5.29.2009

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Renungilah ke dalam Diri Sendiri Untuk Terus Memperbaiki Diri

Seseorang yang ingin menyempurnakan diri sendiri, setelah bertaubat dari segala dosa yang telah dilakukan, maka hendaklah dia sentiasa fokus melihat keaiban diri sendiri dan meninggalkan kesibukan melihat keaiban orang lain.

Manusia yang sentiasa mencari salah dan kelemahan orang lain sentiasa lalai daripada melihat keaiban diri sendiri. Ia bagai pepatah yang mengatakan: “kuman di seberang laut pun kelihatan, tetapi gajah di hadapan mata sendiri pula tidak kelihatan”.

Imam Hasan Al-Bashri r.a. pernah berkata:

“Berbahagialah orang yang sibuk melihat keaiban diri sendiri daripada sibuk melihat keaiban orang lain”.

Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.


Orang yang sentiasa fokus dalam melihat kelemahan diri, akan mudah melihat ruang kekurangan diri lalu berusaha untuk membaikinya kerana Allah s.w.t. dan dengan bantuanNya. Usaha melihat ke dalam diri sendiri ini juga dikenali sebagai muhasabah diri.

Muhasabah dari sudut bahasa bererti: memerhatikan dan memperhitungkan.

Muhasabah dari sudut syarak pula bererti: perasaan yang timbul dalam batin seseorang, yang mencela kejahatan nafsu dan perbuatan maksiat yang telah dilakukan, yang mana, dari perasaan tersebutlah, timbulnya rasa keinsafan.

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Orang yang sentiasa muhasabah dirinya, sentiasa berusaha untuk menjauhi dirinya daripada jalan-jalan yang membawa kepada kemaksiatan, dan sentiasa menyibukkan dirinya dengan ketaatan." [Haqo'iq 'ani At-Tasawwuf m/s 235]

Firman Allah s.w.t.:

Maksudnya: "…dan adalah keadaannya itu melewati batas.” (Surah Al-Kahfi: 28)

Imam Qotadah r.a. berkata berkenaan dengan ayat ini:

"Sesungguhnya, orang yang dimaksudkan di dalam ayat ini telah mensia-siakan dirinya dan merugikan dirinya. Dia menjaga harta-hartanya namun menggadaikan agamanya, akibat tidak muhasabah dirinya…" [Tibb Al-Qulub bagi Ibn Qayyim: m/s 85]

Telah berkata Imam Al-Hasan berkenaan dengan ayat ini: "Sesungguhnya, seseorang hamba itu, sentiasa dalam kebaikan, jika dalam dirinya ada seruan yang mencela dirinya, dan muhasabah diri merupakan sifat keutamaannya".

Firman Allah s.w.t. lagi:

Maksudnya: “Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang Telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)” (Surah Al-Hasyr: 18)

Maksud ayat tersebut ialah, Allah s.w.t. menyuruh kita memperhatikan setiap amalan yang dilakukan oleh kita, samada ianya suatu ketaatan ataupun suatu kemaksiatan bagi memastikan kebahagiaan di akhirat kelak.

Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: "Orang yang bijak ialah orang yang menghitung dirinya dan beramal untuk kehidupan setelah kematian…" (Hadith riwayat At-Tirmizi dan Ibn Majah).

Maksud perkataan "daana nafsahu" dalam hadith tersebut bererti, menghitung dan muhasabah diri.

Imam Az-Zarruq r.a. berkata:

"Kelalaian daripada muhasabah diri itu membawa kepada kerosakan diri. Gagal dalam memperhatikan nafsu diri, membawa kepada sikap redha terhadap keburukan nafsu tersebut." [Qawa'id At-tasawwuf m/s 75]

Sheikh Abdul Qadir Isa r.a. berkata:

"Sesungguhnya, muhasabah diri itu akan menyemai suatu rasa bertanggungjawab dalam diri seseorang, terhadap Allah s.w.t., makhluk-makhlukNya dan tanggungjawab terhadap dirinya sendiri untuk melaksanakan syariat Allah s.w.t.. Dengan muhasabah diri, seseorang dapat menghayati bahawa, dirinya tidak diciptakan secara sia-sia."

Jenis-jenis Muhasabah Diri

Muhasabah diri ada dua jenis iaitu, muhasabah sebelum beramal dan muhasabah setelah beramal.

Jenis Pertama: Muhasabah Diri Sebelum Melakukan Sesuatu

Maksudnya: Seseorang itu menghitung di permulaan amalannya, samada amalan tersebut perlu dilakukan ataupun perlu ditinggalkan. Jika amalan tersebut sesuatu yang diperlukan, maka lihatlah, adakah ia bersesuaian dengan syariat ataupun bertentangan. Sekiranya bertentangan dengan syariat, maka sewajarnya dia meninggalkan niatnya untuk melakukan perbuatan tersebut, selagimana tidak sampai tahap mudarat. Jika mudarat, maka boleh dilakukan sekadar ingin menolak kemudaratan.

Al-Hasan berkata:

"Allah s.w.t. merahmati seseorang yang berhenti sejenak sebelum melakukan sesuatu, lalu memperhatikan niatnya. Jika amalan itu ingin dilakukan, maka dia meneruskan amalannya. Adapun jika bukan kerana Allah s.w.t., maka dia meninggalkannya."

Seterusnya, jika dia pasti, niat perkara yang ingin dilakukannya itu kerana Allah s.w.t, dan perkara tersebut perlu dilakukannya, maka hendaklah dia pastikan, adakah dia mampu untuk melakukannya ataupun tidak. Jika dia tidak mampu lakukan kesorangan, maka tinggalkanlah dahulu perkara tersebut, ataupun meminta bantuan daripada orang lain.

Jika dia mampu melakukan perbuatan tersebut, maka dia perhatikan pula, adakah perbuatan itu lebih baik dilakukan atau lebih baik ditinggalkan daripada melakukannya.

Jika perbuatan itu lebih baik dilakukannya, daripada ditinggalkannnya, maka perhatikanlah, adakah faktor pendorong dia melakukan amalan tersebut, kerana mengharapkan keredhaan dan ganjaran daripada Allah s.w.t., ataupun kerana inginkan ganjaran duniawi dan ganjaran makhluk.

Jika faktor amalan tersebut kerana inginkan ganjaran makhluk, maka, baikilah niat, barulah meneruskan amalan tersebut. Jika faktor pendorong melakukan amalan tersebut kerana Allah s.w.t., maka teruskanlah melakukan perkara tersebut dengan meminta bantuan daripada Allah s.w.t, untuk kejayaan usaha tersebut, kerana seseorang hanya mampu melakukan sesuatu dengan izin Allah s.w.t..

Jenis Kedua: Muhasabah Setelah Melakukan Sesuatu:

Maksudnya, seseorang itu memperhitungkan amalan yang telah dilakukannya iaitu:

Pertama: Menilai semula, adakah amalan tersebut menepati seluruh hak-hak Allah s.w.t. dalam ketaatan.

Kedua: Memerhatikan semula, kemungkinan ada amalan yang sebenarnya, lebih patut ditinggalkan daripada ianya dilakukan, lalu berazam untuk tidak mengulangi kembali kesalahan tersebut.

Ketiga: Memerhatikan semula, niatnya dalam amalan tersebut. Jika kerana Allah s.w.t, maka hendaklah dia bersyukur kepada Allah s.w.t., kerana membantunya dalam ketaatan kepadaNya. Jika kerana makhluk atau kepentingan duniawi, maka hendaklah dia meminta ampun kepada Allah s.w.t. daripada dosa tersebut lalu berazam untuk tidak mengulanginya.

Kesimpulan

Muhasabah diri adalah antara akhlak yang mulia yang dapat membantu seseorang untuk terus menyempurnakan aspek kehambaan dirinya dalam mencapai keredhaan Allah s.w.t.. Lihatlah kepada diri sendiri, nescaya akan terzahir bahawasanya segala yang berlaku di sekelilingmu adalah untuk menyempurnakan kehambaanmu. Itulah interaksi Allah s.w.t. kepadamu melalui perbuatan-perbuatan dan ketentuanNya.

Semoga Allah s.w.t. berikan kepada kita kekuatan untuk merealisasikan makna muhasabah dalam diri kita agar kita dapat mencontohi Saidin Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam dalam perkataan, perbuatan dan hal hubungan hati Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dengan Allah s.w.t..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi althofiHi al-Khafiyyah

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah




Perkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.

Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.




Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.

Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)

Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:

“Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.

Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..

Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..

Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.

Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.

Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.

Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.

Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.

Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..

ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.

Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):

“Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…”

Allah…

Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.

Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.

Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:

“Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kita yang kamu sangka sekadar berdua”.

Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-

“…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)

Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy

1.17.2009

Seseorang Itu Mengikut Temannya



Seseorang Itu Mengikut Temannya

Peranan teman dan rakan adalah sangat penting dalam menentukan jenis seseorang itu. Rasulullah s.a.w. sentiasa mengingatkan hakikat ini dengan bersabda yang bermaksud:

"Seseorang itu mengikut agama temannya. Oleh yang demikian, hendaklah seseorang itu meneliti (memilih) sesiapa yang menjadi temannya". (Hadith Sahih)


Oleh yang demikian, seseorang yang inginkan sebuah kehidupan yang penuh bermakna, hendaklah mencari seorang teman yang dapat menyampaikan dirinya kepada sebuah makna kehidupan yang hakiki dan abadi.

Adapun bersahabat dengan golongan yang lalai daripada mengingati Allah s.w.t. dan lalai daripada menunaikan tanggungjawab kehambaan kepadaNya membawa kita kepada kelalaian jua. Hidup jika sekadar untuk kelalaian merupakan modal untuk mendapatkan kesengsaraan di akhirat kelak yang pasti datang.

Teman yang baik dan mengajak kita kepada Allah s.w.t. adalah teman yang akan bersama dengan kita di akhirat kelak dalam tautan persaudaraan kerana Allah s.w.t.. Adapun teman yang buruk dan sentiasa mengajak kita kepada kelalaian akan meninggalkan kita kesorangan dalam menghadapi kesusahan samada di dunia mahupun di akhirat kelak. Persahabatan tanpa dasar iman dan persaudaraan kerana Allah akan membawa kepada permusuhan dan penyesalan.

Rasulullah s.a.w. juga menjadi teman dan sahabat yang paling berperanan dalam membentuk peribadi para sahabat r.a. yang bersama-sama dengannya. Ini kerana, Rasulullah s.a.w. bukan sahaja berakhlak dengan akhlak yang terpuji, dalam masa yang sama menyebarkan praktik akhlak terpuji tersebut kepada para sahabat Baginda di sekeliling Baginda s.a.w., dengan perkataan mahupun contoh perbuatan terutamanya.

Para sahabat r.a. yang sebelum itu tidak pernah mengenal realiti akhlak mulia kerana hidup dalam penuh warna kejahilan, setelahmana memeluk Islam dan ditarbiah di bawah bimbingan Rasulullah s.a.w., maka mereka mula mengenal suatu realiti yang lebih membahagiakan mereka, iaitulah sebuah kehidupan bermasyarakat yang dibina atas dasar keimanan dan kemurnian, sebuah konsep kehidupan yang jelas dan sempurna serta sebuah kehidupan yang abadi setelah kematian.

Mereka mula menghayati suatu peribadi yang tidak pernah mereka miliki sebelum kedatangan Islam, setalah mereka mula mencontohi akhlak Rasulullah s.a.w., lalu menterjemahkan perbuatan dan sabda Rasulullah s.a.w. dalam kehidupan mereka, barulah akhirnya mereka menemui kemuncak kebaikan dan kebahagiaan di dunia, iaitulah dengan menjalani kehidupan sebagai hamba Allah dengan menunaikan tugas kehambaan kepadaNya.




1.15.2009

Perkembangan Ilmu Pengetahuan: Ke Arah Menolak Cengkaman Sekularisme


Perkembangan Ilmu Sains: Dari Timur Ke Barat

Tamadun Islam awal melahirkan ramai ulama' dan ilmuan dalam segenap bidang ilmu pengetahuan. Ini kerana, agama Islam menyeru ke arah kesepaduan ilmu dengan tidak membezakan antara ilmu keagamaan dan keduniaan melainkan dalam bentuk peringkat-peringkat keutamaan semata-mata. Oleh kerana itu, cabang ilmu duniawi seperti ilmu Matematik, ilmu Sains, ilmu Astronomi, dan sebagainya merupakan ilmu yang wajib dipelajari oleh sesetengah individu dalam kalangan umat Islam.

Ilmu tersebut dikenali sebagai ilmu fardhu kifayah di mana jika tiada dalam kalangan umat Islam yang mempelajarinya, maka seluruh umat Islam akan dipertanggungjawabkan oleh Allah s.w.t. kerana tidak mempelajarinya. Oleh yang demikian, atas semangat menyahut seruan agama Islam ke arah kepentingan mempelajari ilmu fardhu kifayah, maka para ulama' Islam yang mempunyai asas dalam ilmu agama turut mendalami cabang ilmu yang lain seperti ilmu Sains, Astronomi, Matematik dan sebagainya.

Tradisi Ilmu dalam Islam secara bersepadu turut digambarkan dalam sunnah Rasulullah s.a.w. di mana ianya mengandungi unsur-unsur saintifik yang dapat disingkap pada zaman ini. Begitu juga dengan kitab suci Al-Qur'an yang mengandungi pelbagai saranan ke arah mengkaji alam ini dalam rangka untuk mengembangkan ilmu-ilmu keduniaan.


Ia juga kembali kepada fungsi utama manusia di dalam muka bumi ini iaitu untuk menjadi khalifah Allah dalam memakmurkan bumi ini sebaiknya, dalam konteks merealisasikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t..

Antara nilai terpenting dalam tradisi ilmu umat Islam bersifat holistik di mana ilmu pengetahuan berkembang sejajar dengan perkembangan bidang keagamaan. Tokoh-tokoh ilmuan dan akedemik juga dalam masa yang sama merupakan tokoh agama yang mempunyai ilmu agama yang mendalam.

Antara ulama' terawal yang terkenal dalam mengembangkan ilmu pengetahuan adalah Ibn Sina (370 H). Beliau adalah seorang tokoh yang mahir dalam ilmu agama dalam masa yang sama juga sangat mahir dalam bidang kedoktoran dan falsafah sehingga menjadi rujukan ilmuan Barat sehingga hari ini.

Kemudian, seorang tokoh yang agung bergelar Hujjatul Islam, iaitulah Abu Hamid Muhamad bin Muhammad Al-Ghazali r.a. (45-505 H), turut berperanan besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan dalam banyak bidang. Beliau seorang ulama' Islam yang agung, terkenal keilmuannya dalam bidang aqidah Islam, fiqh Islam dan tasawwuf Islam, dalam masa yang sama juga terkenal keilmuannya dalam bidang falsafah, Sains dan Matematik.

Di samping kedua ilmuan tersebut, rama lagi para ilmuan Islam yang terlibat dalam mengembangkan ilmu pengetahuan seperti Al-Biruni (973-1408M) yang mengembangkan ilmu Astronomi, Al-Farabi (870-950M) yang mengembangkan ilmu Falsafah dan Sains, , Ibn Hayyan (721-815M) yang berperanan dalam mengkaji ilmu Kimia dan sebagainya serta Al-Khawarizmi (770-840M) yang sangat berperanan dalam mengembangkan ilmu Matematik.

Sifat ilmu pengetahuan dalam tradisi Islam bersifat bersepadu, antara wahyu dan akal. Sehinggakan, hujah kebenaran aqidah Islam dapat disusun secara logik berdasarkan sumber Al-Qur'an dan As-Sunnah, yang dikembangkan oleh para ulama' Islam dari kalangan Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah. Para ilmuan bukan Islam turut tidak mampu mematahkan hujah logik dalam bab ketuhanan agama Islam yang disusun oleh para ulama' Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah yang merupakan golongan ahlus-sunnah wal jamaah.

Adapun masyarakat Barat, mereka bermula dengan mengembangkan ilmu pengetahuan secara terpisah daripada aspek aqidah dan ketuhanan. Bagi para ahli falsafah Greek pada ketika itu, ilmu falsafah adalah alternatif bagi menyaingi pengaruh golongan agamawan yang menjaja fahaman karut atas nama keagamaan. Akhirnya, para ahli falsafah Greek seolah-olah memulakan agenda Sekularisme itu sendiri.

Bermula dari Socrates, kemudian diteruskan oleh Plato dengan falsafah Idealismenya (falsafah ini cuba diketengahkan oleh Saudara Harun Yahya yang pada hakikatnya bercanggah dengan aqidah Islam yang murni), seterusnya dimajukan oleh muridnya iaitulah Aristotle, tradisi ilmu bagi ahli falsafah Greek hanyalah semata-mata bergantung kepada akal tanpa suluhan daripada wahyu dari Tuhan.

Ini menyebabkan timbulnya falsafah-falsafah yang saling bercanggahan khususnya dalam membicarakan tentang bab hakikat ketuhanan dan hakikat kehidupan.

Namun dari suatu sudut yang berbeza, Aristotle mempunyai sumbangan dalam perkembangan ilmu pengetahuan kerana berjaya menyusun ilmu Mantik (Logik) secara asasnya.

Sejak Rom mengambil alih pemerintahan dunia Barat khususnya, ilmu pengetahuan berkembang secara perlahan. Berlaku pertembungan antara golongan ilmuan yang tidak mengamalkan amalan keagamaan dengan golongan Yahudi yang bernaung di bawah pemerintahan Rom, yang mengamalkan amalan keagamaan namun tidak terlibat dalam urusan mengembangkan ilmu pengetahuan.

Pada tahun 313 M, perkembangan ilmu pengetahuan di Barat semakin terbantut kerana berlakunya konflik mengenai ketuhanan Nabi Isa oleh pihak gereja.

Sepanjang zaman Pertengahan di Eropah, yang dikatakan bermula sejak kejatuhan Rom Barat pada tahun 476 M hingga kejatuhan Constantinople pada tahun 1453 di tangan Turki Uthmaniyah, dunia Barat terus mengalami zaman kegelapan (Dark Ages) dalam segenap segi. Ketika itulah bangsa Yahudi memperluaskan kekuasaan ekonomi mereka di tengah-tengah masyarakat Barat yang serba jahil.

Namun, pada permulaan era “Kecerahan” (Enligtenment), masyarakat Barat mula mempelajari ilmu-ilmu keduniaan. Walaupun pada mulanya mendapat tentangan yang hebat dari golongan agama (gereja), namun, akhirnya, ilmu pengetahuan meresap ke dalam masyarakat Barat. Ilmu pengetahuan tersebut diambil dari dunia Islam.

Oleh kerana ilmu pengetahuan tersebut diambil dari dunia Islam, maka, ilmu pengetahuan tersebut bersifat bersepadu dengan agama. Ini kerana, matlamat akhir dari ilmu pengetahuan dalam konsep Islam ialah, mengenal dan mengakui kewujudan Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang Maha Pencipta.

Dalam tradisi Islam, setiap ilmu pengetahuan yang dipelajari oleh manusia akhirnya membawa mereka kepada ma’rifatullah (mengenal Allah s.w.t.). Contohnya, kecekapan dan kesempurnaan sistem cakerawala menunjukkan ada suatu kuasa yang mentadbir alam ini dengan sempurna. Ini kerana, alam yang sistemetik ini mustahil terjadi dengan sendirinya. Ini kerana, kebetulan tidak dapat mencipta sesuatu yang sistemetik. Ini akhirnya membawa kepada merasai kewujudan Allah s.w.t. sebagai Tuhan yang mentadbir akan seluruh alam yang serba teratur ini.

Namun, setelah berlaku pelbagai reformasi dan revolusi di negara-negara Barat, seperti di Jerman, Spanyol, Itali dan England, para intelektual Barat mula melancarkan gerakan Sekulrisasi Ilmu Pengetahuan (Secularization of Knowladge). Hakikatnya, di sebalik setiap reformasi dan revolusi di Barat, di dalangi oleh tokoh-tokoh Yahudi. Mereka mula menyusun agenda untuk memisahkan ilmu pengetahuan dari agama dan ketuhanan.

Tujuan para ilmuan Barat cuba memisahkan ilmu pengetahuan daripada bidang agama dan ketuhanan kerana mereka tersiksa dengan pengaruh golongan gereja yang mengongkong golongan ilmuan daripada melakukan penyelidikan ilmiah, kerana dengan berkembangnya ilmu pengetahuan, segala ajaran dongengan pihak gereja akan terdedah. Dalam erti kata yang lain, secara falsafahnya, pergolakkan yang berlaku diantara ilmu pengetahuan dan agama Barat (agama Kristian) adalah kerana ilmu pengetahuan yang dipegang oleh umat Kristian yang didominasi oleh para paderi diambil dari pengetahuan Yunani.

Contoh yang paling ketara ialah dalam bidang astronomi. Di mana, tokoh-tokoh agama Kristian berpegang kepada pandangan Aristotle dan Ptolemy di mana bumi merupakan pusat cakerawala (geosentrik). (Dr. Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, hlmn 30)

Dalam masa itu, muncul di Poland, seorang ahli astronomi yang masyhur iaitu Copernicus (1473-1543 M), yang menggugat teori geosentrik yang di pegang oleh masyarakat Kristian dan doktrin agama Kristian itu sendiri. Copernicus memperkenalkan teori heliosentrik yang menegaskan bahawa matahari merupakan pusat cakerawala. Pada hakikatnya, fakta tersebut telahpun dikemukakan oleh Al-Biruni sebelum Copernicus memperkenalkannya. (ibid)

Dalam rasionalisme dan sekularisme alam misalnya, revolusi Copernicus dalam bidang fizik menjadi kemuncaknya, di mana desentralisasi bumi di cakerawala menibulkan anjakan paradigma masyarakat Barat. (Syed Muhammad Al-Naquib Al-Attas, Islam dan Sekularisme, Penerbit Pustaka, Bandung 1981, hlmn 47)

Fakta ini semakin menggugat institusi gereja Kristian apabila muncul setelah itu, seorang ahli astronomi dan metametik iaitu Galio Galilie (1564-1642 M), yang membuktikan bahawa mataharilah yang menjadi pusat cakerawala, sesuai dengan pandagan Al-Biruni dan Copernicus. (ibid)

Selain itu, muncul juga ahli-ahli falsafah yang mencabar doktrin-doktrin agama Kristian. Di antaranya adalah Francis Becon (1561-1626) dan Renes Descartes (1596-1650). Becon menekankan pembangunan tamadun sesuatu bangsa dengan berteraskan kemajuan sains semata-mata, yang cuba dihalang oleh ahli agama Kristian pada masa itu. (ibid/31)

Descartes pula, yang digelar sebagai bapa falsafah moden dunia Barat, terkenal dengan falsafah keraguannya yang akhirnya melahirkan anjakan paradigma di kalangan masyarakat Kristian Barat. Descartes dikatakan mengambil falsafah keraguan tersebut dari Imam Al-Ghazali r.h.l.. (ibid)

Isaac Newton juga, disebalik kemasyhurannya dalam bidang optik dan matematik, telah membuka pintu keluar dari konsep keagamaan dengan falsafah naturalismenya yang mendakwa bahawa, Tuhan hanyalah pencipta pertama alam semesta dan membiarkan alam semesta bergerak sendiri tanpa campur tangan Tuhan lagi.

Bertolak daripada itulah, para ilmuan Barat berusaha memisahkan bidang ilmu pengetahuan daripada cengkaman pihak gereja lalu berusaha dengan pelbagai cara untuk memastikan mereka terasing daripada pengaruh pihak gereja Kristian pada ketika itu. Maka timbullah pelbagai pergerakan yang berusaha untuk melenyapkan pengaruh dan peranan agama dalam kehidupan.

Ideologi asas yang menjadi nadi pergerakan mereka adalah fahaman Sekularisme. Dari ideologi Sekularisme inilah, akhirnya, melahirkan ideologi-ideologi yang bersifat anti-agama seperti Materialisme, Rasionalisme, Pragmatisme, Marxisme, Komunisme, Humanisme, dan sebagainya.

Hal tersebut berlaku sejajar dengan gerakan Renaissance (dilahirkan) pada abad ke-15 di Itali. Ia didalangi oleh tokoh-tokoh Yahudi seperti Leonardo da Vinci. Kemudian berlaku Gerakan Reformasi dapa abad ke 16 yang melahirkan mazhab Protestant di dalam agama Kristian yang juga di dalangi oleh orang-orang Yahudi seperti Martin Luther (1483-1546) dan John Calvin (1509-1564) (Dr Abdul Rahman, Tradisi Falsafah Ilmu, hlmn 29)

Setelah itu, dari abad ke-17 sehingga abad ke-19, berlakunya zaman kecerahan (Enlightenment) dunia Barat. (Syed Muhammad Al-Naquib, op cit, 48)

Perkembangan Ilmu Pengetahuan di Zaman Moden

Apa yang jelas, orang-orang Yahudilah yang menjadi dalang bagi merosakkan sesebuah tamadun manusia. Mereka telahpun berjaya menjatuhkan peranan dan pengaruh gereja Kristian dalam tamadun Barat. Kini, setelah kejatuhan Kerajaan Islam Uthmaniyyah di Turki, tamadun Barat menjadi sumber rujukan utama bagi ilmu pengetahuan. Padahal, ilmu pengetahuan yang mereka kembangkan adalah milik umat Islam suatu ketika dahulu.

Kerajaan Islam Uthmaniyyah yang merupakan benteng terakhir bagi tradisi pengembangan ilmu pengetahuan bagi umat Islam iaitu secara bersepadu sudahpun musnah. Akhirnya, tamadun Barat menjaja ilmu pengetahuan versi mereka dalam pelbagai bidang keduniaan.

Nilai ilmu pengetahuan yang mereka jaja adalah bersifat Sekular, iaitu menjauhkan seseorang daripada keimanan kepada Tuhan, sedangkan nilai ilmu agama yang menjadi tradisi Islam adalah mendekatkan seseorang kepada keimanan kepada Allah s.w.t..

Disebalik berlakunya pertembungan ilmu pengetahuan dengan agama, di dunia Barat, berlakunya proses sekularisasi secara tidak langsung. Ianya bukanlah suatu yang kebetulan, tetapi sebaliknya telahpun dirancang oleh golongan Yahudi. (Dr. Abdul Rahman: 34)

Diantara organisasi-organisasi Yahudi yang terlibat dalam agenda Sekularisasi Ilmu adalah, The Rosicrucian, The Royal Society of London, Freemason dan Illmuminati. Organisasi-organisasi tersebut memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan agenda Sekularisasi Ilmu Pengetahuan.

Diantara yang terkemuka ialah Kumpulan Rosy Cross yang bergerak secara rahsia sebagai “Invisible College” (Kolej Lutsinar). Diantara anggotanya yang terkemuka adalah Francis Becon dan Isaac Newton, yang telah banyak menyumbang dalam proses Sekularisasi Ilmu Pengetahuan. (ibid).

Sehingga hari ini, ilmu-ilmu keduniaan penuh dengan keraguan walaupun mereka menamakanya sebagai fakta. Falsafah Darwinisme, teori Evolusi dan sebagainya sangat kuat menunjang dalam ilmu Sains di Barat, bahkan turut disebarkan secara meluas samada dalam bentuk filem-filem mahupun dalam sistem pembelajaran.

Mungkin ramai orang tidak memahami falsafah-falsafah di sebalik sebahagian filem-filem dari Barat. Ada sebahagiannya cuba mempromosikan fahaman Darwinisme dan teori Evolusi seperti dalam filem x-men, spider-man dan sebagainya yang menerapkan nilai-nilai evolusi yang membawa kepada kesempurnaan dari kecacatan DNA yang berlaku. Ini bagi membela teori evolusi yang kononnya manusia suatu ketika dahulu berasal dari beruk, namun setelah berlakunya kecacatan DNA, ia mengalami evolusi ke arah makhluk yang lebih sempurna iaitulah manusia.

Malangnya, atas nama hiburan, muncul juga filem versi menyokong evolusi Darwin seperti filem Cicak-Man samada ianya kerana kejahilan terhadap nilai filem-filem tersebut ataupun sebaliknya.

Begitu juga dengan filem-filem yang lain yang membawa kepada nilai anti-agama yang cukup banyak dalam pasaran dunia hiburan yang dibawa daripada dunia Barat.

Lebih malang lagi, saluran-saluran television dari Barat yang sepatutnya mengajarkan ilmu Sains secara fakta turut mempromosikan idea Darwinisme dan teori evolusi ini. Ini sungguh merosakkan nilai-nilai keagamaan terutamanya dalam kalangan umat Islam.

Kebangkitan Umat Islam dalam Menghadapi Ancaman Sekularisme

Tidak dinafikan, ramai dari kalangan tokoh-tokoh ilmuan Islam yang bangkit untuk melawan arus Sekularisme ini. Ada dalam kalangan ulama' Islam yang menyeru ke arah tradisi ilmu yang bersepadu kerana ianya merupakan nadi kebangkitan semula umat Islam melalui kemajuan ilmu pengetahuan.

Ada juga dari kalangan ilmuan Islam menyeru ke arah agenda Islamisasi Ilmu Pengetahuan, samada ianya versi Dr. Syed Muhammad An-Naquib Al-Attas (dan ISTAC) mahupun versi Dr. Ismail Raji Al-Faruqi.

Dalam lapangan yang lain, ilmu tafsir ilmi (tafsir secara saintifik) muncul secara pesat yang dipopularkan oleh Dr. Zaghlul (dari Mesir), Dr. Zakir Naik dalam dakwah-dakwahnya, serta ahli falsafah Islam terkini, Adnan Octar atau Harun Yahya.

Namun, sejauh mana keberkesanan kebangkitan umat Islam dalam menghadapi ancaman Sekularisme ini, sedangkan fahaman Sekularisme itu sendiri sudah mendasari metodologi pembelajaran dalam universiti-universiti? Bermula dengan agenda pemansuhan sistem talaqqi bersanad, sehinggalah kelemahan bidang tarbiah ruhiyyah (penyucian jiwa) dalam kampus-kampus moden ini, maka usaha untuk melawan arus Sekularisme memang suatu yang sukar dilaksanakan kerana tradisi pembelajaran Islam sudah semakin dipinggirkan.

Sistem talaqqi secara bersanad hanya dapat dikesan kewujudannya dalam sistem pengajian pondok (di Nusantara), ribat-ribat (di dunia Arab) dan di masjid-masjid semata-mata. Ianya suatu yang amat mengancam keutuhan jati diri umat Islam itu sendiri, sehingga bukan sahaja dari sudut politik, Barat menjadi kiblat mereka, tetapi dari sudut pembelajaran dan pendidikan juga, Barat menjadi guru mereka.

Para ilmuan Islam dalam pelbagai lapangan dan bidang ilmu pengetahuan duniawi perlulah menanamkan semangat Islami yang asal dalam diri mereka, iaitu dia mempelajari ilmu pengetahuan kerana ianya merupakan tanggungjawab yang Allah s.w.t. berikan ke atasnya, bukan semata-mata kerana ingin mendapatkan segulung sijil.

Bahkan, mereka juga perlu berani mencabar kajian-kajian Barat kerana para ilmuan Barat melakukan kajian mereka secara cacat iaitu semata-mata bergantung kepada akal, tanpa berdasarkan suluhan wahyu daripada Allah s.w.t., sedangkan kita selaku umat Islam mempunyai aspek wahyu sebagai sumber ilmu dan perkembangan akal kita. Ilmu yang diambil daripada Barat sebenarnya bukanlah suatu yang boleh diterima secara mentah-mentah tetapi perlulah dinilai semula dengan kajian berdasarkan tradisi Islam zaman lampau.

Kata guru saya, agenda Islamisasi Ilmu Pengetahuan atau apapun namanya, bukan sekadar menempelkan ilmu pengetahuan yang diambil daripada Barat secara mentah-mentah kepada nas-nas Al-Qur'an, As-Sunnah dan nas keagamaan, tetapi melakukan kajian semula bagi menilai kebenaran maklumat-maklumat yang disampaikan oleh Barat kepada kita dengan berpandukan intipati ajaran Al-Qur'an dan As-Sunnah. Ini kerana, dalam ilmu Sains di Barat sendiri, perkembangan ilmu tersebut berkembang secara waham, yang mana kadang-kala yang dikatakan fakta itu pada hakikatnya bukanlah suatu fakta.

Kita yakin bahawasanya musuh-musuh Islam sentiasa memusuhi umat Islam dan tidak pernah redha dengan umat Islam, lalu mengapakah tidak timbul keraguan di hati kita tentang maklumat-maklumat yang disampaikan oleh barat kepada dunia Islam? Dalam agenda musuh-musuh Islam daripada Barat dalam memusuhi Islam secara menyebarkan falsafah-falsafah yang menyesatkan, tidak mustahil juga mereka memusuhi Islam secara menyebarkan maklumat-maklumat yang bercanggah dengan realiti.

Bahkan, antara agenda buruk Barat adalah dengan menggalakkan mereka yang tidak mempunyai keahlian dan ilmu yang mendalam dalam bidang agama untuk bercakap tentang agama. Ini suatu gejala yang sangat merosakkan umat Islam itu sendiri. Ini natijah daripada terpinggirnya tradisi proses pembelajaran secara bertalaqqi dan bersanad. Akhirnya, semua orang berkata apa sahaja yang ingin dikatakannya.

Umat Islam perlulah peka dalam memartabatkan semula tamadun Islam dengan memastikan kepompong Sekularisme dipecahkan daripada terus mencengkam tradisi ilmu dalam umat Islam.

Semoga Allah s.w.t. menjaga umat Islam dan terus membela umat Islam daripada ancaman para musuh Islam. Amin…

Wallahu a'lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhari

'AmalahuLlahu bi AltofiHi Al-Khofiyyah



Resepi Kelazatan Iman...

Sejenak jika diperhatikan, dalam segenap hembusan nafas yang dihiasi dengan zikir kepada Tuhan, pasti akan dapatkan kepastian, bahawasanya DIALAH TUHAN yang Maha Menciptakan. Dalam setiap ingatan dan ucapan puji-pujian, kepada Dia yang sentiasa mencurahkan segala kenikmatan, pasti dapat kita rasai nikmat kemanisan iman, seperti yang disabdakan oleh Nabi Junjungan s.a.w., Muhammad penghulu dari Bani Adnan.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:

Tiga perkara di mana sesiapa mempunyainya, maka dengannya (tiga perkara tersebut) dia akan merasai kemanisan iman.

(Pertama): seseorang itu menjadikan ALLAH dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya,

(Kedua): tidak mencintai seseorang melainkan keranaNya

(Ketiga): dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka.
"

Kemanisan iman itu pada keterikatan hati denganNya, tanpa sebarang pengkhianatan terhadap cintaNya kepada kita. Iaitu, seseorang itu menjadikan ALLAH dan RasulNya sebagai yang paling dicintainya, tidak mencintai selainNya melainkan keranaNya dan membenci untuk kembali kekufuran sepertimana dia tidak suka untuk dicampakkan ke dalam neraka. Hadith ini merupakan hadith sahih (diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim). Terkandung di dalamnya banyak rahsia kebahagiaan dan kecintaan.



Kemanisan Iman

Seseorang yang dalam keadaan sakit, demam dan sebagainya, pasti terkadang akan melalui suatu keadaan di mana dia tidak lalu untuk makan dan minum, biarpun hidangan di hadapannya adalah hidangan kegemarannya, daripada sebuah restoran lima bintang. Dia tidak lalu makan dan minum bukan kerana ketiadaan kelazatan daripada makanan tersebut, kerana orang lain dapat menikmatinya, bahkan, ianya merupakan hidangan yang dihidang daripada sebuah restoran lima bintang yang diakui kelazatan masakannya.

Di mana punca orang sakit itu tidak dapat menikmati kelazatan makanan tersebut? Ia berpunca daripada kelemahan dan masalah deria rasanya yang disebabkan oleh sakit dalam dirinya sendiri. Maka, sakit yang dalam dirinya, menjadi punca menyebabkan dia terhijab daripada kelazatan makanan yang sudah sememangnya lazat tersebut.

Begitu juga halnya dengan iman, dalam bahasa kiasan. Iman merupakan sesuatu yang terkandung di dalamnya penuh kenikmatan dan kelazatan serta kemanisan. Iman ialah, suatu keyakinan yang kukuh dalam hati, tentang apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w., yang mana, amalan adalah buah atau tanda keimanan tersebut.

Dalam hal ini, Rasulullah s.a.w. bersabda dalam hadith Jibril yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari jalan Saidina Umar r.a maksudnya:

Telah berkata pemuda tersebut (iaitu Jibril): "Maka khabarkan kepadaku tentang iman".

Rasulullah s.a.w. menjawab: " (Iman itu) ialah kamu beriman kepada Allah, malaikat, kitab-kitab, Rasul-rasul, Hari Akhirat dan beriman pula dengan ketentuanNya baik dan buruk…" (hadith riwayat Imam Muslim).

Di sebalik setiap keimanan tersebut, terkandung lautan kemanisan dan kelazatan yang hanya dikecapi oleh mereka yang mempunyai "deria" yang cukup sihat untuk merasainya. "Deria" tersebut ialah hati yang sihat (salim).

Seseorang yang terhijab dengan nafsunya, terhijab dengan dunia dan ternoda hatinya dengan noda-noda maksiat, maka hatinya yang sakit tersebut tidak dapat mengecapi kemanisan keimanannya kepada Allah s.w.t..

Oleh kerana itulah, ramai orang yang mengakui mempercayai Allah dan Rasulullah s.a.w., namun masih gagal mengecapi kemanisan daripada keimanan mereka. Akhiranya, ada yang merungut dalam kehidupan ini, ada yang putus asa, ada yang menzahirkan rasa tidak menghayati "rasa kewujudan Tuhan" dan sebagainya.

Ini lahir daripada hati mereka yang tidak dapat mengecapi kemanisan iman mereka sendiri. Antara kemanisan-kemanisan iman adalah, seseorang terasa diri diawasi oleh Allah s.w.t., terasa Allah s.w.t. sentiasa bersamaNya, rasa kewujudan dan kehadiran Allah s.w.t. dalam hidupnya, rasa kasih sayang Allah s.w.t. dalam setiap ketentuanNya, faham kehidupan ini dengan makna yang sempurna dan luas, faham syariat ini dengan makna yang tinggi, faham kehambaan diri yang sebenar dan sebagainya. Itulah antara kemanisan iman yang mana, jika hati seseorang tidak bersih daripada hijab-hijab makhluk, kebendaan, dan tidak sembuh daripada penyakit maksiat yang berterusan, maka ia tidak dapat mengecapinya (kemanisan iman tersebut).

Tanpa kemanisan iman, seseorang tidak mampu berinteraksi dengan dirinya secara jujur dan tulus, kerana menilai dirinya selain daripada apa yang ditentukan oleh Allah s.w.t. ke atasnya (iaitu nilai kehambaan), tidak mampu berinteraksi dengan kehidupannya sendiri secara luas dan lapang, kerana dicengkam belenggu kebendaan yang menyempitkan, dan tidak mampu berinteraksi dengan Allah s.w.t. melalui kehidupan, kerana dihijab oleh makhluk dan nafsu dirinya sendiri daripada Allah s.w.t..

Tanpa kemanisan iman, seseorang itu akan terus hidup dalam kebingungan, mencari bahagia palsu yang pada hakikatnya sebuah kecelakaan dan terus menderita dalam cuba mengenali erti kehidupan.

ALLAH dan RasulNya: Kekasih-kekasih Teragung

Rasulullah s.a.w. ialah utusan Allah s.w.t. kepada seluruh manusia. Oleh yang demikian, Rasulullah s.a.w. ialah jalan bagi manusia untuk sampai kepada Allah s.w.t., iaitu melalui ketaatan kepada Baginda s.a.w.. Ketaatan kepada Baginda s.a.w. justeru merupakan ketaatan kepada Allah s.w.t., demikian yang dijelaskan dalam pelbagai ayat Al-Qur'an.

Kita mencintai Rasulullah s.a.w. kerana mengikut perintah Allah s.w.t. yang menyuruh kita mencintai Rasulullah s.a.w., bahkan melebihkan Rasulullah s.a.w. dalam cinta kita, berbanding makhluk yang lain. Kita mencintai Rasulullah s.a.w. kerana kita mencontohi Allah s.w.t. yang turut mencintai Rasulullah s.a.w. dan menjadikan Rasulullah s.a.w. sebagai KekasihNya yang teragung. Jadi, kita perlulah juga mencintai Rasulullah s.a.w. sebagai kekasih kita yang teragung selepas Allah s.w.t., kerana Allah s.w.t. menjadikan Baginda s.a.w. sebagai KekasihNya yang teragung.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

أحبوا الله لما يغذوكم به من نعمه وأحبوني لحب الله إياي

"Cintailah Allah s.w.t. kerana Dia telah mengurniakan kepadamu dengan kehendakNya, akan nikmat-nikmatNya, dan cintailah daku dengan sebab Allah s.w.t. mencintai daku" (Hadith riwayat At-Tirmizi)

Oleh yang demikian, cinta kita kepada Allah s.w.t. adalah cinta yang paling tinggi kerana Dia telah menganugerahkan kepada kita pelbagai nikmatNya, termasuklah perasaan cinta kita itu sendiri, dan sebagainya. Kalau bukan Allah s.w.t. yang menciptakan ibu dan ayah kita, maka kita tidak akan dapat pernah mencintai mereka. Kalau bukan Allah s.w.t. yang menciptakan isteri atau suami kita, maka kita tidak akan dapat mencintai mereka. Kalau bukan Allah s.w.t. menciptakan diri kita, kita tidak akan dapat mencintai diri kita sama sekali. Kalau bukan Allah s.w.t. yang menciptakan perasaan cinta kita, kita tidak akan dapat sama sekali mencintai apa yang kita cintai selama ini.

Dialah di sebalik cinta kita. Oleh itu, cintailah Dia melebihi segala-galanya, kerana tanpaNya, siapalah kita dan dari mana cinta kita datang?

Cintailah Rasulullah s.a.w. sebagai yang paling tinggi dari kalangan makhluk-makhlukNya. Ini kerana, Allah s.w.t. juga mencintai Rasulullah s.a.w. melebihi makhluk-makhlukNya yang lain. Tidak sempurna iman seseorang jika tidak menjadikan Rasulullah s.a.w. lebih dicintai daripada dirinya sendiri dan lebih daripada makhluk-makhluk yang lain (hadith sahih). Kalau tanpa menjadikan Baginda s.a.w. sebagai paling dicintai dari kalangan makhlukNya pun membawa kepada "tidak sempurna iman seseorang", maka bagaimana dia dapat mengecapi kemanisan iman, sedangkan imannya tidak sempurna?

Cinta Allah s.w.t. dan cinta Rasul s.a.w. merupakan saling berkait rapat. Seseorang yang mencintai Allah s.w.t. tanpa mencintai Rasulullah s.a.w. bererti imannya telah kurang dan tidak diterima cintanya oleh Allah s.w.t.. Barangsiapa yang mencintai Rasulullah s.a.w. tanpa mencintai Allah s.w.t., maka cintanya juga tidak bermakna dan tidak membawa manfaat kepada dirinya sendiri. Adapun sesiapa yang mencintai kedua-duanya, dan menjadikan kedua-duanya merupakan cinta paling tinggi dalam hatinya, maka dialah orang yang mendapat kemanisan iman. Hakikatnya, Allah s.w.t. mencintai apa yang dicintai oleh Rasulullah s.a.w. dengan kehendakNya, dan Rasulullah s.a.w. juga mencintai apa yang dicintai oleh Allah s.w.t. dengan ketentuanNya juga.

Ukuran cinta adalah pada ketaatan. Seseorang yang sangat mencintai Allah s.w.t. dan Rasulullah s.a.w. pasti akan mentaati kedua-duanya. Seseorang yang mengutamakan kedua-duanya dalam kecintaan, pasti mengutamakan kedua-duanya dalam ketaatan.

Mencintai Makhluk hanya Kerana Allah

Inilah ukuran seseorang yang sememangnya mencintai Allah s.w.t., iaitu tidak mencintai selain Allah s.w.t. melainkan hanya kerana Allah s.w.t., begitu jugalah cintanya kepada Rasulullah s.a.w., iaitu kerana Allah s.w.t..

Sesiapa yang mencintai selain Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t., maka cintanya pada sesama makhluk adalah denganNya (dengan bantuanNya). Sesiapa yang mencintai selain Allah s.w.t. kerana selain Allah s.w.t., maka cintanya pada sesama makhluk adalah adalah dengan nafsu dirinya sendiri, yang membuatkan dirinya semakin jauh daripada Tuhannya, dan membuatkan hatinya semakin sakit dengan penyakit kelalaian daripada mengingatiNya.

Dua orang yang saling mengasihi kerana Allah s.w.t. akan dinaungi oleh Allah s.w.t. di Akhirat kelak. Sabda Nabi s.a.w. maksudnya:

Sesiungguhnya Allah s.w.t. berfirman pada hari Kiamat kelak: "Manakah golongan yang saling cintai mencitai sesana dengan (sebab) keagunganNya. Hari ini Aku akan naugi mereka pada naunganKu pada hari yang tiada naungan padanya" (hadith riwayat Imam Muslim)

Hadith ini menceritakan tentang golongan orang-orang yang saling berkasih sayang kerana Allah s.w.t.. Maksud saling berkasih sayang kerana Allah s.w.t. adalah, matlamat hubungan samada ukhuwwah, kekeluargaan mahupun rumahtangga adalah demi meraih redha Allah s.w.t. daripada jalinan-jalinan sesama makhluk tersebut.

Membenci Kekufuran

Seseorang yang telah diberi kesedaran oleh Allah s.w.t. untuk kembali kepada rahmatNya, dengan kembali kepada ketaatan kepadaNya, perlulah menyedari bahawasanya, kesedaran dan penyesalan tersebut adalah suatu anugerah yang tidak boleh disia-siakannya, kerana kemungkinan ianya datang cuma sekali sahaja.

Seseorang yang telah menjalani jalan kehidupan penuh ketaatan, dalam merealisasikan kehambaan dirinya kepadaNya, dalam konteks hubungan kecintaan kepada Allah s.w.t. dan RasulNya s.a.w., maka dia perlulah beristiqamah dalam amalan ketaatannya, dan sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan sedikit demi sedikit ketaatannya kepada Allah s.w.t., seterusnya membawa kepada sebuah kehidupan yang penuh dengan kehambaan kepadaNya.

Istiqomah dalam amal ketaatan adalah sebesar-besar kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. kepada para hamba-hambaNya. Berusahalah untuk menjaga amal ketaatan dan beristiqomah dalam ketaatan. Amal yang sedikit itu jika disertai dengan istiqomah, maka ianya suatu ketaatan yang agung di sisi Allah s.w.t., kerana istiqomah dalam amalan adalah antara simbol kejujuran seseorang dalam kehambaan kepadaNya.

Sabda Rasulullah s.a.w.:

أحب الأعمال إلى الله، أدومها وإن قل

Maksudnya:

"Amalan yang paling dikasihi di sisi Allah s.w.t. adalah amalan yang paling berkekalan (sentiasa atau istiqomah di dalamnya), walaupun sedikit…" (Muttafaqun 'alaih).

Pintu untuk mencapai istiqomah adalah, seseorang itu benci untuk kembali kepada kekufuran setelah diberi hidayah. Inilah yang diajarkan dalam hadith tersebut.

Adapun jalan untuk mencapai rasa benci terhadap kekufuran adalah, dengan rasa gerun terhadap neraka lalu berusaha untuk menjauhinya. Jalan untuk menjauhi neraka adalah dengan menjauhi kekufuran. Neraka adalah suatu tempat siksaan yang tiada bandingan kedahsyatannya di dunia. Ia suatu simbol bagi kemurkaan Allah s.w.t..

Inilah antara jalan untuk mencapai kemanisan iman seperti yang digariskan oleh Nabi Junjungan, penghulu segala jin dan insan, Rasulullah s.a.w. yang diturunkan ke atasnya akan Al-Qur'an. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan kepada kita akan kemanisan iman. Semoga Allah s.w.t. membantu kita dalam menujuNya…

Amin…

Wallahu a'lam

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Jalil

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi