8.20.2013

Pimpinan Tasawwuf dalam Pergerakan Dakwah Islam

Pimpinan Tasawwuf dalam Pergerakan Dakwah Islam


Pengenalan

Ancaman dan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Islam samada setempat atau antarabangsa sememangnya sangat jelas dan nyata. Semakin hari, semakin banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh umat Islam. Maka, keadaan ini turut menyemarakkan lagi usaha-usaha murni dakwah para amilin yang mengambil berat tentang agama Islam dan umatnya.

Khitab Islami (penyampaian ajaran Islam) cuba diketengahkan samada kepada masyarakat Islam yang jahil mahupun kepada orang-orang kafir. Namun, dalam usaha tersebut juga masih timbul beberapa kepincangan terutamanya kesalahan dalam menyampaikan ajaran sebenar Islam dalam masyarakat Islam. Apa yang sebenarnya perlu disampaikan bukanlah "ajaran Islam" berdasarkan pendapat masing-masing, tetapi ajaran murni Islam berteraskan kefahamannya yang sahih. Ukurannya sudah pastilah sumber agama Islam seperti Al-Qur'an, Hadis dan sebagainya serta manhaj majoriti para ulama' (al-sawad al-a'zhom) berinteraksi dengan sumber tersebut serta kefahaman as-sawad al-a'zhom terhadap agama itu sendiri.

Dalam situasi yang lain pula, kepincangan masyarakat Islam turut melibatkan masalah kerohanian dan jiwa. Dakwah semata-mata dengan perkataan tidak banyak membantu dalam menyembuhkan penyakit kerohanian masyarakat Islam ini. Ini kerana, penyakit kerohanian perlu dirawat dengan manhaj tarbawi nabawi iaitu dakwah dengan kalam dan ahwal (keadaan hati).

Para murobbi sufi yang mewarisi manhaj nabawi secara lengkap ini dengan sanadnya yang bersambung secara muktabar adalah ahli-ahli yang berkelayakan utama dalam bidang tarbiah kerohanian umat Islam. Bahkan, ianya sangat perlu kepada masyarakat Islam secara umum dan masyarakat para pendakwah secara khusus.

Imam Hasan Al-Banna r.a.: Seorang Mujaddid Buah Tarbiah Sufiyyah

Al-Imam Hasan Al-Banna adalah antara contoh yang dimaksudkan. Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal dalam keluarga sufi penuh barakah, iaitulah dalam keluarga Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman As-Sa’ati Al-Banna, seorang ulama’ zuhud lagi sufi. Usrah Islamiyyah yang dibentuk oleh bi’ah sufiyyah tarbawiyyah sedikit sebanyak membentuk perkembangan fikrah islahiyyah (minda pengislahan) dalam diri Imam Hasan Al-Banna r.a.. Di awal perkembangan mindanya, Imam Hasan Al-Banna sangat mencintai jau sufi (persekitaran kaum sufi) di tempat beliau. Sehinggalah, beliau mengambil tarbiah sufiyyah secara langsung dengan berbai’ah tarbiah kepada Sheikh Muhammad Abdul Wahab Al-Husofi, anak pengasas al-Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah.

Sheikh Muhamad Abdul Wahab Al-Husofi sangat berperanan dalam membentuk fikrah dansyakhsiyyah (keperibadian) Imam Hasan Al-Banna. Malah, Imam Hasan Al-Banna sendiri menceritakan tentang firasat gurunya terhadap beliau, bahawasanya beliau (Imam Hasan Al-Banna) akan dianugerahkan dengan pengikut yang ramai [rujuk Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah].

Imam Hasan Al-Banna terus membesar dalam persekitaran kesufian yang membawa kepada kefahaman yang tinggi dalam diri beliau dalam mengesan krisis yang berlaku dalam masyarakat Islam secara umum, khususnya di Mesir. Beliau memikirkan pelabagai jalan untuk meluaskan dakwah dan manhaj tarbiah sufiyyah menjangkau sempadan ketariqatan. Oleh yang demikian, pada usia mudanya, beliau menubuhkan cabang dakwah kepada Tariqah Husofiyyah yang dikenali sebagai Jam’iyyah Al-Husofiyyah Al-Khairiyyah yang menyebarkan Tazkiyyah An-Nufus para ulama’ sufi kepada masyarakat umum.

Akhirnya, bagaikan mereka yang kehausan mendapat air, ramai orang dalam masyarakat awam Islam yang pada mulanya menjauhi ajaran Islam, mula berminat dengan dakwah Imam Hasan Al-Banna yang dianggap boleh menyelesaikan kemelut kerohanian mereka khususnya dalam menghadapi hidup yang mencabar. Hal ini menyebabkan Imam Hasan Al-Banna berusaha untuk menggariskan sebuah langkah lebih pro-aktif untuk meluaskan lagi intipati tarbiah sufiyyah dalam bentuk yang lebih umum dan mudah diterima.

Imam Hasan Al-Banna pada awalnya berusaha menyebarkan dakwah sufiyyah tanpa menggunakan nama tariqah sufiyyah tertentu untuk tujuan mendekatkan dua golongan yang saling berjauhan pada ketika itu (Taqrib). Beliau mengasaskan kelompok dan pertubuhan dakwah baruAl-Ikhwan Al-Muslimun yang cuba menyebarkan sudut Tazkiyyah al-Nufus kaum sufi yang sebelum itu disebarkan secara kecil-kecilan.

Namun, Imam Hasan Al-Banna masih berpegang teguh dengan pendiriannya yang jelas, tanpa takut celaan sesiapa, sehingga tetap menisbahkan Al-Ikhwan Al-Muslimun yang mana di sisi beliau adalah Sufiyyah itu sendiri, dengan slogan, Haqiqatuna As-Sufiyyah. Maknanya, intipati di dalam Al-Ikhwan, berdasarkan fikrah asasnya, manhaj tarbawinya dan amal jama’ienya tetap merujuk kepada tradisi kaum sufi terdahulu.

Kita lihat sahaja, bagaimana penggunaan istilah Mursyid digunakan bagi individu yang memimpin Al-Ikhwan Al-Muslimun, menjelaskan sendiri hakikat sebenar Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah sebahagian daripada tradisi dakwah dan tarbiah sufiyyah itu sendiri.

Kalau kita dekati pemikiran Imam Hasan Al-Banna (al-Fikrah al-Bannawiyyah), terlalu banyak fikrah dan tradisi kaum sufi terus beliau pertahankan di sebalik manhaj I’tidal (pertengahan) beliau dalam menghadapi golongan salafi wahhabi khususnya. Dalam usul ‘Isyriin sendiri, Imam Hasan Al-Banna menegaskan beberapa hal seperti kewalian, tawassul dan sebagainya adalah masalah-masalah khilafiyyah yang tidak melibatkan masalah aqidah sama sekali.

Malah, dalam beberapa tulisan beliau, beliau didapati kuat mempertahankan zikir jama’ie (zikir secara berjemaah) yang menjadi tradisi kaum sufi dan Al-Ikhwan yang ditolak oleh sesetengah ahli ilmu di majalah-majalah tempatan. Beliau juga sentiasa terlibat mengadakan majlis Maulidul Rasul dan perarakan sambil membaca qasidah-qasidah memuji Rasulullah s.a.w. sebagaimana tradisi kaum sufi dan sebahagian besar umat Islam amnya [sila rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun oleh Mahmud Abd al-Halim dan sebagainya].

Imam Hasan Al-Banna terus mendekati para ulama’ sufi di Mesir khususnya, untuk mendapatkan nasihat dan bantuan mereka dalam keberkesanan pergerakan dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun. Hubungan para penggerak dakwah Al-Ikhwan yang dipimpin oleh Imam Hasan Al-Banna dengan para ulama’ sufi pada ketika itu menyumbang kepada kejayaan besar dakwah Al-Ikhwan pada ketika itu.

Banyak para ulama’ sufi terlibat secara langsung dengan Al-Ikhwan Al-Muslimun di zaman Imam Hasan Al-Banna As-Sufi, kerana kemesraan beliau dengan kaum sufi amnya, dan para ulama’ sufi khasnya.  Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun sampai ke negara-negara Islam yang lain dengan dasar keterbukaan Imam Hasan Al-Banna yang sangat rapat dengan kaum sufi. Disebabkan kaum sufi sudah berada di negara-negara Islam lain, maka mereka yang terkesan dengan dakwah Imam Hasan Al-Banna membawa manhaj dakwah Hasan Al-Banna ke negara-negara mereka.

Kita dapat lihat antara contoh seperti Sheikh Sa’id Hawwa, seorang ulama’ sufi yang terkesan dengan manhaj dakwah Imam Hasan Al-Banna, akhirnya terlibat secara langsung mengembangkan manhaj dakwah Imam Hasan di Syria.

Setelah dakwah Imam Hasan Al-Banna dan manhaj Al-Ikhwan Al-Muslimun yang diasaskan olehnya dikenali oleh masyarakat Islam di peringkat antarabangsa, ramai orang Islam yang sangat prihatin terhadap kemunduran masyarakat Islam pada ketika itu, mula melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah satu nama “penawar” kepada penyakit masyarakat Islam pada ketika itu.

Setelah berlalunya zaman pimpinan Imam Hasan Al-Banna dan pimpinan Sheikh Umar At-Tilmisani (seorang sufi juga), maka masyarakat Islam kebanyakkanya sudah mula tidak melihat sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun lagi. Sebahagian pemuda dan penggemar bidang dakwah mula melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai suatu Harakah Islamiyyah tanpa melihat sudut Tarbiyyah Sufiyyah di dalamnya. Buku-buku Sheikh Sa’id Hawwa yang menekankan aspek kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun seakan mula tidak mendapat tempat dalam kalangan para pemuda du’at (pendakwah).

Tarbiah Ruhiyyah dan Imaniyyah: Intipati Harakah Islamiyyah

Sewaktu awal penubuhan Al-Ikhwan Al-Muslimun, Imam Hasan Al-Banna menerapkan intipati asas yang telah lama menjadi intipati utama manhaj dakwah sufiyyah iaitulah “Tarbiyyah Ruhiyyah” sebelum perlaksanaan agenda yang lain. Tumpuan sangat diberikan dalam pembentukan keimanan yang murni dan sudut kesempurnaan rohani, kerana ianya merupakan aset terpenting dalam menjayakan usaha dakwah dalam pelbagai sudut kehidupan yang lain.

Hala tuju Al-Ikhwan Al-Muslimun yang menumpukan tarbiah sebagai asas bagi pembentukan kekuatan dalam jemaah adalah hala tuju tariqat-tariqat sufiyyah muhaqqiqin (yang berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) juga sejak zaman berzaman. Maka, persamaan dari sudut keutamaan dalam manhaj dakwah menyebabkan Imam Hasan Al-Banna tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan sudut kesufian yang mendominasi dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Malah, Imam Hasan Al-Banna memastikan sudut tasawwuf dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah tasawwuf yang murni dari sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah orang-orang awam yang menisbahkan diri kepada kaum sufi.

Oleh kerana aspek tarbiah adalah aspek paling utama dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun, sebagaimana dalam manhaj dakwah sufiyyah, maka beliau lebih cenderung menggunakan istilahMursyid bagi kepimpinan dalam Al-Ikhwan kerana ianya lebih merujuk kepada “pembimbing” (murobbi) berbanding “pemimpin” (ra’is). Istilah ini juga diambil daripada tradisi manhaj dakwah sufiyyah.

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi turut menjelaskan hal yang hampir serupa ketika membandingkan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan Al-Jamaah Al-Islamiyyah di India yang diasaskan oleh Sheikh Abu Al-‘Ala Al-Maududi. Beliau berkata:

“Sebenarnya, tiada beza dari sudut tujuan-tujuan antara Al-Ikhwan dan Al-Jama’ah melainkan Al-Ikhwan lebih mementingkan sudut tarbiah sedangkan Al-Jama’ah lebih menumpukan sudut pemikiran. Maka, pengaruh perkembangan rohani lebih kuat dalam Al-Ikhwan… Maka, Al-Maududi lebih sebagai seorang ahli pemikir berbanding seorang murobbi sedangkan Al-Banna lebih sebagai seorang murobbi berbanding seorang ahli pemikir.” [Ummatuna Baina Qarnain: 67]

Pembangunan kerohanian adalah paling utama termasuklah berbanding pembangunan pemikiran walaupun kedua-duanya mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ini kerana, biar secerdas manapun akal seseorang, namun jika hatinya ditawan oleh nafsu, maka hati tidak dapat mengikut ukuran akal tetapi lebih cenderung mengikut hawa nafsu yang menyesatkan.

Sheikh Sa’id Hawwa merupakan antara tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimun yang sangat positif dalam menerapkan seberapa banyak unsur kesufian hakiki dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya melalui kitab beliau Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah.

Dakwah kaum sufi yang asas adalah mengajak manusia kepada merealisasikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan mengenali hakikat kehambaan diri sebenar-benar kenal, lalu melaksanakan tugas kehambaan denga sebaik-baik penunaian sehingga mencapai tahap mengenali ketuhanan Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal (iaitu, menghayati pengaruh Allah s.w.t. dalam kehidupan kita dengan sebenar-benar penghayatan).

Dengan ini akan membentuk suatu individu yang sempurna dalam memahami kehidupan lalu melaksanakan tugasnya dalam kehidupan dengan sebaik-baik perlaksanaan. Maka, ketinggian kerohanian yang diusahakan dalam manhaj tarbiah sufi ini adalah nadi pembentukan masyarakat Islami yang syumul, walaupun tidak disebut secara sistematik. Ia lebih merujuk kepada pembentukan individu muslim yang rabbani (sentiasa mendapat pembukaan dan kefahaman dari Allah s.w.t.) dan memahami kehidupan dengan neraca ta’abbudi (melaksanakan tugas kehambaan).

Imam Hasan Al-Banna sedikit sebanyak menjelaskan konsep yang sama dengan konsep tarbiah sufi ketika menjelaskan tentang Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan berkata:

أخص خصائص دعوتنا أنها ربانية عالمية: أما أنها ربانية فلأن الأساس الذي تدور عليه أهدافنا جميعًا، أن يتعرف الناس إلى ربهم، وأن يستمدوا من فيض هذه الصلة روحانية كريمة تسمو بأنفسهم عن جمود المادة الصماء

Keistimewaan yang paling khusus dalam dakwah kita adalah dakwahnya bersifat rabbaniyyah ‘alamiyyah (menyeluruh). Dakwahnya bersifat rabbaniyyah kerana asas yang menjadi nadi bagi segala tujuan-tujuan kita seluruhnya adalah: agar manusia berusaha untuk mengenal Tuhan mereka, lalu terpancar daripada limpahan hubungan ini (hubungan kehambaan antara hamba dengan Tuhannya) kerohanian yang mulia yang meninggikan jiwa mereka daripada kejumudan kebendaan yang buta (tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat dari sudut hakikatnya)…” [Dinukilkan oleh Ustaz Muhammad Mahdi ‘Akif, Mursyidul Am Ikhwan terkini dalam Ikhwanonline.com].

Ini jelas menunjukkan keistimewaan dakwah dan tarbiah sufi yang bersifat Rabbani lagi ‘Alami berdasar seringkas-ringkas perkataan kerana sebaik-baik perkataan adalah, apa yang paling sedikit ungkapannya tetapi banyak (mendalam) maksudnya. Imam Hasan Al-Banna hanya mensyarahkan manhaj dakwah dan tarbiah kaum sufi lalu menggunakan istilah moden seperti ‘Alami, syumuli dan sebagainya sedangkan makna daripada istilah-istilah itu sudah lama wujud dalam dakwah dan tarbiah sufi.

 Kepentingan Mengambil Tarbiah daripada Ahl-Tarbiah (Sufiyyah)

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ketika menjelaskan tentang Tajdid, beliau menjelaskan antara agenda tajdid yang paling penting adalah Tajdid Imani (pembaharuan dari sudut keimanan). Ketika menjelaskan tentang Tajdid Imani yang sangat penting dalam kesempurnaan perlaksanaan tajdid dalam bidang-bidang yang lain, Dr. Al-Qaradhawi menjelaskan tentang kepentingan tasawwuf dalam proses Tajdid Imani ini. Namun, tasawwuf yang dimaksudkan menurut beliau adalah tasawwuf yang murni daripada sebarang khurafat dan penyelewengan. [rujuk Min Ajli Shohwah Rasyidah]

Ilmu Tasawwuf  itu sendiri berdasarkan penjelasan dan perlaksanaan para ulama’ sufi muhaqqiqin, sememangnya adalah sesuatu yang murni. Tidak ada ilmu tasawwuf  Islam yang tidak murni, sebagaimana tidak ada ilmu fiqh Islam yang tidak murni. Apa yang tidak murni adalah amalan sesetengah orang awam yang bercanggah dengan maqasid dan prinsip ilmu tasawwuf yang asal itu, bukan ilmu tasawwuf itu sendiri. Sebagaimana, munculnya golongan yang salah dalam memahami fiqh lalu salah dalam mempraktikkan fiqh Islami, tidak membawa kepada adanya fiqh Islam yang murni dengan yang tidak murni. Fiqh Islami itu sendiri adalah fiqh yang murni sedangkan yang tidak murni itu bukan fiqh, tetapi orang yang mengamalkannya. Tidak boleh menisbahkan kesalahan sesetengah golongan kepada ilmu asalnya yang sememangnya murni.

Ibn Taimiyyah sendiri antara ungkapannya, beliau berkata:

“Dia (seorang sufi) pada hakikatnya adalah suatu golongan daripada golongan al-Siddiqin. Seorang sufi itu seorang al-Siddiq (benar dalam beribadah) dalam pengkhususan seperti zuhud dan ibadah dari sudut ijtihad mereka padanya. Maka seorang sufi itu Siddiq dalam kelompok jalan (ibadah ini)… Boleh jadi golongan sufi adalah seagung-agung siddiqin pada zaman mereka dan sesempurna siddiqin pada zamannya. Adapun, Siddiq pada zaman yang awal (salaf) lebih sempurna daripada siddiq zaman seterusnya.” [Majmu’ Fatawa 11/16]

Beliau berkata lagi:

“Kemudian mereka (para ahli ilmu) samada melaksanaka zahir syariat semata-mata seperti ahli hadith secara gambaran umum dan orang-orang beriman yang dari sudut ilmu hanya sekadar martabat ahli ibadah yang beramal dengan zahir semata-mata, ataupun (para ahli ilmu itu) mengetahui akan makna-maka (kehambaan di sebalik ibadah zahir) lalu mengenalinya (makna dan hakikat syariat). Maka mereka (yeng mengenali makna hakikat amalan zahir, bukan semata-mata mengamalkan zahir syariat tanpa penghayatan) dari sudut keilmuan adalah sebagaimana golongan sufi yang syar’ie (melaksanakan syariat). Maka, mereka (para sufi yang syar’ie tersebut) adalah ulama umat Muhammad yang sebenar-benarnya. Malah, merekalah semulia-mulia makhluk, sesempurna makhluk dan paling tepat jalan mereka menuju Allah s.w.t.. Wallahu a’lam.” [Majmu’ Fatawa 20/63]

Seseorang yang menghidap penyakit kronik sudah tentu lebih selesa dan lebih tenang untuk berjumpa dengan seorang doktor yang pakar dalam bidang kedoktoran untuk mengambil proses penyembuhannya, berbanding berjumpa bomoh-bomoh yang tidak mempunyai pengiktirafan khusus dalam bidang kedoktoran, walaupun tidak mustahil kaedah sesetengah tabib tradisional kadang-kadang lebih mujarrab daripada kaedah perubatan moden. Apatah lagi hendak berjumpa dengan pengaku-pengaku sebagai tabib padahal tidak mempunyai latar belakang pendidikan kedoktoran dan tibb, jauh sekali seseorang itu hendak bertemu dengan mereka untuk tujuan rawatan.

Bagaimana dalam masalah penyakit jasmani sahaja, kita mencari seorang doktor yang pakar sedangkan dalam penyakit rohani, cukup sekadar membaca buku-buku untuk merawatinya? Sedangkan, para ulama’ dan murobbi sufi mempunyai pengiktirafan dalam keahlian mereka untuk merawati penyakit hati (dengan bantuan Allah s.w.t.) yang mana silsilah izin tarbiah itu bersambung sampai para murobbi salafus-soleh.

Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan pengambilan tarbiah daripada para murobbi sufi yang sememangnya ahli dalam bidang tarbiah, untuk menyempurnakan manhaj tarbiah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun.

Imam Hasan Al-Banna menceritakan kepentingan dan keagungan manhaj tarbiah kaum sufi dengan berkata:

“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).” [Muzakkirat Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah]

Dalam muktamar Islami Pertama, Imam Hasan Al-Banna juga ada menyebutkan antara jalan untuk mencapai ketinggian dalam bidang ilmu dan budaya umat Islam adalah:

وترى الجمعية أن من أهم الوسائل تربية الوعاظ تربية دينية عملية تكون أشبه بتربية الصوفية المحققين فى الجمع بين العلم والعمل

Jam’iyyah (Al-Ikhwan Al-Muslimun) mendapati bahawasanya, antara jalan terpenting dalam tarbiah para pendakwah adalah tarbiah keagmaan amali (praktikal) yang mirip dengan tarbiah sufiyyah yang muhaqqiqin dalam menggabungkan Ilmu dan Amal…

Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna sendiri sangat tekun dalam mengeratkan hubungan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan para masyaikh sufi dan para murobbi mereka.

Dakwah Harakiyyah Adalah Dakwah Sufiyyah

Sesuatu yang menjadi kealpaan sesetengah pihak adalah, mereka tidak melihat dakwah harakiyyah sebagai suatu intipati dalam dakwah sufiyyah yang sebenar, berdasarkan catatan sejarah umat Islam. Setiap peringkat zaman, tarbiyyah sufiyyah melahirkan individu-individu atau kelompok yang terlibat dalam dakwah, islah dan tajdid masyarakat Islam.

Namun, rahsia keagungan dakwah sufiyyah antaranya ialah, memberi pengaruh positif dalam masyarakat tanpa berlaku pertembungan antara dakwah dengan masyarakat. Pengaruh dakwah sufi dalam masyarakat Islam awam bagaikan air yang meresap dengan penuh ketenangan lalu menghilangkan dahaga orang-orang yang haus. Ianya lebih kepada asimilasi yang positif dan mudah diterima.

Bayangkan, bagaimana kaum sufi khususnya dari kalangan para haba’ib yang datang dari Hadramaut membentuk suatu perubahan sosial dan aqidah dalam masyarakat Nusantara yang pada ketika itu dipengaruhi agama Hindu dan Buddha. Oleh kerana itulah, penulis bersetuju dengan Prof. Dr. Abdul Majid As-Shaghir yang menyimpulkan bahawasa, Sufiyyah ialah Dakwah, bukan Muwajahah (pertembungan melawan arus) [rujuk At-Tasawwuf Dakwah La Muwajahah].  Inilah rahsia di mana Rasulullah s.a.w. itu sebagai rahmatan lil ‘Alamin yang menjadi asas dakwah Baginda s.a.w., yang lebih mempengaruhi secara damai, bukan secara kekerasan.

Pada sudut pendekatan Rahmat dalam kesufian dan tarbiah sufi inilah, menjadi modal untuk para musuh tasawwuf mengkritik kaum sufi samada dari pihak orientalis mahupun murid-murid mereka dari dalam umat Islam. Padahal, mereka membutakan mata daripada keterlibatan sebahagian kaum sufi dalam jihad melawan musuh-mush dan dakwah ke serata dunia. Ini kerana, pendekatan Rahmatan lil ‘alamin  (atau berlembut) justeru adalah suatu kelembutan yang bertempat, bukan dengan bererti kemalasan dan meninggalkan amal.

Dakwah itu lebih umum daripada Muwajahah (pertembungan). Ini kerana, dakwah itu merangkumi kelembutan, toleransi, keterbukaan, kesederhanaan dan sebagainya berbanding muwajahah yang mempunyai sudut kekerasan semata-mata. Dakwah juga tidak mengabaikan sudut muwajahah (pertembungan) tetapi bila ianya diperlukan sahaja, bukan pada setiap waktu. Inilah cerminan daripada dakwah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. yang mana mereka memiliki pedang masing-masing (sentiasa bersedia untuk muwajahah) tetapi lebih banyak menyimpannya di dalam sarung berbanding menghunuskannya. Asal dakwah itu sendiri adalah perdamaian, bukan pertembungan melainkan jika diperlukan.

Mengenai manhaj haraki, apabila kita membaca kitab Al-Risalah Al-Qusyairiyyah, salah satu rujukan utama dalam ilmu tasawwuf, istilah pergerakan juga sudah dikenali oleh kaum sufi di zaman beliau. Istilah yang mereka gunakan adalah: “Al-Harakah padanya barakah” yang bermaksud: pergerakan itu padanya keberkatan. Ini menunjukkan galakan para ulama’ sufi untuk kaum sufi bergerak dalam membawa risalah Islam dan tarbiyyah ruhiyyah dalam masyarakat.

Harakah Islamiyyah Perlu Kepada Tarbiah Sufiyyah Muhaqqiqin

Sebagaimana pemimpin utama pertumbuhan gerakan-gerakan Islam di dunia Islam, iaitu Imam Hasan Al-Banna, melihat kepentingan tarbiah sufiyyah dalam menjayakan dakwah yang murni, maka saya sendiri melihat kepentingan yang sama. Kerjasama antara para murobbi sufi dengan para petugas pendakwah jemaah dakwah perlu dieratkan. Ini kerana, dalam tarbiah sufiyyah mempunyai intipati terpenting dalam pembentukan kerohanian seseorang manusia. Ia disaksikan oleh catatan sejarah umat Islam sejak zaman berzaman.

Sekurang-kurangnya, individu-individu yang terlibat dalam dakwah perlu mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi yang muhaqqiqin atau bersahabat dengan mereka sebagaimana dilakukan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayubi dan Imam Hasan Al-Banna, dua individu yang paling berpengaruh dalam zaman masing-masing.

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:

“Apa yang saya dapati daripada pengalaman sendiri dan berdasarkan kebiasaan turun ke lapangan bersama orang-orang awam mahupun ahli ilmu, bersama orang-orang yang lalai, bersama orang-orang yang terlibat dalam jemaah-jemaah Islam yang pelbagai dan sebagainya, bahawasanya mereka semua memerlukan kepada tarbiah iman yang benar untuk menyucikan hati mereka daripada cinta kepada dunia, daripada cintakan nafsu diri, yang mampu membawa mereka kepada Allah sw.t., yang mampu membebaskan manusia daripada kehambaan kepada kebendaan, nafsu dan khayal agar mereka berpegang dengan kehambaan hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata yang mana ianya dapat menyucikan akal mereka daripada syirik, hati mereka daripada nifaq, lidah mereka daripada dusta mata-mata mereka daripada khianat, perkataan-perkataan mereka daripada kelalaian, ibadah mereka daripada riya’, muamalah mereka daripada tiput dan kehidupan mereka daripada pertembungan (dengan nafsu). [Muqoddimah dalam Al-Hayah Al-Ruhiyyah wa Al-‘Ilm]

Beliau berkata lagi:

(Setelah menyebut beberapa aspek keperluan seperti penyucian jiwa dan sebagainya lalu beliau berkata: “Inilah dia kesimpulan daripada ilmu tasawwuf…” [ibid]

Konsep Suhbah (Persahabatan) dalam Tarbiah Sufiyyah

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata:

إننا نريد التصوف السني الملتزم بالنهج القرآني النبوي المتوازن، والذي يعنى بـ (تقوى القلوب) قبل (أعمال الجوارح) وبروح العمل قبل صورته… ويعنى بعلاج أمراض القلوب وسد مداخل الشيطان إليها، وجهاد أهواء النفس حتى تتهذب أخلاقها، وتتحلى بالفضائل، وتتخلى عن الرذائل.

Maksudnya: “Kita mahukan tasawwuf sunni yang berpegang dengan manhaj Al-Qur’ani An-Nabawi (Al-Qur’an dan As-Sunnah)  yang seimbang, iaitu yang membawa kepada taqwa hati sebelum beramal dengan anggota zahir, dan membentuk roh amal sebelum zahirnya… Tasawwuf yang membawa kepada penyucian penyakit hati, menutup pintu-pintu syaitan, kaedah mujahadah melawan hawa nafsu agar dapat membentuk akhlak dan sifat yang mulia dan membuang akhlak yang tercela.” [Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah, m/s: 25]

Tarbiah Sunniyyah bukan sekadar menggunakan Al-Qur’an dan As-Sunnah semata-mata, tetapi ditarbiah oleh seorang murobbi yang dapat dijadikan qudwah hasanah (contoh yang baik). Cuba fahami sejarah dari pelbagai sudut. Lihatlah bagaimana peranan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang murobbi dalam masa dua puluh tiga tahun. Bagaimana kita lihat dalam sirah Baginda s.a.w., para sahabat lebih banyak mengambil manfaat daripada Rasulullah s.a.w. melalui qudwah dan mahabbah Baginda s.a.w. kepada mereka.

Kalau bukan kerana proses tarbiah dan qudwah ini, maka, tidak perlu tempoh masa yang lama. Tetapi, Rasulullah s.a.w. lebih banyak mempengaruhi akhlak para sahabat r.a. melalui akhlak Baginda s.a.w.. Proses qudwah adalah proses mempengaruhi seseorang secara halus. Oleh kerana itulah, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawasanya agama seseorang itu mengikut temannya. Proses suhbah sangat memberi pengaruh yang besar dalam diri seseorang.

Konsep dan manhaj suhbah inilah yang diteruskan oleh para ulama’ sufi yang mana mereka warisi dari generasi ke suatu generasi di mana silsilah warisan suhbah ini sampai kepada para murobbisalafus-soleh. Akhlak itu justeru suatu “pengaruh dalaman” (Ta’sir Dakhili) daripada seseorang kepada seseorang, bukan daripada buku. Ia adalah hubungan antara rohani dengan rohani.

Para ulama' sufi muktabar dari serata dunia mempunyai peranan dan pengaruhnya yang tersendiri dalam kebangkitan umat Islam dalam kembali kepada corak kehidupan beragama. Dakwah dan tarbiah mereka merentasi sempadan tempat kerana kefahaman mereka terhadap risalah dakwah yang mereka pikul di bahu mereka. Antara tokoh-tokoh sufi yang giat berdakwah pada masa kini adalah seperti Sayyidi Sheikhna As-Sheikh As-Syarif Yusuf Al-Hasani (berdakwah sehingga ke Kanada dan sebagainya), Sheikh Abd al-Qadir al-Sufi, Sheikh Al-Habib Umar, Sheikh Al-Habib Ali Al-Jifri, Sheikh Ben Bayyah dan sebagainya yang mana mereka terlibat dalam dakwah kepada masyarakat Islam terutamanya dalam bidang tarbiah kerohanian. Semoga Allah s.w.t. memelihara kesinambungan ini dalam memelihara perjuangan dan dakwah para muslimin. Amiin...

Wallahu a'lam

11 Mac 2011, Putrajaya

8.16.2013

Antara Ilmu dan Makrifat



Antara Ilmu dan Makrifat


Dalam bahasa Melayu, ilmu sendiri digunakan seerti dengan pengetahuan, kepandaian dan sebagainya. Ia sememangnya berasal dari bahasa Arab lalu digunakan sebagai kalimah dalam bahasa Melayu juga.

Para ulama’ berbeza pendapat dalam memberi definisi terhadap ilmu. Bahkan, ada yang mengatakan bahawanya, ia tidak boleh didefinisikan sama sekali. Namun, kita tidak perlu masuk ke dalam perbahasan-perbahasan mendalam dan perselisihan mengenai definisi ilmu tersebut. Apa yang dipegang oleh ramai para ulama’ dan menjadi suatu definisi yang muktabar adalah: Dapatan yang kukuh lagi tetap (al-Idrak al-Jazim) yang bersesuaian dengan realiti berasaskan dalil.

Perbezaan Antara Ilmu dengan Makrifat

Dalam tradisi Islam, ilmu dan makrifat (al-Ma’rifah) mempunyai perbezaannya. Sebahagian ulama’ membezakan ilmu dengan makrifat dari sudut bahawa, ilmu itu tidak didahului oleh kejahilan sedangkan makrifat itu didahului oleh kejahilan. Namun, perbezaan ini tidak tepat kerana ilmu bagi manusia dan makhluk memag bersifat didahului oleh kejahilan. Maka, ilmu dan pengenalan (makrifat) digunakan secara sama.

Menurut Sheikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah al-Maidani:

Ma’rifah (pengetahuan) adalah apa sahaja dapatan (idrak) bagi imej benda-benda, sifat-sifatnya, ciri-cirinya atau tanda-tandanya, ataupun makna-makna yang tersendiri, samada ianya betul-betul ada di luar minda ataupun tidak.

Maka, Ma’rifah yang sempurna ialah, dapatan itu bersesuaian pula dengan perkara yang didapati itu dari sudut realiti perkara tersebut, samada imejnya, sifatnya, ciri-cirinya, tanda-tandanya, ataupun kewujudan atau ketiadaannya, hak atau batil, ataupun sebagainya yang berkaitan dengan sesuatu tersebut.”[1]

Sedangkan ilmu pula adalah: “Dapatan sesuatu atau makna mengikut apa yang sebenarnya ia pada realitinya.” Dengan definisi ini, ianya hampir sama dengan makna Ma’rifah. Itulah yang berkembang dalam tradisi Islam silam.


Cuma, dalam tradisi ilmu tasawwuf, makrifat digunakan secara khusus iaitu dalam mengenal Allah s.w.t. dan hakikat diri. Maka, makrifat ini lebih halus dan lebih tinggi berbanding perkataan ilmu yang bersifat umum, kerana makrifat itu adalah ilmu mengenai hakikat diri dan ilmu mengenai hakikat Tuhan. Oleh yang demikian, para ulama’ tasawwuf menggelar mereka yang mencapai kemuncak penguasaan dalam ilmu tasawwuf dan ketuhanan sebagai al-Arifin atau mereka yang mengenal.

Lafaz ilmu berkembang dalam peredaran zaman. Dalam tradisi Barat, ilmu dikenali sebagai knowledge atau science. Namun, pada kurun ke-19, dunia Inggeris terutamanya, membataskan kalimah science kepada ilmu Sains sahaja, atau ilmu-ilmu yang bersifat kebendaan dan boleh dikaji di makmal. Atau, dalam erti kata yang lain, pada kurun ke-19, knowledge dengan science sudah digunakan secara berbeza, kerana kalimah science merujuk kepada ilmu khusus tentang ilmu atau maklumat yang didapati melalui metodologi saintifik yang merangkumi fizik, kimia, geologi dan biologi.

Bahkan, dalam penggunaan bahasa Melayu juga, ada yang membezakan antara ilmu dengan pengetahuan. Ia kembali kepada dua jenis pengetahuan bagi manusia iaitu: [2]

1)      Pengetahuan Biasa (ordinary knowledge) iaitu pengetahuan tentang hal-hal seharian yang biasa seperti memasak dan sebagainya.

2)      Pengetahuan Ilmiah (scientific knowledge) iaitu pengetahuan yang tersusun atau sistematik, serta mempunyai kaedah atau metodologi tertentu , yang mana ia dapat disebut sebagai ilmu.

Dalam pandangan Islam, ilmu yang berkembang melalui metodologi saintifik, yang menjelaskan tentang alam persekitaran, walaupun ianya mempunyai nilai maklumat, tetapi tidak lengkap kerana ilmu dalam pandangan Islam lebih bersifat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan menambah keimanan dan pengetahuan tentang Allah s.w.t.. Ia disebut sebagai ilmu yang bermanfaat.



[1] Sheikh Abd al-Rahman Hasan Habannakah, Dhowabit al-Ma’rifah, Dar al-Qalam, Damsyiq, Syria, cetakan  m/s: 123

[2] Dr. Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, m/s: 85. Pustaka Ilmi, Batu Caves Selangor, Cetakan Pertama 2002.

8.12.2013

Cabaran terhadap Aqidah Umat Islam dan Keperluan kepada Ilmu Kalam



Cabaran terhadap Aqidah Umat Islam dan Keperluan kepada Ilmu Kalam

Oleh:
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari


Pendahuluan: Kepincangan dalam Bidang Aqidah

Kita sebagai individu-individu dalam sebuah masyarakat Islam di era globalisasi ini sememangnya mengakui bahawa, cabaran yang di hadapi oleh umat Islam semakin hari semakin sukar. Umat Islam berdepan dengan pelbagai bentuk ancaman terutamanya ancaman dari sudut aqidah, bahkan ianya merupakan ancaman yang terutama bagi umat Islam. Isu Syiah dan sebagainya merupakan suatu isu yang lama, tetapi dihadapi oleh generasi umat Islam yang baharu, yang tidak bersedia untuk menghadapinya.

Perpecahan dan penyelewengan dalam bidang aqidah dibahaskan sejak kurun ketiga Hijrah lagi, bahkan pada kurun keempat Hijrah, Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari r.a. (260-324 H/874-936 M) telah menyusun kitab berjudul Maqalat al-Islamiyyin, sebuah buku yang membahaskan tentang kelompok-kelompok yang menyeleweng daripada aqidah Islam yang sahih, dalam masyarakat Islam sendiri. Kita dapati, sekurang-kurangnya, sejak itulah, para ulama’ Islam sudah mula peka terhadap kepincangan aqidah dalam kalangan umat Islam. Tambahan pula, Imam al-Ash’ari (m: 324 H) sendiri mempunyai pengalaman peribadi dalam berinteraksi dengan kelompok sesat ini dari dalam, kerana pernah terpengaruh dengan fahaman Mu’tazilah.

Kepincangan dalam bidang Aqidah ini sentiasa berlaku dan berterusan sehinggalah zaman ini. Namun, dalam perkembangan semasa, di hadapan gelombang cabaran yang lebih bahaya dan berleluasa, umat Islam jauh daripada sumber kekuatannya yang utama, iaitu ilmu metodologi yang sempurna untuk menghadapi fahaman-fahaman menyeleweng ini. Para ulama’ silam telah mewariskan kepada kita manhaj yang muktabar dalam menghadapi cabaran bidang aqidah ini, serta persediaan yang mantap dalam diri individu muslim bagi penguasaan ilmu aqidah Islam yang sempurna.

Malangnya, sejak beberapa kurun terakhir ini, umat Islam selain disibukkan dengan budaya penguasaan ilmu yang tidak mengikut keutamaannya, dalam bidang ilmu agama sendiri, mereka disibukkan dengan kritikan-kritikan tidak berasas terhadap kaedah pembelajaran ilmu aqidah Islam warisan yang muktabar iaitu ilmu kalam. Ketika golongan ilmuwan dalam masyarakat Islam terpecah kepada dua kelompok secara ketara, iaitu golongan ilmuwan bidang ilmu keduniaan dengan golongan ilmuwan bidang ilmu keagamaan, malah golongan ilmuwan bidang ilmu keagamaan pula, ramai dalam kalangan mereka, bersikap menjauhi ilmu kalam, bahkan ada yang memandang dan berpandangan negatif terhadapnya.

Zaman sekarang suatu zaman yang sudah tidak ada masa lagi padanya untuk menunjukkan kehandalan keilmuan dan mendabik dada, umpama kambing menanduk gunung. Apa ingin dipertahankan dalam memerangi ilmu kalam warisan para ulama’ Islam silam yang muktabar dan dipegang oleh majoriti ulama’ Islam ini, iaitu metodologi Asy’ari dan Maturidi dalam bidang aqidah? Bukanlah seseorang itu menjadi seorang yang beraqidah salaf dengan memerangi metodologi ini, bahkan kedua-duanyalah sudah terbukti sebagai penerus kepada aqidah umat Islam salaf soleh sejak zaman berzaman, dalam pendekatan yang bersesuaian dengan cabaran semasa.

Bagaimana kita menggunakan ijtihad para ulama’ terdahulu lalu mengabaikan ijtihad para ulama’ kemudian tentang sesuatu pendekatan, sedangkan ulama’ kemudian lebih memahami cabaran semasa yang dihadapi? Seseorang tidak sewajarnya menghimpunkan perkataan-perkataan sebahagian ulama’ salaf yang mengkritik ilmu kalam, semata-mata untuk menolak ilmu kalam versi Asy’ari dan Maturidi yang diterima oleh majoriti ulama’ selepas zaman tersebut sehingga hari ini. Sedangkan, ilmu kalam yang dikritik oleh salaf tersebut sendiri, tidak ada kaitannya dengan ilmu kalam versi Asy’ari dan Maturidi.

Perkembangan Pendekatan dalam Bidang Aqidah

Perkara yang perlu disepakati bersama, agar tidak lagi berleluasanya perpecahan dalam umat Islam atas nama ahli sunnah ialah, perbezaan sebenarnya adalah tentang pendekatan, bukan tentang intipati aqidah. Tidak ada bezanya ajaran mazhab al-Ash’ari dalam aqidah yang akhirnya dikenali sebagai ‘ilmu sifat 20’ dengan aqidah salaf soleh. Bahkan, mazhab al-Ash’ari dan al-Maturidilah penerus aqidah salaf dalam pendekatan yang sesuai dengan cabaran umat Islam semasa, sebagaimana mazhab al-Hanafi, al-Maliki, al-Syafi’e dan al-Hanbali adalah penerus kepada fiqh salaf soleh dalam pendekatan yang sesuai dengan cabaran umat Islam semasa.

Maka, tidak usah terpedaya dengan agenda mempertembungkan mazhab al-Ash’ari atau ilmu kalam dengan aqidah salaf, kerana sejak kemunculan golongan yang menjulang agenda ini, hanya mazhab al-Ash’ari dan al-Maturidi (di samping sebahagian Hanabilah) sahaja yang dikenali sebagai aqidah ahli sunnah wal jamaah penerus aqidah salaf yang sahih. Pendekatan dan kaedah dalam sesuatu bidang ilmu agama berkembang sesuai dengan cabaran semasa dan ia akan terus berkembang. Hambatan dan tentangan terhadap metodologi dan pendekatan ilmiah yang berkembang lalu berusaha untuk mengembalikannya kepada pendekatan lama adalah suatu usaha yang hanya dilakukan oleh mereka yang jahil tentang sejarah perkembangan ilmu. Seumpama, seseorang yang tidak mahu membaca al-Qur’an daripada mashaf moden lalu ingin menggembalikan tulisan al-Qur’an seperti dahulu, tanpa titik pada huruf-huruf tertentu dan sebagainya. Atau, seseorang yang berusaha menghapuskan ilmu Usul Fiqh atas alasan syariah zaman para sahabat r.a. tidak menggunakan ilmu Usul Fiqh, maka kita juga tidak perlu menggunakannya juga.

Kita fahami bahawa, sejak kemunculan fahaman-fahaman sesat ini, ramai daripada para ulama’ Islam salaf bersikap menjauhi perbahasan mengenainya bahkan menjauhkan murid-murid mereka daripada membahaskan tentang kepincangan fahaman-fahaman tersebut. Bahkan, istilah-istilah tertentu yang pada asalnya tidak mempunyai masalah, ketika berkembangnya fahaman sesat ini, maka istilah-istilah tersebut mula dijauhkan oleh para ulama’ daripada golongan awam. Sebagai contoh, sebagaimana sikap Imam Malik bin Anas r.a. (93-179 H/711-795 M) ketika ditanya tentang istiwa’ dalam al-Qur’an, yang mana pada asalnya istilah tersebut tidak ada masalah di sisi salaf terdahulu, tetapi pada masa berkembangnya fahaman Tajsim dan golongan Mujassimah, dan istilah itulah antara istilah yang menjadi punca kesesatan mereka, disebabkan salah faham mereka terhadap istilah tersebut, maka Imam Malik r.a. menjawab bahawasanya, bertanya mengenainya adalah bid’ah.

Padahal pertanyaan mengenai Istiwa pada asalnya bukanlah bid’ah, tetapi dalam suasana fitnah sebegitu, pertanyaan mengenainya selalunya disebabkan oleh dorongan ke arah ingin membahaskan masalah-masalah ilmiah dalam bidang aqidah yang tidak sesuai oleh orang yang bertanya tersebut. Ini kerana, dalam banyak-banyak soalan, mengapa soalan itu yang ditanya oleh orang tersebut, di saat kalimah itu menjadi faktor pula kepada kegelinciran golongan Mujassimah. Jika kita lihat, ianya lebih kepada pendekatan para ulama’ zaman tersebut, bersesuaian dengan keperluan masyarakat tersebut. Tambahan pula, di persekitaran tempat Imam Malik r.a. pada ketika itu, iaitu di Madinah, suasana aqidah masyarakat Islam di sana masih lagi harmoni, tidak ketara kepincangannya seperti di tempat-tempat lain seperti di Baghdad, Basrah, Kufah, Naisabur dan sebagainya.

Jika kita lihat suasana di negara-negara yang lain, kita dapati, Imam Al-Hasan Al-Bashri (w: 110 H) antara tokoh terawal yang terlibat dalam mengembangkan ilmu aqidah Islam dan mempertahankannya daripada fahaman yang sesat menerusi perbahasan-perbahasan aqli. Begitu juga, sebahagian golongan ahli ra’yi seperti Imam Abu Hanifah r.a. (w: 150 H) berjaya membuat kesimpulan asas yang bernas dalam bidang aqidah dengan menggunakan naqli dan aqli secara seimbang sebagaimana boleh didapati dalam kitab Al-Fiqh Al-Akbar. Kemudian, ianya diteruskan oleh murid kepada murid beliau iaitulah Imam At-Thohawi r.a. (227/8-321 H) dalam Risalah Aqidah (Aqidah Tohawiyyah) beliau yang masyhur. Imam Abu Al-Harith Al-Muhasibi (165-243 H) juga berperanan dalam menyemarakkan perkembangan ilmu aqli dengan menulis sebuah risalah ringkas berjudul Mahiyyah Al-Aql.

Kemuncaknya ialah pada kurun ketiga hijrah. Imam Abu al-Hasan al-Ash’ari r.a. (260-324 H/874-936 M), seorang ulama’ keturunan seorang sahabat yang mulia, Saidina Abu Musa al-As’yari r.a., lahir di kota Basrah dan membesar di Baghdad, dua kota keilmuan dan pertembungan pemikiran. Beliau hidup dalam suasana yang berbeza berbanding para ulama’ salaf sebelumnya, dan dalam susana masyarakat yang juga berbeza berbanding generasi sebelumnya,

Beliau membesar sebagai seorang yang bermazhab Mu’tazilah dari sudut aqidah, di bawah didikan dan asuhan Abu Ali al-Jubba’ie (m: 303 H/916 M). Akhirnya, beliau meninggalkan mazhab tersebut dan mengikut aqidah ahli sunnah wal jamaah yang mana pada ketika itu dikembangkan oleh Imam Abdullah bin Sa’id ibn Kullab (m: 240 H) dan Imam Ahmad bin Hanbal (164-241 H/780-855 M). Pada awalnya, beliau mengarang kitab Al-Ibanah, yang mana dikatakan pendekatan tulisan beliau ke seperti metodologi yang digunakan oleh Imam Ahmad bin Hanbal r.a., terutamanya ketika menolak fahaman Mu’tazilah.

Namun, dalam perkembangan seterusnya, beliau mengarang kitab al-Luma’ yang menggunakan pendekatan gabungan antara penggunaan nas wahyu dan kaedah akal yang sejahtera. Ia merupakan suatu pendekatan yang wajar dan sempurna, bagi menghadapi dua bentuk penyelewengan, iaitu golongan literalis (zhohiriyyah) dan golongan Mu’tazilah yang berlebih-lebihan dalam menggunakan akal. Pendekatan ini dalam bidang aqidah dikenali sebagai pendekatan ilmu Kalam, yang mana ianya diakui kepentingannya sendiri oleh Imam al-Ash’ari dalam penulisan beliau berjudul Risalah fi Istihsan al-Khaud fi ‘Ilm al-Kalam.

Oleh yang demikian, Imam al-Ash’ari dinilai sebagai seorang ulama’ Mujaddid pada zaman beliau, kerana sumbangan beliau yang memberi kunci penyelesaian terhadap kemelut masyarakat Islam, iaitu kepincangan dari sudut aqidah. Sebagaimana, Imam al-Syafi’e sebelumnya, yang bukan sekadar mengembangkan ilmu fiqh seperti para imam Mujtahid sebelum beliau, tetapi beliau turut menyusun kitab al-Risalah yang membahaskan asas-asasdan kaedah penggalian hukum dan memahami nas-nas hukum lalu merintis ilmu Usul Fiqh.

Ilmu Kalam Selepas Zaman Imam Al-Ash’ari

Sheikh Ibn Khaldun, seorang ahli sejarah Islam yang terkenal pernah menyebut:

(Ilmu Kalam) ialah ilmu yang mengandungi hujah-hujah terhadap aqidah-aqidah yang dipercayai dengan bukti-bukti secara Aqliyyah (pembuktian secara logikal)  dan menolak golongan bid’ah yang terpesong daripada aqidah salaf dan ahlus-sunnah[1]

Jika kita membuka kitab-kitab sejarah Islam, kita dapati, para ulama’ Islam yang mengembangkan mazhab al-Ash’ari dalam bidang aqidah tidak terhitung jumlahnya, sepanjang zaman. Jika kita membuang kitab-kitab karangan para ulama’ Asya’irah ini daripada perpustakaan, kita akan dapati hampir dua pertiga daripada rak-rak perpustakaan tersebut kosong tanpa isinya. Mereka yang lahir dalam bidang ilmu secara tidak sah, iaitu tidak melalui tradisi pembelajaran ilmu agama yang muktabar, akan bersikap mudah dan sewenang-wenangnya menolak tradisi warisan ulama’ silam, tanpa menyedari hakikat kekerdilan diri berbanding lautan keilmuan ulama’ silam.

Sejak ilmu kalam versi al-Ash’ari muncul, ianya dikembangkan oleh para ulama’ Asya’irah yang agung pada setiap zaman. Bermula dengan murid-murid Imam al-Ash’ari sendiri seperti Imam Ibn Furak (330-406 H), Imam al-Bahili dan sebagainya, kemudian Imam al-Baihaqi al-Naisaburi (384-458H/994-1066 M) dengan kitab al-Asma’ wa al-Sifat dan sebagainya, kemudian Imamul Haramain Abu al-Ma’ali al-Juwaini (419-478 H-1028-1085 M), pengetua Madrasah Nizhamiyyah di Naisabur, kemudian diwarisi dan dikembangkan pula oleh seorang tokoh, satu-satunya yang disepakati untuk digelar Hujatul Islam, iaitu Imam Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali r.a. (450-505 H), seorang Mujaddid kurun kelima Hijrah, dan seterusnya diteruskan pula oleh al-Mujaddid Imam Fakhruddin al-Razi (543-606 H). Bahkan, Imam Ibn ‘Asakir telah mengarang sebuah kitab yang menyenaraikan nama-nama besar para ulama’ Asha’irah dalam kitab beliau, Tabyiin Kazb al-Muftari.

Kita dapati, mereka yang meneruskan manhaj Imam al-Ash’ari ini bukan sebarangan ilmuwan, bahkan mereka adalah pemuka dan para ulama’ pada zaman mereka. Kitab-kitab yang meneruskan manhaj al-Ash’ari bukan calang-calang kitab, bahkan ia adalah antara rujukan utama dalam bidang aqidah aliran ahli sunnah wal jamaah. Bagaimana ada individu yang tidak mampu mengarang sebuah kitab seperti Al-Iqtishod fi al-I’tiqad karangan Imam al-Ghazali r.a. (m: 505 H), mampu mendabik dada lalu mengkritik para ulama’ Asha’irah dan manhaj Al-Ash’ari dalam aqidah?

Manhaj aqidah al-Ash’ari ini terus dikembangkan dan pendekatannya terus diluaskan dan dikemaskan oleh para ulama’ sesuai dengan perkembangan cabaran umat Islam semasa. Sampai satu zaman, aliran Asha’irah dan Maturidiyyah mula disatukan terutamanya oleh para ulama’ kalam yang besar dalam karya-karya ilmu kalam yang besar, seperti kitab Al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah oleh Imam Abu Hafs Umar al-Nasafi al-Samarqandi (461-537 H), Abkar al-Afkar oleh Imam Al-Amidi (m:631 H), Al-Mawaqif oleh Imam al-Iji (m:756 H), Thowali’e al-Anwar oleh Imam al-Baidhawi (m: 685 H/1292 M), al-Maqasid fi Ilm al-Kalam oleh Imam al-Taftazani (712-793 H) yang merupakan murid Imam al-Iji, dan sebagainya.

Ilmu kalam dikembangkan oleh mereka dengan pendekatan yang baharu dan lebih meluas. Kitab-kitab ilmu kalam pada ketika itu tidak terbatas kepada permasalahan aqidah semata-mata, bahkan turut membahaskan skop perbahasan yang dibahaskan oleh bidang falsafah dengan kaca mata Islam, seperti perbahasan mengenai ontologi (theory of being), epistemologi (theory of knowledge) dan aksiologi (theory of value).

Ilmu kalam seterusnya diringkaskan semula perbahasannya tetapi dengan beberapa penambahan dan pendekatan berdasarkan kesesuaian zaman oleh Imam al-Sanusi (m: 895 H) dan sebagainya. Para pengkaji menilai bahawasanya, Imam al-Sanusi bertanggungjawab menyusun ilmu sifat 20 ini sejak perbahasan mengenai perbezaan antara sifat Ma’ani dengan sifat Ma’nawiyyah berkembang dalam aliran manhaj aqidah Al-Ash’ari. Pandangan yang tahqiq dalam masalah ini ialah, tidak ada perbezaan ketara antara pendekatan sebelum dengan pendekatan selepas zaman Imam al-Sanusi kerana perbezaan antara sifat Ma’ani dengan sifat Ma’nawiyyah bukanlah suatu perbahasan yang mudah dan asas, kerana perbahasan yang membezakan antara sifat dengan hal merupakan perbahasan yang bersifat rumit.

Permasalahan Berkaitan Ilmu Kalam dan Fenomena Kalamophobia

Setelah zaman berkembang, minda manusia semakin cerdas, tetapi kecenderungan minat mereka tidak lagi mengikut keutamaan yang digariskan oleh agama. Budaya mengejar ilmu keduniaan dalam masyarakat moden ini turut mempengaruhi masyarakat Islam sehingga mereka bersikap sambil lewa terhadap ilmu-ilmu agama yang hukumnya fardhu ‘ain (wajib dipelajari oleh setiap individu muslim), dalam masa yang sama, mengutamakan penguasaan ilmu-ilmu yang bersifat fardhu kifayah.

Bahkan, sejak dua atau tiga kurun terakhir ini, serangan ke atas ilmu kalam al-Ash’ari ini menjadi popular dan dijadikan antara agenda keilmuan oleh sebuah golongan baharu dan masih tidak matang. Mereka adalah generasi kemudian yang merasakan bahawa, mereka lebih memahami salaf berbanding para ulama’ sebelum mereka, lalu mereka menyambung sanad ilmu mereka terus kepada salaf secara lompatan dari cara dakwaan mereka, seolah-olah ramai para ulama’ antara selepas salaf dengan sebelum kemunculan mereka, adalah golongan yang sesat. Bahkan, usaha mengaitkan ilmu kalam al-Ash’ari dengan fahaman Jahmiyyah juga sangat ketara di sisi mereka.

Suatu ketika, pernah guru kami, Sheikh Dr. Usamah al-Azhari ketika menziarahi Universiti Malaya, ditanya oleh seorang penuntut asing beraliran sunni dari Iran, tentang perbandingan perkembangan semasa ilmu kalam dan mantik di sisi Syiah dengan perkembangannya di sisi ahli sunnah. Menurut penuntut tersebut, seolah-olah golongan Syiah sudah lebih ke hadapan dalam bidang ini, sedangkan ianya adalah bidang yang dipelopori dan dipimpin oleh para ulama’ sunni suatu ketika dahulu.

Sheikh Dr. Usamah menjawab bahawa, ketinggalannya ilmu kalam dan mantik versi sunni adalah disebabkan oleh para ulama’ sunni disebukkan oleh kemunculan golongan literalis moden yang sibuk menyerang ilmu kalam lalu menyebabkan ilmu kalam versi sunni terbantut perkembangannya bahkan menuju kemunduran dan ketinggalan. Ini kerana, para ulama’ terpaksa menjawab tohmahan-tohmahan golongan muda lagi literalis moden ini ke atas ilmu kalam padahal ianya sudah selesai sejak zaman kurun ke-5 hijrah lagi.

Hal ini juga menyebabkan masyarakat semakin menjauhi ilmu kalam bahkan sebahagian ilmuwan Islam bersikap ‘lemah semangat’ dalam mempelajarinya, kerana dimomokkan seolah-olah ilmu kalam atau ilmu sifat 20 terlalu sukar, adanya pengaruh Yunani di dalamnya dan sebagainya.

Berleluasanya Kalamophobia ini menyebabkan ilmu kalam turath iaitu warisan para ulama’ silam yang muktabar gagal diwarisi dan diwariskan kepada generasi seterusnya. Andai benar ilmu ini sukar difahami sekalipun, sememangnya mempelajari mana-mana ilmu tidak semudah yang disangka. Adakah kita perlu menjadi seperti si anak kecil yang menjadikan alasan bahawa, ilmu tertentu itu susah untuk dipelajari, lalu dia terus meninggalkannya, sedangkan ilmu tersebut penting untuknya?

Ada beberapa sebab berleluasanya Kalamophobia yang mana ianya kembali kepada kelemahan sesetengah ilmuwan Islam. Berikut disenaraikan sebahagian daripadanya.

Pertama: Unsur penggunaan kaedah akal (rasional) dan logik dalam bidang aqidah.

Ilmu kalam dikenali sebagai sebuah ilmu yang berbeza berbanding ilmu aqidah versi lain kerana adanya unsur penggunaan kaedah akal dan pendekatan logikal yang dianggap meletihkan. Ia jika dibandingkan dengan ilmu aqidah versi lain seperti versi Tauhid Tiga dan sebagainya, maka versi lain seperti Tauhid Tiga lebih mudah.

Namun, mereka yang melihat sudut yang sempit ini sahaja tidak terdedah kepada melihat sudut yang lebih besar iaitu, kedudukan akal sebagai asas bagi keimanan. Seseorang yang bukan beragama Islam, tidak akan menerima ajaran aqidah Islam dengan mudah. Bahkan, ramai orang memeluk Islam sejak zaman Rasulullah SAW sehinggalah hari ini, kerana menggunakan akal dan berfikir secara logik. Bahkan, mukjizat Rasulullah SAW juga diperlihatkan kepada mereka yang mahu menggunakan akal dan logik untuk menilai kebenaran seruan Rasulullah SAW. Begitu juga, Islam menggalakkan umatnya berpegang dengan aqidah Islam secara yakin, iaitu dengan dalil dan bukti terhadap kebenaran aqidah tersebut, bukan sekadar bertaqlid buta.

Asas-asas ini terkandung dalam ilmu kalam atau ilmu aqidah versi sifat 20 ini. Maka, sifat-sifat ketuhanan dibahaskan di peringkat yang paling sejagat dan di tahap kalimatin sawa’, iaitu pada ukuran dan penilaian logikal akal, suatu ukuran yang sejagat yang mana seluruh manusia yang waras menggunakannya. Hanya kerana ilmu kalam mempunyai pengaruh kaedah-kaedah yang terkandung dalam ilmu mantik, yang mana ilmu mantik tersebut dikembangkan oleh seorang ahli falsafah Yunani bernama Aristotle yang bukan seorang Islam, lalu ianya dijadikan alasan untuk menolak ilmu kalam ini secara mutlak, maka ianya tidak wajar.


Sedangkan, dalam ilmu pewarisan Islam (mirath) sendiri, ada unsur penggunaan ilmu matematik yang turut dikembangkan oleh ahli falsafah Yunani dan Hindu. Maka, adakah dengan demikian, ilmu mirath perlu ditolak atau kita wajar menggunakan ilmu matematik versi yang berlainan? Jika 1+1 dalam versi matematik Yunani membawa kepada jawapan, 2, adakah dalam versi matematik Islam, ianya perlu membawa kepada jawapan yang berbeza. Jika jawapannya masih 2 (dua) juga, adakah ilmu Mirath telah dicemari oleh pemikiran Yunani?

Begitu jugalah dengan ilmu mantik, walaupun ianya dikembangkan dalam tamadun Yunani, tetapi ianya bukan suatu ilmu yang rosak nilainya secara mutlak. Ia merupakan ilmu alat yang bebas nilai melainkan pada contoh-contoh permasalahan yang diberikan sahaja, namun telah dimurnikan oleh Imam al-Ghazali r.a. dan para ulama’ Islam yang lain. Ia ialah ilmu tentang cara dan kaedah akal yang sejahtera dan konkrit, yang mana setiap orang yang waras akan berfikir sedemikian. Contohnya, kaedah tidak boleh berhimpun dua yang berlawanan dalam satu benda pada satu masa, ianya merupakan kaedah akal yang sejagat. Tiada orang yang waras melainkan akan menerima kaedah ini dengan mudah, sepertimana dia menetapkan bahawa, mustahil ada orang yang ada dan tidak ada dalam masa yang sama. Tidak mungkin, hanya kerana kita seseorang muslim, kita tidak mahu menerima kaedah mantik tersebut, lalu bagi kita, tidak mustahil adanya seseorang yang ada dan tidak ada dalam masa yang sama.

Kedua: Kesukaran dalam memahami pelbagai istilah yang digunakan dan diajarkan pula kepada masyarakat awam.

Ia menjadi tanggungjawab para ilmuwan untuk menguasai ilmu warisan Islam ini sebaiknya, kerana ianya tidak diwariskan secara sia-sia. Maka, sebarang kesukaran perlu dihadapi dan dilalui dengan usaha yang lebih gigih untuk menguasai ilmu ini, terutamanya disebabkan ianya diperlukan pada masa kini, dalam menghadapi aliran-aliran sesat dan ideologi-ideologi Barat yang kufur.

Bahkan, ianya menjadi tanggungjawab para ulama’ juga untuk memudahkan perbahasan dan menyusun pendekatan yang bersesuaian dengan masyarakat masa kini, dalam masa yang sama mengekalkan manhaj asal dan asas mazhab al-Ash’ari ini. Para ulama’ terutamanya yang menguasai bidang usuluddin ini bertanggungjawab dalam menyampaikan ilmu kalam ini sesuai dengan keupayaan dan kemampuan masyarakat semasa, di samping menyusun kaedah-kaedah terkini untuk menghadapi serangan pemikiran dan aqidah masa kini.

Perbahasan-perbahasan yang tidak perlu pada masa kini boleh ditinggalkan pada peringkat pembelajaran asas dan perbahasan-perbahasan baharu yang perlu ditambah, wajar disampaikan pula. Begitulah cara ilmu-ilmu agama dikembangkan oleh para ulama’ sepanjang zaman, iaitu dengan menghargai ilmu warisan dan berkhidmat kepadanya agar ianya terus releven pada ke’kini’an zaman dan ke’sini’an tempat.

Antara Keistimewaan Ilmu Kalam Al-Ash’ari (Ilmu Sifat 20)

Dalam menghadapi cabaran aqidah semasa, ilmu kalam versi golongan Asha’irah mempunyai keistimewaannya yang tersendiri. Ilmu ini dari sudut sejarah sahaja sudah mempunyai jasanya yang tersendiri dan sejarah juga telah menjadi saksi peranan yang dimainkan oleh ilmu ini terutamanya dalam menghadapi aliran-aliran sesat dalam bidang aqidah. Berikut disenaraikan beberapa bentuk keistimewaannya.

Pertama: Gabungan antara penggunaan nas wahyu dan kaedah akal.

Gabungan antara penggunaan nas wahyu dan kaedah akal merupakan suatu aliran wasathiyyah yang menjadi intipati dalam ajaran murni Islam. Ia merupakan aliran keseimbangan yang membenteras dua kepincangan iaitu kepincangan golongan literalis dan golongan liberalis dalam bidang aqidah. Ia sebuah aliran yang menekankan konsep kesederhanaan, keseimbangan dan meraikan kedudukan akal dan wahyu serta menekankan peranan masing-masing dalam bidang aqidah secara khusus.

Kedua: Perbahasan di Peringkat Paling Umum dan Sejagat

Dalam menghadapi aliran-aliran sesat dan ideologi-ideologi barat yang kufur, ilmu kalam versi Asha’irah boleh menjadi medan wacana ilmiah dalam membahaskan konsep ketuhanan yang sahih dan benar berdasarkan kerangka keilmuan yang murni dan sempurna. Oleh yang demikian, penggunaan kaedah akal diletakkan pada tahap paling asas kerana akal ialah pintu kepada keyakinan dalam bab keimanan.

Ketika di awal perbahasan ilmu kalam, para ulama’ membahaskan tentang perbezaan antara hukum akal, syarak dan hukum adat. Ia bagi memahamkan para penuntut ilmu, tentang hala tuju perbahasan ilmu ini, dan menjelaskan perbezaan antara hukum adat dengan hukum akal, bagi mengelakkan kekeliruan antara kemustahilan dari sudut adat dengan kemustahilan dari sudut akal.

Bahkan, dalam membahaskan sifat-sifat ketuhanan, ianya menggunakan pendekatan dari sudut hukum akal, kerana ianya merupakan kayu ukur sejagat, melibatkan seluruh manusia. Ketika dibahaskan tentang sifat-sifat kesempurnaan Tuhan, ianya menjelaskan tentang sifat-sifat yang sempurna dan dari sudut hukum akal, wajib bagi Allah s.w.t., sebagaimana sifat-sifat yang mustahil bagi Allah s.w.t. dari sudut hukum akal dan seterusnya sifat yang harus bagi Allah s.w.t. dari sudut hukum akal.

Jika sekiranya perbahasan aqidah dimulakan dengan sifat-sifat yang ada bagi Allah s.w.t. berdasarkan ayat-ayat al-Qur’an, maka sudah tentulah orang-orang kafir tidak akan menerimanya dengan mudah kerana mereka pada dasarnya tidak beriman kepada al-Qur’an. Maka, pendekatan ilmu kalam versi Al-Ash’ari memulakan perbahasan dari sudut yang lebih umum dan sejagat, agar ianya menjadi wacana keilmuan dalam bidang aqidah yang lebih meluas. Ini memberi ruang kepada orang-orang kafir untuk mendekati ajaran Islam secara logikal dan rasional.

Ketiga: Menyusun Aqidah Berasaskan Dalil Qat’ie (Muktamad)

Ilmu kalam versi Ash’ari juga mempunyai kelebihan dari sudut penyusunannya, kerana ianya dibina atas asas dalil dan hujah yang qat’ie (muktamad) samada dari sudut dalalah (maknanya) mahupun Thubut (keasliannya daripada sumbernya). Adapun perkara-perkara yang bersifat kesamaran terutamanya nas-nas mutasyabihat, maka manhaj al-Ash’ari tidak mudah menetapkannya sebagaimana ianya secara zahir, seperti yang dilakukan oleh golongan literalis dan Mujasimmah, sebagaimana ia tidak juga menolaknya secara mutlak seperti golongan liberalis dan Mu’tazilah.

Dalam bab nas-nas Mutasyabihat yang menyebabkan prasangka bahawa Allah bertempat di atas langit, beranggota tangan dan sebagainya, maka para ulama’ Asha’irah samada beriman dengan lafaz yang dinisbahkan tersebut kepada Allah s.w.t. lalu menyerahkan makna sebenar lafaz tersebut kepada Allah s.w.t., ataupun mereka menta’wilkan lafaz tersebut sesuai dengan kaedah bahasa Arab dan kemurnian aqidah Islam. Kaedah pertama dipanggi sebagai kaedah Tafwidh sedangkan kaedah kedua disebut sebagai Ta’wil. Namun, pada hakikatnya, kedua-duanya ialah ta’wil di sisi para ulama’. Ini menunjukkan manhaj Ash’ari dalam aqidah tidak bersikap ekstrim seperti golongan Literalis (Mujassimah dan Haswiyyah) yang memahami nas-nas mutasyabihat dengan makna zahir lalu sesat dan menyesatkan.

Dalam masa yang sama, manhaj al-Ash’ari juga menetapkan bahawa, ada batas bagi akal dan menerima konsep yang jelas disebutkan dalam al-Qur’an berkenaan dengan Allah s.w.t. walaupun rasional akal tidak dapat menjangkaunya. Sebagai contoh, persoalan seperti melihat Allah s.w.t. di akhirat kelak, maka para ulama’ al-Ash’a’irah menjelaskan bahawasanya, ianya pasti berlaku sesuai dengan firman Allah s.w.t. walaupun akal tidak dapat menjangkau dan memahami hakikat tersebut, dan akal yang sihat tidak menafikan hakikat sifat-sifat ketuhanan tersebut. Justeru, ia membezakan antara kemustahilan dari sudut akal dengan ketidakupayaan akal untuk mencapainya, yang gagal difahami dengan baik oleh golongan liberalis dan Mu’tazilah sehingga mereka sesat dengan keterbatasan akal, seperti dalam bab mengingkari azab kubur, mengingkari melihat Allah s.w.t. di akhirat bagi orang-orang beriman dan sebagainya.

Keempat: Ianya merupakan manhaj yang dipegang oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman.

Antara keistimewaan ilmu kalam versi Al-Ash’ari ini, ianya merupakan manhaj yang dipegang dan diterima oleh majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman, sebagaimana disebutkan sendiri oleh Imam Ibn ‘Asakir dalam kitab beliau berjudul Tabyyin Kazb al-Muftari. Allah s.w.t. tidak menjadikan umat Islam ini, apatah lagi para ulama’ mereka, berhimpun di atas sebuah manhaj yang sesat. Maka, setelah ianya mendapat penerimaan yang meluas dalam kalangan ulama’ Islam sejak zaman berzaman, bahkan ia terus dikhidmati dan dikembangkan, membuktikan kepentingannya bagi masyarakat Islam.

Sudah tentulah, kita lebih selamat bersama dengan majoriti ulama’ Islam sepanjang zaman, dalam berpegang kepada sesuatu manhaj keilmuan atau pegangan keagamaan kerana mereka adalah rujukan dalam masyarakat Islam. Adapun perbahasan-perbahasan ilmu aqidah versi atau pendekatan lain selain manhaj Al-Ash’ari dan al-Maturidi, penerimaannya agak terbatas dalam kalangan ulama’ Islam dan zaman-zaman tertentu sahaja. Ini juga menunjukkan kelebihan manhaj al-Ash’ari dan al-Maturidi yang dikenali sebagai ilmu kalam tersebut, dalam masyarakat Islam.

Kelima: Ilmu Kalam dibina atas kaedah penghujahan.

Di zaman globalisasi ini, pertembungan pemikiran dan ideologi tidak dapat dielakkan, di mana masyarakat Islam turut terkesan dengannya, lalu aqidah Islam menjadi mangsa. Justeru, umat Islam tidak memadai berpegang kepada keimanan berasaskan taqlid semata-mata, tetapi perlu membina aqidah dan kepercayaan mereka di atas hujah yang kukuh dan bukti yang nyata.

Oleh yang demikian, kita dapati, dalam perbahasan ilmu kalam yang meluas, para ulama’ menggunakan kaedah penghujahan terutamanya dari sudut akal. Kaedah ini membina persediaan yang kukuh dalam diri individu muslim dalam menghadapi cabaran ideologi luaran yang cuba mengancam dan mencemari aqidah Islam dalam dirinya. Binaan aqidah di atas hujah akal yang meyakinkan bukan satu perkara yang baharu, tetapi itulah yang berlaku pada zaman Rasulullah SAW.

Ketika Rasulullah SAW hadir membawa risalah Islam, benteng kekufuran asas yang dihancurkan oleh Rasulullah SAW ialah sikap taqlid dalam masalah keimanan dan kepercayaan. Al-Qur’an sendiri menolak taqlid, iaitu mengikut perkataan orang lain tanpa hujah, terutamanya dalam masalah aqidah. Ia berbeza dengan taqlid dalam bab amalan, kerana kepercayaan itu ialah perkara asas dan pokok, sedangkan taqlid dalam bab amalan dibenarkan kerana ianya perkara cabang berbanding aqidah, dan sumbernya juga terlalu meluas.

Para sahabat r.a. sendiri ketika menerima Islam, mereka menerimanya dengan menggunakan kaedah berfikir yang sejahtera. Ramai para sahabat r.a. tidak sekadar bertalqid semata-mata, tetapi memeluk Islam dan menerima keimanan dan aqidah tauhid kerana menggunakan akal dan berfikir. Bahkan, fungsi utama mukjizat adalah untuk membuka ruang manusia pada ketika itu, agar berfikir dalam melihat bukti kebenaran seruan Rasulullah SAW.

Ilmu kalam menekankan konsep al-nazhor, iaitu berfikir secara kritis dalam usaha mencari hujah kebenaran aqidah Islam dan membina kepercayaan di atas bukti dan dalil. Ilmu kalam disusun dengan kaedah penghujahan ini, dalam rangka membina keimanan yang meyakinkan dalam jiwa individu muslim. Kaedah-kaedah inilah antara yang diajarkan oleh al-Qur’an, dalam menetapkan keyakinan dan keimanan terhadap sifat-sifat ketuhanan yang Maha Sempurna. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Kalau seandainya, di langit dan bumi ada Tuhan selain Allah, nescaya keduanya akan binasa” (Surah al-Anbiya’: 21)

Penutup

Demikian beberapa kepentingan ilmu kalam versi Al-Ash’ari ini. Oleh yang demikian, tokoh-tokoh ilmuwan Barat tertarik untuk mendekati perbahasan aqidah Islam dengan pendekatan al-Ash’ari ini, kerana ianya dibahaskan di tahap yang paling asas dengan menggunakan penilaian akal yang sejagat.

Sungguh malang ketika ilmu pengetahuan dalam segenap bidang sedang berkembang, lalu minda manusia semakin bertambah matang dan cerdas, masih ramai yang bersikap prejudis terhadap perbahasan-perbahasan bersifat logikal ini. Ketika golongan liberalis sedang mendabik dada dengan kepincangan mereka atas nama kemodenan, golongan literalis pula mendabik dada dengan kepincangan yang berbeza atas nama ke’dulu’an yang dianggap keaslian. Mereka (golongan liberalis dan literalis) bertemu dan bekerjasama pada sikap anti-autoriti terhadap majoriti ulama’ Islam walaupun mewakili dua sudut kepincangan iaitu ifrad dan tafrid.

Seorang mahasiswa sanggup menggunakan akal dan kebijakan mereka dalam bidang kejuruteraan, sains, perakaunan dan sebagainya, untuk sedikit manfaat duniawi, namun bila bab aqidah dan kepercayaan, cukuplah mereka beriman dengan aqidah Islam kerana ibu bapa mereka beriman dengannya, tanpa mahu menggunakan akal untuk memahami kaedah ilmu kalam warisan para ulama’ silam. Adakah keduniaan mereka lebih mahal berbanding aqidah mereka, yang manfaatnya untuk di dunia dan di akhirat?

Orang yang mendakwa moden dan bersikap saintifik dalam bidang keduniaan, dialah pula yang bersikap ketinggalan dan primitif dalam bidang keagamaan, sedangkan ilmu-ilmu agama dan keduniaan terus berkembang mengikut peredaran zaman. Ia bukan tentang intipati ajaran agama, tetapi kaedah-kaedah dan pendekatan yang mampu menyelesaikan permasalahan ummah, itulah yang sebenarnya berkembang. Tidak ada aqidah yang sahih selain aqidah salaf, dalam masa yang sama, tidak ada juga aqidah yang diperjuangkan oleh pendekatan manhaj al-Ash’ari selain daripada aqidah salaf juga, iaitu aqidah Rasulullah SAW dan para sahabat r.a., yang mana konsep ketuhanannya berteraskan tauhid dan tanzih (penyucian daripada sifat-sifat kekurangan). Maka, seruan ke arah kembali kepada penguasaan ilmu kalam bagi umat Islam adalah seruan kepada kembali kepada turath Islam yang muktabar, bagi menghadapi perkembangan semasa yang mencabar.

Wallahu a’lam

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
12 Ogos 2013, Putrajaya






[1] Muqoddimah Ibn Khaldun, Al-Fashl Al-Asyir: fi Ilm Al-Kalam: 225