9.01.2012

Hikmah dan Fiqh al-Hayah




Kebijaksanaan… Kalau itulah istilah, untuk menterjemahkan erti hikmah, iaitu melihat apa yang hakiki sebagai hakiki, dan tidak tertipu dengan apa yang fantasi.

Allah s.w.t. berfirman:

يُؤْتِي الْحِكْمَةَ مَن يَشَآءُ وَمَن يُؤْتَ الْحِكْمَةَ فَقَدْ أُوتِيَ خَيْراً كَثِيراً وَمَا يَذَّكَّرُ إِلاَّ أُوْلُواْ ٱلأَلْبَابِ

Maksudnya: Allah menganugerahkan al hikmah (kepahaman yang dalam tentang Al Qur'an dan As Sunah) kepada siapa yang Dia kehendaki. Dan barang siapa yang dianugerahi al hikmah itu, ia benar-benar telah dianugerahi karunia yang banyak. Dan hanya orang-orang yang berakallah yang dapat mengambil pelajaran (dari firman Allah). (Surah al-Baqarah: 269)

Sebahagian ulama’ tafsir menafsirkan al-Hikmah sebagai pengetahuan terhadap hakikat sesuatu sebagaimana ia. Sebahagian ulama’ tafsir yang lain pula menafsirkan al-hikmah sebagai perealisasian ilmu (dalam bentuk penghayatan dan amalan) dan ketetapan ilmu (sampai tahap yakin). [1] Jika demikian maksud hikmah, maka ianya bersesuaian dengan kalimah al-Ilm al-Nafi’e atau ilmu yang bermanfaat.

Ilmu yang bermanfaat adalah apa yang sering diminta oleh Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam. Ilmu itu ada dua bentuk iaitu: ilmu berbentuk kefahaman dan ilmu berbentuk praktikal. Maka, ilmu yang bermanfaat bagi ilmu berbentuk kefahaman adalah, penghayatan yang jelas dan benar dalam hati seseorang samada dengan perasaan (zauq) atau penyaksian mata hati (syuhud). Adapun bagi ilmu berbentuk praktikal, maka ilmu yang bermanfaat baginya adalah jika ilmu itu membawa kepada kekuatan untuk mengamalkannya atau adanya bantuan Allah s.w.t. dalam diri seseorang untuk menterjemahkannya dalam bentuk amalan.

Akhirnya, ilmu yang bermanfaat adalah ilmu yang disertai amalan, samada ianya adalah amalan zahir mahupun amalan batin/perasaan (zauq dan syuhud).

Kita boleh dapati salah seorang manusia yang bersifat berhikmah dalam al-Qur’an. Allah s.w.t. berfirman lagi tentang Luqman r.a.:

Maksudnya: Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada Allah (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Kaya, lagi Maha Terpuji. (Surah Luqman: 12)

Jumhur ulama’ salaf menegaskan bahawasanya Saidina Luqman adalah seorang al-Hakim, iaitu orang yang bijaksana, yang diberi hikmah oleh Allah s.w.t. dan bukan seorang nabi. Dikatakan bahawasanya, Luqman al-Hakim mempunyai lebih seratus kata-kata hikmah dalam kitab-kitab bani Israel.

Hikmah juga boleh difahami sebagai suatu kebijaksanaan iaitu pandangan akal yang cerdas dalam melihat banyak sudut dan persepsi yang berbeza daripada sesuatu perkara. Bahkan, kebijaksanaan juga adalah suatu kefahaman tentang hakikat yang luas di sebalik sesuatu yang dapat didapati dengan pancaindera yang terbatas.

Sebahagian ahli ilmu menjelaskan bahawasanya, hikmah adalah suatu jangkauan akal daripada maklumat-maklumat cabang menuju kefahaman-kefahaman menyeluruh. Maksudnya, sesorang yang berhikmah itu boleh menyimpulkan banyak bentuk atau perkara yang bersifat cabang kepada suatu kaedah kefahaman bersifat menyeluruh.

Kebijaksanaan atau hikmah diberikan oleh Allah s.w.t. kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Sebagaimana ianya diberi kepada orang-orang yang beriman, kadang-kala, ianya diberi juga kepada orang-orang kafir. Cuma, hikmah tersebut terbatas kepada ilmu dan penguasaan kecerdikan akal, bukan ilmu yang bermanfaat sebagaimana disebutkan sebelum ini. Oleh sebab itulah, ahli falsafah menamakan diri mereka sebagai al-Hukama’ bahkan philoshopos itu sendiri dari perkataan Yunani yang bererti pencinta kebijaksanaan.

Sebagai orang-orang yang beriman yang melihat segala yang berlaku di sekelilingnya sebagai interaksi Allah s.w.t. kepada diri mereka, maka, mereka wajar mengambil kebaikan dan manfaat dari apa yang berlaku di sekeliling mereka. Di mana sahaja mereka menemukan kebijaksanaan ataupun kebaikan, sudah pastilah mereka lebih berhak untuk memilikinya, kerana mereka adalah golongan manusia yang sudah mempunyai hubungan yang murni dengan Allah s.w.t., Tuhan yang Maha Benar.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda dengan maksud demikian:

الْحِكْمَةُ ضَالَّةُ الْمُؤْمِنِ أَيْنَ وَجَدَهَا أَخَذَهَا

Maksudnya: “Hikmah itu ciciran orang beriman. Di mana sahaja dia dapatinya, maka dia perlu mengambilnya.”[2]

Menurut Imam Fakhruddin al-Razi[3], hikmah adalah ilmu dan kefahaman. Ilmu adalah pengetahuan terhadap sesuatu samada secara ringkas mahupun terperinci. Kefahaman pula adalah suatu pengetahuan dan dapatan akal yang bersifat terperinci dan tidak mudah didapati. Bahkan, kesempurnaan kehambaan seseorang manusia kembali kepada dua perkara:

Pertama: Mengetahui kebenaran sebagaimana ianya. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-Nazhoriyyah.

Kedua: Melakukan sesuatu dengan betul. Ia dikenali sebagai al-Hikmah al-‘Amaliyyah.

Maka, kedua-dua ini boleh dianggap sebagai hikmah bagi manusia, iaitu kemuncak kepada penguasaan ilmu dengan kecerdasan akal.[4]

Seseorang insan yang ingin mendapat kebahagiaan di dunia, maka, hendaklah meniti hari-harinya dengan penuh penghayatan terhadap makna diri sendiri, tujuan sebuah kehidupan dan erti perhubungan antara dirinya dengan Tuhan. Maka, daripada hikmah-hikmah para bijaksana terdahulu, samada daripada sumber wahyu yang utama, mahupun hikmah yang menjadi barang ciciran orang-orang beriman yang lain, kita cuba menyusun sebuah risalah dalam rangka mengajak para pembaca yang budiman, agar melihat sisi kehidupan dari sudut kehambaan. Ianya agar seseorang melihat kehidupan bukan sekadar suatu himpunan bagi hari-hari yang telah lalu, hari yang sedang dilalui dan hari-hari yang bakal datang, tetapi memahami kehidupan secara menyeluruh, lalu menghadapi perinciannya secara bijaksana.

Ini sangat penting kerana, kefahaman tentang kehidupan (fiqh al-hayah) menentukan watak seseorang dalam kehidupannya, sehingga akhirnya membentuk perjalanannya samada menuju kebahagiaan sejati atau kemurungan yang abadi. Seorang insan boleh hidup dengan mengabaikan prinsip-prinsip kehidupan, tujuan-tujuannya serta tugas diri dalam dunia, namun dia tidak akan mati sebagaimana yang dia ingini. Lalai bukan pintu merdeka, tetapi ianya pintu kecewa.


[1] Al-Bahr al-Madid pada ayat tersebut.
[2] Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Abu Thahir al-Silafi dalam Kitab al-Ilm dan sebagainya dengan sanad lemah kerana mengandungi Muhammad bin Humaid. Begitu juga ianya diriwayatkan oleh Imam Ibn Majah dalam Sunan beliau, Imam al-Tirmizi dalam al-Jami’e beliau, Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra,  dan sebagainya juga = dengan lafaz yang berbeza-beza dan sanad yang lemah kerana mengandungi perawi bernama Ibrahim bin al-Fadhl al-Makhzumi yang dinilai sebagai lemah sebagaimana disebut dalam Tazkirah al-Huffaz dan kitab al-Dhu’afa al-Kabir oleh al-Uqaili. Ia juga diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq dengan sanad yang lain namun lebih lemah. Walau bagaimanapun, makna hadis ini sahih bersesuaian dengan keterangan ayat al-Qur’an sebelum ini dan banyak perintah daripada al-Qur’an agar seseorang menuntut ilmu dan mencari kebenaran dari mana sahaja dia boleh cari.
[3] Beliau ialah al-Mujadddin al-Imam Fakhruddin Abu Abdillah Muhammad bin Imam Umar bin Al-Hasan bin Al-Husein At-Taimi Al-Bakri. Nasab beliau bersambung juga kepada Saidina Abu Bakr As-Siddiq r.a.. Beliau dilahirkan di Bandar Ri pada tahun 543 Hijrah. Ayahnda beliau adalah Imam Dhiya’uddin Umar bin Al-Husein bin Al-Hasan yang merupakan seorang ulama’ fiqh yang besar yang juga merupakan murid kepada Imam Al-Baghawi. Antara kitab-kitab beliau: Ikhtashar Dala’il Al-I’jaz, Asas At-Taqdis, Al-Masa’il Al-Khamshun fi Usul Al-Kalam, Tafsir Mafatih al-Ghaib dan sebagainya. Beliau meninggal dunia pada satu syawal tahun 606 Hijrah.
[4] Boleh rujuk kitab tafsir Mafatih al-Ghaib karangan al-Imam al-Razi

8.27.2012

Perbahasan Takwa



Allah s.w.t. menurunkan Al-Qur’an ke atas Saidina Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam untuk menjadi petunjuk dan panduan kepada seluruh umat manusia yang ingin mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat.

Dalam Al-Qur’an, banyak ayat-ayat yang membahaskan tentang kunci kebahagiaan abadi. Antaranya adalah, ayat-ayat yang membahaskan tentang sifat takwa, iaitu salah satu kunci ketenangan jiwa yang seterusnya membawa kepada kebahagiaan abadi di dunia dan di akhirat.

Takwa dari Sudut Bahasa

Takwa berasal daripada kalimah Arab. Kata dasar bagi takwa dalam bahasa Arab ialah waqwa. Namun, huruf waw di permulaan perkataan waqwa tersebut ditukar kepada huruf ta' menjadi takwa. Takwa dari sudut bahasa Arab: pemeliharaan, perlindungan, penjagaan dan sebagainya. Perlindungan pula bererti: menjaga sesuatu daripada kerosakan ataupun memelihara daripada apa-apa yang menakutkan.

Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan maksud perkataan takwa dari sudut bahasa ini dengan firmanNya yang bermaksud: “Maka Allah memelihara mereka (orang yang beriman) daripada kesusahan hari itu (Akhirat), dan memberikan kepada mereka kejernihan (wajah) dan kegembiraan hati”. (Surah Al-Insan: 11)  Dalam ayat ini menunjukkan bahawasanya, perkataan takwa ini pada asalnya bermaksud, memelihara sesuatu.

Takwa dari Sudut Syarak

Takwa dari sudut syarak pula bermaksud: pemeliharaan diri daripada perkara-perkara yang merosakkan Akhirat seseorang. [Ruh Al-Ma'ani karangan Imam Al-Alusi 1/108] Maksudnya, takwa bererti, seseorang memelihara dirinya daripada perkara-perkara yang boleh membawa kepada siksaan di akhirat kelak, seperti tidak melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dan tidak meninggalkan kewajipan yang ditetapkan oleh Allah s.w.t. ke atasnya.

Oleh yang demikian, Allah s.w.t. berfirman berkenaan dengan pemeliharaan diri ini:  “Hai orang-orang yang beriman, peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka (Surah At-Tahrim: 6)

Saidina Ali r.a. berkata:  “(Taqwa ialah) takut kepada Allah yang Maha Agung, beramal dengan Al-Qur’an yang diturunkan, berasa cukup dengan sedikit yang dimiliki dan bersedia untuk kematian”.

Dr. Ahmad As-Sayyid Ali berkata: "Memelihara diri itu dengan melaksanakan apa yang disuruh oleh Allah s.w.t. dan meninggalkan apa yang dilarang olehNya. Adapun memelihara ahli keluarga (daripada neraka) itu, dengan menyuruh mereka melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t…" [At-Taqwa fi Dhou'i Al-Qur'an wa As-Sunnah: 10]


Peringkat-peringkat Taqwa

Peringkat Pertama: Menjauhi Syirik

Syirik bererti: menyekutukan Allah s.w.t. dalam penyembahan dan pengabdian. Iaitu, seseorang itu menyembah tuhan selain Allah s.w.t..

Syirik itu terbahagi kepada dua:

Pertama: Syirik Besar: Iaitu, menyembah tuhan selain daripada Allah s.w.t.. Syirik ini membawa seseorang kepada kekufuran atau, keluar daripada Islam.

Kedua: Syirik Kecil (Tersembunyi): Iaitu, seseorang beribadah kepada Allah s.w.t. dengan sifat ujub, riya' dan takabbur. Syirik kecil ini tidak membawa seseorang kepada keluar daripada Islam, tetapi ianya termasuk dalam dosa-dosa yang paling berat di sisi Allah s.w.t., yang perlu dijauhi.

Peringkat Kedua: Menjauhi Dosa-dosa Besar

Dosa itu sendiri bererti, suatu perkara yang dikeji oleh syarak, yang mana, sesiapa yang melakukannya, maka dijanjikan dengan balasan ke atasnya. Dosa-dosa besar ada dua jenis iaitu, dosa-dosa besar yang zahir dan dosa-dosa besar yang batin.

Adapun dosa-dosa besar yang zahir adalah seperti: membunuh, minum arak, berzina, berjudi, menderhakai ibu bapa, melarikan diri daripada peperangan dan sebagainya. Adapun dosa-dosa besar yang batin adalah dosa-dosa yang tersembunyi dalam hati seperti sifat ujub (bangga diri), hasad dengki, tamak, bakhil dan sebagainya.

Dosa-dosa besar ini, samada zahir mahupun batin, perlu dijauhi sedaya-upaya, kerana sesiapa yang melakukan dosa-dosa besar ini, maka Allah s.w.t. menjanjikan siksaan yang berat ke atasnya. Cara untuk membersihkan diri daripada dosa-dosa besar adalah dengan bertaubat kepada Allah s.w.t. terhadap dosa-dosa tersebut dan tidak mengulanginya sedaya-upaya.

Peringkat Ketiga: Menjauhi Dosa-dosa Kecil

Dosa-dosa kecil pula adalah, perbuatan-pebuatan yang dikeji juga oleh syarak, tetapi tidak seberat kejian terhadap dosa-dosa besar, dan dijanjikan ancaman siksaan ke atas orang-orang yang melakukannya, tetapi tidak seberat ancaman dosa-dosa besar.

Seorang penyair berkata tentang taqwa:

Tinggalkanlah dosa samada yang kecil,
mahupun yang besar, maka itulah taqwa.
Jadikanlah seumapa kamu berjalan  di atas tanah,
 yang berduri dan awasilah bahaya yang didapati.
Janganlah memandang kecil dosa yang kecil,
kerana bukit yang besar itu berasal dari batu-batu kecil.

Al-Qur’an banyak membincangkan tentang kepentingan takwa ini kerana ianya adalah sebahagian kemuncak kehambaan seseorang kepada Allah s.w.t.. Takwa adalah pintu masuk kepada rasa diawasi oleh Allah s.w.t. (muroqobah) seterusnya mengecapi nikmat penyaksian Allah s.w.t. dengan mata hati (Musyahadah).

Pedoman Al-Qur’an terhadap takwa, cara-cara membawa kepada takwa dan natijah takwa telah penulis bahaskan secara terperinci dalam buku penulis berjudul “Al-Qur’an Berbicara Tentang Takwa” yang diterbitkan oleh Pelima Media Sdn Bhd. Sesiapa yang ingin mendapat perbahasan yang terperinci mengenai pedoman Al-Qur’an tentang sifat takwa ini boleh mendapatkan buku ini di pasaran.

Kesimpulannya, manusia hanya mengetahui erti bahagia jika dia mengetahui ianya hanya terletak pada hubungan dengan Allah s.w.t.. Dengan demikian, baharulah manusia mampu mencarinya dalam lapangan ibadah dan ketaatan kepada Allah s.w.t. dengan penuh kehambaan kepada-Nya.

8.26.2012

Rukun-rukun Tarbiah Tarikat Sufiyyah


Rukun-rukun Tarbiah Tarikat Sufiyyah

Manhaj tarbiah rohani para ulama’ sufi yang lebih dikenali sebagai Tarikat Sufiyyah mengandungi rukun-rukun yang utama iaitu:

Pertama: Murobbi yang Kamil

Adapun istilah kamil dalam tarbiah sufi bukanlah bermaksud seseorang murobbi itu terpelihara daripada dosa seperti seorang nabi kerana yang demikian itu dinamakan sebagai ma’shum. Sedangkan, kamil bererti seseorang murobbi itu sudah mengetahui kepincangan-kepincangan nafsu dan rohani, mengetahui cara untuk menyelesaikan kepincangan-kepincangan tersebut dan mampu melakukannya kerana mempunyai pengalaman ditarbiah oleh seseorang murobbi sebelumnya.

Imam Al-Junaidi telah menjelaskan dengan ringkas tentang syarat dan ciri-ciri yang harus dimiliki oleh seorang Sheikh, beliau berkata: “Seseorang tidak berhak menjadi Sheikh sampai ia menguasai semua ilmu syariah, menahan diri dari semua yang haram, berzuhud dari dunia dan tidak lekas mengubati orang lain sebelum ia mengubati dirinya sendiri sampai ia memiliki pengetahuan untuk membimbing orang lain.”

Ada lima ciri-ciri murobbi yang kamil (sempurna) iaitu:-

  1. Beliau mempunyai pengetahuan terhadap agama yang merupakan fardhu ‘ain.
  2. Beliau mengenal Allah s.w.t. dengan kefahaman yang mengikut kerangka kefahaman Ahlus Sunnah wal Jamaah (tidak berfahaman Tajsim, tidak seorang Syiah, tidak seorang Mu’tazilah dan sebarang fahaman sesat yang lain).
  3. Beliau mengamalkan ajaran syariat Islam dan berakhlak dengan akhlak-akhlak yang diajarkan dalam Islam.
  4. Beliau pernah mengambil tarbiah daripada seorang murobbi yang kamil sebelumnya dan mengetahui kaedah penyucian jiwa dan pentarbiahan murid-murid.
  5. Beliau mendapat izin untuk mentarbiah murid-murid daripada guru murobbinya yang juga telah mendapat izin irsyad (memberi bimbingan khusus) yang mana izin irsyad itu bersambung silsilahnya kepada Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda yang bermaksud: “Wahai Ibnu Umar agamamu adalah duniamu. Agamamu adalah darah dagingmu. Maka lihatlah terlebih dahulu dari mana engkau mengambilnya. Ambilah agama dari orang-orang yang istiqamah jangan dari orang yang menyeleweng. [Ia diriwayatkan oleh Imam Ibn ‘Adi dalam Al-Kanz 3/153]

Kedua: Murid yang jujur

Murid yang jujur (sidq) adalah seseorang yang jujur dan benar dalam keinginan untuk sampai kepada keredhaan Allah s.w.t. dan berusaha untuk melakukan ketaatan kepada Allah s.w.t. hanya kerana ingin mengharapkan penerimaan dan redha Allah s.w.t..

Ketiga: Manhaj Tarbiah yang Sahih

Manhaj tarbawi yang sahih adalah manhaj tarbiah yang bersesuaian dengan kerangka umum ajaran Al-Qur’an dan As-Sunnah dan tidak bertentangan dengan ketetapan dan panduan syarak. Para ulama’ sufi justeru adalah antara mereka yang sangat menguasai ilmu-ilmu agama secara meluas dan kefahaman-kefahaman yang sahih terhadap nas-nas agama serta antara yang paling kuat menjalani kehidupan dengan berteraskan panduan syarak.

Adapun kaedah mengambil tarbiah kerohanian sufi ini pula adalah dengan cara bai’ah dan labs khirqah iaitu suatu tradisi di mana seseorang murobbi itu masuk ke tarbiah sufi. Guru kami, Sheikh Rahimuddin menyebutkan dalam kitab At-Tasawwuf Al-‘Amali: Al-'ahd adalah pengikat yang paling kuat antara dua orang yang saling mencintai kerana Allah dan saling berjanji untuk mentaati Allah. Itulah bai'at yang bertujuan untuk Allah di jalan Allah dan dengan Alllah.

Sandarannya adalah pada Allah S.w.t. berfirman:

"Sesungguhnya Allah telah meredhai orang mukmin ketika mereka berbai'at di bawah pohon. maka Allah mengetahui apa yang ada di hati mereka,  lalu menurunkan ketenangan di hati mereka dan memberi mereka ganjaran dengan kemenangan yang dekat.". (Surah Al-Fath: 18)

Baiah Tarbiah ini juga berpandukan sunnah Rasululah S.a.w. di mana Baginda shollallahu ‘alaihi wasallam bersabda ketika berkumpul dengan para sahabat: "Terimalah bai’ah ku untuk tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu, tidak mencuri, tidak berzina, tidak membunuh anak-anak dan tidak mendatangkan tuduhan yang keji di antara kalian, serta tidak menentang kebaikan. Maka barang siapa yang memenuhi bai'ah ini di antara kalian akan memperoleh pahala dari Allah dan barang siapa yang melanggar akan di sangsi di dunia sebagai kafarat dan apabila ia melanggar tanpa balasan dunia (tidak dibukakan Allah aibnya) maka semua berpulang kepada Allah, jika Ia ingin maka akan diampuni. Begitu juga jika Ia ingin menyangsi. Maka kamipun menerima baiat tersebut". [Hadis riwayat Imam Al-Bukhari]

Isi perjanjian dan bai’ah tersebut adalah seseorang murid berjanji di hadapan sheikhnya untuk berusaha mentaati Allah s.w.t. dan berusaha untuk meninggalkan maksiat sebagaimana isi bai’ah tarbiah Rasulullah shollallahu ‘alaihi wasallam.

Tarbiah sufi berkembang pesat dalam masyarakat Islam hasil usaha gigih para murobbi sufi yang mendapat bantuan dan petunjuk daripada Allah s.w.t. melalui manhaj tarbiah yang disebutkan tadi. Ia mendapat penerimaan yang meluas daripada pelbagai lapisan masyarakat Islam yang khususnya bagi mereka yang mencari jalan hidayah. Bahkan, ramai juga orang-orang kafir yang memeluk Islam daripada usaha dakwah sufi sejak zaman berzaman. Ini menunjukkan peranan kaum sufi dalam masyarakat samada secara langsung mahupun tidak. Demikian adalah keaslian bentuk dakwah dan tarbiah dalam umat Islam suatu ketika dahulu secara umum.

4.20.2012

Imam Arsalan bin Ya’qub al-Dimasyqi (470-550 H)

Imam Arsalan bin Ya’qub al-Dimasyqi (470-550 H)

Latar Belakang

Beliau adalah Sheikh Abu al-Najm Arsalan bin Ya’qub bin ‘Abd al-Rahman bin Abdillah al-Ja’bari al-Dimasyqi. Beliau dilahirkan di kampung Ja’bar di persisiran pantai Furat, di Bandar Al-Riqqah Suriyyah, pada tahun 470 Hijriyyah. Beliau adalah antara para arifin yang terkenal. Nama “Arsalan” adalah dalam Turki yang bermaksud Singa. Beliau juga dikenali sebagai Sheikh Raslan Al-Turkumani.

Beliau hidup pada zaman Perang Salib. Ayah beliau sendiri adalah salah seorang tentera yang terlibat dalam peperangan dengan penjajah di Ja’bar. Kemudian, beliau pergi ke Damsyiq untuk meneruskan kehidupannya dan menyara keluarganya. Di awal usia Sheikh Arsalan, belau banyak beri’tikaf di sebuah masjid kecil di Damsyiq dan terlibat dengan aktiviti golongan sufi di sana. Beliau bersahabat dan mengambil tarbiah daripada Abu ‘Amir al-Mu’addib dan mengambil ilmu tasawuf daripada beliau. Kemudian, beliau mendiami zawiyyah (tempat ibadah) dalam beberapa waktu.

Perang Salib

Pada zaman itu, Syria terlibat dalam peperangan Salib. Tentera Salib sudah hampir ke pintu-pintu bandar Damsyiq pada ketika itu. Namun, Nuruddin al-Syahid sempat mengusir para tentera musuh daripada mencerobohi Damsyiq.

Ketika dalam suasana peperangan,. Sheikh Arsalan berpindah daripada hidup di dalam masjid menuju ke perbatasan para mujahidin untuk mempertahankan negara daripada serangan para tentera salib pada ketika itu.

Kewafatan

Beliau seterusnya fokus dalam bidang pentarbiahan sehinggalah usia beliau mencapai 95 tahun. Pada tahun 550 Hijriyyah (1155 Masihi) (dalam riwayat lain 560 H/1164 M), beliau meninggal dunia, lalu disemadikan di tanah perkuburan yang terkenal yang dinamakan dengan nama beliau iaitu Turbah al-Sheikh Arsalan di Damsyiq.

Karya Tauhid Arsalan

Beliau mempunyai sebuah risalah yang sangat ringkas tetapi isi kandugannya sangat tinggi maknanya. Risalah Tauhid tersebut disyarah oleh beberapa ulama’ besar seperti Sheikhul Islam al-Qadhi Zakaria al-Anshari al-Syafi’e, al-Allamah Shihab al-Din al-Thibi, Sheikh ‘Ala al-Din bin Shadafah dan Sheikh Abdul Ghani al-Nabulsi RA. Sheikh Arshad al-Banjari ada menterjemahkan syarah Sheikh Zakaria al-Anshari ke dalam bahasa Melayu (iaitu dalam kitab jawi) dengan beberapa catatan.