12.18.2012

Peranan Para Ulama' al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah (4)



Perkembangan Ilmu di Al-Azhar Aliran Sunni

Sheikh Ali al-Tantawi pernah bercakap tentang Al-Azhar:

“Merekalah para ulama’ Al-Azhar itu. Adakah di dunia ini sebuah pusat ilmu seperti Al-Azhar dan seagung al-Azhar? Bahkan, adakah pusat ilmu yang boleh mengatasi Al-Azhar dalam memberi kesan kepada pemikiran kemanusiaan bahkan memberi pengaruh kepada tamadun kemanusiaan?” [Al-Azhar: Alf Sanah, Dr. Khafaji, m/s:6]

Zaman Al-Ayyubi adalah zaman kegemilangan Mesir dari sudut keilmuan versi Ahli Sunnah wal Jamaah. Kemudian, Al-Azhar terus berkembang pada zaman pemerintahan al-Mamalik al-Bahriyyah (648-784 H) dan al-Mamalik al-Syarakisah (784-923 H). Antara para ulama’ yang masyhur pada ketika tu adalah seperti Al-Faqih Al-Imam Al-Hasan al-Farisi al-Hanafi (m: 598 H), seorang ulama’ yang mahir dalam bidang bahasa Arab dan kedoktoran. Antaranya juga adalah Imam Ibn Hajib al-Nahwi (m: 646 H), Imam al-Syatibi (m: 590 H), Imam Ibn Farid al-Sufi (m: 632 H), Sheikhul Islam Imam Izz al-Din bin Abd al-Salam (m: 660 H), Sheikhul Islam al-Hafiz al-Munziri (581-660 H), Imam al-Sakhawi (558-634 H), Ibn Malik al-Andalusi (w: 672 H), Imam Ibn al-Sholah (m: 643 H), al-Sya’ir Ibn Syith, Ibn al-Sa’ati (m: 604 H), al-‘Imad al-Asbahani (m: 597 H), al-Hakim Al-Qafathi (m: 646 H).

Menurut Imam al-Maqrizi, Al-Azhar pada kurun ke-8 Hijrah mempunyai 570 orang murid. Pada tahun 818 Hijrah, para penuntut di al-Azhar bertambah seramai 750 orang yang hadir dari serata dunia. Pada ketika itu, al-Azhar berkembang sebagai pusat ilmu agama seperti al-Qur’an, ilmu Fiqh, ilmu Hadis, ilmu Tafsir dan majlis-majlis nasihat.

Pada kurun ke-9 Hijrah, antara para ulama’ yang terkenal di Mesir adalah Imam al-Fairuzabadi (penyusun kitab al-Qamus a-Muhith yang meninggal dunia pada tahun 817 Hijrah), Imam al-Qalaqashandi (m: 821 H) yang menulis kitab Shobh al-‘A’asyi, al-Nuwairi (m: 732 H) penulis kitab Nihayah al-Arib, Taqi al-Din ibn Hujjah al-Humawi (m:837 H), Imam Ibn al-Wardi (m: 749 H), Imam al-Bushiri (m: 695 H), Imam al-Maqrizi (m: 845 H), Imam Ibn Daqmaq (m: 809 H), Imam al-Suyuti (849-911 H) dan sebagainya. Sheikh Ibn Khaldun juga antara ilmuwan yang pernah terlibat dalam perkembangan keilmuan di Mesir.

Dalam perkembangan yang sama, al-Jami’e al-Azhar juga berkembang sebagai pusat tarbiah yang mana padanya berkembang majlis-majlis kesufian yang dipimpin oleh para ulama’ sufi. Ia adalah suatu perkara yang biasa di mana masjid-masjid dan Madrasah di Mesir pada ketika itu menerima majis tasawwuf sebagaimana majlis ilmu. Tradisi ilmu pada ketika itu berkembang seiringan dengan majlis tarbiah kesufian.  Antara masjid yang terkenal berkembangnya majlis golongan sufi di sana adalah masjid Saif al-Din Saikhu yang dibuka oleh Raja Saif al-Din Sheikhu Al-Nashiri. Seramai 20 orang sufi mendirikan majlis di sana yang dipimpin oleh Sheikh Akmal al-Din Muhammad al-Rumi.

Dari sudut mazhab Fiqh, Mazhab al-Syafi’e dilihat sebagai mazhab yang terserlah dalam pengajian di Al-Azhar berbanding mazhab-mazhab yang lain, walaupun mazhab-mazhab lain diajarkan juga di sana. Oleh sebab itulah, ramai dalam kalangan para Sheikhul Azhar dari kalangan ulama’ Syafi’iyyah. Namun, ramai para pemerintah bermazhab dengan mazhab Hanafi dan merujuk kepada ulama’ Hanafi dalam masalah keagamaan.

Bersambung...

12.02.2012

Peranan Para Ulama' Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah (3)

Perkembangan Bidang Aqliyyah Zaman Fathimiyyah

Jika kita singkap peranan al-Azhar di awal penubuhannya, kita dapati ianya mempunyai peranan yang sangat besar dalam bidang ilmu-ilmu aqliyyah (berkaitan akal). Al-Azhar yang pada awalnya dibina sebagai sebuah al-Jami’e (tempat orang-orang Islam berhimpun untuk solat berjemaah) oleh Jauhar al-Saqalli pada tahun 361 Hijrah (bersamaan 972 Masihi) akhirnya terus berkembang menjadi institusi pengajian. Al-Qadhi Ali bin al-Nu’man adalah tokoh ilmuwan pertama yang menyampaikan pengajian di al-Jami’e al-Azhar iaitu pada bulan Safar tahun 365 Hijrah bersamaan bulan Oktober tahun 975 Masihi. Beliau menyampaikan ajaran Islam mengikut mazhab Syiah.

Pada awal penubuhannya, ia tidak berperanan seperti Dar al-Hikmah yang menjadi gedung perkembangan ilmu pengetahuan. Kemudian, pada tahun 378 Hijrah, Sultan Al-Aziz Billlah al-Fathimi, sultan Bani Fathimiyyah pada ketika itu, beliau menghimpunkan 35 orang ulama’ untuk mengajar di Al-Azhar dengan menanggung pembiayaan hidup mereka.

Jelaslah bahawa, pada ketika itu, Al-Azhar sendiri bukan sekadar berfungsi sebagai al-Jami’e, malah sebagai al-Jami’ah iaitu tempat pendidikan ilmu pengetahuan peringkat yang lebih tinggi dan mendalam. Ia mula menjadi sebuah institusi pengajian pelbagai bidang ilmu sejak zaman Fathimiyyah lagi, terutamanya pada tahun 380 Hijrah. Ia bermula dengan jumlah pelajar seramai 35 orang pelajar sehinggalah jumlahnya terus meningkat dari masa ke semasa.

Antara tokoh-tokoh terkemuka dalam bidang ilmu pada ketika itu adalah Al-Adfawi, Ibn Babasyaz, Ibn al-Qatha’ al-Nahwi dan sebagainya. Al-Azhar terus berkembang dalam menyaingi peranan Dar al-Hikmah pada masa ke semasa. Dalam perkembangan yang lain, sebuah perpustakaan besar dibina di Iskandariyyah bagi memelihara dan mengembangkan ilmu-ilmu pengetahuan. Ia turut membantu perkembangan bidang keilmuan di Al-Azhar secara khusus dan di Mesir secara umum.

Sejak zaman pemerintahan Fathimiyyah itu, ilmu-ilmu Aqliyyah berkembang di Al-Azhar. Pandangan-pandangan Plato, Aristotle dan Pythagoras dikembangkan dalam pengajian Syiah termasuklah dalam bab aqidah. Antara tokoh Syiah terkemuka dalam bidang aqliyyah adalah Al-Hasan bin Muhammad al-Shobah. Antara rujukan para ilmuwan Syiah dalam bidang falsafah pada ketika itu adalah risalah Ikhwan al-Sofa dan buku-buku falsafah Yunani terdahulu.

Bahkan, pengaruh falsafah Yunani juga turut terserlah dalam bidang politik Syiah terutamanya dalam perbahasan Al-Imamah (kepimpinan). Sebahagian ulama’ menilai bahawasanya, perkembangan falsafah dalam ajaran Syiah telah membawa kepada penyimpangan yang ketara dalam ajaran Islam sehingga boleh membawa kepada kekufuran. Setelah ahli Sunnah berkembang semula di Mesir, ajaran Syiah semakin terhakis. Jika ada pun saki-baki ajarannya, maka ianya sudah semakin berkembang dan menyimpang sehingga menjadi ajaran baharu yang dikenali sebagai Baha’iyyah.


Perkembangan Institusi Pengajian dan Keilmuan Lain di Mesir

Sultan Sholah al-Din al-Ayyubi telah membuka pelbagai madrasah di Mesir setelah beliau berjaya memasuki Mesir dan mengembangkan mazhab Sunnah di sana. Pada tahun 566 Hijrah (1170 M), beliau telah membina sebuah Madrasah untuk para fuqaha’ mazhab Syafi’e untuk mengajar mazhab Syafie di sana. Madrasah tersebut dibina di sebelah Jami’e ‘Amru bin al-Ash  yang dikenali sebagai al-Madrasah al-Nashiriyyah kemudian lebih dikenali dengan nama Madrasah Ibn Zain al-Tujjar.

Di sudut yang berlainan, beliau juga membina al-Madrasah al-Qumhiyyah (atau dikenali juga sebagai Dar al-Ghazal) yang dikhususkan untuk para fuqaha’ bermazhab Maliki. Sebuah madrasah lain dibina di sebelah Qubah Imam al-Syafi’e dan diberi nama al-Madrasah al-Sholahiyyah al-Nashiriyyah yang dikhususkan juga untuk diajar fiqh Syafie padanya.

Sebahagian pengkaji sejarah menyimpulkan bahawasanya, sekurang-kurangnya di Mesir pada zaman itu, ada 24 buah Madrasah yang telah dibina untuk mengajar ilmu-ilmu agama. 6 madrasah adalah khusus untuk mazhab Syafi’e, 3 buah madrasah khusus untuk mazhab Hanafi (antaranya al-Madrasah al-Suyufiyyahh), 3 buah madrasah untuk mazhab Maliki, 7 buah madrasah lagi tidak dapat dikesan pembelajarannya, 1 madrasah untuk diajarkan mazhab Syafi’e dan Maliki padanya, 1 madrasah lagi untuk diajarkan padanya mazhab Hanafi dan mazhab Syafie, satu lagi madrasah untuk diajar padanya Mazhab Maliki dan ilmu Nahu, sebuah lagi madrasah untuk diajar padanya hadis dan sebuah lagi madrasah unuk diajar padanya empat mazhab yang dikenali sebagai al-Madrasah al-Sholihiyyah yang dibina oleh Sultan al-Sholeh Najm al-Din Ayyub pada tahum 639 Hijrah. [al-Azhar: Alf ‘Am, 1/84 yang menukilkan daripada Husn al-Muhadarah oleh Imam al-Suyuti]

Ada juga dibina di sekitar Fustat sebuah madrasah yang dikenali sebagai Dar al-Hadis, yang mana ianya dibina oleh Abu al-Khattab Umar bin Dihyah. Antara tenaga pengajar di sana adalah Imam al-Qastalani al-Syafi’e dan Imam Ibn Daqiq al-‘Id. Antara madrasah lain yang dibina adalah al-Madrasah al-Fadhiliyyah yang dibina oleh Qadhi al-Fadhil pada tahun 580 Hijrah yang mengandungi sebuah perpustakaan yang menyimpan seratus ribu buku.


Namun, secara dasarnya, madrasah-madrasah ini dibina untuk mengembangkan ilmu-ilmu agama (naqliyyah) terutamanya mazhab al-Asy’ari dalam bidang aqidah. Namun, ia sedikit sebanyak memupuk budaya keilmuan dalam masyarakat Mesir pada ketika itu. Di samping perkembangan institusi penterjemahan buku-buku keilmuan daripada tamadun asing dan kemunculan Baitul Hikmah dalam dunia Islam, ia turut menarik minat sebahagian ulama’ untuk mengembangkan ilmu-ilmu aqliyyah ini. 

Bersambung...  

11.29.2012

Peranan Para Ulama' Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah (2)



Tradisi Perkembangan Ilmu Pengetahuan Aqliyyah (Bersifat Akal) Di Mesir

Tradisi dan budaya keilmuan memang sudah berkembang sejak zaman Mesir Purba lagi di mana sejarah menjadi saksi betapa tamadun Mesir Purba merupakan salah satu daripada tamadun kemanusiaan yang dibangungkan dengan penuh gemilang.

Jika didapati piramid-piramid di Mesir juga, ianya menjadi salah satu daripada tanda keagungan budaya kesarjanaan tamadun Mesir Purba. Begitu juga bagaimana mayat-mayat Firaun diawet dan disimpan jasmaninya, menunjukkan ketinggian penguasaan ilmu para ilmuwan zaman tersebut. Bahkan, mereka yang terlibat dalam bidang keilmuan juga adalah terdiri dari kalangan mereka yang memimpin dalam bidang keagamaan.

Sejarah Nabi Yusuf a.s. juga tidak kurang hebatnya dari sudut pentadbiran sesebuah ketamadunan. Pada ketika itu, sudah perkembang teknologi saliran air, pentadbiran sumber pertanian, kewangan dan sebagainya.

Setelah Islam berkembang, Mesir juga mempunyai bentuk sejarahnya yang tersendiri dalam dunia Islam sehingga menjadi antara penyumbang utama kepada pembangunan ketamadunan Islam. Sehinggakan, dalam kitab Husn al-Muhadarah, Imam as-Suyuti menyebutkan bahawasanya, ketika mana Mesir terus berkembang sebagai pusat ilmu dan tempat tinggal ramai para ulama’, maka ia terus maju dari sudut pentadbiran. Ia adalah salah satu rahsia daripada rahsia khilafah kenabian yang diwarisi oleh umat Islam.

Dar al-Hikmah di Zaman Fathimiyyah

Dalam pertembungan politik antara Syiah Fathimiyyah dengan Sunniyyah Abbasiyyah pada kurun keempat Hijrah, Syiah Fathimiyyah yang pada ketika itu menguasai Kaherah telah menubuhkan sebuah institusi besar dalam mengembangkan ilmu pengetahuan. Ia dikenali sebagai Dar al-Hikmah yang diasaskan pada tahun 395 Hijriyyah. Ia berkonsepkan perpustakaan yang besar yang menghimpunkan pelbagai rujukan dalam pelbagai jenis dan bidang ilmu pengetahuan samada rujukan terkini mahupun manuskrip yang lama.

Seorang sejarawan Islam iaitu Imam al-Maqrizi telah mencatatkan bahawanya, ada sebanyak sejuta enam ratus ribu lebih jilid buku yang terkandung dalam Dar al-Hikmah di Kaherah pada ketika itu. Sehinggakan, ia dinilai sebagai antara perpustakaan yang terbesar dalam dunia Islam pada ketika itu, yang lebih besar berbanding Bait al-Hikmah di Baghdad. Dar al-Hikmah tersebut dikunjungi oleh ramai para ulama’ dan ilmuwan Islam termasuklah para doktor yang melakukan pelbagai penyelidikan ilmiah di sana dengan galakan pemerintah pada ketika itu.

Lalu, Dar al-Hikmah melahirkan ramai Fuqaha’ dan ilmuwan yang terus memperjuangkan mazhab Syiah Fathimi. Bahkan, kerajaan Fathimiyyah sangat bergantung kepada para ilmuwan dan Fuqaha’ Dar al-Hikmah ini terutamanya dalam menyebarkan dakwah Syiah Fathimiyyah dan melawan para ulama’ ahli sunnah wal jamaah pada pertembungan ilmiah.

Dari sinilah didapati bahawa, terdapat perbezaan ketara antara Dar al-Hikmah di Kaherah yang ditubuhkan oleh Fathimiyyah untuk menjadi benteng mazhab Fathimi dengan Bait al-Hikmah yang diasaskan oleh Khilafah Abbasiyyah di Baghdad yang bersifat lebih terbuka dan menyeru ke arah kebebasan bersuara dan berdebat. Ini kerana, Bait al-Hikmah di Baghdad banyak menerbitkan rujukan-rujukan bersifat ilmu-ilmu aqliyyah seperti mantik, falsafah, ilmu falak, matematik, kedoktoran dan sebagainya, sehingga ianya dikunjungi juga oleh para ilmuwan bukan Islam. Oleh itu, kita dapati, khalifah Ma’mun pernah terpengaruh dengan sebahagian fahaman Mu’tazilah tetapi tidak memaksa kesemua tokoh-tokoh ilmuwan mengikutinya. Maka, berlakulah perdebatan-perdebatan ilmiah di sana, tidak seperti di Dar al-Hikmah di Kaherah.

Akhirnya, berlaku pertembungan hebat antara dua golongan Syiah Fathimiyyah sehingga menyebabkan kemerosotan pengajian di Dar al-Hikmah di Kaherah. Setelah Syiah ditewaskan oleh tentera Sultan Salahuddin al-Ayyubi, maka, Dar al-Hikmah telah diresapi oleh para ulama’ ahli sunnah wal jamaah sehingga menyebabkan ianya berubah dan tidak berkembang. Suasana keilmuan berkembang dengan lebih pesat di Jami’e al-Azhar dengan pemeliharaan para ulama’ ahli sunnah.

Bersambung...

11.28.2012

Peranan Para Ulama’ Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah (1)




Peranan Para Ulama’ Al-Azhar dalam Perkembangan Ilmu-ilmu Aqliyyah:
Sumbangan Ke Arah Membina Pertahanan Pemikiran Umat Islam
Daripada Serangan Pemikiran (1)

Pendahuluan

Seorang tokoh sejarah bernama Sheikh Abu Muhammad al-Hasan al-Laithi pernah menyebut dalam kitab beliau “Fadha’il Misr wa Akhbaruha wa Khawwashuha”: Mesir merupakan sebuah negara hikmah dan ilmu. Daripadanyalah, keluarnya para bijaksana lalu mereka memakmurkan dunia dengan perkataan, kebijaksanaan dan pentadbiran mereka.” [m/s: 15]

Ini menunjukkan, sejak Mesir dibuka oleh para sahabat r.a. yang dipimpin oleh Saidina ‘Amr bin al-Ash r.a., ianya menjadi pusat perkembangan ilmu pengetahuan. Bermula dengan perkembangan hadis dan fiqh terutamanya pada zaman Imam al-Syafi’e r.a., sehinggalah akhirnya perkembangan ilmu-ilmu aqliyyah dan naqliyyah yang lain.

Tokoh ilmuwan Islam terkenal iaitu Sheikh Ibn Khaldun juga menggambarkan Mesir, terutamanya Kaherah, sebagai sebuah bandar yang dibangunkan dengan ilmu pengetahuan dan kebijaksanaan. Ia disebut di dalam karya beliau yang masyhur iaitu Muqoddimah Ibn Khaldun. Ketika kejatuhan tradisi keilmuan di Baghdad dengan serangan tentera Tatar pada tahun 656 Hijriyyah, kota Kaherah menjadi pusat keilmuan yang paling terkenal dalam dunia Islam. Ia terus berkembang di tangan al-Jami’e al-Azhar.

Al-Azhar sebagai sebuah institusi pendidikan dan pengajian ilmu-ilmu agama mempunyai sejarahnya yang tersendiri. Namanya sahaja disebut-sebut oleh para ilmuwan dan ulama’ Islam sejak zaman berzaman. Ia bukan sekadar institusi yang melahirkan ulama’-ulama’ yang agung, bahkan juga mengembangkan ilmu-ilmu baharu di samping mempertahankan warisan kerangka kefahaman ilmu-ilmu agama yang sahih sejak ianya dipegang oleh para ulama’ ahli sunnah wal jamaah.

Sebagaimana para ulama’ adalah golongan yang bertanggungjawab dalam menjaga bidang agama umat Islam samada dari sudut pembelajaran (ta’lim), penerapan dan pembangunan kemasyarakatan dengan nilai ajaran agama tersebut, maka, institusi seperti al-Azhar juga memainkan peranan yang sangat penting dalam menempatkan perkembangan kesarjaan umat Islam dan keilmuan mereka di samping membangungkan potensi para ulama’ dan ilmuwannya.

Ia terus menempuh cabaran masa dan kesemasaan sehingga terus subur membawa fikrah kefahaman Islam yang sahihnya sepanjang zaman. Tidak dapat dinafikan bahawasanya, sebagaimana institusi-institusi pengajian dan pendidikan yang lain, ianya mempunyai pelbagai bentuk perkembangan samada positifnya mahupun negatif. Namun, perkembangan positif yang berlaku di al-Azhar bahkan yang dilakukan oleh al-Azhar menyebabkan para pengkaji sejarah lebih fokus terhadap sudut positifnya berbanding negatifnya. Ini kerana, al-Azhar itu sendiri adalah sebuah institusi yang telah banyak menyumbang dalam perkembangan tamadun Islam secara umum, dalam bidang ilmu pengetahuan masyarakat Islam secara khusus.

Bersambung...

11.05.2012

Pengenalan Surah al-Ikhlas



Pengenalan Surah al-Ikhlas

Surah Al-Ikhlas merupakan antara surah yang mempunyai ketinggian kedudukannya dalam Al-Qur`an. Ia dinilai sebagai Surah Makiyyah yang mana intipatinya banyak berkisar tentang tauhid dan sifat-sifat ketuhanan.

Secara asasnya, al-Qur`an dari sudut penurunannya terbahagi kepada dua jenis iaitu:

Pertama: Makki: Ayat yang diturunkan sebelum Hijrah.

Kedua: Madani: Ayat yang diturunkan selepas Hijrah. Samada diturunkan di Makkah mahupun di Madinah. Walaupun ianya diturunkan pada masa haji di Makkah dan sebagainya, masih dikira sebagai Madani, kerana diturunkan selepas hijrah.

Maka, surah Al-Ikhlas adalah surah Makkiyyah iaitu yang diturunkan sebelum Hijrah. Surah Makkiyyah ada lapan puluh lima (85) surah semuanya. Imam al-Zakrkashi menyebutkan dalam kitab al-Burhan fi Ulum al-Qur`an bahawasanya, surah al-Ikhlas diturunkan di Makkah selepas surah An-Nas, iaitu surah yang ke-21 daripada 85 surah Al-Makkiyyah tersebut.

Imam Qatadah menyebutkan:

إن الله أسس السماوات السبع والأرضين السبع على هذه السورة " قل هو الله أحد

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT mengasaskan langit yang tujuh dan bumi yang tujuh ini di atas surah Qul Huwallahu Ahad ini” [al-Istizkar oleh Imam Ibn ‘Abd al-Barr]

Maksudnya, di atas asas ketauhidan dan kekuasaan Allah SWT sebagaimana yang disebut secara ringkasnya dalam surah Al-Ikhlas ini. Ini menunjukkan betapa surah Al-Ikhlas ini mengandungi pelbagai rahsia, makna ketauhidan dan asas-asas hubungan kehambaan dengan Allah SWT.