10.27.2013
"Selamat Hari Lahir"
9.24.2013
Nilai Sebuah Kebendaan...
Benarlah firman Allah SWT yang bermaksud: "Kamu telah dilalaikan oleh perbuatan berlumba-lumba untuk mendapatkan sebanyak-banyaknya. Sehinggalah kamu masuk kubur." (Surah al-Takasur: 1-2)
Rupa-rupanya, rumah dah penuh dengan perhiasan. Maka, dibuang "perhiasan-perhiasan" rumah yang pernah dia bernafsu membelinya, begitu sahaja, untuk diganti dengan perhiasan-perhiasan baharu. Sebagaimana kanak-kanak mudah bosan dengan permainan yang telah mereka miliki, begitu juga mereka yang mengaku dewasa, masih membesar umur dalam jiwa kebudak-budakan.
7.19.2013
Nikmat Islam: Pengaruh dan Kesan Mahabbah dan Ukhuwwah Islamiyyah
6.23.2013
Kaedah: "Tidak MemilikI, Tidak Kehilangan"
6.11.2013
Jangan Hiraukan Pencela
5.18.2013
9.01.2012
Hikmah dan Fiqh al-Hayah
10.12.2011
Andai Kelalaian Itu Melalaikan…
Andai Kelalaian Itu Melalaikan…
Keliru
Manusia sering keliru. Mereka hidup seolah-olah sedang mencari yang pasti dari selain Allah s.w.t.. Padahal, apa yang dicari itu, kalaupun memang sesuatu yang pasti, tetapi hanya pasti akan berpisah dengannya suatu hari nanti. Kehilangan itu bermula pada sebuah kehendak untuk mengekalkan apa yang tidak akan kekal sehingga mengabaikan yang Maha Kekal.
Ada orang merasa puas kerana sekurang-kurangnya dia tidak macam orang lain. Kalau dia ingin berpuas hati dengan tahap dirinya, maka memadai dia mencari orang yang berada di bawah tahapnya.
Sebab itulah, ada insan yang lalai masih boleh berkata: “Walaupun saya buat maksiat, tetapi saya juga solat. Ada orang langsung tak solat.” Agamanya adalah pada ukuran orang lain.
Ada juga orang yang terkeliru dengan apa yang dicari, kemudian menganggap sekelilingnya sebagai yang keliru ketika berinteraksi dengannya. Ada orang yang tidak sanggup untuk berubah, lalu mengharapkan orang lain pun tidak berubah sepertinya. Kalau ada orang yang berubah, dia akan mengatakan: “alah, semalam orang itu lebih buruk dari saya.” Adakah keburukan manusia semalam itu adalah cerminan hari ini-nya atau masa depannya, sedangkan yang lalai tidak pun mula melangkah menuju sebarang perubahan. Jutaan keburukan semalam bisa Allah s.w.t. langsaikan sekelip mata dengan keampunan, bagaimana itu tidak menjadi motivasi untuk kembali kepada Tuhan? Akhirnya, bukan hidup kita sebagai Tuhan untuk menilai agama orang lain, tetapi tidak melakukan apa-apa untuk agama sendiri.
Jangan jadikan kebaikan kita adalah pada kejahatan orang lain. Memang mudah melakukan kebaikan dengan mengukur keburukan orang lain sebagai definisi kebaikan. Seorang yang tidur walaupun tidak buat apa-apa kebaikan tetapi lebih baik daripada seorang yang mencuri. Tapi, takkan itu alasan untuk terus tidur tanpa melakukan tugas kehambaan?
Hidup Kita adalah Tentang Kita
Hidup kita adalah tentang kita. Bahkan, hubungan kita kepada orang lain dan dengan orang lain adalah tentang kita, iaitu tentang kita menjadi hamba Allah s.w.t melalui mereka semua. Bukan tugas kita memasukkan sesiapa ke neraka dan tidak pula kita layak memasukkan sesiapa ke dalam syurga. Tetapi, kita diamanahkan untuk menguruskan hidup kita sebagaimana yang Allah s.w.t. kehendaki.
Sekeliling kita adalah cara menyempurnakan diri kita, bukan sebab untuk merasa diri sempurna. Beza antara menyempurnakan diri kita (takmil) dengan merasa diri sempurna (kamal) adalah, asas menyempurnakan diri adalah kita merasa diri kita serba kekurangan dan perlu melakukan pembaikian diri dan terus menyempurnakan kekurangan diri dan tidak pernah berhenti menyempurnakannya. Ini kerana, tidak ada kesempurnaan yang tidak boleh disempurnakan lagi dalam diri seseorang insan.
Adapun orang yang menjadikan persekitaran sebagai sebab untuk merasa diri sempurna, maka dia akan membandingkan dengan mereka yang lebih buruk daripada dirinya, atau mencari kesalahan setiap manusia, lalu tidak melakukan apa-apa kerana merasakan dirinya sudah sempurna dan lebih banyak masa untuk menilai keburukan orang lain dan menghukum sekeliling. Memang semua orang ada kesalahan, sebagaimana semua orang ada kebaikan.
Mengapa buang masa dengan keburukan orang untuk tidak melakukan perubahan diri, sedangkan boleh menjadikan kebaikan orang sebagai contoh ikutan untuk memperbaiki diri? Katanya, hidup di dunia cuma sekali. Adakah sekadar untuk tidak melakukan apa-apa, merasa puas dengan diri sendiri, mengejar kepuasan diri dan menilai manusia di sekeliling, lalu akhirnya mati?
Pandangan dan Persepsi
Semua orang berhak memberi pandangan. Tetapi, bukan semua perkara akan mengikut persepsi yang kita inginkan. Hakikat itu wujud sebelum kita diciptakan. Hakikat kita adalah makhluk yang diadakan daripada tiada tidak akan berubah setelah kita ada. Hakikat kita adalah milik Tuhan yang menciptakan kita tidak pernah berubah sekalipun kita rasa memiliki segala-gala yang kita inginkan. Adakah kita yang tidak pernah menciptakan apa-apa dalam kehidupan kita, layak memiliki apa yang diberi oleh Tuhan dalam kehidupan kita, tetapi kita tidak merasakan kelayakan Allah s.w.t untuk memiliki kita, sedangkan kita ini diciptakan oleh-Nya?
Kita boleh memilih untuk tidak mahu melihat Allah s.w.t. dalam kehidupan. Tetapi, dengan tidak mahu melihat Allah s.w.t., tidak menyebabkan Allah s.w.t tidak melihat kita, dalam kehidupan kita. Kita sangka kita lakukan apa yang betul, tetapi apa yang betul tidak pernah mengikut apa yang kita sangka. Kalau kita yang lalai menyangka, bahawa kelalaian itu adalah kefahaman terhadap kehidupan, mengapa kelalaian itu akhirnya terhenti dengan kematian? Apa gunanya kita faham “kehidupan” tanpa memahami kematian? Kehidupan duniawi semakin menjauhi kita sedang kematianlah yang semakin menghampiri kita. Apabila orang kata: “kubur masing-masing”, maka jawapannya: “maka sebab itulah nasihat ini diberikan wahai teman”. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok.
Pujian dan Celaan
Ketika Saidina Ali r.a. dipuji lalu beliau mengucapkan: “Segala puji hanya bagi Allah s.w.t. dalam kebaikan yang disebutkan oleh mereka dan semoga Allah s.w.t. mengampuni keburukanku yang mereka tidak ketahui.”
Ini adalah ungkapan seseorang yang hidupnya adalah kerana Allah s.w.t.. Selagimana yang sudi memandang adalah Allah s.w.t., itu sudah memadai bahkan itulah segala-galanya. Sebagaimana pujian manusia adalah pinjaman, begitu jugalah celaan, hanyalah ujian.
Suatu ketika, seorang lelaki menjerit memanggil Imam Hasan Al-Bashri r.a. dengan menyebut: “Wahai orang yang menunjuk-nunjuk…”. Hasan Al-Bashri r.a. terus datang kepadanya lalu mencium tangannya lalu mengucapkan: “Terima kasih kepada orang yang telah menunjukkan keaibanku lalu aku dapat membaikinya.”
Jadi, hidup ini, lakukanlah perubahan kerana Allah s.w.t., kerana Dialah yang kita cari dalam kehidupan. Lakukan apa sahaja untuk diri kita, namun jika tanpa bantuan Allah s.w.t., tiada apa yang dapat diperolehi. Jika telah mendapat pandangan redha Allah s.w.t., apa sahaja yang dilakukan adalah kehampiran kepada-Nya.
Jangan takut melakukan kebaikan kerana celaan sebagaimana jangan melakukannya kerana pujian. Jika ada manusia yang memujimu, itu menunjukkan adanya juga manusia yang mencelamu. Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam sebagai manusia paling agung dan mulia, yang tiada ruang kelemahan dan kecelaan pun, tidak terlepas dari celaan manusia. Memadai bagi Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam, Allah s.w.t. meredhai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam dan mencintai Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam.
Sebagaimana seseorang tidak hidup dengan pujian manusia, dia juga tidak akan mati dengan cacian mereka, sebagaimana disebutkan oleh Yasin Sulaiman. Sebagaimana orang-orang yang memuji kita pun akan mati, begitu juga orang-orang yang mencela kita juga akan mati, bahkan kita juga sendiri akan mati. Akhirnya, masing-masing mempunyai perjalanan kehidupan akhirat yang tersendiri. Maka, fokus kepada satu pandangan, iaitulah pandangan Allah s.w.t., maka kita akan tahu apa yang perlu kita lakukan dalam kehidupan.
Hari Ini Bukan Semalam dan Bukan Esok
Kita hidup adalah untuk melakukan yang terbaik hari ini dan sekarang. Jutaan semalam telah berlalu. Jika ada kebaikan, maka ia adalah daripada Allah s.w.t. dan syukurilah. Jika ada keburukan, maka ia adalah untuk ditaubati. Tapi hari ini, dan sekarang, adalah apa yang kita perlu lakukan. Jangan tangguh apa yang boleh dan perlu kita lakukan sekarang, untuk hari esok, kerana ia belum pasti. Kita adalah makhluk baru setiap saat.
Segala perubahan, pemurnian dan taubat, perlu dilakukan sekarang. Jangan tambah semalam yang kelam untuk membinasakan masa depan yang diharapkan sebagai rumah kebahagiaan. Mati itu hadir bila-bila masa sahaja. Walaupun semalam, kematian tidak hadir kepada kita, tetapi ia hadir kepada orang lain. Itu membuktikan tiada yang terlepas daripada kematian. Pelajarilah apa yang perlu dalam kehidupan daripada pesekitaran untuk penyempurnaan diri. Carilah yang pasti dan jangan fantasikan realiti demi merealitikan fantasi. Sebab, di luar akal dan minda kita, yang wujud hanyalah hakiki dan realiti, biar seindah mana pun fantasi dan persepsi akal kita. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok.
Kehambaan
Semua orang perlu ada sebab untuk berubah. Bahkan, memang semua orang ada sebab untuk berubah. Ia adalah tanggungjawab dalam kehidupan duniawi. Semua orang tahu dirinya diciptakan untuk disempurnakan. Allah s.w.t. menjadikan hubungan kita kepada-Nya sebagai hubungan kehambaan. Maka, pada hubungan kehambaan itulah, kita melaksanakan proses penyempurnaan. Iaitu, menyempurnakan sudut kehambaan dengan ketaatan.
Dosa memisahkan kita daripada Allah s.w.t.. Kita yang terus keliru dalam kehidupan, tanpa kembali kepada Allah s.w.t.. Orang yang hipokrit dalam menuju Allah s.w.t. pun merasa seronok dengan perjalanannya itu, kerana mendapat pujian atau sebagainya, bagaimana pula dengan orang yang jujur menuju Allah s.w.t.? Bahkan, sudah tentulah lebih bahagia dan itulah sebenar-benar bahagia, iaitu jujur dalam mencariNya. Orang yang mengaku sebagai wali Allah pun seronok dengan pendakwaannya, bagaimana pula kebahagiaan di hati para wali Allah s.w.t. yang hakiki, yang telah mendapat penerimaan daripada Allah s.w.t.?
DIALAH ALLAH
Jangan salah sangka. Bukan ibu bapamu yang memaksa kamu menjadi seorang insan yang soleh. Bukan ustaz yang mengajar di sekolahmu yang sebenarnya menyuruhmu melakukan ibadah dan menjadi hamba Allah s.w.t.. Bukan imam di masjid atau ustaz yang berceramah yang menyuruhmu menjadi hamba yang soleh lagi taat. Bukan penulis tulisan ini yang menyuruhmu dan dirinya sendiri, menjadi hamba Allah s.w.t. yang sebenar.
Tetapi, ALLAH... Allah s.w.t. yang menyuruh kita menjadi hamba yang diredhai-Nya dengan melaksanakan tugas-tugas kehambaan lalu Dialah yang akan membalasinya. Penulis tulisan ini, imam masjid, ustaz yang berceramah atau yang mengajar di sekolah, hatta ibu bapa sekalipun, siapa kami dan siapa mereka, untuk menyuruh kamu (dan diri penulis), menjadi hamba Allah s.w.t. yang baik dan taat? Tetapi, yang menyuruh kita menjadi hamba-Nya yang taat adalah ALLAH s.w.t., Tuhan yang menciptakan kita daripada tiada kepada ada, daripada tidak memiliki apa-apa kepada mendapat segenap nikmat kurnia, daripada air yang tiada nilai kepada insan yang mulia dan Dialah yang akhirnya Tuhan yang akan mengadili kita setelah kita kembali hanya kepada-Nya setelah mati nanti. Harap maklum.
Kalau kita diberi peluang untuk melawan Allah s.w.t. sekalipun, kita sudah tentu tidak mampu untuk melawan Allah s.w.t.. Apatah lagi, kita tidak beri peluang langsung untuk bertanya apa yang Dia telah dan akan lakukan kepada kita, sedangkan kitalah yang akan dipertanyakan. Adakah seseorang itu menyangka dia ialah seseorang (somebody) jika melakukan penderhakaan kepada Allah s.w.t. dan Allah s.w.t tercabar dengan kedegilan itu? Sejak bila Allah s.w.t. perlukan kita untuk ambil kisah dengan tindakan buruk kita dan sejak bila kerajaan Allah s.w.t. boleh berkurangan dengan penderhakaan kita andai kita sanggup menderhakai-Nya?
Kita tidak cerdik kalau memilih untuk melakukan apa yang kita percaya, hanya kerana itu yang kita percaya, tanpa mengambil kira samada ianya adalah suatu yang hakiki atau khayalan fantasi sendiri. Kalau kita bukan penasihat kepada diri kita sendiri, maka tiada yang boleh menasihati kita. Orang boleh ajak kita berfikir, tetapi orang tidak boleh berfikir untuk kita. Kita pun faham, kita tidak pernah mampu membahagiakan diri kita sendiri dengan apa yang kita cari. Akhirnya, kebahagiaan itu adalah daripada Allah s.w.t. dan dengan Allah s.w.t.. Hidup untuk diri sendiri tidak berbaloi kerana mati nanti akan menjadi pemisah terhadap semua yang kita kumpulkan untuk kepentingan sendiri dan diri sendiri pun tidak ada nilai melainkan apa yang di sisi Allah s.w.t... Hidup kerana Allah s.w.t. tidak pernah mengecewakan, kerana setiap saat kita berinteraksi dengan-Nya sebagai tujuan. Sebagaimana kita tidak pernah meninggalkan-Nya dalam setiap tindakan, kita juga tidak akan ditinggalkan-Nya dalam setiap ketentuan. Bahkan, kita sentiasa bersama dengan-Nya dan bersama dengan kebersamaan tersebut.
Kita masih ada masa, tetapi jangan buang masa. Kita masih ada peluang, tetapi jangan jadikan sebagai alasan. Jangan kelalaian semalam menjadi sebab untuk kelalaian esok. Salah itu bukan alasan untuk terus salah, tetapi adalah sebab untuk melakukan perubahan dan pembetulan ke arah penyempurnan kehambaan.
Ianya adalah tentang sekarang, untuk lakukan apa yang perlu, untuk memperbaiki hubungan kita dengan Allah s.w.t.. Allah s.w.t. Maha Penerima Taubat, bagi mereka yang jujur untuk kembali kepada-Nya. Namun ingatlah, Dia juga Maha berat siksaan-Nya, bagi mereka yang mempunyai rasa berani menderhakai-Nya dan berterusan dalam kelalaian kerana puas dengan penderhakaan tersebut. Taubat boleh membawa kepada menghilangkan dosa besar dengan keampunan Allah s.w.t. sedangkan berterusan melakukan dosa walaupun kecil, tanpa keampunan Allah s.w.t., ia akan menjadi masalah besar kepada si pelakunya di akhirat. Ia bukan tentang dosa seseorang, tetapi tentang kepada siapa dia melakukan dosa.
Kita adalah hamba samada kita akuinya mahupun tidak. Bahkan, kita adalah hamba, samada hamba kepada Allah s.w.t., yang merupakan suatu kemuliaan di sisi-Nya, atau hamba kepada nafsu sendiri, yang merupakan suatu kehinaan di hadapan-Nya. Allah s.w.t. adalah Allah s.w.t. jua, tanpa kita. Namun, siapalah kita, tanpa-Nya?
Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi Al-Khafiy
9.25.2011
Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah
Perkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.
Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.
Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.
Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.
Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:
“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)
Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:
“Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.
Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..
Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..
Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.
Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.
Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.
Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.
Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.
Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..
ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.
Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):
“Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…”
Allah…
Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.
Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.
Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:
“Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kita yang kamu sangka sekadar berdua”.
Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-
“…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)
Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..
Wallahu a’lam…
Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Lathif
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari
‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy







