8.20.2013

Pimpinan Tasawwuf dalam Pergerakan Dakwah Islam

Pimpinan Tasawwuf dalam Pergerakan Dakwah Islam


Pengenalan

Ancaman dan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Islam samada setempat atau antarabangsa sememangnya sangat jelas dan nyata. Semakin hari, semakin banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh umat Islam. Maka, keadaan ini turut menyemarakkan lagi usaha-usaha murni dakwah para amilin yang mengambil berat tentang agama Islam dan umatnya.

Khitab Islami (penyampaian ajaran Islam) cuba diketengahkan samada kepada masyarakat Islam yang jahil mahupun kepada orang-orang kafir. Namun, dalam usaha tersebut juga masih timbul beberapa kepincangan terutamanya kesalahan dalam menyampaikan ajaran sebenar Islam dalam masyarakat Islam. Apa yang sebenarnya perlu disampaikan bukanlah "ajaran Islam" berdasarkan pendapat masing-masing, tetapi ajaran murni Islam berteraskan kefahamannya yang sahih. Ukurannya sudah pastilah sumber agama Islam seperti Al-Qur'an, Hadis dan sebagainya serta manhaj majoriti para ulama' (al-sawad al-a'zhom) berinteraksi dengan sumber tersebut serta kefahaman as-sawad al-a'zhom terhadap agama itu sendiri.

Dalam situasi yang lain pula, kepincangan masyarakat Islam turut melibatkan masalah kerohanian dan jiwa. Dakwah semata-mata dengan perkataan tidak banyak membantu dalam menyembuhkan penyakit kerohanian masyarakat Islam ini. Ini kerana, penyakit kerohanian perlu dirawat dengan manhaj tarbawi nabawi iaitu dakwah dengan kalam dan ahwal (keadaan hati).

Para murobbi sufi yang mewarisi manhaj nabawi secara lengkap ini dengan sanadnya yang bersambung secara muktabar adalah ahli-ahli yang berkelayakan utama dalam bidang tarbiah kerohanian umat Islam. Bahkan, ianya sangat perlu kepada masyarakat Islam secara umum dan masyarakat para pendakwah secara khusus.

Imam Hasan Al-Banna r.a.: Seorang Mujaddid Buah Tarbiah Sufiyyah

Al-Imam Hasan Al-Banna adalah antara contoh yang dimaksudkan. Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal dalam keluarga sufi penuh barakah, iaitulah dalam keluarga Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman As-Sa’ati Al-Banna, seorang ulama’ zuhud lagi sufi. Usrah Islamiyyah yang dibentuk oleh bi’ah sufiyyah tarbawiyyah sedikit sebanyak membentuk perkembangan fikrah islahiyyah (minda pengislahan) dalam diri Imam Hasan Al-Banna r.a.. Di awal perkembangan mindanya, Imam Hasan Al-Banna sangat mencintai jau sufi (persekitaran kaum sufi) di tempat beliau. Sehinggalah, beliau mengambil tarbiah sufiyyah secara langsung dengan berbai’ah tarbiah kepada Sheikh Muhammad Abdul Wahab Al-Husofi, anak pengasas al-Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah.

Sheikh Muhamad Abdul Wahab Al-Husofi sangat berperanan dalam membentuk fikrah dansyakhsiyyah (keperibadian) Imam Hasan Al-Banna. Malah, Imam Hasan Al-Banna sendiri menceritakan tentang firasat gurunya terhadap beliau, bahawasanya beliau (Imam Hasan Al-Banna) akan dianugerahkan dengan pengikut yang ramai [rujuk Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah].

Imam Hasan Al-Banna terus membesar dalam persekitaran kesufian yang membawa kepada kefahaman yang tinggi dalam diri beliau dalam mengesan krisis yang berlaku dalam masyarakat Islam secara umum, khususnya di Mesir. Beliau memikirkan pelabagai jalan untuk meluaskan dakwah dan manhaj tarbiah sufiyyah menjangkau sempadan ketariqatan. Oleh yang demikian, pada usia mudanya, beliau menubuhkan cabang dakwah kepada Tariqah Husofiyyah yang dikenali sebagai Jam’iyyah Al-Husofiyyah Al-Khairiyyah yang menyebarkan Tazkiyyah An-Nufus para ulama’ sufi kepada masyarakat umum.

Akhirnya, bagaikan mereka yang kehausan mendapat air, ramai orang dalam masyarakat awam Islam yang pada mulanya menjauhi ajaran Islam, mula berminat dengan dakwah Imam Hasan Al-Banna yang dianggap boleh menyelesaikan kemelut kerohanian mereka khususnya dalam menghadapi hidup yang mencabar. Hal ini menyebabkan Imam Hasan Al-Banna berusaha untuk menggariskan sebuah langkah lebih pro-aktif untuk meluaskan lagi intipati tarbiah sufiyyah dalam bentuk yang lebih umum dan mudah diterima.

Imam Hasan Al-Banna pada awalnya berusaha menyebarkan dakwah sufiyyah tanpa menggunakan nama tariqah sufiyyah tertentu untuk tujuan mendekatkan dua golongan yang saling berjauhan pada ketika itu (Taqrib). Beliau mengasaskan kelompok dan pertubuhan dakwah baruAl-Ikhwan Al-Muslimun yang cuba menyebarkan sudut Tazkiyyah al-Nufus kaum sufi yang sebelum itu disebarkan secara kecil-kecilan.

Namun, Imam Hasan Al-Banna masih berpegang teguh dengan pendiriannya yang jelas, tanpa takut celaan sesiapa, sehingga tetap menisbahkan Al-Ikhwan Al-Muslimun yang mana di sisi beliau adalah Sufiyyah itu sendiri, dengan slogan, Haqiqatuna As-Sufiyyah. Maknanya, intipati di dalam Al-Ikhwan, berdasarkan fikrah asasnya, manhaj tarbawinya dan amal jama’ienya tetap merujuk kepada tradisi kaum sufi terdahulu.

Kita lihat sahaja, bagaimana penggunaan istilah Mursyid digunakan bagi individu yang memimpin Al-Ikhwan Al-Muslimun, menjelaskan sendiri hakikat sebenar Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah sebahagian daripada tradisi dakwah dan tarbiah sufiyyah itu sendiri.

Kalau kita dekati pemikiran Imam Hasan Al-Banna (al-Fikrah al-Bannawiyyah), terlalu banyak fikrah dan tradisi kaum sufi terus beliau pertahankan di sebalik manhaj I’tidal (pertengahan) beliau dalam menghadapi golongan salafi wahhabi khususnya. Dalam usul ‘Isyriin sendiri, Imam Hasan Al-Banna menegaskan beberapa hal seperti kewalian, tawassul dan sebagainya adalah masalah-masalah khilafiyyah yang tidak melibatkan masalah aqidah sama sekali.

Malah, dalam beberapa tulisan beliau, beliau didapati kuat mempertahankan zikir jama’ie (zikir secara berjemaah) yang menjadi tradisi kaum sufi dan Al-Ikhwan yang ditolak oleh sesetengah ahli ilmu di majalah-majalah tempatan. Beliau juga sentiasa terlibat mengadakan majlis Maulidul Rasul dan perarakan sambil membaca qasidah-qasidah memuji Rasulullah s.a.w. sebagaimana tradisi kaum sufi dan sebahagian besar umat Islam amnya [sila rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun oleh Mahmud Abd al-Halim dan sebagainya].

Imam Hasan Al-Banna terus mendekati para ulama’ sufi di Mesir khususnya, untuk mendapatkan nasihat dan bantuan mereka dalam keberkesanan pergerakan dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun. Hubungan para penggerak dakwah Al-Ikhwan yang dipimpin oleh Imam Hasan Al-Banna dengan para ulama’ sufi pada ketika itu menyumbang kepada kejayaan besar dakwah Al-Ikhwan pada ketika itu.

Banyak para ulama’ sufi terlibat secara langsung dengan Al-Ikhwan Al-Muslimun di zaman Imam Hasan Al-Banna As-Sufi, kerana kemesraan beliau dengan kaum sufi amnya, dan para ulama’ sufi khasnya.  Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun sampai ke negara-negara Islam yang lain dengan dasar keterbukaan Imam Hasan Al-Banna yang sangat rapat dengan kaum sufi. Disebabkan kaum sufi sudah berada di negara-negara Islam lain, maka mereka yang terkesan dengan dakwah Imam Hasan Al-Banna membawa manhaj dakwah Hasan Al-Banna ke negara-negara mereka.

Kita dapat lihat antara contoh seperti Sheikh Sa’id Hawwa, seorang ulama’ sufi yang terkesan dengan manhaj dakwah Imam Hasan Al-Banna, akhirnya terlibat secara langsung mengembangkan manhaj dakwah Imam Hasan di Syria.

Setelah dakwah Imam Hasan Al-Banna dan manhaj Al-Ikhwan Al-Muslimun yang diasaskan olehnya dikenali oleh masyarakat Islam di peringkat antarabangsa, ramai orang Islam yang sangat prihatin terhadap kemunduran masyarakat Islam pada ketika itu, mula melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah satu nama “penawar” kepada penyakit masyarakat Islam pada ketika itu.

Setelah berlalunya zaman pimpinan Imam Hasan Al-Banna dan pimpinan Sheikh Umar At-Tilmisani (seorang sufi juga), maka masyarakat Islam kebanyakkanya sudah mula tidak melihat sudut kesufian dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun lagi. Sebahagian pemuda dan penggemar bidang dakwah mula melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai suatu Harakah Islamiyyah tanpa melihat sudut Tarbiyyah Sufiyyah di dalamnya. Buku-buku Sheikh Sa’id Hawwa yang menekankan aspek kesufian Al-Ikhwan Al-Muslimun seakan mula tidak mendapat tempat dalam kalangan para pemuda du’at (pendakwah).

Tarbiah Ruhiyyah dan Imaniyyah: Intipati Harakah Islamiyyah

Sewaktu awal penubuhan Al-Ikhwan Al-Muslimun, Imam Hasan Al-Banna menerapkan intipati asas yang telah lama menjadi intipati utama manhaj dakwah sufiyyah iaitulah “Tarbiyyah Ruhiyyah” sebelum perlaksanaan agenda yang lain. Tumpuan sangat diberikan dalam pembentukan keimanan yang murni dan sudut kesempurnaan rohani, kerana ianya merupakan aset terpenting dalam menjayakan usaha dakwah dalam pelbagai sudut kehidupan yang lain.

Hala tuju Al-Ikhwan Al-Muslimun yang menumpukan tarbiah sebagai asas bagi pembentukan kekuatan dalam jemaah adalah hala tuju tariqat-tariqat sufiyyah muhaqqiqin (yang berpegang teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) juga sejak zaman berzaman. Maka, persamaan dari sudut keutamaan dalam manhaj dakwah menyebabkan Imam Hasan Al-Banna tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan sudut kesufian yang mendominasi dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Malah, Imam Hasan Al-Banna memastikan sudut tasawwuf dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah tasawwuf yang murni dari sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah orang-orang awam yang menisbahkan diri kepada kaum sufi.

Oleh kerana aspek tarbiah adalah aspek paling utama dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun, sebagaimana dalam manhaj dakwah sufiyyah, maka beliau lebih cenderung menggunakan istilahMursyid bagi kepimpinan dalam Al-Ikhwan kerana ianya lebih merujuk kepada “pembimbing” (murobbi) berbanding “pemimpin” (ra’is). Istilah ini juga diambil daripada tradisi manhaj dakwah sufiyyah.

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi turut menjelaskan hal yang hampir serupa ketika membandingkan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan Al-Jamaah Al-Islamiyyah di India yang diasaskan oleh Sheikh Abu Al-‘Ala Al-Maududi. Beliau berkata:

“Sebenarnya, tiada beza dari sudut tujuan-tujuan antara Al-Ikhwan dan Al-Jama’ah melainkan Al-Ikhwan lebih mementingkan sudut tarbiah sedangkan Al-Jama’ah lebih menumpukan sudut pemikiran. Maka, pengaruh perkembangan rohani lebih kuat dalam Al-Ikhwan… Maka, Al-Maududi lebih sebagai seorang ahli pemikir berbanding seorang murobbi sedangkan Al-Banna lebih sebagai seorang murobbi berbanding seorang ahli pemikir.” [Ummatuna Baina Qarnain: 67]

Pembangunan kerohanian adalah paling utama termasuklah berbanding pembangunan pemikiran walaupun kedua-duanya mempunyai kepentingannya yang tersendiri. Ini kerana, biar secerdas manapun akal seseorang, namun jika hatinya ditawan oleh nafsu, maka hati tidak dapat mengikut ukuran akal tetapi lebih cenderung mengikut hawa nafsu yang menyesatkan.

Sheikh Sa’id Hawwa merupakan antara tokoh Al-Ikhwan Al-Muslimun yang sangat positif dalam menerapkan seberapa banyak unsur kesufian hakiki dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya melalui kitab beliau Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah.

Dakwah kaum sufi yang asas adalah mengajak manusia kepada merealisasikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan mengenali hakikat kehambaan diri sebenar-benar kenal, lalu melaksanakan tugas kehambaan denga sebaik-baik penunaian sehingga mencapai tahap mengenali ketuhanan Allah s.w.t. dengan sebenar-benar kenal (iaitu, menghayati pengaruh Allah s.w.t. dalam kehidupan kita dengan sebenar-benar penghayatan).

Dengan ini akan membentuk suatu individu yang sempurna dalam memahami kehidupan lalu melaksanakan tugasnya dalam kehidupan dengan sebaik-baik perlaksanaan. Maka, ketinggian kerohanian yang diusahakan dalam manhaj tarbiah sufi ini adalah nadi pembentukan masyarakat Islami yang syumul, walaupun tidak disebut secara sistematik. Ia lebih merujuk kepada pembentukan individu muslim yang rabbani (sentiasa mendapat pembukaan dan kefahaman dari Allah s.w.t.) dan memahami kehidupan dengan neraca ta’abbudi (melaksanakan tugas kehambaan).

Imam Hasan Al-Banna sedikit sebanyak menjelaskan konsep yang sama dengan konsep tarbiah sufi ketika menjelaskan tentang Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan berkata:

أخص خصائص دعوتنا أنها ربانية عالمية: أما أنها ربانية فلأن الأساس الذي تدور عليه أهدافنا جميعًا، أن يتعرف الناس إلى ربهم، وأن يستمدوا من فيض هذه الصلة روحانية كريمة تسمو بأنفسهم عن جمود المادة الصماء

Keistimewaan yang paling khusus dalam dakwah kita adalah dakwahnya bersifat rabbaniyyah ‘alamiyyah (menyeluruh). Dakwahnya bersifat rabbaniyyah kerana asas yang menjadi nadi bagi segala tujuan-tujuan kita seluruhnya adalah: agar manusia berusaha untuk mengenal Tuhan mereka, lalu terpancar daripada limpahan hubungan ini (hubungan kehambaan antara hamba dengan Tuhannya) kerohanian yang mulia yang meninggikan jiwa mereka daripada kejumudan kebendaan yang buta (tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat dari sudut hakikatnya)…” [Dinukilkan oleh Ustaz Muhammad Mahdi ‘Akif, Mursyidul Am Ikhwan terkini dalam Ikhwanonline.com].

Ini jelas menunjukkan keistimewaan dakwah dan tarbiah sufi yang bersifat Rabbani lagi ‘Alami berdasar seringkas-ringkas perkataan kerana sebaik-baik perkataan adalah, apa yang paling sedikit ungkapannya tetapi banyak (mendalam) maksudnya. Imam Hasan Al-Banna hanya mensyarahkan manhaj dakwah dan tarbiah kaum sufi lalu menggunakan istilah moden seperti ‘Alami, syumuli dan sebagainya sedangkan makna daripada istilah-istilah itu sudah lama wujud dalam dakwah dan tarbiah sufi.

 Kepentingan Mengambil Tarbiah daripada Ahl-Tarbiah (Sufiyyah)

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ketika menjelaskan tentang Tajdid, beliau menjelaskan antara agenda tajdid yang paling penting adalah Tajdid Imani (pembaharuan dari sudut keimanan). Ketika menjelaskan tentang Tajdid Imani yang sangat penting dalam kesempurnaan perlaksanaan tajdid dalam bidang-bidang yang lain, Dr. Al-Qaradhawi menjelaskan tentang kepentingan tasawwuf dalam proses Tajdid Imani ini. Namun, tasawwuf yang dimaksudkan menurut beliau adalah tasawwuf yang murni daripada sebarang khurafat dan penyelewengan. [rujuk Min Ajli Shohwah Rasyidah]

Ilmu Tasawwuf  itu sendiri berdasarkan penjelasan dan perlaksanaan para ulama’ sufi muhaqqiqin, sememangnya adalah sesuatu yang murni. Tidak ada ilmu tasawwuf  Islam yang tidak murni, sebagaimana tidak ada ilmu fiqh Islam yang tidak murni. Apa yang tidak murni adalah amalan sesetengah orang awam yang bercanggah dengan maqasid dan prinsip ilmu tasawwuf yang asal itu, bukan ilmu tasawwuf itu sendiri. Sebagaimana, munculnya golongan yang salah dalam memahami fiqh lalu salah dalam mempraktikkan fiqh Islami, tidak membawa kepada adanya fiqh Islam yang murni dengan yang tidak murni. Fiqh Islami itu sendiri adalah fiqh yang murni sedangkan yang tidak murni itu bukan fiqh, tetapi orang yang mengamalkannya. Tidak boleh menisbahkan kesalahan sesetengah golongan kepada ilmu asalnya yang sememangnya murni.

Ibn Taimiyyah sendiri antara ungkapannya, beliau berkata:

“Dia (seorang sufi) pada hakikatnya adalah suatu golongan daripada golongan al-Siddiqin. Seorang sufi itu seorang al-Siddiq (benar dalam beribadah) dalam pengkhususan seperti zuhud dan ibadah dari sudut ijtihad mereka padanya. Maka seorang sufi itu Siddiq dalam kelompok jalan (ibadah ini)… Boleh jadi golongan sufi adalah seagung-agung siddiqin pada zaman mereka dan sesempurna siddiqin pada zamannya. Adapun, Siddiq pada zaman yang awal (salaf) lebih sempurna daripada siddiq zaman seterusnya.” [Majmu’ Fatawa 11/16]

Beliau berkata lagi:

“Kemudian mereka (para ahli ilmu) samada melaksanaka zahir syariat semata-mata seperti ahli hadith secara gambaran umum dan orang-orang beriman yang dari sudut ilmu hanya sekadar martabat ahli ibadah yang beramal dengan zahir semata-mata, ataupun (para ahli ilmu itu) mengetahui akan makna-maka (kehambaan di sebalik ibadah zahir) lalu mengenalinya (makna dan hakikat syariat). Maka mereka (yeng mengenali makna hakikat amalan zahir, bukan semata-mata mengamalkan zahir syariat tanpa penghayatan) dari sudut keilmuan adalah sebagaimana golongan sufi yang syar’ie (melaksanakan syariat). Maka, mereka (para sufi yang syar’ie tersebut) adalah ulama umat Muhammad yang sebenar-benarnya. Malah, merekalah semulia-mulia makhluk, sesempurna makhluk dan paling tepat jalan mereka menuju Allah s.w.t.. Wallahu a’lam.” [Majmu’ Fatawa 20/63]

Seseorang yang menghidap penyakit kronik sudah tentu lebih selesa dan lebih tenang untuk berjumpa dengan seorang doktor yang pakar dalam bidang kedoktoran untuk mengambil proses penyembuhannya, berbanding berjumpa bomoh-bomoh yang tidak mempunyai pengiktirafan khusus dalam bidang kedoktoran, walaupun tidak mustahil kaedah sesetengah tabib tradisional kadang-kadang lebih mujarrab daripada kaedah perubatan moden. Apatah lagi hendak berjumpa dengan pengaku-pengaku sebagai tabib padahal tidak mempunyai latar belakang pendidikan kedoktoran dan tibb, jauh sekali seseorang itu hendak bertemu dengan mereka untuk tujuan rawatan.

Bagaimana dalam masalah penyakit jasmani sahaja, kita mencari seorang doktor yang pakar sedangkan dalam penyakit rohani, cukup sekadar membaca buku-buku untuk merawatinya? Sedangkan, para ulama’ dan murobbi sufi mempunyai pengiktirafan dalam keahlian mereka untuk merawati penyakit hati (dengan bantuan Allah s.w.t.) yang mana silsilah izin tarbiah itu bersambung sampai para murobbi salafus-soleh.

Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan pengambilan tarbiah daripada para murobbi sufi yang sememangnya ahli dalam bidang tarbiah, untuk menyempurnakan manhaj tarbiah dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun.

Imam Hasan Al-Banna menceritakan kepentingan dan keagungan manhaj tarbiah kaum sufi dengan berkata:

“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut (tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).” [Muzakkirat Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah]

Dalam muktamar Islami Pertama, Imam Hasan Al-Banna juga ada menyebutkan antara jalan untuk mencapai ketinggian dalam bidang ilmu dan budaya umat Islam adalah:

وترى الجمعية أن من أهم الوسائل تربية الوعاظ تربية دينية عملية تكون أشبه بتربية الصوفية المحققين فى الجمع بين العلم والعمل

Jam’iyyah (Al-Ikhwan Al-Muslimun) mendapati bahawasanya, antara jalan terpenting dalam tarbiah para pendakwah adalah tarbiah keagmaan amali (praktikal) yang mirip dengan tarbiah sufiyyah yang muhaqqiqin dalam menggabungkan Ilmu dan Amal…

Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna sendiri sangat tekun dalam mengeratkan hubungan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan para masyaikh sufi dan para murobbi mereka.

Dakwah Harakiyyah Adalah Dakwah Sufiyyah

Sesuatu yang menjadi kealpaan sesetengah pihak adalah, mereka tidak melihat dakwah harakiyyah sebagai suatu intipati dalam dakwah sufiyyah yang sebenar, berdasarkan catatan sejarah umat Islam. Setiap peringkat zaman, tarbiyyah sufiyyah melahirkan individu-individu atau kelompok yang terlibat dalam dakwah, islah dan tajdid masyarakat Islam.

Namun, rahsia keagungan dakwah sufiyyah antaranya ialah, memberi pengaruh positif dalam masyarakat tanpa berlaku pertembungan antara dakwah dengan masyarakat. Pengaruh dakwah sufi dalam masyarakat Islam awam bagaikan air yang meresap dengan penuh ketenangan lalu menghilangkan dahaga orang-orang yang haus. Ianya lebih kepada asimilasi yang positif dan mudah diterima.

Bayangkan, bagaimana kaum sufi khususnya dari kalangan para haba’ib yang datang dari Hadramaut membentuk suatu perubahan sosial dan aqidah dalam masyarakat Nusantara yang pada ketika itu dipengaruhi agama Hindu dan Buddha. Oleh kerana itulah, penulis bersetuju dengan Prof. Dr. Abdul Majid As-Shaghir yang menyimpulkan bahawasa, Sufiyyah ialah Dakwah, bukan Muwajahah (pertembungan melawan arus) [rujuk At-Tasawwuf Dakwah La Muwajahah].  Inilah rahsia di mana Rasulullah s.a.w. itu sebagai rahmatan lil ‘Alamin yang menjadi asas dakwah Baginda s.a.w., yang lebih mempengaruhi secara damai, bukan secara kekerasan.

Pada sudut pendekatan Rahmat dalam kesufian dan tarbiah sufi inilah, menjadi modal untuk para musuh tasawwuf mengkritik kaum sufi samada dari pihak orientalis mahupun murid-murid mereka dari dalam umat Islam. Padahal, mereka membutakan mata daripada keterlibatan sebahagian kaum sufi dalam jihad melawan musuh-mush dan dakwah ke serata dunia. Ini kerana, pendekatan Rahmatan lil ‘alamin  (atau berlembut) justeru adalah suatu kelembutan yang bertempat, bukan dengan bererti kemalasan dan meninggalkan amal.

Dakwah itu lebih umum daripada Muwajahah (pertembungan). Ini kerana, dakwah itu merangkumi kelembutan, toleransi, keterbukaan, kesederhanaan dan sebagainya berbanding muwajahah yang mempunyai sudut kekerasan semata-mata. Dakwah juga tidak mengabaikan sudut muwajahah (pertembungan) tetapi bila ianya diperlukan sahaja, bukan pada setiap waktu. Inilah cerminan daripada dakwah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a. yang mana mereka memiliki pedang masing-masing (sentiasa bersedia untuk muwajahah) tetapi lebih banyak menyimpannya di dalam sarung berbanding menghunuskannya. Asal dakwah itu sendiri adalah perdamaian, bukan pertembungan melainkan jika diperlukan.

Mengenai manhaj haraki, apabila kita membaca kitab Al-Risalah Al-Qusyairiyyah, salah satu rujukan utama dalam ilmu tasawwuf, istilah pergerakan juga sudah dikenali oleh kaum sufi di zaman beliau. Istilah yang mereka gunakan adalah: “Al-Harakah padanya barakah” yang bermaksud: pergerakan itu padanya keberkatan. Ini menunjukkan galakan para ulama’ sufi untuk kaum sufi bergerak dalam membawa risalah Islam dan tarbiyyah ruhiyyah dalam masyarakat.

Harakah Islamiyyah Perlu Kepada Tarbiah Sufiyyah Muhaqqiqin

Sebagaimana pemimpin utama pertumbuhan gerakan-gerakan Islam di dunia Islam, iaitu Imam Hasan Al-Banna, melihat kepentingan tarbiah sufiyyah dalam menjayakan dakwah yang murni, maka saya sendiri melihat kepentingan yang sama. Kerjasama antara para murobbi sufi dengan para petugas pendakwah jemaah dakwah perlu dieratkan. Ini kerana, dalam tarbiah sufiyyah mempunyai intipati terpenting dalam pembentukan kerohanian seseorang manusia. Ia disaksikan oleh catatan sejarah umat Islam sejak zaman berzaman.

Sekurang-kurangnya, individu-individu yang terlibat dalam dakwah perlu mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi yang muhaqqiqin atau bersahabat dengan mereka sebagaimana dilakukan oleh Sultan Salahuddin Al-Ayubi dan Imam Hasan Al-Banna, dua individu yang paling berpengaruh dalam zaman masing-masing.

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:

“Apa yang saya dapati daripada pengalaman sendiri dan berdasarkan kebiasaan turun ke lapangan bersama orang-orang awam mahupun ahli ilmu, bersama orang-orang yang lalai, bersama orang-orang yang terlibat dalam jemaah-jemaah Islam yang pelbagai dan sebagainya, bahawasanya mereka semua memerlukan kepada tarbiah iman yang benar untuk menyucikan hati mereka daripada cinta kepada dunia, daripada cintakan nafsu diri, yang mampu membawa mereka kepada Allah sw.t., yang mampu membebaskan manusia daripada kehambaan kepada kebendaan, nafsu dan khayal agar mereka berpegang dengan kehambaan hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata yang mana ianya dapat menyucikan akal mereka daripada syirik, hati mereka daripada nifaq, lidah mereka daripada dusta mata-mata mereka daripada khianat, perkataan-perkataan mereka daripada kelalaian, ibadah mereka daripada riya’, muamalah mereka daripada tiput dan kehidupan mereka daripada pertembungan (dengan nafsu). [Muqoddimah dalam Al-Hayah Al-Ruhiyyah wa Al-‘Ilm]

Beliau berkata lagi:

(Setelah menyebut beberapa aspek keperluan seperti penyucian jiwa dan sebagainya lalu beliau berkata: “Inilah dia kesimpulan daripada ilmu tasawwuf…” [ibid]

Konsep Suhbah (Persahabatan) dalam Tarbiah Sufiyyah

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata:

إننا نريد التصوف السني الملتزم بالنهج القرآني النبوي المتوازن، والذي يعنى بـ (تقوى القلوب) قبل (أعمال الجوارح) وبروح العمل قبل صورته… ويعنى بعلاج أمراض القلوب وسد مداخل الشيطان إليها، وجهاد أهواء النفس حتى تتهذب أخلاقها، وتتحلى بالفضائل، وتتخلى عن الرذائل.

Maksudnya: “Kita mahukan tasawwuf sunni yang berpegang dengan manhaj Al-Qur’ani An-Nabawi (Al-Qur’an dan As-Sunnah)  yang seimbang, iaitu yang membawa kepada taqwa hati sebelum beramal dengan anggota zahir, dan membentuk roh amal sebelum zahirnya… Tasawwuf yang membawa kepada penyucian penyakit hati, menutup pintu-pintu syaitan, kaedah mujahadah melawan hawa nafsu agar dapat membentuk akhlak dan sifat yang mulia dan membuang akhlak yang tercela.” [Aulawiyat Al-Harakah Al-Islamiyyah, m/s: 25]

Tarbiah Sunniyyah bukan sekadar menggunakan Al-Qur’an dan As-Sunnah semata-mata, tetapi ditarbiah oleh seorang murobbi yang dapat dijadikan qudwah hasanah (contoh yang baik). Cuba fahami sejarah dari pelbagai sudut. Lihatlah bagaimana peranan Rasulullah s.a.w. sebagai seorang murobbi dalam masa dua puluh tiga tahun. Bagaimana kita lihat dalam sirah Baginda s.a.w., para sahabat lebih banyak mengambil manfaat daripada Rasulullah s.a.w. melalui qudwah dan mahabbah Baginda s.a.w. kepada mereka.

Kalau bukan kerana proses tarbiah dan qudwah ini, maka, tidak perlu tempoh masa yang lama. Tetapi, Rasulullah s.a.w. lebih banyak mempengaruhi akhlak para sahabat r.a. melalui akhlak Baginda s.a.w.. Proses qudwah adalah proses mempengaruhi seseorang secara halus. Oleh kerana itulah, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawasanya agama seseorang itu mengikut temannya. Proses suhbah sangat memberi pengaruh yang besar dalam diri seseorang.

Konsep dan manhaj suhbah inilah yang diteruskan oleh para ulama’ sufi yang mana mereka warisi dari generasi ke suatu generasi di mana silsilah warisan suhbah ini sampai kepada para murobbisalafus-soleh. Akhlak itu justeru suatu “pengaruh dalaman” (Ta’sir Dakhili) daripada seseorang kepada seseorang, bukan daripada buku. Ia adalah hubungan antara rohani dengan rohani.

Para ulama' sufi muktabar dari serata dunia mempunyai peranan dan pengaruhnya yang tersendiri dalam kebangkitan umat Islam dalam kembali kepada corak kehidupan beragama. Dakwah dan tarbiah mereka merentasi sempadan tempat kerana kefahaman mereka terhadap risalah dakwah yang mereka pikul di bahu mereka. Antara tokoh-tokoh sufi yang giat berdakwah pada masa kini adalah seperti Sayyidi Sheikhna As-Sheikh As-Syarif Yusuf Al-Hasani (berdakwah sehingga ke Kanada dan sebagainya), Sheikh Abd al-Qadir al-Sufi, Sheikh Al-Habib Umar, Sheikh Al-Habib Ali Al-Jifri, Sheikh Ben Bayyah dan sebagainya yang mana mereka terlibat dalam dakwah kepada masyarakat Islam terutamanya dalam bidang tarbiah kerohanian. Semoga Allah s.w.t. memelihara kesinambungan ini dalam memelihara perjuangan dan dakwah para muslimin. Amiin...

Wallahu a'lam

11 Mac 2011, Putrajaya

No comments:

Post a Comment