7.30.2013

Wahai Al-Azhari...



Wahai al-Azhari…

Siapakah kamu? Kenalilah nilai dirimu dan ketinggian kedudukanmu serta kemuliaan yang Allah s.w.t. letakkan kamu padanya.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang mewarisi ilmu dengan sanad yang bersambung dan metodologi yang tersusun dan muktabar.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang bersandar kepada sebuah institut keilmuan yang mana telah mengalir ilmu, petunjuk dan cahaya sejak seribu tahun lamanya.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang menyertai Al-Azhar Al-Syarif, yang mana dengan penyertaan tersebut, seseorang al-Azhari itu memperolehi segala kemuliaan.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang bertebaran di muka bumi ini dengan segenap usaha membawa kemakmuran, merealisasikan segenap tujuan-tujuan syariat, dan yang bersambung kepada generasi terdahulu dan menyumbang kepada generasi semasa.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang mewarisi warisan kenabian daripada sumbernya yang suci dan murni, lalu memikul amanah agama dengan segenap aqidahnya yang sahih, mazhab fiqhnya yang empat (Hanafi, Maliki, Syafi’e dan Hanbali) dan minuman kerohaian yang murni pada penyucian jiwa dan pembinaan akhlak.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang membina kemajuan, yang mana memancar dari kedua tanganmu mentari pengetahuan lalu melenyapkan gelap kesamaran dan kekeliruan, dan mereka yang ingin mengambil manfaat dapat mengikut petunjukmu dengan sifat pemurah Tuhanmu.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang menjadi ensiklopedia pengetahuan, berperanan secara meluas, sangat mementingkan kemaslahatan dan manfaat manusia, mencintai agamamu, mempunyai keprihatinan terhadap institusi-institusi keilmuan yang unggul yang telah berkhidmat kepada agama sejak seribu tahun dan lebih terutamanya al-Azhar al-Syarif itu sendiri.

Kamu ialah seorang al-Azhari, yang bersifat dengan penuh kesetiaan terhadap al-Azhar al-Syarif dan pemimpinnya yang terbesar (al-Imam al-Akbar) yang merupakan Sheikh al-Islam wa al-Muslimin, menjaga umat Muhammadiyyah ini dengan segenap kelompok, kumpulan dan hala tuju mereka, dengan mendekatkan mereka kepada kebaikan dan mencegah kemudaratan daripada mereka.

[Petikan daripada risalah Tanwir al-‘Uqul yang ditulis oleh Sheikh Ahmad Rabi’e Al-Azhari dan Sheikhna Dr. Usamah Al-Sayyid Mahmud al-Azhari, yang dikeluarkan oleh Maktab Risalah al-Azhar dan dicetak oleh Rabithah Antarabangsa Alumni al-Azhar Malaysia. M/s: 3-4]  

No comments: