Showing posts with label tamadun dan peradaban. Show all posts
Showing posts with label tamadun dan peradaban. Show all posts

9.30.2013

Bidang Pemikiran (‘Aqliyyah) dan Cabaran Semasa




Bidang Pemikiran (‘Aqliyyah) dan Cabaran Semasa

Sesetengah pihak menganggap remah pembangunan bidang pemikiran dan falsafah. Samada mereka keliru dengan perkembangan yang berlaku di sekeliling atas nama kemodenan, ataupun mereka terperangkap dengan salah faham tertentu atas nama keagamaan (al-tadayyun). Ia membawa kepada hilang keseimbangan dalam bidang pemikiran masyarakat samada kecenderungan berlebih-lebihan dalam menggunakan akal sehingga tidak berteraskan kerangka dan kayu ukur yang muktamad dan tepat, ataupun kecenderungan sambil lewa terhadap penggunaan akal.

Jika kita membincangkan isu ini dari sudut wilayah atau cakupan ilmu pengetahuan itu sendiri, kita dapati memang ada usaha pemisahan antara bidang ilmu pengetahuan dengan falsafah, kerana di sisi mereka yang memisahkan antara kedua-duanya, cakupan ilmu pengetahuan lebih terbatas kepada alam fizikal sahaja, iaitu berdasarkan pengalaman empirikal atau didapati secara rasional semata-mata, berbanding cakupan bidang falsafah yang mencakupi alam metafizik (supernatural).

Adapun dalam tradisi Islam, ilmu tidak dibahagikan berdasarkan cakupan atau ruang lingkupnya, kerana di sisi Islam, agama (al-din) sendiri merupakan suatu "ilmu", walaupun berasaskan wahyu (bukan terbatas kepada empirikal dan logikal semata-mata) dan ruang lingkupnya turut mencakupi alam di sebalik fizikal ini (alam al-ghaib).  Oleh sebab itulah, al-Imam al-Ghazali RA sendiri membahagikan ilmu antaranya kepada ilmu syar'iyyah iaitu ilmu yang berasaskan dan berkaitan dengan wahyu, dengan ilmu 'aqliyyah, iaitu ilmu yang berasaskan atau berkaitan dengan akal rasional atau empirikal.

Kepentingan Tradisi Berfikir 

Bidang pemikiran atau tradisi berfikir merupakan suatu bahagian yang sangat penting dalam sesebuah masyarakat. Pembangunan dan perkembangan bidang pemikiran merupakan kunci kepada pembangunan sesebuah tamadun. Dalam sejarah sendiri telah menunjukkan betapa tamadun-tamadun purba terdahulu dibangunkan di atas kemajuan bidang pemikiran yang memimpin perkembangan bidang ilmu pengetahuan.

Sesebuah masyarakat yang tidak mengembangkan bidang pemikirannya tidak akan mampu memimpin perkembangan ilmu pengetahuan, bahkan selama-lamanya ia akan menjadi pengikut kepada masyarakat yang lebih "pandai berfikir". Kemajuan tradisi berfikir atau bidang pemikiran yang dimaksudkan bukanlah suatu proses berfikir yang biasa, tetapi lebih kepada berfikir secara falsafah (philosophical thinking), iaitu suatu usaha berfikir secara mendalam, sistematik dan sejagat. Dalam tradisi Islam, ia dikenali sebagai al-nazhor atau proses berfikir secara bersungguh-sungguh ini. Ada tiga ciri-ciri utama berfikir secara falsafah atau al-nazhor ini iaitu:[1]


  • Berfikir secara mendalam sehingga ke asal-usul, akar umbi atau hakikatnya.
  • Berfikir secara sejagat (universal) iaitu mengikut pengalaman manusia secara umum.
  • Berfikir secara integral (bersepadu), iaitu mempunyai hubung kait antara satu sama lain.

Ia merupakan suatu perkara yang sangat penting kerana ianya merupakan asas kepada perkembangan ilmu pengetahuan seterusnya asas kepada sebuah pembangunan ketamadunan.

Perkembangan Tradisi Berfikir

Walaupun dalam sejarah telah mencatatkan bahawa manusia telah lama menggunakan akal pemikiran dan proses berfikir, sejak zaman Nabi Adam AS lagi yang mana tradisi berfikir tersebut dipandu oleh pedoman wahyu, namun ada bentuk perkembangan dalam tradisi berfikir yang berkait rapat dengan penyusunan kaedah berfikir secara sistematik.

Sebagai contoh, perkembangan kaedah berfikir secara logikal, walaupun ianya sudah diamalkan oleh umat manusia, namun ianya disusun secara ilmiah dan sistematik oleh Aristotle yang mana ianya diwarisi oleh tamadun Rom kemudian masuk ke dalam tamadun Islam seawal kurun ke-2 Hijrah. Namun, ini tidak menafikan peranan tamadun China dan India juga dalam mengembangkan sebahagian asas-asas berfikir secara logikal ini.

Pemikiran logik yang dikembangkan oleh Aristotle dikenali sebagai al-Mantiq al-Qadim atau Logik Klasik atau al-Mantiq al-Suri atau Logik Formal. Ia menggunakan kaedah al-Qiyas (silogism) atau rasional-deduktif. Setelah itu, tamadun Islam berperanan mengembangkan Logik Klasik ini secara meluas terutamanya di tangan Ibn Sina dan sebagainya, bahkan berjaya dimurnikan daripada pengaruh falsafah Yunani yang pincang oleh al-Imam al-Ghazali RA melalui karya beliau Mi’yar al-‘Ilm fi Fan al-Mantiq. Setelah itu, ilmu Mantiq dalam dunia Islam merujuk kepada perbahasan-perbahasan yang disusun oleh al-Imam al-Ghazali RA.

Namun, pada akhir kurun-19 iaitu pada Zaman Kemodenan di sisi tamadun Barat, masyarakat lebih menekankan aspek sains dan teknologi kerana dipengaruhi oleh pelbagai aliran yang menekankan aspek kemudahan dalam bidang kehidupan. Lalu, mereka lebih menekankan kaedah empirikal-induktif (al-Istiqra’) sehinggalah terbentuk aliran logik moden (al-Mantiq al-Maddi) di samping aliran logik simbolik (al-Mantiq al-Ramzi)[2] yang mempengaruhi bidang Matematik.

Dalam pada itu juga, turut berkembang pemikiran Lateral (Lateral Thinking atau Tafkir Janibiy) yang dikaitkan kepada Dr. Edward de Bono. Ia merupakan kaedah berfikir secara kreatif untuk menyelesaikan permasalahan dengan keluar daripada kaedah berfikir kebiasaan yang rasional. Sebahagian pihak mengandaikan bahawa pemikiran Lateral ini ialah aliran neo-Sophisme dari sudut relativitinya.

Kaedah pemikiran Lateral ini terbatas kepada persoalan profesionalisme dalam sistem ekonomi kapitalisme, khususnya kepada aspek-aspek kejuruteraan, pengiklanan, sukan, masakan dan sebagainya. Ia tidak mencakupi ultimate problems atau permasalahan-permasalahan asasi seperti hakikat kewujudan dan sebagainya. Ia lebih kepada pemikiran yang menekankan kaedah penyelesaian masalah (problem-solving) dalam bidang kebendaan semata-mata.

Kaedah pemikiran Lateral ini sebagaimana dijelaskan oleh Dr. Edward de Bono bersifat anti-logik[3] kerana menganggap pemikiran logik (vertikal) sebagai suatu pemikiran bercorak sempit dan menuju ke satu hala tuju sahaja, sedangkan pemikiran Lateral ini (paralel) tidak sedemikian kerana tidak dibataskan kepada hukum cause-effect (sebab-musabab) yang ketat. Dari banyak sudut, pemikiran ini mempunyai persamaan dengan falsafah relativisme, skeptisisme dan sebagainya kerana tidak mengiktiraf suatu nilai yang tetap. Ia juga lebih mementingkan nilai-guna seperti pragmatisme tanpa mengiktiraf nilai baik dan buruk.

Islam dan Tradisi Berfikir

Islam merupakan suatu risalah ketuhanan yang disampaikan kepada umat manusia melalui utusan Allah, Nabi Muhammad SAW untuk menyempurnakan sudut kehambaan mereka, lalu dengan kesempurnaan tersebut, mereka menyempurnakan kehidupan mereka di dunia dan di akhirat.

Maka, manusia diciptakan sebagai khilafah iaitu wakil kepada Allah SWT untuk memakmurkan bumi ini dengan kebaikan yang diajarkan oleh Allah SWT, yang mana aspek khilafah ini merupakan sebahagian daripada kehambaan (ubudiyyah) mereka kepada Allah SWT. Bagi tujuan khilafah inilah, justeru Islam turut mementingkan tradisi berfikir dan penggunaan akal secara baik dan seimbang.

Bahkan, dalam panduan Islam, akal bukan sahaja penting dari sudut pembangunan sudut kebendaan sahaja, bahkan ianya penting untuk mencapai sebuah aqidah yang jazim (putus atau konkrit) dalam diri seseorang muslim, yang menjadi sumber kepada kesempurnaan diri manusia. Akal ialah jalan untuk mengenal Allah SWT melalui para makhluk-Nya, iaitu untuk menghayati kewujudan, kekuasaan, keesaan dan kesempurnaan Allah SWT, Tuhan sekalian alam, melalui makhluk-makhluk tersebut.

Maka, akal ialah suatu yang sangat penting dalam diri manusia, bahkan tradisi berfikir dipentingkan juga oleh ajaran Islam. Oleh sebab itulah, dalam perkembangan keilmuan Islam, para ulama’ Islam turut mengembangkan bidang aqliyyah atau ilmu berkaitan akal, samada secara terpisah/terasing seperti membahaskan ilmu mantik ataupun secara bersepadu seperti membahaskan hukum akal dalam ilmu kalam.

Bidang ilmu akal sendiri mempunyai pengaruhnya tersendiri dalam tiga ilmu utama Islam iaitulah ilmu aqidah Islam (lalu menjadi ilmu kalam), ilmu fiqh Islam (sehingga membentuk ilmu usul fiqh dan sebagainya) dan ilmu tasawuf Islam (sehingga membentuk ilmu tasawuf zauqi atau isyari).

Bidang Aqliyyah dalam Perkembangan Semasa

Di dunia Barat, walaupun masyarakatnya sangat mementingkan perkembangan bidang sains dan teknologi, tetapi mereka tidak pernah meminggirkan bidang aqliyyah atau lebih disebut sebagai bidang falsafah dan pemikiran. Bahkan, di pelbagai universiti di Barat, bidang pemikiran dan falsafah menjadi bidang yang sangat utama. Ini kerana, agenda Sekularisasi bidang pengetahuan sangat kuat di dunia Barat, lalu untuk menangani pengaruh bidang agama, masyarakat Barat memerlukan bidang falsafah terutamanya untuk mengembangkan ideologi-ideologi dalam bidang pemikirannya.

Bahkan, kita dapati, tradisi pembelajaran di dunia Barat terutamanya di institusi pengajian tinggi turut dipengaruhi oleh bidang falsafah sehingga membentuk tahap pembelajaran bertaraf Doctor of Philosophy atau lebih dikenali sebagai PhD. Pada awalnya, ia berkait rapat dengan bidang falsafah dan pemikiran sehinggalah akhirnya penggunaannya lebih meluas sehingga mencakupi bidang-bidang ilmu yang lain.

Dalam tradisi Islam pula, sejak berkembangnya ilmu mantik dan ilmu kalam dalam masyarakat Islam, bidang aqliyyah ini terus dimajukan oleh sebahagian para ulama’ Islam. Kita boleh dapati betapa ilmu kalam terus berkembang sehingga ke suatu tahap di mana perbahasan-perbahasannya sudah merangkumi bidang falsafah bahkan bidang falsafah ilmu atau epistemology of knowledge. Begitu juga dengan ilmu mantik dan ilmu hikmah yang turut mendapat perhatian oleh sebahagian para ulama’.

Namun, sejak beberapa kurun terakhir ini, umat Islam diserang wabak aliran pemikiran yang keliru, lalu mereka menyerang perkembangan bidang aqliyyah ini atas nama kefahaman agama secara salaf. Mereka yang mengaku sebagai Salafiyyah (padahal Wahabiyyah kerana sekadar mengikut pemikiran Muhammad Abdul Wahab) ini menimbulkan kalamophobia atau penyakit memomokkan ilmu kalam sunni, bahkan mengaitkan segala ilmu kalam samada versi golongan Asha’irah mahupun Maturidiyyah sebagai aliran aqidah Mu’tazilah.

Sebahagian daripada mereka bersusah-payah membuktikan ilmu sifat 20 sebagai ilmu aqidah Mu’tazilah dan Imam al-As’hari telah bertaubat daripada ilmu kalam versi Ash’ari sedangkan mereka sekadar mewakili aliran pemikiran Muhammad Abdul Wahab, dalam masa yang sama, para ulama’ Asha’irah pula mempunyai sanad keilmuan yang jelas bersambung kepada Imam al-Ash’ari, yang mana mereka mewarisi secara jelas kaedah aqidah Imam al-Ash’ari yang terakhir.

Lalu, guru kami Dr. Usamah Sayyid al-Azhari menjelaskan bahawa, para ulama’ Islam sudah banyak membuang masa untuk melawan golongan ini, dengan menjawab setiap isu yang mereka bangkitkan, sedangkan ia tanpa asas yang sahih sama sekali. Akhirnya, umat Islam terutamanya golongan Sunni agak ketinggalan dalam bidang aqliyyah dan pemikiran ini berbanding masyarakat Barat dan sebagainya.

Kesan Kemunduran Bidang Aqliyyah Islam dalam Masyarakat Islam

Hasil daripada itu, maka golongan Liberalis dalam masyarakat Islam mula menonjolkan diri sebagai juara dalam bidang pemikiran ini. Mereka yang belajar dari dunia Barat mendabik dada di hadapan para ulama’ Islam seolah-olah mereka ‘lebih pintar’ dan pandai berfikir berbanding para ulama’ yang dianggap ketinggalan zaman, jumud dan sebagainya.

Fenomena ini tidak muncul tanpa sebab, kerana ramai ilmuwan Islam atau ustaz-ustaz lahir daripada pusat pengajian ilmu agama yang tidak menekankan bidang Aqliyyah ini. Mereka tidak pernah mengenali ilmu Mantik, ilmu Kalam, al-Falsafah al-Islamiyyah dan sebagainya, bahkan sebahagian daripada mereka memusuhi pula ilmu-ilmu tersebut, samada hasil kejahilan mengenai ilmu tersebut, terpengaruh dengan fahaman pengaku Salafi ini, ataupun kedua-duanya sekali.

Mereka hanya mengenali ilmu aqidah Islam versi Ibn Taimiyyah iaitu berteraskan pembahagian tauhid kepada Uluhiyyah, Rububiyyah dan al-Asma’ wa al-Sifat yang akhirnya mereka dakwa ianya sebagai aqidah Salaf. Mereka dengan itu juga menyerang ilmu kalam versi Al-Ash’ari kerana mengandungi kaedah-kaedah logikal yang mereka tidak fahami atau mereka tidak mahu fahami secara sahih. Lalu, golongan inilah yang menonjol dan diketengahkan dalam masyarakat Islam sehingga mereka gagal memahami isu-isu berkaitan pemikiran secara baik lalu menjadi sasaran bagi golongan Liberalis menunjuk belang mereka.

Cabaran bidang pemikiran adalah antara cabaran paling besar dalam dunia moden ini, ketika masyarakat dunia sebagai satu masyarakat global dan perhubungan sesama mereka tanpa sempadan. Jika suatu ketika dahulu golongan Mu’tazilah tidak mudah menyebarkan pengaruh pemikiran mereka kerana para ulama’ ahli sunnah sangat hebat dalam penghujahan akal, namun pada masa kini, ketika bidang aqliyyah sudah tidak lagi popular dalam pembelajaran khususnya aliran bidang agama, maka golongan Liberal berjaya menyebarkan pengaruh pemikiran mereka, bahkan sebahagiannya atas nama agama dan dalam bidang keagamaan.

Penyebaran Idea dan Nilai

Media massa dan elektronik menjadi medium penyebaran risalah atau mesej yang sangat baik. Di era globalisasi ini, idea apa pun mudah tersebar bahkan memberi kesan yang sangat dahsyat. Pepatah arab ada mengatakan bahawa, bagi setiap ciciran itu ada yang mengutipnya. Maka, apapun idea samada baik ataupun buruk, ianya pasti ada yang mengikutinya.

Oleh sebab itulah, menurut guru kami Prof Dr. Wan Muhammad bahawasanya, setiap orang yang tahu perkara yang betul perlu berkata atau menyampaikan perkataan tersebut, kerana pada masa ini, jika kita tidak menyampaikannya, maka mereka yang memperjuangkan kesalahan yang akan menyampaikan perkataan mereka. Sudah pastilah, perkataan beliau merujuk kepada mereka yang ahli dalam apa yang ingin disampaikan tersebut.

Filem-filem dari Barat antara contoh, ada di antaranya terlalu ringkas teknik persembahannya, tetapi mesejnya sangat mendalam dan ideanya sangat baik untuk difikirkan. Tidak dinafikan, sebahagian mesej mempunyai nilai yang negatif, tetapi diolah dan disampaikan dengan jalan cerita yang kuat dan menarik. Antara nilai negatif terhadap agama Islam yang terkenal adalah Islamophobia, tetapi ketika disampaikan dalam bentuk penceritaan yang menarik sehingga sebahagian orang-orang Islam masih boleh ketawa dengan bahan tersebut.

Inilah salah satu contoh produk masyarakat “berfikir” yang dimaksudkan. Bukan dari sudut nilai yang kita fokuskan, tetapi dari sudut bagaimana mereka mempunyai idea daripada pemikiran yang kritis dan mereka menggunakan kreativiti mereka untuk menyampaikan idea-idea tersebut. Oleh sebab itulah, filem-filem Barat yang menggunakan modal pembelanjaan yang besar sekalipun, akan mengembalikan keuntungan yang berlipat ganda, walaupun dengan ancaman cetak rompak dan sebagainya, kerana karya-karya tersebut mempunyai nilai idea dan mesej yang dihargai oleh masyarakat mereka.

Ini suatu yang jelas kerana sesuatu karya itu dihargai lebih kerana nilai mesej atau idea yang disampaikan, bukan pada bentuk persembahannya semata-mata. Semakin utama, penting dan sejagat apa yang disampaikan, semakin ia dihargai dan diterima. Oleh sebab itulah, bidang pemikiran mempunyai kedudukannya yang tersendiri berbanding bidang teknikal dan praktikal.

Berbeza dengan dunia perfileman tempatan. Mereka yang terlibat merungut tentang cetak rompak dan sebagainya, tetapi dalam masa yang sama tidak mengkaji semula kualiti filem-filem mereka terutamanya dari sudut idea, mesej dan nilai yang cuba disampaikan. Jika karya tersebut berkualiti, sudah pasti akan dihargai oleh banyak pihak. Apa yang didapati, sebahagian filem kartun Barat lebih baik idea, mesej dan jalan cerita yang cuba disampaikan, berbanding kebanyakan filem tempatan.

Sebahagian filem-filem dari Iran juga mempunyai idea yang baik, walaupun masyarakat mereka beraliran Syiah. Ini kerana, golongan Syiah juga telah lama mengikut golongan Asha’irah dalam mengembangkan bidang pemikiran walaupun secara tempang.

Oleh sebab itulah, budaya berfikir dan berfalsafah ada nilainya tersendiri, terutamanya jika dipimpin dengan panduan Islam. Di samping kepentingan membendung idea-idea yang bertentangan dengan Islam dengan hujah logikal dan rasional, begitu juga mempromosikan nilai-nilai ajaran Islam yang benar dan sahih, dengan pendekatan-pendekatan yang lebih sejagat.

Al-Fathonah atu kecerdikan sendiri merupakan sifat-sifat yang wajib bagi para rasul, iaitu kebolehan mematahkan hujah mereka yang melawan kebenaran dan kebolehan berhujah dalam membuktikan kebenaran risalah yang disampaikan. Begitu juga dengan hikmah, iaitu gabungan antara kecerdasan akal fikiran dengan kemurnian hati rohani.

Penutup

Masyarakat yang cerdik berfikir atau memajukan bidang pemikiran dan tradisi berfikirnya dapat membangunkan bidang pengetahuan, membangunkan tamadun yang baik, bahkan di era globalisasi ini, akan menjadi pemimpin kepada masyarakat yang lain. Zaman ini adalah zaman yang sangat mencabar terutamanya dalam pertembungan bidang pemikiran ini, justeru kepentingan pembangunan bidang aqliyyah ini  lebih penting berbanding suatu masa dahulu.

Ilmu-ilmu berkaitan bidang ‘aqliyyah ini tersimpan dalam perbendaharaan keilmuan warisan para ulama’ silam, kerana tradisi ilmu di sisi mereka adalah holistik dan bersepadu. Dalam zaman perkembangan bidang ilmu moden (modern knowledge) yang dipengaruhi semangat Sekularisme dari Barat, golongan ilmuwan perlu juga menguasai ilmu-ilmu asas dalam pemikiran terutamanya ilmu kalam, iaitu ilmu aqidah yang menggabungkan pendekatan hujah akal dan dalil wahyu. Begitu juga, penguasaan terhadap ilmu mantik yang asas agar kita dekat dengan tradisi para ulama’ silam dan bidang ‘aqliyyah mereka.

Para ulama’ Islam juga perlu menyemarakkan perkembangan bidang aqliyyah ini terutamanya melakukan usaha mengetengahkan ilmu kalam dan sebagainya dalam masyarakat intelek. Bahkan, bidang falsafah dan aliran pemikiran (al-Thayyarat al-Fikriyyah) juga perlu diberi perhatian sewajarnya kerana ianya menentukan hala tuju sesebuah masyarakat, kerana pemikiran menentukan tindakan seseorang, apatah lagi sesebuah tamadun manusia.

Wallahu a’lam





[1] Dr. Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, m/s: 90
[2] Ibid, m/s:  54
[3] Ibid, m/s: 70

1.26.2013

Pengaruh Ilmu Aqliyyah dalam Bidang Aqidah Islam dan Kemunculan Ilmu Kalam Sunni



Pengaruh Ilmu Aqliyyah dalam Bidang Aqidah Islam dan Kemunculan Ilmu Kalam Sunni

Dalam bidang aqidah pula, kepincangan golongan Mu’tazilah, Mujassimah, Jabbariyyah dan sebagainya sedikit sebanyak mencetuskan semangat keintelektualan baru dalam institusi ulama’ Islam khususnya dalam merangka suatu wacana keilmuan dalam membendung fahaman-fahaman tersebut. Suatu disiplin ilmu dilihat perlu disusun khususnya dalam mengetengahkan perpaduan manhaj antara naqli dengan aqli.

Pada awalnya, perpaduan manhaj dalam bidang aqidah hanya dilihat dalam risalah-risalah berbentuk perdebatan antara para ulama’ Sunnah dengan golongan-golongan pinggiran. Maka, ia berkembang dalam bentuk Ilmu Jidal (ilmu perdebatan) sehinggalah sebahagian ilmu tersebut difokuskan kepada perbahasan aqidah, maka ianya kemudian dikenali sebagai Ilmu Kalam.

Sheikh Ibn Khaldun terlebih dahulu telah memberi takrifan terhadap ilmu kalam versi sunni ini dengan berkata:

(Ilmu Kalam) ialah ilmu yang mengandungi hujah-hujah terhadap aqidah-aqidah yang dipercayai dengan bukti-bukti secara Aqliyyah (pembuktian secara logikal)  dan menolak golongan bid’ah yang terpesong daripada aqidah salaf dan ahlus-sunnah”. [Muqoddimah Ibn Khaldun, Al-Fashl Al-Asyir: fi Ilm Al-Kalam: 225]

Dalam risalah ringkas berjudul Risalah fi Istihsan Al-Khaudh fi Ilm Al-Kalam oleh Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari r.a. sendiri menjelaskan sandaran-sandaran ilmu kalam daripada Al-Qur’an dan As-Sunnah. Bahkan, beliau turut mengkritik golongan yang terlalu keras dalam menolak ilmu kalam khususnya setelah ianya dimurnikan oleh manhaj sunni yang dikembangkan oleh beliau sendiri terutamanya dalam kitab Al-Luma’.

Dalam muqoddimah kitab Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad, Imam Al-Ghazali r.a. juga ada mengkritik keterlaluan dua golongan iaitu golongan yang menolak sama sekali penggunaan akal dalam bab aqidah seperti golongan Hasyawiyyah dan golongan yang berlebih-lebihan dalam menggunakan akal dalam bab tersebut seperti golongan Mu’tazilah. Menurut Imam Al-Ghazali r.a., manhaj yang tepat dengan suluhan ajaran murni Islam adalah manhaj yang adil dalam penggunaan akal dan naql.

Sebagaimana yang didefinisikan oleh Imam Ibn Khaldun tentang ilmu Kalam ini, kita dapat fahami bahawasanya ia suatu disiplin ilmu yang menggabungkan penghujahan akal dan naql (nas) dalam bidang aqidah secara terperinci.

Imam Az-Zarkasyi juga menjelaskan bahawasanya:

Tidaklah suatu penghujahan, petunjuk, pembahagian dan pembatasan bagi kulliyyat (kaedah umum) ilmu-ilmu akal dan sam’iyyat (pengetahuan tentang perkara-perkara yang tidak diketahui melainkan dengan ajaran wahyu) melainkan kitab Allah telah menyebutkannya. Namun, kaedah-kaedah tersebut disebut secara ringkas sebagaimana adat masyarakat Arab, tidak berbentuk terperinci dan mendalam sebagaimana cara golongan mutakallimin”. [Al-Burhan fi Ulum Al-Qur’an 2/24-25]

Segala celaan sebahagian para ulama’ Salaf terhadap ilmu kalam berkisarkan kepada dua perkara utama:

Pertama: Celaan tersebut ditujukan kepada ilmu Kalam yang digunakan oleh golongan-golongan sesat seperti Mu’tazilah, Qadariyyah dan sebagainya.

Kedua: Para ulama’ salaf menzahirkan sikap wara’ dengan melarang golongan awam terlibat dengan perbahasan-perbahasan yang dibahaskan oleh golongan-golongan tersebut.

Namun, adakah golongan-golongan sesat tersebut perlu dibiarkan tanpa dibantah dan dibendung? Adakah kepincangan dan kesesatan perlu dibiarkan berleluasa dalam masyarakat hanya dengan alasan ianya dilarang oleh para ulama’ pada sesuatu zaman? Kepincangan dalam setiap zaman tidak sama. Ianya mempunyai peringkat-peringkatnya. Pada zaman salaf, fahaman-fahaman pinggiran dan sesat tidak dapat berkembang meluas kerana tidak mempunyai jaringan perhubungan yang meluas. Jadi, cukup dengan tidak terlibat membahaskan sesuatu perkara, ianya boleh menjaga masyarakat awam daripada fahaman-fahaman tersebut.

Ketika fahaman-fahaman tersebut semakin meluas dan ramai masyarakat awam sudah tidak lagi belajar ilmu agama daripada para ulama’, maka mereka lebih terdedah kepada fahaman-fahaman sesat tersebut, apatah lagi tatkala berkembangnya jaringan perhubungan dalam masyarakat. Jadi, dengan perkembangan sebegini menyebabkan para ulama’ tidak boleh berdiam diri daripada kepincangan yang berlaku. Oleh sebab itulah, ilmu kalam akhirnya mendapat sentuhan dan pemurnian daripada ramai para ulama’ yang memahami kepentingan usaha tersebut.

Setelah Ilmu Kalam versi Sunni ini dikembangkan oleh para ulama’ Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah, hampir tidak ada lagi ulama’ yang menolak ilmu kalam secara mutlak melainkan sebahagian Hanabilah yang masih tidak melihat kepentingan ilmu Kalam dan mereka yang terpengaruh dengan fahaman Tajsim namun bersembunyi di sebalik kelompok Hanabilah. [rujuk Daf Syubah At-Tasybih oleh Imam Ibn Al-Jauzi r.a.]

Imam Al-Baihaqi r.a. berkata:

Bagaimana (ilmu) Kalam versi Ahlus-Sunnah wal Jamaah suatu yag tercela di sisi Imam As-Syafi’e sedangkan beliau sendiri berdebat dengan orang yang berdebat dengannya (dengan kaedah tersebut)…” [Manaqib As-Syafi’e: 1/454-455, Maktabah Dar At-Turath, Kaherah]

Adapun Ilmu kalam ini, sejak ianya diperkenalkan dalam versi Sunni oleh dua tokoh ulama’ besar iaitulah Imam Al-Asy’ari dan Imam Al-Maturidi, maka, ianya terus dikembangkan oleh para murid mereka dan para murid kepada murid-murid mereka. Ada orang cuba menukilkan kritikan para ulama’ Salaf (seperti Imam As-Syafi’e, Imam Ahmad, Imam Abu Hatim Ar-Razi dan sebagainya) terhadap ilmu kalam sebelum kemunculan ilmu kalam versi sunni (Al-Asya’irah dan Al-Maturidiyyah) ini dalam menolak ilmu kalam versi sunni ini, maka ianya adalah istidlal yang rosak dan usaha meletakkan sesuatu bukan pada tempatnya. Ini jelas sebagaimana yang cuba dimaksudkan oleh Imam Al-Baihaqi ketika mengulas isu ini dalam kitab Manaqib As-Syafi’e tersebut.

Secara ringkasnya, kita dapat lihat, antara perkembangan awal ilmu kalam versi sunni ini adalah, ketika Imam Abu Al-Hasan Al-Asy’ari r.a. mengarang kitab berjudul Al-Luma’ fi Ar-Radd ‘Ala Ahl Az-Zaigh wa Al-Bida’ yang mengandungi hujah-hujah mempertahankan aqidah murni Islam dalam bentuk aqliyyah (hujah menggunakan kaedah akal) dan naqliyyah (hujah menggunakan sumber dan nas). Bahkan, beliau juga mengarang sebuah risalah ringkas berjudul Risalah fi Istihsan Al-Khaud fi Ilm Al-Kalam yang menjelaskan kepentingan ilmu kalam versi Sunni ini. Orang-orang yang menilai sesuatu disiplin ilmu berdasarkan penilaian para ulama’ sebelum kemunculan disiplin ilmu tersebut adalah orang yang jahil tentang sejarah perkembangan sesuatu disiplin ilmu itu sendiri.

Di samping Imam Al-Asy’ari, Imam Abu Mansur Al-Maturidi juga ada mengarang sebuah kitab berjudul At-Tauhid yang merupakan perpaduan antara hujah-hujah akal dan nas dalam bidang aqidah. Beliau bermazhab Al-Hanafi dan mendalami fiqh Hanafi daripada Imam Abu Bakr Ahmad Al-Juzjani yang berguru dengan Imam Abu Yusuf (w: 182 H) dan Imam Muhammad As-Syaibani (w: 189 H) yang mana kedua-duanya berguru kepada Imam Abu Hanifah r.a. (w: 150 H). Kitab At-Tauhid mendapat penerimaan meluas dalam bidang ilmu kalam khususnya di sisi para ulama’ Ahnaf (Hanafiyyah).

Ilmu Kalam manhaj Imam Al-Maturidi dikembangkan oleh Imam Muhammad Al-Bazdawi (w: 493 H) yang mana beliau mengambil ilmu kalam tersebut daripada ayahandanya Imam Abdul Karim Al-Bazdawi (w: 390 H) daripada ayahandanya Imam Abdul Karim yang berguru kepada Imam Al-Maturidi r.a. (w: 333 H). Kitab karangan beliau berjudul Usuluddin fi Tabsith Al-Mazhab.

Ilmu Kalam berteraskan manhaj Imam Al-Asy’ari pula bahkan mempunyai kronologi perkembangan yang lebih pesat. Bermula dengan usaha giat para murid Imam Al-Asy’ari, sehinggalah generasi-generasi setelah itu, ilmu Kalam versi Asya’irah sangat berperanan dalam mengembangkan aqidah Ahlus-Sunnah wal Jamaah secara meluas di samping ilmu Kalam golongan Maturidiyyah.

Kemuncak perkembangan terawal ilmu kalam adalah pada zaman Imam Al-Baqillani (w: 402 H) melalui kitab beliau Al-Inshaf dan Tamhid Al-Awa’il, Imam Ibn Furak (w: 406 H) melalui kitab beliau Mujarrad Maqalat Al-Asy’ari dan Imam Al-Baihaqi (w: 458 H) melalui kitab-kitab beliau seperti Al-I’tiqad ‘ala Mazhab As-Salaf Ahl Sunnah wal Jamaah dan Al-Asma’ wa As-Sifat.  Kemudian, ianya dikembangkan oleh Imamul Haramain Al-Juwaini melalui kitab Aqidah Nizhamiyyah, As-Syamil dan sebagainya, dan murid beliau Imam Al-Ghazali r.a. (w: 505 H) melalui karya-karyanya yang berjudul: Iljam Al-‘Awam dan Al-Iqtishad fi Al-I’tiqad.

Mengenai kitab Al-Iqtisad fi Al-I’tiqad sendiri, ianya adalah merupakan kesimpulan awal bagi manhaj Al-Asy’ari dalam bidang aqidah dengan pendekatan yang ringkas dan padat. Pun begitu, bentuk-bentuk hujah dan perbahasan di dalamnya masih dinilai sebagai tinggi bagi melihat situasi sebenar masyarakat Islam kini termasuklah dari kalangan penuntut ilmu. Begitu juga berkembangnya kitab-kitab yang mempunyai perbahasan yang mendalam yang dipengaruhi perbahasan-perbahasan falsafah dan hujah akal yang tinggi seperti kitab Nihayah Al-Iqdam fi Ilm Al-Kalam oleh Imam As-Syahrastani (w: 548 H),  Thowali’ Al-Anwar oleh Imam Al-Baihdhawi (w: 685 H), Al-Mawaqif fi Ilm Al-Kalam oleh Imam Al-Iji (w: 765 H), Al-Maqasid dan Syarh Al-Maqasid oleh Imam At-Taftazani (w: 792/3 H).

Maka, ilmu kalam versi sunni ini terus berkembang dan dilengkapkan pada zaman Imam As-Sanusi (w: 895) khususnya melalui kitab-kitab beliau: Al-Aqidah Al-Kubra (Aqidah Ahl At-Tauhid) dan syarahnya, Al-Aqidah Al-Wusta dan syarahnya, Al-Aqidah As-Shughra (Umm Al-Barahin) dan syarahnya, Syarh Jawahir Al-Ulum Li Idhh fi Ilm Al-Kalam dan sebagainya. Pada peringkat ini, ilmu kalam as’yari sudah tersusun dengan perbahasan sifat 20.

Adapun kitab Umm Al-Barahin sendiri merupakan suatu kitab yang mendapat penerimaan ramai para ulama’ Al-Asya’irah lalu ianya dikhidmati oleh ulama’-ulama’ terkemuka setelah Imam As-Sanusi terutamanya dalam mensyarahkan kitab tersebut.

Pada zaman pemerintahan khalifah Uthmaniyyah pula, banyak dari kalangan khalifah membina pusat-pusat pengajian untuk mengembangkan lagi bidang ilmu dalam masyarakat Islam. Antaranya adalah seperti Sultan Urkhan (680-761 H) yang sangat mencintai bidang keilmuan. Beliau dan adiknya membuka sebuah Madrasah Aliyyah di Niqiyyah untuk dijadikan tempat pendidikan bagi golongan yang tidak berkemampuan. Begitu juga dibuka Madrasah di Iznik. Bahkan, di zaman beliau juga, seorang ulama’ bernama Al-Maula/Al-Mula Khalil Al-Jandrli diangkat menjadi menteri.

Ketika zaman Sultan Muhammad Al-Fateh, beliau yang berjaya membuka kota Konstantinopel (Constantinople) lalu menamakan kota tersebut sebagai Islambol (kini dikenali sebagai Istanbul). Beliau juga banyak menyumbang dalam bidang pendidikan dengan mengembangkan madrasah-madrasah dan sebagainya, khususnya dengan membina lapan Madrasah besar di Konstantinopel setelah pembukaannya. Antara ulama’ yang mengajar di madrasah-madrasah tersebut adalah: Imam Sinan Al-‘Ajami, Imam Muslihuddin Al-Qasthollani, Imam Hasan As-Shomsuni, Imam As-Syarif Hamiduddin Al-Husaini, Imam Ahmad Basya bin Maula Khudari Bek (w: 927 H), Imam Husein At-Tabrizi dan sebagainya.

Bahkan, sebuah gereja menjadi masjid yang mana ia dikenali sebagai Aya Sofya. Pada zaman beliau, antara ulama’ terkemuka adalah Imam Syamsuddin Al-Khayali yang merupakan seorang ulama’ yang kuat mengembangkan pegangan ahlus-sunnah wal jamaah. Di samping itu juga, Sultan Al-Fateh juga mampunyai ulama’ yang khusus untuk mengajar beliau dalam ilmu agama iaitulah Imam Maula Khairuddin.

Dua tokoh besar iaitu Imam Sa’ad At-Taftazani (w: 791 H) menerusi kitab Al-Maqasid fi Ilm Al-Kalam, Syarh Al-Maqasid dan Tahzib Al-Kalam wa Al-Mantiq dan Imam As-Syarif Al-Jurjani (w: 816 H) menerusi kitab Syarh Al-Mawaqif adalah antara rujukan kepada para ulama’ Turki Uthmaniyyah di samping para ulama’ lain dalam mengembangkan ilmu kalam.

Maka, antara para ulama’ Turki Uthmaniyyah yang mengembangkan ilmu Kalam adalah seperti Sheikh Kamaluddin Ismail Al-Qarmani melalui kitab Hasyiyyah ‘ala Syarh Al-Mawaqif li Al-Jurjani, Sheikh Sinan Ad-Din Al-Yakani melalui Hasyiyah ‘ala Syarh Al-Mawaqif dan sebagainya.

Di belahan Mesir pula, dua tokoh terkemuka dalam mengembangkan bidang ilmu kalam adalah Imam Ahmad Ad-Dardir Al-Khalwati (w: 1209) dan murid beliau Imam Ahmad As-Showi Al-Khalwati (w: 1241 H). Ilmu kalam versi Asy’ari juga terus berkembang pasat sehingga ke Nusantara.

Ilmu Kalam ini mendapat penerimaan meluas dalam institusi ulama’ Islam kerana kepentingannya untuk berhadapan dan berdebat dengan musuh-musuh Islam dalam membuktikan kebenaran aqidah murni Islam secara aqli yang menjadi suatu lapangan yang disepakati oleh kedua-dua pihak. Orang-orang kafir sukar untuk sekadar menerima aqidah Islamhanya kerana ianya disebut dalam sumber agama, tetapi akallah alat paling utama yang menyebabkan seseorang menerima sesuatu kebenaran termasuklah menerima dan mempercayai sumber agama itu sendiri. Oleh kerana itulah, ilmu kalam yang meletakkan akal sebagai tempat perbahasan merupakan sautu ilmu yang paling banyak menjelaskan kebenaran aqidah Islam kepada orang-orang kafir khususnya dalam kalangan ahli akedemik.

Maka, demi kepentingan ini jugalah, ilmu kalam dalam bidang aqidah terus dipertahankan terutamanya di pusat pengajian ilmu agama yang mewarisi ilmu-ilmu agama secara sahih dengan sanad ilmu yang jelas. Ilmu kalam itu sendiri mempunyai beberapa tingkatan dan peringkat perbahasannya yang mengikut kesesuaian tahap-tahap setiap golongan, samada awam, penuntut ilmu, para ulama’ dan sebagainya.

12.26.2012

Masyarakat Islam dan Penguasaan Bahasa Asing: Antara Sarana Penguasaan Ilmu dan Medium Pengaruh Budaya (2)


Turun Naik Perkembangan Ilmu Pengetahuan

Jika kita perhatikan tadi, jelas menunjukkan bahawasanya, tamadun Islam pernah meneroka bidang ilmu dan memimpin penguasaan ilmu termasuklah ilmu-ilmu yang diambil daripada sumber dan bangsa asing. Bahkan, para ilmuwan Islam yang lebih mnunjukkan minat kepada ilmu berbanding para ilmuwan dari bangsa-bangsa lain. Mereka didorong oleh minat dan semangat cinta ilmu dengan penghayatan terhadap jati diri keislaman mereka, sebelum mempunyai minat mnguasai bahasa-bahasa asing. Oleh itu, mereka fokus kepada tujuan ketika menguasai bahasa asing iaitu penguasaan trhadap ilmu atas semangat panduan hadis “hikmah adalah ciciran orang beriman tersebut.

Dalam dunia Islam hari ini, sejak kemunduran mereka setelah kejatuhan sistem khilafah, bahkan sebelum itu lagi, sudah mula menjauhi semangat cintakan ilmu pengetahuan. Berbeza dengan dunia Barat yang cuba bangkit daripada zaman kegelapan (Dark Ages) terutamanya setelah kemunculan gerakan Renaisans di Itali, gerakan Reformation yang dipimpin oleh Martin Luther seterusnya proses Sekularisasi secara besar-besaran dalam masyarakat Barat.

Dunia Barat memang mempunyai sejarah hitamnya dalam bidang ilmu pengetahuan ketika pihak gereja menjadi halangan terbesar terhadap tokoh-tokoh ilmuwan dalam mengembangkan bidang ilmu pengetahuan di Barat. Ia berbeza dengan tradisi Islam di mana para ulama’ sebagai agamawanlah dalam masa yang sama memimpin perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang rasional (aqliyyah). Maka, bagi dunia Barat, proses Sekularisasi adalah penyelasaian terhadap kemelut keilmuan mereka kerana hanya dengan mengurangkan pengaruh pihak agamawan sahaja, para ilmuwan Barat dapat menguasai bidang pengetahuan.

Mungkin, antara faktor kemerosotan bidang pengetahuan dalam masyarakat Islam adalah apabila institusi pengajian terbesar umat Islam pada ketika itu, iaitu Al-Azhar, pernah memutuskan hubungannya dengan ilmu-ilmu Aqliyyah, disebabkan ada suara yang mengharamkan ilmu-ilmu tersebut terutamanya ilmu mantik dan falsafah. Kemunduran dalam bidang ilmu-ilmu Aqliyyah di Al-Azhar ketara pada ketika itu sehingga dikatakan ilmu Matematik sendiri tidak diajarkan di sana pada hujung kurun ke-12 Hijrah. Pada ketika itu, al-Azhar hanya merupakan institusi pengajian yang mengajar ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab sahaja. Walaupun perkara tersebut tidak lama, ia tetap mempengaruhi perkembangan bidang pengetahuan dalam masyarakat Islam, ketika mana dalam masa yang sama, masyarakat Barat sedang pesat membangunkan bidang pengetahuan.

Ketika ajaran agama cuba diketepikan di dunia Barat, ramai para ilmuwan Barat berpegang kepada Empirisisme yang lebih mementingkan perkembangan ilmu yang berkaitan dengan alam fizikal semata-mata dan meminggirkan perbahasan tentang alam metafizikal atau perkara-perkara ghaib. Di samping semangat dualisme ini, kecenderungan anti-tuhan atau athiesme turut berkembang dalam kalangan ilmuwan mereka. Ia berlaku secara beransur-ansur antara abad ke-18 sehingga abad ke-20 Masihi yang mana ketika itu dikenali sebagai Abad Ideologi (Age  of Ideologies).

Perkembangan ini akhirnya mencorakkan budaya hidup masyarakat yang baharu di dunia Barat, di mana pada asalnya mereka berpegang teguh kepada ajaran Kristianiti dan patuh kepada didikan gereja, mula menjauhkan diri daripada ajaran keagamaan atas nama kemajuan dan ilmu pengetahuan. Bagi mereka, ajaran keagamaan adalah suatu yang kolot jika dibandingkan dengan ilmu pengetahuan yang sedang berkembang kerana banyak mistik dan mitos dalam ajaran keagamaan yang tidak dapat dibuktikan melalui penyelidikan saintifik.

Lalu, pengkhianatan terbesar dalam sejarah keilmuan berlaku dalam bidang pengetahuan, atas nama ilmu, berteraskan semangat anti-tuhan dan anti-keagamaan. Ketika Charles Darwin (1808-1882) mengetengahkan idea evolusinya dalam dua buku terkenalnya iaitu The Origin of Spices dan The Descent of Man (1871), para ilmuwan Atheis mula melihat idea evolusi ini sebagai suatu senjata terbaik dalam melawan ajaran agama terutamanya pada menjawab persoalan asasi dalam kehidupan manusia iaitu “manusia berasal dari mana?”.

Walaupun idea evolusi Darwin tidak dapat dibuktikan benar, tetapi dengan alasan bahawa ianya masih tidak dapat dibuktikan salah, Darwinisme ini terus diterima sebagai unsur terpenting dalam bidang sains terutamanya berkaitan biologi. Idea-idea perubahan spesis daripada spesis purba yang ringkas menuju spesis lain yang lebih kompleks melalui proses evolusi yang berlaku secara rawak dan dipengaruhi oleh panduan tabi’e (natural selection) atau pertarungan tabi’e (war of nature) terus diterapkan dalam bidang sains secara khusus bahkan turut mempengaruhi bidang sejarah kemanusiaan.

Lebih malang lagi, idea ‘hanya yang terkuat sahaja yang layak untuk terus hidup’ (servival for the fittest) yang diketengahkan oleh Darwin dalam bidang biologi turut mempengaruhi bidang politik. Falsafah-falsafah radikal seperti Marxisme dan Komunisme muncul atas semangat ‘kehidupan hanya untuk yang terkuat’ sehingga mencetuskan kisah-kisah merah berdarah dalam lembaran sejarah kemanusiaan.

Budaya keilmuan yang nampak dipimpin oleh dunia Barat kini dipenuhi kepalsuan yang nyata atas nama ilmu. Bahkan, ketika para ulama’ Islam menetapkan sifat ilmu perlulah bertaraf yakin, para ilmuwan Barat masa kini sekadar mengembangkan waham dan prasangka lalu dinamakan sebagai ilmu. Bahkan, mereka juga bersikap tidak mementingkan persoalan-persoalan asasi dalam kehidupan seperti kita berasal dari mana, kenapa kita wujud di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas kematian. Mereka lebih bersikap pragmatisme dan mementingkan nilai-guna sebagai ukuran bagi sesuatu ilmu.

Nilai dan Pengaruh Sekularisasi Ilmu Pengetahuan dalam Budaya Hidup Masyarakat   

Dalam bidang sains tabi’e atau fizikal, pengaruh aliran empirisisme dan evolusionisme sangat kuat. Ia sedikit sebanyak menggugat keimanan dan aqidah Islam, bahkan menggugat ajaran keagamaan secara lebih umum. Aliran empirisisme yang berkembang dalam bidang sains tabi’e misalnya, meletakkan ukuran kebenaran pada pengalaman pancaindera dan ujikaji saintifik semata-mata. Maka, perkara-perkara yang diajarkan oleh agama berkenaan dengan ketuhanan dan alam ghaib tidak mempunyai nilai ilmu atau kebenaran dalam neraca aliran ini. Lebih malang lagi, aliran evolusionisme yang mendominasi dalam bidang sains tabi’e ini, sedikit sebanyak mencabar ajaran agama yang mengatakan bahawasanya bapa pertama bagi manusia ialah Nabi Adam a.s., sedangkan Darwin menerusi teori evolusinya mendakwa, manusia adalah sejenis makhluk yang berevolusi daripada beruk.

Dalam bidang sains sosial pula, falsafah-falsafah yang negatif menjadi sandaran utama yang dilihat turut bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain pengaruh aliran evolusionisme, aliran Freudian turut ketara dalam bidang sosiologi. Freud mendakwa bahawasanya konsep ketuhanan dan agama adalah suatu ilusi bagi manusia hasil daripada penyakit jiwa mereka akibat tekanan hidup sejak zaman kanak-kanak. Bahkan, dia juga mendakwa bahawasanya, manusia hidup berteraskan dorongan seksual sehingga menganggap kebahagiaan dapat dicapai dengan kepuasan seksual. Perkara ini mendorong kepada sikap menjauhi amalan-amalan keagamaan yang mulia sehingga mencetuskan kerosakan akhlak yang sangat buruk atas nama kebebasan hak asasi manusia. Atas semangat ini jugalah, timbulnya seruan ke arah amalan seks yang songsang seperti yang diperjuangkan oleh komuniti LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgenderdan sebagainya.

Dalam bidang ekonomi pula, tidak banyak berbeza dengan bidang-bidang ilmu yang lain di mana ianya turut dipengaruhi oleh aliran yang rosak seperti Kapitalisme dan Sosialisme. Walaupun kedua-dua aliran ini kelihatan bertentangan antara satu sama lain, tetapi kedua-duanya menggalakkan amalan riba dan penindasan terhadap yang lemah. Begitu juga dalam bidang sejarah, pengaruh evolusionisme sangat kuat sehingga mengetengahkan peringkat-peringkat manusia yang bermula sebagai manusia primitif dan tidak bertamadun menuju perubahan ke arah lebih maju, sedangkan dalam konsep Islam, Nabi Adam a.s. sebagai bapa manusia adalah seorang manusia yang berilmu dan bertamadun.

Cabaran Umat Islam dalam Bidang Ilmu dan Budaya

Sikap anti-tuhan berkembang secara tidak langsung dalam masyarakat awam, terutamanya melalui saluran institusi-institusi pengajian. Para ilmuwan Barat dilihat berjaya mengemudi agenda Sekularisasi mereka dengan baik dalam perjalanan memasyarakatkan nilai-nilai Sekularisme tersebut melalui bidang pengetahuan. Budaya hidup mengamalkan ajaran keagamaan semakin terpinggir walaupun masih ramai yang mengaku beragama, tetapi agama sekadar suatu status sosial dalam masyarakat, tanpa berperanan sebagaimana sepatutnya.

Sehinggakan, masyarakat Barat kini sudah lebih terkenal sebagai sebuah masyarakat yang tidak beragama dalam konteks yang sebenar, walaupun mengaku masih beragama. Apa yang dimaksudkan sebagai tidak beragama adalah, mereka tidak mengamalkan ajaran agama tetapi sekadar menjadikan agama sebagai sebuah aktiviti sosial yang terhad. Insititusi keluarga juga dibina atas binaan yang rapuh disebabkan budaya hidup yang tidak lagi dipandu oleh nilai-nilai yang positif. Maka, keluarga-keluarga yang dibina adalah keluarga nuklear yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lalu memberi kesan kepada persekitaran.

Budaya hidup masyarakat Barat ini tidak jauh daripada masyarakat Islam bahkan dalam rumah-rumah mereka sahaja, bukan di luar jendela. Budaya Barat diketengahkan dalam masyarakat dunia melalui media massa dan elektronik, bahkan melalui pengajian, sukan, hiburan dan sebagainya. Salah satu daripada bukti-bukti masyarakat Islam mula terpengaruh bahkan semakin ketara pengaruhnya terhadap budaya hidup masyarakat asing adalah pada penguasaan bahasa mereka terhadap bahasa asing, bukan sebagai sebuah sarana untuk menguasai ilmu pengetahuan, tetapi sekadar untuk berbudaya dengan budaya asing.


Kita dapati, ramai ibu bapa seronok jika anak-anak mereka boleh cakap bahasa Inggeris misalnya, sejak kecil, walaupun kadang-kala lebih baik berbanding bahasa ibunda sendiri. Alasan mereka, penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris adalah sangat penting kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu pengetahuan pada zaman ini. Memang benar, jika itu alasan dan tujuan mereka, ia adalah suatu perkara yang wajar dan baik sebagaimana disebutkan dalam perjalanan sejarah tamadun Islam.

Tetapi, selain kepincangan dalam bidang pengetahuan masa kini, bahasa asing juga menjadi medium yang boleh memberi pengaruh budaya asing dalam sesebuah masyarakat. Jika sesebuah masyarakat itu lemah dalam mempertahankan jati diri sendiri seperti cara hidup dan bahasa sendiri, sudah pastilah ia boleh dipengaruhi oleh cara hidup asing melalui penguasaan bahasa asing.

Pepatah ada menyebut bahawa, bahasa jiwa bangsa. Ia adalah jati diri sesuatu bangsa yang perlu dipertahankan sebagaimana bangsa Arab mempertahankan dan mengembangkan bahasa Arab mereka. Tidak salah menguasai bahasa asing bahkan ianya sangat baik jika dua perkara diambil kira:

Pertama: Perlu terlebih dahulu menguasai bahasa ibunda sebelum menguasai bahasa asing. Perkara ini sangat wajar dipentingkan kerana kita dapati ramai anak muda yang bertutur dalam bahasa Melayu tidak dapat mengucapkannya sebaik pertuturan mereka dalam bahasa Inggeris. Bahkan, kadang-kala, mereka bercakap dengan menggunakan bahasa ‘rojak’, iaitu gabungan antara bahasa ibunda dengan bahasa asing, samada sengaja ataupun tidak, ataupun bertutur dalam bahasa ibunda dengan loghat dan sebutan bahasa asing.

Kedua: Perlu fokus kepada tujuan penguasaan bahasa asing iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan, bukan untuk mengikut nilai-nilai bangsa asing yang negatif, apatah lagi dalam konteks yang kita bincangkan tentang penguasaan bahasa Inggeris mempunyai kaitan dengan perkembangan budaya masyarakat Inggeris-Barat yang sangat negatif pada masa kini. Ia berbeza dengan menguasai bahasa asing yang mempunyai nilai-nilai positif bagi bangsa tersebut seperti kecenderungan untuk menguasai bahasa Arab kerana keinginan untuk mengikut budaya Arab yang banyak dipengaruhi oleh ajaran Islam yang mulia dan dekat dengan corak kehidupan Rasulullah SAW, terutamanya Arab-Quraisy.

Sudahlah bidang ilmu memberi ancamannya yang sendiri terhadap jati diri dan keperibadian umat Islam yang perlu dipertahankan dengan ajaran murni Islam, budaya Barat yang terus berkembang juga sangat memberi tekanan dan ancaman bagi umat Islam juga. Oleh sebab itulah, umat Islam secara umum perlu lebih kuat mempertahankan jati diri keislamannya dalam menghadapi pengaruh bidang keilmuan dan budaya yang negatif daripada Barat.

Kita dapati bangsa Melayu secara khusus, telah lama membina jati diri bangsa berasaskan ajaran Islam. Maka, pengaruh agama Islam dalam budaya Melayu juga sangat kuat termasuklah dalam bahasanya. Kita boleh dapati banyak perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang mempunyai hubung kait dengan perkataan-perkataan Islam. Sebagai contoh, perkataan solat (as-solah) dalam bahasa Arab mempunyai dua makna berlainan iaitu makna dari sudut bahasanya dan makna dari sudut penggunaan Islam (syarak). Al-Solah dalam pengertian dari sudut bahasa Arab bermaksud doa secara mutlak sedangkan al-solah dalam pengertian syarak (penggunaan Islam) adalah, himpunan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang tertentu, yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Maka, solat dalam bahasa Melayu hanya mempunyai satu makna sahaja iaitu sembahyang bagi agama Islam. Maksudnya, solat dalam penggunaan bahasa Melayu dengan makna dari sudut penggunaan syarak juga. Ia berbeza dengan bahasa Inggeris yang menggunakan terjemahan bagi as-solah sebagai pray yang mempunyai dua maksud, samada berdoa secara umum ataupun solat secara khusus. Ini menunjukkan bahasa Melayu mempunyai pengaruh ajaran Islam yang kuat. Begitu juga kalimah Allah s.w.t., dalam penggunaan bahasa Melayu, hanya layak digunakan bagi merujuk kepada Tuhan bagi orang-orang Islam sahaja.

Maka, jika terhakisnya penguasaan bahasa Melayu daripada bangsa Melayu-Islam, mereka akan terdedah kepada pengaruh asing termasuklah dari sudut budaya. Cabaran masyarakat Melayu-Islam secara khusus bukan setakat memelihara budaya asal mereka, tetapi pada mempertahankan corak hidup beragama yang menjadi amalan mereka sejak sekian lama. Kekeliruan semasa berkembang menuju ke arah yang berbeza daripada tujuan murninya. Ketika penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris ditekankan dalam dasar pendidikan negara, ramai anak muda dalam masyarakat Islam keliru tentang kepentingan penguasaan bahasa Inggeris sehingga akhirnya bahasa Inggeris menjadi sarana pengaruh budaya asing yang negatif dalam kehidupan mereka seharian.

Kita dapati terdapat segolongan Melayu-Muslim di Malaysia secara khusus yang bertutur di bumi Malaysia kepada sesama mereka dalam bahasa Inggeris atau bahasa campuran (Manglish), tetapi bahan bacaan mereka tidak lebih daripada sekadar novel-novel cinta dan romantik ala-Barat, majalah-majalah hiburan antarabangsa, komik-komik dan sebagainya. Mereka keliru dalam fungsi sebenar dirinya sebagai seorang Melayu-Muslim dalam menguasai bahasa asing.

Samalah seperti fenomena ketika kita mengunjungi Mesir, kita melihat sekumpulan bangsa Arab Mesir sedang berbual sesama mereka dalam bahasa Mandrin di tengah-tengah kota Kaherah. Hal sebegini tidak ganjil jika ianya berlaku di dalam sebuah institusi pengajian bahasa Mandrin walaupun di Kaherah dan melibatkan bangsa Arab Mesir, ataupun ianya berlaku di salah sebuah bandar di China walaupun melibatkan warga Arab Mesir, ataupun ianya berlaku melibatkan sesama bangsa Cina walaupun di bandar Kaherah.

Solusi Kepada Kekeliruan

Dua perkara yang perlu dipupuk bagi menyelesaikan kekeliruan ini. Pertama, memupuk semangat cinta ilmu dalam masyarakat. Kedua, menanam semangat cinta kepada tanah air dan jati diri bangsa yang bersesuaian dengan ajaran Islam.

Islam sebagai agama yang mengajak manusia kepada kebenaran dan membuktikan kebenaran sebagai kebenaran dengan bukti-bukti yang meyakinkan. Ini menunjukkan bahawasanya, Islam adalah agama yang menggalakkan budaya ilmu. Usaha memupuk semangat cintakan ilmu perlu berteraskan semangat ‘mengamalkan ajaran Islam’, dalam masyarakat Islam. Suasana Sekularisme dan Hedonisme dalam masyarakat Islam terutamanya setelah dipengaruhi budaya Barat sedikit sebanyak mengurangkan rasa cinta kepada ilmu pengetahuan tetapi sebaliknya masyarakat lebih cenderung kepada mengejar kepuasan diri sendiri.

Islam juga mengajar sesuatu bangsa itu agar menghargai keistimewaan yang ia miliki. Oleh sebab itulah, dalam Al-Qur’an ada menjelaskan bahawasanya, kepelbagaian bangsa dan kaum itu adalah antara hikmah Allah s.w.t. dalam kejadian manusia, dalam rangka untuk mewujudkan interaksi ‘saling kenal-mengenali’ antara sesama bangsa. Jika sesuatu bangsa itu tidak ada identiti tersendiri yang membuatkan ia istimewa dari sesuatu sudut dan berbeza berbanding bangsa-bangsa lain, maka tidak timbullah agenda ‘saling mengenali antara sesama bangsa yang berbeza. Ini kerana, dengan identiti yang berbezalah, sesuatu bangsa itu mengenali bangsa lain dan dikenali juga oleh bangsa lain, sebagaimana berbezanya antara lelaki dan wanita.

Nilai-nilai positif dari bangsa lain memang boleh diambil dan dimanfaatkan selagimana tidak melibatkan perkara-perkara negatif terutamanya berdasarkan ukuran agama. Rasulullah SAW sendiri mengambil idea menggali parit ketika perang Khandaq daripada strategi perang bangsa asing begitu juga menjadikan cincin Baginda SAW sebagai cop rasmi, juga daripada budaya bangsa asing. Tetapi, tetap sahaja Baginda SAW mempertahankan budaya Arab-Quraisy yang merupakan bangsa asal Baginda SAW seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Bahkan, Rasulullah SAW juga ketika mengelak daripada memakan dhob, Baginda SAW menyebut bahawasanya, kaumnya tidak biasa makan makanan itu, maka Baginda SAW tidak mahu memakannya.

Cuma, dalam perkembangan semasa, budaya Barat mempunyai unsur-unsur negatif yang lebih dominan berbanding nilai positif. Daripada corak pemikiran yang berteraskan anti-agama dan anti-tuhan, sehinggalah corak hidup dan budaya yang turut bersifat anti-agama, justeru menyebabkan masyarakat Islam harus mengetahui sempadan dalam mengikut budaya sesuatu bangsa.

Kita tidak nafikan bahawasanya, bangsa asing seperti bangsa Inggeris mengembangkan bidang pengetahuan walaupun secara korup dan sarat penyelewengan ilmiah, namun tetap banyak yang boleh diambil manfaat. Maka, masyarakat Islam wajar memupuk semangat cinta kepada ilmu agar usaha penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris tidak membawa ke haluan yang tidak sepatutnya, iaitu berkembangnya pengaruh budaya asing yang negatif dalam masyarakat.

Ibu bapa dan kerajaan perlu peka terhadap tujuan penguasaan bahasa asing agar generasi muda tidak hilang arah dalam seruan ke arah menguasai bahasa-bahasa asing. Sebagaimana bahasa adalah jalan menuju ilmu, ianya juga dalam masa yang sama adalah jalan menuju budaya. Dalam suasana dunia Barat yang sedang pesat membangunkan nilai-nilai negatif samada dalam bidang pengetahuan mahupun dalam bidang budaya, masyarakat Islam perlu menjadikan panduan agama sebagai sebaik-baik panduan dalam menilai apa sahaja yang didapati daripada bangsa-bangsa asing tersebut. Sudah tentulah, penguasaan terhadap ilmu pengetahuan lebih utama berbanding sekadar berbudaya dengan budaya bangsa-bangsa lain. Justeru, fokus perlu dibentuk secara jelas dalam semangat penguasaan bahasa asing ini, agar masyarakat Islam tahu tujuan asal mereka tersebut.

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
25 Disember 2012, Putrajaya



12.25.2012

Masyarakat Islam dan Penguasaan Bahasa Asing: Antara Sarana Penguasaan Ilmu dan Medium Pengaruh Budaya (1)


Pengenalan

Manusia adalah makhluk bersosial. Mereka hidup dalam suasana bermasyarakat dan saling berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka berinteraksi menggunakan perkataan-perkataan yang difahami dalam kalangan mereka. Para ulama’ berbeza pendapat tentang bahasa asal manusia, samada ianya adalah rekaan manusia ataupun daripada panduan dan pedoman Allah s.w.t. [Surah al-Baqarah: 31].

Dalam ajaran Islam, Nabi Adam a.s. dan keluarga baginda adalah manusia terawal yang berkomunikasi di dunia. Berdasarkan hadis riwayat Imam Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan sebagaiya, begitu juga dalam riwayat Imam Ahmad dalam al-‘Ilal dan sebagainya, ketika Nabi Adam a.s. diturunkan dari Syurga, beliau bertutur dalam bahasa Suryani.

Ketika polulasi manusia bertambah lalu tersebar ke pelbagai pelusuk tempat, maka, berkembanglah pertuturan dalam kelompok-kelompok yang berbeza sehingga membentuk perbezaan. Sehinggakan, pada zaman Nabi Ismail a.s. dan sebagainya, berkembangnya bahasa Arab yang berbeza daripada bahasa Suryani. Kemudian, berkembang pula bahasa Ibrani dalam kalangan bangsa Yahudi lalu berkembang juga bahasa-bahasa lain di timur dan Barat.

Dalam hubungan sosial kemanusiaan, bahasa bukan satu-satunya yang terbentuk dalam masyarakat, tetapi juga budaya. Jika bahasa boleh dikatakan sebagai ukuran komunikasi lisan dalam masyarakat, budaya boleh dianggap sebagai ukuran komunikasi tindakan dalam masyarakat tersebut Sebagaimana komunikasi lisan dalam masyarakat mengembangkan bahasa masyarakat tersebut, begitu juga komunikasi tindakan turut mengembangkan budayanya. Selain perkembangan bahasa dan budaya, ilmu juga turut berkembang dalam sesebuah masyarakat, natijah daripada perkembangan pemikiran dan komunikasi intelek dalam kalangan mereka.

Perkembangan Ilmu dan Budaya

Dalam sesebuah bangsa, sebagaimana berkembangnya ilmu dalam kalangan mereka, begitu juga dengan budaya. Sebagaimana berkembangnya corak pemikiran, berkembang juga corak hidup sesebuah masyarakat. Corak pemikiran yang berkembang dalam sesebuah masyarakat turut dianggap sebagai sebahagian daripada ilmu pengetahuan, sebagaimana kefahaman mereka terhadap sesuatu perkara.

Bahkan, dalam sesetengah masyarakat, wilayah atau ruang lingkup ilmu tidak terbatas kepada perkara-perkara fizik semata-mata, malah ianya juga melibatkan perkara-perkara yang ghaib dan metafizik. Sebahagian pengetahuan terhadap perkara-perkara tersebut berasaskan ajaran wahyu melalui para rasul dan sebahagian yang lain adalah melalui prasangka dan khalayan manusia.

Corak hidup atau budaya juga boleh dikaitkan sebagai sebahagian daripada ilmu tetapi dalam bentuk praktikal. Sebahagian masyarakat mengamalkan corak hidup dan budaya berasaskan ajaran agama yang dianggap sebagai panduan yang holistik bagi manusia, sedangkan sebahagian masyarakat manusia mengamalkan corak hidup berdasarkan cara fikir masing-masing dan nilai-nilai yang diterima secara universal dalam masyarakat.

Sebahagian ilmuwan mungkin cuba membataskan ruang lingkup ilmu kepada perkara-perkara yang boleh didapati melalui empirikal semata-mata. Maka, menurut mereka, perkara-perkara melibatkan ketuhanan (teologi), kerohanian dan metafizik bukanlah dibahaskan dalam bidang ilmu tetapi dalam bidang falsafah, sebagaimana menjadi amalan sebahagian ahli falsafah Yunani.

Perkembangan ini menyebabkan wujudnya dikotomi antara bidang ilmu dengan bidang falsafah. Bagi golongan empirisisme, ilmu atau sains hanyalah apa yang dapat dibuktikan melalui penilaian berteraskan kaedah saintifik atau kajian saintifik di makmal. Perkara-perkara yang tidak boleh didapati melalui pancaindera mahupun logik akal menurut mereka tidak bersifat ilmu pengetahuan kerana tidak dapat dibuktikan kebenarannya.

Dalam aliran lain yang menolak semangat dualisme antara kedua-dua perkara (alam musyahadah/ alam fizikal dengan alam ghaib/alam metafizikal), mereka berpegang teguh dengan nilai holistik dalam ilmu pengetahuan. Corak hidup dan pemikiran mereka diasaskan oleh ajaran agama yang mana secara tidak langsung menekankan konsep pedoman atau dan panduan ketuhanan.

Dalam ajaran Islam, Nabi Adam a.s. diutuskan oleh Allah s.w.t. ke muka bumi ini dengan risalah agama yang mengajar manusia tentang ilmu yang lengkap untuk kehidupan mereka. Ajaran agama yang berteraskan wahyu dari Tuhan bersifat holistik yang memainkan peranan yang sempurna dalam menjadi pedoman kepada manusia dalam segenap kehidupan mereka, samada dalam bidang kerohanian mahupun kebendaan.

Begitulah seterusnya para rasul yang lain yang meneruskan tradisi ilmu bersepadu di mana mereka sebagai guru-guru agama yang mengajar tentang ilmu-ilmu hubungan dengan Tuhan, dalam masa yang sama juga sebagai ahli-ahli akademik yang mengajar tentang ilmu-ilmu tentang alam dan kehidupan.

Ketika muncul masyarakat yang jauh daripada para rasul, maka, berkembang konsep-konsep karut dalam bidang metafizikal dan kerohanian sehingga muncul ajaran-ajaran palsu atas nama agama-agama. Bahkan, muncul juga ajaran-ajaran tentang ketuhanan yang bercanggah dengan konsep ketuhanan tauhid yang murni yang menjadi asas ajaran para rasul yang mulia.

Bagi masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran agama, maka, corak pemikiran dan hidup mereka berteraskan ajaran-ajaran keagamaan mereka. Selalunya, dalam ajaran-ajaran keagamaan yang tidak berteraskan panduan wahyu Allah s.w.t., maka, pengaruh dan dominasi autoriti golongan agamawan sangat kuat dalam masyarakat. Bertolak daripada inilah, berlakunya pelbagai penyelewengan atas nama keagamaan dalam sesetengah ajaran-ajaran agama.

Bagi masyarakat yang tidak mengamalkan ajaran agama, corak pemikiran dan hidup mereka mengikut akal dan hawa nafsu mereka. Sebahagian yang mempunyai etika yang lebih baik dalam kalangan mereka, mereka akan tunduk kepada nilai-nilai kemasyarakatan yang universal dan diterima pakai secara umum dalam masyarakat. Sebahagian yang lain pula akan melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki tanpa mematuhi kepada nilai-nilai universal dan undang-undang yang sedia ada dalam masyarakat.

Pertembungan Antara-Budaya

Lain bangsa, maka lainlah budaya dan cara pemikirannya. Ketika pelbagai masyarakat hidup berjauhan antara satu sama lain, maka, dialog intelektual dan kebudayaan tidak begitu ketara. Pengaruh sesuatu masyarakat ke dalam masyarakat yang lain tidak berlaku secara mudah kerana selalunya ianya hanya melibatkan peperangan dan penjajahan.

Sebagaimana setiap bangsa mempunyai keistimewaan tersendiri dari sudut budaya, begitu jugalah dari sudut penguasaan mereka terhadap ilmu pengetahuan. Sebagaimana dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. menggambarkan betapa bangsa-bangsa yang pelbagai mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai dan berbeza-beza terutamanya dari sudut pembinaan tempat tinggal mereka dan sebagainya. Tamadun Mesir Purba terkenal dengan perubatan sebagaimana tamadun Babilon terkenal dalam bidang geologi dan sebaainya. Begitu juga tamadun India terkenal dengan ilmu matematik dan astronomi sedangkan tamadun Cina Purba pula terkenal dalam bidang sains sosial dan politik.

Umat Islam dan Penguasaan Ilmu

Semangat penguasaan adalah suatu perkara yang dominan dalam ajaran Islam. Bahkan, Islam mementingkan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu yang boleh mendekatkan seseorang kepada Tuhan Maha Pencipta. Para ulama’ menegaskan bahawasanya, antara isyarat bahawa Isam mementingkan ilmu adalah pada wahyu pertama diturunkan iaitu surah al-‘Alaq, Allah s.w.t. memerintahkan agar Rasulullah SAW membaca. Perintah iqra’ (bacalah) itu bersifat umum kepada seluruh umat Islam secara tidak langsung, untuk banyak membaca sebagai sarana untuk menguasai ilmu pengetahuan.

Bahkan, ciri-ciri Islam sendiri ketik hadir adalah menolak corak hidup Jahiliyyah. Ini menunjukkan Islam bersifat keilmuan kerana hadirnya Islam dalam usaha untuk membasmi kejahilan atau Jahiliyyah, yang merupakan lawan bagi ilmu.

Dalam sebuah hadis ada menyebut bahawasanya, hikmah itu adalah barang ciciran orang yang beriman. Maka, di mana sahaja orang yang beriman mendapatinya, maka dia lebih berhak untuk memilikinya. Begitulah mafhum hadis tersebut.

Ini secara tidak langsung mencetuskan semangat penguasaan ilmu dalam masyarakat Islam, daripada bangsa-bangsa asing. Caranya adalah dengan mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa mereka. Antara galakan terawal dalam mempelajari bahasa asing adalah daripada Rasulullah SAW sendiri. Dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Saidina Zaid bin Thabit r.a. adalah salah seorang sahabat yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk mempelajari bahasa Suryani yang digunakan oleh bangsa Yahudi di tanah Arab.

Bahkan, sebahagian ilmuwan Yahudi yang memeluk Islam turut mempengaruhi perkembangan bahasa Suryani dalam masyarakat Islam di Madinah. Pada awalnya, interaksi antara bangsa Arab yang beragama Islam dengan bangsa Yahudi yang mana sebahagiannya telah memeluk Islam tetapi mempunyai pendidikan tentang kitab-kitab Judaisme yang lama, menyebabkan sebahagian umat Islam merujuk isi kandungan kitab-kitab tersebut terutamanya tentang kisah-kisah yang disebutkan di dalam al-Qur’an secara umum.

Sehinggakan, Rasulullah SAW menasihati para sahabat r.a. agar tidak terlalu mempercayai semua yang didapati daripada golongan Yahudi dalam masa yang sama tidak keras dalam mendustainya. Maka, sebahagian para sahabat r.a. merujuk sumber bangsa Yahudi (Isra’iliyyat) melalui ilmuwan mereka lalu menerima apa yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam sahaja. Antara tokoh ilmuwan Islam yang berbangsa Yahudi dalam kalangan para sahabat r.a. adalah Ka’ab al-Ahbar.

Ketika wilayah Islam terus berkembang, berlakunya interaksi antara budaya dan bangsa sehingga umat Islam mengenali pelbagai ilmu dari bangsa asing seperti bangsa Farsi dan Rom.

Sekurang-kurangnya, ada dua faktor utama yang membawa kepada perkembangan ilmu-ilmu bersifat rasional dalam masyarakat Islam iaitu.:-

Pertama: Proses Asimilasi.

Sejak wilayah di bawah jajahan Rom dan Parsi dikuasai oleh kerajaan Islam, maka, ilmu pengetahuan bangsa-bangsa asing mula masuk ke dalam masyarakat Islam. Antara pusat ilmu yang terkenal terutamanya oleh aliran Neo-Platonisme adalah seperti di Iskandariah (Mesir) dan di Syria. Ia adalah sebuah aliraan yang cuba menggabungkan antara falsafah Plato dan falsafah Aristotle. Aliran falsafah Neo-Platonisme berkembang pada awalnya dalam masyarakat Kristian terutamanya dalam gereja-gereja. Lalu, ajaran Kristianiti yang dikembangkan oleh pihak gereja mula dipengaruhi oleh falsafah-falsafah Yunani.

Kedua: Proses Penterjemahan

Pada peringkat awal, buku-buku Yunani diterjemahkan ke dalam bahasa Suryani. Kemudian, para ilmuwan Islam mula menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dengan bantuan para ilmuwan asing. Kegiatn penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab dipelopori oleh Khalid bin Yazid bin Mu’awiyyah (m: 86 H) pada zaman Bani Umayyah. Beliau membawa beberapa ilmuwan Rom dari Mesir termasuk Pendeta Maryanus yang akhirnya menetap di Istafan.

Pada Bani Abbasiyyah, kegiatan penterjemahan dipelopori oleh Abu Ja’far al-Mansur kemudian mencapai tahap kemuncaknya pada zaman al-Ma’mun. Antara buku-buku yang diterjemah adalah dalam bidang falsafah, metafizik, psikologi, etika dan sebagainya. Golongan Mu’tazilah dan ahli falsafah sehingga sebahagian mereka menyanjung tinggi ilmu falsafah Yunani.