1.25.2013

Penjelasan Kedudukan Hadis Tawassul Nabi Adam a.s. dan Tujuan Penciptaan Alam


Penjelasan Kedudukan Hadis Tawassul Nabi Adam a.s. dan Tujuan Penciptaan Alam

Segala puji bagi Allah SWT, Tuhan Maha Pencipta, empunya sekalian alam. Selawat dan salam buat Saidina wa Nabiyyina Muhammad, rasul Allah yang teragung dan terakhir diutuskan, yang menjadi rahmat buat seluruh alam. Juga, selawat dan salam buat ahli keluarga, para sahabat r.a. dan mereka yang mengikuti jejak Rasulullah SAW sehingga akhir zaman.

Amma ba’du…

Sebahagian para penuntut ilmu –semoga Allah memuliakan mereka dan memberi kefahaman yang sahih kepada mereka dan kepada kita semua- telah bertanya kepada al-faqir tentang kedudukan hadis tawassul Nabi Adam a.s. dengan Rasulullah SAW di sisi Allah s.w.t.. Menurut mereka, telah tersebar tulisan yang menilai semula dan membahaskan tentang kedudukan hadis ini dan tujuan penciptaan makhluk ini.

Maka, al-faqir walaupun dengan penuh kekurangan, tetapi dengan bantuan Allah s.w.t., cuba untuk menulis beberapa catatan mengenai kedudukan hadis ini dan permasalahan tujuan penciptaan makhluk adalah Nabi Muhammad SAW sebagaimana disebutkan dalam hadis tersebut.

Perbahasan Pertama: Kedudukan Hadis Tawassul Nabi Adam as

Nas hadis:

عَنْ عُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ ، قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَآلِهِ وَسَلَّمَ : " لَمَّا اقْتَرَفَ آدَمُ الْخَطِيئَةَ ، قَالَ : يَا رَبِّ ، أَسْأَلُكَ بِحَقِّ مُحَمَّدٍ لَمَا غَفَرْتَ لِي ، فَقَالَ اللَّهُ : يَا آدَمُ ، وَكَيْفَ عَرَفْتَ مُحَمَّدًا وَلَمْ أَخْلُقْهُ ؟ قَالَ : يَا رَبِّ ، لأَنَّكَ لَمَّا خَلَقْتَنِي بِيَدِكَ وَنَفَخْتَ فِيَّ مِنْ رُوحِكَ رَفَعْتُ رَأْسِي فَرَأَيْتُ عَلَىَ قَوَائِمِ الْعَرْشِ مَكْتُوبًا لا إِلَهَ إِلا اللَّهُ مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ ، فَعَلِمْتُ أَنَّكَ لَمْ تُضِفْ إِلَى اسْمِكَ إِلا أَحَبَّ الْخَلْقِ إِلَيْكَ ، فَقَالَ اللَّهُ : صَدَقْتَ يَا آدَمُ ، إِنَّهُ لأُحِبُّ الْخَلْقِ إِلَيَّ ادْعُنِي بِحَقِّهِ ، فَقَدْ غَفَرْتُ لَكَ وَلَوْلا مُحَمَّدٌ مَا خَلَقْتُكَ " 

Maksudnya: Daripada Saidina Umar bin al-Khattab r.a. bahawa beliau berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: “Ketika Adam as melakukan kesalahan lalu baginda berkata: “Wahai Tuhan, saya memohon dengan hak Muhammad, tidakkah kamu sudi mengampuniku?” Allah s.w.t. lalu berfirman: “Wahai Adam, bagaimana kamu kenal Muhammad sedangkan aku belum menciptakannya lagi?” Beliau menjawab: “Wahai Tuhan. Ia kerana, ketika Engkau menciptakanku dengan yadd (kekuasaan)-Mu, lalu Engkau tiupkan padaku daripada roh-Mu, lalu aku mengangkat kepalaku, maka aku mellihat di atas tiang-tiang Arasy telah tertulis “La ilaha Illallah Muhammadur Rasulullah’. Maka, aku ketahui bahawa Engkau tidak akan menggandingkan sesuatu kepada nama-Mu melainkan seseorang yang kamu paling sayang dalam kalangan makhluk-Mu di sisi-Mu.” Lalu Allah s.w.t. berfirman: “Benar wahai Adam, sesungguhnya Baginda adalah makhluk yang paling disayangi di sisi-Ku. Berdoalah kepada-Ku dengan hak Baginda. Maka sesungguhnya, Aku telah ampunkan kamu. Jika bukan kerana Muhammad, nescaya Aku tidak menciptakan kamu.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Hakim dalam kitab al-Mustadrak, Imam al-Baihaqi dalam kitab Dala’il al-Nubuwwah, Abu Muthi’ al-Misri dalam Amali beliau yang pertama, Imam Ibn ‘Asakir dalam Tarikh Dimasyq. Begitu juga ianya diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani dalam Mu’jam al-Ausath dan Mu’jam al-Shaghir.

Secara sanadnya, hadisnya diriwayatkan melalui satu jalan di peringkat sahabat, iaitu Saidina Umar r.a.. Begitu juga, hadis ini diriwayatkan secara tafarrud atau gharib, iaitu setiap peringkat hanya diriwayatkan oleh seorang perawi. Dalam sanad hadis ini, tiada perawi yang lain yang meriwayatkan hadis ini selain Aslam al-‘Adawi. Kemudian, tiada perawi yang lain yang meriwayatkan hadis ini daripada Aslam kecuali anaknya, iaitu Zaid  bin Aslam. Kemudian, tiada perawi yang meriwayatkan hadis ini kecuali ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi.

Setelah itu, hadis ini diriwayatkan daripada ‘Abd al-Rahman bin Zaid al-‘Adawi oleh tiga perawi iaitu:

Isma’il bin Maslamah (dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah, Imam al-Hakim dalam al-Mustadrak dan Abu Muthi’e al-‘Misri dalam Amalinya yang pertama)

‘Abdullah bin Mubarak (dikeluarkan oleh Imam al-Ajiri dalam al-Syari’ah)

Abdullah bin Isma’il (dikeluarkan oleh Imam al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausath dan al-Mu’jam al-Shaghir).

Kemudian, ramai para penilai yang menilai hadis ini sekadar mendatangkan sanad hadis ini daripada jalan yang dikeluarkan oleh Imam al-Baihaqi dan Imam al-Hakim.

Iaitu:

Saidina Umar r.a.
Aslam al-‘Adawi
Zaid  bin Aslam
‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi
Isma’il bin Maslamah
‘Abdullah bin Muslim
Muhammad bin Ishaq
‘Amru bin Muhammad

Daripada ‘Amru bin Muhammad, Al-Hakim meriwayatkan hadis ini. Daripada al-Hakim pula, Imam al-Baihaqi meriwayatkan hadis ini. Hadis ini dinilai dha’if oleh para ulama’ hadis disebabkan oleh perawi yang bernama ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi.

Imam Ibn Hibban berkata dalam ‘Kitab al-Majruhin’ bahawasanya, ‘Abd Al-Rahman bin Zaid ini sepatutnya ditinggalkan periwayatan daripadanya. Imam Ibn Hibban juga meriwayatkan daripada Imam Ahmad bahawa ketika ditanya tentang ‘Abd al-Rahman, beliau menjawab: “Kalau abangnya Abdullah, maka tidak mengapa (meriwayatkan hadis daripadanya).” Maksudnya, berbanding ‘Abd al-Rahman, abangnya Abdullah lebih utama diriwayatkan daripadanya kerana lemahnya ‘Abd al-Rahman.

Imam Ibn Ma’in ketika ditanya tentang hadis ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam maka beliau menjawab: “dhaif”. Imam al-Bukhari dan Imam al-Nasa’ie juga menilai beliau sebagai dha’if. Imam ‘Ali al-Madini berkata: “Tiada dalam kalangan anak Zaid bin Aslam (iaitu Abd al-Rahman, ‘Abdullah dan Usamah) yang thiqah.” Di sisi Imam Ahmad pula, ‘Abd Rahman dan Usamah sahaja yang dha’if sedangkan Abdullah bin Zaid adalah thiqah. [al-Kamil fi Dhu’afa’ al-Rijal oleh Imam al-Jurjani]

Namun, kedudukan ‘Abd al-Rahman bin Zaid tidak terlalu lemah sehingga jatuh hadis ini ke peringkat yang tertolak secara mutlak atau ditohmah sebagai hadis maudhu’. Adapun melalui sanad Imam al-Hakim dan Imam al-Baihaqi, memang ianya sangat lemah, tetapi bukan kerana perawi bernama ‘Abd al-Rahman ini, tetapi seorang perawi lain iaitu ‘Abdullah bin Muslim Al-Fihari.


Menurut Imam Ibn Hajar dalam Lisan al-Mizan, beliau kemungkinan besar adalah ‘Abdullah bin Muslim bin Rasyid. Menurut Imam Ibn Hibban dalam kitab al-Majruhin, Abdullah bin Muslim bin Rasyid ini mereka-reka hadis daripada Ibn Lahi’ah dan sebagainya. Seterusnya, Imam Ibn Hajar al-Asqolani mengatakan bahawasanya, Abdullah bin Muslim ini meriwayatkan daripada Isma’il bin Maslamah daripada ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam sebuah khabar yang batil yang padanya ada mengandungi: “wahai Adam, jika bukan kerana Muhammad, Aku tidak ciptakan kamu”. Al-Baihaqi meriwayatkannya dalam Dala’il al-Nubuwwah. [Lisan al-Mizan]

Kedudukan hadis ini melalui jalan ‘Abd al-Rahman bin Zaid dan Abdullah bin Muslim ini sememangnya sangat lemah kerana perawi bernama Abdullah ini tidak berapa dikenali oleh ramai ulama’ hadis. Bahkan, jika beliau ialah ‘Abdullah bin Muslim bin Rasyid yang dimaksudkan oleh Imam Ibn Hibban, maka dia ditohmah sebagai ada memalsukan hadis daripada Ibn Lahi’ah dan sebagainya.

Namun, melalui riwayat Imam Al-Tabrani dalam al-Mu’jam al-Ausat dan al-Mu’jam al-Shaghir, sanad hadis ini tidak melalui Abdullah bin Muslim ini. Sanadnya adalah:

  • Saidina Umar r.a.
  • Kepada Aslam al-‘Adawi
  • Kepada Zaid  bin Aslam
  • Kepada ‘Abd al-Rahman bin Zaid bin Aslam al-‘Adawi
  • Kepada ‘Abdullah bin Isma’il
  • Kepada Ahmad bin Sa’id
  • Kepada Muhammad bin Daud
  • Kepada Imam al-Tabrani


Dalam sanad ini, tidak ada Abdullah bin Muslim yang ditohmah sebagai perawi yang sangat lemah sanadnya. Maka, memadai kedudukan hadis ini sekadar dha’if dan masih boleh dirujuk dalam masalah keutamaan, kemuliaan seseorang dan sebagainya. Hadis ini dengan sanad yang diriwayatkan oleh Imam al-Tabrani tidak sewajarnya dinilai serendah tahap hadis palsu. Bahkan, jalan ini menguatkan jalan hadis yang lemah riwayat Imam al-Baihaqi dan Imam al-Hakim yang akhirnya tidak juga membawa matan hadis ini dinilai sebagai hadis palsu.

Bahkan, disebabkan itu juga, menurut Sheikh al-Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki dalam kitab beliau Mafahim Yajib an Tusahhah:

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi dalam Dala’il al-Nubuwwah yang mana dalam kitab tersebut, beliau tidak meriwayatkan hadis-hadis maudhu’ (palsu) sebagaimana disebutkan pada muqoddimah kitab tersebut. Begitu juga ianya disahihkan oleh Imam al-Qastalani dan Imam al-Zurqani dalam al-Mawahib al-Ladunniyyah [1/62] dan Imam al-Subki  dalam Syifa’ al-Siqam."

Imam al-Suyuti juga meriwayatkan hadis ini dalam al-Khasa’is al-Kubra dan tafsir al-Dur al-Manthur. Kesimpulannya, hadis ini tidak sampai ke tahap palsu dan di sisi sebahagian ulama’, ianya boleh digunakan, terutamanya dalam bab kelebihan.

Sheikh Muhammad Alawi al-Maliki dalam kitab Mafahim Yajib an Tusohhah, menyebut beberapa hadis sokongan terhadap hadis ini antaranya yang diriwayatkan oleh Imam Ibn al-Jauzi dalam tafsirnya. Begitu juga diriwayatkan oleh Imam Abu Nuaim dalam al-Dala’il. Antara hadis sokongan yang lain juga menurut beliau adalah yang dikeluarkan oleh Imam Ibn al-Munzir dalam tafsirnya.

Percanggahan dengan al-Qur’an

Sebahagian orang mendakwa bahawasanya, hadis ini bercanggah dengan sebuah ayat al-Qur’an lalu menghukum hadis ini sebagai hadis palsu. Ini adalah dakwaan yang timbul dari seorang insan yang tidak langsung mencium haruman ilmu Usul al-Tafsir mahupun ulum al-Qur’an yang asas sehingga tidak mengetahui sememangnya wujud perbezaan pendapat dalam penafsiran sesuatu ayat yang mana perbezaan tersebut selagimana boleh diharmonikan (taufiq), maka para ulama’ tidak terus menganggap antara satu tafsiran dengan tafsiran yang lain sebagai saling bercanggahan.

Ayat tersebut adalah ayat ke-37 dalam surah al-Baqarah:



فَتَلَقَّى آَدَمُ مِنْ رَبِّهِ كَلِمَاتٍ فَتَابَ عَلَيْهِ إِنَّهُ هُوَ التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; Sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (Penerima taubat), lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: 37)

Adapun menurut sesetengah pihak, al-Kalimat (beberapa kalimah) yang diberikan atau diajarkan oleh Allah s.w.t. kepada Nabi Adam a.s. secara muktamad adalah sebagaimana dalam ayat yang lain iaitu:


قَالَا رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنْفُسَنَا وَإِنْ لَمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: Mereka berdua merayu: "Wahai Tuhan kami, Kami telah menganiaya diri Kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan Kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah Kami dari orang-orang yang rugi". (Surah al-A’raf: 23)

Ini adalah sebuah pernyataan yang mengandungi fakta yang benar tetapi dibentangkan dalam bentuk yang salah. Memang benar, ramai para ulama’ tafsir menyatakan bahawasanya, al-kalimat yang dimaksudkan dalam ayat ke-37 pada surah al-Baqarah adalah ayat ke-23 pada surah al-A’raaf dan saya juga bersetuju dengan demikian kerana memang ianya paling rajih (kuat) dipegang oleh ramai para ulama’. Namun, di sisi para ulama’ tafsir, ia adalah salah satu daripada pelbagai tafsiran lain terhadap ayat ke-37 (Surah al-Baqarah) ini, bukan satu-satunya tafsiran kepada ayat tersebut sehingga tafsiran-tafsiran lain dinilai sebagai percanggahan dengan ayat al-Qur’an.

Imam al-Tabari dalam tafsir beliau sendiri mendatangkan pelbagai tafsiran bagi perkataan ‘al-kalimat’ pada ayat ke-37 surah al-Baqarah ini. Asasnya, memang ada perselisihan pendapat dalam tafsiran bagi apa yang dimaksudkan dengan al-kalimat dalam ayat tersebut. Imam al-Tabari yang faham hakikat ini menjelaskan:

اختلف أهل التأويـل فـي أعيان الكلـمات التـي تلقاها آدم من ربه

Maksudnya: Ahli Ta’wil (tafsir) telah berbeza tafsiran tentang perkataan-perkataan yang Adam a.s. terima daripada Tuhannya…”

Sudah pastilah, perselisihan ini adalah khilaf mu’tabar iaitu perbezaan yang diterima kerana melibatkan tokoh-tokoh ahli tafsir salaf yang muktabar. Antara ahli tafsir yang berbeza pendapat dalam menafsirkan ayat ini adalah: Saidina Ibn ‘Abbas r.a., Qatadah, Al-Hasan, Abu al-‘Aliyyah, Yazid bin Mu’awiyyah, Mujahid dan sebagainya.

Adapun para ulama’ tafsir yang mengatakan bahawa maksud al-kalimat dalam ayat tersebut adalah ayat ke-23 dalam surah al-A’raaf adalah seperti Mujahid, Qatadah dan sebagainya, di samping ada tafsiran-tafsiran lain yang diriwayatkan daripada mereka. Begitu juga, Saidina Ibn ‘Abbas r.a. yang dinilai sebagai ahli pentafsir ummah juga, menurut Imam al-Tabari, memberi tafsiran yang berbeza daripada ayat ke-23 bagi surah al-A’raaf ini.Adakah kita sewenang-wenangnya mendakwa bahawa tafsiran Ibn ‘Abbas dan sebagainya adalah palsu kerana bercanggah dengan tafsiran yang dipilih iaitu ayat ke-23 daripada surah al-A’raaf?

Bahkan, Imam al-Suyuti dalam tafsir beliau al-Durr al-Manthuri meriwayatkan hadis tawassul Nabi Adam a.s. ini sebagai hadis pertama dalam menafsirkan ayat ke-23 surah al-Baqarah ini tanpa membuat komen bahawa ianya bercanggah dengan tafsiran-tafsiran yang lain.

Sememangnya banyak tafsiran-tafsiran yang diberikan oleh para ulama’ salaf termasuklah salah satunya, adalah hadis tawassul Nabi Adam a.s. tersebut sebagaimana dinukilkan oleh Imam al-Suyuti, Imam al-Alusi dalam Ruh al-Ma’ani dan sebagainya. Maka, tidak ada masalah pun jika Allah s.w.t. mewahyukan kepada Nabi Adam a.s. banyak bentuk kalimah, bukan sekadar satu bentuk sahaja, untuk menggabungkan semua bentuk tafsiran ini selagimana tidak bertentangan secara jelas.

Perbahasan Kedua: Tujuan Penciptaan Makhluk

Secara hikmah ketuhanan, berdasarkan ayat al-Qur’an yang menyebut:


وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Maksudnya: Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku. (Surah al-Zariyat: 56)

Ia secara jelas menunjukkan tujuan-tujuan khusus bagi manusia dan jin adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t.. Tetapi, dalam ayat surah al-Baqarah, ketika Allah s.w.t. berkehendak untuk menciptakan Nabi Adam a.s., Allah s.w.t. menyebut bahawasanya, Dia ingin menciptakan seorang khalifah di bumi ini, iaitulah Nabi Adam a.s. dan zuriatnya.

Maka, adakah dua tujuan ini merujuk kepada pertentangan antara satu sama lain, ataupun ianya saling menjelaskan antara satu sama lain. Para ulama’ sejak dahulu sehingga hari ini tidak menganggap tujuan manusia diciptakan  di bumi ini sebagai khalifah di muka bumi bertentangan dengan tujuan mereka diciptakan untuk menyembah diri kepada Allah s.w.t.. Para ulama’ secara jelas menjelaskan bahawasanya, tujuan manusia diciptakan secara asalnya adalah untuk mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. dan menjadi khalifah di muka bumi ini adalah sebahagian daripada bentuk pengabdian diri kepada Allah s.w.t..

Ini juga menunjukkan kekhususan jenis manusia berbanding jin kerana manusia mempunyai sekurang-kurangnya dua tujuan daripada penciptaannya iaitulah sebagai hamba dan khalifah kepada Allah s.w.t.. Maka, dalam berinteraksi dengan nas-nas, sewajarnya mempunyai fikiran yang tidak tergesa-gesa atau sewenang-wenangnya mempertentangkan antara satu nas dengan nas yang lain dengan begitu mudah.

Kita dapati dalam ayat al-Qur’an, banyak menceritakan bahawasanya, pada penciptaan makhluk-makhluk ini, ada tujuannya iaitulah sebagai ayat atau tanda bagi kebesaran Allah s.w.t.. Dalam ayat yang lain Allah s.w.t. menjelaskan bahawa, alam ini beribadah dan menghambakan diri kepada Allah s.w.t. tetapi manusia tidak mengetahui keadaan mereka. Dalam masa yang sama, tidak menafikan bahawasanya, seluruh alam ini, walaupun diciptakan untuk menjadi tanda kebesaran Allah s.w.t., untuk mengabdikan diri dan patuh kepada Allah s.w.t., alam juga diciptakan untuk manusia, agar mereka mengambil manfaat daripadanya.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Baqarah ayat ke-29:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُمْ مَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya: Dialah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi


Allah s.w.t. berfirman:

وَسَخَّرَ لَكُمْ مَا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الأَرْضِ جَمِيعًا مِنْهُ إِنَّ فِي ذَلِكَ لآيَاتٍ لِقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ

Maksudnya: Dan Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi, (sebagai rahmat pemberian) daripadaNya; sesungguhnya semuanya itu mengandungi tanda-tanda (yang membuktikan kemurahan dan kekuasaanNya) bagi kaum yang memikirkannya dengan teliti.  (Surah al-Jathiyyah: 13)

Adakah ayat-ayat ini menyanggahi ayat lain yang menjelaskan bahawa, makhluk-makhluk lain juga dijadikan dalam rangka untuk menyembah Allah s.w.t. dengan cara yang hanya Allah s.w.t. sahaja yang mengetahuinya? Sudah tentulah tidak, kerana sesuatu perbuatan itu boleh dilakukan dengan beberapa tujuan.

Maka, hadis tawassul Nabi Adam a.s. juga mempunyai fungsi dan maksud yang sama. Iaitu, Allah s.w.t. menjadikan Nabi Adam a.s. sebagai tempat untuk mengalirnya baka manusia untuk seterusnya daripada Nabi Adam a.s.-lah, lahirnya Nabi Muhammad SAW. Hadis ini menunjukkan keutamaan Nabi Muhammad SAW berbanding Nabi Adam a.s. di sisi Allah s.w.t. dan ianya memang suatu perkara yang tepat dalam aqidah Islam.

Hatta Sheikh Ibn Taimiyyah sendiri menjelaskan perkara ini dengan penjelasan yang sangat baik:

ومحمد سيد ولد آدم . وأفضل الخلق وأكرمهم عليه ومن هنا قال من قال : إن الله خلق من أجله العالم أو إنه لولا هو لما خلق عرشا ولا كرسيا ولا سماء ولا أرضا ولا شمسا ولا قمرا . لكن ليس هذا حديثا عن النبي صلى الله تعالى عليه وسلم لا صحيحا ولا ضعيفا ولم ينقله أحد من أهل العلم بالحديث عن النبي صلى الله تعالى عليه وسلم بل ولا يعرف عن الصحابة بل هو كلام لا يدرى قائله . 

ويمكن أن يفسر بوجه صحيح كقوله . { سخر لكم ما في السماوات وما في الأرض } وقوله : { وسخر لكم الفلك لتجري في البحر بأمره وسخر لكم الأنهار وسخر لكم الشمس والقمر دائبين وسخر لكم الليل والنهار وآتاكم من كل ما سألتموه وإن تعدوا نعمة الله لا تحصوها } وأمثال ذلك من الآيات التي يبين فيها أنه خلق المخلوقات لبني آدم ومعلوم أن لله فيها حكما عظيمة غير ذلك [ ص: 97 ] وأعظم من ذلك ولكن يبين لبني آدم ما فيها من المنفعة وما أسبغ عليهم من النعمة . 

ويمكن أن يفسر بوجه صحيح كقوله )) سخر لكم ما في السماوات وما في الأرض (( ... وأمثال ذلك من الآيات التي يبين فيها أنه خلق المخلوقات لبني آدم ومعلوم أن لله فيها حكما عظيمة غير ذلك وأعظم من ذلك  ... والله خلق السموات والأرض وما بينهما في ستة أيام وكان آخر الخلق يوم الجمعة وفيه خلق آدم وهو آخر ما خلق خلق يوم الجمعة بعد العصر في آخر يوم الجمعة . وسيد ولد آدم هو محمد - صلى الله تعالى عليه وسلم - آدم فمن دونه تحت لوائه - قال صلى الله تعالى عليه وسلم )) إني عند الله لمكتوب خاتم النبيين وإن آدم لمنجدل في طينته (( أي كتبت نبوتي وأظهرت لما خلق آدم قبل نفخ الروح فيه كما يكتب الله رزق العبد وأجله وعمله وشقي أو سعيد إذا خلق الجنين قبل نفخ الروح فيه . 

فإذا كان الإنسان هو خاتم المخلوقات وآخرها وهو الجامع لما فيها وفاضله هو فاضل المخلوقات مطلقا ومحمد إنسان هذا العين... كان كأنها غاية الغايات في المخلوقات فما ينكر أن يقال : إنه لأجله خلقت جميعها وإنه لولاه لما خلقت فإذا فسر هذا الكلام ونحوه بما يدل عليه الكتاب والسنة قبل ذلك . 

Maksudnya: Dan Muhammad itu adalah penghulu anak Adam dan makhluk paling utama dan mulia di sisi Allah s.w.t.. Oleh sebab itulah, ada orang mengatakan bahawasanya, Sesungguhnya Allah s.w.t. menciptakan alam ini kerana Baginda SAW atau kalau bukan kerana Baginda SAW, nescaya Allah s.w.t. tidak menciptakan Arasy, Kursi, Langit, bumi, matahari mahupun bulan. Tetapi, ia bukan suatu hadis daripada Nabi SAW (di sisi Ibn Taimiyyah- ulasan al-faqir) samada sahih mahupun dhaif. Bahkan, tidak diriwayatkan satu pun dalam kalangan ahli hadis mengenainya daripada Nabi SAW, bahkan bukan juga daripada para sahabat r.a.. Bahkan, ianya adalah perkataan yang tidak diketahui orang yang memperkatakannya (di sisi Ibn Taimiyyah. Sedangkan ianya diriwayatkan dalam banyak kitab-kitab seperti Imam al-Suyuti, Imam al-Baihaqi, Imam al-Hakim dan sebagainya. Wallahu a’lam- catatan penulis).

Mungkin, boleh ditafsirkan dengan tafsiran yang sahih seperti firman Allah s.w.t.: ((Dia memudahkan untuk (faedah dan kegunaan) kamu, segala yang ada di langit dan yang ada di bumi,))… dan ayat-ayat yang seumpamanya yang menjelaskan padanya bahawa semua makhluk diciptakan untuk anak-anak Adam. Diketahui juga bagi Allah s.w.t. pada kejadian tersebut, hikmah-hikmah yang lain yang besar selain itu dan yang lebih besar daripada itu (hikmahnya)….

Dan Allah s.w.t. menciptakan langit-langit dan bumi dan antara kedua-duanya selama enam hari, sedangkan yang terakhir diciptakan adalah pada hari jumaat, iaitulah Nabi Adam a.s. yang merupakan makhluk terakhir diciptakan pada peringkat itu, iaitu pada hari Jumaat, selepas Asar.

Adapun penghulu anak-anak Adam iaitu Muhammad SAW yang mana Adam a.s. dan semuanya berada di bawah panji baginda SAW, yang mana Nabi SAW menyebut: ((Aku di sisi Allah telah tertulis sebagai penutup para nabi sedang Adam masih dalam tanahnya.)). Iaitu, telah ditulis kenabianku dan telah terzahir ketika kejadian Adam a.s. sebelum ditiupkan roh ke dalamnya, sebagaimana ditulis rezeki  seseorang hamba, ajalnya, amalnya, celaka atau bahagia, ketikamana sebelum ditipkan roh ke dalam janin.

Maka, jika seorang insan itu adalah penutup para makhluk dan yang terakhir, maka dialah yang menghimpunkan segala yang ada padanya. Maka semulia-mulianya adalah semulia-mulia makhluk secara mutlak, yang mana insan tersebut adalah Muhammad SAW… Maka, seumpama, Baginda SAW-lah tujuan segala tujuan-tujuan yang lain pada makhluk ini. Maka, tidaklah diingkari bahawasanya, diciptakan segalanya (makhluk) dengan sebab Baginda SAW yang mana kalau bukan kerana Baginda SAW, makhluk tidak diciptakan. Jika ditafsirkan kalam ini dan sebagainya dengan apa yang ditunjukkan dalam al-Qur’an dan al-Sunnah, maka  bolehlah diterima perkataan tersebut.” [Majmu’ Fatawa Ibn Taimiyyah, al-Adab wa al-Tasawwuf, Kitab al-Tasawwuf, Bab Man Takhallala Abu Bakr bi al-‘Iba’ah…11/85-97]

Jelaslah hatta menurut Sheikh Ibn Taimiyyah sendiri, perkataan ini tidak bercanggah dengan mana-mana ayat al-Qur’an mahupun aqidah yang sahih. Apatah lagi, ianya diriwayatkan secara bersambung daripada Rasulullah SAW walaupun dengan sanad yang lemah, tetapi tidak palsu, bahkan dinilai baik oleh sebahagian ulama’ yang lain.

Wallahu a’lam.

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
13 Rabiul Awwal 1434 H

12.26.2012

Masyarakat Islam dan Penguasaan Bahasa Asing: Antara Sarana Penguasaan Ilmu dan Medium Pengaruh Budaya (2)


Turun Naik Perkembangan Ilmu Pengetahuan

Jika kita perhatikan tadi, jelas menunjukkan bahawasanya, tamadun Islam pernah meneroka bidang ilmu dan memimpin penguasaan ilmu termasuklah ilmu-ilmu yang diambil daripada sumber dan bangsa asing. Bahkan, para ilmuwan Islam yang lebih mnunjukkan minat kepada ilmu berbanding para ilmuwan dari bangsa-bangsa lain. Mereka didorong oleh minat dan semangat cinta ilmu dengan penghayatan terhadap jati diri keislaman mereka, sebelum mempunyai minat mnguasai bahasa-bahasa asing. Oleh itu, mereka fokus kepada tujuan ketika menguasai bahasa asing iaitu penguasaan trhadap ilmu atas semangat panduan hadis “hikmah adalah ciciran orang beriman tersebut.

Dalam dunia Islam hari ini, sejak kemunduran mereka setelah kejatuhan sistem khilafah, bahkan sebelum itu lagi, sudah mula menjauhi semangat cintakan ilmu pengetahuan. Berbeza dengan dunia Barat yang cuba bangkit daripada zaman kegelapan (Dark Ages) terutamanya setelah kemunculan gerakan Renaisans di Itali, gerakan Reformation yang dipimpin oleh Martin Luther seterusnya proses Sekularisasi secara besar-besaran dalam masyarakat Barat.

Dunia Barat memang mempunyai sejarah hitamnya dalam bidang ilmu pengetahuan ketika pihak gereja menjadi halangan terbesar terhadap tokoh-tokoh ilmuwan dalam mengembangkan bidang ilmu pengetahuan di Barat. Ia berbeza dengan tradisi Islam di mana para ulama’ sebagai agamawanlah dalam masa yang sama memimpin perkembangan ilmu pengetahuan dalam bidang rasional (aqliyyah). Maka, bagi dunia Barat, proses Sekularisasi adalah penyelasaian terhadap kemelut keilmuan mereka kerana hanya dengan mengurangkan pengaruh pihak agamawan sahaja, para ilmuwan Barat dapat menguasai bidang pengetahuan.

Mungkin, antara faktor kemerosotan bidang pengetahuan dalam masyarakat Islam adalah apabila institusi pengajian terbesar umat Islam pada ketika itu, iaitu Al-Azhar, pernah memutuskan hubungannya dengan ilmu-ilmu Aqliyyah, disebabkan ada suara yang mengharamkan ilmu-ilmu tersebut terutamanya ilmu mantik dan falsafah. Kemunduran dalam bidang ilmu-ilmu Aqliyyah di Al-Azhar ketara pada ketika itu sehingga dikatakan ilmu Matematik sendiri tidak diajarkan di sana pada hujung kurun ke-12 Hijrah. Pada ketika itu, al-Azhar hanya merupakan institusi pengajian yang mengajar ilmu-ilmu agama dan bahasa Arab sahaja. Walaupun perkara tersebut tidak lama, ia tetap mempengaruhi perkembangan bidang pengetahuan dalam masyarakat Islam, ketika mana dalam masa yang sama, masyarakat Barat sedang pesat membangunkan bidang pengetahuan.

Ketika ajaran agama cuba diketepikan di dunia Barat, ramai para ilmuwan Barat berpegang kepada Empirisisme yang lebih mementingkan perkembangan ilmu yang berkaitan dengan alam fizikal semata-mata dan meminggirkan perbahasan tentang alam metafizikal atau perkara-perkara ghaib. Di samping semangat dualisme ini, kecenderungan anti-tuhan atau athiesme turut berkembang dalam kalangan ilmuwan mereka. Ia berlaku secara beransur-ansur antara abad ke-18 sehingga abad ke-20 Masihi yang mana ketika itu dikenali sebagai Abad Ideologi (Age  of Ideologies).

Perkembangan ini akhirnya mencorakkan budaya hidup masyarakat yang baharu di dunia Barat, di mana pada asalnya mereka berpegang teguh kepada ajaran Kristianiti dan patuh kepada didikan gereja, mula menjauhkan diri daripada ajaran keagamaan atas nama kemajuan dan ilmu pengetahuan. Bagi mereka, ajaran keagamaan adalah suatu yang kolot jika dibandingkan dengan ilmu pengetahuan yang sedang berkembang kerana banyak mistik dan mitos dalam ajaran keagamaan yang tidak dapat dibuktikan melalui penyelidikan saintifik.

Lalu, pengkhianatan terbesar dalam sejarah keilmuan berlaku dalam bidang pengetahuan, atas nama ilmu, berteraskan semangat anti-tuhan dan anti-keagamaan. Ketika Charles Darwin (1808-1882) mengetengahkan idea evolusinya dalam dua buku terkenalnya iaitu The Origin of Spices dan The Descent of Man (1871), para ilmuwan Atheis mula melihat idea evolusi ini sebagai suatu senjata terbaik dalam melawan ajaran agama terutamanya pada menjawab persoalan asasi dalam kehidupan manusia iaitu “manusia berasal dari mana?”.

Walaupun idea evolusi Darwin tidak dapat dibuktikan benar, tetapi dengan alasan bahawa ianya masih tidak dapat dibuktikan salah, Darwinisme ini terus diterima sebagai unsur terpenting dalam bidang sains terutamanya berkaitan biologi. Idea-idea perubahan spesis daripada spesis purba yang ringkas menuju spesis lain yang lebih kompleks melalui proses evolusi yang berlaku secara rawak dan dipengaruhi oleh panduan tabi’e (natural selection) atau pertarungan tabi’e (war of nature) terus diterapkan dalam bidang sains secara khusus bahkan turut mempengaruhi bidang sejarah kemanusiaan.

Lebih malang lagi, idea ‘hanya yang terkuat sahaja yang layak untuk terus hidup’ (servival for the fittest) yang diketengahkan oleh Darwin dalam bidang biologi turut mempengaruhi bidang politik. Falsafah-falsafah radikal seperti Marxisme dan Komunisme muncul atas semangat ‘kehidupan hanya untuk yang terkuat’ sehingga mencetuskan kisah-kisah merah berdarah dalam lembaran sejarah kemanusiaan.

Budaya keilmuan yang nampak dipimpin oleh dunia Barat kini dipenuhi kepalsuan yang nyata atas nama ilmu. Bahkan, ketika para ulama’ Islam menetapkan sifat ilmu perlulah bertaraf yakin, para ilmuwan Barat masa kini sekadar mengembangkan waham dan prasangka lalu dinamakan sebagai ilmu. Bahkan, mereka juga bersikap tidak mementingkan persoalan-persoalan asasi dalam kehidupan seperti kita berasal dari mana, kenapa kita wujud di dunia dan ke mana kita akan pergi selepas kematian. Mereka lebih bersikap pragmatisme dan mementingkan nilai-guna sebagai ukuran bagi sesuatu ilmu.

Nilai dan Pengaruh Sekularisasi Ilmu Pengetahuan dalam Budaya Hidup Masyarakat   

Dalam bidang sains tabi’e atau fizikal, pengaruh aliran empirisisme dan evolusionisme sangat kuat. Ia sedikit sebanyak menggugat keimanan dan aqidah Islam, bahkan menggugat ajaran keagamaan secara lebih umum. Aliran empirisisme yang berkembang dalam bidang sains tabi’e misalnya, meletakkan ukuran kebenaran pada pengalaman pancaindera dan ujikaji saintifik semata-mata. Maka, perkara-perkara yang diajarkan oleh agama berkenaan dengan ketuhanan dan alam ghaib tidak mempunyai nilai ilmu atau kebenaran dalam neraca aliran ini. Lebih malang lagi, aliran evolusionisme yang mendominasi dalam bidang sains tabi’e ini, sedikit sebanyak mencabar ajaran agama yang mengatakan bahawasanya bapa pertama bagi manusia ialah Nabi Adam a.s., sedangkan Darwin menerusi teori evolusinya mendakwa, manusia adalah sejenis makhluk yang berevolusi daripada beruk.

Dalam bidang sains sosial pula, falsafah-falsafah yang negatif menjadi sandaran utama yang dilihat turut bertentangan dengan ajaran agama Islam. Selain pengaruh aliran evolusionisme, aliran Freudian turut ketara dalam bidang sosiologi. Freud mendakwa bahawasanya konsep ketuhanan dan agama adalah suatu ilusi bagi manusia hasil daripada penyakit jiwa mereka akibat tekanan hidup sejak zaman kanak-kanak. Bahkan, dia juga mendakwa bahawasanya, manusia hidup berteraskan dorongan seksual sehingga menganggap kebahagiaan dapat dicapai dengan kepuasan seksual. Perkara ini mendorong kepada sikap menjauhi amalan-amalan keagamaan yang mulia sehingga mencetuskan kerosakan akhlak yang sangat buruk atas nama kebebasan hak asasi manusia. Atas semangat ini jugalah, timbulnya seruan ke arah amalan seks yang songsang seperti yang diperjuangkan oleh komuniti LGBT (lesbian, gay, bisexual, and transgender) dan sebagainya.

Dalam bidang ekonomi pula, tidak banyak berbeza dengan bidang-bidang ilmu yang lain di mana ianya turut dipengaruhi oleh aliran yang rosak seperti Kapitalisme dan Sosialisme. Walaupun kedua-dua aliran ini kelihatan bertentangan antara satu sama lain, tetapi kedua-duanya menggalakkan amalan riba dan penindasan terhadap yang lemah. Begitu juga dalam bidang sejarah, pengaruh evolusionisme sangat kuat sehingga mengetengahkan peringkat-peringkat manusia yang bermula sebagai manusia primitif dan tidak bertamadun menuju perubahan ke arah lebih maju, sedangkan dalam konsep Islam, Nabi Adam a.s. sebagai bapa manusia adalah seorang manusia yang berilmu dan bertamadun.

Cabaran Umat Islam dalam Bidang Ilmu dan Budaya

Sikap anti-tuhan berkembang secara tidak langsung dalam masyarakat awam, terutamanya melalui saluran institusi-institusi pengajian. Para ilmuwan Barat dilihat berjaya mengemudi agenda Sekularisasi mereka dengan baik dalam perjalanan memasyarakatkan nilai-nilai Sekularisme tersebut melalui bidang pengetahuan. Budaya hidup mengamalkan ajaran keagamaan semakin terpinggir walaupun masih ramai yang mengaku beragama, tetapi agama sekadar suatu status sosial dalam masyarakat, tanpa berperanan sebagaimana sepatutnya.

Sehinggakan, masyarakat Barat kini sudah lebih terkenal sebagai sebuah masyarakat yang tidak beragama dalam konteks yang sebenar, walaupun mengaku masih beragama. Apa yang dimaksudkan sebagai tidak beragama adalah, mereka tidak mengamalkan ajaran agama tetapi sekadar menjadikan agama sebagai sebuah aktiviti sosial yang terhad. Insititusi keluarga juga dibina atas binaan yang rapuh disebabkan budaya hidup yang tidak lagi dipandu oleh nilai-nilai yang positif. Maka, keluarga-keluarga yang dibina adalah keluarga nuklear yang bakal meletup bila-bila masa sahaja lalu memberi kesan kepada persekitaran.

Budaya hidup masyarakat Barat ini tidak jauh daripada masyarakat Islam bahkan dalam rumah-rumah mereka sahaja, bukan di luar jendela. Budaya Barat diketengahkan dalam masyarakat dunia melalui media massa dan elektronik, bahkan melalui pengajian, sukan, hiburan dan sebagainya. Salah satu daripada bukti-bukti masyarakat Islam mula terpengaruh bahkan semakin ketara pengaruhnya terhadap budaya hidup masyarakat asing adalah pada penguasaan bahasa mereka terhadap bahasa asing, bukan sebagai sebuah sarana untuk menguasai ilmu pengetahuan, tetapi sekadar untuk berbudaya dengan budaya asing.


Kita dapati, ramai ibu bapa seronok jika anak-anak mereka boleh cakap bahasa Inggeris misalnya, sejak kecil, walaupun kadang-kala lebih baik berbanding bahasa ibunda sendiri. Alasan mereka, penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris adalah sangat penting kerana bahasa Inggeris adalah bahasa ilmu pengetahuan pada zaman ini. Memang benar, jika itu alasan dan tujuan mereka, ia adalah suatu perkara yang wajar dan baik sebagaimana disebutkan dalam perjalanan sejarah tamadun Islam.

Tetapi, selain kepincangan dalam bidang pengetahuan masa kini, bahasa asing juga menjadi medium yang boleh memberi pengaruh budaya asing dalam sesebuah masyarakat. Jika sesebuah masyarakat itu lemah dalam mempertahankan jati diri sendiri seperti cara hidup dan bahasa sendiri, sudah pastilah ia boleh dipengaruhi oleh cara hidup asing melalui penguasaan bahasa asing.

Pepatah ada menyebut bahawa, bahasa jiwa bangsa. Ia adalah jati diri sesuatu bangsa yang perlu dipertahankan sebagaimana bangsa Arab mempertahankan dan mengembangkan bahasa Arab mereka. Tidak salah menguasai bahasa asing bahkan ianya sangat baik jika dua perkara diambil kira:

Pertama: Perlu terlebih dahulu menguasai bahasa ibunda sebelum menguasai bahasa asing. Perkara ini sangat wajar dipentingkan kerana kita dapati ramai anak muda yang bertutur dalam bahasa Melayu tidak dapat mengucapkannya sebaik pertuturan mereka dalam bahasa Inggeris. Bahkan, kadang-kala, mereka bercakap dengan menggunakan bahasa ‘rojak’, iaitu gabungan antara bahasa ibunda dengan bahasa asing, samada sengaja ataupun tidak, ataupun bertutur dalam bahasa ibunda dengan loghat dan sebutan bahasa asing.

Kedua: Perlu fokus kepada tujuan penguasaan bahasa asing iaitu untuk menguasai ilmu pengetahuan, bukan untuk mengikut nilai-nilai bangsa asing yang negatif, apatah lagi dalam konteks yang kita bincangkan tentang penguasaan bahasa Inggeris mempunyai kaitan dengan perkembangan budaya masyarakat Inggeris-Barat yang sangat negatif pada masa kini. Ia berbeza dengan menguasai bahasa asing yang mempunyai nilai-nilai positif bagi bangsa tersebut seperti kecenderungan untuk menguasai bahasa Arab kerana keinginan untuk mengikut budaya Arab yang banyak dipengaruhi oleh ajaran Islam yang mulia dan dekat dengan corak kehidupan Rasulullah SAW, terutamanya Arab-Quraisy.

Sudahlah bidang ilmu memberi ancamannya yang sendiri terhadap jati diri dan keperibadian umat Islam yang perlu dipertahankan dengan ajaran murni Islam, budaya Barat yang terus berkembang juga sangat memberi tekanan dan ancaman bagi umat Islam juga. Oleh sebab itulah, umat Islam secara umum perlu lebih kuat mempertahankan jati diri keislamannya dalam menghadapi pengaruh bidang keilmuan dan budaya yang negatif daripada Barat.

Kita dapati bangsa Melayu secara khusus, telah lama membina jati diri bangsa berasaskan ajaran Islam. Maka, pengaruh agama Islam dalam budaya Melayu juga sangat kuat termasuklah dalam bahasanya. Kita boleh dapati banyak perkataan-perkataan dalam bahasa Melayu yang mempunyai hubung kait dengan perkataan-perkataan Islam. Sebagai contoh, perkataan solat (as-solah) dalam bahasa Arab mempunyai dua makna berlainan iaitu makna dari sudut bahasanya dan makna dari sudut penggunaan Islam (syarak). Al-Solah dalam pengertian dari sudut bahasa Arab bermaksud doa secara mutlak sedangkan al-solah dalam pengertian syarak (penggunaan Islam) adalah, himpunan perkataan-perkataan dan perbuatan-perbuatan yang tertentu, yang dimulakan dengan takbir dan disudahi dengan salam.

Maka, solat dalam bahasa Melayu hanya mempunyai satu makna sahaja iaitu sembahyang bagi agama Islam. Maksudnya, solat dalam penggunaan bahasa Melayu dengan makna dari sudut penggunaan syarak juga. Ia berbeza dengan bahasa Inggeris yang menggunakan terjemahan bagi as-solah sebagai pray yang mempunyai dua maksud, samada berdoa secara umum ataupun solat secara khusus. Ini menunjukkan bahasa Melayu mempunyai pengaruh ajaran Islam yang kuat. Begitu juga kalimah Allah s.w.t., dalam penggunaan bahasa Melayu, hanya layak digunakan bagi merujuk kepada Tuhan bagi orang-orang Islam sahaja.

Maka, jika terhakisnya penguasaan bahasa Melayu daripada bangsa Melayu-Islam, mereka akan terdedah kepada pengaruh asing termasuklah dari sudut budaya. Cabaran masyarakat Melayu-Islam secara khusus bukan setakat memelihara budaya asal mereka, tetapi pada mempertahankan corak hidup beragama yang menjadi amalan mereka sejak sekian lama. Kekeliruan semasa berkembang menuju ke arah yang berbeza daripada tujuan murninya. Ketika penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris ditekankan dalam dasar pendidikan negara, ramai anak muda dalam masyarakat Islam keliru tentang kepentingan penguasaan bahasa Inggeris sehingga akhirnya bahasa Inggeris menjadi sarana pengaruh budaya asing yang negatif dalam kehidupan mereka seharian.

Kita dapati terdapat segolongan Melayu-Muslim di Malaysia secara khusus yang bertutur di bumi Malaysia kepada sesama mereka dalam bahasa Inggeris atau bahasa campuran (Manglish), tetapi bahan bacaan mereka tidak lebih daripada sekadar novel-novel cinta dan romantik ala-Barat, majalah-majalah hiburan antarabangsa, komik-komik dan sebagainya. Mereka keliru dalam fungsi sebenar dirinya sebagai seorang Melayu-Muslim dalam menguasai bahasa asing.

Samalah seperti fenomena ketika kita mengunjungi Mesir, kita melihat sekumpulan bangsa Arab Mesir sedang berbual sesama mereka dalam bahasa Mandrin di tengah-tengah kota Kaherah. Hal sebegini tidak ganjil jika ianya berlaku di dalam sebuah institusi pengajian bahasa Mandrin walaupun di Kaherah dan melibatkan bangsa Arab Mesir, ataupun ianya berlaku di salah sebuah bandar di China walaupun melibatkan warga Arab Mesir, ataupun ianya berlaku melibatkan sesama bangsa Cina walaupun di bandar Kaherah.

Solusi Kepada Kekeliruan

Dua perkara yang perlu dipupuk bagi menyelesaikan kekeliruan ini. Pertama, memupuk semangat cinta ilmu dalam masyarakat. Kedua, menanam semangat cinta kepada tanah air dan jati diri bangsa yang bersesuaian dengan ajaran Islam.

Islam sebagai agama yang mengajak manusia kepada kebenaran dan membuktikan kebenaran sebagai kebenaran dengan bukti-bukti yang meyakinkan. Ini menunjukkan bahawasanya, Islam adalah agama yang menggalakkan budaya ilmu. Usaha memupuk semangat cintakan ilmu perlu berteraskan semangat ‘mengamalkan ajaran Islam’, dalam masyarakat Islam. Suasana Sekularisme dan Hedonisme dalam masyarakat Islam terutamanya setelah dipengaruhi budaya Barat sedikit sebanyak mengurangkan rasa cinta kepada ilmu pengetahuan tetapi sebaliknya masyarakat lebih cenderung kepada mengejar kepuasan diri sendiri.

Islam juga mengajar sesuatu bangsa itu agar menghargai keistimewaan yang ia miliki. Oleh sebab itulah, dalam Al-Qur’an ada menjelaskan bahawasanya, kepelbagaian bangsa dan kaum itu adalah antara hikmah Allah s.w.t. dalam kejadian manusia, dalam rangka untuk mewujudkan interaksi ‘saling kenal-mengenali’ antara sesama bangsa. Jika sesuatu bangsa itu tidak ada identiti tersendiri yang membuatkan ia istimewa dari sesuatu sudut dan berbeza berbanding bangsa-bangsa lain, maka tidak timbullah agenda ‘saling mengenali antara sesama bangsa yang berbeza. Ini kerana, dengan identiti yang berbezalah, sesuatu bangsa itu mengenali bangsa lain dan dikenali juga oleh bangsa lain, sebagaimana berbezanya antara lelaki dan wanita.

Nilai-nilai positif dari bangsa lain memang boleh diambil dan dimanfaatkan selagimana tidak melibatkan perkara-perkara negatif terutamanya berdasarkan ukuran agama. Rasulullah SAW sendiri mengambil idea menggali parit ketika perang Khandaq daripada strategi perang bangsa asing begitu juga menjadikan cincin Baginda SAW sebagai cop rasmi, juga daripada budaya bangsa asing. Tetapi, tetap sahaja Baginda SAW mempertahankan budaya Arab-Quraisy yang merupakan bangsa asal Baginda SAW seperti pakaian, makanan dan sebagainya. Bahkan, Rasulullah SAW juga ketika mengelak daripada memakan dhob, Baginda SAW menyebut bahawasanya, kaumnya tidak biasa makan makanan itu, maka Baginda SAW tidak mahu memakannya.

Cuma, dalam perkembangan semasa, budaya Barat mempunyai unsur-unsur negatif yang lebih dominan berbanding nilai positif. Daripada corak pemikiran yang berteraskan anti-agama dan anti-tuhan, sehinggalah corak hidup dan budaya yang turut bersifat anti-agama, justeru menyebabkan masyarakat Islam harus mengetahui sempadan dalam mengikut budaya sesuatu bangsa.

Kita tidak nafikan bahawasanya, bangsa asing seperti bangsa Inggeris mengembangkan bidang pengetahuan walaupun secara korup dan sarat penyelewengan ilmiah, namun tetap banyak yang boleh diambil manfaat. Maka, masyarakat Islam wajar memupuk semangat cinta kepada ilmu agar usaha penguasaan bahasa asing seperti bahasa Inggeris tidak membawa ke haluan yang tidak sepatutnya, iaitu berkembangnya pengaruh budaya asing yang negatif dalam masyarakat.

Ibu bapa dan kerajaan perlu peka terhadap tujuan penguasaan bahasa asing agar generasi muda tidak hilang arah dalam seruan ke arah menguasai bahasa-bahasa asing. Sebagaimana bahasa adalah jalan menuju ilmu, ianya juga dalam masa yang sama adalah jalan menuju budaya. Dalam suasana dunia Barat yang sedang pesat membangunkan nilai-nilai negatif samada dalam bidang pengetahuan mahupun dalam bidang budaya, masyarakat Islam perlu menjadikan panduan agama sebagai sebaik-baik panduan dalam menilai apa sahaja yang didapati daripada bangsa-bangsa asing tersebut. Sudah tentulah, penguasaan terhadap ilmu pengetahuan lebih utama berbanding sekadar berbudaya dengan budaya bangsa-bangsa lain. Justeru, fokus perlu dibentuk secara jelas dalam semangat penguasaan bahasa asing ini, agar masyarakat Islam tahu tujuan asal mereka tersebut.

Wallahu a’lam…

Al-Faqir ila Rabbihi al-Jalil
Raja Ahmad Mukhlis bin Raja Jamaludin al-Azhari
‘Amalahullahu bi Lutfihi al-Khafiy
25 Disember 2012, Putrajaya



12.25.2012

Masyarakat Islam dan Penguasaan Bahasa Asing: Antara Sarana Penguasaan Ilmu dan Medium Pengaruh Budaya (1)


Pengenalan

Manusia adalah makhluk bersosial. Mereka hidup dalam suasana bermasyarakat dan saling berkomunikasi antara satu sama lain. Mereka berinteraksi menggunakan perkataan-perkataan yang difahami dalam kalangan mereka. Para ulama’ berbeza pendapat tentang bahasa asal manusia, samada ianya adalah rekaan manusia ataupun daripada panduan dan pedoman Allah s.w.t. [Surah al-Baqarah: 31].

Dalam ajaran Islam, Nabi Adam a.s. dan keluarga baginda adalah manusia terawal yang berkomunikasi di dunia. Berdasarkan hadis riwayat Imam Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah, Imam Abu Nu’aim dalam Hilyah al-Auliya’ dan sebagaiya, begitu juga dalam riwayat Imam Ahmad dalam al-‘Ilal dan sebagainya, ketika Nabi Adam a.s. diturunkan dari Syurga, beliau bertutur dalam bahasa Suryani.

Ketika polulasi manusia bertambah lalu tersebar ke pelbagai pelusuk tempat, maka, berkembanglah pertuturan dalam kelompok-kelompok yang berbeza sehingga membentuk perbezaan. Sehinggakan, pada zaman Nabi Ismail a.s. dan sebagainya, berkembangnya bahasa Arab yang berbeza daripada bahasa Suryani. Kemudian, berkembang pula bahasa Ibrani dalam kalangan bangsa Yahudi lalu berkembang juga bahasa-bahasa lain di timur dan Barat.

Dalam hubungan sosial kemanusiaan, bahasa bukan satu-satunya yang terbentuk dalam masyarakat, tetapi juga budaya. Jika bahasa boleh dikatakan sebagai ukuran komunikasi lisan dalam masyarakat, budaya boleh dianggap sebagai ukuran komunikasi tindakan dalam masyarakat tersebut Sebagaimana komunikasi lisan dalam masyarakat mengembangkan bahasa masyarakat tersebut, begitu juga komunikasi tindakan turut mengembangkan budayanya. Selain perkembangan bahasa dan budaya, ilmu juga turut berkembang dalam sesebuah masyarakat, natijah daripada perkembangan pemikiran dan komunikasi intelek dalam kalangan mereka.

Perkembangan Ilmu dan Budaya

Dalam sesebuah bangsa, sebagaimana berkembangnya ilmu dalam kalangan mereka, begitu juga dengan budaya. Sebagaimana berkembangnya corak pemikiran, berkembang juga corak hidup sesebuah masyarakat. Corak pemikiran yang berkembang dalam sesebuah masyarakat turut dianggap sebagai sebahagian daripada ilmu pengetahuan, sebagaimana kefahaman mereka terhadap sesuatu perkara.

Bahkan, dalam sesetengah masyarakat, wilayah atau ruang lingkup ilmu tidak terbatas kepada perkara-perkara fizik semata-mata, malah ianya juga melibatkan perkara-perkara yang ghaib dan metafizik. Sebahagian pengetahuan terhadap perkara-perkara tersebut berasaskan ajaran wahyu melalui para rasul dan sebahagian yang lain adalah melalui prasangka dan khalayan manusia.

Corak hidup atau budaya juga boleh dikaitkan sebagai sebahagian daripada ilmu tetapi dalam bentuk praktikal. Sebahagian masyarakat mengamalkan corak hidup dan budaya berasaskan ajaran agama yang dianggap sebagai panduan yang holistik bagi manusia, sedangkan sebahagian masyarakat manusia mengamalkan corak hidup berdasarkan cara fikir masing-masing dan nilai-nilai yang diterima secara universal dalam masyarakat.

Sebahagian ilmuwan mungkin cuba membataskan ruang lingkup ilmu kepada perkara-perkara yang boleh didapati melalui empirikal semata-mata. Maka, menurut mereka, perkara-perkara melibatkan ketuhanan (teologi), kerohanian dan metafizik bukanlah dibahaskan dalam bidang ilmu tetapi dalam bidang falsafah, sebagaimana menjadi amalan sebahagian ahli falsafah Yunani.

Perkembangan ini menyebabkan wujudnya dikotomi antara bidang ilmu dengan bidang falsafah. Bagi golongan empirisisme, ilmu atau sains hanyalah apa yang dapat dibuktikan melalui penilaian berteraskan kaedah saintifik atau kajian saintifik di makmal. Perkara-perkara yang tidak boleh didapati melalui pancaindera mahupun logik akal menurut mereka tidak bersifat ilmu pengetahuan kerana tidak dapat dibuktikan kebenarannya.

Dalam aliran lain yang menolak semangat dualisme antara kedua-dua perkara (alam musyahadah/ alam fizikal dengan alam ghaib/alam metafizikal), mereka berpegang teguh dengan nilai holistik dalam ilmu pengetahuan. Corak hidup dan pemikiran mereka diasaskan oleh ajaran agama yang mana secara tidak langsung menekankan konsep pedoman atau dan panduan ketuhanan.

Dalam ajaran Islam, Nabi Adam a.s. diutuskan oleh Allah s.w.t. ke muka bumi ini dengan risalah agama yang mengajar manusia tentang ilmu yang lengkap untuk kehidupan mereka. Ajaran agama yang berteraskan wahyu dari Tuhan bersifat holistik yang memainkan peranan yang sempurna dalam menjadi pedoman kepada manusia dalam segenap kehidupan mereka, samada dalam bidang kerohanian mahupun kebendaan.

Begitulah seterusnya para rasul yang lain yang meneruskan tradisi ilmu bersepadu di mana mereka sebagai guru-guru agama yang mengajar tentang ilmu-ilmu hubungan dengan Tuhan, dalam masa yang sama juga sebagai ahli-ahli akademik yang mengajar tentang ilmu-ilmu tentang alam dan kehidupan.

Ketika muncul masyarakat yang jauh daripada para rasul, maka, berkembang konsep-konsep karut dalam bidang metafizikal dan kerohanian sehingga muncul ajaran-ajaran palsu atas nama agama-agama. Bahkan, muncul juga ajaran-ajaran tentang ketuhanan yang bercanggah dengan konsep ketuhanan tauhid yang murni yang menjadi asas ajaran para rasul yang mulia.

Bagi masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran-ajaran agama, maka, corak pemikiran dan hidup mereka berteraskan ajaran-ajaran keagamaan mereka. Selalunya, dalam ajaran-ajaran keagamaan yang tidak berteraskan panduan wahyu Allah s.w.t., maka, pengaruh dan dominasi autoriti golongan agamawan sangat kuat dalam masyarakat. Bertolak daripada inilah, berlakunya pelbagai penyelewengan atas nama keagamaan dalam sesetengah ajaran-ajaran agama.

Bagi masyarakat yang tidak mengamalkan ajaran agama, corak pemikiran dan hidup mereka mengikut akal dan hawa nafsu mereka. Sebahagian yang mempunyai etika yang lebih baik dalam kalangan mereka, mereka akan tunduk kepada nilai-nilai kemasyarakatan yang universal dan diterima pakai secara umum dalam masyarakat. Sebahagian yang lain pula akan melakukan apa sahaja yang mereka kehendaki tanpa mematuhi kepada nilai-nilai universal dan undang-undang yang sedia ada dalam masyarakat.

Pertembungan Antara-Budaya

Lain bangsa, maka lainlah budaya dan cara pemikirannya. Ketika pelbagai masyarakat hidup berjauhan antara satu sama lain, maka, dialog intelektual dan kebudayaan tidak begitu ketara. Pengaruh sesuatu masyarakat ke dalam masyarakat yang lain tidak berlaku secara mudah kerana selalunya ianya hanya melibatkan peperangan dan penjajahan.

Sebagaimana setiap bangsa mempunyai keistimewaan tersendiri dari sudut budaya, begitu jugalah dari sudut penguasaan mereka terhadap ilmu pengetahuan. Sebagaimana dalam al-Qur’an, Allah s.w.t. menggambarkan betapa bangsa-bangsa yang pelbagai mempunyai penguasaan ilmu yang pelbagai dan berbeza-beza terutamanya dari sudut pembinaan tempat tinggal mereka dan sebagainya. Tamadun Mesir Purba terkenal dengan perubatan sebagaimana tamadun Babilon terkenal dalam bidang geologi dan sebaainya. Begitu juga tamadun India terkenal dengan ilmu matematik dan astronomi sedangkan tamadun Cina Purba pula terkenal dalam bidang sains sosial dan politik.

Umat Islam dan Penguasaan Ilmu

Semangat penguasaan adalah suatu perkara yang dominan dalam ajaran Islam. Bahkan, Islam mementingkan ilmu pengetahuan terutamanya ilmu yang boleh mendekatkan seseorang kepada Tuhan Maha Pencipta. Para ulama’ menegaskan bahawasanya, antara isyarat bahawa Isam mementingkan ilmu adalah pada wahyu pertama diturunkan iaitu surah al-‘Alaq, Allah s.w.t. memerintahkan agar Rasulullah SAW membaca. Perintah iqra’ (bacalah) itu bersifat umum kepada seluruh umat Islam secara tidak langsung, untuk banyak membaca sebagai sarana untuk menguasai ilmu pengetahuan.

Bahkan, ciri-ciri Islam sendiri ketik hadir adalah menolak corak hidup Jahiliyyah. Ini menunjukkan Islam bersifat keilmuan kerana hadirnya Islam dalam usaha untuk membasmi kejahilan atau Jahiliyyah, yang merupakan lawan bagi ilmu.

Dalam sebuah hadis ada menyebut bahawasanya, hikmah itu adalah barang ciciran orang yang beriman. Maka, di mana sahaja orang yang beriman mendapatinya, maka dia lebih berhak untuk memilikinya. Begitulah mafhum hadis tersebut.

Ini secara tidak langsung mencetuskan semangat penguasaan ilmu dalam masyarakat Islam, daripada bangsa-bangsa asing. Caranya adalah dengan mempelajari dan menguasai bahasa-bahasa mereka. Antara galakan terawal dalam mempelajari bahasa asing adalah daripada Rasulullah SAW sendiri. Dalam hadis riwayat Imam al-Tirmizi, Saidina Zaid bin Thabit r.a. adalah salah seorang sahabat yang diperintahkan oleh Rasulullah SAW untuk mempelajari bahasa Suryani yang digunakan oleh bangsa Yahudi di tanah Arab.

Bahkan, sebahagian ilmuwan Yahudi yang memeluk Islam turut mempengaruhi perkembangan bahasa Suryani dalam masyarakat Islam di Madinah. Pada awalnya, interaksi antara bangsa Arab yang beragama Islam dengan bangsa Yahudi yang mana sebahagiannya telah memeluk Islam tetapi mempunyai pendidikan tentang kitab-kitab Judaisme yang lama, menyebabkan sebahagian umat Islam merujuk isi kandungan kitab-kitab tersebut terutamanya tentang kisah-kisah yang disebutkan di dalam al-Qur’an secara umum.

Sehinggakan, Rasulullah SAW menasihati para sahabat r.a. agar tidak terlalu mempercayai semua yang didapati daripada golongan Yahudi dalam masa yang sama tidak keras dalam mendustainya. Maka, sebahagian para sahabat r.a. merujuk sumber bangsa Yahudi (Isra’iliyyat) melalui ilmuwan mereka lalu menerima apa yang tidak bertentangan dengan ajaran Islam sahaja. Antara tokoh ilmuwan Islam yang berbangsa Yahudi dalam kalangan para sahabat r.a. adalah Ka’ab al-Ahbar.

Ketika wilayah Islam terus berkembang, berlakunya interaksi antara budaya dan bangsa sehingga umat Islam mengenali pelbagai ilmu dari bangsa asing seperti bangsa Farsi dan Rom.

Sekurang-kurangnya, ada dua faktor utama yang membawa kepada perkembangan ilmu-ilmu bersifat rasional dalam masyarakat Islam iaitu.:-

Pertama: Proses Asimilasi.

Sejak wilayah di bawah jajahan Rom dan Parsi dikuasai oleh kerajaan Islam, maka, ilmu pengetahuan bangsa-bangsa asing mula masuk ke dalam masyarakat Islam. Antara pusat ilmu yang terkenal terutamanya oleh aliran Neo-Platonisme adalah seperti di Iskandariah (Mesir) dan di Syria. Ia adalah sebuah aliraan yang cuba menggabungkan antara falsafah Plato dan falsafah Aristotle. Aliran falsafah Neo-Platonisme berkembang pada awalnya dalam masyarakat Kristian terutamanya dalam gereja-gereja. Lalu, ajaran Kristianiti yang dikembangkan oleh pihak gereja mula dipengaruhi oleh falsafah-falsafah Yunani.

Kedua: Proses Penterjemahan

Pada peringkat awal, buku-buku Yunani diterjemahkan ke dalam bahasa Suryani. Kemudian, para ilmuwan Islam mula menterjemahkannya ke dalam bahasa Arab dengan bantuan para ilmuwan asing. Kegiatn penterjemahan buku-buku asing ke dalam bahasa Arab dipelopori oleh Khalid bin Yazid bin Mu’awiyyah (m: 86 H) pada zaman Bani Umayyah. Beliau membawa beberapa ilmuwan Rom dari Mesir termasuk Pendeta Maryanus yang akhirnya menetap di Istafan.

Pada Bani Abbasiyyah, kegiatan penterjemahan dipelopori oleh Abu Ja’far al-Mansur kemudian mencapai tahap kemuncaknya pada zaman al-Ma’mun. Antara buku-buku yang diterjemah adalah dalam bidang falsafah, metafizik, psikologi, etika dan sebagainya. Golongan Mu’tazilah dan ahli falsafah sehingga sebahagian mereka menyanjung tinggi ilmu falsafah Yunani.