3.03.2014

Pengenalan Ilmu Tauhid (Dari Pohon Agama Karya Sultan Selangor)


Pengenalan Ilmu Tauhid

Antara Tulisan dalam Karya Pohon Agama

Karangan
Al-Syarif Al-Sultan al-Mu’azzham ‘Ala’uddin Sulaiman Shah
Ibni Al-Marhum Raja Muda Musa
Sultan Selangor Darul Ehsan (1898-1938 M)



Penjelasan Ringkas oleh 
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
'Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy  

-------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------


Soalan: Apa Awwal al-Din[1], ertinya pertama-tama yang diwajibkan pada agama itu?

Jawapan: Awwal al-Din itu makrifat Allah[2], ertinya mengenal Allah ta’ala.

Soalan: Bagaimanakah makrifat Allah itu?

Jawapan: Makrifat Allah itu: tauhidkan Allah ta’ala (mengesakan Allah ta’ala).

Soalan: Apa asal Makrifat[3] itu?

Jawapan: Asal makrifat itu membezakan antara Muhdath dan Qadim. Ertinya: Mumkin al-Wujud [itu] Muhdath dan wajib al-Wujud [itu] Qadim.

Soalan: Apa erti Tauhid Allah?

Jawapan: Tauhid Allah itu I’tiqad yang putus di dalam hati yang terbit daripada dalil dengan barang yang wajib bagi Allah ta’ala, dan yang mustahil bagi-Nya, dan yang Harus bagi-Nya. Dan iaitulah, membezakan Allah ta’ala daripada makhluk-Nya.

Soalan: Apa yang dinamai agama itu?

Jawapan: Yang dinamai agama itu ibarat daripada berhimpun tiga perkara [iaitu]: Islam, Iman, Ihsan.

Soalan: Apa erti Islam itu?

Erti Islam itu [ialah] menjunjung dan menyerah dan mengikut dengan segala anggota yang zahir bagi sekalian barang yang didatangkan dengan dia oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam.

Apa erti Iman?

Ertinya Iman itu [ialah] menerima dan percaya dan membenar dengan hati akan barang yang mendatang dengan dia oleh Nabi shollallahu ‘alaihi wasallam.

Apa erti Ihsan itu (berbuat baik)?

Erti Ihsan itu mengelokkan amalan dengan disempurnakan segala syaratnya dan rukunnya dan iaitu syarat bagi sah pada tiap-tiap ibadah.



[1] Awwal al-Din bererti yang terawal bagi agama Islam itu ialah mengenal Allah SWT atau Makrifatullah. Ia diriwayatkan disebut oleh Saidina Ali RA.

[2] Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembahKu. (Az-Zariyyat: 56)

Saidina Ibn Abbas RA dan sebahagian salaf menafsirkan maksud "menyembahKu" dalam ayat tersebut kepada maksud: "mengenalKu". Mereka menafsirkan makna ibadah kepada makrifah (mengenal) Allah SWT. Dalam ayat ini jelas menunjukkan bahawa, Allah SWT menciptakan seluruh alam ini untuk makhluk-makhluk (terutamanya manusia) mengenal Allah SWT melalui nama-nama dan sifat-sifatNya.
[3] Makrifat ialah, dapatan sesuatu secara jazam (putus atau konkrit) yang bersesuaian dengan waqie’ (realiti) berasaskan dalil yang meyakinkan.

No comments: