Rukun-rukun
Tarbiah Tarikat Sufiyyah
Manhaj tarbiah
rohani para ulama’ sufi yang lebih dikenali sebagai Tarikat Sufiyyah
mengandungi rukun-rukun yang utama iaitu:
Pertama: Murobbi yang Kamil
Adapun istilah kamil dalam tarbiah sufi bukanlah
bermaksud seseorang murobbi itu terpelihara daripada dosa seperti seorang nabi
kerana yang demikian itu dinamakan sebagai ma’shum. Sedangkan, kamil
bererti seseorang murobbi itu sudah mengetahui kepincangan-kepincangan nafsu
dan rohani, mengetahui cara untuk menyelesaikan kepincangan-kepincangan
tersebut dan mampu melakukannya kerana mempunyai pengalaman ditarbiah oleh
seseorang murobbi sebelumnya.
Imam Al-Junaidi telah menjelaskan dengan ringkas tentang
syarat dan ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seorang Sheikh, beliau berkata: “Seseorang
tidak berhak menjadi Sheikh sampai ia menguasai semua ilmu syariah, menahan
diri dari semua yang haram, berzuhud dari dunia dan tidak lekas mengubati orang
lain sebelum ia mengubati dirinya sendiri sampai ia memiliki pengetahuan untuk
membimbing orang lain.”
Ada lima
ciri-ciri murobbi yang kamil (sempurna) iaitu:-
- Beliau mempunyai pengetahuan terhadap agama yang merupakan fardhu ‘ain.
- Beliau mengenal Allah s.w.t. dengan kefahaman yang mengikut kerangka kefahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah (tidak berfahaman Tajsim, tidak seorang Syiah, tidak seorang Mu’tazilah dan sebarang fahaman sesat yang lain).
- Beliau mengamalkan ajaran syariat Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak yang diajarkan dalam Islam.
- Beliau pernah mengambil tarbiah daripada seorang murobbi yang kamil sebelumnya dan mengetahui kaedah penyucian jiwa dan pentarbiahan murid-murid.
- Beliau mendapat izin untuk mentarbiah murid-murid daripada guru murobbinya yang juga telah mendapat izin irsyad (memberi bimbingan khusus) yang mana izin irsyad itu bersambung silsilahnya kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.
Rasulullah shollallahu
‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Wahai Ibnu Umar agamamu adalah
duniamu. Agamamu adalah darah dagingmu. Maka lihatlah terlebih dahulu dari mana
engkau mengambilnya. Ambilah agama dari orang-orang yang istiqamah jangan dari
orang yang menyeleweng. [Ia diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Adi dalam Al-Kanz
3/153]
Kedua: Murid yang jujur
Murid yang jujur (sidq) adalah seseorang yang jujur
dan benar dalam keinginan untuk sampai kepada keredhaan Allah s.w.t. dan
berusaha untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. hanya kerana ingin
mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t..
Ketiga: Manhaj Tarbiah yang Sahih
Manhaj tarbawi yang sahih adalah
manhaj tarbiah yang bersesuaian dengan kerangka umum ajaran Al-Qur’an dan
As-Sunnah dan tidak bertentangan dengan ketetapan dan panduan syarak. Para
ulama’ sufi justeru adalah antara mereka yang sangat menguasai ilmu-ilmu agama
secara meluas dan kefahaman-kefahaman yang sahih terhadap nas-nas agama serta
antara yang paling kuat menjalani kehidupan dengan berteraskan panduan syarak.
Adapun kaedah mengambil tarbiah kerohanian sufi ini pula
adalah dengan cara bai’ah dan labs khirqah iaitu suatu tradisi di
mana seseorang murobbi itu masuk ke tarbiah sufi. Guru kami, Sheikh Rahimuddin
menyebutkan dalam kitab At-Tasawwuf Al-‘Amali: Al-'ahd adalah
pengikat yang paling kuat antara dua orang yang saling mencintai kerana Allah
dan saling berjanji untuk mentaati Allah. Itulah bai'at yang bertujuan untuk
Allah di jalan Allah dan dengan Alllah.
Sandarannya
adalah pada Allah S.w.t. berfirman:
"Sesungguhnya Allah telah meredhai orang mukmin ketika
mereka berbai'at di bawah pohon. maka Allah mengetahui apa yang ada di hati
mereka, lalu menurunkan ketenangan di
hati mereka dan memberi mereka ganjaran dengan kemenangan yang dekat.". (Surah Al-Fath: 18)
Baiah Tarbiah ini juga berpandukan sunnah Rasululah
S.a.w. di mana Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika
berkumpul dengan para sahabat: "Terimalah bai’ah ku untuk tidak menyekutukan Allah dengan
sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak dan tidak
mendatangkan tuduhan yang keji di antara kalian, serta tidak menentang
kebaikan. Maka barang siapa yang memenuhi bai'ah ini di antara kalian akan
memperoleh pahala dari Allah dan barang siapa yang melanggar akan di sangsi di
dunia sebagai kafarat dan apabila ia melanggar tanpa balasan dunia (tidak
dibukakan Allah aibnya) maka semua berpulang kepada Allah, jika Ia ingin maka
akan diampuni. Begitu juga jika Ia ingin menyangsi. Maka kamipun menerima baiat
tersebut". [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]
Isi perjanjian dan bai’ah tersebut adalah seseorang murid
berjanji di hadapan sheikhnya untuk berusaha mentaati Allah s.w.t. dan berusaha
untuk meninggalkan maksiat sebagaimana isi bai’ah tarbiah Rasulullah shollallahu
‘alaihi wasallam.
Tarbiah sufi berkembang pesat dalam masyarakat Islam hasil
usaha gigih para murobbi sufi yang mendapat bantuan dan petunjuk daripada Allah
s.w.t. melalui manhaj tarbiah yang disebutkan tadi. Ia mendapat penerimaan yang
meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat Islam yang khususnya bagi mereka
yang mencari jalan hidayah. Bahkan, ramai juga orang-orang kafir yang memeluk
Islam daripada usaha dakwah sufi sejak zaman berzaman. Ini menunjukkan peranan
kaum sufi dalam masyarakat samada secara langsung mahupun tidak. Demikian
adalah keaslian bentuk dakwah dan tarbiah dalam umat Islam suatu ketika dahulu
secara umum.
3 comments:
^_^
Salam alaik...
Saya membaca banyak penulisan saudara di blog.. Insyallah, akan dibawa kepada pembacaan buku-buku saudara...
Tertarik dengat tarikat sufiyyah, tetapi tak tahu, macam mana boleh mengikuti pondok tarbiyahnya, mohon pencerahan.
W/salam warahmatullah...
Alhamdulillah atas nikmat mahabbah fillah...
Insya Allah, jika nak bincang lanjut tentang manhaj tar biahnya, boleh email al-faqir:
ahmad_mukhlis10@yahoo.com
Syukran...
Post a Comment