5.05.2013

Makna Sebuah Kemenangan dalam Perjuangan Islam




Makna Sebuah Kemenangan dalam Perjuangan Islam

Tulisan ini ditulis di ambang Pilihan Raya Umum ke-13 di Malaysia. Pagi ini, rakyat Malaysia justeru menanti saat-saat untuk melaksanakan tugas mereka sebaiknya, dan berdebar-debar menanti keputusan yang bakal menyusul. Emosi kelihatan di mana-mana, samada ianya munasabah ataupun tidak. Hatta, ada yang lebih mengutamakan emosi dan perasaan berbanding pertimbangan ilmu dan rasional.

Bahkan, PRU 13 ini turut menarik perhatian antarabangsa, seolah-olah apa yang berlaku turut akan mencorakkan fenomena baharu di peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, timbul juga isu dana asing bagi membantu pihak-pihak tertentu dalam proses kempen dan sebagainya, di samping kehadiran para pemerhati asing untuk menilai ketelusan proses PRU 13. Justeru, ia suatu perkembangan yang sangat menarik dan sangat penting.

Dari satu sudut yang lain, iaitu kaca mata Harakah Islamiyyah, suasana politik kali ini ada kelainannya. Siapa sahaja yang pernah terlibat sebagai aktivis Islam atau masih lagi terlibat, pasti mendapati kelainannya terutamanya melibatkan kumpulan yang mengaku memperjuangankan perjuangan Islam dan menjadi wakil kumpulan Harakah Islamiyyah dalam arena politik di Malaysia. Keghairahan untuk menang dan mengalahkan musuh sangat luar biasa berbanding sebelum ini sehinggakan sebahagian musuh ideologi suatu ketika dahulu juga menjadi sekutu dalam perjuangan ini. Hal ini mencetuskan fenomena di mana seolah-olah ada dua pihak yang mewakili perjuangan harakah islamiyyah yang menyertai arena politik demokrasi di Malaysia, sedangkan suatu ketika dahulu, hanya satu kumpulan sahaja yang mewakili harakah islamiyyah dalam politik.

Samada keghairahan tersebut disebabkan oleh pengaruh teman-teman di sekeliling yang tidak berfikrah haraki, yang terlalu ghairah untuk menang dalam politik, ataupun kerana sudah terlalu lama bersabar dalam perjuangan menghadapi kepincangan, dan terlalu lama ‘ditindas’ (di sisi perkiraan mereka), keghairahan untuk menang besar dalam PRU 13 kali ini sangat ketara berbanding sebelum ini. Slogan-slogan seperti “Ini Kalilah”, “ABU (Asal Bukan UMNO)” dan sebagainya menunjukkan keghairahan tersebut. Ia bukan suatu perkara yang tercela jika lahir daripada semangat berteraskan pertimbangan ilmu dan kefahaman yang jelas. Namun, jika keghairahan itu hanya lahir daripada emosi, perasaan dendam dan sebagainya semata-mata, maka ianya jelas suatu perkara yang perlu dinilai semula.

Suatu ketika dahulu, di pentas-pentas ceramah dan pengajian-pengajian usrah, aktivis-aktivis Islam ini melaungkan kata-kata semangat yang memberi isyarat yang jelas yang mafhumnya, “tidak berjaya memerintah tidak mengapa, asalkan risalah dakwah terus disebarkan.” Dakwah dan sebarkan risalah perjuangan kita itu lebih penting, bahkan itulah yang menjadi asas, kerana dalam Risalah Al-Ta’lim dan sebagainya, Marhalah Ta’rif (peringkat pengenalan) itu adalah langkah pertama. Biar mereka yang menyokong jemaah kita, menyokong kerana memahami dasar perjuangan kita, bukan hanya kerana berkongsi membenci lawan yang sama dengan kita. Kebencian bukan asas perjuangan yang mendasar, kerana perjuangan berteraskan emosi akan hilang bila-bila masa sahaja.

Kerja Masih Banyak

Imam Hasan Al-Banna dikatakan pernah berkata: “Kewajiban itu lebih banyak daripada masa.” Hal ini memang jelas kerana dalam kejatuhan masyarakat Islam akhir zaman ini, kejahilan berleluasa termasuklah dalam masyarakat Islam sendiri. Undang-undang Islam, prinsip asas ajaran Islam bahkan negara Islam adalah antara konsep yang ditakuti oleh orang-orang Islam sendiri. Justeru, penerimaan terhadap jemaah Islam bukan atas dasar perjuangan ini bererti tugas masih belum selesai, bahkan masih jauh daripada matlamatnya.

Kita tidak wajar hairan mengapa ada dalam kalangan penghibur atau artis yang menimbulkan kenyataan seperti ‘kejatuhan industri hiburan’ jika Parti Islam memerintah dan sebagainya, kerana merujuk perkembangan di negeri tertentu yang telah lama ditadbirnya. Dia sekurang-kurangnya jujur dalam luahannya, walaupun salah, tetapi jelas, berbanding artis-artis yang menyokong PAS hanya kerana PAS sebagai sekutu PKR, sedangkan mereka hanya menyokong dasar perjuangan PKR yang Liberal dan Sekular. Suatu ketika nanti, jika artis-artis ini dapati PAS cuba melaksanakan dasar-dasar Islaminya dalam bidang hiburan, artis-artis yang pro-PR ini yang akan bangkit menentangnya pula, kerana mereka tidak pernah menyokong PAS atas sebab perjuangan PAS, tetapi atas dasar persekutuan PAS dalam PR yang mereka lihat lebih memperjuangkan Liberal. Begitulah dalam skala yang lebih besar, jika melibatkan masyarakat bukan Islam yang menyokong PAS kerana melihat ‘dasar perjuangan Sekular’ DAP dan mengganggap PAS sedang membantu perjuangan DAP, sebagaimana para aktivis Islam dalam PAS yang melihat DAP sedang membantu dasar perjuangan PAS yang islami.

Samada ia suatu strategi yang terancang yang hanya diketahui oleh pihak dalaman jemaah, ataupun apa sebabnya sekalipun, mereka yang di luar jemaah (para pengundi yang berhak menggunakan akal mereka yang waras untuk menilai) berhak menilai apa yang berlaku pada zahirnya, kerana mereka perlu menilai mengikut apa yang sedang berlaku secara zahir. Justeru, pelbagai ijtihad diberikan mengenai Tahalluf Siyasi yang diamalkan PAS sehingga membawa perhubungan antaranya dengan gerakan yang memperjuangkan Sekularisme-Liberalisme-Pluralisme seperti PKR dan DAP. Tindakan seperti penyertaan ISMA dalam arena politik, peralihan sokongan daripada sesetengah kelompok ilmuwan agama dan sebagainya sudah tentu ada kena mengena dengan ijtihad ereka terhadap penilaian apa yang zahirnya berlaku. Dalam situasi ini, tidak wajar mana-mana pihak memonopoli autoriti keilmuan kerana sekurang-kurangnya setiap ahli ilmu boleh menilai dengan ilmu mereka lalu menetapkan ijtihad mereka untuk maslahat agama dan umat Islam.

Namun, apa yang sebenarnya menjadi isu yang lebih penting adalah, pada usaha sebenarnya para pendakwah, iaitu pada memberi penjelasan kepada masyarakat terutamanya orang-orang Islam, tentang ajaran murni Islam, kefahaman Islam yang sahih dan sebagainya. Ia agar parti Islam disokong bukan sekadar atas dasar emosi dan kebencian, tetapi atas dasar kefahaman terhadap dasar-dasar Islam yang diperjuangkan. Dalam suasana demokrasi, sudah pasti ia lebih diperlukan, demi meraih sokongan majoriti masyarakat. Sesuatu yang boleh diperjuangkan secara kecintaan dan kasih sayang, mengapa perlu memperjuangkannya atas dasar kebencian terhadap musuh?

Dakwah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah atas dasar menanam kebencian terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam dalam jiwa orang-orang kafir, sehinggalah di Madinah, tetapi dakwah Baginda SAW konsisten menjelaskan kebenaran dan kebaikan ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW. Bahkan, Baginda SAW sentiasa mengingatkan unsur murni dakwah Baginda SAW adalah: “Sampaikanlah khabar gembira dan jangan menyebabkan orang melarikan diri…” [Hadis riwayat Imam Muslim dan sebagainya].

Bahkan, ketika seorang sahabat meminta Rasulullah SAW mendoakan keburukan ke atas orang-orang kafir yang memusuhi Islam, Baginda SAW menjawab dengan bermaksud: “Saya diutuskan sebagai rahmat, bukan sebagai orang yang melaknat.” Maka, tugas yang paling penting bagi para pendakwah adalah untuk menyampaikan kefahaman Islam yang sahih kepada masyarakat, barulah akhirnya setelah masyarakat inginkan kedaulatan perundangan Islam ditegakkan sepenuhnya dalam negara ini, mereka akan memperjuangkannya dengan menyokong sepenuhnya perjuangan parti Islam. Sesungguhnya, kekuatan sebenar parti Islam adalah pada masyarakat yang memahami ajaran murni Islam dan menerima pengamalannya dengan baik.

Konsep Kemenangan Hakiki

Suatu ketika dahulu, dalam usrah dan pengajian ilmu, kita sering dibekalkan oleh suatu konsep kemenangan yang sangat jelas, yang gagal dihayati oleh ahli dunia samada mereka yang memperjuangkan Sekularisme mahupun Pluralisme. Kefahaman ini adalah kefahaman elit para aktivis Islam yang memperjuangkan Islam.

Kita hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

 “(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah orang-orang yang berjaya.” (At-Taubah:20)

Kita fahami melalui ayat ini, keimanan sebagai teras, hijrah sebagai langkah awal seterusnya jihad di jalan Allah s.w.t. sebagai kemuncak perjuangan, sudah merupakan kejayaan bagi kita, walaupun tidak membawa kepada natijah memperolehi sebarang kedudukan di muka bumi ini. Bahkan, menang atau kalah jihad bukan syarat untuk berjaya, kerana seseorang yang telah melakukan jihad dengan keimanan dan keikhlasan bererti dia telahpun berjaya.

Bahkan, kita juga diajar konsep kejayaan teragung,iaitu, bukan di sini, tetapi di akhirat sana. Kita diajarkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang bermaksud:

Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” (Al-Hasyr:20) 

Justeru, ketika keluarga Yasir disiksa untuk memperjuangkan keimanan mereka, Rasulullah SAW menjelaskan didikan yang sama dengan menyebut (yang bermaksud): “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat kamu adalah di syurga.”

Rasulullah SAW telah menolak tawaran jawatan di Makkah, atas dasar ingin meneruskan perjuangan tersebut dan tidak semestinya perlu dimulakan dengan kekuasaan. Ketika Rasulullah SAW dipujuk oleh bapa saudaranya untuk meninggalkan perjuangan dakwah Baginda SAW, secara jelas Rasulullah SAW menjawab:

Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, nescaya aku tidak akan meninggalkannya, sehinggalahAllah s.w.t. menzahirkannya (memberi kemenangan) ataupun aku binasa pada urusan ini.” [Al-Riqqah wa al-Buqa’ oleh Imam Ibn Qudamah dan sebagainya]

Jelas bagi kita di mana natijah daripada usaha kita bukan sesuatu ukuran perjuangan kita. Ada juga para rasul yang ditentang dan dibunuh oleh bangsa Yahudi, namun di sisi Allah s.w.t., mereka adalah orang-orang yang telah berjaya. Usaha kita dalam melakukan usaha dakwah dan islah juga menyebabkan kita sudah dinilai sebagai seorang yang berjaya di sisi Allah s.w.t..

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)

Kita dididik dengan gambaran yang jelas tentang kemenangan yang hakiki. Kita dididik dengan kefahaman yang jelas tentang erti kehidupan dan kehambaan, lalu kita berusaha untuk mencapai sebuah target yang lebih utama. Soal kemenangan untuk mendapatkan apa yang diusahakan, itu adalah daripada Allah s.w.t.. Kita hayati makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui. (Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah kemenangan yang besar.” [As-Saf ayat 10-12]

Bantuan Allah s.w.t. Sangat Dekat

Kita memahami bahawasanya, hidup ini adalah sebuah perjuangan. Keinginan yang mendalam untuk mendaulatkan agama Islam adalah keinginan yang murni. Allah s.w.t. justeru menjanjikan kemenangan bagi mereka yang membantu agama Islam yang mulia ini. Dalam perjuangan tersebut, sudah tentu tidak dijanjikan dengan hamparan permaidani merah, melainkan merahnya darah. Mereka yang mengharapkan kesenangan dalam perjuangan adalah mereka yang sejak dari awal tidak tahu apa itu perjuangan dan tidak bersedia untuk melakukannya.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diguncangkan (dengan bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah: 214)

Kejayaan yang sebenar adalah pada keyakinan kita bahawasanya, apabila sampai waktunya, kejayaan pasti akan tiba, sedang bantuan Allah s.w.t. itu sangat dekat. Andai sirah nabawiyyah menjadi pedoman perjuangan kita, kita pasti tidak merasa lambatnya pertolongan Allah s.w.t., kerana ujian dan cabaran yang kita hadapi dalam perjalanan mendaulatkan Islam tidak sedahsyat apa yang dihadapi oleh generasi awal, iaitu pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat r.a..

Pun begitu, ketika ditanya mengenai pertolongan Allah s.w.t, Allah s.w.t. mengingatkan betapa ianya dekat, kerana setiap yang pasti tiba itu adalah dekat. Jika kita lihat keadaan umat Islam menerima kejayaan, bagaimana adabnya Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. memasuki kota Makkah pada peristiwa Fath Makkah, dengan penuh rendah diri di hadapan Allah s.w.t., dengan penuh kasih sayang kepada mereka yang pernah memusuhi, dengan sifat kemaafan dan rahmat yang tersebar dalam meraih kejayaan tersebut, dan sebagainya, maka adakah itu telah menjadi ciri-ciri kita dalam masa ini, untuk melayakkan kita mendapat kejayaan tersebut.

Kita boleh lihat gambaran kemenangan umat Islam pada ketika itu dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan hukum-hukumnya).  Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan (untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan (yang tidak ada bandingannya).  (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu) Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana
(Surah al-Fath: 1-4)

Salah satu sifat mereka yang mendapat kejayaan pada ketika itu adalah sebagaimana disebutkan di akhir ayat surah Al-Fath yang bermaksud:

(Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa yang dibawa oleh RasulNya itu).  Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar. (Surah al-Fath: 28-29)

Ayat ini menjelaskan antara pra-syarat kemenangan tiba dan bantuan daripada Allah s.w.t. hadir adalah pada dasar perjuangan yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangan yang tertinggi dan tidak berkompromi dengan mereka yang memperjuangkan persamaan agama dan sebagainya, perjuangan ke arah mengiktiraf hanya Islam sebagai agama yang benar, sedangkan agama-agama lain adalah kebatilan, kekuatan ukhuwwah Islamiyyah yang telah terjalin, kehambaan yang tinggi kepada Allah s.w.t., kemurnian hubungan hati kepada Allah s.w.t. sehingga anggota tubuh mereka menunjukkan tanda kebaikan dalaman mereka. Perkembangan yang positif dalam umat Islam inilah yang menjadi antara syarat kemenangan Islam sebenar.

Kesimpulan dan Penutup

Dalam perkara-perkara melibatkan maslahat keduniaan ini, ianya adalah sangat dituntut untuk menjaganya, dalam konteks kehambaan juga. Ramai orang hilang adab kehambaan ketika berurusan dengan urusan keduniaan, padahal itulah yang sangat dikhuatiri oleh generasi salaf. Walaupun bidang politik ini banyak melibatkan pertembungan dengan ahli dunia, namun, para aktivis Islam yang mewakili perjuangan Islam tidak wajar terpengaruh dengan cara berpolitik ahli dunia, samada dari pihak kawan mahupun lawan. Setiap kali kehilangan adab, jangan sembunyikannya di sebalik kepincangan adab yang dilakukan oleh ahli dunia, kerana itu menyebabkan sama sahaja antara mereka yang memperjuangkan agama dengan mereka yang mengejar dunia semata-mata, lalu merosakkan nama baik Islam yang diwakili.

Jika para aktivis Islam yang terlibat dalam pertembungan ini, melibatkan diri dengan adab-adab Islam, dan menjadi contoh terbaik dalam mewakili usaha tolong-menolong ke arah kebaikan dan ketakwaan, sudah pasti sekurang-kurangnya akan mendapat penghormatan daripada pihak musuh, sebagaimana penghormatan yang diberikan oleh orang-orang kafir terhadap umat Islam, walaupun dalam hangat permusuhan. Jangan rendahkan setiap kebaikan pihak luar yang turut melakukan sesuatu usaha murni dalam masyarakat, terutamanya usaha mendekatkan masyarakat kepada ajaran murni Islam. Lapangan dakwah dan islah bukan hanya dalam bidang politik sahaja. Sebagaimana dalam lapangan politik mencapai tahap fardhu kifayah, begitu juga dalam bidang-bidang yang lain. Apa yang penting adalah, saling menasihati atas dasar kebenaran dan kesabaran, dan saling membantu pada yang disepakati serta saling memaafkan pada perkara yang diperselisihkan.

Berbahagialah bagi umat Islam jika kejayaan itu hadir pada saat mereka sudah bersedia untuk menerimanya, plalu ianya menjadi sarana kepada perjalanan perjuangan yang lebih baik. Justeru, kita perlu muhasabah diri dan meletakkan niat kita hanyalah semata-mata mencari redha Allah s.w.t. dan mencapai penerimaan-Nya. Itulah kejayaan terbesar. Semoga Allah s.w.t. membantu umat Islam dalam menegakkan kedaulatan Islam dan menyemai keadilan dalam masyarakat. Amiin…

Wallahu a’lam

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari

‘Amalahullah bi Lutfihi al-Khafiy

5/5/2013




No comments:

Post a Comment