6.06.2009

Risalah Mahabbah: DIA Lebih Mengetahui… Malah Hanya Dia yang Maha Mengetahui




Andai anda terasa bahang panas hidupmu, lalu terasa sukar menghadapi kepanasnya, maka ingatlah kedinginan salju juga bisa membunuh –dengan kehendak Allah- dengan sifat membekunya. Andai anda letih dengan keringnya jalan hidupmu, kenanglah hujan juga bisa membanjirkan sebuah daerah lalu memusnahkan segala isinya –dengan ketentuanNya-.

Andai anda terhimpit dengan kemiskinan, ingatlah hidup orang-orang kaya juga sering terdedah kepada ramai penghasut dari kalangan teman dan lawan. Hakikat kelapangan itu bukan pada apa yang anda pandang daripada cerita hidup manusia di sana sini, tetapi daripada penghayatan anda bahawasanya Allah s.w.t. lebih mengetahui apa yang terbaik buat dirimu berbanding dirimu sendiri.

Ungkapan paling ringkas untuk menyimpan makna perkataan tersebut adalah, redha dengan Allah s.w.t., dalam setiap ketentuanNya. Redha… Ungkapan yang mengandungi makna yang tidak semudah menyebut lafaznya.



Bagaimana seorang ibu menegah bayinya daripada makan makanan yang lazat-lazat itu suatu penyiksaan terhadap bayi tersebut. Itu bukanlah seorang ibu yang mempunyai hakikat keibuan. Bagaimana Allah s.w.t. menegahmu daripada apa yang anda ingini adalah suatu penyiksaan terhadapmu selaku hambaNya (yang beriman), melainkan sang hamba sendiri tidak faham tujuan di sebalik penegahan tersebut? Hanya kebiadabanmu yang memberontak di hadapan ketentuan Allah s.w.t. yang membuat anda terus tersiksa dalam menghadapi takdirNya.

Masalah besar adalah pada, kita tidak faham Allah s.w.t.. Masalah lebih besar adalah, dalam anda tidak faham Allah s.w.t., anda tidak berbaik sangka terhadap Allah s.w.t.. Makin buruk sangka itu membawa kepada makin merasai hidup ini terlalu pahit. Makin baik sangka itu jualah yang membawa kepada makin merasai manisnya kehidupan.

Laluan hidup ini hanya satu. Dari Allah s.w.t. dan menuju Allah s.w.t.. Destinasi kita adalah asal kita. Kalau kita fokus kepada “kerana apa” kita terus berjalan menuju destinasi, maka kita tidak disibukkan dengan rintangan sana sini di sepanjang perjalanannya. Seberat-berat rintangan jalan menuju Allah s.w.t. adalah kematian yang mempercepatkan kita untuk sampai kembali kepada Allah s.w.t.. Nah, redha dengan ketentuan Allah s.w.t. pun sampai kepada Allah dan yang memberontak terhadap Allah s.w.t. juga kembali kepada Allah s.w.t..

Masalahnya bukan pada sebab yang menyebabkan kamu kembali kepada Allah s.w.t, tetapi bagaimana kamu ketika kembali kepada Allah s.w.t.. Selaku hamba atau selaku pendusta? Kata mulut mencari redha, tetapi diri sendiri tidak mampu redha. Tanpa meredhai, bagaimana diredhai?

Hidup ini untuk anda redha terhadap ketentuan Allah s.w.t. dan terus beradab di hadrahNya. Bahagialah orang yang tahu Allah s.w.t. Maha Mengetahui lalu meredhai setiap ketentuanNya. Malanglah orang yang tahu Alah s.w.t. Maha Penyayang namun masih sentiasa membangkang ketentuan Allah s.w.t..

Jangan bicara tentang erti perjuangan, kalau kita sendiri tidak tahu kerana apa kita berjuang. Hidup ini perjuangan. Namun, kalau tidak tahu tujuan kita hadapi hidup, maka, untuk apa kita teruskan hidup? Memahami makna di sebalik sebuah perjuangan walaupun gagal dalam perjuangan itu lebih berharga daripada berjaya mendapat apa yang diperjuangkan tanpa mengetahui makna di sebalik perjuangan kita. Apatah lagi, kejayaan hidup adalah pada kejayaan menghayati maknanya secara hakikinya lalu merealisasikannya sebelum menemui kematian.

Makna hidup kita adalah kita hamba Allah s.w.t.. Tujuan hidup kita adalah menunaikan kehambaan kita kepadaNya. Mati dan tahu kerana apa kita mati itu lebih baik daripada hidup namun tidak tahu kerana apa kita hidup. Apa lagi sangat berharga orang yang hidup dan tahu kerana apa dia hidup dan bakal mati serta bakal dihidupkan kembali. Inilah penghayatan yang sejati.

Senyum, menangis, susah, senang, gembira, duka, benci, suka dan sebagainya, adalah antara sifat-sifat kemanusiaan manusia. Masalahnya bukan pada sifat-sifat tersebut, tetapi kerana apa kita bersifat dengan sifat-sifat tersebut. Andai menghayati perbuatan-perbuatan Allah s.w.t. dalam diri anda, dengan sifat-sifat tersebut, maka anda bersama Allah s.w.t..

Raslullah s.a.w. jua pernah tersenyum, namun senyuman Baginda s.a.w. kerana Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. juga pernah menangis, tetapi tangisan Baginda s.a.w. adalah penghayatan keperluan diri kepada Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. juga pernah bersedih, namun sedih Baginda s.a.w. dengan penghayatan bahawa ianya menzahirkan kelemahan diri di hadap Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. jua pernah marah, namun marah Baginda s.a.w. kerana Allah s.w.t..

Adapun kita, gembira kita pun daripada kelalaian dan bukan kerana Allah s.w.t., maka bagaimana sedih kita boleh lahir daripada penghayatan kebersamaan Allah s.w.t. dan kerana Allah s.w.t.?

Kerana itulah kita perlukan nur… Cahaya Allah s.w.t. yang bisa menerangkan hakikat hidup kita. Makna hidup semuanya ada dalam lubuk hati kita, namun kita terhijab daripadanya dengan hawa nafsu kita yang ingin menjalani kehidupan dengan makna yang berbeza. Mulakanlah dengan melawan hawa nafsu yang licik. Ia wujud bukan setakat dalam maksiat, namun juga dalam taat. Malah, Rasulullah s.a.w. paling takut tipu daya nafsu dalam ketaatan kerana ianya gagal dikesan oleh kebanyakkan orang yang terhijab dengan kesolehan zahir mereka yang banyak taat dan berbuat kebaikan.

Sebab itulah Rasulullah s.a.w. bersabda, “Aku paling takut syirik kecil iaitu riya’”. Riya’ itu dalam ketaatan wahai teman-teman. Allah… Selamatkanlah kami daripada syirik kecil ini yang berpunca daripada ujub (rasa diri baik). Dalam ilmu boleh terbit ujub. Dalam amal boleh terbit ujub. Dalam akhlak mulia pun boleh terbit ujub. Hanya dengan bantuan Allah s.w.t. sahaja kita dapat bebaskan diri daripada ujub ini.

Setelah selesai ujub, maka anda akan melihat, ALLAH, di sebalik gerak dan diammu. Dialah yang Maha Wujud secara hakiki dan abadi. Dialah Maha Pembuat secara hakiki dan abadi. DIALAH ALLAH…

Bila sudah lihat ALLAH, hanya ALLAH, maka anda akan tahu kerana apa anda hadapi kehidupan ini. Malah, anda akan merasa kerdilnya diri di hadapan rahmat dan keampunanNya. Dengan melihat keagungan redhaNya, anda tidak akan berkira lagi untuk meredhaiNya dalam setiap ketentuanNya. Maka, mulalah melangkah menujuNya bersama-sama dengan mereka yang sedang melangkah menujuNya.

Moga Allah s.w.t. membimbing kita dan membawa kita kepada pembimbing yang boleh membawa kita kepadaNYa. Amin…

Al-Faqir Al-Haqir ila Rabbihi Al-Jalil Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari


‘AmalahuLlahu bi AlthofiHi Al-Khafiyyah

No comments: