Turun Naik Perkembangan Ilmu Pengetahuan
Jika kita perhatikan tadi, jelas menunjukkan
bahawasanya, tamadun Islam pernah meneroka
bidang ilmu dan memimpin penguasaan ilmu termasuklah ilmu-ilmu yang diambil
daripada sumber dan bangsa asing. Bahkan, para ilmuwan Islam yang lebih
mnunjukkan minat kepada ilmu berbanding para ilmuwan dari bangsa-bangsa lain. Mereka didorong oleh minat dan semangat cinta ilmu dengan
penghayatan terhadap jati diri keislaman mereka, sebelum mempunyai minat
mnguasai bahasa-bahasa asing. Oleh itu, mereka fokus kepada tujuan ketika
menguasai bahasa asing iaitu penguasaan trhadap ilmu atas semangat panduan
hadis “hikmah adalah ciciran orang beriman tersebut.
Dalam dunia Islam hari ini, sejak kemunduran mereka setelah
kejatuhan sistem khilafah, bahkan sebelum itu lagi, sudah mula menjauhi
semangat cintakan ilmu pengetahuan. Berbeza dengan dunia Barat yang cuba
bangkit daripada zaman kegelapan (Dark Ages) terutamanya setelah
kemunculan gerakan Renaisans di Itali, gerakan Reformation yang
dipimpin oleh Martin Luther seterusnya proses Sekularisasi secara besar-besaran
dalam masyarakat Barat.
Dunia Barat memang mempunyai sejarah hitamnya dalam bidang
ilmu pengetahuan ketika pihak gereja menjadi halangan terbesar terhadap
tokoh-tokoh ilmuwan dalam mengembangkan bidang ilmu pengetahuan di Barat. Ia
berbeza dengan tradisi Islam di mana para ulama’ sebagai agamawanlah dalam masa
yang sama memimpin perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang rasional (aqliyyah).
Maka, bagi dunia Barat, proses Sekularisasi adalah penyelasaian terhadap
kemelut keilmuan mereka kerana hanya dengan mengurangkan pengaruh pihak
agamawan sahaja, para ilmuwan Barat dapat menguasai bidang pengetahuan.
Mungkin, antara faktor kemerosotan bidang pengetahuan dalam
masyarakat Islam adalah apabila institusi pengajian terbesar umat Islam pada
ketika itu, iaitu Al-Azhar, pernah memutuskan hubungannya dengan ilmu-ilmu Aqliyyah, disebabkan
ada suara yang mengharamkan ilmu-ilmu tersebut terutamanya ilmu mantik dan
falsafah. Kemunduran dalam bidang ilmu-ilmu Aqliyyah di Al-Azhar ketara
pada ketika itu sehingga dikatakan ilmu Matematik sendiri tidak diajarkan di
sana pada hujung kurun ke-12 Hijrah. Pada ketika itu, al-Azhar hanya merupakan
institusi pengajian yang mengajar ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab sahaja.
Walaupun perkara tersebut tidak lama, ia tetap mempengaruhi perkembangan bidang
pengetahuan dalam masyarakat Islam, ketika mana dalam masa yang sama,
masyarakat Barat sedang pesat membangunkan bidang pengetahuan.
Ketika ajaran agama cuba diketepikan di
dunia Barat, ramai para ilmuwan Barat berpegang kepada Empirisisme yang lebih
mementingkan perkembangan ilmu yang berkaitan dengan alam fizikal semata-mata
dan meminggirkan perbahasan tentang alam metafizikal atau perkara-perkara
ghaib. Di samping semangat dualisme ini, kecenderungan anti-tuhan atau athiesme
turut berkembang dalam kalangan ilmuwan mereka. Ia berlaku secara
beransur-ansur antara abad ke-18 sehingga abad ke-20 Masihi yang mana ketika
itu dikenali sebagai Abad Ideologi (Age
of Ideologies).
Perkembangan ini akhirnya mencorakkan
budaya hidup masyarakat yang baharu di dunia Barat, di mana pada asalnya mereka
berpegang teguh kepada ajaran Kristianiti dan patuh kepada didikan gereja, mula
menjauhkan diri daripada ajaran keagamaan atas nama kemajuan dan ilmu
pengetahuan. Bagi mereka, ajaran keagamaan adalah suatu yang kolot jika
dibandingkan dengan ilmu pengetahuan yang sedang berkembang kerana banyak
mistik dan mitos dalam ajaran keagamaan yang tidak dapat dibuktikan melalui penyelidikan
saintifik.
Lalu, pengkhianatan terbesar dalam
sejarah keilmuan berlaku dalam bidang pengetahuan, atas nama ilmu, berteraskan
semangat anti-tuhan dan anti-keagamaan. Ketika Charles Darwin (1808-1882)
mengetengahkan idea evolusinya dalam dua buku terkenalnya iaitu The Origin
of Spices dan The Descent of Man (1871), para ilmuwan Atheis mula
melihat idea evolusi ini sebagai suatu senjata terbaik dalam melawan ajaran
agama terutamanya pada menjawab persoalan asasi dalam kehidupan manusia iaitu “manusia
berasal dari mana?”.
Walaupun idea evolusi Darwin tidak dapat
dibuktikan benar, tetapi dengan alasan bahawa ianya masih tidak dapat
dibuktikan salah, Darwinisme ini terus diterima sebagai unsur terpenting dalam
bidang sains terutamanya berkaitan biologi. Idea-idea perubahan spesis daripada
spesis purba yang ringkas menuju spesis lain yang lebih kompleks melalui proses
evolusi yang berlaku secara rawak dan dipengaruhi oleh panduan tabi’e (natural
selection) atau pertarungan tabi’e (war of nature) terus diterapkan
dalam bidang sains secara khusus bahkan turut mempengaruhi bidang sejarah kemanusiaan.
Lebih malang lagi, idea ‘hanya yang
terkuat sahaja yang layak untuk terus hidup’ (servival for the fittest)
yang diketengahkan oleh Darwin dalam bidang biologi turut mempengaruhi bidang
politik. Falsafah-falsafah radikal seperti Marxisme dan Komunisme muncul atas
semangat ‘kehidupan hanya untuk yang terkuat’ sehingga mencetuskan kisah-kisah
merah berdarah dalam lembaran sejarah kemanusiaan.
Budaya keilmuan yang nampak dipimpin
oleh dunia Barat kini dipenuhi kepalsuan yang nyata atas nama ilmu. Bahkan,
ketika para ulama’ Islam menetapkan sifat ilmu perlulah bertaraf yakin, para
ilmuwan Barat masa kini sekadar mengembangkan waham dan prasangka lalu
dinamakan sebagai ilmu. Bahkan, mereka juga bersikap tidak mementingkan
persoalan-persoalan asasi dalam kehidupan seperti kita berasal dari mana,
kenapa kita wujud di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas kematian. Mereka
lebih bersikap pragmatisme dan mementingkan nilai-guna sebagai ukuran bagi
sesuatu ilmu.
Nilai dan Pengaruh Sekularisasi Ilmu
Pengetahuan dalam Budaya Hidup Masyarakat
Dalam bidang sains tabi’e atau fizikal,
pengaruh aliran empirisisme dan evolusionisme sangat kuat. Ia sedikit sebanyak
menggugat keimanan dan aqidah Islam, bahkan menggugat ajaran keagamaan secara
lebih umum. Aliran empirisisme yang berkembang dalam bidang sains tabi’e
misalnya, meletakkan ukuran kebenaran pada pengalaman pancaindera dan ujikaji
saintifik semata-mata. Maka, perkara-perkara yang diajarkan oleh agama
berkenaan dengan ketuhanan dan alam ghaib tidak mempunyai nilai ilmu atau
kebenaran dalam neraca aliran ini. Lebih malang lagi, aliran evolusionisme yang
mendominasi dalam bidang sains tabi’e ini, sedikit sebanyak mencabar ajaran
agama yang mengatakan bahawasanya bapa pertama bagi manusia ialah Nabi Adam
a.s., sedangkan Darwin menerusi teori evolusinya mendakwa, manusia adalah
sejenis makhluk yang berevolusi daripada beruk.
Dalam bidang sains sosial pula,
falsafah-falsafah yang negatif menjadi sandaran utama yang dilihat turut
bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain pengaruh aliran evolusionisme,
aliran Freudian turut ketara dalam bidang sosiologi. Freud mendakwa bahawasanya
konsep ketuhanan dan agama adalah suatu ilusi bagi manusia hasil daripada
penyakit jiwa mereka akibat tekanan hidup sejak zaman kanak-kanak. Bahkan, dia
juga mendakwa bahawasanya, manusia hidup berteraskan dorongan seksual sehingga
menganggap kebahagiaan dapat dicapai dengan kepuasan seksual. Perkara ini
mendorong kepada sikap menjauhi amalan-amalan keagamaan yang mulia sehingga
mencetuskan kerosakan akhlak yang sangat buruk atas nama kebebasan hak asasi
manusia. Atas semangat ini jugalah, timbulnya seruan ke arah amalan seks yang
songsang seperti yang diperjuangkan oleh komuniti LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgender) dan sebagainya.
Dalam bidang ekonomi pula, tidak banyak
berbeza dengan bidang-bidang ilmu yang lain di mana ianya turut dipengaruhi
oleh aliran yang rosak seperti Kapitalisme dan Sosialisme. Walaupun kedua-dua
aliran ini kelihatan bertentangan antara satu sama lain, tetapi kedua-duanya
menggalakkan amalan riba dan penindasan terhadap yang lemah. Begitu juga dalam
bidang sejarah, pengaruh evolusionisme sangat kuat sehingga mengetengahkan
peringkat-peringkat manusia yang bermula sebagai manusia primitif dan tidak
bertamadun menuju perubahan ke arah lebih maju, sedangkan dalam konsep Islam,
Nabi Adam a.s. sebagai bapa manusia adalah seorang manusia yang berilmu dan
bertamadun.
Cabaran Umat Islam dalam Bidang Ilmu dan
Budaya
Sikap anti-tuhan berkembang secara tidak
langsung dalam masyarakat awam, terutamanya melalui saluran institusi-institusi
pengajian. Para ilmuwan Barat dilihat berjaya mengemudi agenda Sekularisasi
mereka dengan baik dalam perjalanan memasyarakatkan nilai-nilai Sekularisme
tersebut melalui bidang pengetahuan. Budaya hidup mengamalkan ajaran keagamaan
semakin terpinggir walaupun masih ramai yang mengaku beragama, tetapi agama
sekadar suatu status sosial dalam masyarakat, tanpa berperanan sebagaimana
sepatutnya.
Sehinggakan, masyarakat Barat kini sudah
lebih terkenal sebagai sebuah masyarakat yang tidak beragama dalam konteks yang
sebenar, walaupun mengaku masih beragama. Apa yang dimaksudkan sebagai tidak
beragama adalah, mereka tidak mengamalkan ajaran agama tetapi sekadar
menjadikan agama sebagai sebuah aktiviti sosial yang terhad. Insititusi
keluarga juga dibina atas binaan yang rapuh disebabkan budaya hidup yang tidak
lagi dipandu oleh nilai-nilai yang positif. Maka, keluarga-keluarga yang dibina
adalah keluarga nuklear yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lalu memberi
kesan kepada persekitaran.
Budaya hidup masyarakat Barat ini tidak
jauh daripada masyarakat Islam bahkan dalam rumah-rumah mereka sahaja, bukan di
luar jendela. Budaya Barat diketengahkan dalam masyarakat dunia melalui media
massa dan elektronik, bahkan melalui pengajian, sukan, hiburan dan sebagainya.
Salah satu daripada bukti-bukti masyarakat Islam mula terpengaruh bahkan
semakin ketara pengaruhnya terhadap budaya hidup masyarakat asing adalah pada
penguasaan bahasa mereka terhadap bahasa asing, bukan sebagai sebuah sarana
untuk menguasai ilmu pengetahuan, tetapi sekadar untuk berbudaya dengan budaya
asing.
Kita dapati, ramai ibu bapa
seronok jika anak-anak mereka boleh cakap bahasa Inggeris misalnya, sejak kecil,
walaupun kadang-kala lebih baik berbanding bahasa ibunda sendiri. Alasan
mereka, penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris adalah sangat penting
kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu pengetahuan pada zaman ini. Memang
benar, jika itu alasan dan tujuan mereka, ia adalah suatu perkara yang wajar
dan baik sebagaimana disebutkan dalam perjalanan sejarah tamadun Islam.
Tetapi, selain kepincangan dalam bidang pengetahuan masa
kini, bahasa asing juga menjadi medium yang boleh memberi pengaruh budaya asing
dalam sesebuah masyarakat. Jika sesebuah masyarakat itu lemah dalam
mempertahankan jati diri sendiri seperti cara hidup dan bahasa sendiri, sudah
pastilah ia boleh dipengaruhi oleh cara hidup asing melalui penguasaan bahasa
asing.
Pepatah ada menyebut bahawa, bahasa jiwa bangsa. Ia adalah
jati diri sesuatu bangsa yang perlu dipertahankan sebagaimana bangsa Arab
mempertahankan dan mengembangkan bahasa Arab mereka. Tidak salah menguasai
bahasa asing bahkan ianya sangat baik jika dua perkara diambil kira:
Pertama: Perlu terlebih dahulu menguasai bahasa ibunda
sebelum menguasai bahasa asing. Perkara ini sangat wajar dipentingkan kerana
kita dapati ramai anak muda yang bertutur dalam bahasa Melayu tidak dapat
mengucapkannya sebaik pertuturan mereka dalam bahasa Inggeris. Bahkan,
kadang-kala, mereka bercakap dengan menggunakan bahasa ‘rojak’, iaitu gabungan
antara bahasa ibunda dengan bahasa asing, samada sengaja ataupun tidak, ataupun
bertutur dalam bahasa ibunda dengan loghat dan sebutan bahasa asing.
Kedua: Perlu fokus kepada tujuan penguasaan bahasa asing
iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan, bukan untuk mengikut nilai-nilai bangsa
asing yang negatif, apatah lagi dalam konteks yang kita bincangkan tentang
penguasaan bahasa Inggeris mempunyai kaitan dengan perkembangan budaya
masyarakat Inggeris-Barat yang sangat negatif pada masa kini. Ia berbeza dengan
menguasai bahasa asing yang mempunyai nilai-nilai positif bagi bangsa tersebut
seperti kecenderungan untuk menguasai bahasa Arab kerana keinginan untuk
mengikut budaya Arab yang banyak dipengaruhi oleh ajaran Islam yang mulia dan
dekat dengan corak kehidupan Rasulullah SAW, terutamanya Arab-Quraisy.
Sudahlah bidang ilmu memberi ancamannya yang sendiri terhadap
jati diri dan keperibadian umat Islam yang perlu dipertahankan dengan ajaran
murni Islam, budaya Barat yang terus berkembang juga sangat memberi tekanan dan
ancaman bagi umat Islam juga. Oleh sebab itulah, umat Islam secara umum perlu
lebih kuat mempertahankan jati diri keislamannya dalam menghadapi pengaruh
bidang keilmuan dan budaya yang negatif daripada Barat.
Kita dapati bangsa Melayu secara khusus, telah lama membina
jati diri bangsa berasaskan ajaran Islam. Maka, pengaruh agama Islam dalam
budaya Melayu juga sangat kuat termasuklah dalam bahasanya. Kita boleh dapati
banyak perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang mempunyai hubung kait
dengan perkataan-perkataan Islam. Sebagai contoh, perkataan solat (as-solah)
dalam bahasa Arab mempunyai dua makna berlainan iaitu makna dari sudut
bahasanya dan makna dari sudut penggunaan Islam (syarak). Al-Solah dalam
pengertian dari sudut bahasa Arab bermaksud doa secara mutlak sedangkan al-solah
dalam pengertian syarak (penggunaan Islam) adalah, himpunan perkataan-perkataan
dan perbuatan-perbuatan yang tertentu, yang dimulakan dengan takbir dan
disudahi dengan salam.
Maka, solat dalam bahasa Melayu hanya mempunyai satu makna
sahaja iaitu sembahyang bagi agama Islam. Maksudnya, solat dalam penggunaan
bahasa Melayu dengan makna dari sudut penggunaan syarak juga. Ia berbeza dengan
bahasa Inggeris yang menggunakan terjemahan bagi as-solah sebagai pray yang
mempunyai dua maksud, samada berdoa secara umum ataupun solat secara khusus. Ini
menunjukkan bahasa Melayu mempunyai pengaruh ajaran Islam yang kuat. Begitu
juga kalimah Allah s.w.t., dalam penggunaan bahasa Melayu, hanya layak
digunakan bagi merujuk kepada Tuhan bagi orang-orang Islam sahaja.
Maka, jika terhakisnya penguasaan bahasa Melayu daripada
bangsa Melayu-Islam, mereka akan terdedah kepada pengaruh asing termasuklah
dari sudut budaya. Cabaran masyarakat Melayu-Islam secara khusus bukan setakat
memelihara budaya asal mereka, tetapi pada mempertahankan corak hidup beragama
yang menjadi amalan mereka sejak sekian lama. Kekeliruan semasa berkembang menuju
ke arah yang berbeza daripada tujuan murninya. Ketika penguasaan bahasa asing
seperti bahasa Inggeris ditekankan dalam dasar pendidikan negara, ramai anak
muda dalam masyarakat Islam keliru tentang kepentingan penguasaan bahasa
Inggeris sehingga akhirnya bahasa Inggeris menjadi sarana pengaruh budaya asing
yang negatif dalam kehidupan mereka seharian.
Kita dapati terdapat segolongan Melayu-Muslim di Malaysia
secara khusus yang bertutur di bumi Malaysia kepada sesama mereka dalam bahasa
Inggeris atau bahasa campuran (Manglish), tetapi bahan bacaan mereka tidak
lebih daripada sekadar novel-novel cinta dan romantik ala-Barat, majalah-majalah
hiburan antarabangsa, komik-komik dan sebagainya. Mereka keliru dalam fungsi
sebenar dirinya sebagai seorang Melayu-Muslim dalam menguasai bahasa asing.
Samalah seperti fenomena ketika kita mengunjungi Mesir, kita
melihat sekumpulan bangsa Arab Mesir sedang berbual sesama mereka dalam bahasa
Mandrin di tengah-tengah kota Kaherah. Hal sebegini tidak ganjil jika ianya
berlaku di dalam sebuah institusi pengajian bahasa Mandrin walaupun di Kaherah
dan melibatkan bangsa Arab Mesir, ataupun ianya berlaku di salah sebuah bandar
di China walaupun melibatkan warga Arab Mesir, ataupun ianya berlaku melibatkan
sesama bangsa Cina walaupun di bandar Kaherah.
Solusi Kepada Kekeliruan
Dua perkara yang perlu dipupuk bagi menyelesaikan kekeliruan
ini. Pertama, memupuk semangat cinta ilmu dalam masyarakat. Kedua, menanam
semangat cinta kepada tanah air dan jati diri bangsa yang bersesuaian dengan
ajaran Islam.
Islam sebagai agama yang mengajak manusia kepada kebenaran
dan membuktikan kebenaran sebagai kebenaran dengan bukti-bukti yang meyakinkan.
Ini menunjukkan bahawasanya, Islam adalah agama yang menggalakkan budaya ilmu.
Usaha memupuk semangat cintakan ilmu perlu berteraskan semangat ‘mengamalkan
ajaran Islam’, dalam masyarakat Islam. Suasana Sekularisme dan Hedonisme dalam
masyarakat Islam terutamanya setelah dipengaruhi budaya Barat sedikit sebanyak
mengurangkan rasa cinta kepada ilmu pengetahuan tetapi sebaliknya masyarakat
lebih cenderung kepada mengejar kepuasan diri sendiri.
Islam juga mengajar sesuatu bangsa itu agar menghargai keistimewaan
yang ia miliki. Oleh sebab itulah, dalam Al-Qur’an ada menjelaskan bahawasanya,
kepelbagaian bangsa dan kaum itu adalah antara hikmah Allah s.w.t. dalam
kejadian manusia, dalam rangka untuk mewujudkan interaksi ‘saling
kenal-mengenali’ antara sesama bangsa. Jika sesuatu bangsa itu tidak ada
identiti tersendiri yang membuatkan ia istimewa dari sesuatu sudut dan berbeza
berbanding bangsa-bangsa lain, maka tidak timbullah agenda ‘saling mengenali
antara sesama bangsa yang berbeza. Ini kerana, dengan identiti yang berbezalah,
sesuatu bangsa itu mengenali bangsa lain dan dikenali juga oleh bangsa lain,
sebagaimana berbezanya antara lelaki dan wanita.
Nilai-nilai positif dari bangsa lain memang boleh diambil dan
dimanfaatkan selagimana tidak melibatkan perkara-perkara negatif terutamanya
berdasarkan ukuran agama. Rasulullah SAW sendiri mengambil idea menggali parit
ketika perang Khandaq daripada strategi perang bangsa asing begitu juga
menjadikan cincin Baginda SAW sebagai cop rasmi, juga daripada budaya bangsa
asing. Tetapi, tetap sahaja Baginda SAW mempertahankan budaya Arab-Quraisy yang
merupakan bangsa asal Baginda SAW seperti pakaian, makanan dan sebagainya.
Bahkan, Rasulullah SAW juga ketika mengelak daripada memakan dhob, Baginda SAW
menyebut bahawasanya, kaumnya tidak biasa makan makanan itu, maka Baginda SAW
tidak mahu memakannya.
Cuma, dalam perkembangan semasa, budaya Barat mempunyai
unsur-unsur negatif yang lebih dominan berbanding nilai positif. Daripada corak
pemikiran yang berteraskan anti-agama dan anti-tuhan, sehinggalah corak hidup
dan budaya yang turut bersifat anti-agama, justeru menyebabkan masyarakat Islam
harus mengetahui sempadan dalam mengikut budaya sesuatu bangsa.
Kita tidak nafikan bahawasanya, bangsa asing seperti bangsa
Inggeris mengembangkan bidang pengetahuan walaupun secara korup dan sarat
penyelewengan ilmiah, namun tetap banyak yang boleh diambil manfaat. Maka,
masyarakat Islam wajar memupuk semangat cinta kepada ilmu agar usaha penguasaan
bahasa asing seperti bahasa Inggeris tidak membawa ke haluan yang tidak
sepatutnya, iaitu berkembangnya pengaruh budaya asing yang negatif dalam
masyarakat.
Ibu bapa dan kerajaan perlu peka terhadap tujuan penguasaan
bahasa asing agar generasi muda tidak hilang arah dalam seruan ke arah
menguasai bahasa-bahasa asing. Sebagaimana bahasa adalah jalan menuju ilmu,
ianya juga dalam masa yang sama adalah jalan menuju budaya. Dalam suasana dunia
Barat yang sedang pesat membangunkan nilai-nilai negatif samada dalam bidang
pengetahuan mahupun dalam bidang budaya, masyarakat Islam perlu menjadikan
panduan agama sebagai sebaik-baik panduan dalam menilai apa sahaja yang
didapati daripada bangsa-bangsa asing tersebut. Sudah tentulah, penguasaan
terhadap ilmu pengetahuan lebih utama berbanding sekadar berbudaya dengan
budaya bangsa-bangsa lain. Justeru, fokus perlu dibentuk secara jelas dalam
semangat penguasaan bahasa asing ini, agar masyarakat Islam tahu tujuan asal
mereka tersebut.
Wallahu a’lam…
Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
25 Disember 2012, Putrajaya
No comments:
Post a Comment