9.26.2011

Sekitar Istilah Salaf dan Khalaf

Antara gejala buruk yang berlaku dalam bidang ilmu agama adalah kemunculan golongan yang mengaku lebih memahami manhaj salaf berbanding para ulama' sebelum mereka yang mereka gelar sebagai "khalaf". Untuk menjadikan diri mereka berhak mengetahui siapa sebenarnya salaf dan apa sebenarnya manhaj salaf, maka mereka menamakan diri mereka sebagai "salafi", iaitu orang yang mengikut jejak salaf.

Kejahilan Terhadap Istilah

Golongan intelektual separuh matang yang muncul dalam lapangan intelektual Islam terpaksa mewujudkan terminologi-terminologi (mustalahat) baru untuk mengabui golongan yang lebih jahil daripada mereka. Lalu, mereka menggunakan istilah tertentu yang diberi takrif baru yang menyalahi penggunaannya yang asal untuk mendominasi dan memonopoli istilah tersebut.

Maka, wujudlah terminologi seperti "salafi", "khalafi" dan sebagainya yang mana sebelum ini, para ulama' hanya menggunakan istilah khalaf dan salaf sahaja.

Salafi di sisi golongan (baharu) ini adalah: "orang yang mengikut manhaj salaf".

Khalafi di sisi golongan (baharu) ini adalah: "orang yang tidak mengikut manhaj salaf".

Padahal, istilah salaf dan khalaf yang digunakan oleh para ulama' secara sepakat sebelum kemunculan golongan ini adaah:

Salaf: Generasi yang hidup dalam kurun pertama sehingga kurun ketiga hijrah, atau sehingga kurun kelima hijrah. Paling kuat adalah, sehingga kurun ketiga hijrah.

Khalaf: Generasi yang hidup setelah kurun ketiga atau kelima hijrah.

Maka, istilah salaf dan khalaf dalam penggunaan asal para ulama' tidak pernah bermaksud suatu perbezaan manhaj, tetapi lebih berbentuk perbezaan tempoh masa. Sehinggalah muncul golongan yang mengaku sebagai salafi ini, yang padahal meneruskan semangat Ibn Taimiyyah yang sering mengaku lebih memahami salaf berbanding ulama'-ulama' lain sebelumnya atau sezaman dengannya khususnya dari kalangan Asya'irahyang dianggap kurang memahami manhaj salaf, lalu memulakan usaha menamakan diri sebagai salafi lalu menamakan selain mereka sebagai khalafi.

Dengan usaha ini, ia mencetuskan suatu perkembangan di mana golongan ulama' yang berlainan kefahaman daripada mereka dianggap sebagai tidak mengikut salaf walaupun para ulama' tersebut adalah majoriti ulama' Islam. Bagi mereka, tokoh-tokoh yang memahami "salaf" yang sebenar hanyalah beberapa individu sahaja seperti Sheikh Ibn Taimiyyah, Sheikh Ibn Al-Qayyim, Sheikh Muhammad Abdul Wahab dan sebagainya.

Sedangkan, majoriti ulama' lain yang beraliran Asya'irah dan Maturidiyyah dalam bidang aqidah adalah "khalafi" yang tidak mengikut mazhab dan manhaj Salaf yang sebenar. Sebagai contoh, muncullah situasi di mana seorang insan yang mungkin hanya seorang pekerja di sebuah kilang, mengaku lebih memahami salaf berbanding Hujjatul Islam, Al-Imam, Al-Mujtahid, Al-Faqih, Al-Usuli Sheikh An-Nizhamiyyah Abu Hamid Muhammad bin Muhammad Al-Ghazali yang merupakan mudir kepada sebuah madrasah terbesar di zaman beliau iaitulah Al-Madrasah An-Nizhamiyyah.

Situasi lain pula muncul seorang insan kerdil yang masih tidak mengenal beza antara mubtada' dengan khabar, lalu mengaku lebih mengikut Al-Qur'an dan As-Sunnah dalam masalah aqidah ,berbanding Al-Imam Al-Hafiz Al-Muhaddith Amirul Mu'minin fi Al-Hadith Ibn Hajar Al-Asqollani, pensyarah kitab Sahih Al-Bukhari, hanya kerana Imam Ibn Hajar mempunyai pendirian aqidah manhaj Al-Asy'ari.

Situasi lain pula, muncul seorang insan kerdil yang tidak memahami Al-Qur'an dan As-Sunnah melainkan dengan merujuk terjemahan semata-mata, mengaku lebih memahami apa itu sunnah dan apa itu bid'ah berbanding Al-Imam Al-Mujtahid Al-Mutlaq, Al-Hujjah, Imamul Mazhab, Muhammad bin Idris As-Syafi'e sehingga boleh menuduh amalan doa qunut pada waktu Subuh yang diamalkan oleh Imam As-Syafi'e tersebut adalah suatu bid'ah, sedangkan Imam As-Syafi'e adalah seorang tokoh yang telah menghafal bukan setakat Al-Qur'an, tetapi juga kitab hadith yang awal dihimpunkan iaitulah kitab Al-Muwatha' secara keseluruhannya sebelum mencapai umur baligh. Hanya kerana Imam As-Syafi'e mempunyai ketokohan dalam bidang ilmu agama zaman salaf sahaja, menyebabkan insan kerdil itu tidak melebel Imam As-Syafi'e r.a. sebagai ahli bid'ah, dalam masalah qunut ini. Insan kerdil tersebut mendakwa dia mengikut manhaj tarjih sedangkan para ulama' bermazhab As-Syafi'e yang mengamalkan qunut, sebagai mengikut taqlid dan jumud. Na'uzubillah.

Lihatlah ukuran situasi-situasi ini. Tidak adakah suatu bid'ah lebih besar daripada bid'ah sebegini? Ungkapan: saya "salafi", bahkan lebih "salafi" daripada Al-Imam Al-Ghazali (hidup tahun 450 Hijrah dan meninggal dunia tahun 505 Hijrah), bahkan lebih memahami sunnah dan bid'ah berbanding Al-Imam As-Syafi'e (150-204 H), seolah-olah berkumandang secara lisan hal di mana-mana oleh pengikut golongan ini.

Khalaf adalah Penerus Manhaj Salaf

Seseorang perlu ketahui bahawasanya apa yang dimaksudkan sebagai "Khalaf" adalah para ulama' yang hidup setelah berlalunya zaman salaf yang meneruskan manhaj umum para ulama' salaf. Khalaf tidak pernah bererti suatu golongan ulama' yang berbeza dengan ulama'-ulama' salaf dari sudut aqidah, manhaj fiqh dan akhlak.

Istilah salaf sendiri bererti:

سَلَفَ يَسْلُفُ سَلَفاً وسُلُوفاً: تقدَّم

Maksudnya: Salaf: Taqaddam iaitu terdahulu. [Lisan Al-'Arab, madah salafa]

والسَّلَفُ والسَّلِيفُ والسُّلْفَةُ: الجماعَةُ المتقدمون

Maksudnya: "As-Salaf, As-Salif dan As-Sulfah: Golongan Terdahulu [ibid]

Jadi, seseorang yang mengaku sebagai "salafi" secara bahasanya bererti orang yang terdahulu. Sepatutnya sudah tidak hidup lagi kerana dia sepatutnya digantikan oleh orang yang kemudian. Oleh kerana itulah para ulama' salaf tidak menyebut diri mereka sebagai "salafi" ketika mereka hidup kerana para ulama' khalaflah yang memanggil mereka sebagai ulama' salaf kerana mereka telah berlalu dan mendahului generasi kemudian.

Khalaf pula bererti generasi yang ditinggalkan setelah generasi terdahulu. Ia dari perkataan khalafa yang bererti ke belakang atau kemudian.

الخَلْفُ ضدّ قُدّام

Maksudnya: Khalfu adalah lawan bagi Quddam (hadapan) [Lisan Al-'Arab, madah: khalafa]

Seseorang itu tidak dinamakan sebagai khalaf bagi sesuatu melainkan dia penerus kepada apa yang dilakukan oleh orang terdahulu. Maka, dinamakan para ulama' khalaf sebagai khalaf kerana mereka meneruskan apa yang dipegang oleh ulama' salaf, bukan kerana mereka berbeza dengan salaf. Orang yang memahami ulama' khalaf berbeza dengan ulama' salaf dari sudut pegangan dan kefahaman agama yang usul adalah suatu kefahaman batil terhadap maksud khalaf itu sendiri.

Rasulullah s.a.w. sendiri memuji generasi khalaf ini yang meneruskan usaha menjaga kemurnian agama daripada golongan jahil dan batil.

Rasulullah s.a.w. bersabda:

يحمل هذا العلم من كل خلف عدوله، ينفون عنه تحريف الغالين، وانتحال المبطلين، وتأويل الجاهلين

Maksudnya: "Ilmu ini akan dipikul oleh setiap khalaf (orang yang kemudian) dari kalangan yang adil daripadanya, yang menafikan tahrif (penyelewengan) pelampau, kepincangan golongan pembuat kebatilan dan takwilan orang-orang jahil".

[Hadith diriwayatkan secara mursal dalam sebahagian riwayat (Misykat Al-Mashabih) dan disambung secara sanadnya kepada sahabat kepada Rasulullah s.a.w. oleh Al-Imam Al-'Ala'ie. As-Safarini mengatakan ianya sahih dalam kitab Al-Qaul Al-'Ali m/s: 227]

Ulama' Khalaf adalah "Salaf" (Pengikut Salaf) Pada Generasi Setelah Zaman Salaf

Kita perlu menyedari hakikat ini, dengan menyusuri sejarah dan lembaran tulisan ulama' tentang hakikat bahawasanya majoriti ulama' khalaf sebenarnya adalah penerus manhaj dan kefahaman ulama' salaf dalam bidang agama. Nama-nama seperti Asya'irah, Maturidiyyah dan sebagainya dalam bidang aqidah adalah suatu tradisi yang sama seperti nama-nama Syafi'iyyah, Malikiiyyah, Ahnaf dan Hanabilah dalam bidang fiqh. Ia tidak lebih daripada himpunan manhaj seragam dan perkembangan kaedah pendalilan (istidlal) dalam sesuatu bidang ilmu, bukan suatu kelaianan atau percanggahan daripada apa yang difahami oleh salaf. Hatta mengaku "Salafi" juga adalah kelainan daripada salaf itu sendiri.

Oleh sebab itulah, ramai tokoh-tokoh Asya'irah dalam bidang aqidah menulis kitab-kitab aqidah lalu menisbahkan aqidah mereka kepada as-salaf as-sholeh. Antaranya adalah:

Al-Imam Al-Hafiz Ahmad bin Al-Husain Al-Baihaqi Al-Asy'ari yang menulis kitab berjudul:

الاعتقاد علي مذهب السلف اهل السنه و الجماعه

(Al-I'tiqad 'ala Mazhab As-Salaf Ahl As-Sunnah wal Jamaah yang bermaksud: Kepercayaan berteraskan mazhab Salaf ahli sunnah wal jamaah).

Sudah pasti kitab ini mengandungi perbahasan-perbahasan aqidah secara manhaj Asya'irah, namun di sisi Al-Imam Al-Baihaqi, ianya tidak lain melainkan aqidah mazhab Salaf juga. Jadi, Asya'irah juga adalah "Salafiyyah" (jika ingin digunakan istilah sekarang) pada asalnya, bahkan lebih awal ke"Salafiyyah"an mereka berbanding Salafiyyah Wahabiyyah yang muncul kemudian.

Begitu juga Al-Imam Abu Hamid Al-Ghazali yang menulis kitab berjudul:

Iljam Al-Awam 'An Ilm Al-Kalam

Dalam kitab tersebut menjelaskan manhaj sebenar salaf dalam berinteraksi dengan ayat-ayat dan hadith-hadith mutasyabihat dengan cara tafwidh. Beliau menisbahkan manhaj ini (walaupun sebagai antara ulama' Asya'irah) kepada manhaj As-Salaf AS-Sholeh. Dalam Muqoddimah kitab ini, Al-Imam Al-Ghazali mengkritik Hasyawiyyah yang memahami nas-nas yang zahirnya tasybih secara zahir, lalu mengaku ianya sebagai aqidah salaf, kemudian beliau menjelaskan manhaj as-salaf yang sebenar secara manhaj asy'ari. Maka, Al-Ghazali juga cuba menetapkan ke"salafi"an beliau tanpa mengaku "salafi".

Oleh sebab itulah, tokoh besar Al-Azhar AS-Syarif, Sheikh Abu Zahrah menjelaskan pertembungan Asya'irah, Maturidiyyah, Ibn Taimiyyah dan Wahabi dalam masalah aqidah di mana ianya adalah dalam usaha mengaku siapa lebih memahami as-salaf yang sebenar. Kemudian, Sheikh Abu Zahrah menguatkan pendapat bahawasanya, cara Al-Imam Al-Ghazali (Asya'irah) dan Maturidiyyah dalam memahami Salaf lebih tepat berbanding cara Ibn Taimiyyah memahami salaf dalam masalah aqidah. [Rujuk kitab Tarikh Al-Mazahib Al-Islamiyyah]

Mengaku "Salafi" Adalah Bid'ah yang Bahaya

Maka, benarlah kesimpulan yang dibuat oleh tokoh besar iaitu Sheikh Muhammad Sa'id Ramadhan Al-Buti dalam kitab As-Salafiyyah, bahawasanya bermazhab dengan mazhab salafi adalah suatu bid'ah yang bahaya. Sila rujuk di sini: http://www.dahsha.com/uploads/SalafyyaBouti.pdf

Ini kerana ianya seolah-olah menyimpulkan beberapa perkara:

As-Salaf itu bukan semata-mata suatu zaman yang diberkati, tetapi suatu himpunan keseragaman manhaj dalam bidang agama. Padahal, keseragaman manhaj dalam bidang agama tidak berlaku dalam keseluruhan salaf. Dalam bidang fiqh sahaja ada perbezaan antara Ahl Hadith dengan Ahl Ra'yi. Dalam bidang aqidah juga berbeza-beza manhajnya. Al-Imam Ahmad berbeza dengan Al-Imam Al-Muhasibi dan Ibn Kullab. Begitu juga Al-Imam Al-Bukhari berbeza dengan Al-Imam Ahmad dalam masalah lafaz Al-Qur'an. Begitulah masalah-masalah lain. Jadi, tidak ada namanya mazhab salaf dalam erti kata suatu himpunan keseragaman manhaj dalam bidang agama. As-Salaf dalam istilah sebenar hanyalah suatu tempoh masa yang diberkati.

Ia seolah-olah mengeluarkan selain daripada "salafiyyah" daripada pengikut salaf yang sebenar. Oleh kerana itulah, munculnya Salafiyyah Wahabiyyah yang menafikan Asya'irah, Maturidiyyah, Sufiyyah dan sebagainya, sebagai pengikut salaf yang sebenar. Salafiyyah Wahabiyyah telah menjuarai dominasi slogan "mengikut salaf", lalu menganggap selain mereka sebagai :"tidak mengikut salaf". Ini suatu prasangka yang bahaya kerana tidak mengikut salaf dalam masalah usul agama bererti tidak mengikut Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Ini adalah tohmahan yang sangat bahaya. Oleh kerana itulah, ramai orang jahil menganggap para ulama' Asya'irah, MAturidiyyah dan Sufiyyah tidak mengikut aqidah sebenar Rasulullah s.a.w. dan para sahabat r.a.. Ini membawa kepada menuduh sesat selain mereka yang mengaku "salafi".

Padahal, Asya'irah, Maturidiyyah, Sufiyyah dan sebagainya yang masih dalam lingkungan mazhab Ahli Sunnah wal Jamaah hanya berbeza dari sudut manhaj dan pendekatan dalam bidang agama, bukan berbeza isi kandungan kefahaman agama dengan as-salaf. Pendekatan dan manhaj adalah suatu yang berkembang mengikut zaman sepertimana juga kemunculan mazhab fiqh pada awal kurun ketiga hijrah lalu diteruskan sehingga hari ini. Tidak boleh seseorang mengatakan mazhab syafi'e, atau mazhab maliki, bukan fiqh Rasulullah s.a.w, kerana mazhab adalah himpunan cara ulama' memahami dalil-dalil yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w..

Maka, tidak perlu mengaku "salafi" untuk dinilai sebagai mengikut as-salaf as-sholeh. Ukurannya jelas iaitu dengan memahami agama mengikut kefahaman as-salaf as-sholeh. Rujuklah kitab-kitab ulama' salaf sendiri. Bukan sekadar merujuk satu dua tokoh kemudian yang mengaku hanya mereka sahaja yang memahami salaf. Adalah suatu kepincangan apabila seseorang menjelaskan tentang manhaj salaf namun rujukannya adalah bukan salaf seperti Sheikh Ibn Taimiyyah dan Muhammad Abdul Wahab sedangkan banyak lagi tulisan para ulama' salaf muktabar boleh dirujuk. Sheikh Ibn Taimiyyah tidak semestinya tepat dengan kefahaman salaf, dalam semua masalah dan, para ulama' lain tidak semestinya tidak memahami salaf yang sebenar. Banyakkanlah lagi bahan kajian agar kita jujur dalam membuat kajian.

Disusun dengan bantuan Allah s.w.t. oleh

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Azhar.

9.25.2011

Pembangunan Tamadun Insan, Bukan Tamadun Bangunan



Pembangunan Tamadun Insan, Bukan Tamadun Bangunan

Sejarah sendiri sudah menunjukkan kepada kita tentang keagungan tamadun-tamadun terdahulu sebelum kemunculan tamadun Islam. Namun, tamadun-tamadun tersebut musnah kerana dibina secara tidak sempurna kerana kebanyakkannya mengabaikan sudut pembangunan kerohanian manusia lalu sibuk membangunkan sudut kebendaan.

Malah, ketamadunan yang dibina sebelum kedatangan Islam kebanyakkannya leka dengan kebendaan sehingga mengabaikan seruan para Rasul a.s. ke arah mengabdikan diri kepada Allah s.w.t..

Hal ini sebagaimana telah dijelaskan dalam Al-Qur’an yang berbunyi (maksudnya):

Apakah kamu tidak memperhatikan bagaimana Tuhan lakukan terhadap kaum Ad? (Iaitu) penduduk Iram yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi. Yang belum pernah diciptakan bangunan-bangunan seumpama itu di negeri-negeri lain. Dan kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadi Al-Qura tempat tinggalnya). Dan Fir’aun yang mempunyai bangunan-bangunan yang kukuh dan tinggi. Yang bermaharajalela di negeri (masing-masing). Lalu mereka melakukan kerosakan di negeri itu. Maka (dengan sebab itu), Tuhan menimpakan mereka (pelbagai) paluan azab (yang tidak putus-putus). Sesungguhnya Tuhanmu tetap menguasai (setiap amalan)” (Surah Al-Fajr: 6-14)

Lihatlah isyarat jelas daripada Allah s.w.t. bahawasanya, sehebatmana pun sesebuah tamadun itu dibangunkan dari sudut kebendaan, namun jika ianya tidak dilengkapi dengan konsep kehambaan kepada Tuhan yang merupakan pembangunan dari sudut kerohanian, maka tamadun tersebut akan menuju kebinasaan, samada dengan tangan-tangan mereka sendiri atau dengan siksaan daripada Allah s.w.t..

Apabila kita membicarakan soal pembangunan sesebuah tamadun kemanusiaan, maka sudut kesempurnaan manusia itu sendiri sangat perlu diambil perhatian. Sudah semestinya, manusia berbeza dengan patung-patung atau robot-robot, kerana manusia mempunyai sudut kerohanian di samping sudut kebendaan (jasadiyyah).

Maka, sebarang pembangunan tamadun yang tidak lengkap akan membawa musibah kepada masyarakat yang menghuni di dalam tamadun tersebut. Oleh sebab itulah, manusia perlu membina sebuah tamadun yang sempurna bagi kemaslahatan mereka di dunia, dan kebaikan mereka di akhirat.

Dengan hanya membangunkan sudut kebendaan dalam membina sesebuah tamadun bagi manusia, ia ibarat membina sebuah hutan batu bagi haiwan-haiwan yang menghuni di dalamnya. Ia hanya menjanjikan kemusnahan di masa hadapan, biarpun indah buat seketika tatkala dipandang mata. Ini kerana, kesempurnaan sudut kerohanian dengan menanamkan aspek kehambaan diri kepada Allah s.w.t. telah diabaikan dalam pembinaan tamadun sedemikian rupa.

Sekali lagi kita renungkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Alangkah banyaknya taman-taman dan mata air-mata air yang mereka tinggalkan. Dan kebun-kebun serta tempat-tempat yang indah-indah. Dan nikmat kesenangan yang mereka nikmatinya. Demikianlah, dan Kami wariskan semua itu kepada kaum yang lain. Maka langit dan bumi tidak menangisi mereka serta mereka tidak diberi tangguh” (Surah Al-Dukhan 25-29)

Keagungan kebendaan tamadun-tamadun terdahulu hanya menjadi bukti mereka pernah wujud suatu ketika dahulu. Malah, ianya juga menjadi bukti bahawasanya, tamadun yang dibina hanya untuk kenikmatan dunia, tanpa konsep kehambaan di jiwa masyarakatnya, hanya mengundang malapetaka. Ianya terus menjadi bukti kekerdilan manusia di sebalik ketamadunan yang agung, ketika berhadapan dengan ketentuan Allah s.w.t..

Pembangunan Tamadun Menerusi Kaca Mata Kehambaan Diri

Adalah menjadi rahsia terbesar di mana, umat Islam pada peringkat awal mampu membina sebuah masyarakat yang digeruni oleh empayar-empayar besar di sekelilingnya. Ini kerana, Islam itu sendiri, di samping menjadi pedoman dalam kehidupan seseorang secara individu, ia malah menjadi pedoman bagi manusia secara bermasyarakat (sosial).

Jarang para pengkaji tamadun sedar bahawasanya, nilai rasa “kehambaan diri” dalam diri individu muslim pada ketika itu menjadi asas kesempurnaan tamadun yang mereka bina. Ketika seluruh masyarakat Islam menghayati makna kehambaan diri kepada Allah s.w.t., maka dalam masa yang sama juga mereka melihat, sudut pandang cabang bagi kehambaan diri itu adalah sudut khilafah dalam diri mereka di mana mereka bertanggungjawab memakmurkan bumi ini.

Bertolak dari rasa kehambaan diri kepada Allah s.w.t., maka mereka berusaha menyebarkan risalah Islam kerana ianya adalah tanggungjawab masyarakat Islam itu sendiri. Maka, dengan usaha dakwah yang murni tersebut, akhirnya meluaskan lagi ketamadunan Islam. Hasil gabungan setiap individu yang melihat sudut diri dengan sudut kehambaan yang sempurna, menyebabkan munculnya sebuah masyarakat yang sempurna lalu membentuk sesebuah tamadun yang sempurna.

Rasa kehambaan diri kepada Allah s.w.t. ini lahir daripada pandangan hati terhadap konsep tauhid yang murni di mana, tatkala cahaya tauhid mula menyinari sanubari insan, maka muncul rasa penghayatan bahawasanya dirinya hidup di dunia ini sebagai hamba Allah s.w.t. yang bertanggungjawab melaksanakan tugas kehambaannya di dunia ini.

Inilah asas utama dalam diri seseorang muslim yang akhirnya menumbuhkan sebuah pokok ketamadunan yang agung dan sempurna. Asas ini digambarkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Qur’an yang bermaksud: Maha benarlah firman Allah s.w.t. di dalam Surah Ibrahim yang bermaksud:

Tidakkah mereka perhatikan, bagaimana Allah membuat perumpamaan mengenai kalimah tayyibah (kalimah tauhid kepada Allah s.w.t.) seperti pokok yang baik, akarnya kukuh (pasak ke dalam bumi) dan cabang-cabangnya merendang ke langit. Pohonnya mengeluarkan buah-buahan pada setiap musim dengan izin Tuhannya. Allah membuat perumpamaan-perumpamaan tersebut agar mereka selalu ingat.” (Surah Ibrahim: 24)

Sudah tentulah, cahaya tauhid ini seterusnya menumbuhkan buah keimanan, ketaqwaan, akhlak mulia, kesolehan dan sebagainya. Sudut keimanan, ketaqwaan, akhlak mulia, amal soleh yang dilakukan dan sebagainya inilah yang menjadikan mereka mampu akhirnya, membina tamadun yang agung dan sempurna. Hal ini juga telah dijelaskan oleh Allah s.w.t. yang bermaksud:

Dan demi sesungguhnya, Kami telah menulis di dalam kitab-kitab (Zabur dan sebagainya) yang Kami turunkan sesudah tulisannya (pada Luh Mahfuz) bahawasanya bumi itu akan diwarisi oleh hamba-hamba-Ku yang soleh” (Surah Al-Anbiya’: 105)

Maksud mewarisi bumi ini adalah, mereka membina sebuah tamadun yang agung lalu menguasai dunia sebagaimana yang pernah dibina oleh masyarakat terdahulu. Tamadun Islam suatu ketika dahulu benar-benar telah mencapai tahap kemakmuran yang sangat memberangsangkan. Ianya natijah daripada keimanan dan amal soleh yang dikerjakan oleh masyarakat Islam dalam rangka menunaikan kehambaan diri kepada Allah s.w.t..

Natijah daripada rasa kehambaan diri dalam masyarakat Islam akhirnya membawa kepada usaha membangunkan bi’ah (persekitaran) yang baik secara berhikmah sebagaimana firman Allah s.w.t. yang bermaksud:

Iaitu meraka (umat Islam) yang jika Kami berikan kekuasaan memerintah di bumi, nescaya mereka mendirikan solat, memberikan zakat, menyuruh membuat kebaikan dan menegah daripda melakukan kejahatan dan kemungkaran” (Surah Al-Hajj: 41)

Sememangnya, usaha menyuruh ke arah kebaikan dan menegah kemungkaran yang lahir daripada jiwa rasa kehambaan adalah jalan ke arah pembentukan sesebuah tamadun yang sempurna. Hal ini dikuatkan lagi dengan firmannya yang bermaksud:

kamulah (wahai umat Islam), sebaik-baik umat, yang dikeluarkan bagi seluruh umat manusia, (yang mana, diantara ciri-cirinya sebagai sebaik-baik umat), yang menyuruh kepada kebaikan dan melarang daripada keburukan (dan kejahatan) serta beriman kepada Allah…’’ (Ali Imran :110)

Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah



Merasai Kebersamaan Allah: Kunci Menikmati Kehidupanmu yang Indah

Perkembangan dunia yang kian moden ini, justeru menambah seribu satu cabaran terhadap penghuninya. Biar perkembangan material terus meningkat, namun sudut kerohanian insan terus mundur dan hampir hilang. Biar segenap alat-alat canggih untuk memudahkan cara hidup, namun masih terus terasa dihimpit oleh hari-hari yang saban mendatang.

Ramai orang berduka di setiap ketentuan yang melanda, dan terus bertambah duka kerana tidak berdaya mengadapinya. Ramai orang terus bersedih dalam menghadapi hidup yang dirasa kian pedih. Manusia hari ini mempunyai kemodenan di mana-mana, tetapi hakikat dirinya lebih tipis dari rumah labah-labah ketika menghadapi bencana.

Bukanlah hidupmu itu yang menyempit, wahai diri yang terasa dihimpit. Tetapi dirimu itulah yang terasa keseorangan, dalam menghadapi kehidupan. Kamu yang lemah, secara hakikatnya, bagaimana mampu menghadapi hidupmu yang semakin mencabar secara bersendirian? Makhluk-makhluk di sekelilingmu yang juga lemah, bagaimana diharapkan untuk terus menemanimu dalam waktu senang dan sukar? Carilah teman, sebaik-baik teman. Carilah kebersamaan, sebaik-baik kebersamaan.

Oleh kerana itulah, hakikat kebahagian adalah, pada rasa kebersamaan Allah s.w.t. yang tidak pernah terpisah. Hatimu kesunyian, di tengah-tengah kesibukan, kerana tiada rasa kehadiran Tuhan, dalam hati yang semakin kegersangan. Wahai teman, kebersamaan Allah s.w.t. itulah penawar sebaik-baik yang menyembuhkan.

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud:

“…Sesungguhnya dengan zikrullah, hati menjadi tenang…” (Surah Ar-Ra’du: 28)

Imam Al-Ghazali r.a. mengingatkan, zikrullah yang menyebabkan hati terus tenang dengan sebenar-benar tenang adalah: ingatan Allah s.w.t. kepadamu. Memang benar. Kalau Allah s.w.t. tidak mengingati kita dengan penuh kecintaan, nescaya Dia tidak akan menggerakkan hati kita untuk mengingatinya. Oleh sebab itulah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam mengajar doa:

Ya Allah… Bantulah aku dalam mengingatiMu, mensyukuriMu dan baik ibadahku…”.

Ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- ini mempunyai inti tauhid yang murni, kerana menisbahkan kelemahan diri hatta dalam beribadah, lalu menzahirkan rasa memerlukan hanya Allah s.w.t., untuk membantu diri yang lemah, termasuklah dalam melaksanakan tugas kehambaan dan dalam mengingati Allah s.w.t..

Andai bukan kerana pandangan redha Allah s.w.t., nescaya hati kita tidak terlintas untuk mengingati Allah s.w.t.. Malah, ramai orang yang membaca ayat Al-Qur’an tadi, berusaha menggerakkan lisan untuk zikrullah, namun tanpa hadir rasa kelemahan bahawasanya diri tidak dapat mengingati Allah s.w.t, melainkan dengan bantuanNya, akhirnya gerak lisannya turut tidak akan membawa hati yang mengingati Allah s.w.t..

Zikir lisan itu ada nilai ibadahnya tersendiri, sememangnya hal ini tidak dinafikan. Pahala banyak sudah dijanjikan. Namun kehadiran hati dalam zikir inilah merupakan kualiti zikir itu sendiri. Seseorang itu, ingatannya adalah di hati. Oleh itu, kehadiran Allah s.w.t. dalam hati itulah nadi yang membawa seseorang menghadapi kehidupan seluruhnya tanpa duka lara.

Hadirkan adabmu wahai hamba. Hadirkan rasa kamu memerlukan bantuanNya untuk mengingatiNya, mudah-mudahan dengan itulah Allah s.w.t. memperkenankan kamu untuk mengingatiNya. Ingatilah juga bahawasanya, kalau Allah s.w.t. tidak mengingatimu, nescaya kamu tidak terlintas untuk mengingatiNya. Ia akan membawa kamu kepada mengingati kebersamaanNya dalam hidupmu.

Nikmat cinta bukan sekadar mengingati yang dicintai. Akan tetapi, nikmatnya pada mengingati bahawasanya dirinya diingati oleh yang dicintai. Andai anda masih terasa anda mengingati yang dicintai, maka itu belum suatu kemurnian cinta abadi. Cinta abadi lagi hakiki yang akan menjadi kekuatan dalam diri adalah, apabila anda mengingati ingatan yang dicintai terhadap diri anda. Itulah maknanya, cinta sudah mula mekar mewangi.

Apa lagi andai anda mengerti, bahawasanya Allah s.w.t. sudah terlebih dahulu mengingati anda sebelum anda mengingatiNya. Ini terlebih indah dalam menghayati makna cinta. Rupa-rupanya, Dialah yang terlebih dahulu sentiasa mengingati kita, sebelum kita mengingatiNya. Malah, Dialah yang menggerakkan kita untuk mengingatiNya agar kita menikmati rasa indah diingati olehNya…ALLAH…ALLAH…ALLAH… Dialah Maha Pencinta, sebaik-baik Pencinta.

Benar bagai dikata, bahawa merasai diingati oleh Allah s.w.t. adalah nilai kebahagiaan abadi. Apalah nilai ingatan kita terhadapNya berbanding ingatanNya terhadap kita. Dengan melihat ingatanNya kepada kita, nescaya akan rasa kebersamaanNya dalam setiap kehidupan kita. Inilah penenang jiwa abadi.

Pernah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dicaci oleh orang Yahudi, yang menuduh Tuhan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sudah meninggalkan Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, kerana sudah lama tidak turun wahyu kepada Baginda s.a.w..

ALLAH…ALLAH…ALLAH… Kepiluan, Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- kian terasa. Bukan kerana celaan si pencela. Tetapi kerana takut ditinggalkan ALLAH ,Sang Kekasih yang tercinta.

Maka Sang Kekasih Sebaik-baik Pencinta, yang tidak pernah membiarkan para kekasihNya terus berduka, terus menzahirkan nilai cintaNya yang Agung nan Mulia seraya berfirman (dalam Surah Ad-Dhuha):

Tuhanmu (Hai Muhammad) tidak pernah membiarkanmu dan tidak pernah membenci…

Allah

Sang Kekasih terus memujuk kekasihNya yang tulus dalam cinta, agar terus memupuk kehadiran dan kebersamaan Sang Kekasih Agung dalam jiwa. Itulah sebaik-baik penawar dalam jiwa, bagi menghadapi dunia yang penuh gelora. Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- dipujuk dengan mengingatkan bahwasanya diri Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam- sentiasa dalam ingatan Tuhan segala kejadian.

Inilah kekuatan abadi, yang menjadikan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- terus tenang dan bahagia dalam menghadapi hidup yang mengajar seribu satu erti. Akhirnya kekuatan ini turut Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kongsi, kepada teman karibnya di dunia dan di akhirat nanti, iaitulah Saidina Abu Bakar r.a. yang merupakan seorang sahabat sejati.

Ingatlah ketika mereka berdua di dalam gua, tatkala orang-orang kafir mula mencari-cari mereka, maka Saidina Abu Bakar r.a. mula terasa takut dan gundah-gulana. Bukan kerana dirinya, tetapi kerana insan kekasih seluruh semesta (Rasulullah s.a.w.). Ketika itulah Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- mengajarkan hakikat kebahagiaan di dunia, yang akann membawa seseorang bahagia sehingga ke syurga, iaitulah merasai kebersamaan Allah s.w.t. setiap masa. Sabda Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- yang bermakna:

Jangan kamu sangka kita berdua, sedangkan Allahlah yang ketiga, bersama-sama kita yang kamu sangka sekadar berdua”.

Peristiwa ini diabadikan di dalam Al-Qur’an. Ia menjadi saksi keagungan rasa kebersamaan dengan Tuhan. Firman Allah s.w.t. dalam menggambarkan ungkapan Rasulullah -shollallahu ‘alaihi wasallam- kepada Saidina Abu Bakar r.a.:-

…di waktu baginda berkata kepada temannya: "Janganlah kamu bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita." Maka Allah menurunkan ketenangan-Nya kepada (Muhammad) dan membantunya dengan tentara yang kamu tidak melihatnya…” (Surah At-Taubah: 40)

Alangkah bahagianya bersama Baginda -shollallahu ‘alaihi wasallam-, yang sentiasa merasai kebersamaan Tuhan Sang Pencinta, lalu mengajar kita erti kebersamaan Tuhan dalam hidup kita. Inilah kekuatan kerohanian sebenarnya. Inilah ketenangan pada hakikatnya. Apabila hatimu merasai kebersamaan Allah s.w.t., maka betapa lapangnya hidupmu. Inilah kunci menikmati hidupmu. Semoga Allah s.w.t. menganugerahkan rasa kebersamaan Allah s.w.t. dalam hati kita. Amin..

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi Al-Qawiy Al-Lathif

Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin Al-Razi Al-Azhari

‘AmalahuLlahu bi LutfhiHi Al-Khafiy