10.27.2013

"Selamat Hari Lahir"



"Selamat Hari Lahir..." 


Hari Ini…dalam Banyak-banyak Hari

Pagi ini, sekali lagi, mentari terbit lagi, dalam hidup ini. Hari ini, seperti hari semalam untuk hari sebelumnya, ialah suatu hari yang baharu. Bahkan, hari ini, seperti hari semalam untuk hari ini, akan berlalu pergi. Sedang esok masih belum pasti, namun apa yang sesudahnya, sebuah kehidupan yang pasti.  

Hari ini, ada istimewanya, seperti setiap hari juga, ada kisahnya. Para tarikh ini, untuk beberapa puluh tahun dahulu, menjadi episod baharu, untuk kedua ibu bapaku. Kelahiranku. Kehadiranku di dunia. Mereka terlebih dahulu gembira, sedang diriku masih terpinga-pinga. Tangisan sudah tentu, kerana apa, itu tidak tentu, diiringi oleh tangisan keriangan insan-insan teristimewa (seolah-olah aku tahu saat itu).

Pada hari itu, ia tentang mereka berbanding tentang diriku. Setiap ulang tahun hari kelahiranku, manusia menzahirkan kegembiraan atau mengucapkan tanpa penghargaan kepadaku. Pada hakikatnya, sebagai seorang anak, selama-lamanya ia terus tentang ibu bapa, berbanding tentang diriku ini.

Ia sebuah hakikat yang sangat dirasakan, ketika hari ini, anakku pula mengucapkan ucapan “Selamat Hari Lahir” kepadaku. Sejurus selepas itu, hadir segala memori, tentang kehidupan anakku, sejak isteriku melahirkannya, sehinggalah saat ini, saat dia mengucapkan “Selamat Hari Lahir” kepadaku, itupun kerana isteriku mengajar ucapan itu, untuk ditujukan kepadaku. Aku semakin sedar dan faham, sejauh manapun aku pergi dalam kehidupan, ia lebih tentang mereka, berbanding tentang diriku.

Itu ialah hikmah Ketuhahan, ketika sifat iftiqar (keperluan) dan Ihtiaj (berhajat) kita terus terzahir. Kita tidak tersendiri, tidak mutlak dan tidak bebas. Keakuan kita sangat terbatas, kerana akhirnya kelahiran kita juga bukan tentang kita secara mutlak, tetapi lebih tentang “sebab” kita dilahirkan. Sesuatu yang pernah tidak ada, nilai dirinya yang hakiki ialah ‘tidak ada’. Jika sekiranya dia diadakan sekalipun, nilai dirinya yang hakiki bukan pada dirinya yang ‘diadakan’, tetapi pada diri-Nya yang mengadakan. Ke mana sahaja kita menghadapkan pemerhatian kita dalam kehidupan, kita akan menyaksikan  hakikat ketauhidan, iaitu keesaan Allah SWT, andai kita mencari hakikat di sebalik yang tersurat.

Hikmah Perhubungan

Kehidupan sebuah kurniaan. Kita dijadikan sebagai manusia, makhluk yang hidup dalam kitaran perhubungan. Jika dapat belajar sesuatu daripada sesuatu sebagaimana kita juga dapat mengajar sesuatu daripada sesuatu. Ikatan perhubungan ialah suatu kurniaan, di sebaliknya sebuah tanggungjawab. Ia suatu kurnia yang perlu dihargai, dan sudah menjadi tanggungjawab kita untuk menghargainya sebagai hamba Ilahi.

Kita diciptakan sebagai hamba, lalu diletakkan dalam sebuah kehidupan bermasyarakat, bermula dengan hubungan dengan ibu bapa, adik beradik, kawan-kawan, kemudian isteri-isteri, anak-anak, jiran-jiran dan sebagainya, agar kita beribadah kepada Allah SWT melalui perhubungan kepada makhluk tersebut. Nilai perhubungan dengan makhluk jika dijalani sebagai hamba, merupakan nilai perhubungan dengan Al-Khaliq, kerana sesuatu itu mengikut niat kita. Para makhluk di sekeliling kita ialah natijah perbuatan-perbuatan Allah SWT yang tidak terpisah daripada kesempurnaan Allah SWT. Oleh yang demikian, kita bertanggungjawab menunaikan kehambaan kepada Allah SWT, termasuklah melalui penunaian tanggungjawab kita kepada sesama makhluk.

Rasulullah SAW bersabda:

لَا يَشْكُرُ اللَّهَ مَنْ لَا يَشْكُرُ النَّاسَ

Maksudnya: “Tidaklah mensyukuri Allah seseorang yang tidak mensyukuri manusia.” Hadis riwayat Imam Ahmad, Imam Abu Daud dan Imam al-Tirmizi.

Seseorang itu tidak boleh mendakwa bahawa dia seorang yang mensyukuri Allah SWT jika dia tidak menzahirkan penghargaan kepada sesama manusia. Ini kerana, dalam pandangan ketauhidan dan neraca syariah, menghargai manusia kerana Allah SWT ialah menghargai Allah SWT melalui manusia tersebut. Bukti seseorang itu benar-benar mensyukuri Allah SWT ialah pada penghargaannya kepada sesama makhluk yang melakukan kebaikan kepadanya.

Daripada Saidatina ‘Aishah RA bahawa, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَتَى إلَيْهِ مَعْرُوفٌ فَلْيُكَافِئْ بِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَلْيَذْكُرْهُ فَمَنْ ذَكَرَهُ فَقَدْ شَكَرَهُ
Maksudnya: Sesiapa yang datang kepadanya (dengan) kebaikan, maka hendaklah dia membalas dengannya. Jika dia tidak mampu, maka hendaklah dia menyebut (mengenang)-nya, kerana sesiapa yang menyebut (mengenang kebaikan)-nya, maka dia telah mensyukurinya.” Hadis riwayat Imam Ahmad

Tali hubungan kita kepada manusia ialah cabang kepada tali hubungan kita dengan Allah SWT. Ia bersambung dalam kesempurnaan penciptaan-Nya dan mempunyai maksud yang sangat istimewa dalam kebijaksaan-Nya. Mereka yang terbatas kepada melihat tali dengan makhluk sahaja, bererti mereka terhijab daripada menyaksikan kesempurnaan Allah SWT. Mereka yang terbatas kepada melihat tali dengan Allah SWT sahaja, tanpa merai hubungan baik kepada makhluk di sekelilingnya.

Ia Tentang Allah SWT, Kemudian Mereka

Pada ulang tahun hari kelahiranku ini, dengan penuh rendah diri, al-faqir merafa’kan tangan, melafazkan kalimah Alhamdulillah, segala puji dan puja hanya bagi-Nya, dan mengucap syukur dari rasa jiwa yang penuh menghargai, atas nikmat kurnia Ilahi, sepanjang kehidupan di dunia ini, dan sehingga masa-masa yang hanya diketahui oleh-Nya. Dialah sumber kewujudan, kehidupan dan kebahagiaan makhluk-makhluk, sedang diriku antara jutaan bahkan tidak terhitung makhluk-makhluk ciptaan-Nya. Dialah yang Maha Hakiki, di sebalik segala kewujudan ini. Dialah Maha Abadi, di sebalik perjalanan hidupku ini. Dialah segala-galanya, dan segala-galanya ialah tentang ketuhanan, keesaan dan kesempurnaan-Nya. Semoga Allah SWT terus membantu diri al-Faqir ini dalam usaha menunaikan kehambaan kepada-Nya, kerana kebahagiaan hidup hanya pada menjadi hamba-Nya yang diterima di sisi-Nya.

Seterusnya, kepada dua insan yang sangat teristimewa, yang mana sehingga hari ini dan di akhir nanti, ia lebih tentang mereka berbanding tentang diriku ini. Sayyidati ibundaku yang tersayang Shahida binti Ismail, yang telah melahirkanku, seterusnya mendidikku dengan penuh kasih sayang dan memeliharaku dengan penuh perhatian, yang bersusah-payah demi kesenanganku, yang berjaga malam untuk lenaku, yang menangis untuk senyumanku bahkan terus menjadi penyokong utama dalam kehidupanku, sehingga hari ini dan akan selama-lamanya begitu, dan segala yang dilakukan untukku yang tidak mampu disenaraikan di sini. Semoga Allah SWT membalasinya dengan kebaikan yang besar, dan semoga Allah SWT mengampuni kekuranganku dalam menunaikan tanggungjawabku sebagai anakmu.

Seterusnya kepada Saiyyidi ayahandaku YM Raja Jamaludin bin Raja Mohsin, yang telah banyak berusaha untuk kemaslahatan dan kebaikan hidupku, memelihara kami sekeluarga dengan penuh kasih sayang dan ketabahan. Semoga Allah SWT membalasi jasamu dengan kebaikan yang besar semoga Allah SWT mengampuni kekuranganku dalam menunaikan tanggungjawabku sebagai anakmu.

Andai kini ku dewasa,
Ia tentang pengorbanan mereka,
Sebagaimana umurku yang dihitung masa,
Ialah sebahagian daripada usia mereka.

Andai hari ini ku berharga,
Ia tentang harga diri mereka,
Berjalan aku meniti masa,
Bersama-sama harga setia.

Hari ini,
Tangan siapapun yang ku paut padanya,
Tetap dengan tangan mereka ku memautnya,
Dengan siapapun aku berhubungan,
Namun kepada mereka kembali pertalian.
Ia sebuah ikatan saksama,
Antara cabang dengan usulnya,
Merujuk kepada keesaan Maha Esa.

Terima kasih yang tidak terhingga kepada insan-insan dalam kehidupanku yang sudi mengisi ruang hidupku agar kita sama-sama bahagia dalam kehidupan kita masing-masing, dengan menjadi sarana kepada kebahagiaan kepada manusia. Terima kasih kepada isteri yang dikasihi lagi disayangi, anak-anak yang dikasihi dan penyeri hidup kami, ahli keluarga, adik-adik, datuk nenek, saudara-mara, para masyayikh, para guru, al-Ikhwah wa al-Akhawat fillah, para ahbab, teman-teman dan semua yang menghargai diri yang serba kekurangan ini. Semoga Allah sWT membalasi kebaikan kalian dengan kebaikan.

Jazakumullahu Khair

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
27 Oktober 2013, Putrajaya



No comments: