Antara Ilmu dan Makrifat
Dalam bahasa Melayu, ilmu sendiri
digunakan seerti dengan pengetahuan, kepandaian dan sebagainya. Ia sememangnya
berasal dari bahasa Arab lalu digunakan sebagai kalimah dalam bahasa Melayu
juga.
Para ulama’ berbeza pendapat dalam
memberi definisi terhadap ilmu. Bahkan, ada yang mengatakan bahawanya, ia tidak
boleh didefinisikan sama sekali. Namun, kita tidak perlu masuk ke dalam
perbahasan-perbahasan mendalam dan perselisihan mengenai definisi ilmu
tersebut. Apa yang dipegang oleh ramai para ulama’ dan menjadi suatu definisi
yang muktabar adalah: Dapatan yang kukuh lagi tetap (al-Idrak al-Jazim)
yang bersesuaian dengan realiti berasaskan dalil.
Perbezaan Antara Ilmu dengan Makrifat
Dalam tradisi Islam, ilmu dan makrifat (al-Ma’rifah)
mempunyai perbezaannya. Sebahagian ulama’ membezakan ilmu dengan makrifat dari
sudut bahawa, ilmu itu tidak didahului oleh kejahilan sedangkan makrifat itu
didahului oleh kejahilan. Namun, perbezaan ini tidak tepat kerana ilmu bagi
manusia dan makhluk memag bersifat didahului oleh kejahilan. Maka, ilmu dan
pengenalan (makrifat) digunakan secara sama.
Menurut Sheikh Abd al-Rahman Hasan
Habannakah al-Maidani:
“Ma’rifah (pengetahuan) adalah apa
sahaja dapatan (idrak) bagi imej benda-benda, sifat-sifatnya,
ciri-cirinya atau tanda-tandanya, ataupun makna-makna yang tersendiri, samada
ianya betul-betul ada di luar minda ataupun tidak.
Maka, Ma’rifah yang sempurna
ialah, dapatan itu bersesuaian pula dengan perkara yang didapati itu dari sudut
realiti perkara tersebut, samada imejnya, sifatnya, ciri-cirinya, tanda-tandanya,
ataupun kewujudan atau ketiadaannya, hak atau batil, ataupun sebagainya yang
berkaitan dengan sesuatu tersebut.”[1]
Sedangkan ilmu pula adalah: “Dapatan
sesuatu atau makna mengikut apa yang sebenarnya ia pada realitinya.” Dengan
definisi ini, ianya hampir sama dengan makna Ma’rifah. Itulah yang
berkembang dalam tradisi Islam silam.
Cuma, dalam tradisi ilmu tasawwuf,
makrifat digunakan secara khusus iaitu dalam mengenal Allah s.w.t. dan hakikat
diri. Maka, makrifat ini lebih halus dan lebih tinggi berbanding perkataan ilmu
yang bersifat umum, kerana makrifat itu adalah ilmu mengenai hakikat diri dan
ilmu mengenai hakikat Tuhan. Oleh yang demikian, para ulama’ tasawwuf menggelar
mereka yang mencapai kemuncak penguasaan dalam ilmu tasawwuf dan ketuhanan sebagai
al-Arifin atau mereka yang mengenal.
Lafaz ilmu berkembang dalam peredaran
zaman. Dalam tradisi Barat, ilmu dikenali sebagai knowledge
atau science. Namun, pada kurun ke-19, dunia Inggeris terutamanya,
membataskan kalimah science kepada ilmu Sains sahaja, atau ilmu-ilmu
yang bersifat kebendaan dan boleh dikaji di makmal. Atau, dalam erti kata yang
lain, pada kurun ke-19, knowledge dengan science sudah digunakan
secara berbeza, kerana kalimah science merujuk kepada ilmu khusus
tentang ilmu atau maklumat yang didapati melalui metodologi saintifik yang
merangkumi fizik, kimia, geologi dan biologi.
Bahkan, dalam penggunaan bahasa Melayu
juga, ada yang membezakan antara ilmu dengan pengetahuan. Ia kembali kepada dua
jenis pengetahuan bagi manusia iaitu: [2]
1) Pengetahuan Biasa (ordinary knowledge) iaitu
pengetahuan tentang hal-hal seharian yang biasa seperti memasak dan sebagainya.
2) Pengetahuan Ilmiah (scientific knowledge) iaitu
pengetahuan yang tersusun atau sistematik, serta mempunyai kaedah atau
metodologi tertentu , yang mana ia dapat disebut sebagai ilmu.
Dalam pandangan Islam, ilmu yang berkembang
melalui metodologi saintifik, yang menjelaskan tentang alam persekitaran,
walaupun ianya mempunyai nilai maklumat, tetapi tidak lengkap kerana ilmu dalam
pandangan Islam lebih bersifat mendekatkan diri kepada Allah s.w.t. dan
menambah keimanan dan pengetahuan tentang Allah s.w.t.. Ia disebut sebagai ilmu
yang bermanfaat.
No comments:
Post a Comment