9.24.2013

Nilai Sebuah Kebendaan...



Nilai Sebuah Kebendaan...

Kepada mereka yang terus menganggap material dan kebendaan adalah sumber kebahagiaan...fikir semula...

Seorang jutawan datang kepada seorang imam di masjid mengadu masalah kecurangan isterinya. Dia ada jutaan ringgit namun masih tidak dapat membeli kesetiaan seorang isteri. Malah, dengan segala harta yang dibelanjakan kepada isterinya, malah harta itu juga menjadi jambatan kecurangan isteri tersebut.

Seorang ibu hartawan datang juga mengadu masalah kedegilan dan kebiadaban anak-anaknya kepada ibu bapa. Dia ada jutaan ringgit tetapi tidak mampu membeli kasih sayang, penghormatan dan kepatuhan anak-anaknya. Malah, dengan segala harta yang diberikan kepada anak-anak, malah menjadi laluan kepada kedegilan dan kebiadaban anak-anak tersebut.

Seorang anak jutawan juga mengadu masalah, tiada perhatian ibu ayah, tiada keakraban kekeluargaan daripada mereka dan lebih rapat dengan orang gaji berbanding ibu sendiri. Dia juga mewarisi harta daripada kedua ibu bapanya yang kaya, tetapi tidak mampu membeli perhatian, kekeluargaan dan hubungan baik daripada ibu bapa yang sibuk di luar rumah.

Miskin atau kaya, semua orang memang ada masalah dan sentiasa menghadapinya. Tetapi, di manakah kelebihan kebendaan dan kekayaan, jika ia sekalipun tidak mampu menyelesaikan masalah asasi dalam kehidupan? Apa yang dikejar oleh mereka yang mengejar kebendaan ketika kebahagiaan bermula dari dalaman?

Salah Arah

Kita menuju ke suatu destinasi yang pasti, iaitu kepada Tuhan. Semua orang tahu, samada setuju ataupun tidak, betapa kehidupan manusia ini sementara sahaja di dunia, sedang dia sedang menuju kematian yang entah bila akan menjelma. Semua orang sedang menuju kematian, walaupun ramai dalam kalangan manusia yang masih menjalani kehidupan seolah-olah usianya semakin bertambah.

Kehidupan kita menuju ke suatu arah, sedang minda kita menuju ke suatu arah yang bertentangan. Ramai orang ketika mudanya berusaha mengumpul 'harta' untuk dinikmati ketika waktu tuanya, sedangkan ramai dari kalangan mereka tidak sempat sampai waktu tua tersebut. Bahkan, ramai pula yang sampai waktu tua, tetapi tidak dapat menikmati apa yang diinginkan daripada harta yang dikumpulkan.

Akhirnya, mereka terbaring melihat anak cucu mereka menikmati harta benda hasil titik peluh mereka. Sedang mereka yang ketika mudanya mempunyai impian setinggi gunung, sekadar melihat debu berterbangan di udara. Rasulullah shollallahu 'alaihi wasallam pernah mengingatkan bahawa, apa yang menjadi harta kita ialah ap yang kita belanjakan pada jalan Allah, iaitu dalam tujuan ibadah, sedangkan apa yang kita simpan, sampai masanya akan menjadi harta ahli waris kita.

Rasa Cukup (Qana'ah) Sebenarnya yang Tidak Cukup

Manusia itu tamak mengejar dan bosan memiliki. Tetapi, sesuatu yang belum dimiliki ada nilainya yang palsu, lalu manusia terus mengejarnya. Mereka mengejar dan suka mengejar. Sampai satu masa, rupa-rupanya mereka sudah di dalam kubur, dalam masa yang sama, meninggalkan apa yang mereka miliki dan apa yang mereka kejar, di luar kubur.

Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya. Sehinggalah kamu masuk kubur." (Surah al-Takasur: 1-2)

Seekor anjing itu terus mengejar apa yang dibaling oleh tuannya, lalu memulangkannya semula untuk tuan tersebut membalingnya semula, lalu ia mengejarnya. Begitulah seterusnya dan selalunya. Rutin manusia ialah mengejar kerana dorongannya ialah nafsu. Ketika rumah kosong, dibeli segala perabot dan perkakas rumah sehingga penuh. Namun setelah penuh, ketika lihat perabot dan perkakas rumah lain, rasa dorongan entah dari mana (sebenarnya dari nafsu semata-mata), maka dibeli lagi perabot dan perkakas tersebut.

Rupa-rupanya, rumah dah penuh dengan perhiasan. Maka, dibuang "perhiasan-perhiasan" rumah yang pernah dia bernafsu membelinya, begitu sahaja, untuk diganti dengan perhiasan-perhiasan baharu. Sebagaimana kanak-kanak mudah bosan dengan permainan yang telah mereka miliki, begitu juga mereka yang mengaku dewasa, masih membesar umur dalam jiwa kebudak-budakan.

Apa yang tidak cukup dalam kehidupan ini? Banyak yang Allah SWT telah beri yang kita tidak minta, tetapi memang kita perlukan, berbanding apa yang kita tidak dapat daripada apa yang kita minta, walaupun kebanyakannya tidak diperlukan. Rasa cukup (qana'ah)... Itu sebenarnya yang tidak cukup dalam hidup kita. Banyak kita tidak dapat kerana banyak kita nak. Kalau kita kurangkan keinginan, kita akan dapati banyak yang telah kita dapat berbanding yang tidak dapat. 

Malang juga ketika kita makin dewasa, hidup kita semakin menuju kesudahan, kita risau terhadap banyak yang kita belum dapat, sedangkan hari-hari yang telah lalu menjadi saksi betapa sudah banyak kita dapat. Allah SWT terus memberi mengikut kehendak-Nya, sebagaimana Dia tidak memberi mengikut kehendak-Nya, tanpa mengikut kehendak sesiapa selain-Nya. Kita yang keliru lalu menyangka kita pernah dapat apa yang kita nak, kemudian terus nak apa yang kita belum dapat, sedangkan kita hanya dapat apa yang Allah kehendaki untuk berikan kepada kita. Itu sahaja. Ia bukan tentang kehendak kita, tetapi kehendak-Nya.

Makna Kehambaan yang Hilang

Bukan kebendaan dan material isunya. Tetapi, kehambaan yang hilang itu masalahnya. Seseorang yang menjalani kehidupan dengan makna kehambaan kepada Tuhan akan bahagia, samada miskin ataupun kaya. Kita hidup menuju Allah SWT, sebagaimana kita berasal daripada-Nya. Maka, kehambaan kita kepada-Nya adalah suatu yang hakiki.

Jika kita tunaikan makna kehambaan ini, kita akan menghadapi hidup secara realistik dan menikmati apa yang hakiki sebagai hakiki. Jiwa manusia, baik di kelilingi oleh harta, atau dibebani cinta harta, justeru letih dengan kepalsuan. Kekayaan bukan punca bahagian sebagaimana kemiskinan juga bukan punca derita. Rasulullah SAW memilih untuk hidup dalam kemiskinan sedang Baginda SAW ialah manusia paling bahagia di dunia. 

Qarun pula ketika mengaku harta yang di tangannya adalah daripada kebijaksanaan sendiri, lalu menderita dengan kekayaannya. Seorang insan justeru ada batasannya. Dia tidak akan keluar daripada hakikat kehambaan, samada dia memuliakan dirinya dengan menunaikan kehambaan kepada Allah SWT, ataupun dia menjadi hina dengan menjadi hamba kepada diri (nafsu) sendiri.

Memang tidak mudah menjadi hamba Allah yang baik lagi taat. Tetapi, ramai dari kalangan kita sudah terlalu banyak membuang masa dengan menjadi hamba kepada diri sendiri, sedangkan menjadi hamba kepada Allah SWT adalah jalan menuju bahagia. Kata orang, masa sudah tidak ada masa untuk buang masa dengan kita. Setiap detik yang dilalui tidak berganti dan setiap yang lalu menunjukkan usia kita semakin berkurangan di sebalik jumlah umur yang bertambah.

Usia kita terbatas. Kekuatan kita juga terbatas. Ilmu kita juga terbatas. Dalam pada itu, kehendak kita pula yang tidak terbatas. Semua benda kita nak, dan semua yang kita nak, kita pastikan dapat. Setalah dapat, bosan dan nak terus nak lagi. Mengapa dengan semua keterbatasan ini, kita tidak membataskan kehendak kita, iaitu mencari satu arah yang membawa kepada kebahagiaan yang tidak terbatas, iaitu yang bersambung ke akhirat.

Qana'ah (rasa cukup) itu rehat sedang tamak itu gila. Tamak itu: nak lagi...lagi...lagi dan lagi. Perkataan "lagi" kalau sebut berulang kali dan secara laju, tidak ada bezanya dengan "gila". Sehingga akhirnya, kita pun keliru, yang kita sebut sebenarnya ialah "lagi" atau "gila". Kalau tidak percaya, anda boleh cuba.

Wallahu a'lam

No comments:

Post a Comment