Para ulama’ sufi tidak ketinggalan dalam
memberi sumbangan mereka dalam perkembangan ilmu pengetahuan. Antara
perkembangan utama dalam bidang ilmu pengetahuan adalah perkembangan bidang
falsafah termasuklah falsafah ilmu itu sendiri.
Sebagaimana diketahui, di awal
perkembangan bidang falsafah Islam, ianya banyak dicemari oleh pengaruh
pemikiran Yunani dan sebagainya yang tidak bersesuaian dengan Islam. Ini
kerana, bidang falsafah dikembangkan oleh beberapa tokoh Islam yang sangat
berpegang dengan penggunaan akal secara berlebihan tanpa suluhan kerohanian
yang murni.
Maka, muncul seorang tokoh besar sufi
yang terkenal iaitulah Hujatul Islam Imam Al-Ghazali r.a., yang bukan
setakat mencetuskan perubahan dalam bidang ilmu tasawwuf, tetapi beliau juga
mencetuskan sebuah pemurnian bidang falsafah Islam terutamanya menerusi dua
karya beliau yang berjudul Maqasid Al-Falasifah dan Tahafut
Al-Falasifah.
Begitu juga, setelah itu, ilmu falsafah
Islam dikembangkan oleh ramai tokoh sufi besar trutamanya setelah perkembangan
ilmu hikmah yang merupakan suatu bentuk ilmu falsafah Islam yang murni
berteraskan perpaduan antara kebersihan hati yang mendapat ilham daripada Allah
s.w.t. atau ilmu ladunni (self-knowledge) dan kecerdasan akal dengan
penguasaan ilmu mantik.
Ilmu Hikmah (perkembangan bagi
ilmu mantik dan falsafah Islam) berkembang terutamanya melalui kitab Hikmah
Al-Isyraq karangan Imam Suhrawardi r.a. (549-587 H). Kitab ini
membahaskan tentang proses mencapai hikmah di sisi para Hukama’.
Sebahagian pengkaji mengandaikan bahawasanya, hikmah Al-Isyraq merupakan
pengaruh kepada pemikiran yang terkandung dalam kitab Misykat Al-Anwar
karangan Imam Al-Ghazali r.a..
Bahkan, perbahasan hikmah dalam bab
ketuhanan dan kewujudan turut mempengaruhi sesetengah tokoh sufi terkemudian
seperti Sheikhul Akbar Ibn Arabi r.a. (560-638 H) lalu dikembangkan oleh
Imam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari (658-709 H) melalui kitab Hatk Al-Astar,
Imam Abdul Karim Al-Jili r.a. (767-832 H), Imam Abdul Wahab As-Sya’rani
As-Syafi’e Al-Misri r.a. (898-973 H) menerusi kitab beliau Al-Kibrit
Al-Ahmar dan Imam Abdul Ghani An-Nabulsi r.a. (1050-1143 H). Mereka inilah yang memurnikan falsafah Islam dengan panduan ilmu tasawwuf
murni. Ilmu mereka berbeza dengan tasawwuf falsafi yang dikenali oleh
sesetengah ahli ilmu kerana ahli ilmu yang menganggap atau menilai tasawwuf
falsafi adalah golongan yang tidak memahami ilmu yang para ulama’ sufi
tersebut kembangkan kerana sekadar berinteraksi dengan zahir
perkataan-perkataan mereka, tanpa berkongsi rasa yang menyebabkan mereka
berkata dengan perkataan-perkataan sedemikian. Bukan semua perkataan itu
terbatas kefahamannya dari sudut zahir.
Bidang hikmah juga dikembangkan
oleh beberapa tokoh sufi lain seperti Imam Najmuddin Al-Qazwini (w: 675 H)
melalui kitab beliau berjudul ‘Ain Al-Qawa’id fi Al-Mantiq wa Al-Hikmah,
Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya. Lalu, ianya diteruskan oleh Imam
As-Syarif Al-Jurjani menerusi kitab beliau Syuruh ‘ala Syarh Al-Bukhari ‘ala
Hikmah Al-‘Ain, Hasyiyyah ‘ala Hikmah Al-‘Ain dan sebagainya.
Dalam bidang astronomi pula, antara
tokoh-tokoh sufi yang mengembangkan ilmu tersebut adalah seperti Imam
Al-Ghazali r.a., Sheikh Abdul Rahman As-Sufi (w: 376 H) dan Imam Abdul Qadir Al-Jailani
r.a.
Dalam bidang ilmu agama juga, para
ulama’ sufi banyak memainkan peranan yang penting. Institusi pendidikan utama
dalam negara-negara Islam banyak melibatkan para ulama’ sufi seperti Al-Azhar
As-Syarif di Mesir, pengajian di Haramain sebelum zaman pengaruh wahabi,
Maghribi, pengajian di pondok-pondok dan madrasah di Nusantara dan
sebagainya.
Kesimpulannya, bidang ilmu yang menjadi
kunci kepada penguasaan terhadap ilmu pengetahuan dikembangkan oleh sebahagian
ulama’ sufi iaitulah bidang hikmah (kebijaksanaan). Bahkan, sebahagian para
ulama’ sufi menggabungkan penggunaan akal dengan penghayatan perasaan rohani
lalu mengetengahkan perbahasan-perbahasan berbentuk kebijaksanaan.
Maka, tradisi berfikir dalam amalan sufi
juga banyak dikaitkan dengan hikmah kerana mempunyai gabungan antara kecerdasan
akal dan kejernihan hati yang disuluhi ilham dari Ilahi. Maka, kita banyak
mendengar dalam kitab-kitab golongan sufi, ada yang dikenali sebagai pelajaran Hikam
sebagaimana Hikam Abu Madyan, Hikam Ibn ‘Atho’illah As-Sakandari,
Hikam Al-Kurdi dan sebagainya.
Para ulama’ sufi generasi setelah itu
berperanan besar dalam mengembangkan bidang hikmah dan mempimpin bidang
falsafah dan pemikiran Islam terutamanya dalam menghadapi pelbagai serangan
pemikiran masa kini seperti fahaman Sekularisme, Liberalisme, Pluralisme
dan sebagainya.
No comments:
Post a Comment