Makna Sebuah Kemenangan dalam Perjuangan Islam
Tulisan ini ditulis di ambang Pilihan Raya Umum ke-13 di Malaysia. Pagi
ini, rakyat Malaysia justeru menanti saat-saat untuk melaksanakan tugas mereka
sebaiknya, dan berdebar-debar menanti keputusan yang bakal menyusul. Emosi
kelihatan di mana-mana, samada ianya munasabah ataupun tidak. Hatta, ada yang
lebih mengutamakan emosi dan perasaan berbanding pertimbangan ilmu dan
rasional.
Bahkan, PRU 13 ini turut menarik perhatian antarabangsa, seolah-olah apa
yang berlaku turut akan mencorakkan fenomena baharu di peringkat antarabangsa. Oleh
sebab itu, timbul juga isu dana asing bagi membantu pihak-pihak tertentu dalam
proses kempen dan sebagainya, di samping kehadiran para pemerhati asing untuk
menilai ketelusan proses PRU 13. Justeru, ia suatu perkembangan yang sangat
menarik dan sangat penting.
Dari satu sudut yang lain, iaitu kaca mata Harakah Islamiyyah,
suasana politik kali ini ada kelainannya. Siapa sahaja yang pernah terlibat
sebagai aktivis Islam atau masih lagi terlibat, pasti mendapati kelainannya
terutamanya melibatkan kumpulan yang mengaku memperjuangankan perjuangan Islam
dan menjadi wakil kumpulan Harakah Islamiyyah dalam arena politik di
Malaysia. Keghairahan untuk menang dan mengalahkan musuh sangat luar biasa
berbanding sebelum ini sehinggakan sebahagian musuh ideologi suatu ketika
dahulu juga menjadi sekutu dalam perjuangan ini. Hal ini mencetuskan fenomena
di mana seolah-olah ada dua pihak yang mewakili perjuangan harakah
islamiyyah yang menyertai arena politik demokrasi di Malaysia, sedangkan
suatu ketika dahulu, hanya satu kumpulan sahaja yang mewakili harakah
islamiyyah dalam politik.
Samada keghairahan tersebut disebabkan oleh pengaruh teman-teman di
sekeliling yang tidak berfikrah haraki, yang terlalu ghairah untuk
menang dalam politik, ataupun kerana sudah terlalu lama bersabar dalam
perjuangan menghadapi kepincangan, dan terlalu lama ‘ditindas’ (di sisi
perkiraan mereka), keghairahan untuk menang besar dalam PRU 13 kali ini sangat
ketara berbanding sebelum ini. Slogan-slogan seperti “Ini Kalilah”, “ABU (Asal
Bukan UMNO)” dan sebagainya menunjukkan keghairahan tersebut. Ia bukan suatu
perkara yang tercela jika lahir daripada semangat berteraskan pertimbangan ilmu
dan kefahaman yang jelas. Namun, jika keghairahan itu hanya lahir daripada
emosi, perasaan dendam dan sebagainya semata-mata, maka ianya jelas suatu
perkara yang perlu dinilai semula.
Suatu ketika dahulu, di pentas-pentas ceramah dan pengajian-pengajian
usrah, aktivis-aktivis Islam ini melaungkan kata-kata semangat yang memberi
isyarat yang jelas yang mafhumnya, “tidak berjaya memerintah tidak mengapa,
asalkan risalah dakwah terus disebarkan.” Dakwah dan sebarkan risalah
perjuangan kita itu lebih penting, bahkan itulah yang menjadi asas, kerana
dalam Risalah Al-Ta’lim dan sebagainya, Marhalah Ta’rif
(peringkat pengenalan) itu adalah langkah pertama. Biar mereka yang menyokong
jemaah kita, menyokong kerana memahami dasar perjuangan kita, bukan hanya
kerana berkongsi membenci lawan yang sama dengan kita. Kebencian bukan asas
perjuangan yang mendasar, kerana perjuangan berteraskan emosi akan hilang
bila-bila masa sahaja.
Kerja Masih Banyak
Imam Hasan Al-Banna dikatakan pernah berkata: “Kewajiban itu lebih banyak
daripada masa.” Hal ini memang jelas kerana dalam kejatuhan masyarakat Islam
akhir zaman ini, kejahilan berleluasa termasuklah dalam masyarakat Islam
sendiri. Undang-undang Islam, prinsip asas ajaran Islam bahkan negara Islam
adalah antara konsep yang ditakuti oleh orang-orang Islam sendiri. Justeru,
penerimaan terhadap jemaah Islam bukan atas dasar perjuangan ini bererti tugas
masih belum selesai, bahkan masih jauh daripada matlamatnya.
Kita tidak wajar hairan mengapa ada dalam kalangan penghibur atau artis
yang menimbulkan kenyataan seperti ‘kejatuhan industri hiburan’ jika Parti
Islam memerintah dan sebagainya, kerana merujuk perkembangan di negeri tertentu
yang telah lama ditadbirnya. Dia sekurang-kurangnya jujur dalam luahannya,
walaupun salah, tetapi jelas, berbanding artis-artis yang menyokong PAS hanya
kerana PAS sebagai sekutu PKR, sedangkan mereka hanya menyokong dasar
perjuangan PKR yang Liberal dan Sekular. Suatu ketika nanti, jika artis-artis
ini dapati PAS cuba melaksanakan dasar-dasar Islaminya dalam bidang hiburan, artis-artis
yang pro-PR ini yang akan bangkit menentangnya pula, kerana mereka tidak pernah
menyokong PAS atas sebab perjuangan PAS, tetapi atas dasar persekutuan PAS
dalam PR yang mereka lihat lebih memperjuangkan Liberal. Begitulah dalam skala
yang lebih besar, jika melibatkan masyarakat bukan Islam yang menyokong PAS
kerana melihat ‘dasar perjuangan Sekular’ DAP dan mengganggap PAS sedang
membantu perjuangan DAP, sebagaimana para aktivis Islam dalam PAS yang melihat
DAP sedang membantu dasar perjuangan PAS yang islami.
Samada ia suatu strategi yang terancang yang hanya diketahui oleh pihak
dalaman jemaah, ataupun apa sebabnya sekalipun, mereka yang di luar jemaah
(para pengundi yang berhak menggunakan akal mereka yang waras untuk menilai)
berhak menilai apa yang berlaku pada zahirnya, kerana mereka perlu menilai
mengikut apa yang sedang berlaku secara zahir. Justeru, pelbagai ijtihad
diberikan mengenai Tahalluf Siyasi yang diamalkan PAS sehingga membawa
perhubungan antaranya dengan gerakan yang memperjuangkan
Sekularisme-Liberalisme-Pluralisme seperti PKR dan DAP. Tindakan seperti
penyertaan ISMA dalam arena politik, peralihan sokongan daripada sesetengah
kelompok ilmuwan agama dan sebagainya sudah tentu ada kena mengena dengan
ijtihad ereka terhadap penilaian apa yang zahirnya berlaku. Dalam situasi ini,
tidak wajar mana-mana pihak memonopoli autoriti keilmuan kerana
sekurang-kurangnya setiap ahli ilmu boleh menilai dengan ilmu mereka lalu
menetapkan ijtihad mereka untuk maslahat agama dan umat Islam.
Namun, apa yang sebenarnya menjadi isu yang lebih penting adalah, pada usaha
sebenarnya para pendakwah, iaitu pada memberi penjelasan kepada masyarakat
terutamanya orang-orang Islam, tentang ajaran murni Islam, kefahaman Islam yang
sahih dan sebagainya. Ia agar parti Islam disokong bukan sekadar atas dasar
emosi dan kebencian, tetapi atas dasar kefahaman terhadap dasar-dasar Islam
yang diperjuangkan. Dalam suasana demokrasi, sudah pasti ia lebih diperlukan,
demi meraih sokongan majoriti masyarakat. Sesuatu yang boleh diperjuangkan
secara kecintaan dan kasih sayang, mengapa perlu memperjuangkannya atas dasar
kebencian terhadap musuh?
Dakwah Rasulullah SAW sendiri tidak pernah atas dasar menanam kebencian
terhadap orang-orang kafir yang memusuhi Islam dalam jiwa orang-orang kafir,
sehinggalah di Madinah, tetapi dakwah Baginda SAW konsisten menjelaskan
kebenaran dan kebaikan ajaran yang dibawa oleh Baginda SAW. Bahkan, Baginda SAW
sentiasa mengingatkan unsur murni dakwah Baginda SAW adalah: “Sampaikanlah
khabar gembira dan jangan menyebabkan orang melarikan diri…” [Hadis riwayat
Imam Muslim dan sebagainya].
Bahkan, ketika seorang sahabat meminta Rasulullah SAW mendoakan keburukan
ke atas orang-orang kafir yang memusuhi Islam, Baginda SAW menjawab dengan
bermaksud: “Saya diutuskan sebagai rahmat, bukan sebagai orang yang melaknat.”
Maka, tugas yang paling penting bagi para pendakwah adalah untuk menyampaikan
kefahaman Islam yang sahih kepada masyarakat, barulah akhirnya setelah
masyarakat inginkan kedaulatan perundangan Islam ditegakkan sepenuhnya dalam
negara ini, mereka akan memperjuangkannya dengan menyokong sepenuhnya
perjuangan parti Islam. Sesungguhnya, kekuatan sebenar parti Islam adalah pada
masyarakat yang memahami ajaran murni Islam dan menerima pengamalannya dengan
baik.
Konsep Kemenangan Hakiki
Suatu ketika dahulu, dalam usrah dan pengajian ilmu, kita sering
dibekalkan oleh suatu konsep kemenangan yang sangat jelas, yang gagal dihayati
oleh ahli dunia samada mereka yang memperjuangkan Sekularisme mahupun Pluralisme.
Kefahaman ini adalah kefahaman elit para aktivis Islam yang memperjuangkan
Islam.
Kita hayati firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“(Sesungguhnya) orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad pada
jalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka adalah lebih besar dan tinggi
darjatnya di sisi Allah (daripada orang-orang yang hanya memberi minum
orang-orang Haji dan orang yang memakmurkan masjid sahaja); dan mereka itulah
orang-orang yang berjaya.” (At-Taubah:20)
Kita fahami melalui ayat ini, keimanan sebagai teras, hijrah sebagai
langkah awal seterusnya jihad di jalan Allah s.w.t. sebagai kemuncak
perjuangan, sudah merupakan kejayaan bagi kita, walaupun tidak membawa kepada
natijah memperolehi sebarang kedudukan di muka bumi ini. Bahkan, menang atau
kalah jihad bukan syarat untuk berjaya, kerana seseorang yang telah melakukan
jihad dengan keimanan dan keikhlasan bererti dia telahpun berjaya.
Bahkan, kita juga diajar konsep kejayaan teragung,iaitu, bukan di sini,
tetapi di akhirat sana. Kita diajarkan oleh Allah s.w.t. dalam firman-Nya yang
bermaksud:
“Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli
Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini).” (Al-Hasyr:20)
Justeru, ketika keluarga Yasir disiksa untuk memperjuangkan keimanan
mereka, Rasulullah SAW menjelaskan didikan yang sama dengan menyebut (yang
bermaksud): “Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana sesungguhnya tempat
kamu adalah di syurga.”
Rasulullah SAW telah menolak tawaran jawatan di Makkah, atas dasar ingin
meneruskan perjuangan tersebut dan tidak semestinya perlu dimulakan dengan
kekuasaan. Ketika Rasulullah SAW dipujuk oleh bapa saudaranya untuk
meninggalkan perjuangan dakwah Baginda SAW, secara jelas Rasulullah SAW
menjawab:
“Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku, dan bulan di tangan
kiriku, agar aku meninggalkan urusan (dakwah) ini, nescaya aku tidak akan
meninggalkannya, sehinggalahAllah s.w.t. menzahirkannya (memberi kemenangan)
ataupun aku binasa pada urusan ini.” [Al-Riqqah wa al-Buqa’ oleh
Imam Ibn Qudamah dan sebagainya]
Jelas bagi kita di mana natijah daripada usaha kita bukan sesuatu ukuran
perjuangan kita. Ada juga para rasul yang ditentang dan dibunuh oleh bangsa
Yahudi, namun di sisi Allah s.w.t., mereka adalah orang-orang yang telah
berjaya. Usaha kita dalam melakukan usaha dakwah dan islah juga menyebabkan
kita sudah dinilai sebagai seorang yang berjaya di sisi Allah s.w.t..
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu puak yang menyeru (berdakwah) kepada
kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik,
serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). Dan mereka yang
bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.” (Ali-Imran: 104)
Kita dididik dengan gambaran yang jelas tentang kemenangan yang hakiki.
Kita dididik dengan kefahaman yang jelas tentang erti kehidupan dan kehambaan,
lalu kita berusaha untuk mencapai sebuah target yang lebih utama. Soal
kemenangan untuk mendapatkan apa yang diusahakan, itu adalah daripada Allah
s.w.t.. Kita hayati makna firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku
tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang
tidak terperi sakitnya? Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta
kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri
kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.
(Dengan itu) Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu dan memasukkan kamu ke
dalam taman-taman ( syurga) yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, serta
ditempatkan kamu di tempat-tempat tinggal yang baik dalam syurga “Adn”. Itulah
kemenangan yang besar.” [As-Saf ayat
10-12]
Bantuan Allah s.w.t. Sangat Dekat
Kita memahami bahawasanya, hidup ini adalah sebuah perjuangan. Keinginan
yang mendalam untuk mendaulatkan agama Islam adalah keinginan yang murni. Allah
s.w.t. justeru menjanjikan kemenangan bagi mereka yang membantu agama Islam
yang mulia ini. Dalam perjuangan tersebut, sudah tentu tidak dijanjikan dengan
hamparan permaidani merah, melainkan merahnya darah. Mereka yang mengharapkan
kesenangan dalam perjuangan adalah mereka yang sejak dari awal tidak tahu apa
itu perjuangan dan tidak bersedia untuk melakukannya.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang
kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? Mereka
ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta diguncangkan (dengan
bermacam-macam cubaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman
bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah: 214)
Kejayaan yang sebenar adalah pada keyakinan kita bahawasanya, apabila
sampai waktunya, kejayaan pasti akan tiba, sedang bantuan Allah s.w.t. itu
sangat dekat. Andai sirah nabawiyyah menjadi pedoman perjuangan kita, kita
pasti tidak merasa lambatnya pertolongan Allah s.w.t., kerana ujian dan cabaran
yang kita hadapi dalam perjalanan mendaulatkan Islam tidak sedahsyat apa yang
dihadapi oleh generasi awal, iaitu pada zaman Rasulullah SAW dan para sahabat
r.a..
Pun begitu, ketika ditanya mengenai pertolongan Allah s.w.t, Allah s.w.t.
mengingatkan betapa ianya dekat, kerana setiap yang pasti tiba itu adalah
dekat. Jika kita lihat keadaan umat Islam menerima kejayaan, bagaimana adabnya
Rasulullah SAW dan para sahabat r.a. memasuki kota Makkah pada peristiwa Fath
Makkah, dengan penuh rendah diri di hadapan Allah s.w.t., dengan penuh
kasih sayang kepada mereka yang pernah memusuhi, dengan sifat kemaafan dan
rahmat yang tersebar dalam meraih kejayaan tersebut, dan sebagainya, maka
adakah itu telah menjadi ciri-ciri kita dalam masa ini, untuk melayakkan kita
mendapat kejayaan tersebut.
Kita boleh lihat gambaran kemenangan umat Islam pada ketika itu dalam
firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Sesungguhnya Kami telah membuka bagi perjuanganmu (wahai
Muhammad) satu jalan kemenangan yang jelas nyata, Kemenangan yang dengan
sebabnya Allah mengampunkan salah dan silapmu yang telah lalu dan yang
terkemudian dan menyempurnakan nikmatNya kepadamu, serta menambahkanmu hidayat
ke jalan yang lurus (dalam mengembangkan Islam dan melaksanakan
hukum-hukumnya). Dan dengan sebabnya Allah memberikanmu pertolongan
(untuk mencapai kejayaan) dengan sepenuh-penuh dan sehandal-handal pertolongan
(yang tidak ada bandingannya). (Tuhan yang membuka jalan kemenangan itu)
Dialah yang menurunkan semangat tenang tenteram ke dalam hati orang-orang yang
beriman (semasa mereka meradang terhadap angkara musuh) supaya mereka bertambah
iman dan yakin berserta dengan iman dan keyakinan mereka yang sedia ada; pada
hal Allah menguasai tentera langit dan bumi (untuk menolong mereka) dan Allah
adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
(Surah
al-Fath: 1-4)
Salah satu sifat mereka yang mendapat kejayaan pada ketika itu adalah
sebagaimana disebutkan di akhir ayat surah Al-Fath yang bermaksud:
“(Allah yang menyatakan itu) Dialah yang telah mengutus
RasulNya (Muhammad s.a.w) dengan membawa hidayat petunjuk dan agama yang benar
(agama Islam), supaya Dia memenangkannya dan meninggikannya atas segala
bawaan agama yang lain; dan cukuplah Allah menjadi Saksi (tentang kebenaran apa
yang dibawa oleh RasulNya itu). Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul
Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap
orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang
serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap
beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari
Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka
(sebagai orang-orang yang soleh) terdapat pada muka mereka dari kesan sujud (dan
ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam
Kitab Taurat dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (Bahawa mereka
diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu
anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap
berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan
orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad
s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu)
kerana Dia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan
hasad dengki dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah
telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan
dan pahala yang besar.” (Surah al-Fath: 28-29)
Ayat ini menjelaskan antara pra-syarat kemenangan tiba dan bantuan
daripada Allah s.w.t. hadir adalah pada dasar perjuangan yang meletakkan Islam
sebagai dasar perjuangan yang tertinggi dan tidak berkompromi dengan mereka
yang memperjuangkan persamaan agama dan sebagainya, perjuangan ke arah
mengiktiraf hanya Islam sebagai agama yang benar, sedangkan agama-agama lain
adalah kebatilan, kekuatan ukhuwwah Islamiyyah yang telah terjalin, kehambaan
yang tinggi kepada Allah s.w.t., kemurnian hubungan hati kepada Allah s.w.t.
sehingga anggota tubuh mereka menunjukkan tanda kebaikan dalaman mereka.
Perkembangan yang positif dalam umat Islam inilah yang menjadi antara syarat
kemenangan Islam sebenar.
Kesimpulan dan Penutup
Dalam perkara-perkara melibatkan maslahat keduniaan ini, ianya adalah
sangat dituntut untuk menjaganya, dalam konteks kehambaan juga. Ramai orang
hilang adab kehambaan ketika berurusan dengan urusan keduniaan, padahal itulah
yang sangat dikhuatiri oleh generasi salaf. Walaupun bidang politik ini banyak
melibatkan pertembungan dengan ahli dunia, namun, para aktivis Islam yang
mewakili perjuangan Islam tidak wajar terpengaruh dengan cara berpolitik ahli
dunia, samada dari pihak kawan mahupun lawan. Setiap kali kehilangan adab,
jangan sembunyikannya di sebalik kepincangan adab yang dilakukan oleh ahli
dunia, kerana itu menyebabkan sama sahaja antara mereka yang memperjuangkan
agama dengan mereka yang mengejar dunia semata-mata, lalu merosakkan nama baik
Islam yang diwakili.
Jika para aktivis Islam yang terlibat dalam pertembungan ini, melibatkan
diri dengan adab-adab Islam, dan menjadi contoh terbaik dalam mewakili usaha
tolong-menolong ke arah kebaikan dan ketakwaan, sudah pasti sekurang-kurangnya
akan mendapat penghormatan daripada pihak musuh, sebagaimana penghormatan yang
diberikan oleh orang-orang kafir terhadap umat Islam, walaupun dalam hangat
permusuhan. Jangan rendahkan setiap kebaikan pihak luar yang turut melakukan
sesuatu usaha murni dalam masyarakat, terutamanya usaha mendekatkan masyarakat
kepada ajaran murni Islam. Lapangan dakwah dan islah bukan hanya dalam bidang
politik sahaja. Sebagaimana dalam lapangan politik mencapai tahap fardhu
kifayah, begitu juga dalam bidang-bidang yang lain. Apa yang penting adalah,
saling menasihati atas dasar kebenaran dan kesabaran, dan saling membantu pada
yang disepakati serta saling memaafkan pada perkara yang diperselisihkan.
Berbahagialah bagi umat Islam jika kejayaan itu hadir pada saat mereka
sudah bersedia untuk menerimanya, plalu ianya menjadi sarana kepada perjalanan
perjuangan yang lebih baik. Justeru, kita perlu muhasabah diri dan meletakkan
niat kita hanyalah semata-mata mencari redha Allah s.w.t. dan mencapai
penerimaan-Nya. Itulah kejayaan terbesar. Semoga Allah s.w.t. membantu umat
Islam dalam menegakkan kedaulatan Islam dan menyemai keadilan dalam masyarakat.
Amiin…
Wallahu a’lam…
Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullah bi Lutfihi al-Khafiy
5/5/2013
No comments:
Post a Comment