yang mana akan membawa kepada anugerah yang mulia.”



[1] Rujuk kitab al-Risalah al-Qusyairiyyah karangan Imam al-Qusyairi r.a.
[2]  Hilyah al-Auliya’ karangan Imam Abu Nu’aim al-Asbahani pada Manaqib Saidina Abu Bakr.
[3] Ibid
[4] Ibid
[5] Ibid

6.23.2013

Kaedah: "Tidak MemilikI, Tidak Kehilangan"



Kaedah: Tidak Memiliki, Tidak Kehilangan

Hayatilah sebuah hakikat yang nyata, iaitu mengenai diri kita. Kita adalah siapa diri kita, maka terimalah diri kita seadanya. Jika kita tidak dapat menerima diri kita seadanya, siapa yang mahu menerima diri kita seadanya?

Allah s.w.t. yang Maha Esa, menciptakan kita, daripada tiada, kepada ada. Dia menciptakan kita dengan ilmu, kehendak dan kuasa-Nya. Lalu, setelah kita diciptakan, wujudlah kita, dengan-Nya.

Adakah kita wujud? Kita secara hakikatnya, tidak wujud. Iaitu, kita secara asalnya, tidak ada. Tetapi, kita diwujudkan oleh Allah s.w.t., maka kita sebenarnya adalah:

“Tiada, yang diadakan”

Ini adalah hakikat yang nyata, bagi sesiapa yang ingin berkenalan dengan dirinya sendiri. Kita “ada” dengan-Nya, maka tidak sewajarnya merasa ada secara terasing daripada-Nya.

Jika wujud kita bukan milik kita, diri kita pun bukan milik kita, apa yang sebenarnya menjadi milik kita? Semua yang ada dalam kehidupan kita, sama sahaja, iaitu bukan milik kita, samada kita nisbahkan kepada diri kita ataupun tidak, kerana diri kita yang menjadi tempat dinisbahkan semua ‘milik’ kita sendiri bukan milik kita.

Semuanya milik Allah s.w.t., termasuk diri kita. Samada, kita mahu terima ataupun tidak hakikat ini.


6.22.2013

Tradisi Pewarisan Ilmu-ilmu Agama (2): Pembahagian Ilmu-ilmu Agama dari Fungsi



Pembahagian Ilmu-ilmu Agama

Ilmu-ilmu warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, ada dua bentuk, iaitu:

  • Sumber ilmu agama: Al-Qur’an dan As-Sunnah (Mashdar Ad-Din atau Nas-nas Islam)
  • Manhaj Sahih dalam memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih atau disiplin untuk berinteraksi dengan nas secara sahih)

Bukan semua sumber agama[1] iaitulah Al-Qur’an atau As-Sunnah boleh difahami oleh segenap lapisan masyarakat, terutama sekali golongan awam. Oleh sebab itulah, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wa sallam mengingatkan para sahabat r.a. agar melihat dahulu kepada siapa mereka ingin berbicara dan menyampaikan sesuatu ilmu termasuklah isi kandungan hadis nabawi juga. Perkara yang perlu diperhatikan adalah tentang kadar kefahaman mereka tinggi atau rendah, sahih atau batil, dan sebagainya.

Begitulah antara manhaj penyampaian ilmu-ilmu agama juga adalah mengikut peringkat-peringkat kefahaman para pendengar, sebagaimana Saidina Ali r.a. berkata:

حَدِّثُوا النَّاسَ بِمَا يَعْرِفُونَ أَتُحِبُّونَ أَنْ يُكَذَّبَ اللَّهُ وَرَسُولُهُ ‏

Maksudnya: Sampaikanlah kepada manusia apa yang mereka ketahui sahaja. Adakah kamu ingin agar manusia mendustai Allah dan Rasul-Nya?[2]

Al-Hafiz Imam Ibn Hajar Al-Asqollani r.a. mensyarahkan hadis ini dalam Fath Al-Bari dengan berkata:

الْمُرَاد بِقَوْلِهِ : " بِمَا يَعْرِفُونَ " أَيْ : يَفْهَمُونَ

Maksudnya: “Yang dimaksudkan dengan perkataan beliau: “Apa yang mereka ketahui” ialah: “apa yang mereka fahami”.

Ini menunjukkan bahawasanya, manusia mempunyai pelbagai peringkat kefahaman dan kecerdasan fikiran. Bukan semua peringkat manusia mampu berinteraksi dengan nas-nas samada dari Al-Qur’an dan As-Sunnah secara langsung, terutamanya jika mereka adalah dari kalangan orang-orang awam yang tidak mempunyai latar belakang pengajian ilmu-ilmu agama yang jelas daripada para ulama’ muktabar, melalui tradisi pembelajaran yang muktabar.

Teks-teks samada sumber agama (seperti al-Qur’an dan al-Sunnah) mahupun kitab-kitab ilmiah para ulama’ hanyalah sebahagian daripada alat mendapatkan ilmu sedangkan sebahagian yang lain adalah pada cara memahaminya secara sahih yang perlu diambil daripada para ulama’ muktabar. Teks-teks agama mengandungi pelbagai istilah-istilah yang hanya mampu difahami oleh ahli ilmu yang berpengalaman dalam berinteraksi dengannya. Salah faham terhadap istilah-istilah tersebut seperti memahami istilah sesuatu secara bahasa tanpa memahaminya secara syarak menyebabkan lahirnya kefahaman yang salah.

Rasulullah s.a.w. menyebut tentang kepentingan sudut dirayah dan kefahaman yang benar terhadap nas-nas sumber agama sebagaimana dalam hadis:

مَا عُبِدَ اللَّهُ بِشَيْءٍ أَفْضَلَ مِنْ فِقْهٍ فِي دِينٍ ، وَلَفَقِيهٌ وَاحِدٌ أَشَدُّ عَلَى الشَّيْطَانِ مِنْ أَلْفِ عَابِدٍ ، وَلِكُلِّ شَيْءٍ عِمَادٌ ، وَعِمَادُ الدِّينِ الْفِقْهُ

Maksudnya:  Tidak disembah Allah s.w.t. oleh sesuatu lebih baik daripada kefahaman terhadap agama. Sesungguhnya, seorang yang memahami agama lebih sukar bagi syaitan berbanding seribu orang ‘abid (ahli ibadah). Bagi setiap sesuatu itu ada tiangnya, sedang tiang agama adalah kefahaman.”[3]

Dalam hadis lain disebutkan:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ في الدِّينَ

Maksudnya: “Sesiapa yang Allah s.w.t. inginkan kebaikan dengannya, maka Allah s.w.t. akan fahamkan pada agama…”[4]

Dalam riwayat yang lain:

مَنْ يُرِدِ اللَّهُ بِهِ خَيْرًا يُفَقِّهْهُ الدِّينَ

Maksudnya: Sesiapa yang Allah s.w.t. inginkan kebaikan dengannya, maka Allah s.w.t. akan fahamkan agama…”[5]

Jika kita singkap kembali sejarah umat Islam, muncul pelbagai golongan yang pincang dan sesat dalam memahami ajaran agama Islam samada dari sudut aqidah mahupun syarak. Sebagai contoh kepincangan dari sudut kefahaman, munculnya golongan yang bersikap mengikut semua lafaz zahir daripada nas-nas Al-Qur’an dan As-Sunnah, yang mana pada  hakikatnya, apa yang dimaksudkan daripada nas-nas tersebut bukan zahir daripada lafaz nas tersebut, berdasarkan ukuran kefahaman para ulama’ muktabar.

Kepincangan ini berkembang bukan sahaja dalam bidang fiqh sebagaimana yang dikenali sebagai golongan Zhohiriyyah, malah juga berkembang dalam bidang aqidah sehingga muncul golongan-golongan seperti Mujassimah, iaitu mereka yang terperosok ke dalam kepincangan dalam memahami nas-nas mutasyabihat yang dinisbahkan kepada Allah s.w.t., dengan makna zahir dari sudut bahasa Arab, lalu menyesatkan masyarakat dengan fahaman Tajsim tersebut.

Oleh sebab itulah, Imam Ibn Hajar Al-Asqollani menjelaskan lebih lanjut tentang perkataan Saidina Ali r.a. ini dalam Fath Al-Bari dengan berkata:

وَضَابِط ذَلِكَ أَنْ يَكُون ظَاهِر الْحَدِيث يُقَوِّي الْبِدْعَة وَظَاهِره فِي الْأَصْل غَيْر مُرَاد , فَالْإِمْسَاك عَنْهُ عِنْد مَنْ يُخْشَى عَلَيْهِ الْأَخْذ بِظَاهِرِهِ مَطْلُوب

Maksudnya: “Ukurannya (dalam menilai samada sesuatu nas itu sesuai atau tidak disampaikan kepada sesetengah golongan yang awam), iaitulah zahir hadis tersebut boleh  membawa kepada menguatkan lagi bid’ah, sedangkan zahir hadis tersebut pada asalnya bukanlah yang dimaksudkan. Maka, menegah daripada meriwayatkannya kepada orang yang ditahuki akan berpegang dengan zahir hadis tersebut sangat dituntut.[6]

Sebelum itu juga, Imam Ibn Hajar ada menyebut:

وَفِيهِ دَلِيل عَلَى أَنَّ الْمُتَشَابِه لَا يَنْبَغِي أَنْ يُذْكَر عِنْد الْعَامَّة

Maksudnya: “Ini menjadi dalil bahawasanya nas-nas mutasyabihat tidak boleh disebut kepada orang awam…[7]

Kita lihat betapa kepincangan dalam bidang aqidah berleluasa pada masa kini dengan kemunculan golongan yang menghimpunkan nas-nas mutasyabihat lalu mengetengahkannya ke dalam masyarakat awam lalu mengajak masyarakat awam memahaminya dengan makna-makna zahir yang tidak layak bagi kesempurnaan Allah s.w.t..

Pendirian yang disebutkan oleh Imam Ibn Hajar tadi berbeza dengan kelompok yang sibuk menghimpunkan nas-nas mutasyabihat tersebut, lalu memahaminya dengan lafaz zahir yang tidak dimaksudkan oleh Allah s.w.t., lalu menjadikannya sebagai asas dalam masalah sifat-sifat Allah s.w.t., dan kemudian disebarkan kepada orang-orang awam untuk mengelirukan mereka. Alangkah baiknya mereka mengikut perjalanan As-Salaf yang sebenar yang menjauhi perbincangan terhadap nas-nas mutasyabihat khususnya dalam kalangan masyarakat awam.


[1] Sumber Agama yang dimaksudkan di sini ialah sumber ajaran agama yang berbentuk wahyu daripada Allah s.w.t., yang menjadi panduan kepada seluruh ajaran Islam, yang merangkumi bidang aqidah, fiqh dan tasawwuf Islam. Ia bukan merujuk kepada sumber hukum dalam agama kerana sumber hukum dan perundangan Islam bukan sekadar al-Qur’an dan al-Sunnah, tetapi menurut majoriti ulama’, sumber hukum ada empat iaitu, Al-Qur’an, al-Sunnah, Ijma’ dan Qiyas.
[2] Hadis riwayat Imam Al-Bukhari no: 124
[3] Hadis riwayat Imam al-Darqutni dalam Sunannya, Imam al-Baihaqi dalam Syu’ab al-Iman, Imam al-Khatib dalam al-Faqih wa al-Mutafaqqih, Imam al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausath dan sebagainya. Kebanyakan jalannya daripada Saidina Abu Hurairah r.a. dengan sanad yang lemah.
[4] Muttafaqun ‘alaihi
[5] Hadis riwayat Imam al-Tabrani, Imam al-Baihaqi dalam al-Qadha’ wa al-Qadar, Imam Ahmad dalam musnadnya Imam Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dengan sanad hasan.
[6] rujuk Fath Al-Bari pada hadis tersebut
[7] ibid

6.19.2013

Tradisi Pewarisan Ilmu-ilmu Agama (1): Kaedah Pembelajaran Islam dan Pewarisan Ilmu Nabawi



Sesungguhnya, Allah s.w.t. memuliakan umat Islam dengan menjadikan golongan para ulama’ sebagai golongan yang berkhidmat dalam memelihara dan mengembangkan ilmu-ilmu agama. Mereka adalah para pewaris tugas Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam menyampaikan kefahaman yang sahih tentang ajaran agama Islam dan mengajar ilmu-ilmu agama kepada masyarakat awam, di samping memelihara nas-nas agama yang sahih sebagai sumber rujukan bagi para ulama’ generasi yang akan datang.

Kemuliaan para ulama’ yang merupakan pewaris Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- disebut sendiri oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- sebagaimana sabda Baginda -Shollallahu ‘alaihi wasallam-:

مَنْ سَلَكَ طَرِيقًا يَطْلُبُ بِهِ عِلْمًا سَلَكَ اللَّهُ بِهِ طَرِيقًا إِلَى الْجَنَّةِ ، إِنَّ الْمَلائِكَةَ لَتَضَعُ أَجْنِحَتِهَا لِطَالِبِ الْعِلْمِ رِضًا عَنْهُ ، وَإِنَّهُ لَيَسْتَغْفِرُ لَهُ مَنْ فِي السَّمَوَاتِ وَمَنْ فِي الأَرْضِ حَتَّى الْحِيتَانُ فِي جَوْفِ الْمَاءِ ، وَلَفَضْلُ الْعَالِمِ عَلَى الْعَابِدِ كَفَضْلِ الْقَمَرِ لَيْلَةَ الْبَدْرِ عَلَى سَائِرِ الْكَوَاكِبِ ، وَإِنَّ الْعُلَمَاءِ هُمْ وَرَثَةُ الأَنْبِيَاءِ "


Maksudnya: Sesungguhnya, sesiapa yang berjalan  di atas suatu jalan untuk menuntut dengannya (perjalanan tersebut) suatu ilmu, maka Allah s.w.t. akan melalukannya dengan ilmu tersebut jalan menuju syurga. Sesungguhnya para malaikat meletakkan sayap-sayap mereka kepada penuntut ilmu sebagai tanda meredhainya. Sesungguhnya apa yang di langit dan yang di bumi akan meminta ampun untuknya sehinggalah ikan-ikan di dalam air sekalipun. Sesungguhnya kelebihan seorang yang berilmu itu berbanding seorang ahli ibadah seumpaman kelebihan bulan purnama berbanding bintang-bintang biasa. Sesungguhnya para ulama’ adalah pewaris para Nabi…[1]

Dua Asas Perkembangan Ilmu-ilmu Agama

Dalam hadis ini mempunyai kesimpulan tentang tradisi perkembangan ilmu-ilmu agama warisan Nabawi. Bahkan, hadis ini juga menggambarkan bahawa, kekuatan sistem pengajian ilmu agama (Ta’lim Ulum Ad-Din) dalam tradisi Islam adalah pada konsep “pewarisan” ilmu itu sendiri, dari suatu generasi ke suatu generasi melalui para ulama’ (ahli ilmu) dalam setiap zaman.

Maka, dalam hadis ini, ada dua asas perkembangan ilmu-ilmu agama melalui tradisi warisan nabawi iaitu:

Pertama: Proses Ta’allum dan Tholab Al-Ilm. Ia merupakan asas yang sangat penting di mana seorang murid keluar dari rumahnya lalu menuju majlis-majlis pengajian dan bertemu dengan para ulama’ untuk mengambil ilmu. Ini menolak sikap mereka yang suka mengambil ilmu-ilmu agama sekadar daripada buku-buku sahaja tanpa ingin menghadiri majlis-majlis ilmu yang didirikan oleh para ulama’ yang muktabar.

Kedua: Konsep pewarisan. Hadis ini memberi isyarat yang jelas bahawasanya, konsep sebenar perkembangan ilmu-ilmu agama adalah melalui konsep pewarisan, antara seseorang kepada orang yang kemudian selepasnya. Ia menekankan konsep sanad ilmu (penisbahan hubungan keilmuan) yang bersambung sehinggalah kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam dan menolak mereka yang tidak mempunyai sanad ilmu secara mutlak.

Para Ulama’ (Institusi Ulama’) Adalah Pewaris Para Nabi

Para ulama’ yang mewarisi tugas para Nabi sebagaimana yang digambarkan dalam hadis tersebut sudah semestinya mempunyai ciri-ciri khusus yang menyebabkan mereka digelar sebagai pewaris para Nabi, bahkan pewaris kepada Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- yang merupakan penghulu kepada para Nabi dan yang membenarkan ajaran tauhid para nabi terdahulu.

Apakah ciri-ciri khusus para ulama’ yang diisyaratkan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- dalam hadis “pewaris para nabi” tersebut?

Sebelum itu, fokus yang lebih utama sebagai pendahuluan adalah, keperluan untuk memahami konsep warisan itu sendiri. Warisan itu adalah perpindahan sesuatu antara seseorang kepada pihak lain yang mempunyai hubungan antara kedua-dua pihak tersebut, setelah ketiadaannya.

Sebagai contoh, seorang anak itu adalah pewaris bagi ayahnya begitulah seterusnya kerana mereka mempunyai hubungan kekeluargaan. Maka, dengan hubungan “darah-daging” tersebut, si anak bukan sahaja mewarisi genetik ayahnya, malah turut diberi hak mewarisi harta milik ayahnya selepas kematian ayahnya. Begitu juga hubungan pernikahan. Maka, konsep “warisan” perlu ada beberapa perkara iaitu:

  • Orang yang mewariskan (Al-Muwarris)
  • Orang yang mewarisi (Al-Waris)
  • Barang yang diwarisi
  • Hubungan antara Al-Muwarris dengan Al-Waris

Ilmu Adalah Warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-

Dalam hadis ini, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- menjelaskan bahawasanya, para ulama’ mewarisi ilmu daripada para Nabi. Maknanya, setiap zaman yang mempunyai nabi, maka para ulama’ di zaman para nabi tersebutlah yang akan mewarisi ilmu mereka. Maka, pada zaman Nabi Muhammad -Shollallahu ‘alaihi wasallam-, para ulama’ dari kalangan umat Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- adalah pewaris kepada ilmu Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Dalam riwayat yang lain, hadis para ulama’ pewaris para nabi a.s. itu disambung dengan lafaz:

لَمْ يَرِثُوا دِينَارًا وَلَا دِرْهَمًا , وَإِنَّمَا وَرِثُوا الْعِلْمَ , فَمَنْ أَخَذ به , أَخَذَ بِحَظٍّ وَافِرٍ

Maksudnya: “…Sesungguhnya mereka (para nabi) tidak mewariskan dinar mahupun dirham. Akan tetapi, mereka mewariskan ilmu. Sesiapa yang mengambilny bererti telah mengambil suatu bahagian yang menguntungkan”. [2]

Imam As-Sakhawi menyebut tentang kedudukan hadis ini dalam Al-Maqasid Al-Hasanah secara umumnya:

وصححه ابن حبان والحاكم وغيرهما ، وحسنه حمزة الكتاني ، وضعفه غيرهم بالاضطراب في سنده ، لكن له شواهد يتقوى بها

Maksudnya: “Imam Ibn Hibban, Imam Al-Hakim dan selain kedua-duanya mensahihkan hadis ini. Imam Hamzah Al-Kattani pula menilainya sebagai hasan. Sebahagian ulama’ menilai hadis ini sebagai dha’if kerana ada idthirab dalam sanadnya. Tetapi, bagi hadis ini, ada hadis-hadis sokongan yang mana hadis ini menjadi kuat dengannya.

Maka, kita dapat fahami di sini, konsep warisan ilmu Islam itu adalah seperti berikut:

  • Orang yang mewariskan (Al-Muwarris): Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.
  • (Pewaris) Orang yang mewarisi: Para ulama’
  • Sesuatu yang diwarisi: Ilmu Agama
  • Hubungan antara pewaris dengan orang yang mewarisi: Hubungan/Sanad/Silsilah Talaqqi dan Tahadduth (Sanad Ilmu dan Pembelajaran secara Riwayah dan Dirayah)

Maka, apa yang kita fahami adalah, Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- meninggalkan kepada kita dua sumber kepada ilmu-ilmu agama yang utama iaitulah Al-Qur’an dan As-Sunnah. Maka para ulama’ perlulah berpegang dengan kedua-duanya kerana itulah sumber ilmu yang diwariskan oleh Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam-.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menyebut tentang sumber kepada ajaran agama Islam dan ilmu-ilmu agama dalam hadis:-

إِنِّي قَدْ تَرَكْتُ فِيكُمْ شَيْئَيْنِ لَنْ تَضِلُّوا بَعْدَهُمَا : كِتَابَ اللَّهِ وَسُنَّتِي ، وَلَنْ يَتَفَرَّقَا حَتَّى يَرِدَا عَلَيَّ الْحَوْضَ "

Maksudnya: “Sesungguhnya aku meninggalkan kepada kamu semua dua perkara yang mana kamu semua tidak akan sesat setelah kedua-duanya. Iaitu, kitab Allah dan Sunnahku. Yang mana, kedua-duanya tidak akan terpisah sehinggalah kembali semula kepadaku di telaga khaudh[3]

Berdasarkan hadis ini, Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam menjelaskan kepentingan Al-Qur’an dan As-Sunnah sebagai sumber dalam memahami ajaran agama Islam. Namun begitu, ilmu warisan Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- bukan sekadar berbentuk sumber kepada ilmu-ilmu agama sahaja iaitu Al-Qur’an dan As-Sunnah sahaja. Ia juga merangkumi manhaj sahih dalam memahami kedua-dua sumber tersebut (melalui para sahabat r.a.). Rasulullah -Shollallahu ‘alaihi wasallam- tidak meninggalkan kepada umat Islam hanya teks (nas) Al-Qur’an dan As-Sunnah tanpa meninggalkan manhaj sahih dalam memhami kedua-duanya (Manhaj At-Tafahhum As-Sahih), kerana tanpa memiliki manhaj yang sahih untuk memahami Al-Qur’an dan As-Sunnah, seseorang yang jahil boleh tersesat dan salah faham terhadap Al-Qur’an dan As-Sunnah itu sendiri.

Kita lihat dalam lembaran sirah sendiri, di mana sebahagian para sahabat r.a. tidak dapat memahami teks atau sumber agama secara sahih lalu diterangkan maksudnya yang sahih oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam-. Sebagai contoh, diriwayatkan oleh Adi bin Hatim r.a. yang berkata:

لما نزلت: ))‏الـخَيْطُ الأبْـيَضُ مِنَ الـخَيْطِ الأسوَدِ مِنَ الفَجْرِ))... عمدت إلى عقال أسود وإلى عقال أبيض فجعلتهما تحت وسادتي فجعلت أنظر في الليل فلا يستبين لي فغدوت على رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏فذكرت له ذلك فقال  إنما ذلك سواد الليل وبياض النهار ‏

Maksudnya:  Ketika turun ayat (yang bermaksud): “…Sehingga terang kepadamu benang putih dari benang hitam iaitu fajar…” [Surah Al-Baqarah: 187].

Lalu saya mengambil tali hitam dan digabungkan dengan tali putih, lalu saya letakkan di bawah bantalku. Ketika malam saya sentiasa melihatnya namun tidak jelas bagiku. Pagi harinya, saya pergi menemui Rasululloh Shollallahu 'alaihi wa Salam dan saya menceritakan kepada Baginda Shollallahu 'alaihi wa Salam tentang perbuatanku tersebut. Lalu, Baginda Shollallahu 'alaihi wa Salam bersabda yang bermaksud: “Maksud ayat tersebut adalah hitamnya malam dan putihnya siang[4]


[1] Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Daud (dengan sanad hasan), Imam At-Tirmizi, Imam Ibn Majah, Imam Ibn Hibban dalam sahihnya, Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad (dengan sanad yang hasan) dan sebagainya. Kebanyakan jalan-jalan periwayatan hadis ini melalui Saidina Abu Ad-Darda’ r.a. melalui jalan beberapa tabi’in antaranya Kathir bin Qais (dha’if), Uthman bin Abi Saudah (seorang tabi’in yang thiqah. Imam Abu Daud meriwayatkan hadis ini melalui jalan beliau dengan sanad hasan), Yazid bin Samurah dan ‘Atho’ bin Abdillah (sebagaimana dikeluarkan oleh Imam Al-Khatib Al-Baghdadi dalam Tarikh Baghdad dengan sanad hasan juga).
[2] Hadis diriwayatkan oleh Imam Abu Hanifah dalam Musnadnya riwayat Abu Nu’aim, Imam Ahmad dalam Musnadnya dan Imam Al-Bazzar dalam Musnadnya yang mana semuanya daripada Saidina Abu Ad-Darda’ r.a.
[3] Hadis diriwayatkan oleh Imam Al-Hakim dalam Al-Mustadrak, Imam Malik dalam Muwatho’ dan sebagainya. Walaupun begitu, ada lafaz yang lebih kuat daripada lafaz ini iaitu, dua perkara yang ditinggalkan oleh Rasulullah –shollallahu ‘alaihi wasallam- tersebut adalah kitab Allah s.w.t. dan Ahli Bait Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Tetapi, di sini bukan tempat untuk membincangkannya.

[4]  Hadis riwayat Al-Bukhari (no: 1783) dan Muslim

6.16.2013

Adakah Doa Boleh Mengubah Takdir?



Adakah Doa Boleh Mengubah Takdir?

Soalan:

Kita mengetahui bahawa Qadha Allah s.w.t. akan berlaku dan tiada yang dapat menghalangnya. Namun, dalam beberapa hadis, ada menyebut tentang amal yang seolah-olah boleh mengubah qadha dan ketentuan Allah s.w.t.. Ada hadis yang menyebut tentang doa boleh menolak qadha dan ada juga hadis yang menyatakan bahawa, mentaati ibu bapa boleh menambah rezeki dan umur. Bagaimana untuk memahami hadis-hadis sebegini dengan aqidah Islam?

Jawapan:

Dalam aqidah Islam, ada perkara-perkara yang menjadi usul aqidah, yang berkaitan dengan sifat-sifat ketuhanan Allah s.w.t. yang Maha Sempurna, yang ditetapkan dengan dalil yang kuat dan muktamad, samada dari sudut ketulenan teksnya dan dari sudut kejelasan maknanya. Antara asas aqidah umat Islam yang muktamad dalam bab ketuhanan ialah sifat qudrah (kekuasaan) dan iradah (kehendak) adalah sebahagian dariapda sifat-sifat kesempurnaan Allah s.w.t..

Ia berdasarkan dalil-dalil qat’ie (muktamad) iaitu dari sudut akal yang sejahtera dan dari sudut wahyu yang jelas dan thabit. Jika Allah s.w.t. tidak bersifat dengan kehendak yang menyeluruh dan ada yang boleh mengubah kehendak Allah s.w.t., itu menunjukkan sifat kekurangan, sedangkan mustahil Allah s.w.t. bersifat kekurangan.

Dalil al-Qur’an juga secara jelas menyebut:   (Surah al-Qamar: 49) Dalam hadis sahih juga menyebut tentang keimanan kepada Qadha’ dan Qadar sebagai salah satu daripada rukun iman yang enam. Memang dalam isu qadha’ dan qadar, banyak perkara yang kesamaran. Namun, pendirian para ulama’ salaf adalah untuk meninggalkan perbahasan-perbahasan yang mendalam tentang takdir dan sebagainya. Bahkan, tidak akan berlaku pertentangan antara hadis-hadis yang sahih dengan aqidah Islam dan akal yang sejahtera. Cuma, jika ada kesamaran, ianya perlu kepada pe jelasan dan pentakwilan.

Nas Hadis

Adapun hadis yang menyebutkan tentang doa menolak Qadha’ tersebut adalah sebagaimana diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’e, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak menolak qadha’ melainkan doa dan tidak menambah pada umur melainkan kebaikan.”

Imam al-Mubarakfuri dalam syarahnya terhadap Jami’e Al-Tirmizi ketika membicarakan tentang hadis ini, beliau mengatakan bahawa qadha’ dalam hadis ini adalah majazi (kiasan) kerana di sisi seseorang hamba, apa yang dikhuatiri akan berlaku ke atasnya, dianggap sebagai qadha’ Allah di sisinya. Ini kerana, ketentuan sebenar tersembunyi daripada dirinya. Maka, ketika dia menyangka sesuatu yang buruk akan berlaku ke atasnya, maka dia berdoa kepada Allah s.w.t. agar perkara buruk itu terlepas daripadanya, maka Allah s.w.t. melepaskannya daripada perkara buruk tersebut, maka seolah-olah dia merasa terlepas qadha’ (perkara yang sepatutnya berlaku) daripada dirinya, sedangkan qadha’ yang sebenar di sisi Allah s.w.t. adalah sememangnya tidak akan berlaku perkara tersebut.

Oleh sebab itu, ketika Saidina Umar mengetahui berlakunya penyakit taun di Syam, lalu beliau memilih untuk pulang dan tidak menuju ke sana. Maka Abu ‘Ubaidah bertanya kepada beliau: “Adakah kamu ingin lari daripada Qadha wahai Amirul Mu’minin?”

Lalu, Saidina Umar r.a. menjawab: “Adakah orang sepertimu bertanya soalan sebegini wahai Abu ‘Ubaidah. Memang benar, kita lari daripada Qadha’ Allah menuju Qadha Allah juga.”

Ini menunjukkan kefahaman manusia terbatas tentang ketentuan Allah s.w.t.. Apa yang kita lakukan, kita masih tidak terlepas daripada ketentuan dan qadha’ Allah s.w.t.. Cuma, kita sahaja yang tidak dapat mengetahui hakikat ketentuan Allah s.w.t. ke atas kita, maka selalu kita menyangka perkara yang tidak ditentukan sebagai qadha’ berdasarkan hukum kebiasaan dan ukuran pra sangka kita yang terbatas.

Tujuan Doa

Doa itu adalah suatu ibadah yang mana kita lakukan untuk mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dengan ibadah tersebut. Bahkan, dari sudut yang lain, ianya juga sebagai sebab untuk kita mendapatkan sesuatu, berdasarkan sunatullah. Sebagaimana seseorang itu lapar dan inginkan makanan, maka,pekerjaan harian ialah sebab untuk dia mendapatkan makanan dan makanan adalah sebab untuk dia mendapat kekenyangan. Maka, doa juga adalah sebahagian daripada melakukan sebab untuk mendapatkan sesuatu di samping ibadah kepada Allah s.w.t..

Qadha’ Mubram dan Qadha’ Mu’allaq

Sebahagian para ulama’ membahagikan qadha’ kepada dua bentuk iaitu, Qadha’ Mubram dan Qadha’ Mu’allaq. Adapun Qadha’ Mubram itu ialah ketentuan yang azali yang tidak akan bertukar. Sedangkan, Qadha’ Mu’allaq ialah tulisan yang tertulis dalam catatan para malaikan. Ianya boleh diubah dan Allah s.w.t. Maha Mengetahui samada ianya perkara-perkara tersebut yang tertulis dalam catatan para malaikat, yang mana akan berubah dan yang mana tidak. Itu juga sudah ditentukan sejak azali.

Imam al-Razi juga menjelaskan semacam itu dalam tafsir Mafatih al-Ghaib ketika membincangkan tentang tulisan-tulisan yang boleh berubah dalam kitab, maka kitab atau catatan tersebut ada dua jenis. Pertama, kitab atau tulisan yang tidak boleh berubah iaitu di Luh Mahfuz dan kedua kitab yang boleh diubah iaitu yang di tangan para malaikat.

Wallahu a'lam...