Bidang Pemikiran (‘Aqliyyah) dan Cabaran Semasa
Sesetengah pihak menganggap remah pembangunan bidang
pemikiran dan falsafah. Samada mereka keliru dengan perkembangan yang berlaku
di sekeliling atas nama kemodenan, ataupun mereka terperangkap dengan salah
faham tertentu atas nama keagamaan (al-tadayyun). Ia membawa kepada
hilang keseimbangan dalam bidang pemikiran masyarakat samada kecenderungan
berlebih-lebihan dalam menggunakan akal sehingga tidak berteraskan kerangka dan
kayu ukur yang muktamad dan tepat, ataupun kecenderungan sambil lewa terhadap
penggunaan akal.
Jika kita membincangkan isu ini dari sudut wilayah atau
cakupan ilmu pengetahuan itu sendiri, kita dapati memang ada usaha pemisahan
antara bidang ilmu pengetahuan dengan falsafah, kerana di sisi mereka yang
memisahkan antara kedua-duanya, cakupan ilmu pengetahuan lebih terbatas kepada
alam fizikal sahaja, iaitu berdasarkan pengalaman empirikal atau didapati
secara rasional semata-mata, berbanding cakupan bidang falsafah yang mencakupi
alam metafizik (supernatural).
Adapun dalam tradisi Islam, ilmu tidak dibahagikan
berdasarkan cakupan atau ruang lingkupnya, kerana di sisi Islam, agama (al-din) sendiri
merupakan suatu "ilmu", walaupun berasaskan wahyu (bukan terbatas
kepada empirikal dan logikal semata-mata) dan ruang lingkupnya turut mencakupi
alam di sebalik fizikal ini (alam al-ghaib). Oleh sebab itulah,
al-Imam al-Ghazali RA sendiri membahagikan ilmu antaranya kepada ilmu syar'iyyah iaitu
ilmu yang berasaskan dan berkaitan dengan wahyu, dengan ilmu 'aqliyyah, iaitu
ilmu yang berasaskan atau berkaitan dengan akal rasional atau empirikal.
Kepentingan Tradisi Berfikir
Bidang pemikiran atau tradisi berfikir merupakan suatu
bahagian yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Pembangunan dan
perkembangan bidang pemikiran merupakan kunci kepada pembangunan sesebuah
tamadun. Dalam sejarah sendiri telah menunjukkan betapa tamadun-tamadun purba
terdahulu dibangunkan di atas kemajuan bidang pemikiran yang memimpin
perkembangan bidang ilmu pengetahuan.
Sesebuah masyarakat yang tidak mengembangkan bidang
pemikirannya tidak akan mampu memimpin perkembangan ilmu pengetahuan, bahkan
selama-lamanya ia akan menjadi pengikut kepada masyarakat yang lebih
"pandai berfikir". Kemajuan tradisi berfikir atau bidang pemikiran
yang dimaksudkan bukanlah suatu proses berfikir yang biasa, tetapi lebih kepada
berfikir secara falsafah (philosophical thinking), iaitu suatu usaha
berfikir secara mendalam, sistematik dan sejagat. Dalam tradisi Islam, ia
dikenali sebagai al-nazhor atau proses berfikir secara
bersungguh-sungguh ini. Ada tiga ciri-ciri utama berfikir secara falsafah atau al-nazhor ini
iaitu:[1]
- Berfikir secara mendalam sehingga ke asal-usul, akar umbi atau hakikatnya.
- Berfikir secara sejagat (universal) iaitu mengikut pengalaman manusia secara umum.
- Berfikir secara integral (bersepadu), iaitu mempunyai hubung kait antara satu sama lain.
Ia merupakan suatu perkara yang sangat penting kerana ianya
merupakan asas kepada perkembangan ilmu pengetahuan seterusnya asas kepada sebuah
pembangunan ketamadunan.
Perkembangan Tradisi Berfikir
Walaupun dalam sejarah telah mencatatkan bahawa manusia telah
lama menggunakan akal pemikiran dan proses berfikir, sejak zaman Nabi Adam AS
lagi yang mana tradisi berfikir tersebut dipandu oleh pedoman wahyu, namun ada
bentuk perkembangan dalam tradisi berfikir yang berkait rapat dengan penyusunan
kaedah berfikir secara sistematik.
Sebagai contoh, perkembangan kaedah berfikir secara logikal,
walaupun ianya sudah diamalkan oleh umat manusia, namun ianya disusun secara
ilmiah dan sistematik oleh Aristotle yang mana ianya diwarisi oleh tamadun Rom
kemudian masuk ke dalam tamadun Islam seawal kurun ke-2 Hijrah. Namun, ini tidak
menafikan peranan tamadun China dan India juga dalam mengembangkan sebahagian
asas-asas berfikir secara logikal ini.
Pemikiran logik yang dikembangkan oleh Aristotle dikenali
sebagai al-Mantiq al-Qadim atau Logik Klasik atau al-Mantiq al-Suri
atau Logik Formal. Ia menggunakan kaedah al-Qiyas (silogism) atau
rasional-deduktif. Setelah itu, tamadun Islam berperanan mengembangkan Logik
Klasik ini secara meluas terutamanya di tangan Ibn Sina dan sebagainya, bahkan
berjaya dimurnikan daripada pengaruh falsafah Yunani yang pincang oleh al-Imam
al-Ghazali RA melalui karya beliau Mi’yar al-‘Ilm fi Fan al-Mantiq. Setelah
itu, ilmu Mantiq dalam dunia Islam merujuk kepada perbahasan-perbahasan yang
disusun oleh al-Imam al-Ghazali RA.
Namun, pada akhir kurun-19 iaitu pada Zaman Kemodenan di sisi
tamadun Barat, masyarakat lebih menekankan aspek sains dan teknologi kerana
dipengaruhi oleh pelbagai aliran yang menekankan aspek kemudahan dalam bidang
kehidupan. Lalu, mereka lebih menekankan kaedah empirikal-induktif (al-Istiqra’)
sehinggalah terbentuk aliran logik moden (al-Mantiq al-Maddi) di samping
aliran logik simbolik (al-Mantiq al-Ramzi)[2]
yang mempengaruhi bidang Matematik.
Dalam pada itu juga, turut berkembang pemikiran Lateral (Lateral
Thinking atau Tafkir Janibiy) yang dikaitkan kepada Dr. Edward de
Bono. Ia merupakan kaedah berfikir secara kreatif untuk menyelesaikan
permasalahan dengan keluar daripada kaedah berfikir kebiasaan yang rasional.
Sebahagian pihak mengandaikan bahawa pemikiran Lateral ini ialah aliran
neo-Sophisme dari sudut relativitinya.
Kaedah pemikiran Lateral ini terbatas kepada persoalan
profesionalisme dalam sistem ekonomi kapitalisme, khususnya kepada aspek-aspek
kejuruteraan, pengiklanan, sukan, masakan dan sebagainya. Ia tidak mencakupi ultimate
problems atau permasalahan-permasalahan asasi seperti hakikat kewujudan dan
sebagainya. Ia lebih kepada pemikiran yang menekankan kaedah penyelesaian
masalah (problem-solving) dalam bidang kebendaan semata-mata.
Kaedah pemikiran Lateral ini sebagaimana dijelaskan oleh Dr.
Edward de Bono bersifat anti-logik[3]
kerana menganggap pemikiran logik (vertikal) sebagai suatu pemikiran bercorak
sempit dan menuju ke satu hala tuju sahaja, sedangkan pemikiran Lateral ini (paralel)
tidak sedemikian kerana tidak dibataskan kepada hukum cause-effect
(sebab-musabab) yang ketat. Dari banyak sudut, pemikiran ini mempunyai
persamaan dengan falsafah relativisme, skeptisisme dan sebagainya kerana tidak
mengiktiraf suatu nilai yang tetap. Ia juga lebih mementingkan nilai-guna
seperti pragmatisme tanpa mengiktiraf nilai baik dan buruk.
Islam dan Tradisi Berfikir
Islam merupakan suatu risalah ketuhanan yang disampaikan
kepada umat manusia melalui utusan Allah, Nabi Muhammad SAW untuk
menyempurnakan sudut kehambaan mereka, lalu dengan kesempurnaan tersebut,
mereka menyempurnakan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.
Maka, manusia diciptakan sebagai khilafah iaitu wakil
kepada Allah SWT untuk memakmurkan bumi ini dengan kebaikan yang diajarkan oleh
Allah SWT, yang mana aspek khilafah ini merupakan sebahagian daripada
kehambaan (ubudiyyah) mereka kepada Allah SWT. Bagi tujuan khilafah
inilah, justeru Islam turut mementingkan tradisi berfikir dan penggunaan akal
secara baik dan seimbang.
Bahkan, dalam panduan Islam, akal bukan sahaja penting dari
sudut pembangunan sudut kebendaan sahaja, bahkan ianya penting untuk mencapai
sebuah aqidah yang jazim (putus atau konkrit) dalam diri seseorang
muslim, yang menjadi sumber kepada kesempurnaan diri manusia. Akal ialah jalan
untuk mengenal Allah SWT melalui para makhluk-Nya, iaitu untuk menghayati
kewujudan, kekuasaan, keesaan dan kesempurnaan Allah SWT, Tuhan sekalian alam,
melalui makhluk-makhluk tersebut.
Maka, akal ialah suatu yang sangat penting dalam diri
manusia, bahkan tradisi berfikir dipentingkan juga oleh ajaran Islam. Oleh
sebab itulah, dalam perkembangan keilmuan Islam, para ulama’ Islam turut
mengembangkan bidang aqliyyah atau ilmu berkaitan akal, samada secara
terpisah/terasing seperti membahaskan ilmu mantik ataupun secara bersepadu
seperti membahaskan hukum akal dalam ilmu kalam.
Bidang ilmu akal sendiri mempunyai pengaruhnya tersendiri
dalam tiga ilmu utama Islam iaitulah ilmu aqidah Islam (lalu menjadi ilmu
kalam), ilmu fiqh Islam (sehingga membentuk ilmu usul fiqh dan
sebagainya) dan ilmu tasawuf Islam (sehingga membentuk ilmu tasawuf zauqi
atau isyari).
Bidang Aqliyyah dalam Perkembangan Semasa
Di dunia Barat, walaupun masyarakatnya sangat mementingkan perkembangan
bidang sains dan teknologi, tetapi mereka tidak pernah meminggirkan bidang aqliyyah
atau lebih disebut sebagai bidang falsafah dan pemikiran. Bahkan, di pelbagai
universiti di Barat, bidang pemikiran dan falsafah menjadi bidang yang sangat
utama. Ini kerana, agenda Sekularisasi bidang pengetahuan sangat kuat di dunia
Barat, lalu untuk menangani pengaruh bidang agama, masyarakat Barat memerlukan
bidang falsafah terutamanya untuk mengembangkan ideologi-ideologi dalam bidang
pemikirannya.
Bahkan, kita dapati, tradisi pembelajaran di dunia Barat
terutamanya di institusi pengajian tinggi turut dipengaruhi oleh bidang
falsafah sehingga membentuk tahap pembelajaran bertaraf Doctor of Philosophy
atau lebih dikenali sebagai PhD. Pada awalnya, ia berkait rapat dengan bidang
falsafah dan pemikiran sehinggalah akhirnya penggunaannya lebih meluas sehingga
mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain.
Dalam tradisi Islam pula, sejak berkembangnya ilmu mantik dan
ilmu kalam dalam masyarakat Islam, bidang aqliyyah ini terus dimajukan
oleh sebahagian para ulama’ Islam. Kita boleh dapati betapa ilmu kalam terus
berkembang sehingga ke suatu tahap di mana perbahasan-perbahasannya sudah
merangkumi bidang falsafah bahkan bidang falsafah ilmu atau epistemology of
knowledge. Begitu juga dengan ilmu mantik dan ilmu hikmah yang turut
mendapat perhatian oleh sebahagian para ulama’.
Namun, sejak beberapa kurun terakhir ini, umat Islam diserang
wabak aliran pemikiran yang keliru, lalu mereka menyerang perkembangan bidang aqliyyah
ini atas nama kefahaman agama secara salaf. Mereka yang mengaku sebagai Salafiyyah
(padahal Wahabiyyah kerana sekadar mengikut pemikiran Muhammad Abdul
Wahab) ini menimbulkan kalamophobia atau penyakit memomokkan ilmu kalam
sunni, bahkan mengaitkan segala ilmu kalam samada versi golongan Asha’irah
mahupun Maturidiyyah sebagai aliran aqidah Mu’tazilah.
Sebahagian daripada mereka bersusah-payah membuktikan ilmu
sifat 20 sebagai ilmu aqidah Mu’tazilah dan Imam al-As’hari telah
bertaubat daripada ilmu kalam versi Ash’ari sedangkan mereka sekadar
mewakili aliran pemikiran Muhammad Abdul Wahab, dalam masa yang sama, para
ulama’ Asha’irah pula mempunyai sanad keilmuan yang jelas bersambung kepada
Imam al-Ash’ari, yang mana mereka mewarisi secara jelas kaedah aqidah Imam
al-Ash’ari yang terakhir.
Lalu, guru kami Dr. Usamah Sayyid al-Azhari menjelaskan
bahawa, para ulama’ Islam sudah banyak membuang masa untuk melawan golongan ini,
dengan menjawab setiap isu yang mereka bangkitkan, sedangkan ia tanpa asas yang
sahih sama sekali. Akhirnya, umat Islam terutamanya golongan Sunni agak ketinggalan
dalam bidang aqliyyah dan pemikiran ini berbanding masyarakat Barat dan
sebagainya.
Kesan Kemunduran Bidang Aqliyyah Islam dalam
Masyarakat Islam
Hasil daripada itu, maka golongan Liberalis dalam masyarakat
Islam mula menonjolkan diri sebagai juara dalam bidang pemikiran ini. Mereka
yang belajar dari dunia Barat mendabik dada di hadapan para ulama’ Islam
seolah-olah mereka ‘lebih pintar’ dan pandai berfikir berbanding para ulama’
yang dianggap ketinggalan zaman, jumud dan sebagainya.
Fenomena ini tidak muncul tanpa sebab, kerana ramai ilmuwan
Islam atau ustaz-ustaz lahir daripada pusat pengajian ilmu agama yang tidak
menekankan bidang Aqliyyah ini. Mereka tidak pernah mengenali ilmu
Mantik, ilmu Kalam, al-Falsafah al-Islamiyyah dan sebagainya, bahkan
sebahagian daripada mereka memusuhi pula ilmu-ilmu tersebut, samada hasil
kejahilan mengenai ilmu tersebut, terpengaruh dengan fahaman pengaku Salafi
ini, ataupun kedua-duanya sekali.
Mereka hanya mengenali ilmu aqidah Islam versi Ibn Taimiyyah
iaitu berteraskan pembahagian tauhid kepada Uluhiyyah, Rububiyyah
dan al-Asma’ wa al-Sifat yang akhirnya mereka dakwa ianya sebagai aqidah
Salaf. Mereka dengan itu juga menyerang ilmu kalam versi Al-Ash’ari kerana
mengandungi kaedah-kaedah logikal yang mereka tidak fahami atau mereka tidak
mahu fahami secara sahih. Lalu, golongan inilah yang menonjol dan diketengahkan
dalam masyarakat Islam sehingga mereka gagal memahami isu-isu berkaitan
pemikiran secara baik lalu menjadi sasaran bagi golongan Liberalis menunjuk
belang mereka.
Cabaran bidang pemikiran adalah antara cabaran paling besar
dalam dunia moden ini, ketika masyarakat dunia sebagai satu masyarakat global
dan perhubungan sesama mereka tanpa sempadan. Jika suatu ketika dahulu golongan
Mu’tazilah tidak mudah menyebarkan pengaruh pemikiran mereka kerana para ulama’
ahli sunnah sangat hebat dalam penghujahan akal, namun pada masa kini, ketika
bidang aqliyyah sudah tidak lagi popular dalam pembelajaran khususnya
aliran bidang agama, maka golongan Liberal berjaya menyebarkan pengaruh pemikiran
mereka, bahkan sebahagiannya atas nama agama dan dalam bidang keagamaan.
Penyebaran Idea dan Nilai
Media massa dan elektronik menjadi medium penyebaran risalah
atau mesej yang sangat baik. Di era globalisasi ini, idea apa pun mudah tersebar
bahkan memberi kesan yang sangat dahsyat. Pepatah arab ada mengatakan bahawa,
bagi setiap ciciran itu ada yang mengutipnya. Maka, apapun idea samada baik
ataupun buruk, ianya pasti ada yang mengikutinya.
Oleh sebab itulah, menurut guru kami Prof Dr. Wan Muhammad
bahawasanya, setiap orang yang tahu perkara yang betul perlu berkata atau
menyampaikan perkataan tersebut, kerana pada masa ini, jika kita tidak
menyampaikannya, maka mereka yang memperjuangkan kesalahan yang akan
menyampaikan perkataan mereka. Sudah pastilah, perkataan beliau merujuk kepada
mereka yang ahli dalam apa yang ingin disampaikan tersebut.
Filem-filem dari Barat antara contoh, ada di antaranya
terlalu ringkas teknik persembahannya, tetapi mesejnya sangat mendalam dan
ideanya sangat baik untuk difikirkan. Tidak dinafikan, sebahagian mesej
mempunyai nilai yang negatif, tetapi diolah dan disampaikan dengan jalan cerita
yang kuat dan menarik. Antara nilai negatif terhadap agama Islam yang terkenal
adalah Islamophobia, tetapi ketika disampaikan dalam bentuk penceritaan
yang menarik sehingga sebahagian orang-orang Islam masih boleh ketawa dengan
bahan tersebut.
Inilah salah satu contoh produk masyarakat “berfikir” yang
dimaksudkan. Bukan dari sudut nilai yang kita fokuskan, tetapi dari sudut
bagaimana mereka mempunyai idea daripada pemikiran yang kritis dan mereka
menggunakan kreativiti mereka untuk menyampaikan idea-idea tersebut. Oleh sebab
itulah, filem-filem Barat yang menggunakan modal pembelanjaan yang besar
sekalipun, akan mengembalikan keuntungan yang berlipat ganda, walaupun dengan
ancaman cetak rompak dan sebagainya, kerana karya-karya tersebut mempunyai
nilai idea dan mesej yang dihargai oleh masyarakat mereka.
Ini suatu yang jelas kerana sesuatu karya itu dihargai lebih
kerana nilai mesej atau idea yang disampaikan, bukan pada bentuk persembahannya
semata-mata. Semakin utama, penting dan sejagat apa yang disampaikan, semakin
ia dihargai dan diterima. Oleh sebab itulah, bidang pemikiran mempunyai
kedudukannya yang tersendiri berbanding bidang teknikal dan praktikal.
Berbeza dengan dunia perfileman tempatan. Mereka yang
terlibat merungut tentang cetak rompak dan sebagainya, tetapi dalam masa yang
sama tidak mengkaji semula kualiti filem-filem mereka terutamanya dari sudut
idea, mesej dan nilai yang cuba disampaikan. Jika karya tersebut berkualiti,
sudah pasti akan dihargai oleh banyak pihak. Apa yang didapati, sebahagian
filem kartun Barat lebih baik idea, mesej dan jalan cerita yang cuba
disampaikan, berbanding kebanyakan filem tempatan.
Sebahagian filem-filem dari Iran juga mempunyai idea yang
baik, walaupun masyarakat mereka beraliran Syiah. Ini kerana, golongan Syiah
juga telah lama mengikut golongan Asha’irah dalam mengembangkan bidang
pemikiran walaupun secara tempang.
Oleh sebab itulah, budaya berfikir dan berfalsafah ada
nilainya tersendiri, terutamanya jika dipimpin dengan panduan Islam. Di samping
kepentingan membendung idea-idea yang bertentangan dengan Islam dengan hujah
logikal dan rasional, begitu juga mempromosikan nilai-nilai ajaran Islam yang
benar dan sahih, dengan pendekatan-pendekatan yang lebih sejagat.
Al-Fathonah atu
kecerdikan sendiri merupakan sifat-sifat yang wajib bagi para rasul, iaitu
kebolehan mematahkan hujah mereka yang melawan kebenaran dan kebolehan berhujah
dalam membuktikan kebenaran risalah yang disampaikan. Begitu juga dengan
hikmah, iaitu gabungan antara kecerdasan akal fikiran dengan kemurnian hati
rohani.
Penutup
Masyarakat yang cerdik berfikir atau memajukan bidang
pemikiran dan tradisi berfikirnya dapat membangunkan bidang pengetahuan,
membangunkan tamadun yang baik, bahkan di era globalisasi ini, akan menjadi
pemimpin kepada masyarakat yang lain. Zaman ini adalah zaman yang sangat
mencabar terutamanya dalam pertembungan bidang pemikiran ini, justeru
kepentingan pembangunan bidang aqliyyah ini lebih penting berbanding suatu masa dahulu.
Ilmu-ilmu berkaitan bidang ‘aqliyyah ini tersimpan
dalam perbendaharaan keilmuan warisan para ulama’ silam, kerana tradisi ilmu di
sisi mereka adalah holistik dan bersepadu. Dalam zaman perkembangan bidang ilmu
moden (modern knowledge) yang dipengaruhi semangat Sekularisme dari
Barat, golongan ilmuwan perlu juga menguasai ilmu-ilmu asas dalam pemikiran
terutamanya ilmu kalam, iaitu ilmu aqidah yang menggabungkan pendekatan hujah
akal dan dalil wahyu. Begitu juga, penguasaan terhadap ilmu mantik yang asas
agar kita dekat dengan tradisi para ulama’ silam dan bidang ‘aqliyyah
mereka.
Para ulama’ Islam juga perlu menyemarakkan perkembangan
bidang aqliyyah ini terutamanya melakukan usaha mengetengahkan ilmu
kalam dan sebagainya dalam masyarakat intelek. Bahkan, bidang falsafah dan
aliran pemikiran (al-Thayyarat al-Fikriyyah) juga perlu diberi perhatian
sewajarnya kerana ianya menentukan hala tuju sesebuah masyarakat, kerana
pemikiran menentukan tindakan seseorang, apatah lagi sesebuah tamadun manusia.
Wallahu a’lam…
1 comment:
Bahkan, kita dapati, tradisi pembelajaran di dunia Barat terutamanya di institusi pengajian tinggi turut dipengaruhi oleh bidang falsafah sehingga membentuk tahap pembelajaran bertaraf Doctor of Philosophy atau lebih dikenali sebagai PhD. Pada awalnya, ia berkait rapat dengan bidang falsafah dan pemikiran sehinggalah akhirnya penggunaannya lebih meluas sehingga mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain."
Setuju.
Era 70-an, ramai graduan yang dihantar ke Amerika Syarikat untuk mempelajari dan melanjutkan sehingga mendapat ijazah kedoktoran dalam bidang kejuruteraan nuklear tetapi bila pulang ke Malaysia, mereka terlibat dengan penyelidikan yang tiada kaitan dengan bidang nuklear langsung.
Sebenarnya, apa yang diamalkan melalui PhD adalah mengaplikasikan falsafah dan kaedah penyelidikan dalam bidang apa sekalipun.
JazakAllah Sidi Mukhlis.
Post a Comment