Pengenalan
Manusia adalah makhluk bersosial.
Mereka hidup dalam suasana bermasyarakat dan saling berkomunikasi antara satu
sama lain. Mereka berinteraksi menggunakan perkataan-perkataan yang difahami
dalam kalangan mereka. Para ulama’ berbeza pendapat tentang bahasa asal
manusia, samada ianya adalah rekaan manusia ataupun daripada panduan dan
pedoman Allah s.w.t. [Surah al-Baqarah: 31].
Dalam ajaran Islam, Nabi Adam a.s.
dan keluarga baginda adalah manusia terawal yang berkomunikasi di dunia.
Berdasarkan hadis riwayat Imam Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam
Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan sebagaiya, begitu juga dalam
riwayat Imam Ahmad dalam al-‘Ilal dan sebagainya, ketika Nabi Adam a.s.
diturunkan dari Syurga, beliau bertutur dalam bahasa Suryani.
Ketika polulasi manusia bertambah
lalu tersebar ke pelbagai pelusuk tempat, maka, berkembanglah pertuturan dalam
kelompok-kelompok yang berbeza sehingga membentuk perbezaan. Sehinggakan, pada
zaman Nabi Ismail a.s. dan sebagainya, berkembangnya bahasa Arab yang berbeza
daripada bahasa Suryani. Kemudian, berkembang pula bahasa Ibrani dalam kalangan
bangsa Yahudi lalu berkembang juga bahasa-bahasa lain di timur dan Barat.
Dalam hubungan sosial kemanusiaan,
bahasa bukan satu-satunya yang terbentuk dalam masyarakat, tetapi juga budaya.
Jika bahasa boleh dikatakan sebagai ukuran komunikasi lisan dalam masyarakat,
budaya boleh dianggap sebagai ukuran komunikasi tindakan dalam masyarakat tersebut
Sebagaimana komunikasi lisan dalam masyarakat mengembangkan bahasa masyarakat
tersebut, begitu juga komunikasi tindakan turut mengembangkan budayanya. Selain
perkembangan bahasa dan budaya, ilmu juga turut berkembang dalam sesebuah
masyarakat, natijah daripada perkembangan pemikiran dan komunikasi intelek
dalam kalangan mereka.
Perkembangan Ilmu dan Budaya
Dalam sesebuah bangsa, sebagaimana
berkembangnya ilmu dalam kalangan mereka, begitu juga dengan budaya.
Sebagaimana berkembangnya corak pemikiran, berkembang juga corak hidup sesebuah
masyarakat. Corak pemikiran yang berkembang dalam sesebuah masyarakat turut
dianggap sebagai sebahagian daripada ilmu pengetahuan, sebagaimana kefahaman
mereka terhadap sesuatu perkara.
Bahkan, dalam sesetengah masyarakat,
wilayah atau ruang lingkup ilmu tidak terbatas kepada perkara-perkara fizik
semata-mata, malah ianya juga melibatkan perkara-perkara yang ghaib dan
metafizik. Sebahagian pengetahuan terhadap perkara-perkara tersebut berasaskan
ajaran wahyu melalui para rasul dan sebahagian yang lain adalah melalui
prasangka dan khalayan manusia.
Corak hidup atau budaya juga boleh
dikaitkan sebagai sebahagian daripada ilmu tetapi dalam bentuk praktikal.
Sebahagian masyarakat mengamalkan corak hidup dan budaya berasaskan ajaran
agama yang dianggap sebagai panduan yang holistik bagi manusia, sedangkan
sebahagian masyarakat manusia mengamalkan corak hidup berdasarkan cara fikir
masing-masing dan nilai-nilai yang diterima secara universal dalam
masyarakat.
Sebahagian ilmuwan mungkin cuba
membataskan ruang lingkup ilmu kepada perkara-perkara yang boleh didapati
melalui empirikal semata-mata. Maka, menurut mereka, perkara-perkara melibatkan
ketuhanan (teologi), kerohanian dan metafizik bukanlah dibahaskan dalam bidang
ilmu tetapi dalam bidang falsafah, sebagaimana menjadi amalan sebahagian ahli
falsafah Yunani.
Perkembangan ini menyebabkan wujudnya
dikotomi antara bidang ilmu dengan bidang falsafah. Bagi golongan empirisisme,
ilmu atau sains hanyalah apa yang dapat dibuktikan melalui penilaian
berteraskan kaedah saintifik atau kajian saintifik di makmal. Perkara-perkara
yang tidak boleh didapati melalui pancaindera mahupun logik akal menurut mereka
tidak bersifat ilmu pengetahuan kerana tidak dapat dibuktikan kebenarannya.
Dalam aliran lain yang menolak
semangat dualisme antara kedua-dua perkara (alam musyahadah/ alam
fizikal dengan alam ghaib/alam metafizikal), mereka berpegang teguh dengan
nilai holistik dalam ilmu pengetahuan. Corak hidup dan pemikiran mereka
diasaskan oleh ajaran agama yang mana secara tidak langsung menekankan konsep
pedoman atau dan panduan ketuhanan.
Dalam ajaran Islam, Nabi Adam a.s.
diutuskan oleh Allah s.w.t. ke muka bumi ini dengan risalah agama yang mengajar
manusia tentang ilmu yang lengkap untuk kehidupan mereka. Ajaran agama yang
berteraskan wahyu dari Tuhan bersifat holistik yang memainkan peranan yang
sempurna dalam menjadi pedoman kepada manusia dalam segenap kehidupan mereka,
samada dalam bidang kerohanian mahupun kebendaan.
Begitulah seterusnya para rasul yang
lain yang meneruskan tradisi ilmu bersepadu di mana mereka sebagai guru-guru
agama yang mengajar tentang ilmu-ilmu hubungan dengan Tuhan, dalam masa yang
sama juga sebagai ahli-ahli akademik yang mengajar tentang ilmu-ilmu tentang alam
dan kehidupan.
Ketika muncul masyarakat yang jauh
daripada para rasul, maka, berkembang konsep-konsep karut dalam bidang
metafizikal dan kerohanian sehingga muncul ajaran-ajaran palsu atas nama
agama-agama. Bahkan, muncul juga ajaran-ajaran tentang ketuhanan yang
bercanggah dengan konsep ketuhanan tauhid yang murni yang menjadi asas ajaran
para rasul yang mulia.
Bagi masyarakat yang berpegang teguh
kepada ajaran-ajaran agama, maka, corak pemikiran dan hidup mereka berteraskan
ajaran-ajaran keagamaan mereka. Selalunya, dalam ajaran-ajaran keagamaan yang
tidak berteraskan panduan wahyu Allah s.w.t., maka, pengaruh dan dominasi
autoriti golongan agamawan sangat kuat dalam masyarakat. Bertolak daripada
inilah, berlakunya pelbagai penyelewengan atas nama keagamaan dalam sesetengah
ajaran-ajaran agama.
Bagi masyarakat yang tidak
mengamalkan ajaran agama, corak pemikiran dan hidup mereka mengikut akal dan
hawa nafsu mereka. Sebahagian yang mempunyai etika yang lebih baik dalam
kalangan mereka, mereka akan tunduk kepada nilai-nilai kemasyarakatan yang
universal dan diterima pakai secara umum dalam masyarakat. Sebahagian yang lain
pula akan melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki tanpa mematuhi kepada
nilai-nilai universal dan undang-undang yang sedia ada dalam masyarakat.
Pertembungan Antara-Budaya
Lain bangsa, maka lainlah budaya dan
cara pemikirannya. Ketika pelbagai masyarakat hidup berjauhan antara satu sama
lain, maka, dialog intelektual dan kebudayaan tidak begitu ketara. Pengaruh
sesuatu masyarakat ke dalam masyarakat yang lain tidak berlaku secara mudah
kerana selalunya ianya hanya melibatkan peperangan dan penjajahan.
Sebagaimana setiap bangsa mempunyai
keistimewaan tersendiri dari sudut budaya, begitu jugalah dari sudut penguasaan
mereka terhadap ilmu pengetahuan. Sebagaimana dalam al-Qur’an, Allah s.w.t.
menggambarkan betapa bangsa-bangsa yang pelbagai mempunyai penguasaan ilmu yang
pelbagai dan berbeza-beza terutamanya dari sudut pembinaan tempat tinggal
mereka dan sebagainya. Tamadun Mesir Purba terkenal dengan perubatan
sebagaimana tamadun Babilon terkenal dalam bidang geologi dan sebaainya. Begitu
juga tamadun India terkenal dengan ilmu matematik dan astronomi sedangkan
tamadun Cina Purba pula terkenal dalam bidang sains sosial dan politik.
Umat Islam dan Penguasaan Ilmu
Semangat penguasaan adalah suatu
perkara yang dominan dalam ajaran Islam. Bahkan, Islam mementingkan ilmu
pengetahuan terutamanya ilmu yang boleh mendekatkan seseorang kepada Tuhan Maha
Pencipta. Para ulama’ menegaskan bahawasanya, antara isyarat bahawa Isam
mementingkan ilmu adalah pada wahyu pertama diturunkan iaitu surah al-‘Alaq,
Allah s.w.t. memerintahkan agar Rasulullah SAW membaca. Perintah iqra’ (bacalah)
itu bersifat umum kepada seluruh umat Islam secara tidak langsung, untuk banyak
membaca sebagai sarana untuk menguasai ilmu pengetahuan.
Bahkan, ciri-ciri Islam sendiri ketik
hadir adalah menolak corak hidup Jahiliyyah. Ini menunjukkan Islam
bersifat keilmuan kerana hadirnya Islam dalam usaha untuk membasmi kejahilan
atau Jahiliyyah, yang merupakan lawan bagi ilmu.
Dalam sebuah hadis ada menyebut
bahawasanya, hikmah itu adalah barang ciciran orang yang beriman. Maka, di mana
sahaja orang yang beriman mendapatinya, maka dia lebih berhak untuk
memilikinya. Begitulah mafhum hadis tersebut.
Ini secara tidak langsung mencetuskan
semangat penguasaan ilmu dalam masyarakat Islam, daripada bangsa-bangsa asing.
Caranya adalah dengan mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa mereka. Antara
galakan terawal dalam mempelajari bahasa asing adalah daripada Rasulullah SAW
sendiri. Dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Saidina Zaid bin Thabit r.a.
adalah salah seorang sahabat yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk
mempelajari bahasa Suryani yang digunakan oleh bangsa Yahudi di tanah Arab.
Bahkan, sebahagian ilmuwan Yahudi
yang memeluk Islam turut mempengaruhi perkembangan bahasa Suryani dalam
masyarakat Islam di Madinah. Pada awalnya, interaksi antara bangsa Arab yang
beragama Islam dengan bangsa Yahudi yang mana sebahagiannya telah memeluk Islam
tetapi mempunyai pendidikan tentang kitab-kitab Judaisme yang lama, menyebabkan
sebahagian umat Islam merujuk isi kandungan kitab-kitab tersebut terutamanya
tentang kisah-kisah yang disebutkan di dalam al-Qur’an secara umum.
Sehinggakan, Rasulullah SAW
menasihati para sahabat r.a. agar tidak terlalu mempercayai semua yang didapati
daripada golongan Yahudi dalam masa yang sama tidak keras dalam mendustainya.
Maka, sebahagian para sahabat r.a. merujuk sumber bangsa Yahudi (Isra’iliyyat)
melalui ilmuwan mereka lalu menerima apa yang tidak bertentangan dengan ajaran
Islam sahaja. Antara tokoh ilmuwan Islam yang berbangsa Yahudi dalam kalangan
para sahabat r.a. adalah Ka’ab al-Ahbar.
Ketika wilayah Islam terus
berkembang, berlakunya interaksi antara budaya dan bangsa sehingga umat Islam
mengenali pelbagai ilmu dari bangsa asing seperti bangsa Farsi dan Rom.
Sekurang-kurangnya, ada dua faktor utama
yang membawa kepada perkembangan ilmu-ilmu bersifat rasional dalam
masyarakat Islam iaitu.:-
Pertama: Proses Asimilasi.
Sejak wilayah di bawah jajahan Rom dan
Parsi dikuasai oleh kerajaan Islam, maka, ilmu pengetahuan bangsa-bangsa asing
mula masuk ke dalam masyarakat Islam. Antara pusat ilmu yang terkenal
terutamanya oleh aliran Neo-Platonisme adalah seperti di Iskandariah (Mesir)
dan di Syria. Ia adalah sebuah aliraan yang cuba menggabungkan antara falsafah
Plato dan falsafah Aristotle. Aliran falsafah Neo-Platonisme berkembang pada
awalnya dalam masyarakat Kristian terutamanya dalam gereja-gereja. Lalu, ajaran
Kristianiti yang dikembangkan oleh pihak gereja mula dipengaruhi oleh
falsafah-falsafah Yunani.
Kedua: Proses Penterjemahan
Pada peringkat awal, buku-buku Yunani
diterjemahkan ke dalam bahasa Suryani. Kemudian, para ilmuwan Islam mula
menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dengan bantuan para ilmuwan asing.
Kegiatn penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab dipelopori oleh
Khalid bin Yazid bin Mu’awiyyah (m: 86 H) pada zaman Bani Umayyah. Beliau
membawa beberapa ilmuwan Rom dari Mesir termasuk Pendeta Maryanus yang akhirnya
menetap di Istafan.
Pada Bani Abbasiyyah, kegiatan
penterjemahan dipelopori oleh Abu Ja’far al-Mansur kemudian mencapai tahap
kemuncaknya pada zaman al-Ma’mun. Antara buku-buku yang diterjemah adalah dalam
bidang falsafah, metafizik, psikologi, etika dan sebagainya. Golongan
Mu’tazilah dan ahli falsafah sehingga sebahagian mereka menyanjung tinggi ilmu
falsafah Yunani.
No comments:
Post a Comment