Pimpinan Tasawwuf
dalam Pergerakan Dakwah Islam
Pengenalan
Ancaman dan kepincangan yang berlaku dalam masyarakat Islam
samada setempat atau antarabangsa sememangnya sangat jelas dan nyata. Semakin
hari, semakin banyak cabaran yang perlu dihadapi oleh umat Islam. Maka, keadaan
ini turut menyemarakkan lagi usaha-usaha murni dakwah para amilin yang
mengambil berat tentang agama Islam dan umatnya.
Khitab Islami (penyampaian ajaran Islam) cuba diketengahkan samada
kepada masyarakat Islam yang jahil mahupun kepada orang-orang kafir. Namun,
dalam usaha tersebut juga masih timbul beberapa kepincangan terutamanya
kesalahan dalam menyampaikan ajaran sebenar Islam dalam masyarakat Islam. Apa
yang sebenarnya perlu disampaikan bukanlah "ajaran Islam" berdasarkan
pendapat masing-masing, tetapi ajaran murni Islam berteraskan kefahamannya yang
sahih. Ukurannya sudah pastilah sumber agama Islam seperti Al-Qur'an, Hadis dan
sebagainya serta manhaj majoriti para ulama' (al-sawad al-a'zhom)
berinteraksi dengan sumber tersebut serta kefahaman as-sawad al-a'zhom terhadap
agama itu sendiri.
Dalam situasi yang
lain pula, kepincangan masyarakat Islam turut melibatkan masalah kerohanian dan
jiwa. Dakwah semata-mata dengan perkataan tidak banyak membantu dalam
menyembuhkan penyakit kerohanian masyarakat Islam ini. Ini kerana, penyakit
kerohanian perlu dirawat dengan manhaj tarbawi nabawi iaitu dakwah
dengan kalam dan ahwal (keadaan hati).
Para murobbi sufi
yang mewarisi manhaj nabawi secara lengkap ini dengan sanadnya yang bersambung
secara muktabar adalah ahli-ahli yang berkelayakan utama dalam bidang tarbiah
kerohanian umat Islam. Bahkan, ianya sangat perlu kepada masyarakat Islam
secara umum dan masyarakat para pendakwah secara khusus.
Imam Hasan Al-Banna r.a.: Seorang Mujaddid Buah Tarbiah
Sufiyyah
Al-Imam Hasan Al-Banna adalah antara contoh yang dimaksudkan.
Imam Hasan Al-Banna mendapat pendidikan awal dalam keluarga sufi penuh barakah,
iaitulah dalam keluarga Sheikh Ahmad bin Abdul Rahman As-Sa’ati Al-Banna,
seorang ulama’ zuhud lagi sufi. Usrah Islamiyyah yang dibentuk
oleh bi’ah sufiyyah tarbawiyyah sedikit sebanyak
membentuk perkembangan fikrah islahiyyah (minda pengislahan)
dalam diri Imam Hasan Al-Banna r.a.. Di awal perkembangan mindanya, Imam Hasan
Al-Banna sangat mencintai jau sufi (persekitaran kaum sufi) di
tempat beliau. Sehinggalah, beliau mengambil tarbiah sufiyyah secara
langsung dengan berbai’ah tarbiah kepada Sheikh Muhammad Abdul Wahab Al-Husofi,
anak pengasas al-Tariqah Al-Husofiyyah As-Syaziliyyah.
Sheikh Muhamad Abdul Wahab Al-Husofi sangat berperanan dalam membentuk
fikrah dansyakhsiyyah (keperibadian) Imam Hasan Al-Banna. Malah, Imam
Hasan Al-Banna sendiri menceritakan tentang firasat gurunya terhadap beliau,
bahawasanya beliau (Imam Hasan Al-Banna) akan dianugerahkan dengan pengikut
yang ramai [rujuk Muzakkirat Ad-Da’wah wa Ad-Da’iyyah].
Imam Hasan Al-Banna terus membesar dalam persekitaran
kesufian yang membawa kepada kefahaman yang tinggi dalam diri beliau dalam
mengesan krisis yang berlaku dalam masyarakat Islam secara umum, khususnya di
Mesir. Beliau memikirkan pelabagai jalan untuk meluaskan dakwah dan manhaj tarbiah sufiyyah menjangkau
sempadan ketariqatan. Oleh yang demikian, pada usia mudanya, beliau menubuhkan
cabang dakwah kepada Tariqah Husofiyyah yang dikenali
sebagai Jam’iyyah Al-Husofiyyah Al-Khairiyyah yang
menyebarkan Tazkiyyah An-Nufus para ulama’ sufi kepada
masyarakat umum.
Akhirnya, bagaikan mereka yang kehausan mendapat air, ramai
orang dalam masyarakat awam Islam yang pada mulanya menjauhi ajaran Islam, mula
berminat dengan dakwah Imam Hasan Al-Banna yang dianggap boleh menyelesaikan
kemelut kerohanian mereka khususnya dalam menghadapi hidup yang mencabar. Hal
ini menyebabkan Imam Hasan Al-Banna berusaha untuk menggariskan sebuah langkah
lebih pro-aktif untuk meluaskan lagi intipati tarbiah sufiyyah dalam
bentuk yang lebih umum dan mudah diterima.
Imam Hasan Al-Banna pada awalnya berusaha menyebarkan dakwah
sufiyyah tanpa menggunakan nama tariqah sufiyyah tertentu untuk
tujuan mendekatkan dua golongan yang saling berjauhan pada ketika itu (Taqrib).
Beliau mengasaskan kelompok dan pertubuhan dakwah baruAl-Ikhwan Al-Muslimun yang
cuba menyebarkan sudut Tazkiyyah al-Nufus kaum sufi yang
sebelum itu disebarkan secara kecil-kecilan.
Namun, Imam Hasan Al-Banna masih berpegang teguh dengan
pendiriannya yang jelas, tanpa takut celaan sesiapa, sehingga tetap
menisbahkan Al-Ikhwan Al-Muslimun yang mana di sisi beliau
adalah Sufiyyah itu sendiri, dengan slogan, Haqiqatuna
As-Sufiyyah. Maknanya, intipati di dalam Al-Ikhwan, berdasarkan
fikrah asasnya, manhaj tarbawinya dan amal
jama’ienya tetap merujuk kepada tradisi kaum sufi terdahulu.
Kita lihat sahaja, bagaimana penggunaan istilah Mursyid digunakan
bagi individu yang memimpin Al-Ikhwan Al-Muslimun, menjelaskan sendiri
hakikat sebenar Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah sebahagian
daripada tradisi dakwah dan tarbiah sufiyyah itu sendiri.
Kalau kita dekati pemikiran Imam Hasan Al-Banna (al-Fikrah
al-Bannawiyyah), terlalu banyak fikrah dan tradisi kaum sufi terus beliau
pertahankan di sebalik manhaj I’tidal (pertengahan) beliau
dalam menghadapi golongan salafi wahhabi khususnya. Dalam usul ‘Isyriin sendiri,
Imam Hasan Al-Banna menegaskan beberapa hal seperti kewalian, tawassul dan
sebagainya adalah masalah-masalah khilafiyyah yang tidak melibatkan masalah
aqidah sama sekali.
Malah, dalam beberapa tulisan beliau, beliau didapati kuat
mempertahankan zikir jama’ie (zikir secara berjemaah) yang
menjadi tradisi kaum sufi dan Al-Ikhwan yang ditolak oleh
sesetengah ahli ilmu di majalah-majalah tempatan. Beliau juga sentiasa terlibat
mengadakan majlis Maulidul Rasul dan perarakan sambil membaca
qasidah-qasidah memuji Rasulullah s.a.w. sebagaimana tradisi kaum sufi dan
sebahagian besar umat Islam amnya [sila rujuk Al-Ikhwan Al-Muslimun oleh Mahmud Abd al-Halim dan sebagainya].
Imam Hasan Al-Banna terus mendekati para ulama’ sufi di Mesir
khususnya, untuk mendapatkan nasihat dan bantuan mereka dalam keberkesanan
pergerakan dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun. Hubungan para penggerak
dakwah Al-Ikhwan yang dipimpin oleh Imam Hasan Al-Banna dengan
para ulama’ sufi pada ketika itu menyumbang kepada kejayaan besar dakwah Al-Ikhwan pada
ketika itu.
Banyak para ulama’ sufi terlibat secara langsung dengan Al-Ikhwan
Al-Muslimun di zaman Imam Hasan Al-Banna As-Sufi, kerana kemesraan
beliau dengan kaum sufi amnya, dan para ulama’ sufi khasnya. Dakwah Al-Ikhwan Al-Muslimun sampai
ke negara-negara Islam yang lain dengan dasar keterbukaan Imam Hasan Al-Banna
yang sangat rapat dengan kaum sufi. Disebabkan kaum sufi sudah berada di
negara-negara Islam lain, maka mereka yang terkesan dengan dakwah Imam Hasan
Al-Banna membawa manhaj dakwah Hasan Al-Banna ke negara-negara mereka.
Kita dapat lihat antara contoh seperti Sheikh Sa’id Hawwa,
seorang ulama’ sufi yang terkesan dengan manhaj dakwah Imam Hasan Al-Banna,
akhirnya terlibat secara langsung mengembangkan manhaj dakwah Imam Hasan di
Syria.
Setelah dakwah Imam Hasan Al-Banna dan manhaj Al-Ikhwan
Al-Muslimun yang diasaskan olehnya dikenali oleh masyarakat Islam di
peringkat antarabangsa, ramai orang Islam yang sangat prihatin terhadap kemunduran
masyarakat Islam pada ketika itu, mula melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah
satu nama “penawar” kepada penyakit masyarakat Islam pada ketika itu.
Setelah berlalunya zaman pimpinan Imam Hasan Al-Banna dan
pimpinan Sheikh Umar At-Tilmisani (seorang sufi juga), maka masyarakat Islam
kebanyakkanya sudah mula tidak melihat sudut kesufian dalam Al-Ikhwan
Al-Muslimun lagi. Sebahagian pemuda dan penggemar bidang dakwah mula
melihat Al-Ikhwan Al-Muslimun sebagai suatu Harakah
Islamiyyah tanpa melihat sudut Tarbiyyah Sufiyyah di dalamnya.
Buku-buku Sheikh Sa’id Hawwa yang menekankan aspek kesufian Al-Ikhwan
Al-Muslimun seakan mula tidak mendapat tempat dalam kalangan para
pemuda du’at (pendakwah).
Tarbiah Ruhiyyah dan Imaniyyah: Intipati Harakah
Islamiyyah
Sewaktu awal penubuhan Al-Ikhwan Al-Muslimun, Imam
Hasan Al-Banna menerapkan intipati asas yang telah lama menjadi intipati utama
manhaj dakwah sufiyyah iaitulah “Tarbiyyah Ruhiyyah”
sebelum perlaksanaan agenda yang lain. Tumpuan sangat diberikan dalam
pembentukan keimanan yang murni dan sudut kesempurnaan rohani, kerana ianya
merupakan aset terpenting dalam menjayakan usaha dakwah dalam pelbagai sudut
kehidupan yang lain.
Hala tuju Al-Ikhwan Al-Muslimun yang
menumpukan tarbiah sebagai asas bagi pembentukan kekuatan dalam jemaah adalah
hala tuju tariqat-tariqat sufiyyah muhaqqiqin (yang berpegang
teguh dengan Al-Qur’an dan As-Sunnah) juga sejak zaman berzaman. Maka,
persamaan dari sudut keutamaan dalam manhaj dakwah menyebabkan Imam Hasan
Al-Banna tidak teragak-agak untuk mengisytiharkan sudut kesufian yang
mendominasi dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun. Malah, Imam Hasan Al-Banna
memastikan sudut tasawwuf dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun adalah
tasawwuf yang murni dari sebarang penyelewengan yang dilakukan oleh sesetengah
orang-orang awam yang menisbahkan diri kepada kaum sufi.
Oleh kerana aspek tarbiah adalah aspek paling utama
dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun, sebagaimana dalam manhaj dakwah sufiyyah,
maka beliau lebih cenderung menggunakan istilahMursyid bagi kepimpinan
dalam Al-Ikhwan kerana ianya lebih merujuk kepada “pembimbing”
(murobbi) berbanding “pemimpin” (ra’is). Istilah ini juga diambil
daripada tradisi manhaj dakwah sufiyyah.
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi turut menjelaskan hal yang
hampir serupa ketika membandingkan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan Al-Jamaah
Al-Islamiyyah di India yang diasaskan oleh Sheikh Abu Al-‘Ala
Al-Maududi. Beliau berkata:
“Sebenarnya, tiada beza dari sudut tujuan-tujuan antara Al-Ikhwan dan Al-Jama’ah melainkan Al-Ikhwan lebih
mementingkan sudut tarbiah sedangkan Al-Jama’ah lebih
menumpukan sudut pemikiran. Maka, pengaruh perkembangan rohani lebih kuat
dalam Al-Ikhwan… Maka, Al-Maududi lebih sebagai seorang ahli pemikir
berbanding seorang murobbi sedangkan Al-Banna lebih sebagai seorang murobbi berbanding
seorang ahli pemikir.” [Ummatuna Baina Qarnain: 67]
Pembangunan kerohanian adalah paling utama termasuklah
berbanding pembangunan pemikiran walaupun kedua-duanya mempunyai kepentingannya
yang tersendiri. Ini kerana, biar secerdas manapun akal seseorang, namun jika
hatinya ditawan oleh nafsu, maka hati tidak dapat mengikut ukuran akal tetapi
lebih cenderung mengikut hawa nafsu yang menyesatkan.
Sheikh Sa’id Hawwa merupakan antara tokoh Al-Ikhwan
Al-Muslimun yang sangat positif dalam menerapkan seberapa banyak unsur
kesufian hakiki dalam Al-Ikhwan Al-Muslimun khususnya melalui
kitab beliau Tarbiyyatuna Ar-Ruhiyyah.
Dakwah kaum sufi yang asas adalah mengajak manusia kepada
merealisasikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t. dengan mengenali hakikat
kehambaan diri sebenar-benar kenal, lalu melaksanakan tugas kehambaan denga
sebaik-baik penunaian sehingga mencapai tahap mengenali ketuhanan Allah s.w.t.
dengan sebenar-benar kenal (iaitu, menghayati pengaruh Allah s.w.t. dalam
kehidupan kita dengan sebenar-benar penghayatan).
Dengan ini akan membentuk suatu individu yang sempurna dalam
memahami kehidupan lalu melaksanakan tugasnya dalam kehidupan dengan
sebaik-baik perlaksanaan. Maka, ketinggian kerohanian yang diusahakan dalam
manhaj tarbiah sufi ini adalah nadi pembentukan masyarakat Islami yang syumul,
walaupun tidak disebut secara sistematik. Ia lebih merujuk kepada pembentukan
individu muslim yang rabbani (sentiasa mendapat pembukaan dan kefahaman dari
Allah s.w.t.) dan memahami kehidupan dengan neraca ta’abbudi (melaksanakan
tugas kehambaan).
Imam Hasan Al-Banna sedikit sebanyak menjelaskan konsep yang
sama dengan konsep tarbiah sufi ketika menjelaskan tentang Al-Ikhwan
Al-Muslimun dengan berkata:
أخص خصائص دعوتنا أنها ربانية عالمية: أما
أنها ربانية فلأن الأساس الذي تدور عليه أهدافنا جميعًا، أن يتعرف الناس إلى ربهم،
وأن يستمدوا من فيض هذه الصلة روحانية كريمة تسمو بأنفسهم عن جمود المادة الصماء
“Keistimewaan
yang paling khusus dalam dakwah kita adalah dakwahnya bersifat rabbaniyyah
‘alamiyyah (menyeluruh). Dakwahnya bersifat rabbaniyyah kerana
asas yang menjadi nadi bagi segala tujuan-tujuan kita seluruhnya adalah: agar
manusia berusaha untuk mengenal Tuhan mereka, lalu terpancar daripada
limpahan hubungan ini (hubungan kehambaan antara hamba dengan Tuhannya)
kerohanian yang mulia yang meninggikan jiwa mereka daripada kejumudan
kebendaan yang buta (tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat dari sudut
hakikatnya)…” [Dinukilkan oleh
Ustaz Muhammad Mahdi ‘Akif, Mursyidul Am Ikhwan terkini dalam
Ikhwanonline.com].
Ini jelas
menunjukkan keistimewaan dakwah dan tarbiah sufi yang bersifat Rabbani lagi ‘Alami
berdasar seringkas-ringkas perkataan kerana sebaik-baik perkataan adalah, apa
yang paling sedikit ungkapannya tetapi banyak (mendalam) maksudnya. Imam Hasan
Al-Banna hanya mensyarahkan manhaj dakwah dan tarbiah kaum sufi lalu
menggunakan istilah moden seperti ‘Alami, syumuli dan
sebagainya sedangkan makna daripada istilah-istilah itu sudah lama wujud dalam
dakwah dan tarbiah sufi.
Kepentingan Mengambil Tarbiah daripada Ahl-Tarbiah
(Sufiyyah)
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi ketika menjelaskan tentang Tajdid,
beliau menjelaskan antara agenda tajdid yang paling penting
adalah Tajdid Imani (pembaharuan dari sudut keimanan). Ketika
menjelaskan tentang Tajdid Imani yang sangat penting dalam
kesempurnaan perlaksanaan tajdid dalam bidang-bidang yang lain, Dr.
Al-Qaradhawi menjelaskan tentang kepentingan tasawwuf dalam proses Tajdid
Imani ini. Namun, tasawwuf yang dimaksudkan menurut beliau adalah
tasawwuf yang murni daripada sebarang khurafat dan penyelewengan. [rujuk Min
Ajli Shohwah Rasyidah]
Ilmu Tasawwuf itu sendiri berdasarkan penjelasan dan
perlaksanaan para ulama’ sufi muhaqqiqin, sememangnya adalah sesuatu
yang murni. Tidak ada ilmu tasawwuf Islam yang tidak murni, sebagaimana
tidak ada ilmu fiqh Islam yang tidak murni. Apa yang tidak murni adalah amalan
sesetengah orang awam yang bercanggah dengan maqasid dan
prinsip ilmu tasawwuf yang asal itu, bukan ilmu tasawwuf itu sendiri.
Sebagaimana, munculnya golongan yang salah dalam memahami fiqh lalu salah dalam
mempraktikkan fiqh Islami, tidak membawa kepada adanya fiqh Islam
yang murni dengan yang tidak murni. Fiqh Islami itu sendiri adalah fiqh
yang murni sedangkan yang tidak murni itu bukan fiqh, tetapi orang yang
mengamalkannya. Tidak boleh menisbahkan kesalahan sesetengah golongan kepada
ilmu asalnya yang sememangnya murni.
Ibn Taimiyyah sendiri antara ungkapannya, beliau berkata:
“Dia (seorang sufi) pada hakikatnya adalah suatu golongan
daripada golongan al-Siddiqin. Seorang sufi itu seorang al-Siddiq (benar
dalam beribadah) dalam pengkhususan seperti zuhud dan ibadah dari sudut ijtihad
mereka padanya. Maka seorang sufi itu Siddiq dalam
kelompok jalan (ibadah ini)… Boleh jadi golongan sufi adalah
seagung-agung siddiqin pada zaman mereka dan sesempurna siddiqin pada
zamannya. Adapun, Siddiq pada zaman yang awal (salaf) lebih
sempurna daripada siddiq zaman seterusnya.” [Majmu’ Fatawa 11/16]
Beliau berkata lagi:
“Kemudian mereka (para ahli ilmu) samada melaksanaka zahir
syariat semata-mata seperti ahli hadith secara gambaran umum dan orang-orang
beriman yang dari sudut ilmu hanya sekadar martabat ahli ibadah yang beramal
dengan zahir semata-mata, ataupun (para ahli ilmu itu) mengetahui akan
makna-maka (kehambaan di sebalik ibadah zahir) lalu mengenalinya (makna dan
hakikat syariat). Maka mereka (yeng mengenali makna hakikat amalan zahir, bukan
semata-mata mengamalkan zahir syariat tanpa penghayatan) dari sudut keilmuan
adalah sebagaimana golongan sufi yang syar’ie (melaksanakan syariat). Maka,
mereka (para sufi yang syar’ie tersebut) adalah ulama umat Muhammad yang
sebenar-benarnya. Malah, merekalah semulia-mulia makhluk, sesempurna makhluk
dan paling tepat jalan mereka menuju Allah s.w.t.. Wallahu a’lam.”
[Majmu’ Fatawa 20/63]
Seseorang yang menghidap penyakit kronik sudah tentu lebih
selesa dan lebih tenang untuk berjumpa dengan seorang doktor yang pakar dalam
bidang kedoktoran untuk mengambil proses penyembuhannya, berbanding berjumpa
bomoh-bomoh yang tidak mempunyai pengiktirafan khusus dalam bidang kedoktoran,
walaupun tidak mustahil kaedah sesetengah tabib tradisional kadang-kadang lebih
mujarrab daripada kaedah perubatan moden. Apatah lagi hendak berjumpa dengan
pengaku-pengaku sebagai tabib padahal tidak mempunyai latar belakang pendidikan
kedoktoran dan tibb, jauh sekali seseorang itu hendak bertemu dengan
mereka untuk tujuan rawatan.
Bagaimana dalam masalah penyakit jasmani sahaja, kita mencari
seorang doktor yang pakar sedangkan dalam penyakit rohani, cukup sekadar
membaca buku-buku untuk merawatinya? Sedangkan, para ulama’ dan murobbi sufi
mempunyai pengiktirafan dalam keahlian mereka untuk merawati penyakit hati
(dengan bantuan Allah s.w.t.) yang mana silsilah izin tarbiah itu bersambung
sampai para murobbi salafus-soleh.
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al-Banna sangat mementingkan
pengambilan tarbiah daripada para murobbi sufi yang sememangnya ahli dalam
bidang tarbiah, untuk menyempurnakan manhaj tarbiah dalam Al-Ikhwan
Al-Muslimun.
Imam Hasan Al-Banna menceritakan kepentingan dan keagungan
manhaj tarbiah kaum sufi dengan berkata:
“Tidak syak juga bahawasanya, dengan ilmu tersebut
(tasawwuf), golongan sufi telah mencapai martabat yang tinggi dalam
membaiki jiwa dan mengubatinya, dalam menjadi penawar kepada penyakit jiwa dan
menjadi doktor dalam bidang kerohanian, yang tidak dicapai oleh para
murobbi yang bukan dari kalangan mereka (golongan sufi).” [Muzakkirat
Ad-Dakwah wa Ad-Da’iyyah]
Dalam muktamar Islami Pertama, Imam Hasan Al-Banna juga ada
menyebutkan antara jalan untuk mencapai ketinggian dalam bidang ilmu dan budaya
umat Islam adalah:
وترى الجمعية أن من أهم الوسائل تربية
الوعاظ تربية دينية عملية تكون أشبه بتربية الصوفية المحققين فى الجمع بين العلم
والعمل…
“Jam’iyyah
(Al-Ikhwan Al-Muslimun) mendapati bahawasanya, antara jalan terpenting dalam
tarbiah para pendakwah adalah tarbiah keagmaan amali (praktikal) yang
mirip dengan tarbiah sufiyyah yang muhaqqiqin dalam menggabungkan Ilmu dan
Amal…”
Oleh sebab itu, Imam Hasan Al-Banna sendiri sangat tekun
dalam mengeratkan hubungan Al-Ikhwan Al-Muslimun dengan para masyaikh
sufi dan para murobbi mereka.
Dakwah Harakiyyah Adalah Dakwah Sufiyyah
Sesuatu yang menjadi kealpaan sesetengah pihak adalah, mereka
tidak melihat dakwah harakiyyah sebagai suatu intipati dalam dakwah
sufiyyah yang sebenar, berdasarkan catatan sejarah umat Islam. Setiap peringkat
zaman, tarbiyyah sufiyyah melahirkan individu-individu atau kelompok
yang terlibat dalam dakwah, islah dan tajdid masyarakat
Islam.
Namun, rahsia keagungan dakwah sufiyyah antaranya ialah,
memberi pengaruh positif dalam masyarakat tanpa berlaku pertembungan antara
dakwah dengan masyarakat. Pengaruh dakwah sufi dalam masyarakat Islam awam
bagaikan air yang meresap dengan penuh ketenangan lalu menghilangkan dahaga
orang-orang yang haus. Ianya lebih kepada asimilasi yang positif dan mudah
diterima.
Bayangkan, bagaimana kaum sufi khususnya dari kalangan para haba’ib
yang datang dari Hadramaut membentuk suatu perubahan sosial dan aqidah dalam
masyarakat Nusantara yang pada ketika itu dipengaruhi agama Hindu dan Buddha.
Oleh kerana itulah, penulis bersetuju dengan Prof. Dr. Abdul Majid As-Shaghir
yang menyimpulkan bahawasa, Sufiyyah ialah Dakwah, bukan Muwajahah (pertembungan
melawan arus) [rujuk At-Tasawwuf
Dakwah La Muwajahah]. Inilah rahsia di mana
Rasulullah s.a.w. itu sebagai rahmatan lil ‘Alamin yang menjadi asas
dakwah Baginda s.a.w., yang lebih mempengaruhi secara damai, bukan secara
kekerasan.
Pada sudut pendekatan Rahmat dalam kesufian
dan tarbiah sufi inilah, menjadi modal untuk para musuh tasawwuf mengkritik
kaum sufi samada dari pihak orientalis mahupun murid-murid mereka dari dalam
umat Islam. Padahal, mereka membutakan mata daripada keterlibatan sebahagian
kaum sufi dalam jihad melawan musuh-mush dan dakwah ke serata dunia. Ini
kerana, pendekatan Rahmatan lil ‘alamin (atau berlembut) justeru
adalah suatu kelembutan yang bertempat, bukan dengan bererti kemalasan dan
meninggalkan amal.
Dakwah itu lebih umum daripada Muwajahah (pertembungan).
Ini kerana, dakwah itu merangkumi kelembutan, toleransi, keterbukaan,
kesederhanaan dan sebagainya berbanding muwajahah yang
mempunyai sudut kekerasan semata-mata. Dakwah juga tidak mengabaikan
sudut muwajahah (pertembungan) tetapi bila ianya diperlukan sahaja,
bukan pada setiap waktu. Inilah cerminan daripada dakwah Rasulullah s.a.w. dan
para sahabat r.a. yang mana mereka memiliki pedang masing-masing (sentiasa
bersedia untuk muwajahah) tetapi lebih banyak menyimpannya di dalam sarung
berbanding menghunuskannya. Asal dakwah itu sendiri adalah perdamaian, bukan
pertembungan melainkan jika diperlukan.
Mengenai manhaj haraki, apabila kita membaca kitab Al-Risalah
Al-Qusyairiyyah, salah satu rujukan utama dalam ilmu tasawwuf, istilah
pergerakan juga sudah dikenali oleh kaum sufi di zaman beliau. Istilah yang
mereka gunakan adalah: “Al-Harakah padanya barakah” yang bermaksud:
pergerakan itu padanya keberkatan. Ini menunjukkan galakan para ulama’ sufi
untuk kaum sufi bergerak dalam membawa risalah Islam dan tarbiyyah
ruhiyyah dalam masyarakat.
Harakah Islamiyyah Perlu Kepada Tarbiah
Sufiyyah Muhaqqiqin
Sebagaimana pemimpin utama pertumbuhan gerakan-gerakan Islam
di dunia Islam, iaitu Imam Hasan Al-Banna, melihat kepentingan tarbiah sufiyyah
dalam menjayakan dakwah yang murni, maka saya sendiri melihat kepentingan yang
sama. Kerjasama antara para murobbi sufi dengan para petugas pendakwah jemaah
dakwah perlu dieratkan. Ini kerana, dalam tarbiah sufiyyah mempunyai
intipati terpenting dalam pembentukan kerohanian seseorang manusia. Ia disaksikan oleh
catatan sejarah umat Islam sejak zaman berzaman.
Sekurang-kurangnya, individu-individu yang terlibat dalam
dakwah perlu mengambil tarbiah khusus daripada para murobbi sufi yang muhaqqiqin
atau bersahabat dengan mereka sebagaimana dilakukan oleh Sultan Salahuddin
Al-Ayubi dan Imam Hasan Al-Banna, dua individu yang paling berpengaruh dalam
zaman masing-masing.
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:
“Apa yang saya dapati daripada pengalaman sendiri dan
berdasarkan kebiasaan turun ke lapangan bersama orang-orang awam mahupun ahli
ilmu, bersama orang-orang yang lalai, bersama orang-orang yang terlibat dalam
jemaah-jemaah Islam yang pelbagai dan sebagainya, bahawasanya mereka semua
memerlukan kepada tarbiah iman yang benar untuk menyucikan
hati mereka daripada cinta kepada dunia, daripada cintakan nafsu diri, yang
mampu membawa mereka kepada Allah sw.t., yang mampu membebaskan manusia
daripada kehambaan kepada kebendaan, nafsu dan khayal agar mereka berpegang
dengan kehambaan hanya kepada Allah s.w.t. semata-mata yang mana ianya dapat
menyucikan akal mereka daripada syirik, hati mereka daripada nifaq, lidah
mereka daripada dusta mata-mata mereka daripada khianat, perkataan-perkataan
mereka daripada kelalaian, ibadah mereka daripada riya’, muamalah mereka
daripada tiput dan kehidupan mereka daripada pertembungan (dengan nafsu). [Muqoddimah dalam Al-Hayah
Al-Ruhiyyah wa Al-‘Ilm]
Beliau berkata lagi:
(Setelah menyebut beberapa aspek keperluan seperti penyucian
jiwa dan sebagainya lalu beliau berkata: “Inilah dia kesimpulan daripada ilmu
tasawwuf…” [ibid]
Konsep Suhbah (Persahabatan) dalam Tarbiah Sufiyyah
Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradhawi berkata:
إننا نريد التصوف السني الملتزم بالنهج
القرآني النبوي المتوازن، والذي يعنى بـ (تقوى القلوب) قبل (أعمال الجوارح) وبروح
العمل قبل صورته… ويعنى بعلاج أمراض القلوب وسد مداخل الشيطان إليها، وجهاد أهواء
النفس حتى تتهذب أخلاقها، وتتحلى بالفضائل، وتتخلى عن الرذائل.
Maksudnya: “Kita
mahukan tasawwuf sunni yang berpegang dengan manhaj Al-Qur’ani An-Nabawi
(Al-Qur’an dan As-Sunnah) yang seimbang, iaitu yang membawa kepada taqwa hati
sebelum beramal dengan anggota zahir, dan membentuk roh amal sebelum zahirnya…
Tasawwuf yang membawa kepada penyucian penyakit hati, menutup pintu-pintu
syaitan, kaedah mujahadah melawan hawa nafsu agar dapat membentuk akhlak dan
sifat yang mulia dan membuang akhlak yang tercela.” [Aulawiyat
Al-Harakah Al-Islamiyyah, m/s: 25]
Tarbiah Sunniyyah bukan
sekadar menggunakan Al-Qur’an dan As-Sunnah semata-mata, tetapi ditarbiah oleh
seorang murobbi yang dapat dijadikan qudwah hasanah (contoh
yang baik). Cuba fahami sejarah dari pelbagai sudut. Lihatlah bagaimana peranan
Rasulullah s.a.w. sebagai seorang murobbi dalam masa dua puluh tiga tahun.
Bagaimana kita lihat dalam sirah Baginda s.a.w., para sahabat lebih banyak
mengambil manfaat daripada Rasulullah s.a.w. melalui qudwah dan mahabbah Baginda
s.a.w. kepada mereka.
Kalau bukan kerana proses tarbiah dan qudwah ini,
maka, tidak perlu tempoh masa yang lama. Tetapi, Rasulullah s.a.w. lebih banyak
mempengaruhi akhlak para sahabat r.a. melalui akhlak Baginda s.a.w..
Proses qudwah adalah proses mempengaruhi seseorang secara halus. Oleh
kerana itulah, Rasulullah s.a.w. mengingatkan kita bahawasanya agama seseorang
itu mengikut temannya. Proses suhbah sangat
memberi pengaruh yang besar dalam diri seseorang.
Konsep dan
manhaj suhbah inilah yang diteruskan oleh para ulama’ sufi
yang mana mereka warisi dari generasi ke suatu generasi di mana silsilah
warisan suhbah ini sampai kepada para murobbisalafus-soleh. Akhlak
itu justeru suatu “pengaruh dalaman” (Ta’sir Dakhili) daripada seseorang
kepada seseorang, bukan daripada buku. Ia adalah hubungan antara rohani dengan
rohani.
Para ulama' sufi
muktabar dari serata dunia mempunyai peranan dan pengaruhnya yang tersendiri
dalam kebangkitan umat Islam dalam kembali kepada corak kehidupan beragama.
Dakwah dan tarbiah mereka merentasi sempadan tempat kerana kefahaman mereka
terhadap risalah dakwah yang mereka pikul di bahu mereka. Antara tokoh-tokoh
sufi yang giat berdakwah pada masa kini adalah seperti Sayyidi Sheikhna
As-Sheikh As-Syarif Yusuf Al-Hasani (berdakwah sehingga ke Kanada dan
sebagainya), Sheikh Abd al-Qadir al-Sufi, Sheikh Al-Habib Umar, Sheikh Al-Habib
Ali Al-Jifri, Sheikh Ben Bayyah dan sebagainya yang mana mereka terlibat dalam
dakwah kepada masyarakat Islam terutamanya dalam bidang tarbiah kerohanian. Semoga Allah s.w.t.
memelihara kesinambungan ini dalam memelihara perjuangan dan dakwah para
muslimin. Amiin...
Wallahu a'lam
11 Mac 2011,
Putrajaya
No comments:
Post a Comment