Jiwa Rabbani dalam Perjuangan Islami
Pengenalan
Lau kana Bainanal Habib (Andai Al-Habib Rasulullah
SAW masih bersama-sama kita)… Itu adalah suatu ungkapan sering disebut-sebut
pada masa kini. Baginda al-Habib SAW sentiasa ada bersama-sama kita, hadir
menyaksikan kita dalam kehidupan kita, melalui selawat dan salam kita kepada
Baginda SAW. Bahkan, ianya jelas disebutkan dalam hadis ‘Ardh al-‘Amal (pembentangan
amal) yang diriwayatkan dengan sanad-sanad yang kuat.
Persoalan yang lebih besar, adakah Baginda SAW dalam kehidupan kita, dalam
bentuk kita mencontohi Baginda SAW? Rasulullah SAW pernah mengingatkan kita
bahawasanya, ditinggalkan kepada kita dua perkara, jika digabungkan pelbagai
riwayatnya, maka menjadi tiga perkara, iaitu:
- · Kitab Allah
- · Sunnah Rasulullah SAW
- · Ahli Bait Rasulullah SAW, iaitu para ulama’ mereka.
Para ulama’ terutamanya ahlul-bait yang mulia, yang bukan sekadar
mewarisi darah mulia Baginda SAW, tetapi juga mewarisi ilmu Baginda SAW, yang
tersimpan dalam kitab al-Qur’an dan sunnah nabawiyyah yang mulia. Ramai para
ulama’ ahlul-bait ini mewarisi bidang tarbiah umat Islam terutamanya
tarbiah tarikat sufiyyah sejak zaman al-Imam Abdul Qadir al-Jailani r.a.
sehinggalah pada masa kini.
Jiwa Rabbani
Bahkan, dalam tradisi ilmu dan tarbiah Islam, ada tiga bahagian utama
iaitu:
- · Dirayah: Ilmu-ilmu kefahaman agama seperti aqidah, fiqh dan sebagainya.
- · Riwayah: Ilmu-ilmu yang menjaga periwayatan al-Qur’an dan hadis seperti ilmu Qiraat, ilmu Rijal dan sebagainya.
- · Tazkiyyah: Kaedah-kaedah pentarbiahan samada secara teori mahupun secara praktikal (dengan bersuhbah kepada murobbi).
Penguasaan terhadap ketiga-tiganya membawa kepada kesempurnaan sudut akal
dan rohani seseorang insan, atau penguasaan antara ilmu, amal dan keadaan
hubungan dengan Allah s.w.t.. Seseorang yang menguasainya secara holistik
dikenali sebagai seorang ulama’ rabbani, iaitu seseorang yang menguasai ilmu
agama dengan kefahaman yang sahih dan mengamalkannya.
Mereka inilah yang menyebarkan risalah Islam dalam masyarakat pada zaman
salaf, di samping sebahagian daripada mereka terlibat dalam tarbiah dan islah
dalam masyarakat. Para ulama’ rabbani ini mewakili manhaj Rasulullah SAW dan
menjadi contoh kepada masyarakat tentang keadaan dan sifat-sifat mulia
Rasulullah SAW dalam segenap bidang kehidupan.
Risalah Islam tidak terbatas pada penyampaian dalam bentuk majlis-majlis
ilmu sahaja, bahkan ianya juga melibatkan usaha dakwah bahkan pentarbiahan
masyarakat yang mengalami pelbagai kepincangan samada luaran mahupun dalaman.
Justeru, mereka yang terlibat dalam dakwah dan islah dalam masyarakat sudah
pasti mereka yang mampu menjadi penawar kepada penyakit masyarakat, bukan
menjadi penyakit tambahan kepada masyarakat. Mereka adalah para pemilik jiwa
rabbani, yang diumapamakan dalam al-Qur’an sebagai cahaya yang keluar dalam
kegelapan masyarakat lalu menyinari mereka dengan cahaya hidayah Islam.
Antara intipati jiwa rabbani adalah, lebih mengutamakan kasih sayang
(rahmat) berbanding kebencian, lebih mengutamakan memberi khabar gembira
berbanding membuat manusia putus asa dari rahmat Allah s.w.t., sentiasa berbaik
sangka kepada manusia dan meninggalkan buruk sangka, mengutamakan penyambungan
silatul rahim berbanding memutuskannya dan sebagainya.
Dalam sejarah Islam, kita boleh dapati pelbagai contoh kemuliaan para
ulama’ dan pendakwah rabbani dalam menghadapi kepincangan dalam masyarakat, di
samping mendepani cabaran dalam menyampaikan dakwah dan melakukan usaha
tarbiah.
Penghulu Para Pendakwah Rabbani Sebagai Qudwah Hasanah
Imam al-Baihaqi meriwayatkan dengan sanad Mursal, daripada Abdullah
bin ‘Ubaid bahawa beliau berkata:
لَمَّا كُسِرَتْ رُبَاعِيَّةُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ
عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، وَشُجَّ فِي جَبْهَتِهِ ، فَجَعَلَتِ الدِّمَاءُ تَسِيلُ
عَلَى وَجْهِهِ ، قِيلَ : يَا رَسُولَ اللَّهِ ، ادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ،
فَقَالَ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : " لَمْ يَبْعَثْنِي طَعَّانًا
وَلا لَعَّانًا ، وَلَكِنْ بَعَثَنِي دَاعِيَةَ وَرَحْمَةً ، اللَّهُمَّ اغْفِرْ
لِقَوْمِي فَإِنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “(Dalam satu peperangan dengan orang-orang kafir), ketika patah
gigi Saidina Rasulullah SAW, dipukul di bahagian dahi Baginda SAW, sehingga
darah mengalir di wajah Baginda SAW, lalu dikatakan kepada Baginda SAW: “Wahai
Rasulullah. Doalah keburukan ke atas mereka.” Rasulullah SAW menjawab: “Sesungguhnya
Allah s.w.t. tidak mengutuskanku sebagai pentohmah dan penglaknat. Tetapi, Dia
mengutuskanku sebagai pendakwah dan rahmat. Wahai Tuhan, ampunkanlah kaumku
kerana mereka tidak mengetahui.”
Kita lihat contoh agung pada jiwa rabbani Saidina Rasulullah, SAW yang
menjadi sumber bekalan kepada mereka yang mengaku terlibat dalam dakwah
Islamiyyah, bagaimana Rasulullah SAW di saat yang penuh keperitan, di hadapan
musuh Allah yang paling dimusuhi, iaitu para kafir harbi, namun Rasulullah SAW
masih memilih untuk membalas keburukan dengan kebaikan. Bahkan, itu adalah
risalah Rasulullah SAW sebagaimana disebutkan oleh Baginda SAW sendiri.
Sesiapa yang ingin melakukan apa yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, dan
meneruskan perjuangan Baginda SAW, perlulah melakukannya sebagaimana yang
pernah dilakukan oleh Baginda SAW. Jika tidak, risalah yang cuba disampaikan
akan disalah ertikan oleh mereka yang jahil lalu boleh membawa kepada tohmahan
terhadap risalah dakwah tersebut, atas kekurangan para amilin sendiri (aktivis
Islam).
Ketika perang Hunain selesai, Rasulullah SAW menyebut suatu cerita sebagai
tauladan untuk para pejuang Islam dan mereka yang berusaha di jalan Allah
s.w.t., sepanjang zaman. Saidina Ibn Mas’ud r.a. berbicara dengan menyebutkan:
قالَ رَسُولُ
اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ عَبْدًا مِنْ عِبَادِ اللَّهِ بَعَثَهُ اللَّهُ إِلَى قَوْمٍ ،
فَكَذَّبُوهُ وَشَجُّوهُ ، فَكَانَ يَمْسَحُ الدَّمَ عَنْ جَبْهَتِهِ ، وَيَقُولُ
: اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِقَوْمِي ، فَإِنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ.
Maksudnya: Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba daripada
hamba-hamba Allah s.w.t., telah Allah s.w.t. utuskan kepada suatu kaum, lalu
kaum tersebut mendustakannya dan memukul kepalanya. Lalu, hamba tersebut
sekadar menyapu darah di dahinya sambil mengucapan sepotong doa: “Wahai Tuhan
ampunilah kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui. [Hadis riwayat Imam
Muslim dalam Sahihnya, Imam Ibn Abi Syaibah, Imam Ahmad dalam Musnadnya
dan sebagainya]
Dalam riwayat Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq, doa nabi
tersebut adalah:
اللَّهُمَّ
اهْدِ قَوْمِي فَإِنَّهُمْ لا يَعْلَمُونَ
Maksudnya: “Wahai Tuhan, berilah hidayah kepada kaumku, kerana mereka
tidak mengetahui.”
Syukur Sebagai Penyubur Jiwa Rabbani
Jika kita hayati, bagaimana begitu lembut Rasulullah SAW dalam menghadapi
para musuh Baginda SAW? Adakah Baginda SAW tidak merasai kesakitan ketika
disakiti? Sudah tentu tidak, kerana Baginda SAW adalah seorang manusia yang
turut merasai kesakitan ketika disakiti. Apakah kekuatan sebenar yang membentuk
jiwa rabbani ini lalu menjadi tempat lahirnya sifat rahmatan lil alamin?
Antara kekuatannya adalah rasa syukur Rasulullah SAW terhadap pilihan
Allah s.w.t. kepada diri Baginda SAW, yang mana dengan pilihan Allah
s.w.t.-lah, Baginda menjadi insan terpilih yang paling mulia. Baginda SAW
menghayati makna pilihan yang azali, yang menterjemahkan kesempurnaan pilihan
Allah s.w.t. dalam kesempurnaan diri Baginda SAW yang mulia.
Allah SWT sendiri yang mendidik Saidina Rasulullah SAW penghayatan
terhadap nikmat ini sebagaimana dalam firman-Nya yang bermaksud:
Bukankah Dia mendapati engkau yatim piatu, lalu Dia
memberikan perlindungan? Dan didapatiNya engkau masih tidak mengetahui (perincian
ajaran syariat), lalu Dia memberikan hidayat petunjuk (dengan wahyu Al-Quran)? Dan
didapatiNya engkau miskin, lalu Dia memberikan kekayaan? Oleh itu, adapun
anak yatim maka janganlah engkau berlaku kasar terhadapnya, Adapun orang
yang meminta (bantuan pimpinan) maka janganlah engkau tengking herdik; Adapun
nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai
bersyukur kepadaNya. (Surah al-Dhuha: 6-11)
Seseorang yang menghayati pilihan Allah s.w.t. dalam dirinya, dan tidak
melihat dirinya dengan kaca mata ujub, pasti semakin merendahkan diri di
hadapan Allah s.w.t.. Seseorang yang semakin dipilih oleh Allah s.w.t. untuk
mendapat hidayah kebaikan, pasti semakin menghargainya lalu melihat orang lain
yang belum mendapatkannya dengan pandangan rahmat, seraya mengharapkan agar
Allah s.w.t. mengurniakan hidayah kepada orang lain juga. Inilah yang dihayati
oleh jiwa Rabbani yang mulia, yang menjadi khazanah berharga bagi para pejuang
Islam yang mulia.
Lihatlah ungkapan kemuncak ahli syurga ketika memasuki syurga Allah
s.w.t., setelah selesai dinilai amal soleh mereka. Allah s.w.t. merakamkannya
dalam al-Qur’an:
Dan orang-orang yang beriman serta beramal soleh (dengan
tidak menjadi keberatan kepada mereka, kerana) Kami tidak memberati diri
seseorang (dengan kewajipan) melainkan sekadar yang terdaya olehnya, merekalah
ahli Syurga, mereka kekal di dalamnya. Dan Kami cabutkan segala dendam dan
hasad dengki dari hati mereka, (di dalam Syurga) yang mengalir beberapa sungai
di bawah (tempat) masing-masing dan mereka pula bersyukur dengan berkata:
Segala puji tertentu bagi Allah yang telah memberi hidayat petunjuk untuk
(mendapat nikmat-nikmat) ini, padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh
petunjuk kalau Allah tidak memimpin kami (dengan taufiqNya); sesungguhnya telah
datang Rasul-rasul Tuhan kami dengan membawa kebenaran. Dan mereka diseru:
Itulah Syurga yang diberikan kamu mewarisinya dengan sebab apa yang kamu telah
kerjakan. (Surah al-A’raaf: 42-43)
Ucapan ahli syurga yang bersyukur: “Segala puji tertentu bagi
Allah yang telah memberi hidayah petunjuk untuk (mendapat nikmat-nikmat) ini,
padahal Kami tidak sekali-kali akan memperoleh petunjuk kalau Allah tidak
memimpin kami (dengan taufiqNya);”
Penghayatan bahawa Allah s.w.t.-lah sumber kebaikan diri
mereka, lalu sangat bersyukur di hadapan Allah s.w.t.. Ayat ini menjelaskan
juga sebelum itu bahawasanya, hanya perasaan dendam dan hasad kepada sesama
makhluk sahaja, yang menutupi rasa kesyukuran ini. Jika seseorang melakukan
mujahadah jiwa, dengan berbaik sangka kepada sesama manusia, meninggalkan rasa
dendam dan api permusuhan, maka hatinya akan mudah menghayati betapa kebaikan
adalah milik mutlak Allah s.w.t., yang disalurkan kepada kita melalui
hidayah-Nya.
Hidayah Allah s.w.t. yang diberikan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya,
adalah daripada mutlak pilihan-Nya. Jika kita berada di pihak yang mendapat
hidayah, doakanlah agar Allah s.w.t. memberi hidayah kepada pihak yang belum
mendapatkannya. Dan ingatlah, jika bukan kerana hidayah Allah s.w.t. kepada
kita, sudah tentu kita seperti mereka yang masih belum mendapatinya.
Contoh Jiwa Rabbani dan Muhasabah Diri
Guru kami, Sayyidi al-Sheikh al-Syarif Yusuf bin Muhyiddin al-Bakhour
al-Hasani pernah menceritakan kepada kami:
“Suatu ketika, saya bersama dengan sepupuku (ungkapan kekeluargaan tanda
hormat sesama ahlul-bait) Al-Habib Ali al-Jufri hafizahullah, di
Makkah. Beliau mengajakku pergi bertemu seorang teman lama beliau yang berjawatan
tinggi dalam kerajaan, untuk meminta bantuan pembiayaan bagi para penuntut ilmu
terutamanya di Hadramaut. Saya juga kebetulan mengenali orang yang
dimaksudkan dan saya merasai bahawa Al-Habib Ali tidak akan mendapatkannya
dengan mudah, kerana orang itu terkenal dengan sifat tertentu. Namun, kerana
al-Habib Ali mengatakan bahawa orang itu adalah teman lama beliau, mungkin ada
harapan untuk mendapat bantuan kepada penuntut ilmu yang dimaksudkan.
Kemudian kami bertemu dengan orang tadi di pejabatnya yang agak mewah, lalu
berlakulah perbualan panjang antara kedua-duanya. Setelah lama berbual,
al-Habib Ali mula membuka topik mengenai bantuan untuk para pelajar dan
penuntut ilmu di Madrasah beliau. Saat itu, riak wajah orang itu sudah
mula berubah dan nampak seolah-olah tidak berminat. Saya pasti, al-Habib Ali
boleh melihat tanda-tanda perbincangan ini menuju sudut negatif, namun dengan
wajah ceria, beliau terus menceritakan keperluan para penuntut ilmu yang miskin
dan perlukan bantuan agar meraih belas kasihannya terhadap kesusahan para
penuntut ilmu tersebut.
Namun, orang tersebut hanya mengatakan bahawa dia belum bersedia untuk
membantu kerana masih banyak pihak meminta bantuan daripadanya. Banyak alasan
yang diberikan kepada al-Habib Ali sehingga tidak sesen pun diberikan. Maka,
kami keluar dan saya dapati beliau (Habib Ali) mula mengeluarkan air mata.
Ketika di kerusi, saya cuba memujukkan dengan mengatakan: “Kamu sudah buat yang
terbaik. Lagipun, memang susah dia nak bagi dan itu adalah ma’ruf (orang itu terkenal bersikap begitu).” Namun,
sebuah ungkapan keluar daripada mulut beliau yang justeru terus menyentuh
hatiku dan mendidik jiwaku serta-merta. Beliau berkata:
“Tidak wahai habib. Bukan begitu. Saya tahu, saya yang salah. Mungkin saya
yang tidak ikhlas dalam membantu para penuntut ilmu tersebut. Jika saya ikhlas,
pasti Allah s.w.t. akan menggerakkan hatinya untuk memberi bantuan tersebut,
kerana hati sesiapa sahaja, berada dalam kekuasaan Allah s.w.t.. Justeru, ini
menunjukkan saya yang masih bermasalah dengan Allah s.w.t., lalu Allah s.w.t.
tidak mengerakkan hatinya untuk memberi bantuan tersebut.” Bicara al-Habib Ali
sambil matanya berlingan air dan mulutnya mengucapkan Istighfar.
Ini adalah secebis contoh jelmaan sifat rahmat daripada hati-hati rabbani,
yang disemai tauhid yang murni, dan kehambaan yang tinggi. Kita boleh lakukan
usaha pemurnian dari mana-mana sudut dalam masyarakat, namun diri kita adalah
yang paling dekat dengan kita, mengapa tidak memulakannya daripada diri kita
sendiri? Wallahu a’lam…
Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafi
No comments:
Post a Comment